Anda di halaman 1dari 3

Assalamualaikum wbt.. Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terima kasih Tuan pengerusi majlis.

________________________________________________________________________

guru-guru, rakan-rakan, serta hadirin yang dihormati sekalian.

Saya selaku ketua pengawas SK De La Salle mengucapkan jutaan terima kasih dan
merakamkan setinggi penghargaan atas kepercayaan dan peluang untuk saya
menyampaikan sepatah dua kata bagi mewakili rakan-rakan dalam majlis yang
dianjurkan khusus buat kami yang akan meninggalkan SK De La Salle pada hari Jumaat
ini.
.
Sesungguhnya saya dan rakan-rakan berasa terharu melalui hari-hari terakhir di sekolah
ini. Betapa cepatnya waktu berlalu. Namun setiap pertemuan pasti akan berakhir dengan
perpisahan.

HENDAK MENEBANG NIBUNG BERDURI


DIBUAT PAGAR TEPI PERIGI
PANTUN DIKARANG MELEPAS DIRI
ENTAHKAN BILA BERJUMPA LAGI.

Barisan pentadbir, guru-guru dan para hadirin sekalian,


Kami sedar bahawa dalam usaha untuk memanusiakan manusia seperti kami, guru-guru
sering kali berhadapan dengan pelbagai karenah dan cabaran, ada yang menyakitkan hati,
ada yang menghampakan harapan, ada yang menggembirakan, ada yang melucukan, dan
ada yang menyeronokkan. Segala pengalaman pahit manis ditelan dengan penuh
kesabaran sehingga kami dapat merasakan bahawa guru-guru di sekolah ini bukan
sekadar guru biasa, malah lebih daripada itu. Sakit pening kami dan kebajikan kami
sentiasa diambil berat, kemajuan akademik kami dan keterampilan sahsiah kami sentiasa
diberi perhatian sehingga soal masa depan kami turut sering merungsingkan guru-guru
sekalian. Sesungguhnya, kesediaan guru-guru untuk membantu kami amatlah kami hargai
dan sanjungi.
Sepanjang kami berada di sekolah ini, kami juga telah banyak menimba ilmu
pengetahuan dan pengalaman yang sangat berguna buat kami untuk menempuh
kehidupan pada masa akan datang. Terima kasih yang tidak terhingga kepada guru-guru
yang tidak jemu-jemu mengajar kami. Terima kasih, cikgu.

Tenang-tenang air di laut,


Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi guru-guru sentiasa dijunjung.

Terima kasih juga kepada kakitangan-kakitangan bukan akademik dan pekerja swasta
yang juga banyak membantu dan menjaga kami sepanjang kami berada di sekolah ini.
Rasaya tidak mampu untuk kami membalas jasa mereka.

Pada kesempatan ini juga, saya dan rakan-rakan menyusun sepuluh jari, memohon ampun
dan maaf, atas kesalahan dan kekhilafan kami. Halalkan segala ilmu dan pengalaman
yang dikongsikan. Restuilah kami dan doakanlah kejayaan kami.

Kepada rakan-rakan sekalian,


Jangan terus lupakan sekolah kita yang tercinta ini. Diharapkan segala pengalaman dan
pengetahuan yang diperoleh sepanjang kita berada di sekolah ini menjadikan kita
manusia yang sentiasa berusaha untuk menjadi yang lebih baik. The best version of
ourselves. Semoga kita dapat menjadi seseorang yang bermanfaat kepada keluarga,
masyarakat, agama dan negara. Kami mohon guru-guru titip doa bagi mengiring langkah
kami ke peringkat pendidikan menengah nanti.
Terima kasih juga pada rakan-rakan atas persahabatan sepanjang perkenalan ini. Saya
pasti kenangan bersama di SK De La Salle akan kekal tersemat dalam hati kita.

TANJUNG SAUH DI PULAU BINTAN


TEMPAT BERLABUH ORANG PENYENGAT
BERPISAH JAUH BERCERAI BADAN
SAHABAT HANDAI TETAP KUINGAT
Akhirulkalam, sebelum saya menyerahkan majlis ini kepada Tuan Pengerusi Majlis, saya
selaku wakil semua murid tahun 6 sesi akademik 2022/2023 ingin sekali lagi
merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada guru-guru
yang telah sudi menabur bakti demi kecemerlangan hidup kami di hari muka. Segala jasa
dan pengorbanan guru-guru tidak dapat kami balas, justeru kami serahkan kepada Tuhan
jua untuk membalasnya.

Dirunduk hanyalah padi,


Diendang si gadis desa
Yang baik hanyalah budi
Dikenang hanyalah jasa.

ORANG SIBUTI MENGAIL TENGGIRI,


TENGGIRI DIJUAL DI DALAM PEKAN
KAMI YANG PERGI MEMOHON DIRI
SILAP DAN SALAH MOHON MAAFKAN.

KALAU MENJEMUR PAPAN PANJANG


BAIK DISUSUN TEGAK BERDIRI
KALAU LAH ADA UMUR YANG PANJANG
AKAN KITA BERJUMPA LAGI.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai