Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN WAKIL MURID

Terima Kasih Sahabat Pengacara Majlis, Irene Iwani.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.


Yang Berusaha,
Cikgu Suhaini binti Sheikh Abdullah,Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah,
Yang dihormati,
En. Mohd Zainal Abidin bin Salleh, Yang dipertua PIBG SK Tebing Tembah,
Yang Dihormati,
Puan Bismi Yasidah binti Alias, Naib Yang Dipertua PIBG SK Tebing Tembah,
Yang disegani,
Barisan pentadbir sekolah,
Cikgu Mohd Zulkifli bin Muda, Penolong Kanan Kurikulum
Cikgu Haji Zamri bin Zakaria, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
Cikgu Mohd Ridhuwanbin Rosli, Penolong Kanan Ko-kurikulum
Yang disayangi,
Barisan guru-guru SK Tebing Tembah dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk
menyampaikan ucapan pada Majlis Graduasi dan Hi- Tea Tahun 6 ini. Saya mewakili semua
murid tahun 6 Sekolah Kebangsaan Tebing Tembah ingin mengambil kesempatan waktu
untuk mengucapkan terima kasih kepada semua guru tahun 6 yang kami kasihi kerana sudi
menganjurkan majlis ini.

Guru-guru yang kami kasihi,


Sepanjang tempoh 6 tahun kami mengorak langkah menggali ilmu di SK Tebing Tembah ini,
kalian lah yang telah banyak berkorban untuk kami. Saat kami lelah dan hampir berputus
asa, kalian lah insan yang mencurahkan api semangat agar kami terus bermotivasi
meneruskan langkah menimba ilmu. Di saat kami jatuh tersungkur, kalianlah yang
menghulurkan tangan, menarik kami agar tetap bangun membina identiti yang berkualiti.
Terlalu banyak jasamu guru hingga tidak terhitung oleh kami. Segala pengorbanan dan jasa
guru-guru akan kami kenang sepanjang hayat kami. Terima Kasih, cikgu! Terima Kasih,
Cikgu! Terima kasih, Cikgu. Kami doakan semoga Allah membalas segala jasa dan
pengorbanan cikgu dalam mendidik kami ini, dengan segala kebaikan di dunia dan akhirat.
Amin…Amin…

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,


Dalam kita mengharungi tempoh 6 tahun bersama, sudah pasti banyak kenangan telah
tercipta. Segala kenangan Pahit manis ,suka duka,jatuh bangun inilah yang bakal menjadi
memori indah yang telah kita lakar bersama-sama. Sebagai kanak-kanak yang masih
mentah dan merangkak dewasa, sudah pasti ada tingkah dan kata yang mengguris hati dan
perasaan cikgu-cikgu yang sangat kami sayangi. Pada kesempatan ini, saya mewakili rakan -
rakan saya, Menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf dari lubuk hati kami yang
paling dalam atas kenakalan kami. Maafkan kami ye, cikgu.

Kami sedar dan kami yakin bahawa untuk mencapai sebuah kejayaan bukanlah satu perkara
mudah. Namun, langkah pertama telahpun diambil, kini tiba masanya untuk kami
meneruskan langkah ke peringkat sekolah menengah. Oleh hal yang demikian, biarlah
majlis hari graduasi ini menjadi titik permulaan kepada kami untuk menyeluk pekasam
sehingga ke pangkal lengan, alang-alang mandi biar basah, alang-alang berdakwat biar
hitam, bara yang digenggam biar sampai jadi arang, agar pada suatu hari nanti kami
menjadi benih yang dicampakkan ke laut menjadi sebuah pulau.

Guru-guru dan rakan-rakan yang bakal dirindui,


kita akan berpisah mencari haluan ilmu. Selepas ini, kita akan sibuk mengejar impian dan
cita-cita. Hanya satu yang kami pinta, jangan pernah berhenti mendoakan kami. Kami amat
memerlukan doa guru-guru untuk mengiringi perjalanan kami dalam mencari ilmu yang
lebih tinggi . jadikanlah persahabatan yang telah terjalin ini kekal selamanya, dan perpisahan
ini hanya perpisahan sementara. InsyaAllah kita akan bertemu lagi dengan kejayaan masing-
masing.

Buat guru-guru yang sudah mula kami rindukan, , Semoga Allah merahmati kalian,
melindungi kalian dan memberikan ganjaran syurga buat kalian. Terima kasih cikgu.

Sekian. Wabillahitaufik wal hidayah, Assalamualaikum wbt.

Anda mungkin juga menyukai