Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI INDIVIDU MINI SUKANTARA (KOKURIKULUM OLAHRAGA / WAJ3112) NAMA: SITI ATIQAH BT MD ZULKIFLI, NO. I/C: 921008-08-5608, NO.

MATRIK: 124788

Syukur ke hadrat Yang Esa kerana dengan izin-Nya dapat saya dan rakan-rakan yang lain menyempurnakan program mini sukantara bagi mata pelajaran WAJ3112, iaitu Kokurikulum Olahraga yang diamanahkan dengan jayanya pada hari Ahad, 16 Mac 2014 baru-baru ini yang dikelolakan oleh PISMP Bahasa Inggeris 4 dan Prasekolah ambilan Januari 2012. Tugasan ini telah diwajibkan kepada semua guru pelatih semester lima Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail (IPGKDRI) bagi memenuhi kehendak sukatan mata pelajaran yang ditetapkan. Berdasarkan pengetahuan dan kemahiran asas olahraga yang telah diperoleh sepanjang menghadiri kuliah, tugasan ini mengkehendaki guru pelatih untuk mengaplikasikan prinsip latihan dan kemahiran asas olahraga secara praktikal dimana setiap individu perlu menjadi peserta kepada acara yang dipertandingkan mengikut rumah sukan masing-masing disamping merasai pengalaman menjadi pegawai dan ahli jawatankuasa sepanjang proses pengelolaan. Melalui program ini, saya telah dapat mengembangkan potensi diri serta mendapat pengalaman baru yang melibatkan bidang kepegawaian. Berdasarkan pembahagian kerja yang diuruskan oleh ahli jawatankuasa induk, saya telah ditugaskan untuk menjadi ahli jawatankuasa dokumentasi. Pada awalnya saya agak kecewa kerana saya fikir saya tidak berpeluang untuk mendapat pengalaman secara langsung menjadi pegawai teknik acara lain kerana semasa Kejohanan Olahraga Tahunan IPG yang lepas, saya hanya berkesempatan untuk menjadi pegawai bagi acara lontar peluru. Namun, kesudian rakan-rakan yang memberi ruang kepada saya untuk mengambil tugas mereka sebagai pegawai telah membuka peluang kepada saya untuk merasai pengalaman yang saya inginkan. Walaupun hanya sebentar menggantikan tugas mereka, namun ilmu dan pengalaman yang diperoleh amat bermakna bagi saya terutamanya dalam memahami tugas setiap pegawai-pegawai teknikal. Contohnya, dalam acara lari 100 meter dan 200 meter, hakim pelepas perlu merujuk kepada koordinator pelepas dan penolong pelepas sebelum memulakan acara. Malah sebelum itu, koordinator pelepas juga perlu memastikan bahawa hakim balapan, penjaga masa, dan pegawai lain bersedia sebelum memberi isyarat kepada pelepas. Berdasarkan pemerhatian saya, saya dapati bahawa dalam mengendalikan sesuatu acara, setiap pegawai perlu saling berhubung agar tidak berlaku salah faham yang boleh menyusahkan peserta pertandingan dan menimbulkan rasa tidak puas hati daripada pelbagai pihak.

Sebagai seorang peserta acara, saya berasa amat teruja kerana saya berpeluang merasai sendiri pengalaman menyertai acara balapan dan lompat jauh yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Kebiasaannya, saya akan menyertai acara padang seperti lontar peluru dan lempar cakera dalam sukan olahraga tahunan yang dianjurkan oleh pihak IPG. Bagi saya, ini juga merupakan salah satu kelebihan program ini kerana kami dapat mencuba dan merasai pengalaman berbeza dengan menyertai pelbagai acara yang dipertandingkan. Secara tidak langsung kemahiran sedia ada oleh para guru pelatih dalam acara yang menjadi kepakaran mereka dapat ditonjolkan dan kemahiran baru dapat dipelajari. Sukantara yang dikelolakan oleh kami telah berlangsung selama dua jam bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari. Acara yang dipertandingkan ialah lari 100 meter,200 meter,lompat jauh dan lontar peluru. Sepanjang tempoh sukantara ini dijalankan, saya dapat perhatikan kerjasama yang diberikan oleh kedua-dua kelas amat membanggakan. Pelaksanaan dan pembahagian tugas yang sistematik, penglibatan individu secara suka rela dalam setiap acara serta pengurusan masa yang terancang sepanjang program dijalankan. Tiada sebarang masalah timbul antara pegawai dan peserta sepanjang acara berlangsung. Hal ini kerana, setiap individu telah menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan kesepakatan yang wujud antara kami untuk mencapai objektif yang sama iaitu

menyempurnakan program tanpa sebarang tekanan. Justeru, bagi saya sesuatu program akan berjalan dengan lancar apabila setiap individu memainkan peranan mereka dengan baik dan memberi kerjasama sepenuhnya. Secara keseluruhannya, tugasan projek ini telah dapat memahirkan saya dan rakanrakan yang lain dengan kemahiran sedia ada dan mengaplikasikan segera kemahiran baru yang telah kami pelajari. Penglibatan saya sepanjang proses program telah banyak membantu saya memahami dan mengaplikasikan kemahiran asas olahraga, sistem kepegawaian dan pengelolaan olahraga yang betul. Selain itu, ia turut memberi kesedaran kepada saya untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan senaman agar tahap kecergasan dapat dipertingkatkan. Justeru itu, saya berharap agar segala yang telah saya pelajari, dapat membantu saya membentuk jati diri saya untuk menjadi seorang guru serba boleh yang berfikiran kreatif, kritis, kritikal dan berdaya saing bagi membimbing serta menjadi contoh kepada anak didik saya kelak. Pastinya, setiap ilmu yang diperoleh akan saya praktikkan pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai