Anda di halaman 1dari 10

Sistem pendidikan di negara kita masa kini telah banyak melalui transformasi

yang memerlukan komitmen guru yang amat tinggi. Perubahan dan pembaharuan
dalam sistem pendidikan dilihat sebagai peluang untuk menguji potensi, kemampuan
dan cara untuk mengoptimumkan pembangunan individu. Mereka perlu sedar akan
kekuatan dan kelemahan diri dan di atas kesedaran itu sanggup meningkatkan
keupayaan diri serta bersedia melakukan perubahan mengikut keperluan. Guru bertaraf
dunia bukan sahaja merancang strategi pengajaran-pembelajarannya dengan teliti dan
sentiasa membuat persediaan untuk membuka peluang kepada pelajar melakukan
penerokaan malah merancang pelbagai laluan pembelajaran dengan kemahiran yang
tinggi.

Cabaran dalam profesion perguruan masa kini memerlukan pengorbanan yang
sangat tinggi. Pekerjaan yang penuh cabaran ini menguji kemampuan dan ketabahan
dalam menguruskan suatu organisasi dengan bijaksana. Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat ( 2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil yang mencabar kemampuan
dan ketabahan seseorang dalam pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Dalam
konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk
melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan dengan
muridnya tetapi juga bersama organisasi dan rakan sekerja yang mempunyai pelbagai
kepakaran. Pengurusan dalam pendidikan mempunyai satu organisasi yang
dibentuk yang mempunyai hala tuju yang mahu dicapai.

Halatuju pula bermaksud penetapan matlamat dan sasaran yang hendak dicapai
dalam sesuatu organisasi. Pendidikan khas perlu mempunyai visi, misi dan objektif
utama dalam mengurus tadbir sesuatu organisasi. Halatuju merangkumi perancangan
pentadbiran, program-program utama, peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam
kaedah pengajaran dan pembelajaran dan membentuk kepakaran yang beretika.

2.0 Cabaran yang dimaksudkan boleh dilihat dalam pelbagai aspek:

2.1 Individu dan keluarga

Dari aspek penglibatan ibu bapa, didapati di Malaysia tahap kesedaran ibu bapa mengenai masa
depan anak-anak yang berkeperluan khas masih berada dalam keadaan yang minima. Hal ini dapat
dilihat dengan jelas di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa yang tinggal di luar bandar. Hal
ini kerana terdapat setengah ibu bapa yang beranggapan anak yang istimewa ini tidak layak dan tidak
berkeupayaan untuk mendapat pendidikan yang seimbang dan sempurna. Disebabkan anggapan
sedemikian maka wujudlah keciciran murid-murid berkeperluan khas daripada alam persekolahan.
Perkara ini terus menyebabkan kanak-kanak istimewa ini tidak mempunyai kemahiran hidup yang baik
dan akhirnya memberi bebanan kembali kepada keluarga masing-masing.

Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang masih kurang sedar mengenai betapa pentingnya
memberi pendidikan atau pun kemahiran mengurus diri kepada anak-anak yang istimewa. Faktor utama
yang menyebabkan perkara ini berlaku disebabkan kurangnya keyakinan akan kebolehan anak-anak
istimewa mereka ini. Sebagai contoh, pengajaran amali kemahiran memasak dan menjahit, mungkin
boleh menyebabkan timbulnya perasaan risau ibu bapa terhadap anak-anak mereka berada di dapur. Hal
ini mungkin disebabkan memikirkan keadaan yang mungkin boleh mengundang bahaya semasa di dapur
dan semasa menggunakan jarum untuk menjahit. Disebabkan sikap yang terlalu obses akan perkara
negatif inilah menyebabkan mengapa kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia agak ketinggalan.
Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang hanya bergantung kepada pihak sekolah semata-
mata sahaja dalam usaha memberi didikan kepada anak mereka terutama dalam aspek pengurusan diri.
Disebabkan itulah terdapat murid-murid yang masih tidak tahu untuk membuang air kecil atau besar di
tempat yang sepatutnya iaitu tandas. Perkara ini sedikit sebanyak agak mengganggu proses
pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Akibatnya guru sendiri terpaksa membantu menguruskan
kanak-kanak tersebut semasa berada di dalam kelas.
Segelintir mereka mengharapkan sesuatu yang mustahil dalam masa yang
singkat. Keenganan ibu bapa memahami perjalanan pengurusan pendidikan khas
menjadikan ianya semakin sukar untuk dilaksanakan. Bagi mereka anak mereka harus
diajar seperti murid aliran perdana yang lain. Keghairahan menjadikan anak mereka
sama dengan rakan sebaya sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada pengurusan
pendidikan khas. Walau bagaimanapun ada sebahagian mereka pula menyerahkan
sepenuhnya anak mereka kepada pihak sekolah.

Mereka mengharapkan sepenuhnya kepada guru pendidikan khas mendidik
anak mereka dalam segala aspek. Kedua-dua situasi ini menjadi satu cabaran yang
besar dalam pendidikan khas. Hal yang demikian kerana tidak ada kesinambungan dan
komitmen daripada pihak ibu bapa terhadap pembelajaran anak mereka di luar waktu
persekolahan. Peranan sesebuah institusi keluarga dan sekolah amat penting dalam
membantu membina kemahiran-kemahiran yang seharusnya dikuasai murid
berdasarkan transformasi dalam pendidikan. Terdapat sebahagian ibu bapa merasa
rendah diri kerana mempunyai anak yang tidak sempurna dan berasa malu pada ahli
keluarga yang lain. Ada sebahagiannya pula mengasingkan diri dari ahli keluarga lain.


Dari aspek individu murid pula adalah berbeza diantara satu sama lain. Menurut
Khairul Yusri (2007), perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan
individu daripada norma kumpulannya sama ada dari segi sifat kognitif, emosi, fizikal,
moral, tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek aspek yang lain mungkin terdapat
sesama individu dalam sesuatu kumpulan. Cabaran utama bagi guru-guru pendidikan
khas bagaimana untuk mendapat kepercayaan dari anak-anak istimewa ini. Bukan
senang untuk berhadapan dengan mereka kerana setiap orang kanak-kanak istimewa
tersebut biasanya mempunyai pelbagai kelainan. Kesediaan anak-anak istimewa ini
memasuki alam persekolahan juga dengan cara yang berbeza. Ini dapat dilihat pada
faktor kematangan dan kesediaan fizikal berhadapan dengan rakan-rakan baru di
sekolah. Besar kemungkinan layanan yang diterima di sekolah tidak sama dengan
dirumah. Setiap hari mereka perlu mengikuti peraturan-peraturan sama seperti rakan
sebaya mereka.

Guru akan menghadapi berbagai bagai gaya dan karenah daripada murid-murid
pendidikan khas ini kerana kebanyakan mereka tidak pernah mengenali alam
persekolahan pada peringkat awal. Mereka mahu dilayan sebagaimana ibu bapa
mereka melayan mereka di rumah. Guru sebagai pengganti ibu bapa perlu peka
kepada keperluan mereka setiap masa. Termasuklah dalam pengurusan emosi dan
amalan berdikari. Cabarannya ialah mungkin apa yang diberi oleh guru tidak sama
dengan apa yang mereka terima dirumah. Sangat sukar bagi guru berhadapan dengan
mereka yang mempunyai kepelbagaian yang pelbagai. Hanya dengan kesabaran dan
keperihatinan serta kemampuan memberikan layanan yang baik dalam pelbagai aspek
mampu meningkatkan kepercayaan murid terhadap guru pendidikan
khas. Kepercayaan dan kasih sayang mereka terhadap guru akan melebihi
kepercayaan dan kasih sayang terhadap ibu bapa mereka sekiranya kita dapat
menyesuaikan diri dengan kepelbagaian mereka.


Cabaran juga dilihat dalam menguruskan murid-murid pendidikan khas yang
berada di dalam kelas inklusif . Kelas inklusif yang berjaya memerlukan
guru biasa dan guru Pendidikan Khas perlu bersikap jujur dan terbuka. Perkara
yang sering diperkatakan ialah layanan yang diberikan terhadap murid pendidikan khas
dan keprihatinan guru dalam membimbing mereka bersama murid biasa. Kita juga
melihat peranan yang perlu dipikul oleh guru pendidikan khas semasa menghantar
murid mereka ke kelas inklusif. Murid inklusif ini mempunyai potensi untuk cemerlang
sama dengan murid biasa tetapi mereka memerlukan lebih bimbingan dan motivasi
yang tinggi untk berdaya saing.


2.2 Sosial dan persekitaran

Sosial dan persekitaran merupakan salah satu aspek penting dalam pengurusan
pendidikan khas. Sikap dan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan murid-
murid pendidikan khas merupakan satu lonjakan ilmu yang perlu diterokai bersama.
Masyarakat mempunyai pelbagai perbezaan gaya hidup dan kepercayaan. Cabaran
yang sangat besar bagi pengurusan pendidikan khas adalah dalam memberikan
kesedaran dan membetulkan tanggapan mengenai pendidikan untuk kanak-kanak
kelainan upaya. Bukan semua daripada mereka mempunyai kemampuan untuk
memenuhi keperluan perbelanjaan sara hidup anak-anak mereka. Malah kebanyakan
kanak-kanak kelainan upaya ini datang dari keluarga yang mempunyai kemampuan
yang tinggi untuk memberikan kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan keperluan.

Kita mengharapkan sokongan dan komitmen dari ahli masyarakat dalam
menangani masalah tingkah laku dan displin serta penderaan kanak-kanak.
Sokongan masyarakat sangat penting bagi meredakan kegundahan hati ibu
bapa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran membesarkan anak-anak
kurang upaya. Ibu bapa sendiri perlu bersikap terbuka bagi menggalakan masyarakat
bersifat penyayang dan prihatin. Hubungan dengan ahli komuniti yang lain perlu
dijaga supaya semua orang sekeliling faham mengenai pengurusan anak-anak
pendidikan khas. Pengurusan pendidikan khas menghadapi cabaran dalam
menerapkan nilai-nilai simpati dan empati dalam kalangan ahli masyarakat atas nama
kesedaran dan tangungjawab. Kegiatan-kegiatan kerja amal dalam masyarakat masih
lagi kurang mendapat sambutan dan penglibatan dalam badan-badan sukarela hanya
dalam kalangan ahli yang terlbat sahaja.

Oleh yang demikian pelbagai kemudahan dalam persekitaran dapat diusahakan
bersama . Namun demikian bukan disemua tempat segala kemudahan itu disediakan
malah ada segelintir yang menyalahgunakannya. Menerapkan kesedaran dalam
kalangan ahli masyarakat mengenai keperluan golongan kelainan upaya bukanlah
sesuatu yang mudah. Lontaran pandangan sinis dan serong terhadap golongan ini
secara negatifnya akan memberi impak kepada pergaulan kanak-kanak kelainan upaya
dalam masyarakat. Kita lihat juga di persekitaran sekolah dimana penerimaan
pentadbiran sekolah dalam membuka ruang kepada murid-murid pendidikan khas.
Pengintegrasian sesuatu program bukanlah sesuatu yang mudah hendak dilaksanakan.
Kesanggupan berkongsi segala kemudahan yang ada dan memberikan keutamaan
kepada murid-murid pendidikan khas merupakan antara sesuatu yang amat sukar
untuk dilakukan.

Kebanyakan sekolah lebih berfokus kepada kecemerlangan dan bukan kepada
kebajikan kerana ianya membawa kepada impak yang lebih besar. Bukan semua
program integrasi mendapat tempat yang selesa dan mempunyai ruang yang cukup
bagi menampung keperluan aktiviti mereka. Pentadbir melihat program pendidkan khas
ini seolah sekadar menumpang disatu sudut yang lain atau menjadi tempelan sahaja
kepada sekolah. Masyaralat sekolah memandang ianya satu program yang bukan
menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan sekolah.

Inilah cabaran yang sangat besar yang perlu dihadapi oleh pengurusan
pendidikan khas. Dalam melaksanakan tugasan hakiki dan berdaya saing
dengan ahli masyarakat sekolah yang lain maka pengurusan pendidikan khas perlu
mempunyai hala tuju supaya program ini akan dipandang sama hebat dengan program
lain. Kerjasama dengan badan-badan atau persatuan yang boleh memperjuangkan
hak-hak kanak-kanak kelainan upaya sangat memberi impak. Kita semua perlu bersatu
menetapkan satu perjuangan yang sama supaya akan timbul kesedaran dalam
kalangan mereka bagi menghargai golongan yang kurang bernasib baik. Jabatan-
jabatan kerajaan turut memainkan peranan membuka ruang dan menjalankan aktiviti
bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial yang perlu
ditunaikan berbanding kepentingan peribadi.

Pelbagai aktiviti dan program perlu dirancang bagi membuktikan bahawa
pengurusan pendidikan khas boleh berdaya saing dan mempunyai matlamat jangka
panjang. Kesedaran dapat dilihat sudah banyak badan-badan sukarela menjalankan
aktiviti-aktiviti bersama dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

2.3 Personel dan Kepakaran
Asas terpenting yang perlu dimiliki dalam sesuatu organisasi pendidikan ialah
personel yang terdapat dalam sesuatu organisasi. Personel inilah yang akan
membentuk dan menggerakkan sesuatu organisasi untuk mencapai matlamat yang
telah ditetapkan. Menurut Greenlaw dan Kohl dalam buku Pengurusan dan Kepimpinan
Pendidikan(zaidatol,2003), pengurusan personel merangkumi semua keputusan yang
berkaitan dengan sesebuah organisasi. Termasuklah aspek motivasi, melatih dan
menyediakan keperluan serta kefungsian personel.

Dalam konteks cabaran dalam pengurusan pendidikan khas, pengurusan
sekolah berusaha membentuk personel seorang guru yang mempunyai nilai-nilai
etika dan kredibiliti sebagai seorang pendidik. Semua peringkat dalam pengurusan
perlu memberikan perhatian dan mengambil berat kebajikan guru dalam memberikan
ruang keselesaan. Pengurusan perlu bijak meletakkan guru di tempat yang betul
dengan minat dan kepakarannya. Kecekapan sesuatu pengurusan dapat dilihat dengan
sumbangan dan kerja buat seorang guru yang mampu melaksanakan tugasan dengan
efisyen.

Tugas seorang guru sebagai pengurus kanak-kanak istimewa ini sangat
mencabar. Sebagai seorang guru, adalah penting
untuk mengetahui dan meneliti pendekatan yang bersesuaian yang dibawa oleh
setiap murid pendidikan khas, bakat serta minat mereka ke dalam situasi pembelajaran.
Sewajarnya guru perlu mengetahui bahawa setiap individu adalah berbeza dari aspek
budaya, latar belakang keluarga, dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak
memberi kesan kepada gaya dan corak pembelajaran mereka. Setelah guru perlu
mampu memahami serta mengenali setiap jenis murid didalam kelas supaya mereka
juga boleh mencapai kejayaan daripada hasil pembelajaran mereka di sekolah.
Cabaran yang paling besar bagi guru pendidikan khas ialah bukan sahaja memberikan
pendidikan malah memastikan mereka juga boleh melakukan amalan berdikari dalam
kehidupan harian mereka. Amat sukar untuk dipastikan sebanyak mana amalan
tersebut dipraktikan di rumah dan mempunyai kesinambungan yang berterusan.

Pengurusan pendidikan khas juga perlu membuat perancangan mengurus bagi
menentukan keperluan dalam sesuatu organisasi. Ini bermaksud mengetahui bilangan
guru yang diperlukan dalam sesuatu organisasi mencukupi dengan keperluan.
Kebanyakan program pendidikan khas sering mengalami kekurangan guru. Tenaga
pengajar yang tidak cukup akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran
murid khas. Oleh yang demikian lahirlah guru-guru yang dilatih secara segera oleh
kementerian termasuklah yang bertukar opsyen. Pengurusan pendidikan khas terpaksa
berhadapan dengan tenaga kerja yang kurang berpengetahuan, kurang kepakaran dan
tidak mempunyai minat dengan pendidikan khas.

Kewibawaan dan kebolehan guru pendidikan khas pula sering dipertikaikan
kerana usaha melahirkan seorang kelainan upaya yang cemerlang sangat sukar
dilakukan. Kecemerlangan mereka dinilai oleh prestasi murid pendidikan khas dalam
akademik. Guru perlu sentiasa mengubahsuai proses pengajaran dan pembelajaran
termasuk kesediaan menggunakan pelbagai alatan pengajaran bagi mencapai objektif
pengajaran. Namun demikian masa untuk menghasilkan seorang insan
yang cemerlang dalam kalangan kelainan upaya memerlukan masa yang amat
panjang. Sikap kebanyakan guru pendidikan khas sendiri yang terlalu mengambil
mudah dan tidak menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan tugas. Alasan
kerana mengajar pendidikan khas bukanlah satu helah yang baik untuk tidak
memberikan kerjasama dalam organisasi sekolah. Inilah satu cabaran dalam
pengurusan pendidikan khas kerana keseluruhan organisasi akan dipandang sepi
kerana sikap beberapa orang guru yang sedemikian.
Begitu sukar meletakan satu-satu kepakaran mengikut minat dan kebolehan guru
dalam pengurusan pentadbiran. Kepakaran itu boleh diperolehi dengan usaha latihan
dan bacaan, kursus, pembelajaran kendiri. Inidividu guru itu sendiri perlu
mengapliksikan kepakaran yang ada bersama organisasi lain atau kepakaran itu tidak
boleh dikongsikan dengan orang lain. Ini satu cabaran yang sukar dihadapi kerana
ianya bergantung kepada minat dan komitmen guru dalam menjana idea dan
perkongsian maklumat. Bekerjasama sebagai satu kumpulan guru-guru biasa dan
guru khas merupakan satu
himpunan kepakaran dan resos yang boleh digunakan untuk memenuhi keperlua
n kepelbagaian murid. Kesepaduan tenaga dan pemikiran tersebut akan
mengurangkan pergantungan kepada pendekatan pengasingan.

Pengurusan pendidikan khas perlu melahirkan personel yang mempunyai
kepakaran dan kualiti kerja yang seimbang dengan penampilan peribadi. Cabaran
memupuk hubungan baik dengan dalam satu organisasi bagi meningkatkan mutu
perkhidmatan dan daya pengeluaran dalam satu kerja berpasukan. Struktur organisasi
perlu membina hubungan baik dan menyediakan latihan bagi meningkatkan semangat
kerja berpasukan dan mempertingkatkan kepakaran personel.

3.0 HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS

Halatuju dalam amalan pendidikan telah jelas dinyatakan dalam Falsafah
Pendidikan Khas iaitu satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang
berkemahiran, berhaluan, berupaya,beriman, berdikari, mampu merancang dan
menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai individu dan ahli
masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Halatuju bermaksud menetapkan sasaran, misi, visi dan objektif
keseluruhan dalam sesuatu organisasi.

Pengurusan pendidikan khas dalam sesuatu organisasi akan berjaya apabila
terdapat komitmen sepenuhnya terhadap kualiti. Pentingnya melaksanakan visi dan
misi haruslah seiring dengan kecemerlangan tindakan. Tribus 1994, dalam buku
Mengurus Kualiti Di Sekolah(2004), mengatakan matlamat hendaklah tetap dan tidak
berubah-berubah setiap hari. Justeru itu hasrat organisasi untuk mempunyai hala tuju
yang betul perlu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan misi pendidikan
untuk berdepan dengan cabaran-cabaran dalam pendidikan. Secara keseluruhannya
perbincangan halatuju dalam konteks pengurusan pendidikan khas merangkumi aspek:

3.1 Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan Khas

Misi Pendidikan Khas menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid
dengan keperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari,berjaya
dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara. Visi
Pendidikan Khas pula bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada mereka
dengan keperluan khas kearah kecemarlangan hidup sejajar dengan hasrat Falsafah
Pendidikan Negara.

Pentadbiran pendidikan khas perlu menyusun atur bidang tugas dengan bijak
supaya tidak berlaku pertindihan tugas yang boleh menjejaskan kualiti guru dan
keseluruhan organisasi. Pembahagian tugas yang adil dan sentiasa memantau
pengurusan kerja serta memberikan khidmat bantu membolehkan seseorang guru itu
menjalankan tugas di atas landasan yang betul. Pentadbiran pendidikan khas
perlu mempunyai acuan yang tersendiri dengan gaya kepimpinan yang berkesan.
Pentadbiran pendidikan khas perlu melihat secara menyeluruh dari aspek pengurusan
kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid, pengurusan kewangan dan pentadbiran.
Tugas-tugas tersebut harus difahami dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai penetapan perancangan
strategik dengan sumber-sumber yang cukup sesuai dengan keupayaan
membangunkan organisasi. Hubngan baik dengan rakan sekerja yang bersedia
menerima kritikan, idea dan mencari jalan penyelesaian masalah.

3.2 Personel Dan Kepakaran

Menurut Atan (1991), guru mempunyai tugas yang mulia dan penting kerana di
tangan gurulah letaknya rakyat pada masa hadapan. Jika tugas guru itu dijalankan
dengan baik, masyarakat beruntung kerana menjadi rakyat yang berguna tetapi jika
berlaku sebaliknya, masyarakat akan menanggung kerugian yang besar. Sebagai
seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan
amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi
dewasa kelak. Mereka perlu diberi ruang menjalani kehidupan yang bermakna dan
mampu menjalani hidup berdikari dalam masyarakat.

Pendidikan Khas adalah pengajaran yang direka bagi memenuhi keperluan
pendidikan murid dengan keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara tersendiri,
dilaksanakan secara teratur serta dinilai keberkesanannya secara teliti bagi membantu
murid dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari tinggi dan kejayaan hidup
memuaskan.Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik
murid kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu
pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap setiap daripada
mereka memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

Pentadbir pendidikan khas perlu merupakan seorang yang menjadi pakar rujuk
dalam segala aspek. Pengetahuan dan pengalaman adalah gabungan yang boleh
memimpin guru-guru lain. Halatuju yang cemerlang memerlukan guru yang mempunyai
keperibadian yang unggul, bersikap positif, memiliki ketrampilan pengetahuan dan
kemahiran dan beretika. Guru perlu berusaha meningkatkan profesionalisme keguruan
supaya kewibaan dan kebolehan mengendalikan murid-murid pendidikan khas tidak
boleh dipertikaikan. Justeru itu keupayaan berkomunikasi dan berkolaborasi dengan
semua pihak membawa kepada satu budaya kerja cemerlang dan berkualiti.

Guru pendidkan seharunya berani membuat anjakan minda dan sentiasa
membuat pelabagai inovasi dalam pengajaran sebagai tuntutan atas satu usaha yang
bersungguh-sungguh. Kepakaran yang dimiliki menjadi amalan dalam pengajaran dan
pembelajaran yang membawa kepada kecemerlangan dalam pendidikan khas.
Perkongsian ilmu dapat meningkatkan prestasi kerja dan memperbaiki kelemahan diri.
Mohd Taib Hj Dora, 2005 dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan
Profesioanal(2010), mengatakan seorang guru itu perlu pakar dalam ilmu pengetahuan
dan berkualiti untuk meningkatkan profesion perguruan.

Guru pendidikan khas perlu mempunyai pengurusan emosi dan spiritual yang
tinggi supaya dapat mengekalkan kualiti dalam perkhidmatan. Ketrampilan
diri hendaklah seiring dengan kepercayaan pada diri sendiri dan berteraskan iman
yang kuat agar tidak kecundang dengan tewas dengan tanggapan negatif pihak lain.
Halatuju guru dalam merealisasikan misi Kementerian Pendidikan, khasnya
meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf
professional melalui latihan dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan
secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu
dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan
kemahiran yang terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran dengan berkesan.
Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan profesionalisme. Guru
harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang
akan mencapai wawasan negara. Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek
pendidikan perlu dikemaskini setiap masa. Disamping itu berusaha mengaplikasi
kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru pendidikan khas perlu
menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh
pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi
bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks ini. Selain itu juga seorang guru
perlulah berpengetahuan, berdaya fikir dan berakhlak mulia. Guru yang
berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan
ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian.

Guru-guru yang terlibat dalam kelas inklusif hendaklah bersedia untuk
menghadapi sebarang rintangan dan halangan yang mendatang. Mereka juga perlu
belajar untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali
daripada yang dirancangkan. Disamping itu juga guru kelas biasa dan guru kelas
Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak berpendidikan khas
yang mempunyai berbagai-bagai perbezaan individu. Kedua-dua guru kelas biasa
dan guru khas perlu bersedia untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang
dipersetujui serta berkesanggupan untuk merancang dan bekerjasama dalam semua
aspek aktiviti dan isu. Penting sekali adalah kita tidak boleh
mengenepikan, mengabaikan atau mengecilkan pendidikan kanak-
kanak bekeperluan khas ini. Isu isu pengasingan dan pelabelan membangkitkan
semangat dan kekuatan untuk bangun berdaya saing.

Murid-murid pendidikan sudah boleh berada dalam kelompok murid-murid biasa dan
menjalankan aktiviti kurikulum serta kokurikulum bersama. Program inklusif banyak
membantu menjadikan mereka berdaya saing dan berketrampilan setanding dengan
rakan sebaya. Justeru itu program inklusif perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya
supaya murid-murid pendidikan khas boleh berpeluang membuktikan keupayaan
mereka dalam bidang akademik. Guru pendidikan khas harus berusaha
dan menunjukkan kepakaran dalam pelbagai bidang supaya kebolehan dan kepakaran
itu tidak boleh dipertikaikan. Kajian Haniz Ibrahim (1998) mendapati bahawa guru aliran
perdana sekolah rendah dan menengah bersikap negatif terhadap pendidikan inklusif.
Penerimaan guru aliran perdana terhadap murid yang belum didiagnosis lebih positif
berbanding murid yang sudah dilabel dengan sesuatu masalah.



3.3 Peranan Ibu bapa dan Masyarakat


Kita melihat perkembangan program pendidikan khas masa kini semakin
diterima dengan baik. Sambutan dari pihak ibu bapa sangat menggalakan demi
kesedaran dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak istimewa. Akta
pendidikan wajib telah memperlihatkan kedudukan kanak-kanak kelainan upaya juga
berhak diberi pendidikan yang selayaknya seperti kanak-kanak yang seusia
mereka. Bukan mudah bagi pihak ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada orang
tidak mereka kenali. Guru sentiasa perlu bersedia memberikan harapan dan
menunjukkan kecekapan mereka agar kewibawaan mereka dalam mendidik anak-anak
kelainan upaya tidak dipandang remeh.

Pihak pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hubungan baik dengan ibu
bapa dan sentiasa berkolaborasi demi kejayaan anak-anak pendidikan khas.
Keberkesanan dan pemantapan program sangat memerlukan sokongan daripada
institusi keluarga dan masyarakat. Pendapat Sharifah Alwiyah Al Sagoff, 1985 dalam
buku Kepimpinan Pendidikan di Malaysia92005), mengatakan sekolah dan keluarga
perlu mempunyai aspirasi , nilai dan sikap yang ada kesinambungan antara sekolah
dan rumah. Hal ini akan mengeratkan hubungan baik dua pihak dalam mencapai visi
pengurusan pendidikan khas. Ibu bapa dan masyarakat juga akan menjadi role model
kepada ibu bapa lain dan anak-anak pendidikan khas. Kesediaan ibu bapa dan
masyarakat memberi sokongan dalam program-program anjuran sekolah dan
penglibatan dalam majlis ilmu seperti seminar ke ibu bapaan membawa kepada hala
tuju yang sama.

Kerjasama dengan badan-badan sukarela dan NGO akan membuka ruang dan
pemikiran yang lebih luas dan terbuka. Disinilah tempat yang paling sesuai untuk
mereka bertukar-tukar pendapat, menjana idea dan memberikan kritikan membina
dalam usaha memahami keperluan pendidikan masa kini. Kesedaran dalam kalangan
mereka merupakan satu sokongan dan berfungsi sebagai penyumbang dalam
kemajuan pendidikan. Persepsi ibu bapa dan masyarakat terhadap pengurusan sekolah
perlu berubah mengikut keperluan semasa tanpa menyalahkan mana-mana pihak.


4.0 Rumusan

Kesimpulannya cabaran dan halatuju pengurusan pendidikan khas perlu
seiring. Isu-isu yang dihadapi bukanlah satu halangan dalam mentadbir sesuatu
program. Semua pihak perlu bekejasama dan berganding bahu supaya murid-murid
pendidikan khas mendapat peluang dan hak yang sama dalam pendidikan. Kecekapan
pengurusan sangat bergantung kepada kebijaksanaan mellaksanakan hal-hal yang
berkaitan dengan komunikasi dua hala. Pihak-pihak yang terlibat secara langsung
seharusnya diberi pendedahan yang sebaiknya mengenai pengurusan dan pentadbiran
pendidikan khas. Dengan adanya kerjasama dan hubungan baik, maka kecemerlangan
murid-murid pendidikan khas sudah pasti dapat ditingkatkan. Pendidkan Khas juga
mempunyai murid yang mempunyai matlamat mencapai kehidupan bermakna dan
berketrampilan dengan didikan golongan guru yang inovatif dan kreatif. Berikan ruang
kepada mereka untuk menjadi rakyat yang berpendidikan selari dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

Anda mungkin juga menyukai