Anda di halaman 1dari 4

Tajuk : Ucapan Hari Guru

Burung berkicau di pohon bidara;


Berlagu riang gadis di taman;
Kata mulia pembuka bicara;
Salam sejahtera saya ucapkan.
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Yang
Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, Guru-Guru Penolong
Kanan, Ketua-Ketua Bidang, guru-guru dan pelajar-pelajar yang dihormati dan disayangi.
Pertamanya, marilah kita sama-sama memanjat rasa kesyukuran kita kepada Allah kerana
dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul di dewan besar yang indah ini. Saya juga ingin
mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis
yang penuh bersejarah ini.
Warga sekolah yang saya kasihi,
16 Mei merupakan tarikh keramat buat warga pendidik. Pelbagai tema diilhamkan.
Tahun ini temanya ialah Guru Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak' amat bertepatan
dengan suasana dan cabaran masa kini serta sejajar dengan misi kenabian Rasulullah S.A.W.
seperti mana sabda baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Sesungguhnya aku
diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sehubungan ini, guru memainkan
peranan penting untuk menyempurnakan akhlak murid serta membentuk insan seimbang dan
berperibadi unggul.
Sekiranya kita melihat sejarah persekolahan kita iaitu ketika masa prasekolah, kita tidak
tahu membaca dan menulis. Kini kemahiran membaca dan menulis telah kita kuasa. Siapakah
insan yang berhati mulia itu yang banyak membantu dan memberikan didikan yang sempurna
untuk pelajarnya? Maka gurulah orangnya yang bertanggungjawab memikul beban dan amanah
untuk kejayaan pelajarnya. Pepatah melayu ada menyebut bahawa guru ibarat lilin membakar
dirinya untuk menerangi yang lain. Pada umumnya, sukar untuk dibalas jasa guru ini walaupun
keluasan alam ini dijadikan penggantinya. Dengan ini terbukti dan memang tidak dapat
dinafikan lagi bahawa sumbangan dan jasa guru tidak ternilai.

Hadirin sekalian,
Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara
ke arah Wawasan 2020. Selain itu, bagi guru, mereka tidak ada perkataan jemu dan menyerah
kalah dalam kamus hidup guru yang berkualiti.

Di samping itu, guru juga menjadi wadah

penyemai perpaduan. Para guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa
generasi muda. Kemahiran dan kecekapan yang ada pada guru ketika memberikan motivasi
dan teknik belajar yang berkesan amat tinggi nilainya. Pendek kata, guru akan terus menabur
bakti walaupun dibebankan dengan tugasan yang semakin berat dan mencabar.
Bersempena dengan Hari Guru yang bersejarah ini, saya mewakili semua pelajar
SMK(A) Lati ingin merakamkan setinggi tinggi penghargaan kepada semua guru yang telah
bertungkus lumus mendidik dan mengajar kami agar menjadi manusia yang berguna kepada
agama, bangsa dan tanah air serta membimbing kami ke jalan yang benar daripada kami
terjerumus ke lembah yang hina. Semoga Allah S.W.T.akan membalas segala jasa guru-guru
terhadap kami.
Harapan saya kepada rakan-rakan dan adik-adik sekalian, hormatilah dan dengarlah
nasihat nasihat daripada guru agar kita akan terus berjaya. Hargailah jasa dan sumbangan guru
dengan menghadiahkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Warga guru yang diraikan,
Akhir sekali,saya mewakili semua pelajar SMKA Lati mengucapkan selamat hari guru
untuk semua warga pendidik yang kami cintai. Kami juga ingin menyusun sepuluh jari
memohon kemaafan sekiranya terdapat kesalahan yang telah kami lakukan sepanjang cikgu
mengajar. Segala nasihat dan teguran yang diberikan para guru akan kami sematkan dalam
sanubari. Jasa guru terhadap kami tidak akan kami lupakan selagi hayat dikandung badan.
Kami juga berharap agar guru-guru yang disayangi akan sentiasa mendoakan kejayaan kami
pada masa hadapan. Saya mengakhiri ucapan ini dengan serangkap pantun :

Kalau ada jarum yang patah,


Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati;
Selamat hari guru. Sekian. Wabillahi taufiq walhidayah assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

Rujukan
Al-Quran al-Karim
Noresah Baharom Et Al. (Ed). (2000). Kamus Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa Dan Pustaka.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu 2. Shah Alam : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Nik Safiah Karim. 1989. Laras Bahasa. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
Syafawani Jamil.2012. http://teachersyafa.blogspot.com/2012/08/pengucapan-awam.html.
Pengucapan Awam.Diakses pada 7 Ogos 2015.

Anda mungkin juga menyukai