Anda di halaman 1dari 9

Beruk!

Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan
masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat
suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti
berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.

Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang
lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku
paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati
murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa
menentangnya.

Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-
pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang
basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid
yang datang lambat itu dengan bengis.

Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian


melangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti
akan menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga
yang Alias akan menerima habuan. Begitu selalunya.

“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk


ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam.
Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang.
Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan
dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.

Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan
bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.

“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis
soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid  yang
bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju
tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam.
Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.

Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk
dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah
empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu
Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya
menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki
seluarnya yang lusuh itu.

“Kenapa kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias


tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya,
dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan
kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh
atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.

“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan
hampir-hampir memekik.

Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah
sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia
sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor
beruk.

“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan
pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau
datang lambat?”

Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab,


“Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.

“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya
keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.

“Saya cari, cikgu!”.


“Dah jumpa?”.

Alias angguk. Tersenyum.

“Sebab itu kau datang lambat?”

Angguk juga.

”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun
macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.

“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias
dengan jujur.

Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan
hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai
seekor semut.

“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya
bersinar-sinar.

“Tidak cikgu, saya…”

“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu


penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang.
Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya
berdengung. Mukanya merah.

Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan


diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.

“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi
beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang
lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling
melihat Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa
yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung
mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air
yang bertakung.

Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas
desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah
berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan
kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya
terhadap Alias.

Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi
undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah
ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang
menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu
bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia
berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar
semula hingga tamat. Dia menyesal.

Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas
bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke
rumah Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak
memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.

  
Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong
sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan  lorong itu banyak
pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-
lalang.

Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala


terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak
datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak
datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya
kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga
Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah
parit yang selebar tiga meter.

Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja.
Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu
menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi
berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan
mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak
dapat turun.

Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya


kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya
yang ganas itu.

“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.

 
“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik
buah kelapa di hujung kampung”.

“Dia panjat pokok kelapa?”

“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik


lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat
buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang
boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung
jantan.

“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.

 
“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.
 
Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk.
Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.

“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.

“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.

Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia


termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu.
Alias membimbit dua biji kelapa.

“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang
tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan
anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak
terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,”
kata orang tua itu dengan sedih.

Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika


apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak
percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar,
segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya
diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia
senyum girang. Bersalam tangan.

Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh


bunyinya, kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu
belum pernah dilihatnya.

“Dia lama cikgu sampai ?” tanya Alias.

 
“Baru sekejap,” jawab Cikgu Sunan.   
Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang
ditinggalkan oleh Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat
dengan suara garang. Alias menempik beberapa kali supaya diam, tapi
beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru kepada
tuannya.

Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan
bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.

 
“Dekat sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.

Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya


semasa sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang
menyayanginya. Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.

“Senget sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias


menyengetkan kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan
menekannya sedikit untuk memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi
dengan tiba-tiba beruk yang sedang marah-marah dan melompat-lompat
di halaman tadi, melompat naik lalu menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk
itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.

 
Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut.
Suasana menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya
beruk berlalu. Tapi tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk
itu terus menyerang Cikgu Sunan. Demi untuk  menyelamatkan Cikgu
Sunan, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk
menghimpun buah-buah kelapa, lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia
meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh
menyelamatkan gurunya.
Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai.
Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya
memandang kepada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu
tergenang air jernih.

 
Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan
menahan darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar
di lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak
lembing tadi.

Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya


bagai satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu
tafsiran yang asing.

 
Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air
matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk
kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya.
Ibu tua itu tetap membisu. Dia tersedu-sedu.

“Terima kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata.
Darah di lengannya masih juga keluar.

“Cikgu sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.

“Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan,
lalu turun dari rumah itu.

“Cikgu…”

“saya minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga
bawah.

“Tak apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”


Alias duduk. Kaku. Sedih.

“Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi
nasihat.

“Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.

“Kenapa?”

“Beruk… Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”

Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias


benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada
Alias merupakan tali perhubungan nyawanya selama ini. 

Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku
di ambang pintu lebih pilu lagi.
Azizi Hj Abdullah
Dewan Bahasa, Disember 1970

Anda mungkin juga menyukai