Anda di halaman 1dari 10

Cerpen : Kasih Yang Tak Bertepian

TAJUK : KASIH YANG TAK BERTEPIAN

            Hujan lebat diselang seli dengan bunyi guruh, langsung tidak menganggu
tumpuan Azri. Dia tekun mengulang kaji pelajaran. Buku pelbagai tajuk di depannya.
Pen, pensel dan pemadam bersepah dibiarkan sahaja. Masa itu emas. Tak
menunggu kita. Tak sempat dia nak mengemaskan keadaan meja yang bersepah
itu. Baginya, masa terlalu suntuk untuknya. Masih banyak yang dia tak ulang kaji
lagi. Tarikh peperiksaan semakin hampir.
            Azri tidak boleh menyalahkan sesiapa atas kelewatannya itu. Dia sedar, dia
sendiri yang bersalah. Bukan ibunya, kakak atau adiknya juga bukan guru-guru
sekolahnya. Cuma dia yang mencari masalah, dia yang khilaf sendiri. Ikutkan sangat
kata hati dan ajakan kawan-kawan. Lagilah, darah muda. Semua yang susah, tak
payah buat. Tinggalkan sahaja. Padahnya sekarang, dia bermula dari kosong. Nasib
baik otaknya tajam, senang nak faham. Tak ketinggalan dorongan dan nasihat
daripada keluarganya, terutama ibunya. Menemaninya mengulang kaji pelajaran
sehingga awal pagi.
 ‘Kasihan emak,’ terus dia menoleh memandang ke arah ibunya yang tidur
beralaskan tikar getah.
            Apa nak disesalkan lagi. Dia kena tanggung sendiri. Awal tahun, dia sering
ponteng sekolah, ponteng kelas, membuli pelajar, tidak menyiapkan kerja sekolah
dan menganggu pelajar lain terutamanya pelajar perempuan dan pelajar menengah
rendah. Setiap minggu, namanya sahaja yang menduduki carta teratas pelajar yang
kena denda, yang sering menghadap pengetua dan guru disiplin. Muka dialah juga
yang selalu dipanggil oleh kaunselor sekolah. Makin lama, semakin lali pula dia,
langsung tak makan saman.
            Dia dah tak hairan jika didenda, dirotan atau digantung sekolah. Dia dah lalui
itu semua. Sudah tidak hairan lagi. Pelajar tempatnya bersekolah itu juga sudah
dapat mengagak  jika guru disiplin berdiri di depan perhimpunan. Dia orang pertama
yang dipanggil!  Sampai ada yang menggelarnya ‘raja.’
            Tanya sahaja nama Azri, semua orang akan mencebikkan bibir memandang
sinis. Kepala digelengkan. Itu di sekolah. Lain pula di kampungnya. Wajahnya tak
pernah menjejak tangga surau lagi. Ada tak ada pun, adalah juga dia ke masjid.
Itupun untuk menunaikan solat Jumaat. Jika tidak, jangan harap dia berlembut hati
pergi ke masjid atau surau. Orang kampung juga seperti sudah tidak menasihatinya.
Nakalnya dia masa itu, masyaallah…..
            Dalam keluarganya, dia merupakan anak sulung lelaki dan anak kedua. Dia
mempunyai seorang kakak, seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Hanya
dia yang tinggal di kampung bersama-sama dengan nenek dan emaknya. Adik-
beradiknya yang lain tinggal di asrama. Kakaknya merupakan pelejar semester akhir
A Level. Adik lelakinya belajar di Sekolah Menengah Sains Banting dan adik
perempuannya pula bersekolah di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh.       
Dia seorang duduk di kampung. Itu pilihannya dahulu. Dia menolak tawaran
belajar di Yayasan Selangor dan tawaran ke Sekolah Seni Malaysia. Dia bukannya
tidak pandai. Dalam peperiksaan UPSR, dia mendapat 4A 1B sementara dalam
PMR dia mendapat 4A dan 4B. Dia  meneruskan pelajarannya di kampung, ke
sekolah harian biasa. Alasannya, dia ingin menjaga ibu dan neneknya di kampung.
Padahal, semuanya tidak berlaku.
Masanya dihabiskan bersama-sama kawan, melepak di surau atau padang
futsal. Bukan untuk tujuan bersolat berjemaah tetapi sebagai tempat lepak sahaja.
Tiada yang menegur perbuatan dia dan kawan-kawannya. Makan dan minum, dia
langsung tak kisah. Tak ada duit untuk membeli makanan atau apa sahaja yang
diingini, rembat sahaja pisang, kelapa atau kelapa sawit orang kampung. Jika tidak
pun, curi sahaja ayam kampung atau telur itik orang kampungnya.
Tak serik-serik dia dimarahi atau dinasihati. Cuma dia sahaja tidak mahu
mendengar. Seakan-akan ada kuali tebal di telinganya yang menghalang nasihat
dan teguran orang kampung itu masuk ke dalam otak. Teguran ibu dan neneknya
juga dipandang sepi. Selalu sahaja dia melarikan diri daripada berjumpa dengan
mereka.
Pergi ke sekolah, ikut kata hatinya. Kalau tergerak nak datang, dia pergilah.
Jika tidak, melepaklah dia sepanjang hari bersama-sama dengan rakan-rakan
sebaya yang tidak bersekolah.
Telinganya sudah lali dengan suara-suara yang menyindir dan memarahinya.
Dia budak jahatlah, anak derhakalah, anak kurang kasih sayanglah dan macam-
macam lagi. Dia dah biasa dengar. Memang tebal betullah telinganya dan dah keras
betullah hatinya. Tak lut oleh sebarang sindiran dan ocehan orang. Bagi Azri,
apabila mereka sudah penat nanti, berhentilah mereka bercakap tentang dirinya.
Itu dahulu. Kini semuanya dia dah tinggal di belakang, sudah menjadi sejarah
bagi dirinya. Dalam hatinya, dah disimpan dalam peti besi yang kuncinya dah hilang.
Tak boleh dibuka lagi. Zaman dia tidak bertamadun dan jahiliah.
Semuanya berubah dek satu peristiwa yang terjadi kepada dirinya. Dia masih
ingat lagi akan peristiwa itu. Peristiwa yang berlaku sebulan yang lepas. Hari
kejadian peristiwa itu ialah hari Ahad.  Petang Ahad sebenarnya. Waktu itu hujan
rebut melanda kampungnya. Sebelum hujan, dia melepak di rumah kawannya;  Abu.
Mereka menonton perlawanan bola sepak. Entah bagaimana, hatinya tak tenteram.
Gelisah. Ini membuatkan dia tak senang duduk.
Apabila azan Zuhur berkumdang dari surau kampungnya, dia beredar balik ke
rumah. Panggilan rakan-rakannya tak diendahkan. Dia terasa semacam sahaja,
entah mengapa dia tak tahu. Apa yang hatinya ingini  ialah dia nak balik ke rumah.
Dua hari dia tak balik rumah.
Semasa menunggang motosikal, hujan mulai turun dan semakin lama
menjadi lebat disusuli angin kencang, kilat dan guruh. Walaupun baru pukul 3
petang tetapi  sudah seperti malam, petang itu. Kebetulan dia tidak membawa baju
hujan. Ini membuatkan dia berhenti berteduh di pondok perhentian bas di simpang
empat jalan menuju ke rumahnya. Dia memerhatikan kawasan di sekelilingnya. Di
simpang di depannya,  dia ternampak seorang mak cik penjual kuih sedang
memegang payung sementara kaki wanita itu terbuka sedikit seolah-olah menahan
kaki payung daripada diterbangkan oleh angin kencang. Kasihannya….
Tangan kanan mak cik itu seperti kelam-kabut menutup bekas plastik di atas
meja. Nampak sangat payung tersebut tak dapat melindungi tubuh wanita tua itu
daripada terkena hujan. Habis basah kuyup.
Tanpa di sangka-sangka, angin tiba-tiba bertiup kencang dan menerbangkan
payung yang dipegang oleh mak cik penjual kuih itu. Meja pula jatuh telungkup ke
bawah menimpa tubuh penjual kuih itu. Dia yang ralit memerhatikan perbuatan mak
cik penjual kuih itu.  pantas berlari ingin menolong. Entah bagaimana hatinya terdetik
untuk bangun dan berlari ingin menolong. Selalunya, dia biarkan sahaja apa-apa
sahaja perbuatan yang dianggap merugikannya walaupun sesuatu kejadian buruk itu
berlaku di depan matanya. Kali ini, spontan sahaja dia berlari menyeberangi jalan.
“Mak cik, mak cik…mak cik ok tak?” Azri mengangkat meja yang menimpa
tubuh penjual kuih itu.
Tiada jawapan daripada mulut perempuan tua itu. Azri mendongakkan
kepalanya. Zupp!.........Dia tergamam. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Mereka
bertentangan mata dalam deraian air hujan yang menggila lebatnya. Bunyi
dentuman guruh dan kilat sambar menyambar langsung tak disedari.
Seraut wajah yang dibasahi air hujan memandangnya sayu. Dia sendiri pun
tak pasti sama ada air yang mengalir itu air hujan atau air mata perempuan itu. Air
matanya sendiri mengalir tanpa dipinta, tanpa dapat ditahan. Laju melawan
kederasan air hujan yang menimpa pipinya.
Memang terasa air matanya laju mengalir membasahi pipi. Rasa kesal, rasa
sedih tak dapat nak diungkapkan dengan kata-kata.
“Emak….” Amat payah dia mengeluarkan sepatah kata itu. Lidahnya kelu
tiba-tiba.
“Azri……”
“Maafkan Azri, emak. Maafkan Azri….” Tubuh tua ibunya dipeluk erat. Tubuh
yang disangka perempuan tua penjual kuih. Langsung tak disangka, itulah tubuh
ibunya. Tubuh orang yang mengandungkannya selama sembilan bulan dan tubuh
orang yang menjaganya selama ini. Tubuh yang sudah dua hari tak dilihatnya.
‘Ya, Allah, hinanya aku sebagai seorang anak tak mengenali emak sendiri! 
Hinanya aku tak menghiraukan emak sendiri selama ini! Hinanya aku tak menolong
emak bekerja!!! Alahuakhbar!” Hatinya merintih sayu. Tubuh ibunya masih dalam
pelukannya. Air mata dah tak perlu nak diungkapkan bagaimana jadinya petang itu.
Lebat turunnya membasahi pipi selebat air hujan yang turun membasahi bumi.
“Emak, maafkan Azri…”
“Azri, kita balik dahulu, ya nak? Hujan ni. Nanti Azmi sakit. Jom..”
‘Oh, Tuhan!  Murninya hati seorang ibu yang masih tetap mengutamakan
kesihatan seorang anak walaupun ibunya itu baru ditimpa kecelakaan. Apatah lagi,
dia anak yang tak menghiraukan seorang ibu selama ini!
“Maafkan Azri…” Rintihnya sayu. Air mata menitis laju. Langsung tak
dihiraukan, biarkanlah……Biarkanlah jika ada orang yang nampak keadaannya
ketika itu.
“Sudahlah, mari kita balik. Jom…..”
“Maafkan Azri, emak..”
“Azri, emak sentiasa memaafkan anak-anak emak termasuklah Azri. Emak
sentiasa menunggu Azri balik, balik semula menjadi anak emak. Anak lelaki emak
yang sulung.”
“Emak….”
“Jom kita balik, hujan lebat ni. Tolong emak berdiri. Kaki emak sakit sikit ni.
Tak sangka meja plastik tu berat.”
Azri berdiri dan perlahan-lahan membantu ibunya berdiri.
“Kaki emak sakit…tolong papah emak ke pondok bas tu. Nak balik, hujan
masih lebat.” Azri memandang wajah ibunya yang sedang tersenyum. Jelas
senyuman ibunya walaupun dibasahi oleh air hujan. Spontan dia menguncup pipi
ibunya.
Terasa seperti ada kuasa mengalir ke tubuhnya. Senyuman ibunya seperti
memberikan kuasa luar biasa kepadanya untuk menolong ibunya itu. Azri memaut
tubuh ibunya itu.
“Jom kita balik emak?”
“Kita berteduh dahulu. Lagipun kaki emak sakit, terseliuh agaknya.”
“Tak apa, biar Azri dukung emak balik. Kita tak boleh diamkan kaki emak.
Kaki tu kena rawat cepat, takut melarat nanti. Lagipun, hujan macam semakin lebat.”
Suaranya juga perlahan. Rasa sedih dan rasa kesal masih menguasai dirinya.
“Azri, boleh ke nak dukung emak?”
“Insyaalah, emak.” Azri membongkokkan badannya. Setelah pasti ibunya
berpaut pada tubuhnya, perlahan-lahan dia melangkah balik ke rumah. Hujan masih
lebat tetapi lagi lebat air matanya mengalir di pipi. Semasa kecil, ibunya selalu
mendukungnya ke mana-mana ibunya itu pergi. Ini baru sekali dia mendukung
ibunya. Tak terbalas rasanya jasa ibunya itu.
Azri melangkah gagah pulang ke rumah. Tak terasa langsung berat tubuh
ibunya di belakang. Terasa lagi berat dosanya terhadap ibunya itu. Dosa nakalnya
semalam dan dahulu. Masih adakah lagi kemaafan atas dosa-dosanya itu?
Dia langsung tak perasan, perempuan tua penjual kuih di simpang empat
selama ini ialah ibunya. Sering dia berulang alik melalui simpang empat itu. Simpang
empat utama di kampungnya. Memang dia tahu ada seorang perempuan tua
menjual kuih di simpang itu. Tapi matanya dah dibutakannya sendiri untuk melihat
itu ialah ibunya.
Banyaknya perkara yang dia tak tahu. Banyaknya perkara yang dia tak ambil
kisah. Rasa sesal datang menimpa-nimpa. Rasa sedih tak tertanggung rasanya.
‘Oh, Tuhan…maafkan aku. Berilah aku kekuatan untuk aku kembali menjadi
anak emak. Oh Tuhan, aku memohon belas ihsan-Mu. Berikanlah aku peluang untuk
berubah, menjadi anak emak yang dibanggakan, anak emak seperti yang emak
harapkan, keluargaku harapkan. Maafkanlah segala kekhilafanku selama ini.’
Perlahan-lahan dia mengesat air mata di pipinya dengan bahu.
Tergambar pada fikirannya, wajah-wajah ahli keluarganya. Wajah ibu, wajah
nenek, wajah kakak dan wajah adik-adiknya. Wajah-wajah yang sentiasa
menasihatnya. Juga wajah-wajah guru dan orang kampung. Banyaknya kesalahan
yang dilakukannya. Mampukan dia berubah? Diterimakah penghijrahannya nanti?
Mahukan mereka semua memaafkannya? Sepanjang perjalanan, pelbagai
persoalan tanpa jawapan mengiringinya pulang.
Pulang dia sebagai Azri Azfar bin Mohd. Azfar yang baharu.
“Allahuakhbar…alhamdulillah…’Terdengar perlahan suara ibunya di
belakang.
“Ibu, tahan tak sakit tu?” Azri menaikkan tubuh ibunya.
“Emak tak apa-apa. Takut Azri pula yang tak larat dukung emak balik ni?”
Kasih seorang ibu memang  kasih yang sejati. Kasih orang yang melahirkannya.
Kasih yang tak ada tolok bandingnya. Hanya ada seorang ibu di dunia ini. Tak ada
dua dan tak akan ada gantinya. Dia yang lupa akan ibunya itu. Memang dia anak
yang tak berguna!
“Insyaallah, emak. Maafkan Azri ya? Azri langsung tak hiraukan emak selama
ini. Azri biarkan emak sendiri,  Azri lupa janji Azri nak jaga emak. Nak jaga nenek.
Azri minta maaf.” Air mata mengalir tanpa dapat ditahan. Tersedu-sedu sepanjang
perjalanan balik.
“Azri, sudahlah, Emak dah maafkan semuanya. Emak nak, Azri berubah
selepas ini,  ya nak?”
Kepala spontan dianggukkan.
“Emak dah tua, tak tahu masa bila dijemput Tuhan. Tetapi Azri muda lagi,
masih banyak lagi yang Azri boleh buat untuk baiki diri. Emak harap, berubahlah
Azri. Nenek, kakak, adik-adik tunggu Azri. Kami semua sayang  Azri. Ganti arwah
ayah, ya…” Suara ibunya semakin perlahan.
Terasa pautan tangan ibunya erat. Terasa seperti memberinya semangat.
Semangat untuk berubah, berubah untuk menjadi anak yang baik. Alangkah
berdosanya dia tak mendengar kata-kata ibunya selama ini. Terasa diri menjadi
anak yang tak berguna. Abang  dan adik yang tak ingat keluarga, jadi cucu yang
melupainya neneknya.
“Azri, tanpa ayah bukan bermakna Azri tiada dia langsung di sisi Azri. Arwah
ayah sentiasa ada untuk mendoakan kita semua. Malah kalau Azri fikirkan, arwah
ada dalam diri Azri. Sentiasa ada melihat kita. Cuma arwah ayah sudah di dunia lain.
Dunia yang kekal abadi. Emak bukan nak menakutkan Azri tetapi sekarang Azrilah
yang menjadi ketua keluarga kita. Menggantikan arwah.  Azri anak lelaki sulung,
anak yang emak harapkan untuk menjaga kami semua. Emak harap Azri akan
berubah.” Suara ibu walaupun perlahan tetapi terasa kuat menerpa gegendang
telinganya.
“Insyaalah, emak. Emak doakan ya?”
“Alhamdulillah. Emak akan sentiasa mendoakan Azri. Emak doakan Azri
sihat, selamat, murah rezeki, berjaya dalam pelajaran dan menjadi anak yang soleh.
Jadi insan yang beragama. Hidup kita tak mewah, sederhana. Sebab itu, emak nak
Azri berubah. Tak nak menjadi miskin. Sudahlah miskin harta, miskin ilmu juga.”
Terasa bahunya seperti ditepuk perlahan.
“Insyaallah, emak. Azri cuba yang terbaik. Doa emak menjadikan Azri
bersemangat untuk berubah.” Tekadnya jitu.
“Alhamdulillah. Hem, tengok depan tu? Macam ramai sahaja yang menunggu
kita pulang?”
Azri mendongakkan kepala. Kelihatan nenek, kakak dan adik-adiknya
melambai-lambaikan tangan kepada mereka. Senyuman pada wajah mereka begitu
membuatkan dia semakin cepat melangkah ke hadapan. Dia tak akan menoleh ke
belakang lagi. Dia akan tinggalkan dirinya dahulu di belakang.
Mulai hari itu, dia banyak menghabiskan masa di rumah dan di sekolah. Tidak
ketinggalan juga dia membantu ibunya berniaga kuih. Dia menghantar kuih-muih ke
kedai di kampungnya dan di pekan Sabak Bernam.
Langkah pertama yang dibuatnya selepas dia insaf segala perbuatannya
adalah dengan memohon maaf kepada semua orang yang pernah dia buat salah.
Petang kejadian yang menimpa ibunya itu, terus dia memohon maaf daripada
keluarganya dan orang kampung. Tangisan kegembiraan ibu, nenek dan adik-
beradiknya petang itu membuatkan dia bersemangat untuk berubah.
 Tak cukup dengan itu, dia membuat kejutan di sekolah. Dia tampil dalam
perhimpunan rasmi sekolahnya memohon maaf segala perbuatan salah lakunya.
Sepanjang minggu itu, agenda utama Azri adalah meminta maaf dan restu untuk dia
berubah.
Betul kata ibunya, dia tidak bersendirian. Masih ramai yang mahu berkawan
dengannya dan masih ramai yang menyayanginya. Ramai yang inginkan dia
berubah.
Mulai hari itu juga, 2 Julai,  dia sudah menjadi Azri Azfar yang baru. Azri yang
mendengar kata, Azri yang menyiapkan kerja sekolah, Azri yang rajin menolong
keluarga dan orang lain. Seorang  Azri yang mengulang kaji pelajaran dan paling
utama Azri yang tak tinggal solat.
Tiada lagi kedengaran namanya dipanggil oleh guru disiplin atau kaunselor
sekolah. Tiada lagi kawan-kawan dan guru-guru yang merungut tentang dirinya.
Memang dia betul-betul sudah berubah.
“Kakak, untung ya,  dapat belajar kat sini? Duduk kat bandar, dapat duduk di
asrama yang selesa, dapat biasiswa dan dapat belajar ke luar negara.”
Azri menoleh ke belakang. Ibunya di sebelah turut menoleh. Tumpuan
mereka kepada Adlie, adiknya yang bongsu.
“Adlie, kakak duduk kat tempat ini hasil kerja keras kakak selama ini. Kakak
orang perempuan macam emak, nenek dan Khaleeda. Kami semua kena kuat
semangat dan kerja keras untuk berjaya. Bukan macam abang dan Adlie; orang
lelaki. Tuhan dah beri hadiah kepada setiap orang lelaki, Tuhan beri sembilan akal
dan satu nafsu. Kami orang perempuan ni diberi terbalik. Sembian nafsu dan satu
akal.” Kakaknya Diba memeluk erat bahu adik bongsunya dan menepuk perlahan
bahunya dari belakang. Dia menoleh ke belakang.
“Apa maksud kakak?”
“Orang lelaki ni dah semula jadi orang pandai. Tuhan dah beri hadiah akal
fikiran. Kalau faham semasa belajar dalam kelas sahaja dah boleh lulus periksa.
Kalau ikut kelas tambahan dan buat kerja rumah, dah boleh dapat kepujian. Kalau
tambah belajar sendiri kat rumah, buat latihan dah boleh dapat keputusan
cemerlang. Senang-senang sahaja dapat A+. Tapi, orang perempuan macam kakak
ni, kena belajar sungguh-sungguh, selalu kerja keras untuk dapat kedudukan
macam kakak sekarang.”
Kata-kata itulah yang menjadi perangsang kepada Azri untuk berubah.
Nasihat seorang kakak kepadanya, adik perempuan dan adik lelaki semasa dalam
perjalanan menghantar kakaknya itu ke KLIA. Kakaknya akan melanjutkan pelajar ke
United Kingdom dalam bidang farmasi setelah berjaya menamatkan A Level di
Intec; International Education Center.
“Wei, Azri. Kau tak nak ambil gambar ke? Boleh kita letak dalam fb, beri
orang kampung tengok.” Suara kawan serumahnya,  Azman mengejutkanya.
“Allahuakhbar…”
“Kau kenapa? Tak sihat?”
“Aku, ok. Teringat kisah dulu-dulu,  semasa aku tak sedar diri lagi.” Azri
menggenggam salji dan membalingkannya ke arah kawan-kawannya. Azman,
Danial, Umar, Nathan dan Goh Kang Li. Bertempiran kawan-kawannya itu
menyelamatkan diri. Sejuk!
“Hoi, sejuk ni. Main kasar nampak! Jom kita lawan siapa lebih hebat. Kita buat
orang salji, kemudian kita ambil gambar dan hantar ke kampung. Kita beritahu kat
keluarga kita, kita sihat. Kita hantar kepada adik-adik kita, seronoknya main salji di
sini. Biar mereka terbakar semangat, belajar bersungguh-sungguh dan ikut kita
nanti!” Azman menjerit dari sebalik pokok.
Azri tersenyum. Dia bukan Azri Azfar yang dahulu. Kini, dia ialah pelajar
tahun akhir dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Purdue University, Amerika
Syarikat.
Masa begitu cepat berlalu. Masa tidak menunggu kita. Kita yang kena
mengejar masa terutamanya untuk menuju ke arah kebaikan. Kesilapan masa
dahulu tidak menjadikan dia seorang yang lemah selamanya malah membangunkan
dia daripada lena yang panjang. Mujurlah dia masih mempunyai keluarga. Keluarga
yang amat menyayanginya.
Kita tak perlu membayar dengan harga yang mahal untuk berubah.
Kesedaran dan tekad yang jitu akan membuatkan kita berjaya. Alhamdulillah, dia
sedar dan diberi hidayah. Kasih sayang keluarga yang sejati, kasih yang tak
bertepian.

Anda mungkin juga menyukai