Anda di halaman 1dari 5

BANGUNAN IBU Berdasarkan pada tema parlimen, kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat ditempatkan dalam sebuah

bangunan yang sama,iaitu bangunan ibu. Bumbung Dewan Rakyat yang berbentuk tiga segi itu muncul di tengah-tengah bangunan ini.

Tingkat Bawah Di tingkat bawah bangunan ini pula ada sebuah surau bulat yang panjang garisan pusatnya 36 kaki dan boleh memuatkan 100 orang jemaah. Keistimewaan tingkat bawah ini ialah Dewan Jamuan yang besar boleh memuatkan 500 orang. Dewan ini sama besarnya dengan ruang Dewan Rakyat yang terletak di tingkat atas. Dewan Jamuan ini sempat disiapkan untuk Majlis Jamuan Negara yang diadakan pada 18hb. September, 1963.

Di keliling tingkat bawah ini terdapat beberapa buah pintu untuk pergi ke beberapa bahagian bangunan itu seperti pintu ke Dewan Jamuan, Dewan Negara, bilik akhbar dan bilik tetamu serta pejabat-pejabat. Di halaman sambutan di bahagian hadapan bangunan parlimen ini pula ada sebuah tangga gantung yang menghala ke bilik rehat, Ahli-ahli Parlimen. Bersententangan dengan bahagian ini terdapat suatu jalan lain untuk pergi ke tingkat pertama. Jalan ini terbuka pada ruang udara utama dengan anak-anak tangga lerengan di tengah-tengah taman hiasan.

Seluruh bahagian hadapan tingkat pertama menjadi tempat berehat Ahli-ahli Dewan Rakyat. Pintu-pintu kembar menuju ke ruang Dewan Rakyat yang mempunyai tempat duduk 160 ahli dan boleh ditambah lagi dengan hanya melipatkan tempat meletakkan tangan yang dipasangkan pada kerusi-kerusi kulit itu. Aturan tempat duduk itu diubah semula apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Tempat-tempat duduk itu bertingkat empat dan letaknya bersetentangan. Di satu sudut ialah perterakna Yang di Pertua yang dipayungi oleh langit-langit yang diperbuat dari aluminium. Kerusi Yang di Pertua adalah hadiah daripada Dewan Rakyat British. Perkara yang paling menarik di Dewan Rakyat ini ialah bumbungnya yang setinggi 80 kaki dan tapaknya yang sepanjang 60 kaki itu. Bumbung ini berbentuk tiga segi dan berlipat-lipat pula. Bumbung ruang Dewan Rakyat ini disokong pada keduadua bahagiannya oleh dua batang tiang tegak yang menembusi Dewan Jamuan di sebelah bawahnya. Kerja membina tiang inilah yang paling sukar dan kerja membinanya memakan masa selama enam bulan. Bentuk tiga segi dan tirus bumbung inilah yang menjadi unsur tempatan dalam seni pembangunan komplek bangunan parlimen ini pada keseluruhannya. Ruang Dewan Negara pula hamper sama bentuknya dengan Dewan Rakyat kecuali ruang ini kecil sedikit. Bumbung dewan ini tidaklah melengkung seperti bumbung Dewan Rakyat, tetapi di sini terdapat juga lutsinar untuk menerangi ruang dewan ini sebagai tambahan kepada cahaya lampu elektrik. Jendela-jendela lutsinar itu pula mengindahkan suasana dengan corakcorak Islam asli dari mozek merah dan biru yang diolah khas dalam kaca jendela itu. Di ruang Dewan Negara ini terdapat dua tingkat tempat duduk yang bersetentangan yang boleh memuatkan 60 orang Ahli. Pada bahagian belakangnya, naik mencuram, ialah tempat duduk bagi 78 orang tetamu. Di sini langit-langit yang diperbuat dari aluminium memayungi penterakna Yang di Pertua. Kedua-dua ruang dewan ini dilengkapi dengan alat-alat kemudahan moden dan alat-alat itu termasuklah alat yang menyebarkan ucapan-ucapan dan terjemahan-terjemahan secara serentak. Di rusuk tiap-tiap dewan ini terdapat bilik minuman bagi Ahli-ahli Parlimen. Pada siang hari bilik-bilik minuman itu disinari oleh cahaya matahari melalui ruang udara yang berkisi-kisi diperbuat daripada aluminium yang halus. Terbenam di tingkat pertama, ruang udara ini merupakan sebuah taman dan kolam yang indah. Di tingkat yang sama terdapat juga bilik berehat dan kantin bagi pegawaipegawai tetap, wartawan-wartawan dan para tetamu.

Tingkat Kedua

Tingkat kedua bangunan Parlimen ini terdiri dari dua anjung yang berasingan yang dihubungi oleh satu tingkat-tara pada bahagian hadapannya dan satu ruangan peranginan yang beratap pada bahagian belakangnya. Di anjung kiri tingkat ini terdapat dua buah bilik jawatankuasa yang besar dan tiap-tiap bilik dapat memuatkan seramai 30 orang dan empat buah bilik kecil yang lain yang dapat memuatkan seramai 12 orang pada tiap-tiap bilik. Di anjung ini terdapat juga pejabat-pejabat dan tempat berehat bagi pegawai-pegawai kerajaan serta Persatuan Parlimen Komanwel.

Di anjung yang lagi satu itu pula terdapat dua buah bilik makan, satu bilik khusus, untuk Ahli-ahli dan tetamu-tetamu serta pegawai-pegawai kerajaan. Dapur yang termoden yang terletak di antara dua bilik makan ini dapat menyediakan makanan bagi 1000 orang.

Bahagian tengah di tingkat kedua ini, diselubungi oleh bumbung Dewan Rakyat, telah dijadikan taman sari tempat Ahli-ahli Parlimen melepaskan penatmereka pada masa rehat ketika persidangan. Dari tingkat pertama di bangunan ibu terdapat dua buah jambatan gantung yang dibina untuk menghubungkan tingkat itu dengan bangunan menara. Jambatan tersebut itulah yang dianggap sebagai satu binaan yang paling rumit sekali di dalam bangunan ini. Untuk memudahkan perjalanan ke jalanraya dan untuk tidak mencacatkan keindahan parit di situ maka arkitek bangunan ini terpaksa membataskan jumlah tiang yang menyokong dua buah jambatan yang sepanjang 166 kaki itu kepada dua tiang sahaja bagi tiap-tiap jambatan. Jambatan ini diubah menjadi rasuk Verendhil dengan mengalihkan tekanannya melintang panjang dan dengan menerusi tian-tiang rasuk pada bahagian dalamnya. Rasuk Verendhil itu telah menjadikan tempat ini sebagai satu tempat untuk menikmati keindahan alam.

Demikian juga halnya dengan bahagian-bahagian lain, jambatan gantung ini ditutup dengan kaca untuk mendinginkan hawa.

BAHAGIAN MENARA

Ukuran bangunan menara yang lapan belas tingkat ini ialah 80 kaki persegi. Bangunan yang setinggi 250 kaki ini mengandungi pejabat bagi para Menteri, dan Ahliahli Parlimen ketika persidangan berlangsung. Di tingkat keduanya pula terdapat satu tempat duduk yang menganjur dan yang menghadap padang perbarisan di hadapan bangunan menara ini. Di kedua-dua belah rusuk padang tersebut dibina pula tempat duduk yang beratap bagi tetamu-tetamu dan orangm kenamaan.

Di tingkat keenam belas pula terdapat suatu ruangan lapang yang membukakan keindahan ibu kota Negara ini di ruangan mata. Di sini kerap kali diadakan majlis jamuan yang tidak rasmi dengan pemandangan berlatarbelakangkan keindahan Kuala Lumpur pada waktu malam. Di kedua-dua tingkat seterusnya terdapat bilik loji,tangki air, dan bilik jentera untuk kegunaan kedua-dua lif di bangunan ini.

KEISTIMEWAAN BANGUNAN PARLIMEN

Keseluruhan bangunan Parlimen ditutupi dengan kaca yang boleh menyerap haba dan meresapkan cahaya. Kawalan terhadap sinaran matahari dilakukan dengan menutup seluruh bangunan ini dengan terawang berukir yang diperbuat daripada batu konkrit tempatan dan dipasang bahagian demi bahagian. Terowong yang berbentuk sarang lebah itu menambahkan lagi kehebatan bangunan ini.

Pada keseluruhannya lebih daripada sejuta batu-bata, 2,000 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 3000 tan kaca telah digunakan untuk membina kompleks Parlimen. Sistem pembahagian air yang membekalkan air kolam dan pancurannya merupakan satu lagi ciri keistimewaan bangunan Parlimen di mana air akan mengalir melalui dua sistem yang berangkai. Ia bermula di bahagian bumbung bangunan membawa ke seluruh kompleks. Airnya pula diwarnakan dengan warna biru untuk menjauhkan lumut dan lumpur.

Selain daripada keistimewaan pada bangunannya, kompleks Parlimen turut dihiasi dengan berbagai-bagai jenis tumbuhan dan binatang peliharaan. Pohon-pohon kayu yang jarang ditemui seperti pohon berlian, mata kuching, berangan, nam-nam, selarat dan pohon tamar diimpot khas dari Arab Saudi untuk dipelihara di kawasan sekitar.

Di sebelah kawasan kompleks Parlimen terdapat kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa yang menjadi tempat pemeliharaan berpuluh-puluh ekor spesis rusa Tootal. Spesis rusa ini sememangnya jarang didapati di benua Asia. Rusa-rusa ini dibiarkan bergerak bebas di dalam kawasan lapang taman yang dibatasi oleh sempadan kompleks Parlimen.

Anda mungkin juga menyukai