Anda di halaman 1dari 7

CERPEN

“KOTOR”
FHATIHAH SOBRI
SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan tentang nilai pengorbanan dan kasih sayang antara seorang
cucu dan neneknya yang paling disayangi. Fateha merupakan seorang guru pelatih
yang menuntut di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor atas permintaan neneknya
yang dikasihi, Tok Mah. Pada suatu malam hujung minggu ketika dia pulang ke rumah
keluarga angkatnya di Muar. Dia dikejutkan dengan berita neneknya yang sedang
kritikal di Hospital Alor Setar, Kedah. Umi dan abah yang merupakan nenek dan datuk
angkat Fateha bertanggungjawab membawanya pulang ke kampung. Mereka juga
merupakan besan yang sangat baik dengan nenek Fateha, Tok Mah. Perjalanan
selama lapan jam dari Muar, Johor menuju ke Kampung Lubok Merbau, Kedah
dirasakan terlalu lama oleh Fateha. Ditambah lagi dengan perbualan telefon oleh Umi
ketika mereka berhenti melaksanakan kewajipan solat Subuh di kawasan rehat RNR
Seremban ibarat kejutan yang menggegarkkan jantung Fateha. Segala memori dan
kenangan manis bersama neneknya, Tok Mah bermain di dalam benak Fateha
sepanjang perjalanan menuju ke negeri Kedah. Apa yang menjadi persoalannya kini
ialah apakah perkhabaran yang bakal diterima oleh Fateha melalui panggilan telefon
Umi semasa di kawasan rehat RNR Seremban tersebut dan apakah item “KOTOR”
yang menjadi punca Fateha kehilangan neneknya, Tok Mah?
CERPEN
“KOTOR”
FHATIHAH SOBRI

“Fateha, bangun nak, cepat kemaskan barang jom, kita kena bertolak ke Kedah
sekarang.” Jam menunjukkan pukul tiga pagi. Aku terpinga-pinga mendengar suara
Umi setelah terjaga daripada tidur. Maklumlah penat setelah hampir satu jam
perjalanan menaiki bas dari Maktab Perguruan di Batu Pahat ke rumah Umi di Muar.
Sudahlah sebelum dilepaskan daripada pagar maktab pun bermacam-macam aktiviti
dan tugasan perlu disiapkan terlebih dahulu. “kenapa kita kena balik ke Kedah Umi?
Malam-malam macam ni?” Aku bertanya. Dalam hati berdoa semoga segala
kemungkinan yang aku sangat khuatirkan tidak berlaku kepada Tok Mah, nenek
kandungku yang paling aku sayangi di Kampung Lubok Merbau, Kedah.

Umi memegang erat tanganku seumpama ingin memberikan semangat sambil


mulutnya menyusun bicara lembut tetapi bagai angin kasar yang menampar dinding
telingaku. “Tok Mah kan dah seminggu dekat wad, Maknjang baru telefon Umi tadi
bagitahu yang Tok Mah dah kritikal, jom Fateha, lekas kita bertolak balik, mudah-
mudahan kita sempat jumpa Tok Mah buat kali terkahir”. Kata-kata Umi itu umpama
tamparan panas yang aku sudah agak sedari aku dikejutkan daripada tidur tadi.
Dengan hati yang runtun aku gagahkan diri untuk bangun dan mengemaskan beg
pakaian walaupun lututku lemah bagaikan tidak berdaya menampung berat badanku
sendiri.

Kereta Waja putih abah membelah angin pagi sepanjang Lebuh Raya Utara
Selatan dengan kelajuan 100 km/jam tidak kurasakan laju. Tiga jam dalam perjalanan
itu dirasakan bagai terlalu lama. Fikiran melayang membayangkan keadaan Tok Mah
kesayanganku di Unit Kritikal Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah. “Fateha,
jom kita turun solat Subuh dulu”, suara abah menghambat lamunanku. Baru aku
tersedar sudah satu pertiga perjalanan telah kami tempuh. Aku bergegas turun
daripada kereta dan mengekori Umi yang hampir sampai ke surau di kawasan RNR
Seremban. Aku ingin menunaikan solat Subuh. Aku ingin mengadu kepada yang Esa
agar mengembalikan Tok Mah yang sihat dan ceria seperti dulu ke pangkuan kami
sekeluarga.

Sepanjang mengerjakan kewajipan Subuh, aku merintih pada Sang Pencipta.


Dengan sepenuh hati aku merayu agar aku diberikan peluang bertemu dengan Tok
Mah sebelum dia kembali kepadaNya. Aku redha jika pemergiaan Tok Mah akan
menamatkan kesakitan yang dialami sepanjang akhir usianya. Basah sejadah
tempatku bersujud seusai solat. Linangan air mata semakin laju setelah mendengar
perbualan Umi di telefon. Seluruh jiwaku bagaikan direntap luluh hancur ke bumi. Umi
menerpa ke arahku sambil memeluk tubuhku yang bergegar akibat ketakutan merima
hakikat. Hakikat kematian seorang insan bergelar nenek yang sangat aku sayangi
seluruh ragaku, Tok Mah. Aku berpimpinan tangan dengan Umi menuju ke kereta
walaupun kakiku longlai bagaikan tidak terasa tapak kaki yang memijak kasut. Aku
gagahkan juga menderap langkah. Aku ingin segera sampai. Aku ingin segera
memeluk Tok Mah walaupun hanya jasadnya yang kaku.

Air mataku mengalir laju, selaju kereta Waja abah sepanjang perjalanan.
Suasana di dalam kereta sunyi sepi tanpa suaraku mahupun Umi dan abah. Aku sedar
sedari tadi Umi memerhatikan aku dari depan. “Walaupun Tok Mah dah tak ada tapi
Fateha ada Umi, Umi pun nenek Fateha juga”, lembut suara Umi memujuk. Mulutku
bagaikan terkunci tiada sebarang kata yang dapat aku lontarkan saat ini. Ya, memang
sudah kuanggap Umi seperti nenekku sendiri dan abah seperti datukku sendiri. Jasa
mereka tidak dapat aku lupakan. Merekalah tempat aku menumpang kasih. Rumah
merekalah tempat aku pulang dua minggu sekali sepanjang dua tahun aku menimba
ilmu di negeri Johor. Umi dan abah merupakan mertua kepada bapa saudaraku
sebelah ayah. Merekalah besan Tok Mah yang paling dia rapat bagaikan satu
keluarga dan sahabat. Kerana keramahan dan budi baik mereka yang tinggi serta
ukhuwah mereka yang erat dengan Tok Mah, aku dianggap seperti cucu sendiri
walaupun tiada ikatan darah yang mengalir di dalam tubuh kami.
Masih terngiang-ngiang di corong telingaku suara kegembiraan Tok Mah
setelah aku khabarkan kepadanya aku lulus temu duga dan diterima belajar di Maktab
Perguruan dua tahun yang lepas. “Alhamdulillah, Tok berdoa setiap hari supaya cucu
tok ni jadi cikgu, jangan risau pasal duit tau, tok akan tanggung semua, tok nak tengok
cucu tok ni jadi cikgu”. Aku tersenyum tetapi hambar, “tapi tok… Maktab tu jauh, dekat
Batu Pahat di Johor sana”. Walaupun hatiku berlonjak gembira setelah memeriksa
keputusan pengambilan guru pelatih tersebut, tetapi tetap ada resah yang bertapak
dalam hati kerana aku tidak pernah jauh daripada keluarga dan Tok Mah. Aku pun
bukannya pernah tinggal di asrama, hanya berulang alik ke sekolah setiap hari.
“Feteha, apa cakap macam tu, dah Tok tak mau dengar hang merungut macam ni,
tak apa, kan ada mertua Paknjang kat sana, Batu Pahat dengan Muar kan dekat ja”.
Tok Mah mengeluarkan buku telefon kuningnya yang agak lusuh yang mengandungi
beratus-ratus nombor telefon yang dicatatnya di situ. Punat telefon rumah ditekan-
tekan. “Tok nak telefon mak mertua Paknjang, nak bagitau hang dapat masuk Maktab
kat sana, mesti depa suka”.

Lamunanku terhadap kenangan manis bersama Tok Mah tergendala dek suara
abah. Abah meminta Umi menelefon Maknjang yang merupakan anak mereka dan
menantu kepada Tok Mah untuk bertanyakan sesuatu. “Cuba awak telefon Siti, tanya,
jenazah masih di hospital atau sudah dibawa balik ke rumah? Kalau masih di hospital
kita terus pergi ke hospital saja”. Baru aku tersedar yang kereta Waja abah telah
menyusur keluar daripada Lebuh Raya Utara Selatan melalui tol Gurun. “Jenazah dah
sampai pun kat rumah bang, pukul 10 pagi tadi lagi kata Siti”. Umi memberitahu abah
selepas menamatkan perbualannya di telefon. Hanya satu jam perjalanan yang tinggal
sebelum tiba di ke Kampung Lubok Merbau. Satu jam itu kurasakan begitu lama.
Perasaan gembira yang selalunya melonjak-lonjak di dalam hati apabila hampir
sampai ke kampung bertukar hiba di saat ini. Aku bagaikan tidak sanggup untuk
melihat jasad Tok Mah sebentar sahaja lagi. Ya Allah kuatkanlah aku, tabahkanlah
hatiku, kuatkanlah kakiku untuk melangkah apabila sampai sebentar nanti.

Kereta abah beregerak perlahan setelah memasuki pintu gerbang kampung


Lubok Merbau, semakin dekat lokasi rumah Tok Mah, semakin banyak kenderaan dan
sanak saudara serta kenalan Tok Mah yang berjalan menuju ke rumahnya. Aku hanya
memerhatikan mereka. Tepatlah aku tidak bermimpi. Kematian Tok Mah adalah Pasti.
Sebaik sahaja kereta abah berhenti di hadapan rumah Tok Mah, aku terus membuka
pintu dan turun. Ingin sepantas kilat aku berjalan tetapi kakiku berat melangkah.
Selalunya Tok Mah menunggu dan menyambut kedatanganku di hadapan rumahnya.
Akan dia hidangkan makanan kegamaranku yang lazat sekali. Tetapi tidak lagi pada
hari ini. Selalunya bau enak masakan Tok Mah akan memenuhi rongga hidungku,
tetapi hari ini bau itu diganti dengan bau daun pandan dan kemiyan tanda kematian.
Hatiku luluh. Jiwaku kosong. Tok Mah yang disayangi tiada lagi.

Sekujur tubuh kaku berada di hadapanku. Diselimuti dengan kain putih yang
bersih. Perlahan aku membuka kain yang menutupi wajah sucinya itu, Wajah Tok Mah
yang putih bersih umpama tersenyum kepadaku. Ya Allah, aku bersyukur kau masih
memberi peluang kepadaku untuk menatap wajah Tok Mah buat kali terakhir ini, kau
damaikanlah dia di sana, kau tempatkanlah dia di syurga yang paling layak untuknya,
rintihku di dalam hati. Tiada apa lagi yang dapat aku lakukan selain melihat sekujur
tubuh kaku itu. Hatiku sudah kering sama seperti air mataku. Aku pasrah. Aku redha
ini ketentuan Ilahi. Apa yang meruntun hatiku adalah Tok Mah tidak sempat melihat
aku menjadi seorang guru. Tok Mah tidak sempat merasa gaji pertamaku nanti
sedangkan dialah insan yang paling banyak melabur beribu ringgit demi melihat
kejayaanku. Tidak mampu aku membalas semua jasa Tok Mah melainkan doa dan
sedekah yang boleh kupanjatkan kepada Ilahi. Pantas aku mengambil wuduk, Yassin
di meja aku capai.

Sesudah selesai memandikan jenazah Tok Mah, kedengaran suara anak-


anaknya bersembang mengenai kaki kiri Tok Mah. Begitu juga aku. Pelbagai tanda
tanya dan persoalan timbul tentang mengapa kaki Tok Mah menjadi sebegitu rupa?
Kaki kirinya yang biru, bengkak, lebam dan sedikit bernanah seumpama hendak
pecah. Terdapat juga isi-isi yang timbul dan merekah pada kaki kiri Tok Mah dapat
kurasakan peritnya. Ya Allah, siksanya Tok Mah menahan sakit sepanjang akhir
hidupnya. Hatiku pedih melihat keadaan kakinya sebegitu rupa. Apakah puncanya?
Jenazah Tok Mah segera diuruskan. Pengkebumian akan dilakukakan selepas waktu
Zohor. Aku masih setia di sisi Tok Mah yang telah siap dikafankan, membacakan ayat-
ayat suci Al-Quran dan Yassin. Tetapi fikiranku masih memikirkan tentang punca itu.
Punca kaki Tok Mah sebegitu rupa.

Malam ini diakan tahlil untuk arwah Tok Mah. Semua keluarga dan sanak
saudara masih berkumpul di rumah pusaka ini. Jiran-jiran dan rakan-rakan baik Tok
Mah juga turut berada di sini membantu menyediakan makanan dan minuman untuk
dijamu kepada Jemaah masjid yang akan datang membacakan doa dan tahlil. Aku
terdengar perbualan Tok Cik Ah dan Tok Njang Ani. Mereka merupakan sahabat baik
Tok Mah yang selalu meluangkan masa bersama-sama bersembang dan mengaji Al-
Quran pada waktu petang. Mereka seolah-olah berbincang mengenai kaki Tok Mah.
Aku memasang telinga. Rupa-rupanya air tapai yang diperam selama tiga bulan yang
dibawa oleh Tok Cik Ah diletakkan di kaki Tok Mah untuk menghilangkan bengkak.
Kononnya air tapai itu dapat membuatkan kaki Tok Mah yang sedia bengkak dan luka
akibat terjatuh di bilik air beberapa hari sebelum itu dapat disurutkan. Begitulah
pemikiran kebanyakan orang tua-tua, tidak mahu berfikir logik dan terlampau mengikut
petua lama mereka. Tapai yang merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada
pulut dan diperap dengan sejenis kuman yang digunakan dalam masakan iaitu ragi.
Mereka percaya dapat surutkan bengkak di kaki? Hatiku kecewa berdialog sendiri
mengenangkan kepercayaan karut mereka.

“Astaghfirullahalazim” aku mengucap perlahan setelah mendengar perbualan


dua orang sahabat karib Tok Mah itu. Mulut kukunci serapat mungkin dan wajah
kutundukkan ke lantai. Khuatir dan risau kalau-kalau amarah di dalam hatiku saat ini
tidak dapat dibendung. Tidakkah mereka tahu yang air tapai lama yang diperam dan
terdedah tanpa ‘disteril’ terlebih dahulu itu KOTOR, berkuman dan bisanya amat
tajam? Rupa-rupanya cecair kotor itulah yang menjadi punca kaki kiri Tok Mah
menjadi biru dan hampir bernanah sekotor air itu. Kesakitan kaki Tok Mah akibat
terjatuh di dalam bilk air menjadi lebih parah disebabkan air tapai itu. Bisa dan kuman
daripada air tapai itu jugalah yang merebak dan memakan kulit kakinya sehingga
merekah dan menampakkan isi-isi yang kemerahan. Ngilu kurasakan saat ini. Sakit
hatiku saat ini, sakit lagi yang dialami oleh Tok Mah sehingga membawa kepada
kematiannya. Tetapi aku juga tidak menyalahkan Tok Mah dan sahabat baiknya itu
semata-mata. Aku sedar itu semua ketentuan Ilahi, Cuma caranya sedemikian rupa.

Pagi ini aku akan bertolak pulang ke perantauan. Pelajaranku harus diteruskan
dengan sisa semangat daripada Tok Mah. Tiada lagi pelukan kasih sayang daripada
Tok Mah seperti selalu. Tiada lagi bekalan makanan masakan Tok Mah yang menjadi
kegemaranku. Semuanya kosong. Kososng seperti hatiku. Aku bersalam dan
memeluk kedua ibu-bapaku sebelum masuk ke dalam kereta abah. Aku meminta abah
singgah di pusara Tok Mah sebelum meneruskan perjalanan ke Johor. Selesai
berdoa, air kusiram mengalir perlahan meresap ke tanah pusara seumpama
memoriku bersama Tok Mah yang meresap ke dalam benak hatiku. Akan kusimpan
hasratnya itu. Akan dilaksanakan amanah Tok Mah yang satu. Aku perlu menjadi
seorang guru. Demi Tok Mah, nenek yang kusayangi. Aku redha dan ikhlas.
Pemergian Tok Mah kehendak Sang Pencipta yang satu. Walaupun terharu dan
merindu.

Anda mungkin juga menyukai