Anda di halaman 1dari 105

Bab 1

IMAN UMAIRAH menatap sepi inai di jarinya. Dia akan dinikahkan sebentar lagi dan akan
bergelar seorang isteri pada Aiman Danish, seorang lelaki yang langsung tidak dia kenali.
Adakah kehidupannya nanti persis novel yang selama ini menjadi bahan hiburannya? Adakah
kisah-kisah indah di dalam novel itu akan terjadi padanya? Walaupun apa terjadi, ini memang
menjadi takdirnya. Sebuah ceritera yang terukir dalam hidupnya.

Semalam, inilah syarat datuk menghantarnya menyambung pelajaran di luar negara. Dia
boleh menyambung pelajaran dan mengejar segala cita-cita dengan syarat, sebelum berangkat
dia perlu bernikah dengan Aiman Danish, cucu lelaki tunggal Tuan Haji Aman, datuk
angkatnya. Kenapa itu syaratnya? Iman Umairah sendiri tidak pasti.

Kalaulah dia seperti gadis lain yang mengahwini kekasih hati, pasti hari ini adalah hari yang
paling bahagia dan bersejarah baginya sebagai seorang gadis yang bakal menamatkan
kehidupan bujang. Gembirakah dia? Bahagiakah dia menamatkan kehidupan bujangnya pada
saat dia baru ingin menikmati waktu remaja?

Iman sendiri tidak ada jawapan untuk soalan itu. Hanya yang pasti tiada sedetik pun perasaan
gembira mahupun bahagia itu hadir dalam dirinya. Apatah lagi dia tahu hadirnya nanti di
dalam hidup keluarga barunya, tidak akan diterima oleh mentua dan bakal suaminya sendiri.
Dia bukan pekak. Dia sendiri terdengar ‘perbincangan’ antara anak-beranak itu seminggu
yang lalu. Nasib baik dia balik dari bermain tenis agak awal daripada biasa dan dia terdengar
perkahwinannya dibincangkan di dalam bilik bacaan ketika itu. Mungkin itu kebesaran llahi
ingin menunjukkannya jalan kesabaran untuk dugaan yang bakal dilaluinya. Mungkin juga itu
tandanya dia perlu bersedia dan lebih bersabar. Iman terkenang lagi apa yang didengarinya.
Masih terngiang-ngiang di telinganya dan pasti tidak akan dilupakan untuk selama-lamanya.

"ABAH tak kira Arif, abah nak Danish kahwin dengan Iman sebelum Iman ke Liverpool
seminggu lagi. Abah nak kamu uruskan segala-galanya."
Terdengar suara datuk bergema tinggi. Masakan Iman tidak kenal suara insan yang selama ini
berjasa membesar dan mendidiknya.

"Abah, kenapa Iman? Dia tak layak jadi menantu keluarga kita. Danish takkan terima dan
saya pun tak mungkin terima. Keluarga kita ada kedudukkan. Nanti apa pula kata orang.
Kalau pun abah nak balas budi mak bapak budak tu, semuanya dah terbalas, abah. Selama
beberapa tahun ni, abah yang jaga dia. Bagi makan, bagi sekolah. Apa lagi tak cukup kat
budak tu? Memang dah jadi keturunan budak tu agaknya. Dasar perempuan pengikis. Abah
tak sedar lagi ke? Tunggu semua harta abah ni dikikisnya baru abah nak sedar."

Iman kenal suara itu. Itu suara anak tunggal datuk yang kini bergelar Dato’ Arif. Lelaki itu
tidak pernah suka akan kehadirannya. ‘Perempuan pengikis’ itu dia. Sekelip mata sahaja dia
sudah mendapat gelaran itu daripada Dato’ Arif. Selama ini pernahkah dia mengikis harta
Tuan Haji Aman? Tetapi....

Mungkin betul kata Dato’ Arif, sejak lima tahun kebelakangan ini Iman terlalu banyak
termakan budi Tuan Haji Aman. Tuan Haji Aman yang mengambil dia menjadi cucu angkat
setelah ibunya meninggal dunia. Tuan Haji Aman yang menyekolahkannya. Tuan Haji Aman
yang sentiasa ada untuk mendidiknya. Lelaki yang dipanggil datuk itulah yang selalu ada
untuk menyokong dan memahaminya. Tidak pernah sedikit pun Iman Umairah rasa tersisih
di dalam hidup datuknya. Memang selama ini, sejak sebelum pemergian ibunya lagi, semua
yang ada padanya sekarang atas ihsan daripada Tuan Haji Aman. Lelaki itu yang memberi
dia dan ibunya tempat berteduh. Memberi ibunya pekerjaan pada saat ibunya terkontang-
kanting ditinggalkan suami dan Tuan Haji Aman jugalah yang membiayai segala
perbelanjaannya sehingga dia mendapat tawaran ke universiti beberapa minggu lepas.

Terlalu banyak budi Tuan Haji Aman padanya dan ibu. Malah ibunya sendiri sempat
berpesan agar dia sentiasa taat pada Tuan Haji Aman. Walaupun ibunya ketika itu hanya
pembantu peribadi Tuan Haji Aman, namun Iman dapat melihat layanan Tuan Haji Aman
pada ibunya saling tidak tumpah seperti layanan seorang ayah kepada anaknya dan dia
dianggap bagaikan cucu sendiri. Tidak pernah dia dibeza-bezakan. Setelah ibunya meninggal
akibat kemalangan jalan raya ketika balik daripada menggantikan tempat Tuan Haji Aman di
sebuah majlis amal, secara tidak langsung Iman diletakkan sepenuhnya di bawah jagaan Tuan
Haji Aman. Sejak itu bermulalah hidupnya di bawah budi Tuan Haji Aman.
Iman masih ingat lagi saat walang hidupnya, ketika itu dia di rumah ini sedang belajar dengan
Tuan Haji Aman apabila menerima panggilan telefon daripada pihak hospital. Mereka
bergegas ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Setelah menunggu hampir sejam di
luar bilik kecemasan, sepasukan doktor keluar dengan wajah yang cukup suram. Seorang
doktor yang agak berumur merapati datuknya. Mengkhabarkan satu berita yang telah
merubah kehidupannya. Ibunya telah tiada dan tidak mungkin kembali.

Tuan Haji Aman segera memeluknya. Seingat Iman, sejak dari mula ibunya bekerja dengan
Tuan Haji Aman, orang tua itu sentiasa melayan mereka seperti keluarga sendiri. Seketika
selepas pengebumian jenazah ibunya, Tuan Haji Aman jatuh pengsan. Hampir diserang sakit
jantung datuknya itu. Umpama yang pergi itu anaknya sendiri.

Iman dapat merasakan kesedihannya ketika itu dikongsikan dengan Tuan Haji Aman.
Sekurang-kurangnya ketika itu dia tahu, dia tidak bersendirian. Oleh itu jasa Tuan Haji tidak
mungkin dia lupakan. Budi Tuan Haji Aman itu umpama darah yang mengalir di tubuhnya.
Lalu kini apa sahaja pilihan yang dia ada?

"Kamu diam Arif! Kalau kamu tak tahu, kamu jangan cakap. Kamu tak tahu berapa banyak
abah dengan ibu kamu berhutang budi dengan datuk Iman, ketika abah dan arwah umi kamu
mula-mula kahwin dulu. Hidup kami ni susah, susah sangat sampai nak makan pun payah.
Siapa yang tolong kami? Itu, arwah Haji Khalid, datuk Si Iman tulah yang tolong kami.
Tolong carikan kerja. Tolong hulurkan apa yang patut. Lagi satu kamu kena ingat, syarikat
abah yang kamu bangga-banggakan tu, syarikat yang buat kau dapat title Dato’ tu, datangnya
daripada duit siapa Arif? Kalau tak duit datuk dan nenek Iman yang bagi modal..." katanya
kesal. Kesal dengan sikap anak lelakinya yang tidak tahu mengenang budi.

Dato’ Arif menarik nafas dalam-dalam. Kisah silam yang sudah berulangkali diputarkan.
Sudah naik sebu telinganya mendengar. Sudah naik jemu telinganya menadah cerita yang
hampir sama apabila setiap kali mereka bertengkarkan soal Iman.

"Betapa mereka percayakan abah... dan umi kamu..." ujar Tuan Haji Aman lagi dengan nada
tertahan-tahan.

"Mereka sanggup beri kami duit. Beri pinjaman pada kami supaya kami ni dapat berniaga.
Sampai sekarang duit modal tu tak berbayar lagi. Bukan abah tak nak bayar... tapi atuk Si
Iman tu langsung tak nak terima. Katanya itu hadiah atas kejayaan abah. Sumbangan dia
sebagai seorang kawan. Kalau kamu sedar Arif, abah dan umi memang terhutang budi sangat
dengan keluarga Iman tu..." luah Tuan Haji Aman lagi. Dia tidak mahu anaknya itu lupa budi
yang telah ditabur. Jangan riak dengan apa yang mereka ada sekarang.

Seketika ruang bilik bacaan itu menjadi sepi. Yang kedengaran hanyalah desah kesal Tuan
Haji Aman.

"Satu yang abah terkilankan, abah tak sempat balas budi mereka. Amanah mereka menjaga
Khadijah tu pun, abah tak dapat nak laksanakan dengan sempurna. Sayang sekali... hidup
datuk, nenek dan ibu Iman tu singkat, sampai abah tak sempat balas budi mereka. Hidup satu-
satunya anak mereka Khadijah, ibu Si Iman itu pun abah hancurkan. Kamu tak tahu betapa
kesalnya abah. Kalaulah abah tak berkeras nak kahwinkan dia dengan Farid dulu. Tak
mungkin hidup Iman tu jadi anak yatim piatu sebelum masanya. Farid tu memang tak guna!
Sebab itu abah nak Iman kahwin dengan Danish supaya nanti tak dapat Si Farid tu nak tuntut
apa-apa daripada Iman. Lagipun Farid sendiri dah setuju. Sekurang-kurangnya abah tahu,
Danish boleh jaga Iman dengan baik. Sekarang terpulanglah pada kamu!" Agak keras suara
Tuan Haji Aman ketika itu.

Iman dapat merasakan kemarahan yang membara daripada datuknya.

"Abah, tu kisah lama. Tak cukup ke selama ni kita jaga Iman tu. Dah banyak yang kita
lakukan untuk dia. Lagipun bukan saya tak tahu abah ugut Farid supaya setuju dengan
perkahwinan ni. Saya tak setuju abah. Hajar pun tak setuju. Danish anak kami. Abah tak ada
hak nak atur hidup dia. Walau apa pun terjadi, saya tak akan setuju abah. Inikan pula Danish
sendiri yang sudah ada pilihan hati. Danish dah lama berkawan dengan Maya. Maya anak kak
long Hajar tu. Budaknya baik dan up to date. Arif rasa Maya tu jauh lagi sesuai dengan imej
keluarga kita. Dia boleh bantu Danish dalam perniagaan kemudian hari," kata Dato’ Arif
tegas.

"Maya anak Si Timah tu. Budak yang tak cukup kain, tak cukup adab, tu yang kamu kata
baik. Bilalah kamu ni nak berubah Arif? Kamu tak nampak ke Iman tu seribu kali lebih baik
daripada budak tu. Kalau kamu tak nak, tak apa, Arif. Abah cuma nak ingatkan kamu, nakkan
harta abah kamu ikut cakap abah ni. Kalau kamu setuju bermenantukan Si Iman, abah akan
warisi segala hak syarikat itu pada Danish sebagai hadiah perkahwinan dia dan Iman. Tapi
kalau kamu nak juga budak Maya tu jadi menantu kamu, kamu dan keluarga kamu jangan
harap satu sen pun daripada abah!" tegas Tuan Haji Aman

"Sekarang terpulang pada kamu. Abah bagi kamu tiga hari untuk berfikir. Ingat Arif, bila
abah kata gadis itu terbaik untuk menantu keluarga ni dan isteri Danish, bererti gadis itu
terbaik. Tak perlu kamu tengok jauh. Itu Arrisya buktinya. Kamu tengok Si Arrisya, dulu
kamu menentang habis-habisan Johan tu jadi menantu kamu. Sampai tak nak jadi wali. Ini,
orang tua ini jadi wali. Abah kamu ini jadi wali. Sekarang, betapa bahagia mereka berdua.
Kamu sakit dulu, siapa yang jaga kamu kalau tak Johan, menantu bukan dalam senarai kamu
tu. Dalam dunia ni bukan kedudukan yang kita perlu tengok, tapi hati budi Arif. Abah tak nak
cakap banyak. Kamu fikirlah tawaran abah ni. Iman atau Maya?" kataTuan Haji Aman
memberi kata putus.

Betapa tergoresnya hati Iman ketika mendengar lamaran ke atasnya. Lamaran untuknya
adalah satu ugutan. Dirinya ‘dilamar’ dengan nilai jutaan ringgit harta Tuah Haji Aman.
Kahwin dengannya dapat harta berjuta. Begitu menyusahkan dirinya ini. Sehingga datuk
terpaksa membayar jutaan ringgit supaya dia di‘angkat’ menjadi isteri orang. Rendahnya
maruah dia. Sehingga datuk terpaksa membayar harga dirinya untuk menjadi menantu dan
seorang isteri.

Iman berdoa semoga segala-galanya tidak dipersetujui oleh Dato’ Arif. Tetapi mungkinkah?
Sedangkan dia yakin tidak akan ada penolakan. Tak mungkin untuk Dato’ Arif tolak tawaran
ini.

TEPAT agakannya. Tiga hari kemudian dia dipinang oleh Datin Hajar dengan wajah yang
kelat. Siapa yang gembira mendapat menantu bukan pilihan? Iman ingin menolak sebenarnya
namun dia tak sampai hati melihat wajah gembira datuknya. Kini harapannya hanya satu.
Harapannya pada Danish. Di dalam waktu yang singkat itu Iman berharap Danish datang
memutuskan pertunangan. Berharap sangat. Namun harapan hanya tingal harapan. Buktinya
hari ini muncul juga.

"Huuh..." Keluhan terdengar lagi di bibir manis Iman. Wajahnya nampak lain hari ini dengan
solekan nipis. Cantik solekannya namun tidak mampu menyembunyikan wajah sedih itu.

"Kenapa mengeluh ni, Iman? Orang nak kahwin gembira, tapi dia mengeluh pulak. Iman...
Iman dengar tak Kak Risya panggil ni?" Arrisya memanggil Iman sekali lagi.

Iman memandang bakal kakak iparnya itu. Dia tahu selain datuk, hanya Kak Arissya dan
Abang Johan yang gembira dengan perkahwinan ini. Arrisya sendiri berhempas pulas
menolongnya membuat persiapan walaupun wanita itu sedang menanti hari untuk melahirkan
anak.
"Tak ada apa-apalah kak. Cuma tak sangka Iman akan kahwin pada usia baru dua puluh
tahun. Muda, kan kak?" Iman cuba tersenyum menyembunyikan rasa di hatinya.

"Muda memang muda... tapi dah jodoh Iman. Lagipun Iman, akak gembira sangat Iman jadi
adik ipar akak. Iman tahu tak, sejak kali pertama akak tengok Iman, akak dah berdoa Iman
jadi adik ipar akak. Tenyata doa akak termakbul juga akhirnya. Akak pasti Iman akan bahagia
dengan Danish. Adik akak tu memang nampak dingin, tapi kalau Iman dah kenal dia nanti,
baru Iman tahu dia tu romantik orangnya. Sekali dia sayang kat Iman, seumur hidup dia akan
sayang Iman." Arrisya sengaja menceriakan suasana. Dia tahu Iman seakan-akan ragu akan
keputusannya. Biasalah gementar untuk menjadi isteri orang katakan. Lagi-lagi dengan
suasana perkahwinan aturan keluarga begini.

Iman hanya tersenyum mendengar kata-kata Arrisya. Betul ke? Betul ke dia akan bahagia
dengan Danish? Semalam, dia sudah pun bertemu dengan Danish. Tunangnya itu datang
untuk mengambil baju nikah mereka. Dari mata Danish, dia dapat melihat betapa kecilnya
dia. Lelaki yang bergelar tunangnya itu, nampaknya sangat membenci dirinya. Masakan
tidak, lelaki itu melihatnya umpama musuh di medan perang. Aura tunangnya sahaja mampu
memberitahu yang Danish menyalahkan dirinya untuk pernikahan mereka ini. Itu hanya aura,
belum pandangan matanya Tetapi tahukah Danish yang dia sendiri tidak tahu apa salah
dirinya sehingga dihukum dengan pernikahan ini.

"Iman...! Ehhh... termenung pulak dia," tegur Arrisya apabila menyedari Iman leka dengan
dunia khayalannya sendiri.

Iman ingin membalas teguran Arrisya. Namun belum sempat dia berbuat demikian,
kedengaran bunyi ketukan di pintu. Muncul seorang pemuda tampan memakai baju sedondon
dengannya. Dia kenal pemuda itu. Itu Danish, tunangnya yang sebentar lagi akan menjadi
suaminya. Danish? Hai... takkan dah habis majlis akad. Iman sedikit hairan. Dia belum
dipanggil ke hadapan lagi untuk tandatangan.
DANISH memandang wajah hairan kakaknya dan Iman. Dia sendiri tidak berapa pasti,
adakah betul itu nama gadis yang bakal dikahwininya nanti? Dulu zaman remaja, dia sering
juga terserempak dengan gadis itu jika bertandang ke rumah datuknya. Namun ada atau tidak
gadis itu di vila mewah ini, sama saja. Langsung tidak ada bezanya. Bukannya dia pernah
ambil peduli pun tentang kehadiran gadis itu.

"Can we talk?" Danish mengutarakan soalan tanpa diketahui untuk siapa soalan itu. Tanpa
menghiraukan wajah terpinga-pinga kedua-duanya.

"Okay. Jom." Arrisya segera menjawab seolah-olah soalan itu pasti untuknya. Malah dia
sudah ingin bangkit walaupun sedikit lambat dengan keadaannya yang sedang berbadan dua.

"Not you, sis. I mean her." Danish segera memotong sambil jarinya lurus menunjukkan Iman.

Arrisya membutangkan matanya. Mana boleh pengantin lelaki menemui pengantin


perempuan sedangkan beberapa minit lagi mereka akan dinikahkan. Buang tabiat apa adiknya
ini? Tak pernah dibuat orang!

"Mana boleh. Tunggulah lepas nikah nanti. Kamu ni dah buang tabiat ke apa, Danish? Tak
pernah dibuat orang pengantin lelaki nak jumpa pengantin perempuan sebelum nikah.
Bukannya lama pun. Tak sampai setengah jam lagi. Hish! Tak sabar betul kamu ni!"
bangkang Arrisya pada adiknya itu. Danish ada-ada aje. Macam tak tahu adat. Apa pula kata
tetamu nanti? gumamnya di dalam hati.

"Tak apa, Kak Risya. Biarlah Iman jumpa dia. Kak Risya tak payahlah risau. Kami jumpa
sekejap aje. Dekat-dekat sini aje. Iman okey. Jom kita ke balkoni," kata Iman meyakinkan
Arrisya.

Arrisya mengangguk, dia segera bangkit menuju ke balkoni biliknya. Danish hanya
mengekori gerak-geri Iman.

Arrisya sudah tidak mampu menghalang, hanya melihat. Entah kenapa hatinya rasa tidak
sedap. Pasangan di hadapannya kini bukan seperti pasangan yang ingin berkahwin, tetapi
seolah-olah musuh sejak lahir. Tidak ada sinar kemesraan langsung! Yang ada hanya aura
dingin yang menghiasi wajah mempelai.
Danish menutup pintu susur yang memisahkan balkoni itu dengan ruang bilik Iman. Sekarang
balkoni itu hanya milik mereka. Danish menyerahkan sebuah sampul surat di tangan Iman.

Perlahan-lahan Iman terus membuka dan membacanya. Sepertinya surat perjanjian. Sudah
berstem. Begitu nekad nampaknya.

Iman membaca satu per satu syarat dalam surat itu. Ada empat kesemuanya.

Kami bersetuju untuk bersatu dalam pernikahan ini dalam keadaan bersyarat. Bahawasanya
kami masing-masing dengan rela hati bersetuju dan akan mematuhi setiap syarat yang ada di
dalam perjanjian ini sepanjang pernikahan kami. Oleh itu dengan rela hati kami akan
menuruti syarat-syarat pernikahan ini seperti di bawah:

Pertama: Perkahwinan ini adalah atas kehendak keluarga dan Iman tidak berhak ke atas harta
Danish walau sesen pun.

Kedua: Masing-masing tidak berhak mencampuri urusan peribadi diri pasangannya.

Ketiga: Danish membenarkan Iman bebas melakukan apa sahaja yang dia inginkan, tanpa
perlu memberitahu kepada Danish dahulu dan begitu juga Danish bebas melakukan apa
sahaja tanpa sebarang rasa terikat.

Keempat: Mereka hanya akan berpisah apabila Danish melafaskan talak, atau erti kata lain,
Iman tidak berhak meminta cerai.

Usai membaca surat perjanjian itu, tanpa ragu-ragu dan tanpa bertanya walau sepatah kata
pun, Iman terus menurunkan tandatangan. Betapa dia rasa terhina dengan surat itu. Saat ini
dia terasa maruahnya terletak di tapak kaki Danish yang diseliputi lumpur.

Hina sangatkah dia sehingga diperlakukan sebegini rupa? Hatinya terasa hancur apabila
dihina. Terasa malu walaupun dengan diri sendiri.

Kini dia bagaikan sedang menandatangani surat perceraian sebelum bernikah. Hebatkan
dirinya? Siapa sangka? Sememangnya saat ini Iman merasakan maruahnya diletakkan di
tempat yang paling rendah. Lagi hina daripada saat dia mendengar perbincangan antara datuk
dan bakal mentuanya.

Biarlah dia menandatangan surat itu bagi menegakkan sedikit sisa maruah yang masih
diberikan padanya. Biar Danish tahu, dia tidak mengharapkan apa-apa dengan pernikahan ini.

"Kau betul-betul nak kahwin dengan aku? Sampai sanggup bersusah payah macam ni? Oh...
aku tahu... tentu kau tak nak lepaskan aku. Takut kalau-kalau kau tak kahwin pula nanti.
Tengoklah perempuan macam kau ni. Siapa yang nak? Perempuan kampung. Apa ubat yang
kau bagi kat atuk aku sampai dia sayang sangat kat kau ni?" Belum puas agaknya Danish
dengan surat perjanjian itu, lalu dia tegar berbicara demikian.

Sejujurnya, Danish rasa tercabar tatkala melihat ketenangan Iman menurunkan tandatangan.
Ingatnya, perempuan itu akan menangis, merayu padanya. Rupa-rupanya tidak. Iman cukup
tenang. Langsung tiada riak duka. Ego juga gadis ni, rupa-rupanya. Rasa tercabar egonya.
Jadi apa lagi caranya? Hanya tinggal untuk merendah-rendahkan maruah Iman untuk
menunjukkan kehebatannya.

Iman tidak bersuara saat mendengar kata-kata Danish itu. Untuk apa bertegang urat? Tak ada
faedah pun! Ikut suka Danishlah nak cakap apa pun! Dia malas hendak berbalah pada saat-
saat begini. Malah sebarang penjelasan juga tidak diperlukan daripada perjanjian tersebut.

Iman memasukkan semula surat tadi berserta pen ke dalam sampul surat. Lalu tanpa
perasaan, dihulurkan sampul itu kepada Danish. Dia mendongak.

Mata Iman tajam menikam mata Danish sehingga lelaki itu terpaku. Terpukau dengan anak
mata Iman. Dari mata itu terhasil pelbagai rasa dan cerita. Semalam sewaktu dia datang ke
sini untuk mengambil baju nikahnya, dia terserempak dengan Iman yang sedang duduk
membaca novel. Namun dia buat tidak endah. Gadis itu dilihatnya suci daripada sebarang alat
solek, hanya memakai T-shirt putih dan seluar track sambil wajahnya dihias dengan cermin
mata berbingkai tebal. Betul-betul macam ‘nerd’.

Namun kini dia sedar siapa Iman di hadapannya. Seorang gadis yang comel tanpa cermin
mata. Manis dengan solekan nipis walaupun agak tercemar dek bibirnya yang tersenyum
hambar. Mata itu menikam anak matanya. Seolah-olah menceritakan satu kisah sedih dan
perit dalam hidupnya. Irama hatinya seolah-olah hilang rentak. Bercelaru dan kian sukar
ditebak....

"Sejak hari Datin Hajar membawa cincin ke sini, saya berharap sangat awak datang
memutuskan pertunangan kita. Malah saya berdoa agar ikatan suci ni terputus sebelum saya
sempat membinanya. Bila awak datang semalam, harapan saya berbunga... namun hampa.
Kedatangan awak rupa-rupanya bukan untuk memutuskan pertunangan kita. Danish, awak
jangan fikir saya ikhlas dengan apa yang dah dan bakal berlaku sekejap lagi? Awak tak
terfikir ke usia saya terlalu muda untuk semua ini? Tapi saya tak ada hak untuk memilih,
Danish.

"So?" soal Danish perlahan tetapi jelas di pendengaran Iman.

"Saya tetap perlu bernikah dengan awak hari ni. Jika sekarang awak nak saya putuskan
hubungan ni, saya tak mampu. Bukan kerana saya malu... tapi kerana saya tak nak atuk sedih.
Saya minta maaf. Percayalah... tak terlintas di hati saya untuk menjadi isteri awak. Sebab tu
saya sanggup menandatangan surat cerai sebelum sempat saya menandatangan surat nikah.
Beritahu saya, gadis mana yang begitu bertuah, sampai tergamak awak ceraikan saya sebelum
sempat kita bernikah. Saya jadi janda sebelum bergelar isteri orang. Kalaulah awak tahu,
Danish... menjadi isteri awak adalah sesuatu yang paling saya takuti sebenarnya. Apa yang
terjadi sekarang, saya nak awak tahu, bukan kerana saya ingin jadi isteri awak, tapi kerana
saya tak ada pilihan," ucap Iman tenang. Diluahkan segala yang tersirat di hati. Biar Danish
tahu gelodak di jiwanya. Sekurang-kurang lepaslah sedikit dendam di hatinya. Kurang sedikit
beban yang terpaksa dia tanggung.

Merah wajah Danish menahan malu dengan kata-kata Iman Umairah yang bagai satu hinaan.
Egonya yang setinggi langit tiba-tiba bagai mendarat ke bumi. Terasa bagai buku bertemu
ruas. Beribu gadis mengejarnya, namun yang satu ini menyatakan dia langsung tidak ada hati
untuk mengahwininya. Sedangkan selama ini, lirikan matanya sahaja sudah boleh
menyebabkan para gadis terduduk mengikut kehendaknya.

Danish merentap keras lengan Iman Umairah yang ingin berlalu. Kata-kata gadis itu benar-
benar telah menjentik ego lelakinya.

"Kalau kau tak nak perkahwinan ni, kenapa tak kau sendiri batalkan?" Danish mencengkam
kasar lengan Iman.
Berkerut-kerut wajah Iman menahan sakit.

"Saya hanya menumpang. Budi atuk awak pada saya tak terbalas. Hidup saya ni milik
keluarga awak. Apa hak saya nak membantah? Saya bukan awak yang bebas mencatur hidup
sendiri. Kaki saya terikat sebelum saya bisa berjalan. Tangan saya dipotong sebelum saya
boleh menggapai. Saya tak bertuah seperti awak yang masih boleh bersuara dan menyakiti
orang lain. Hidup saya bukan milik saya. Sejak saya melangkah ke rumah ni, hidup saya
milik keluarga awak dan selepas pernikahan ni, hidup saya akan jadi milik keluarga awak
untuk selama-lamanya. Saya ni badut yang hanya tahu menangis. Tengok ajalah sekarang,
awak dah pun belajar menyakiti hati saya sebelum sempat saya belajar mempertahankan diri.
If you don’t mind, boleh tolong lepaskan tangan saya?" Iman melirik ke arah lengannya yang
dicengkam kuat oleh Danish. Sakit, hingga hampir meleleh air matanya.

"Thanks and may Allah bless you. I will always pray for it!" ucap Iman sebaik sahaja Danish
melepaskan cengkamannya.

Lelaki itu terkaku. Dia mendapat jawapan daripada kesedihan mata itu. Seketika dia
memahami kenapa pedihnya mata itu bercerita tadi. Hatinya tersentuh di ruang paling dalam.
Kata-kata yang ikhlas dan penuh jujur, itu yang mengusik hatinya.

"AKU terima nikahnya Tengku Iman Umairah Binti Tengku Mohammad Farid dengan mas
kahwin dua puluh dua ringgit tunai."

Dengan kali kedua lafaz, Iman tahu kini dia sudah menjadi milik Aiman Danish Dato’ Arif.
Hatinya menjerit tidak rela.

Iman menunduk. Setitis air mata jatuh di pipinya. Bukan air mata gembira, namun air mata
itu melambangkan betapa deritanya dia. Iman benar-benar berharap keputusannya ini tepat
walaupun hatinya meragui.

Iman melihat ke arah ayahnya yang menjadi wali. Setelah enam belas tahun menghilang, kini
baru dia berpeluang bertemu dengan ayahnya. Tengku Mohammad Farid adalah ayahnya dan
tiada siapa yang tahu hal itu kerana sejak dulu lagi ayah telah membuang dirinya dan
abangnya.

Tanggungjawab seorang ayah kini telah beralih pada Danish. Terdetik di hati Iman
bagaimana seorang ayah sanggup mengahwini anaknya dengan seorang lelaki yang langsung
tidak dia kenali. Tidak takutkah dia dengan masa depan anaknya nanti? Tapi apabila
difikirkan semula, untuk apa Tengku Farid memikirkan masa depannya? Sedangkan selama
ini lelaki itu tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah pada dia dua
beradik.

Abang, tolong Iman bang!!! Hati Iman menjerit. Mungkinkah abangnya yang berada nun jauh
beribu batu itu boleh mendengar luahan hatinya? Bolehkah satu-satunya saudara yang dia
ada, menyelamatkan dirinya? Apa kata abangnya nanti? Masihkah abangnya tidak percaya
adiknya ini sudah menjadi milik orang? Pelbagai persoalan berlegar-legar di fikirannya.

DANISH melihat air mata itu jatuh di pipi Iman. Hatinya tersentuh tatkala melihat air mata
itu. Walau seribu orang menyatakan air mata itu adalah air mata gembira, namun Danish tahu
Iman ’berkabung’ dengan pernikahan ini. Danish mengetahuinya... cuma rasa ego
menghalang untuk dia mengakuinya. Tidak sangka dia yang menjadi rebutan ramai gadis di
luar sana, tidak mampu menarik perhatian Iman. Entah kenapa hati Danish tiba-tiba berdebar
tidak menentu....

Danish mendekati Iman. Dia mengangkat jari manis isterinya itu lalu disarungkan dengan
sebentuk cincin. Tangan Iman sejuk dan menggeletar saat menyalami tangannya. Tenang
hatinya tatkala bibir comel itu menyentuh lembut belakang tangannya. Terbit rasa kasihan di
hati Danish.

Perlahan-lahan Danish mengangkat wajah Iman dan menyapu lembut air mata yang
membasahi wajah sayu itu. Seketika dia tunduk lalu mencium dahi isterinya. Hanya itu yang
mampu dia lakukan untuk Iman saat ini. Maruah wanita itu perlu dipelihara di hadapan para
tetamu.
"Tahniah, Iman. Kak Risya gembira sangat. Aduh!" Arrisya menjadi orang pertama yang
mengucapkan tahniah.

Arrisya mencium kedua-dua belah pipi Iman, lantas memegang perutnya. Sudah sampai
waktu agaknya. Memang dia hanya menanti waktu untuk bersalin.

"Kak Risya, kenapa ni? Dah sampai waktu ke?" Iman menjadi panik melihat wajah Arrisya
yang nampak berpeluh.

"Sakitnya Iman. Abang!!!" jerit Arrisya memanggil suaminya.

Johan yang terkejut mendengar jeritan Arrisya, tergesa-gesa menghampiri isterinya.

"Kenapa sayang? Dah nak bersalin ke?" tanya Johan macam orang bodoh.

"Sakit abang..." rengek Arrisya manja.

Johan pantas memaut tubuh isterinya. Dia panik. Tak tahu hendak buat apa?

"Abang Johan. Kita bawa Kak Risya ke hospital. Dah nak bersalin agaknya ni." Tak peduli
akan majlisnya itu, Iman menolong Johan memapah Arrisya ke kereta. Kunci kereta sudah di
tangannya.

"Awak nak pergi mana ni? Kan majlis kita ni?" Danish cuba menghalang Iman. Sebelah
tangannya menahan Iman daripada membuka pintu kereta.

"Nak hantar Kak Risya. Pedulikan majlis ni. Nyawa orang lagi penting. Nyawa akak dan
anak saudara saya lagi penting." Suara Iman Umairah kedengaran tegas. Matanya menyala
memandang mata Danish. Dalam lembut wajahnya, terpancar riak tegas yang sukar dibantah
oleh sesiapa.
"Bagi kat saya kunci tu. Duduk kat sebelah." Danish merampas kunci di tangan Iman. Kata-
kata isterinya itu menyentap egonya. Apalah sangat majlis ini jika ingin dibandingkan dengan
nyawa kakaknya?

Danish masuk ke dalam kereta lalu menghidupkan enjin. Tanpa membantah, Iman pantas
mengambil tempat duduk di sisi Danish.

"Kak Risya... sabar ya...." Iman nampak sangat cemas. Lebih cemas daripada Danish, adik
Arrisya sendiri.

Sesekali Iman menoleh ke arah Arrisya. Risau dia. Bertambah risau mendengar rintihan
kakak iparnya itu.

Danish memerhati Iman yang duduk di sebelahnya. Sesekali kelihatan gadis itu memandang
ke belakang dengan wajah yang risau. Nampak benar Iman lebih risau daripada dirinya yang
berkongsi rahim ibu dengan Arrisya. Malah, mama dan papanya juga tadi nampak tidak
teruja pun dengan keadaan kakaknya itu. Baiknya budak ni, detik hati Danish.

ARRISYA dibawa masuk ke bilik bersalin sebaik sahaja sampai di hospital sejak lebih dua
jam yang lalu. Iman dan Danish sabar menanti di luar. Johan menemani isterinya di dalam
bilik bersalin yang masih tertutup rapat itu. Jam sudah menjangkau hampir pukul satu petang.
Walau sudah berjam mereka di situ, namun tidak seorang pun ahli keluarga yang lain ada
datang menjenguk. Pasti mereka sibuk melayan tetamu yang datang sedangkan pengantinnya
tiada. Ahhhh... peduli apa! Mereka lagi suka begini. Iman lagi rela begini. Jauh daripada
semua orang. Jauh daripada kepura-puraan yang dia sendiri benci.

"Saya laparlah. Nak beli makanan sekejap. Awak nak apa?" Danish memecah kesunyian.

Mendengar pertanyaan itu, Iman pantas berpaling ke arah Danish.

"Tak apa. Saya tak lapar lagi. Awak pergilah makan." Iman menjawab lembut dengan sebaris
senyuman di bibirnya.
Manis senyuman yang ikhlas itu di mata Danish. Entah buat kali keberapa di dalam beberapa
jam ini, dia jatuh hati pada Iman Umairah. Hanya kerana lirikan mata. Hanya dengan satu
senyuman. Hanya dengan sebaris ayat....

"Suka hati awaklah."

Danish bergerak pergi. Bibirnya melepas keluhan kecil. Entah kenapa hatinya berdebar sejak
melihat air mata Iman di majlis mereka tadi. Makin lama bersama Iman, hatinya makin
terusik.

Kalau dia mengikut akalnya, terus terang dia mengakui dia hampir sahaja ingin membatalkan
majlis akadnya. Dia tidak sanggup menjadi satu lagi duri di dalam hidup gadis itu. Masih
terngiang-ngiang di telinganya kata-kata Iman tempoh hari. Satu kenyataan yang akan
membuatnya rasa bersalah setiap kali teringat. Kata-kata yang tak mungkin dia lupakan.

"Hidup saya bukan milik saya. Sejak saya melangkah ke rumah ni, hidup saya milik keluarga
awak dan selepas pernikahan ni, hidup saya akan jadi milik keluarga awak untuk selama-
lamanya. Saya ni badut yang hanya tahu menangis... dan menangis...."

Badut yang menangis. Benar, kerana itu tangisan Iman mengusik hati Danish. Dia tahu Iman
benar. Kuasa di tangannya bukan di tangan Iman. Berderu rasa bersalah di hatinya. Sudahlah
gadis itu dipaksa datuknya, dan dia menambah derita di hati gadis itu dengan kata-kata dan
perjanjian yang tidak masuk dek akal. Kalau difikir berkali-kali, malu besar rasanya.

Danish masuk ke kafeteria tersebut. Banyak mata memandangnya. Ah… pasti mereka hairan
melihatnya berpakaian persis pengantin. Memang aku pengantin pun... Jangan mereka fikir
aku ni kahwin kat hospital sudah, bisiknya. Danish cuba tidak mengendahkan mata-mata
yang memerhatikannya.

Danish meninjau beraneka jenis makanan yang terhidang di kafe hospital itu. Namun tidak
ada satu pun menarik perhatiannya. Sudahnya dia mengambil beberapa keping sandwic untuk
dirinya dan Iman. Mulai sekarang, dia harus belajar untuk lebih bertanggungjawab.
Tanggungjawab? Perlu ke dia melaksanakan tanggungjawab yang bukan dia pinta ini? Bukan
dia yang inginkan perkahwinan ini? Jadi perlukah dia perlu melaksanakannya?

Langkah Danish terhenti tatkala melihat pasangan di hadapannya. Niatnya hendak mengalas
perut dengan sandwic bersama Iman terbantut. Kelihatan wajah Iman yang tunduk kesedihan
dan seorang pemuda yang memakai pakaian doktor, merenung ke arah isterinya itu. Entah
apa yang mereka bualkan. Danish sendiri tidak dapat mendengarnya. Yang jelas, doktor
muda itu memandang sayu ke jari Iman yang dihiasi inai dan sebentuk cincin berlian.

Hati Danish tertanya-tanya, siapakah pemuda itu? Apakah hubungan mereka? Kenapa
pandangan sayu itu seolah-olah menceritakan satu kisah percintaan yang tidak kesampaian?
Ah... Danish tiada jawapannya. Untuk dia bertanya pada Iman, tak mungkin. Danish
melangkah pergi. Bungkusan sandwic untuk dirinya dan Iman tadi sudah menjadi habuan
tong sampah. Perasaannya tiba-tiba berkecamuk.

"IMAN dah nikah Hadi." Ayat itu perlahan-lahan keluar dari mulut Iman.

Hadi, seniornya zaman persekolahan dulu. Seorang lelaki yang pernah melamar hatinya,
malah telah menyuarakan hasrat hatinya agar mereka bertunang ketika mendapat tahu yang
dia akan ke Liverpool. Walau dia tidak pernah membalas cinta Hadi, sesungguhnya Iman
lebih rela menjadi isteri Hadi berbanding Danish yang tidak berperasaan itu.

"Hadi tahu Iman. Mungkin dah bukan jodoh Hadi dengan Iman," kata Hadi tenang. Baginya,
Iman tidak perlu tahu betapa terlukanya dia. Bukan sehari dua dia menyimpan perasaan pada
gadis itu. Sejak mengenali Iman melalui adiknya lima tahun lalu... saat itu dia bergelar pelajar
perubatan sehinggalah sekarang sebagai doktor pelatih.

"Iman minta maaf kalau Iman dah sakitkan hati Hadi." Hanya kata-kata maaf mampu
dihulurkan saat ini.
"Tak perlu minta maaf, Iman. Iman tak bersalah. Hadi minta diri dulu. Jaga diri baik-baik.
Kalau ada jodoh nanti... pasti kita akan berjumpa lagi." Hadi menundukkan sedikit kepalanya
memohon diri.

Iman menghantar pemergian Hadi dengan rasa penuh bersalah.

Bab 2

IMAN leka dengan bayi yang baru lahir itu. Alhamdulillah, masih ada rezeki untuknya
bersama dengan ahli keluarga baru ini. Jehan Danial nama diberi. Comel. Mata dan
hidungnya lebih mewarisi wajah si ibu, namun yang lain semuanya menyerupai wajah si
ayah.

Arrisya bersandar lemah di bahu Johan yang duduk di tepinya atas katil dalam wad kelas
pertama itu. Penat dan segala sakitnya berganti bahagia melihat wajah si kecil. Tanda cinta
hatinya. Penyambung zuriat dia dan Johan.

"Comelnya dia Kak Risya." Iman sangat teruja dengan kelahiran itu. Arrisya yang bersandar
lemah di bahu si suaminya tersenyum mendengar. Kenal benar dengan sikap Iman yang
gemarkan kanak-kanak itu.

"Danish mana?" tanya Arrisya. Dia baru perasan ketiadaan adiknya. Dia memang terhutang
budi pada adiknya dan Iman. Tak sangka kedua-dua mempelai itu sanggup meninggalkan
majlis mereka demi untuk bersamanya di sini.

Iman terus memandang ke arah Arrisya. Tidak tahu untuk menjawab apa. Tadi Danish
meminta diri untuk membeli makanan, tetapi sampai sekarang Danish tidak menampakkan
lagi wajahnya. Beli makanan ke buat makanan? gerutunya di dalam hati.

"Iman! Danish mana?" Sekali lagi Arrisya bertanya.


Kali ini Iman terjerat. Takkan isteri yang baru kahwin kurang dari tiga jam, nak menjawab
tak tahu ke mana suaminya menghilang. Kantoilah!

Namun belum sempat membuka mulut, kelihatan pintu wad kelas pertama itu ditolak dari
luar. Tersembul wajah Danish yang mencuka.

Danish yang masuk ke wad itu hairan apabila tiga pasang mata memandang tepat ke arahnya.

"Kenapa?" Terpancul soalan itu dari mulut Danish yang jelas kehairanan. Pertanyaan itu
segera mengalihkan pandangan mata setiap insan yang merenungnya tadi.

"Hm... tak ada apa. Danish dari mana tadi?" Johan bertanya menyelamatkan keadaan. Dia
tahu Danish kehairanan. Dia tak mahu Danish berprasangka pada mereka. Walau selama ini
hubungannya dengan Danish tidak mesra, namun tidak juga dingin. Jadi hubungan itu perlu
pelihara agar menjadi bertambah baik.

"Dari kantin. Lapar. Ini ke anak buah baru Danish? Siapa nama dia?" Danish segera bertanya.
Matanya tertarik pada si kecil di dalam dukungan Iman. Sungguh kecil dan comel. Lagipun
dia tak mahu disoal siasat kenapa lama sangat dia di kantin tadi? Sedangkan sebenarnya tadi,
dia ke taman hospital bagi menenangkan fikiran. Serabut otaknya memikirkan soal hubungan
Iman dengan doktor muda itu tadi.

"Hmmm... Jehan Danial. Jehan Danial bin Mohd Johan." Arrisya menjawab lemah. Namun
wajahnya terpancar cahaya kepuasan dan kegembiraan. Rasa syukur yang tidak mampu untuk
dizahirkan dengan kata-kata.

Danish menghampiri Iman. Dia berdiri di sisi isterinya itu. Ingin melihat lebih dekat wajah
anak kecil yang pasti akan menceriakan suasana keluarganya. Comel sangat. Tidak puas
melihat sebegitu. Danish beralih ke belakang Iman sambil menunduk sedikit untuk melihat
anak kecil itu. Tanpa sedar, wajahnya hampir mengenai wajah Iman. Malah pipi mereka
hampir bersentuhan. Mungkin kerana teruja, Danish meletakkan tangan kanannya
bergantungan di atas bahu kiri Iman sambil dagunya diletakkan di atas bahu kanan Iman.
Sangat mesra pada sesiapa yang memandang.
Jantung Iman seakan ingin berhenti daripada berdegup. Sedangkan ketika merasakan pipi
Danish hanya seinci dari pipinya pun, Iman rasa nafasnya sudah singkat, inikan pula berada
dalam kedudukan sekarang.

Iman ingin Danish cepat-cepat berlalu. Kenapa pulalah dengan lelaki ini? Kalau hendak
berlakon sekalipun, bukan di sini tempatnya. Di depan kakak ipar dan birasnya? Hish... rimas
Iman dibuatnya.

Arrisya dan Johan memandang kedua-duanya dengan senyuman. Adat pengantin baru
memang begitu. Joham mencapai perakam di atas kabinet kecil di tepi katil isterinya lalu
merakam gelagat pasangan pengantin baru itu.

IMAN melangkah masuk ke dalam biliknya. Wajahnya masih ceria dengan senyuman
bahagia. Bukan gembira kerana pernikahannya yang baru berusia beberapa jam. Bukan juga
kerana seri pengantin, tetapi semuanya kerana kehadiran sekecil yang comel itu. Saat ini
Iman sendiri terlupa yang dia kini sudah menjadi milik orang. Betapa sayang rasanya untuk
melepaskan Jehan pergi daripada dukungannya tadi. Ahhh... dia sudah merindui si kecil itu.

"Hai, senyum macam kerang busuk ni kenapa?"

Suara yang tidak berapa hendak sedap itu mengejutkan Iman. Dia berpaling. Terkejut tatkala
melihat Danish selamba berbaring di atas katilnya.

"Macam mana awak boleh ada kat sini?" Iman bertanya bagi menutup rasa berdebarnya.
Cuak juga dia. Ini kali pertama dia sebilik dengan seorang lelaki. Ini juga kali pertama lelaki
masuk ke biliknya. Atuknya sendiri tak pernah masuk ke biliknya. Danish ni memandai saja
nak masuk ke biliknya.

"Kenapa pula? Akukan suami kau," jawabnya selamba.


Iman kaget. Sungguh dia sudah terlupa hal itu. Bagaimanalah dia boleh terlupa hari yang
penuh ‘bahagia’ ini? Bukankah hari ini yang perlu dia ingat untuk seumur hidup dia. Hari
yang dia rasa terhina sangat sehingga tak mampu untuk diraikan.

"Hm... saya terlupa... awak keluarlah dulu. Saya nak mandi kejap," Iman berkata lembut. Dia
malas hendak bertekak. Malas hendak ambil pusing sangat. Sambil itu dia mengambil tuala
dan baju dari dalam almari.

"Awak dengar tak?" Iman naik bengang dengan sikap selamba Danish. Sedikit pun lelaki itu
tidak berganjak dari katil itu.

"Kenapa pula kena keluar? Suka hati akulah nak duduk lama mana pun dalam bilik ni. Kau
tak payah takutlah. Aku tak teringin pun nak tengok kau," kata Danish celopar.

Panas hati Iman yang mendengarnya. Dia terus masuk ke kamar mandi. Kalau dilayan nanti,
dia juga yang sakit jiwa.

Danish tersenyum senang kerana dapat mengenakan Iman.

DANISH beralih posisi. Dia mengiring ke kanan kali ini. Matanya tertangkap bagasi besar
milik Iman yang terisi penuh dengan pakaian. Mungkin itu bagasi untuk Iman bawa ke
Liverpool. Dari celah-celahan pakaian itu, Danish ternampak sebuah buku berkulit tebal.
Entah kenapa hati Danish tercuit untuk mengambil buku itu.

Dengan malas, Danish bangun merapati bagasi biru itu. Buku berkulit tebal tersebut ditarik
keluar. Selamba dia membuka helaian depan buku itu. Perkataan pertama yang dia jumpa
ialah, ‘kehidupanku’. Buku apa itu? Mungkinkah diari Iman? Seronok ni. Makin teruja
Danish dibuatnya. Danish semakin berani membuka helaian demi helaian buku itu.

Danish membaca catatan hidup gadis yang bergelar isterinya kini. Ralit dia membaca dairi
itu. Satu per satu satu tersingkap segala cerita dan peristiwa di dalam hidup gadis bernama
Iman Umairah itu. Ada kisah lucu dan ada juga kisah yang mengusik hatinya.

Saat mendengar pintu bilik mandi dibuka, Danish segera menyembunyikan diari itu. Dia
berpaling.

Kelihatan Iman keluar dengan hanya memakai T-shirt dan tuala paras betis. Rambutnya yang
basah dengan tuala kecil. Wajahnya nampak segar. Sesungguhnya Danish tergoda. Berdegup
laju jantungnya. Naluri lelakinya terusik. Tergoda seketika sehingga matanya sendiri tidak
mampu dialihkan.

Tak boleh jadi ni! Awal-awal lagi pertahanannya sudah goyah. Tadi bukan main sombong,
kata tak berselera tengok Iman. Ini baru tengok Iman macam tu, dia sudah hilang arah.
Bimbang nafsunya tidak dapat dikawal, Danish melangkah keluar. Diari tadi sudah awal-awal
lagi disembunyikan di dalam baju. Mulai hari ini, diari tersebut akan bertukar tuan. Dia akan
menjadi tuannya. Nasiblah kalau Iman!

BAB 3

JEHAN DANIAL... bayi yang dilahirkan pada hari pernikahannya. Sekali lagi Iman
memerhatikan wajah merah Jehan di screen laptopnya. Sayang dia hanya sempat beberapa
jam bersama ahli baru itu sebelum bergegas ke airport mengambil penerbangan ke London,
kemudian dia akan ke Liverpool untuk menyambung pelajarannya.

Sekilas Iman menoleh ke arah Danish yang duduk di sebelahnya. Dia tidak menyangka akan
bersama dengan Danish di dalam penerbangan ini.

Baru tadi dia tahu Danish merupakan penuntut tahun akhir di London University. Danish
kembali ke Malaysia hanya kerana pernikahan mereka. Dia juga bersimpati pada Danish.
Rupa-rupanya Danish juga menjadi mangsa percaturan keluarga sepertinya juga. Rasa
bersalah pula atas kata-kata yang diluahkannya sebelum ini. Jadi, dia tidak menyalahkan
Danish atas segala keterlanjurannya tadi.

Iman tahu kini, segala-galannya hanyalah satu salah faham. Hendak minta maaf, rasa takut
pula. Dah dua jam lebih mereka duduk di dalam kapal terbang ini. Namun sepatah kata pun
haram keluar dari mulut Danish. Lelaki tu membuat Iman ni seolah-olah orang halimunan
aje.

Kesejukan di dalam kapal terbang membuat Iman terasa ingin ke tandas. Perlahan-lahan dia
bangkit meninggalkan Danish yang sedari tadi mendengar MP4 di telinganya. Tanpa
pamitan, dia berlalu pergi. Dia tak ingin menganggu lelaki itu. Entah kenapa, sejak keluar
dari bilik tadi, Danish langsung tidak ingin berbicara dengannya. Setiap katanya tidak
dilayan, setiap pertanyaannya dijawab kasar. Macam manalah dia hendak berbaik dengan
Danish kalau macam ni.

Danish melihat dari ekor matanya, tatkala Iman bangun dari tempat duduknya. Dia kembali
mengeluarkan semula diari berkulit tebal itu. Buku yang secara senyap diambil dari dalam
beg baju Iman pagi tadi.

Danish menyambung kembali bacaannya. Menyelami kembali dunia gadis itu. Sedikit demi
sedikit dia mengakui kata-kata Iman, yang hidupnya memang terikat pada keluarga Danish.
Iman rasa terhutang budi pada datuknya. Dari cerita Iman, dari kisah Iman, Danish dapat
merasakan yang Iman sentiasa meletakkan kebahagiaan Tuan Haji Aman lebih daripada
kebahagiaannya sendiri. Iman ingin menjadi seorang guru, tetapi terpaksa tunduk pada
permintaan Tuan Haji Aman untuk mengambil jurusan perniagaan. Iman tidak mahu bernikah
kala usia muda, namun terpaksa menurut kehendak datuknya yang memujuk. Danish tidak
mampu untuk bayangkan dunia Iman itu bagaimana?

Namun sesekali terbakar juga hatinya apabila setiap coretan di dalamnya terselit nama-nama
yang menggetarkan hati lelakinya. Pada dasarnya kini barulah dia tersedar yang dia
mengahwini kekasih orang. Kejamnya datuk kerana memaksa gadis itu mengahwininya
hanya kerana datuk tidak ingin gadis itu terpisah jauh dari keluarganya. Walau datuk tahu
Iman sudah menjalin ikatan dengan pemuda lain. Pemuda yang cukup dipujanya. Pemuda
yang sudah menghantar wakil untuk melamarnya. Sekali lagi tinta itu dibaca.

Maafkan iman, abang. Iman tak berdaya. Hidup ini milik mereka. Bukan Iman mahukan
semua ini. Harta berjuta tak mungkin boleh membeli hati Iman, tetapi budi yang dihulur itu
tak mungkin Iman lupakan. Iman doakan abang bahagia dan sentiasa berjaya....
Siapa lelaki ini? Hati Danish tertanya-tanya. Rasa cemburu yang hadir, tak juga mampu
diusir. Dia akui, lelaki itu bertuah mendapat gadis setulus Iman. Iman yang dilihat terlalu naif
itu mempunyai hati yang tulus ikhlas di matanya.

Tiba-tiba dia terbayangkan wajah doktor muda yang nampak kekok berbual dengan Iman di
hospital tempoh hari. Namun tatkala melihat renungan sayu doktor itu pada jari-jemari Iman
yang indah berinai, hati Danish terdetik sesuatu. Benarlah... dia telah berkahwin dengan
kekasih orang.

"ADIK tak apa-apa?"

Suara Iman membuat Danish menoleh. Kelihatan Iman melutut memujuk seorang kanak-
kanak perempuan. Danish tersenyum. Sejuk hatinya melihat sifat keibuan Iman. Dia sedar
Iman memang gemarkan kanak-kanak. Iman kelihatan tidak kekok mendukung Jehan yang
baru lahir beberapa jam. Malah Iman kelihatan berseri mendukung bayi yang kecil itu.
Alangkah untungnya anak mereka nanti mendapat ibu sebaik Iman. Anak mereka? Hatinya
tersentap! Kenapa pula anak mereka? Mereka tidak mungkin bersama. Egonya mematahkan
lagi angan-angan itu.

Danish menggeleng-gelengkan kepala. Dia perlu hapuskan angan-angan yang sia-sia itu.
Antara dia dan Iman adalah sesuatu yang mustahil terjadi. Iman bukan cita rasanya dan tidak
mungkin menjadi cita rasanya. Dia perlukan seorang perempuan yang cukup gah untuk
dijadikan pendamping buat kerjayanya nanti.

Menyedari Iman akan kembali ke tempat duduknya sebentar lagi, Danish cepat-cepat
menyumbat buku di tangannya ke dalam beg. Kemudian berlagak senyap tidak berperasaan.

Iman kembali ke tempatnya. Dia melemparkan senyuman ikhlas pada Danish, namun
senyuman ikhlasnya dipandang sepi tidak berbalas. Iman sedikit pun tidak terasa. Baginya,
dia tak larat melayan kerenah prejudis orang kaya. Lantak Danishlah hendak buat apa pun.
Dia malas untuk ambil tahu.
"DANISH!"

Sebaik keluar dari balai ketibaan, terdengar nama Danish dilaung seseorang. Saat itu
kelihatan seorang gadis berjalan menuju ke arah mereka. Tanpa malu dan segan, gadis itu
terus memeluk Danish.

"Oh... you must be Iman. I Maya, kekasih Danish. Walau you dah kahwin dengan Danish,
tapi jangan harap Danish akan jadi milik perempuan perampas macam you. Tengoklah you
ni? Memang tak layak buat Danish. Kan sayang?"

Danish hanya senyap melihat kelincahan kekasihnya itu. Dia hanya berdiam diri saat maruah
isterinya direndah-rendahkan. Memang jelas Danish lebih mengutamakan Maya berbanding
isterinya. Yalah... kekasih pujaan hati, bukan macam Iman, isteri bukan pilihan.

"Jom Maya, kita balik." Tanpa pamitan Danish menarik Maya lalu berlalu pergi.
Meninggalkan Iman sendirian di tempat asing itu. Sampai hati Danish... tidak adakah rasa
tanggungjawab itu dalam dirinya? Iman terkedu seketika. Dia akur kini... dia perlu
mencaturkan hidupnya bersendirian di bumi asing ini.

Sakitnya hati... Iman tak mampu meluahkan rasa di hati. Sudahlah berjam-jam di dalam kapal
terbang, Danish langsung tak nak bercakap dengannya. Lepas tu sekarang senang-senang
pergi dengan perempuan lain. Tinggalkan dia seorang diri di tempat asing. Tak berhati perut
langsung. Kalau suami lain berusaha mencari jalan menyembunyikan kecurangan, Danish
pula selamba aje buat onar depan isterinya. Memang berani mati betullah lelaki ni. Dia ingat
aku ni siapa? Alah, tak hairanlah. Ingat aku hadap sangat ke dengan dia!

Iman pantas mengeluarkan buku kecil dari beg galasnya. Dia menghampiri telefon awam
yang tersedia di situ.
DARI kejauhan Danish memerhati Iman menolak troli. Entah apa merasuknya tadi, sehingga
sanggup meninggalkan gadis itu sendirian di negara asing ini. Mungkin kerana egonya. Kini
dari balik tiang, dia memerhati wajah Iman yang kelihatan mencuka itu. Dia bukan seorang
lelaki yang tiada hati perut. Masakan dia sanggup meninggalkan gadis mentah itu sendirian di
bumi asing ini.

"You tunggu apa lagi ni?" rengek Maya pada Danish. Pelukan pada lengan Danish dieratkan.
Tadi dia rasa gembira saat Danish mengajaknya pergi tanpa langsung mempedulikan Iman.
Namun apabila Danish menariknya berhenti di balik tiang ini, rasa gembiranya sedikit
terusik.

"Kalau you nak balik, you baliklah dulu. I boleh balik sendiri nanti." Tanpa menjawab
persoalan itu, Danish memberi keputusan. Matanya tidak lari daripada melihat Iman. Terasa
sedikit kesian apabila melihat gadis itu terkial-kial menyorong troli bagasi besar itu
bersendirian.

"You ni kenapa? Nak tunggu budak tu ke? You risaukan dia?" Maya rasa tergugat. Melihat
mata Danish tak beralih pun daripada melihat Iman, menambahkan rasa cuaknya. Danish
benar-benar risaukan Iman. Cinta Danish beralih arah ke? Benar ke? Takkan semudah dan
secepat itu. Baru seminggu mereka berpisah.

"You senyap boleh tak? Dia tu budak lagi. Baru pula kat sini. Apa-apa jadi kat dia,
tanggungjawab I tau. Kalau you nak balik, balik ajelah." Keras suara Danish memberi kata
dua. Rimas dengan Maya yang asyik merengek itu. Hai... bila masa pula Danish pandai terasa
rimas ni? Bukan ke selama ini Maya itu yang Danish angkat sebagai seorang gadis yang
paling sesuai buatnya?

Maya sedikit tersinggung. Dia dapat rasakan, jika dia tidak benar-benar pelihara hubungan
ini, hubungannya dengan Danish boleh putus bila-bila masa saja. Sekarang dia sudah ada
pesaing di dalam merebut kasih Danish dan pesaingnya itu ada kelebihan yang tiada padanya.
Iman adalah isteri Danish. Isteri yang sah. Sedangkan dia? Dia bukan siapa-siapa pada lelaki
itu. Dia hanya kekasih yang bila-bila masa saja boleh ditinggalkan.
Danish memerhati Iman yang sedang menelefon seseorang. Telefon siapa pula tu? Agaknya
dia menelefon atuk di Malaysia. Alamak! Baru Danish teringat, Iman tak ada nombor telefon
dia di sini. Danish juga terlupa hendak membeli telefon bimbit untuk Iman di sini. Ya Allah
bertambah rasa bersalah Danish dibuatnya.

FARHAN meninjau sambil melilau matanya memerhati keadaan sekeliling. Apa yang pasti,
dia mencari seseorang. Seseorang yang amat dirinduinya. Seseorang yang amat dikasihinya.
Seseorang yang mampu membuatkannya gembira hanya dengan satu panggilan telefon saja.

"Abang Farhan!"

Mendengar namanya disebut, Farhan berpaling. Kelihatan gadis yang ditunggunya. Iman.
Adik tersayang. Adik yang terpaksa berpisah dengannya kerana perceraian ibu bapa mereka.
Walau jauh beribu batu jarak memisahkan mereka, namun talian persaudaraan itu tetap utuh.
Terima kasih pada pencipta telefon dan emel. Itulah medium mereka untuk merapatkan jarak
dan ruang.

"Iman!"

Farhan pantas menghampiri Iman lalu memeluk gadis itu. Dia terlalu rindukan Iman, satu-
satunya saudara kandungnya. Selepas kematian ibu mereka, Farhan mengikut Auntie Sue,
kawan baik ibu ke negara asing ini. Di sini dia bersekolah dan di sini jugalah dia menuntut.
Bukan tak teringin balik menjenguk adiknya cuma keadaan tak mengizinkan.

"Apalah abang ni. Malukan adik aje." Iman menumbuk lembut bahu abangya. Dua jam dia
menunggu Farhan tadi. Namun penat menunggu itu hilang hanya melihat wajah gembira
abangnya.

Ada sesuatu pada jari-jemari Iman yang menarik perhatiannya. Tangan Iman yang ingin
menumbuknya tadi pantas ditangkap. Jari yang berinai dan tersarung cincin itu ditenung
lembut. Benarlah kini adiknya sudah jadi milik orang. Ingatkan e-mel seminggu yang lepas
hanya satu gurauan. Menyesal pula rasanya kerana tidak mempercayai adiknya itu. Dia
terlalu ambil ringan sehingga terlepas untuk sama-sama meraikan hari bahagia adiknya itu.

"Adik betul-betul dah kahwin ya? Abang ingatkan adik main-main aja." Syahdu suara Farhan
kedengaran.

Iman tahu abangnya ralat kerana tidak dapat menghadiri majlis pernikahannya. Bukan salah
abang pun. Jauh di sudut hatinya, dia bersyukur kerana Farhan tidak balik pada hari
pernikahannya. Bukannya dia tak suka, tetapi kalau abangnya ada, bimbang kecoh jadinya.
Mahu jadi WWF majlis pernikahannya. Bukan dia tak tahu abang bukannya boleh bertemu
muka dengan papa.

"Itulah abang. Susah sangat nak percaya cakap adik sendiri. Sekarang ada percayakah?" tanya
Iman dalam nada lucu. Seboleh mungkin dia tak mahu abangnya tahu kisah di sebalik
perkahwinannya. Biarlah di mata abangnya dia sedang berbahagia dengan pilihan hati yang
dicintainya walaupun sebenarnya tidak.

"He he he... jom dik. Mama Sue dah tunggu. Nanti adik kena cerita segala-galanya tentang
perkahwinan adik. Siapalah lelaki malang yang dapat adik abang yang manja dan selekeh ni,"
usik Farhan. Troli yang tadi di tangan Iman, kini beralih tangan.

Dalam hati, Iman bersorak gembira. Mulai hari ni, dia bebas! Bebas sebebasnya. Bebas
daripada cengkaman sesiapa saja. Jauh dari pandangan orang-orang yang sering
mengongkong hidupnya. Ha ha ha… terima kasih Danish atas syarat awak yang ketiga.
Padan muka! Silap orang la awak nak buli. Saya lagi suka sebenarnya syarat-syarat awak tu!

DANISH tanpa sedar menumbuk dinding di hadapannya. Biarlah sakit, tetapi tidak sesakit
hatinya saat ini. Dua jam dia menunggu Iman, ingin memastikan keselamatan Iman. Setiap
gerak-geri gadis itu diawasi. Hampir sahaja dia merapati gadis itu semula kerana menyangka
Iman hilang arah tuju. Menunggu selama dua jam itu cukup mencabar imannya. Sehingga
egonya tewas dan ingin mendapatkan gadis itu.
Baru sahaja Danish ingin melangkah menghulurkan bantuan. Dia melihat seorang lelaki
menuju ke arah isterinya. Kemudian lelaki itu memeluk isterinya itu. Mereka kelihatan mesra
sekali. Melihat cara kedua-duanya bergurau, Danish percaya mereka memang sudah kenal
lama. Malah Danish percaya hubungan mereka semestinya lebih daripada seorang kawan.
Siapa lelaki itu? Itu persoalannya sekarang.

"Huh! Tak sangka, perempuan macam dia tu ada peminat juga. Boleh tahan hensem. Tapi
kalau atuk you tau...tentu sakit jantung orang tua tu. Yalah... menantu pilihan dia. Nampak
aje baik, tapi rupa-rupanya curang!"

Kata-kata Maya menusuk hati Danish. Curang? Sesuai ke perkataan itu sedangkan kalau nak
diikutkan, mereka bukannya ada apa-apa pun. Ikatan yang Danish sendiri tidak akui, malah
Danish awal-awal lagi sudah memberi hak kebebasan itu pada Iman.

"Jom kita balik." Danish mengajak Maya pulang. Dia tak mahu terus berada di situ. Dia tak
sanggup! Semakin lama dia di situ, semakin serabut otaknya. Semakin lama dia dekat dengan
Iman, semakin berbelah bahagi hatinya.

BAB 4

IMAN baru selesai kuliah. Kepenatan membawanya berehat seketika di sofa empuk. Pejam
celik, sudah setahun lebih dia berada di bumi asing ini. Dia bahagia sekarang. Saban
waktunya terisi dengan kasih sayang dari Mama Sue dan abangnya. Kehidupannya lengkap.
Harinya sibuk dengan kuliah dan tugasan. Di hujung minggu pula dia akan balik ke rumah
Mama Sue, ibu angkat dia dan abangnya. Mama Sue yang juga dulu adalah kawan baik
kepada ibunya.

Danish? Lelaki itu dia sudah lupakan sama sekali. Well buat apa nak ingat? Buat sakit otak
aje. Tapi benarkah begitu? Tetapi kenapa sampai sekarang dia masih setia pada suaminya?
Kenapa dia masih ingat sepotong nama ‘Aiman Danish’? Kenapa hanya kerana sepotong
nama itu, boleh membuatnya menolak lelaki-lelaki yang datang melamarnya sebagai
kekasih? Hati jawablah dengan sejujurnya....
Namun diakui lebih baik mereka begini. Danish dengan dunianya di London dan dia dengan
hidupnya di Liverpool. Rasanya dunianya lebih harmoni dan bahagia begini. Asalkan atuk tak
tahu. Itu yang paling penting.

Iman tak mahu datuknya susah hati. Lagipun setakat ini dia masih mampu menyediakan
beribu alasan untuk mengaburi mata datuknya. Memang rasa bersalah. Namun Iman tidak ada
pilihan. Tidak... sebenarnya dia ada pilihan. Pilihan untuk membongkarkan segala-galanya.
Tetapi Iman lagi rela memilih jalan untuk berdiam diri daripada sesuatu yang akan menyakiti
hati Tuan Haji Aman.

Entah berapa lama dia mengenangkan hidupnya, akhirnya Iman tertidur di sofa. Kalau tidak
kerana telefon berbunyi, mungkin Iman tidak tersedar. Dengan mamai, Iman mengangkat
telefon.

"Helo…" suara Iman sedikit serak.

"Assalamualaikum, Iman. Pak Mat ni. Iman sabar ya.... Pak Mat nak bagi tahu yang Tuan
Haji Aman kemalangan. Atuk Iman dah tak ada...." Suara Pak Mat tersekat-sekat
menyampaikan berita.

Iman terkedu. Dadanya berombak kencang.

"Pak Mat janganlah bergurau dengan Iman." Kolam air mata Iman sudah pecah. Nafasnya
mula tersekat-sekat

"Iman sabar ya nak...."

Kata-kata itu bagaikan meragut separuh daripada hidupnya. Baru dua tahun dia di bumi asing
ini, rasanya baru semalam dia meninggalkan Tuan Haji Aman. Sekarang dia telah
ditinggalkan.

"Pak Mat... Iman akan balik sekarang." Tanpa menunggu lama, Iman mengemas apa-apa
yang perlu dan bergerak ke lapangan terbang.
AIR MATANYA menitis sepanjang jalan. Penerbangan yang memakan masa berjam-jam itu
belum mampu menenangkan hatinya.

"Iman." Terdengar suara Pak Mat memanggil.

Iman segera mendapatkan Pak Mat. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah tempat
pemandu.

"Apa terjadi sebenarnya Pak Mat?" Iman tak sabar-sabar bertanya.

"Pagi Selasa lepas, Tuan Haji, Dato’ dan Encik Johan keluar. Kami pun tak tahu ke mana
mereka pergi. Tapi nampak kalut sikit. Sebelah petangnya polis telefon bagi tahu yang
mereka kemalangan."

Pak Mat seakan berat hati hendak memberitahu apa sebenarnya yang berlaku. Seperti ada
sesuatu yang ingin dirahsiakan.

"Dato’ dan Abang Johan macam mana?" Iman tidak sabar ingin tahu. Kalau sudah
menyebabkan kematian, tidak mustahil kemalangan itu teruk.

"Dato’ masih di ICU dan Encik Johan, lepas zohor tadi selamat dikebumikan. Doktor tak
boleh tolong… kecederaan Encik Johan serius. Bahagian kepalanya berlaku banyak
pendarahan walaupun selepas dikeluarkan darah beku. Tak ada pilihan, peratusan untuk dia
hidup juga nipis, jadi terpaksalah doktor cabut mesin sokongan hayat yang digunakan. Kat
rumah sekarang memang kelam-kabut, Iman. Encik Danish pula tak balik lagi." Pak Mat
sepertinya mengharap kepulangan Iman akan meredakan sedikit keadaan yang menimpa
keluarga majikannya itu.

Iman tahu, dia harus kuat dari sekarang kerana dia yang akan menjadi tunggak keluarga buat
sementara waktu ini.
Ya Allah... kuatkan semangatku, doa Iman di dalam hati.

IMAN masuk ke dalam rumah yang sudah setahun lebih ditinggalkan. Semua tetamu sudah
pulang. Hari ini Abang Johan selamat dikebumikan. Sekarang Iman cuma risaukan Arrisya.
Sejak dia sampai pagi tadi sehingga sekarang, Arrisya enggan bercakap dengannya.
Menangis pun tidak. Hanya diam membisu.

Kesal bertandang di hati kala ini. Kesal kerana saat berpeluang untuk kembali ke rumah itu
pada cuti semester lepas, dibiarkan pergi. Kini kepulangannya tanpa sambutan daripada
insan-insan yang disayanginya. Hatinya dirundung duka. Dia terkilan kerana tidak berpeluang
menatap wajah datuknya buat kali yang terakhir.

"Kak Arrisya?" Iman memanggil Arrisya yang masih berteleku di ruang tamu. Arrisya
mengangkat wajahnya. Pandangannya kosong. Akhirnya setitis air mata jatuh ke pipi. Esak
tangis yang ditahan kedengaran halus menikam kesedihan yang dirasakan.

Iman terus merapati Arrisya. Dia memeluk Arrisya erat. Arrisya membalas pelukan itu. Esak
tangis Arrisya semakin kuat kedengaran. Meruntun hati sesiapa yang mendengarnya. Betapa
beratnya dugaan ini. Jika Iman hanya kehilangan datuk kesayangannya, tetapi Arrisya
kehilangan dua orang yang menjadi tunggak hidupnya selama ini. Tambahan pula Dato’ Arif
sedang terlantar sakit.

"Iman, bagaimana akak nak mulakan hidup? Akak tak mampu nak lalui semua ini sendirian.
Kenapa Abang Johan tinggalkan akak?" rintih Arrisya.

Hampir menangis Iman dibuatnya. Dia perlu kuat. Dia perlu kuat demi keluarga ini. Air mata
semata tidak akan menyelesaikan masalah.

"Sabar kak. Allah lebih sayangkan mereka. Akak kena lepaskan arwah...." Dalam suara yang
tertahan, Iman cuba menghulurkan nasihat.
"Akak tak mampu, Iman..." Arrisya sesungguhnya terasa lemah saat ini. Bukan mudah
melepaskan insan yang disayangi untuk pergi meninggalkan kita.

"Pasti akak mampu. Akak kena terima takdir yang tersurat untuk akak ni. Hanya orang yang
Dia sayang aja, Allah beri dugaan. Iman yakin akak mampu. Iman yakin akak kuat. Iman
akan sentiasa di samping akak. Akak kena ingat Jehan perlukan akak. Biar kita sama-sama
besarkan dia. Kita didik dia menjadi insan yang soleh, dan boleh mendoakan kesejahteraan
Abang Johan di sana. " Itu janjinya. Iman tidak akan biarkan kakak iparnya itu bersendirian.

Datin Hajar hanya mampu mendengar perbualan antara anak dan menantunya. Sungguh dia
turut sebak. Walaupun sejak pernikahan Arrisya, hubungannya dengan anak gadisnya itu
dingin, tetapi naluri seorang ibu tetap ada. Ibu mana tidak sedih melihat anaknya menjadi
balu kala usia muda. Dia sendiri bimbang apa akan terjadi pada Arrisya dan paling dia
bimbang, masa depan cucunya itu.

Datin Hajar memang cukup berterima kasih pada Iman. Hari ini baru dia boleh menilai siapa
sebenarnya keluarga. Sedari sampai tadi, tidak sekejap pun dia melihat Iman berehat. Sebaik
sahaja sampai, Iman sudah membantu apa yang patut. Imanlah orangnya yang bertungkus-
lumus menyempurnakan majlis tahlil ini. Imanlah yang menguruskan segala-galanya. Betapa
baiknya hati Iman, rela berpenat lelah demi mereka sekeluarga. Keluarga yang memandang
rendah pada dirinya.

DANISH melihat dari jauh kegigihan Iman menjadi tunggak keluarganya. Kala ini Iman
sedang duduk makan di kantin hospital. Sudah seminggu Danish pulang ke Malaysia
sebenarnya. Namun Danish hanya mampu memerhatikannya dari jauh. Saat dia terdengar
perbualan Iman dan Arrisya pada malam kenduri tahlil itu, langkahnya terhenti. Jiwanya
seakan-akan lumpuh. Danish sedar, dia tiada keberanian untuk menghadapi semua ini.
Akhirnya Danish mengundur diri. Sekarang tugasnya setiap hari adalah ke kubur datuk dan
abang iparnya. Kepulangannya memang tanpa pengetahuan sesiapa. Danish belum ada
kekuatan bersama dengan keluarganya saat ini. Sungguh, dia memang tidak mampu melihat
air mata ibu dan kakaknya gugur saban hari.

Sedih. Hanya itu yang boleh dia ungkapkan tatkala melihat keadaan keluarganya saat ini.
Melihat dari jauh sahaja hatinya sudah terluka dalam, apatah lagi berada di sisi mereka. Tahu
keadaan diri yang tidak mampu menerima dugaan yang mendatang, Danish tidak ingin
menyusahkan keluarganya dengan kesedihan. Dia tak mahu menjadi beban pada Iman dan
mama.

Baru dia sedar yang dia memang lelaki pengecut. Mendengar masalah pada keluarganya
sahaja sudah membuat Danish tak cukup kuat berhadapan dengan mama dan kakaknya. Dia
sendiri mengambil masa yang agak lama untuk baik dari kejutan itu. Saat ini dia bersyukur
mempunyai gadis segigih dan setabah Iman di dalam keluarganya. Setiap gerak geri gadis itu
diperhatikan tanpa jemu. Tak sedar hatinya berbisik kasih pada si gadis. Semalam dia
berikrar di hadapan nisan atuknya yang dia tak akan lepaskan Iman dan akan cuba mengenali
Iman.

Danish berdoa semoga suatu saat nanti, hati Iman akan terbuka untuknya. Agar mereka boleh
saling mengenali dan menerima antara satu sama lain. Agar mereka boleh hidup bahagia
seperti pasangan lain. Danish berdoa diberi kesempatan untuk membina keluarga yang
bahagia bersama Iman. Itu hasrat terakhir datuknya dan dia akan tunaikan.

Bab 5

BEBAN yang ditanggung kini terasa terlalu berat. Semuanya terpaksa dilalui sendiri. Namun
dia perlu kuat buat keluarga ini. Iman sendiri tidak tahu dari mana kekuatan itu datang. Yang
pasti, setiap hari Iman perlu gagahkan diri untuk berdepan dengan segala kemungkinan.
Kuatkan semangat untuk terus berdiri. Jika dia tersungkur, pasti keluarganya juga akan
tersungkur. Sehinggakan untuk mengeluh pun dia tidak berani saat ini.

"Iman?" Buat pertama kalinya Datin Hajar menegur menantunya itu. Wajah kepenatan Iman
mengundang rasa simpatinya. Sejak Iman pulang, tugas menjaga suaminya dipikul bersama
Iman. Iman tidak teragak-agak untuk menawarkan bantuan menjaga Dato’ Arif pada waktu
malam. Iman cukup mengambil berat tahap kesihatan bapa mentuanya itu.

"Datin?" kata Iman sedikit terperanjat. Dia yang sedang termenung di tepi tingkap saat itu
cepat sahaja berpaling. Tubuh Datin Hajar yang berdiri di tengah ruangan bilik itu menjamah
pandangannya. Wajah Iman sedikit pucat. Nampak garis-garis kepenatan. Jika penat tubuh
badan tak apa, tapi kalau dah penat otak dan perasaan. Memang payah.

"Iman sihat ke?" Datin Hajar cuba mengambil berat. Bukan berpura-pura namun ikhlas dari
hatinya. Tidak salah dia berbaik-baik pada gadis yang banyak membantu keluarganya.

"Sihat. Datin baru sampai ke? Dah sarapan? Mari kita duduk Datin." Iman menghampiri
Datin Hajar lalu bersalaman. Iman memimpin mak mentuanya itu duduk di set sofa yang
tersedia dalam wad kelas pertama itu. Tak pernah sekalipun Iman lupa untuk menghormati
mak mentuanya itu. Walau dia tahu Datin Hajar tak pernah sukakan dia tapi Iman tetap
menunduk pada hukum karma, yang muda perlu hormat pada yang tua.

"Mama dari rumah Iman. Mama dah sarapan pun dengan Kak Arrisya. Iman ni hah, dah
sarapan ke belum? Mama tengok muka Iman pucat aja," tegur Datin Hajar prihatin.

Iman sedikit terkejut tatkala mendengar wanita di hadapannya itu membahasakan dirinya
mama.

"Belum Datin. Kejap lagi saya sarapan. Datin janganlah bimbang, saya tak apa-apa." Iman
terasa gugup pula untuk membahasakan Datin Hajar, mama. Takut panggilan tadi hanya
terlepas dari mulut Datin Hajar.

"Panggillah mama Iman. Iman bukan orang lain. Iman menantu mama. Mama terhutang budi
sangat pada Iman. Tengoklah, Iman sebagai menantu pula yang banyak bersusah payah
menolong kami. Tapi darah daging kami sendiri, lari entah ke mana. Nak harapkan Arrisya,
dia dah cukup menderita. Nak harapkan Danish? Entah ingat entah tidak dengan kami ni..."
rintih Datin Hajar.

Inilah buat pertama kalinya wanita itu meluahkan rasa hatinya. Selama ini dia hanya
mendiamkan diri sehingga menampakkan dirinya seolah-olah cukup tabah. Rupa-rupanya di
hati wanita itu sarat kebimbangan. Apatah lagi sebagai seorang ibu yang melahirkan dan
membesarkan.
"Dahlah Dat... mama. Insya-Allah, semuanya akan selamat. Danish pasti ingat dengan mama.
Agaknya dia sibuk sangat tu sampai tak sempat nak balik jengok mama. Lagipun Danishkan
berada di tahun akhir sekarang. Kak Risya pun dah semakin baik sekarang." Iman berharap
dapat menenangkan hati Datin Hajar. Sungguh, Iman faham resah Datin Hajar. Sebagai
seorang ibu, pasti dia risaukan keadaan anak perempuannya. Semestinya juga Datin Hajar
terasa hati dengan Danish. Sepatutnya Danish sebagai anak lelaki tunggal keluarga, menjadi
tulang belakang mereka di saat-saat genting macam ini.

"Mama harap macam tulah Iman. Iman nak masuk pejabat ke hari ni?" tanya Datin Hajar. Itu
juga salah satu masalah baru. Semalam baru Fuad, peguam Tuan Haji Aman telefon
menyatakan keadaan pejabat mereka perlu dipantau sebelum terjadi apa-apa yang tidak
diingini. Kata Fuad, ada ahli lembaga pengarah yang ingin ambil alih pemerintahan. Biasalah,
pada saat kesusahan begini, ramai yang ingin mengambil kesempatan. Seperti kata arwah
datuknya dulu, kerana duit manusia boleh jadi kawan dan kerana duit juga manusia boleh jadi
lawan.

"Masuk mama. Iman balik mandi kejap, lepas tu baru pergi pejabat. Nak tengok keadaan kat
sana dulu. Takut kalau-kalau apa yang Uncle Fuad beritahu tu betul.

"Hmmm... mama segan dengan kamu, Iman. Kami banyak menyusahkan kamu," kata Datin
Hajar dalam nada serba salah. Kini dia sangat menghargai segala apa yang Iman lakukan
untuk keluarganya. Dan Imanlah yang menjadi harapannya nanti.

"Ini tanggungjawab Iman, mama. Iman minta diri dulu. Nak balik mandi. Tengah hari nanti,
insya-Allah kalau ada kesempatan, Iman datang. Mama nak pesan apa-apa tak?"

Sikap lemah lembut Iman itu mengusik hatinya. Sikap pemaaf dan menghormati orang tua
menantunya itu menambat hati tuanya. Tidak mustahil rasanya kalau suatu hari nanti dia
lebih sayangkan anak gadis ini lebih daripada anak kandungnya sendiri. Sekarang pun rasa
sayangnya datang tanpa diundang.

"Tak perlulah Iman. Kamu baliklah. Rehat dulu. Sarapan jangan lupa. Jangan tergesa-gesa
sangat nak masuk pejabat tu," nasihat Datin Hajar.
Usai Iman mencium tangannya, wanita itu mendakap tubuh Iman lalu mencium pipi
menantunya itu penuh kasih sayang. Terasa tubuh Iman yang dulunya sedikit berisi, kini
semakin susut. Datin Hajar membisikkan ucapan terima kasih sebelum melepaskan
pelukannya.

Iman terharu. Begitu lama dia tidak merasakan pelukan daripada seorang ibu. Nikmat kasih
sayang kembali dirasainya kini. Sungguh dia bersyukur. Rasanya bagai ada satu semangat
baru yang wujud dalam dirinya.

Bab 6

IMAN melangkah perlahan ke dalam pejabat di tingkat 11, Wisma Mega milik arwah Tuan
Haji Aman. Tingkat 11, tingkat yang hanya menempatkan pejabat korporat syarikat A&A
Berhad. Tingkat yang menempatkan pengurusan teratas empayar Tuan Haji Aman.

Arwah Tuan Haji Aman telah menyediakan asas yang cukup kuat untuk sebuah syarikat dan
kebijaksanaan Dato’ Arif melebarkan lagi syarikat yang dahulunya berstatus sederhana, kini
bertukar menjadi sebuah syarikat mega. Bukan satu laluan mudah. Banyak pengorbanan dan
titik peluh yang mengalir dalam menghadapi jatuh bangun syarikat ini. Oleh itu Iman tekad,
walau dengan apa cara sekalipun, dia akan menjaga syarikat ini sebaik yang mungkin.
Syarikat ini tidak akan dibenarkan jatuh ke tangan orang lain.

Sejak dari Iman melangkah masuk dari pintu utama lagi, kedatangannya menjadi perhatian.
Rata-rata dari saat dia melangkah masuk, banyak mata memandang pelik padanya. Iman tahu
mereka pasti hairan dengan kehadirannya di situ. Tentu sahaja mereka tertanya-tanya, siapa
dirinya? Bukan sembarangan orang yang boleh masuk ke tingkat ini.

"Maafkan saya. Nak tumpang tanya, bilik Dato’ Arif kat mana?" Iman bertanya pada salah
seorang pegawai di situ.
"Jalan lurus, kemudian belok kanan. Pejabat yang pintunya warna coklat." Walaupun wajah
itu penuh tanda tanya, namun pegawai itu tetap menjawab pertanyaannya dengan baik.

"Terima kasih," ucapnya lembut.

Iman bergerak ke arah yang telah dimaksudkan dengan perasaan sedikit gementar. Walaupun
kedatangannya telah dimaklumkan kepada Uncle Fuad, namun rasa berdebar itu tidak mampu
dibuang dari perasaannya ketika ini.

Bermula saat ini dia akan menggantikan Dato’ Arif buat sementara waktu di bawah
bimbingan Uncle Fuad. Tugasnya adalah sebagai proxy dan wakil dari keluarga Dato’ Arif,
bagi memastikan bahawa kedudukan mereka di syarikat itu tidak terancam.

"Cik... cik nak pergi mana?" Iman ditahan seseorang ketika ingin menolak pintu pejabat
Dato’ Arif.

Iman berpaling merenung seorang gadis yang cukup elegen berdiri di belakangnya.

"Nak masuk," jawab Iman naif. Memang itu tujuannya datang ke mari pun.

"Ingat ini pasar malam, main ceroboh sembarangan?" ujar gadis itu sinis.

Boleh tahan budi bahasa gadis yang mungkin tua setahun dua daripadanya ini. Sukar dijangka
umur sebenar kerana wajahnya terlalu tebal dengan warna-warna mekap.

"Maaf, cik. Saya diarahkan masuk ke sini." Iman menerangkan kedudukannya di situ. Bukan
dia suka-suka untuk masuk ke sini. Dia sendiri terpaksa.

"Kak Sal... Kak Sal!" Gadis itu memanggil seseorang. Kelihatan seorang wanita yang dalam
umur lewat tiga puluhan keluar dari bilik hujung, tergesa-gesa merapati mereka. Mungkin ini
Salwa, setiausaha Dato’ Arif yang disebut oleh Uncle Fuad.
"Ada apa Cik Rina?" Wanita yang dipanggil Kak Sal itu bertanya pada gadis tadi.

Ohhh... nama dia Rina.

"Siapa perempuan ni? Tadi dia nak masuk bilik papa. Kak Sal tak sedar ke?" tanya Rina.
Bilik papa? Hish!! Dato’ Arif ada anak lain ke? Setahu Iman, hanya Arrisya dan Danish saja
cucu Tuan Haji Aman.

"Tadi Kak Sal tengah susun fail. Tak sedar. Cik? Cik cari siapa?" tanya wanita tadi dengan
penuh berhemah. Memang sesuai dengan jawatannya.

"Dato’ Arif yang minta saya datang kat sini," jawab Iman ragu-ragu. Hatinya berasa cuak.

"Ohh... Dato’ Arif tak ada cik. Dia kemalangan. Sekarang ni Tuan Hairul yang menggantikan
tempat dia. Saya Salwa, setiausaha Tuan Hairul sekarang. Panggil aje Kak Sal. Ini Cik Rina,
anak Tuan Hairul, dia executive kewangan syarikat," terang Salwa panjang lebar.

Iman semakin tidak sedap hati.

"Begitu. Dah lama ke Tuan Hairul gantikan tempat Dato?"tanya Iman mesra. Cuba
mengorek. Rupa-rupanya betullah kata Uncle Fuad. Ada orang gila kuasa cuba merebut
tempat Dato’ Arif.

"Sejak Dato’ kemalangan lagi. Sekarang bilik ini pun dah jadi bilik Tuan Hairul." Salwa
menjawab soalan Iman tanpa ragu-ragu. Tertarik dia melihat gadis di hadapannya itu. Cukup
manis dengan baju kurung dan tudung berwarna biru muda.

"Dulu Tuan Hairul kerja kat bahagian mana?" Iman ingin menyiasat lagi. Jelingan Rina di
sebelah hanya dibiarkan sahaja.
"Dulu dia pembantu Dato’. Orang kuat Dato’. Kenapa cik?" Kak Sal bertanya pada Iman
kembali.

"Tak ada apa-apa, Kak Sal. Kalau tak kisah, saya tunggu sampai Tuan Hairul balik ke sini.
Bolehkan saya tunggu kat situ?" Iman menunjukkan ruangan menunggu.

"Boleh. Cik nak minum apa-apa?" Salwa bertanya lembut.

"Biarkan dia ajelah Kak Sal. Nak buatkan air kenapa pula. Kalau nak tunggu tu, tunggu
ajelah. Kak Sal tak payah nak susah-susah buat air. Membazir aje. Entah siapa entah dia ni?"
omel Rina pedas.

"Tak apa, Kak Sal. Saya okey." Iman terus meminta diri untuk duduk di ruangan menunggu
yang tersedia satu set sofa dan beberapa jenis majalah perniagaan. Iman duduk lalu mencapai
salah satu majalah untuk dibaca.

"Hah, Cik Rina datang cari saya kenapa?" Salwa beralih pula pada Rina yang setia
menunggunya sedari tadi.

"Ala Kak Sal... saya nak tanya, anak lelaki Dato’ tak balik ke?" Satu persoalan yang menarik
perhatian Iman di sebalik majalah itu.

"Entah. Mana Kak Sal tahu." Elak Salwa terus melangkah masuk ke biliknya.

"Ala Kak Sal ni... mesti Kak Sal tahu. Kak Sal kan rapat dengan Datin." Rina membuntuti
Salwa. Kemudian kedua-duanya hilang di bilik pejabat Salwa.

SUDAH setengah jam Iman menunggu di ruangan itu. Habis dua naskhah majalah Business
dibacanya. Namun orang yang ditunggu tetap tidak kelihatan. Uncle Fuad sendiri telah
menyatakan kelewatannya kerana ada sedikit hal yang perlu diselesaikan. Penat duduk, Iman
berdiri sambil memerhatikan perhiasan dinding yang terdiri daripada lukisan abstrak sebelum
kelibat seseorang menarik pandangannya.

"Tuan Hairul?" Iman mencuba nasib. Menegur lelaki yang baru sahaja berjalan melintasi
tempatnya berdiri.

"Ya... siapa awak? Seingat saya, saya tak ada temu janji dengan sesiapa? Salwa!" Memang
dah genetik agaknya. Tadi Rina yang memanggil Sal begitu, sekarang lelaki yang diyakini
sebagai Tuan Hairul itu memanggil Salwa dengan cara yang sama.

"Ya, tuan?" Kesian betul Iman melihat Salwa. Penat dia diperlakukan begitu. Apa hak Tuan
Hairul?

"Siapa ni?" tanya Tuan Hairul dengan nada tegas berbaur sombong. Sakit pula telinga Iman
mendengarnya.

"Ohh ni Cik..." Salwa tidak mampu menjawab soalan itu. Sebenarnya tadi dia terlupa hendak
bertanya kepada Iman tadi.

"Saya Iman. Dato’ Arif yang minta saya ke sini." Iman menyampuk. Dia rasa perlu untuk dia
menjelaskan sesuatu.

"Dato’ Arif? Saya tak ada masa nak layan awak. Awak pun tak ada temu janji, kan? Awak
ingat ini pasar malam. Sesuka hati saja nak terjah. Sal, tunjukkan budak ni jalan keluar."
Tuan Hairul dengan sombong mengeluarkan amaran. Seolah-olah tidak peduli berapa lama
Iman telah menunggunya tadi. Kini mudah saja dia menghalau Iman keluar.

Selamba Tuan Hairul melangkah masuk ke bilik yang dahulunya dimilik oleh arwah Tuan
Haji Aman dan Dato’ Arif. Bagaikan besar benar pangkatnya.
Salwa kelihatan teragak-agak untuk menghalaunya. Sedikit terpinga-pinga wanita itu
dibuatnya.

Kata-kata itu menaikkan kemarahan Iman. Teringat nasihat Arrisya malam tadi. Dia perlu
tegas kalau tidak mahu orang pijak kepalanya. Dia perlu kejam kalau hendak orang
hormatkan dirinya. Ini dunia perniagaan. Dunia perniagaan tidak banyak bezanya dengan
medan perang. Siapa yang kuat akan menang. Kalau betul dia hendak menjaga kepentingan
keluarganya, dia perlu ada pendirian. Dia perlu sanggup melakukannya. Jangan terus lembut
dan menunduk. Hari ini dia perlu berubah.

"IMAN? Kenapa tak masuk?" Hanya selang beberapa minit Iman dihalau. Fuad, peguam
keluarga arwah atuknya pun sampai. Pelik melihat Iman berdiri bak patung cendana di muka
pintu.

"Iman tunggu uncle. Jom kita masuk. Kak Sal, tolong call semua ketua jabatan, saya nak
jumpa mereka sebentar lagi." Iman terus memberi arahan. Dia perlu yakinkan semua orang
yang dia layak memangku jawatan Dato’ Arif buat sementara waktu. Tiada lagi kompromi
selepas ini.

"Cik Iman? Encik Fuad?" Salwa keliru. Hari ini banyak sangat perkara terjadi dan dia sering
saja tersepit di tengah-tengah.

"Buat apa yang Cik Iman suruh. Cik Iman ni cucu arwah Tuan Haji Aman." Fuad memberi
kebenaran.

Salwa mengangguk faham. Dia bagaikan mengerti kini dan dia pasti selepas ini pasti terjadi
sesuatu yang akan meletup!

Iman melangkah masuk ke dalam pejabat yang ditinggalkan sebentar tadi dengan penuh
yakin. Kelihatan Tuan Hairul terus berdiri kerana terlampau terkejut. Dia menjeling tajam
pada Iman, bagi mengimbangi rasa terkejut di hatinya. Mata Iman meliar memandang
keadaan sekeliling pejabat itu yang sudah banyak berubah.
Gambar arwah Tuan Haji Aman dan keluarga yang sepatutnya tergantung di belakang meja
pengarah urusan yang mewah itu juga sudah tiada. Iman ingat lagi gambar itu, kerana ia
adalah satu penghargaan buatnya dan ibu. Itulah satu-satunya gambar dia dan ibu bersama
semua ahli keluarga arwah Tuan Haji Aman. Kata arwah datuknya, gambar itulah wakil
keluarga dia yang lengkap.

"Kau buat apa kat sini? Akukan kata tak nak jumpa kau!!" tengking Tuan Hairul. Dia
merasakan wanita itu cukup biadap. Namun melihat kelibat Fuad yang ikut serta, Tuan Hairul
tertanya-tanya, siapakah wanita itu sebenarnya?

"Uncle, bukankah dulu ada gambar keluarga kat sana?" Tanpa menghiraukan Tuan Hairul,
Iman bertanya pada Fuad sambil menunjukkan ke arah tempat yang dimaksudkan.

"Ya, Iman. Masa zaman Dato’ pun masih ada lagi." Kenyataan itu membuatkan Iman
semakin naik angin. Masa arwah ada, tiada siapa yang dibenarkan menurunkan gambar
tersebut, termasuk Dato’ Arif sendiri. Kini apa hak Tuan Hairul untuk menurunkan gambar
tersebut?

"Mana gambar tu? Apa hak awak turunkan gambar tu? Apa hak awak gunakan bilik ini?"
Iman dengan keras bertanya pada Tuan Hairul. Hilang sikap lembutnya. Sebaliknya yang
kelihatan kini, seorang gadis yang cukup berkaliber dengan sinar karisma yang terserlah.

"Kau siapa nak tanya aku? Kau siapa nak masuk pejabat ni? Keluar sebelum aku panggil
sekuriti." Pertanyaan Iman dibalas dengan pertanyaan dan diakhiri dengan ugutan.

"Kenalkan Hairul, ini Cik Iman, cucu arwah Tuan Haji. Dia memegang dua puluh peratus
saham syarikat dan sekarang menjadi proxy kepada Dato’ dan Datin. Iman akan mengambil
alih syarikat sehingga keadaan Dato’ kembali pulih." Fuad menjalankan tugasnya sebagai
peguam bagi menjelaskan kedudukan Iman.

Tuan Hairul terkedu di tempatnya. Wajahnya tiba-tiba pucat tidak berdarah.


"Uncle, Iman nak minta tolong. Iman nak bilik ni kembali seperti dulu. Iman nak gambar
keluarga kami tergantung balik di tempat asalnya. Kalau gambar tu tak ada, jangan kesal pada
apa yang Iman akan lakukan nanti. Iman harap bilik ini akan dikosongkan sebaik saja Iman
habis mesyuarat nanti."

Iman sengaja memberitahu Uncle Fuad walaupun dia tahu Tuan Hairul turut mendengar
arahannya. Bukan apa, Iman takut dia akan berlaku lebih biadap pada Tuan Hairul dan
bimbang rasa hormatnya pada lelaki itu akan hilang dek rasa marah dan sakit hati yang
menggunung.

"Kak Sal dah bagi tahu semua ketua jabatan?" tanya Iman pada Salwa yang sejak tadi
mengintai di muka pejabat.

"Dah Cik Iman. Saya minta mereka datang ke bilik mesyuarat sekarang. Cik Iman nak pergi
sekarang ke?" tanya Salwa. Dia sedar, Iman adalah majikan barunya buat sementara waktu
ini.

"Boleh Kak Sal tunjukkan saya di mana bilik mesyuarat?" tanya Iman lembut sebelum kedua-
duanya berlalu meninggalkan Tuan Hairul yang masih terkebil-kebil seakan tidak percaya
dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

Kedatangan Iman ke syarikat itu tidak mendapat sambutan yang baik daripada setiap ketua
jabatan. Pastilah, dengan usia setahun jagung seperti ini, siapalah yang berani meletak
kepercayaan padanya? Nyata ketua-ketua jabatan di situ jauh lebih tua dan berpengalaman
berbanding darinya. Semua memandang sinis padanya.

Hari ini adalah hari pertama dia membuka lembaran baru di syarikat itu dan hari ini sudah
melakar beberapa peristiwa yang cukup mencabar kewibawaannya. Ada kalanya pengalaman
mengajar kita dan sering kali pengalaman itu mengubah pendirian dan sikap kita. Ini yang
terjadi padanya, pengalaman ini akan mengubah sikap dan pendiriannya. Mengubahnya
daripada seorang yang sering membelakangkan kehendak diri kepada seorang yang
mementingkan haknya. Keadaan menuntutnya begitu.

"Saya tahu anda semua sukar mempercayai saya. Saya terlalu muda untuk terajui empayar
sebesar ini. Sebab itu saya perlukan khidmat anda semua, tapi ingin saya ingatkan... jangan
pandang rendah pada saya." Iman bersuara keras. Cuba melantangkan suaranya untuk
menyaingi suara-suara yang sedang mempersoalkan kebolehannya. Tidak seorang pun
daripada mereka yang mendengar bicaranya. Masing-masing sibuk mempertikaikan
kebolehannya. Bilik mesyuarat yang dingin itu terasa semakin hangat.

Dam!!! Iman menepuk meja di hadapannya. Serentak itu bilik mesyuarat yang kecoh tadinya,
senyap tiba-tiba. Masing-masing memandang Iman dengan wajah tidak percaya.

"Sama ada anda suka atau tidak, saya akan tetap menerajui syarikat ini sehingga Dato’ Arif
pulih. Mungkin saya tak berpengalaman macam tuan-tuan, tapi tolong hormatkan saya. Sama
ada anda setuju atau tidak, keputusan saya tetap menjadi kata pemutus di dalam syarikat ini.
Jadi, tolong hormat saya!" Suara Iman tegas dan kedengaran sedikit angkuh. Wajah tidak
berperasaan dipamerkan. Hatinya sedikit puas. Puas sangat. Buat pertama kali dia mampu
membuat orang mendengar kehendaknya. Selama ini sudah puas rasanya dia menjadi
pendengar yang setia, dan sekarang biarlah dia menjadi pencerita pula.

"Tujuan saya panggil tuan-tuan semua bermesyuarat adalah kerana ingin mendengar
pandangan tuan-tuan tentang syarikat ni, dan bukannya untuk dengar tuan-tuan semua
pertikaikan keupayaan saya. Saya melangkah ke bilik ini tadi dengan niat untuk mendengar
perkembangan syarikat ketika ketiadaan Dato’ Arif. Tapi rasanya hajat saya tak tercapai. Jadi
biarlah sekarang saya yang bercerita. Tujuan pertama saya sebagai peneraju utama syarikat
ini adalah untuk melakukan rombakan semula apa yang telah dilakukan oleh Tuan Hairul.
Apa saja keputusan dan tindakan yang dibuat oleh beliau sebelum saya memegang amanah
Dato’ Aris, dianggap tidak sah," katanya lancar. Seketika dia memandang setiap wajah yang
merenung ke arahnya dengan pandangan yang pelbagai.

Seketika bilik mesyuarat menjadi sunyi sepi.

"Saya nak organisasi di bawah Dato’ Arif kembali berfungsi. Dari semasa ke semasa saya
akan membuat rombakan demi rombakan mengikut cara saya. Saya juga inginkan laporan
dari setiap bahagian dalam tempoh suku tahun pertama tahun ini sehingga sekarang, ada di
atas meja saya pada hari Jumaat ini," katanya lagi.

Seketika Iman menghela nafas. Dia sendiri seakan tidak percaya yang dia mampu melakukan
perkara itu. Sesungguhnya Iman sendiri merasakan dirinya bagaikan orang asing. Tiba-tiba
dia menjadi begitu berani.
"UNCLE bangga dengan Iman. Iman benar-benar mampu lakukannya. Kalau tadi uncle risau
Iman tak boleh nak bertahan. Rasanya selepas ini uncle dah tak perlu risau lagi kerana uncle
yakin tiada yang lebih layak untuk mengganti Dato’ selain Iman." Fuad melahirkan
kekagumannya pada Iman. Sungguh, apa yang Iman lakukan di dalam bilik mesyuarat tadi di
luar jangkaannya.

"Terima kasih uncle. Tapi Iman tetap perlukan uncle. Iman terlalu muda. Iman tak ada
pengalaman," ujar Iman merendah diri. Sekarang dia hanya boleh mempercayai Fuad sahaja.

"Jangan bimbang. Selagi uncle boleh bantu, uncle akan bantu Iman. Kalau arwah Tuan Haji
masih ada, dia pasti bangga dengan Iman. Dah memang impian dia melihat Iman dan Danish
memajukan syarikat ni." Sejenak Fuad teringatkan Tuan Haji Aman yang banyak memberi
peluang perniagaan pada syarikatnya. Usahawan bumiputera seperti Tuan Haji Aman itulah
yang perlu dicontohi. Seorang usahawan yang sentiasa membantu sesama bangsa dan bukan
saling menjatuhkan.

"Iman pun harap begitu uncle. Iman dah banyak bersalah pada arwah atuk...." Lirih nada
suaranya. Sungguh dia rasa berdosa dan menyesal.

Fuad simpati pada Iman. Gadis ini perlu menanggung sesuatu yang cukup besar di usia yang
begitu muda. Namun Iman nampak tabah dan Fuad yakin Iman akan mampu melakukannya.
Dunia perniagaan akan mengubah gadis itu menjadi lebih matang.

Bab 7
MALAM ini mungkin sudah tersurat rezeki Danish. Dia berjaya menyelinap masuk.
Semalam sekali lagi Danish berjaya menyelinap masuk ke wad papanya Bukan selalu dia
bernasib baik begini. Jarang-jarang sekali. Ada kalanya dia sudah pun sampai di hadapan
pintu, tetapi Iman pula masih berjaga membuat kerja-kerja syarikat lalu terpaksa dia
membatalkan niatnya. Adakala dia takut kalau terserempak dengan doktor yang dia kenali.
Jadi, bukan mudah untuk dia masuk melihat perkembangan papanya.

Malam ini Danish ingin menjenguk papanya dan sekali gus ingin melihat keadaan Iman. Dia
rasa bersalah meninggalkan segala beban tanggungjawab yang sepatutnya dia pikul di pundak
Iman. Bertambah bersalah tatkala melihat Iman tertidur dalam keadaan duduk bersama-sama
fail yang bertimbun. Pastinya Iman terlalu banyak kerja. Kalau tidak masakan Iman sampai
tertidur begini.

Danish memandang wajah kepenatan Iman dengan perasaan belas. Wajah itu cukup lemah di
mata Danish walau sinar ketenangan masih milik gadis itu. Pasti Iman letih. Siangnya di
pejabat dan petangnya di hospital. Entah selama mana isterinya itu mampu bertahan?
Sungguh dia berasa sangat bersalah.

Adakala kalau ikutkan kata hati, ingin sahaja Danish muncul datang membantu Iman namun
dia rasakan tidak sesuai untuk dia muncul begitu sahaja. Lagipun apa yang harus dia jawab
jika mereka bertanya ke mana hilangnya dia selama ini?

Melihat Iman tidur dengan begitu lena, Danish pantas mengemas fail-fail yang bertaburan.
Dengan perlahan Danish mengambil fail di atas riba Iman. Melihat Iman tidak berkutik
sedikitpun, Danish memberanikan diri mengangkat kepala Iman dan dengan penuh berhati-
hati dia baringkan Iman di atas sofa. Kepala Iman dialas dengan bantal yang tersedia.
Akhirnya dia berjaya membaringkan separuh tubuh Iman. Danish mengangkat pula kaki Iman
biar Iman tidur dengan selesa. Selamba Danish membuka kasut di kaki Iman sebelum
menyelimut Iman dengan selimut yang tersedia di situ.

Iman benar-benar keletihan nampaknya. Sehingga tidak satu pun gerak-geri Danish yang dia
sedari. Melihat Iman lena begitu, Danish duduk di tepi sofa sambil merenung wajah Iman.
Wajah itu tidak banyak berubah. Hanya kini nampak sedikit matang. Iman tidak cantik tetapi
comel. Satu yang cantik pada Iman, iaitu matanya. Kini sudah bertahun lamanya tetapi
Danish masih ingat bening mata itu.

Iman gadis yang biasa-biasa sahaja. Sedikit tembam tetapi seingatnya dahulu Iman lebih
berisi berbanding sekarang. Kalau difikirkan, Danish suka Iman yang di hadapannya kini.
Comel dan manis. Sederhana begini. Tidak ada secalit solekan pun di wajah mulusnya. Asli.
Namun apa yang lebih membuatkan Danish tertawan adalah sekeping hati milik Iman. Jujur,
ikhlas dan tabah walaupun usianya masih muda.

Tiba-tiba hati Danish berdetik. Masakan tidak ada kumbang yang mengintai bunganya ini?
Sedangkan dirinya begitu mudah tertawan hanya dengan merenung Iman tertidur begitu.
Inikan pula lelaki-lelaki lain yang saban hari berjumpa, berbual dengan Iman. Lelaki-lelaki
yang melihat Iman tersenyum dan ketawa. Aduh! Hati Danish tiba-tiba rasa sakit. Rasa sakit
itu seperti puluhan, mungkin ratusan jarum yang mencucuk ke hatinya. Sakit cemburu!

Hati lelakinya seakan menyuruh dia terus merenung Iman yang sedang lena.

Cemburu ke dia? Tiba-tiba hatinya bersuara. Ah dia lelaki. Lelaki ada ego dalam
mempertahankan haknya. Sedangkan waktu dulu, saat dia masih belum menyayangi Iman,
rasa ingin menguasai hidup gadis itu telah ada. Inikan pula saat-saat hatinya sudah mula
menyayangi gadis di hadapannya ini. Pasti rasa ingin memiliki Iman itu semakin kuat. Kalau
boleh dia ingin Iman hanya menjadi miliknya sampai bila-bila.

"I would never let you go, honey. You are mine. Only mine..." bisik Danish lembut di telinga
Iman. Tangannya sudah mengusap lembut pipi gebu milik gadis itu.

Suara hatinya seakan menyuruh dia bertindak lebih jauh. Danish meletakkan bibirnya lama di
dahi Iman. Kudus perasaannya ketika menghadiahkan ciuman itu di dahi Iman. Ciuman
keduanya selepas hari pernikahan mereka.

Danish bergerak menjauh sedikit apabila terasa kepala Iman bergerak sedikit. Mungkin ia
terasa sedikit terganggu. Seketika Danish terpaku sebentar melihat mata Iman yang tadi
tertutup rapat, kini sedikit terbuka. Iman bagai melihatnya. Bibir Iman terlukis sebaris
senyuman yang paling manis yang pernah Danish lihat. Danish kaku seketika. Dia risau kalau
Iman terjaga.

"Danish...."
Danish mendengar namanya disebut lembut oleh Iman sebelum mata yang cantik itu kembali
terpejam. Senyuman di bibir Iman tetap ada. Nampak tenang dan lebih manis daripada biasa.
Agaknya apalah mimpi Iman saat ini? Adakah Iman bermimpi tentang dirinya? Rindukah
Iman padanya?

Tersenyum sendiri Danish memikirkannya.

"Tidurlah sayang... mimpi yang indah-indah..." bisik Danish lagi. Dia menghadiahkan lagi
satu ciuman di pipi kanan Iman.

Sebelum melangkah pergi, sempat Danish mengemaskan selimut Iman yang sedikit teralih.
Berat rasa hatinya ingin meninggalkan gadis itu. Malam ini adalah malam yang paling
bahagia dan bertuah dirasakannya. Hati Danish gembira dan tenang. Bagai terlepas rindu
yang membara. Ya... baru Danish sedar yang dia rindukan Iman selama ini.

IMAN rasa hari ini permulaan yang baik untuknya. Pagi ini Iman bangun dengan satu
perasaan yang cukup berbeza. Bagaikan hari ini menjanjikan sesuatu yang cukup indah
buatnya.

Pagi itu doktor yang merawat Dato’ Arif membenarkan Dato’ Arif pulang ke rumah. Dia
bersyukur dan gembira. Namun benarkan dia gembira hanya kerana itu? Atau mungkin ada
sebab lain? Adakah mungkin kerana mimpi semalam? Semalam dia bermimpi Danish datang
padanya. Membisikkan kata-kata yang cukup indah ke telinganya. Walaupun Iman yakin itu
hanya mimpi, tetapi ia seolah-olah seperti benar-benar terjadi.

Tapi mana mungkin Danish ada di sini? Kalau Danish ada di Malaysia, tentu sudah lama
Danish pulang ke rumah membantunya. Iman yakin Danish tidaklah sekejam mana untuk
membiarkan dia sendirian memikul beban seperti sekarang.

Cuma satu yang Iman hairan, siapa yang membaringkannya? Seingat Iman, semalam dia
tertidur dengan fail-fail yang berselerakan di atas meja. Ajaibnya pagi ini, dia bangun dengan
semua fail sudah tersusun rapi. Malah tidurnya juga beralaskan bantal dan berselimut. Pelik
tetapi benar.

Alah... boleh jadi jururawat yang membantu mengemas mejanya yang berselerak.

"Iman?"

Suara Datin Hajar yang lembut, menghapuskan segala khayalan Iman.

"Ya mama...." Iman cuba menyembunyikan rasa terkejut itu dengan senyuman. Wajahnya
nampak bersinar-sinar daripada biasa.

"Kenapa Iman termenung? Ada masalah ke?" tanya Datin Hajar prihatin dengan keadaan
Iman. Sejak dari datang tadi dia sedar Iman sedikit berbeza daripada biasa. Wajah itu ceria
dan berseri. Tambah berseri apabila Dato’ Arif dibenarkan pulang. Tetapi itu bukan
masalahnya. Kalau boleh dia ingin Iman selalu ceria begini.

"Tak ada apa-apalah mama. Mama dah siap kemas? Kalau dah siap, jomlah kita balik. Tadi
Iman dah jelaskan bil hospital," kata Iman mesra. Takut kalau-kalau Datin Hajar terus
bertanya.

"Dah. Marilah kita balik." Datin Hajar menahan rasa ingin tahunya. Cukuplah kalau Iman itu
sihat. Datin Hajar cuba memujuk hati sendiri.

Bab 8
KEGEMBIRAAN Iman hanya bertahan sehari sahaja. Baru dia hendak bernafas dan mencari
ruang untuk merehatkan diri, Dato’ Arif telah memintanya untuk terus menguruskan syarikat
buat sementara waktu.

Selain rasa sedikit terbeban dengan permintaan bapa mentuanya itu, Iman rasa terharu dengan
kepercayaan yang diberi padanya. Nampaknya kedua-dua orang tua itu sudah boleh
menerima dia di dalam keluarga ini.

Hanya satu masalahnya sekarang. Masalah yang menanti di hadapannya kini. Puan Hartimah,
kakak kepada mak mentuanya. Mak long kepada Danish. Sebagaimana yang dimaklumkan
oleh Arrisya, inilah ibu kepada Maya, kekasih Danish.

Sekarang Iman terpaksa berhadapan dengan wanita yang begitu membenci dirinya. Iman
tidak tahu kenapa wanita itu harus berada di sini. Hatinya mula berasa tidak sedap.

"Kak long bukan apa Hajar. Kak long tak nak syarikat kamu tu nanti jatuh ke tangan orang
lain. Kak long dengar, dia berlagak jadi puan besar kat syarikat kamu tu."

Akhirnya Iman faham kenapa Puan Hartimah memanggilnya, dan Iman faham juga apa
makna sindiran-sindiran pedas Puan Hartimah padanya sejak dia duduk di ruang tamu ini
tadi.

"Tak ada siapa yang jadi puan besar, kak long. Lagipun bukan orang lain yang uruskan
syarikat tu. Saya dan Abang Arif dah setuju nak biarkan Iman yang uruskan. Dia bukan orang
lain. Iman ni menantu kami juga. Lagipun nak harapkan siapa lagi kak long?" Datin Hajar
nampak tidak selesa dengan kata-kata kakaknya itu. Yang dikata itu adalah menantunya. Dia
yang mendengar rasa panas telinga.

Kesian Iman... tak pasal-pasal jadi mangsa. Dah cukup banyak pengorbanan Iman pada
keluarga mereka. Janganlah pula kerana pengorbanan itu, Iman dihina. Kak longnya itu kalau
bercakap memang tidak pernah hendak fikir perasaan orang lain. Sudahlah tadi mengungkit
hal pernikahan Danish dan Iman yang menyebabkan Maya patah hati. Pasti Iman kecil hati
tatkala mendengar yang suaminya pernah ingin dijodohkan dengan Maya.
"Apa pula tak ada orang lain? Abang Haron kau ni boleh tolonglah. Dari kamu percaya kat
budak mentah tu, baiklah kamu suruh Abang Haron kamu yang tengok-tengokkan syarikat
laki kamu tu." Nampaknya Puan Hartimah masih tidak berpuas hati mendengar penjelasan
Datin Hajar. Mendidih darahnya apabila Datin Hajar cuba memenangkan Iman. Sakit hatinya
apabila adiknya itu lagi mempercayai Iman daripada suaminya sendiri. Apa salahnya kalau
Datin Hajar menyuruh Haron yang menguruskan syarikat itu? Bukan orang lain pun, abang
iparnya juga.

"Kami bukan tak nak minta tolong Abang Haron, kak long... tapi kalau dah Iman ini ada,
biarlah dia aje yang uruskan. Kami tak naklah menyusahkan kak long dengan Abang Haron."
Sebaik mungkin Datin Hajar cuba memujuk kakaknya itu. Datin Hajar takut sangat kalau
Puan Hartimah mengata yang bukan-bukan lagi pada Iman. Hati menantunya itu perlu dia
jaga.

"Alah... kamu memang sengajakan? Jangan-jangan kamu ni dah terkena buatan orang
agaknya. Terkena ubat pengasih. Sampai keluarga sendiri pun kamu dah tak percaya!"

Kata-kata itu membuat Iman terus angkat muka. Terusik hatinya. Walaupun wanita itu tidak
menyebut namanya, tetapi Iman tahu kata-kata kejam itu untuknya.

"Kak long! Apa yang kak long cakap ni? Biarlah saya dengan Abang Arif nak suruh siapa
pun uruskan syarikat tu. Tapi kak long tak patut cakap Iman macam tu!" Marah benar Datin
Hajar dengan Puan Hartimah.

Hati tua Datin Hajar sendiri terusik dengan kata-kata itu. Sebagai mentua, dia malu dengan
tuduhan melulu kakaknya itu. Dia sudah banyak terhutang budi pada menantunya itu. Iman
sudah banyak berkorban untuk keluarganya. Bukan terima kasih yang menjadi balasan, tetapi
penghinaan pula yang dilemparkan pada gadis itu. Malu betul dia dengan sikap angkuh
kakaknya itu.

"Amboi!!! Kamu dah pandai nak menangkan dia nampaknya. Sah-sah kamu ni dah terkena
ubat guna-guna. Tak apa Hajar... kalau apa-apa jadi nanti, kamu jangan nak cari kak long.
Penat aje kak long datang kat sini. Ingat nak menolong, tapi kalau orang macam kamu ni,
baik tak payah tolong. Aku nak balik!" Puan Hartimah nyata tidak puas dengan kata-kata
adiknya itu. Dia bangun dengan muka yang merah menahan geram.
"Akak tak nak minum dulu ke?" tanya Datin Hajar lembut. Cuba memujuk kembali. Sebagai
adik dia sudah terlalu biasa mengalah dengan kakaknya itu.

"Tak payah! Aku tak dahaga pun!" tolak Puan Hartimah kasar lalu melangkah keluar.
Nampak sangat darjah kemarahannya sudah ke tahap kritikal.

Datin Hajar hanya menggeleng melihat gelagat kakaknya yang seperti kebudak-budakan itu.

"Mama minta maaf, Iman. Jangan ambil hati dengan kata-kata mak long tu. Orang tengah
marah memang macam tu." Segera Datin Hajar meminta maaf pada menantunya. Takut
menantunya itu terasa hati.

Kesian sungguh dia pada Iman. Hilang terus senyuman manis Iman semalam. Datin Hajar
benar-benar rasa bersalah.

"Tak apalah ma... Iman tak ambil hati pun. Iman naik dulu mama," kata Iman lalu meminta
diri.

Datin Hajar hanya mengangguk. Cuba mencari ruang buat dirinya. Mencari ruang untuk dia
terus bernafas dan bertenang.

MALAM itu Iman datang menemui Dato’ Arif dan Datin Hajar di bilik mentuanya. Dia puas
berfikir sejak Puan Hartimah pulang dalam keadaan marah-marah tadi. Iman cuba
menimbang balik kedudukannya. Dia sudah membuat keputusan. Iman rela berundur dan
memberi jawatannya pada suami Puan Hartimah. Lagipun tidak salah dia buat begitu. Tidak
selamanya dia ada di sini membantu Dato’ Arif dan Datin Hajar. Dia akan kembali ke
Liverpool menyambung pengajiannya. Jadi, dia perlu berbincang kembali dengan ibu bapa
mentuanya itu.

Iman tidak mahu kerana dia, Datin Hajar bergaduh adik-beradik. Lagipun dia tidak sanggup
kalau kerana perkara ini, nama arwah ibunya nanti disebut-sebut. Jangan kerana dia, ibunya
yang tiada pun dipersalahkan. Iman tidak akan mampu bertahan kalau itu terjadi.
"Assalamualaikum." Iman memberi salam sebaik sahaja daun pintu dikuak.

"Waalaikumsalam. Iman?" tegur Datin Hajar. Wajah menantunya itu dipandang dengan
perasaan yang bercampur. Hairan dan bimbang. Ya... hairan kerana wajah Iman seperti
terkandung masalah. Bimbang... apakah Iman ingin pergi meninggalkan mereka.

Iman melangkah masuk ke dalam bilik mewah itu dengan perasaan berdebar. Dia segan.
Inilah kali pertama dia masuk ke bilik ini. Selama ini dia tidak pernah pun lalu, apatah lagi
untuk masuk ke sini.

"Duduklah. Ada apa Iman cari mama ni?" Datin Hajar menegur mesra. Wajah menantunya
itu ditatap dengan penuh kasih sayang.

Datin Hajar mengajak Iman duduk bersamanya di meja kopi yang tersedia di dalam bilik itu.
Di sinilah dia dan Dato’ Arif berbual saban malam. Menghabiskan masa bersama... bercerita
dan kadangkala bergurau senda. Usik-mengusik.

Iman hanya mengikuti langkah Datin Hajar dan melabuhkan punggungnya di kerusi
berhadapan dengan wanita itu.

Dia mulai berasa selesa dengan kehadiran gadis itu dalam keluarganya. Sekarang dia hanya
ingin menghapuskan rasa kekok Iman terhadap dirinya dan suami. Walaupun Iman baik dan
mesra dengannya suami isteri, namun Iman nampak kekok apabila setiap kali bersama
mereka. Tidak seperti ketika Iman bersama dengan Arissya atau pembantu rumah mereka.

"Iman ada hal sedikit nak berbincang dengan mama dan papa," kata Iman sedikit teragak-
agak. Iman tahu dia perlu bijak memilih kata agar kedua-dua orang tua itu tidak terasa hati.

"Ada apa Iman?" tanya Datin Hajar lembut.


Kelihatan Dato’ Arif yang sedang bersandar di kepala katil sambil membaca buku. Berpura-
pura tidak mahu ambil tahu akan kehadiran Iman di dalam bilik itu. Sejak dari hospital lagi
Dato’ Arif teringin sekali hendak berbual-bual dengan Iman. Hendak berterima kasih pada
gadis itu kerana sudi menjaganya. Dia bukan jenis manusia yang tidak tahu hendak berterima
kasih. Cuma Dato’ Arif tidak tahu bagaimana ingin memulakannya.

"Iman nak berbincang tentang syarikat. Iman rasa baiklah kalau Iman tarik diri aje mama.
Biarlah pak long dan mak long yang uruskan. Mama jangan salah sangka. Bukan Iman tak
nak uruskan syarikat papa atau sebab berkecil hati dengan mak long tadi. Tapi Iman dah fikir.
Betul juga kata mak long, Iman terlalu muda untuk uruskan syarikat papa yang besar tu.
Lagipun tak lama lagi Iman dah nak balik ke England. Jadi kalau boleh Iman tak naklah nanti
susahkan papa pula." Iman cuba menerangkan sebaik mungkin pada Datin Hajar. Dia tidak
mahu Datin Hajar salah anggap.

"Cuba Iman cakap dengan mama, kenapa tiba-tiba Iman nak tarik diri? Mama tengok syarikat
tak ada masalah pun sepanjang Iman uruskan." Datin Hajar cuba mencungkil walaupun dia
yakin keputusan Iman ini berkait rapat dengan kedatangan Puan Hartimah petang tadi.

"Betul mama... Iman rasa lebih baik pak long yang uruskan. Pak long lebih banyak
pengalaman. Lagipun Iman kena balik, sambung pengajian Iman yang tertangguh tu." Iman
cuba memberi penjelasan dengan sebaik mungkin. Walaupun nampak sukar benar Datin
Hajar untuk menerimanya.

"Papa nak Iman yang uruskan. Papa tak nak orang lain. Kalau Iman tak faham, Iman boleh
tanya papa. Masa nilah Iman nak belajar. Syarikat tu suatu hari nanti pun akan jadi milik
Iman dan Danish juga," sampuk Dato’ Arif. Dia tidak mahu Iman serahkan pengurusan
syarikat itu kepada orang lain, waima birasnya sendiri. Tidak semudah itu untuk dia
percayakan orang luar selain menantunya itu. Lagipun inilah masanya Iman belajar selok-
belok perniagaan sebelum benar-benar mengambil alih syarikatnya suatu hari nanti.

Iman pantas menoleh pada Dato’ Arif. Dia sedikit terkejut mendengar suara bapa mentuanya
itu. Sungguh Iman tidak pernah menyangka yang Dato’ Arif akan bercakap begitu
dengannya. Malah Iman tak pernah berharap pun Dato’ Arif akan menegurnya. Berminggu-
minggu Iman menjaganya di hospital. Tidak ada sebaris kata pernah diucapkan padanya.
Tetapi kenapa kali ini?
"Iman dengarkan apa kata papa. Mama pun tak setuju Iman nak tarik diri. Mama dan papa
memang nak Iman yang uruskan syarikat itu. Sudahlah Iman... tak payah nak fikirkan lagi hal
ini. Soal Iman nak balik ke sana tu, nantilah kita bincangkan kemudian. Iman dah makan?
Tadi kenapa Iman tak turun makan malam?" Datin Hajar mengalih topik perbincangan.

"Iman kenyang lagi la mama. Errr... kalau dah macam tu kata papa dan mama... Iman minta
diri dululah. Nak masuk tidur." Iman segera meminta diri. Dia tidak mahu kehadirannya di
situ menganggu Dato’ Arif dan Datin Hajar yang ingin berehat.

Sebelum berlalu, Iman bersalam dengan Datin Hajar dan Dato’ Arif.

"Assalamualaikum!" ucap Iman sebelum merapatkan daun pintu.

"Waalaikumsalam..." jawab kedua-duanya serentak sambil menghadiahkan senyuman.

"Kadang-kadang saya kesian tengok Iman tu bang. Dah banyak kita susahkan dia. Kalau tak
ada dia, entah apalah yang jadi pada kita. Nak harapkan anak sendiri, entah hilang lesap ke
mana. Tak sangka dia nak tolong kita masa susah macam ni," luah Datin Hajar sebaik sahaja
Iman hilang di balik pintu. Sayu sungguh hatinya.

"Iman tu memang budak baik. Patutlah arwah abah sayang sangat kat dia. Betul kata arwah
abah dulu, tak akan ada yang terbaik buat Danish melainkan Iman. Tak ada menantu yang
sebaik Iman tu."

Kini baru Dato’ Arif mengakui akan kebenaran kata-kata bapanya dulu. Memang Iman yang
paling sesuai untuk menjadi menantunya. Mencari menantu bukan luarannya saja nampak
cantik, tetapi di dalamnya juga.

"Menyesal pula rasanya bila mengenang sikap saya yang dulu. Kalaulah Danish tak pandai
nak hargai dia... memang bodohlah dia. Kalau boleh saya nak sangat tengok Danish dan Iman
tu berbaik-baik seperti suami isteri yang lain. Mana lagi nak cari menantu sebaik tu zaman
sekarang ni?" kata Datin Hajar lagi.
"Danish tak akan lepaskan Iman. Percayalah... kalau dia kenal Iman dengan sebenar-
benarnya... pasti dia jatuh cinta. Saya kenal anak saya tu, Hajar," kata Dato’ Arif yakin. Dia
sendiri tidak akan setuju kalau Danish ingin lepaskan Iman. Kali ini cara arwah abahnya akan
diikuti.

"Harap-harap macam tulah abang. Jom la kita tidur bang. Kalau fikirkan hal budak-budak ni,
tak tidurlah kita jawabnya," kata Datin Hajar sambil berbaring di sisi Dato’ Arif.

Kata-kata Dato’ Arif tadi melegakannya. Dia tahu, Dato’ Arif tidak akan membiarkan Danish
melepaskan Iman begitu sahaja. Datin Hajar kenal suaminya. Suaminya pasti ada cara
tersendiri.

Bab 9

IMAN menunggu Pak Mat mengambilnya di hadapan Wisma Mega. Pagi tadi dia memandu
sendiri tetapi kini terpaksa meminta Pak Mat mengambilnya kerana dia begitu letih sekali.

Iman mengerling jam di pergelangan tangannya. Pukul lapan malam. Hari ini buat pertama
kalinya dia balik seawal ini. Selalunya apabila jarum jam sudah menunjukkan pukul sepuluh
atau sebelas malam, baru dia melihat dunia luar. Tetapi hari ini dia mengalah. Walaupun
perasaan bersalahnya bertandang tatkala melihat para pekerjanya masih tekun menyiapkan
tugas yang entah bila akan surut.

Minggu ini adalah minggu paling mencabar buat Iman. Kerjanya bertambah banyak apabila
ada masalah pada beberapa projek pembinaan yang diusahakan. Belum habis satu, satu lagi
masalah datang. Iman bukan hendak menuduh, tetapi dia dapat merasakan ini semua angkara
khianat. Mustahil masalah sebegini timbul serentak di beberapa tempat yang berbeza.
Peliknya, projek-projek itu adalah projek mega syarikat. Masalah bahan yang terputus
bekalan, dengan harga yang naik berlipat kali ganda, pekerja asing yang enggan
memperbaharui permit dengan alasan gaji yang diberikan tidak setanding dengan tenaga yang
dicurahkan dan yang paling memeningkan, apabila bangunan yang separuh siap tiba-tiba
runtuh sewaktu kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan. Nasib baiklah tiada kemalangan
jiwa berlaku, kalau tidak... harus dia tidur dalam pejabat.

Tuntutan beban kerja membuatkan seleranya lari. Makan pun sekadar untuk mengalas perut.
Badannya terasa sedikit ringan daripada biasa. Boleh juga dia mengurangkan berat badan.
Hanya satu merisaukan dirinya. Dia kini kerap pedih di bahagian ulu hati. Tekaknya pun
sering loya-loya. Lagi parah kalau kepalanya mula pening. Satu kerja pun tidak boleh
dilaksanakan dengan baik.

Iman bercadang ingin berjumpa doktor, namun masa belum mengizinkan.

Iman bersandar pada dinding wisma. Dia merenung ke hadapan. Badannya terasa terlalu
penat bagaikan seluruh tenaganya telah lenyap. Hendak berdiri tegak pun dia tidak mampu.

Iman memejam matanya seketika. Cuba mencari sisa-sisa tenaga yang tinggal sambil berhajat
untuk melepaskan lelah. Apabila Iman membuka kelopak matanya kembali, dunia seakan
berpusing ligat. Pandangannya mula kabur.

Beg di tangannya tiba-tiba terlepas. Badannya lemah longlai. Dia mula hilang imbangan.
Tubuhnya terasa bagai daun yang gugur. Ringan melayang. Saat Iman sudah bersedia untuk
menahan sakit terhempas ke lantai, tubuhnya terasa disambut seseorang. Dari pandangan
yang kabur dan otak yang separa berfungsi itu, matanya bagai merakam wajah Danish yang
menyambutnya.

"IMAN!" Danish menyeru nama Iman yang terkulai di dalam dakapannya. Nasib baik dia
sempat meluru menyambut tubuh Iman yang tiba-tiba hilang imbangan itu.

Tadi hatinya terdetik untuk menjenguk Iman. Satu-satunya tempat untuk dia menjenguk Iman
adalah di sini, di Wisma Mega. Di sini dia boleh melihat Iman pergi dan pulang dari pejabat.
Tidak disangka pula kali dia terpaksa bertemu dengan Iman dalam keadaan begini. Tidak
disangka Iman akan rebah di hadapannya. Apakah yang terjadi pada Iman sebenarnya?

"Iman. Iman... tolonglah sedar. Jangan nak takutkan I." Danish menepuk-nepuk pipi Iman
untuk menyedarkan Iman. Dia buntu. Dia sangat takut. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada
Iman.
"Encik Danish? Iman?" suara Pak Mat yang sedikit terkejut membuatkan Danish mendongak.

"Pak Mat, cepat Pak Mat. Tolong bawa Iman ke hospital. Dia pengsan ni...." Danish sudah
mencempung tubuh Iman yang longlai. Pak Mat yang pada mulanya terpaku melihat
kemunculan Danish yang tiba-tiba mula mengutip barang Iman yang terjatuh di atas jalan.

"Apa dah jadi ni, Encik Danish?" tanya Pak Mat sambil membuntuti Danish ke kereta yang
diparkir di hadapan pintu utama itu. Wajahnya turut cemas.

"Iman pengsan. Nasib baik saya ada kat situ. Kenapa Pak Mat jemput Iman lewat sangat?"
Danish membaringkan Iman di tempat duduk belakang. Dia juga duduk di belakang. Kepala
Iman diletakkan di atas ribanya. Wajahnya kerisauan. Resah.

"Cik Iman memandu sendiri pagi tadi. Dia baru saja telefon minta saya jemput. Katanya tak
larat nak memandu. Encik Danish bila sampai? Macam mana Encik Danish boleh ada kat
situ?" Pak Mat bertanya. Dia terkejut melihat kemunculan Danish yang tiba-tiba itu.

Danish yang tadinya langsung tidak terfikir yang kepulangannya sudah diketahui oleh Pak
Mat, sedikit ternganga. Rahsianya bukan lagi rahsia pada Pak Mat. Danish tidak ada pilihan
lain selain menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku padanya.

Danish mengakui yang dia telah lama pulang ke Malaysia. Malah Danish mengakui
memerhati keluarganya dari jauh. Danish juga meluahkan rasa takutnya untuk berhadapan
dengan keluarga setelah lama menghilang. Takut penerimaan keluargannya nanti. Cuma satu
yang Danish tidak ceritakan, tentang dia menyelinap masuk ke wad Dato’ Arif pada waktu
malam. Danish juga merahsiakan yang dia sebenarnya turut memerhatikan Iman dari jauh.
Biarlah itu menjadi rahsia dirinya.

"Tak elok encik buat macam ni. Macam mana pun mereka tetap keluarga encik. Mereka pasti
akan terima encik. Dato’ dan Datin rindukan encik. Sama macam Cik Iman perlukan encik.
Kesian saya tengok Cik Iman. Dia nampak penat sejak arwah Tuan Haji tak ada. Dua tiga
hari ni pun dia tak berapa nak sihat. Selalu sakit perut dan muntah-muntah. Nak jumpa doktor
pun tak ada masa. Kesian Cik Iman. Encik baliklah... jangan bebankan Cik Iman. Walaupun
Cik Iman tak pernah cerita apa-apa, tapi kami tahu dia tunggu encik balik. Kalau tak masakan
tiap-tiap hari dia bertanya pada Mak Mah ada tak encik telefon. Balik kerja aja itulah yang
ditanya. Baliklah encik..." nasihat Pak Mat. Dia faham perasaan Danish, Namun dia juga
kasihankan Iman. Kalau Danish balik tentu Iman tidak akan pengsan.

Danish terdiam. Benarkah Iman menanti kepulangannya? Ya Allah... dialah punca Iman jadi
begini. Danish tunduk melihat wajah Iman di ribanya. Tangannya mengusap lembut pipi
gadis itu. Hatinya membisikkan kata maaf. Dia yang bersalah. Bersalah pada Iman dan
keluarganya.

"Encik, Pak Mat minta maaf kalau kata-kata tadi tu menyinggung perasaan encik. Sekarang
kita nak bawa Cik Iman ni ke mana?" kata Pak Mat dalam nada serba salah. Perasaan
bersalah semakin membuak dengan kebisuan Danish sejak tadi. Dia tahu Danish sayangkan
keluarganya. Kalau tidak masakan Danish pulang dan memantau keluarganya dari jauh.

"Kita bawa Iman ke klinik terdekat, Pak Mat. Lepas tu hantarkan kami ke Taman Tiara. Saya
menyewa di sana. Biar Iman berehat di rumah saya saja," putus Danish. Malam ini biarlah dia
yang menjaga Iman. Tetapi sebelum itu dia perlu memastikan Iman mendapat rawatan
daripada doktor dahulu.

DANISH memandang Iman yang lena terbaring di atas katilnya. Cantiknya Iman tatkala
berbaring di sisinya. Wajah itu nampak seperti menahan kesakitan. Iman kepenatan dan suhu
badan Iman sedikit tinggi. Itu ulasan doktor tentang Iman. Hypertension adalah penyebab
utama Iman pengsan. Tadi Danish bertanya pada doktor, apa penyakit isterinya sehingga
Iman sering sakit perut dan muntah-muntah. Kata doktor itu adalah simptom kemungkinan
Iman menghidap gastrik.

"I’m sorry, Iman. I janji akan selesaikan semua masalah ni. I takkan bebankan you lagi."
Danish berjanji pada Iman. Walaupun dia tahu saat ini Iman tidak dapat mendengar janji-
janjinya.

Esok Danish akan berjumpa dengan Uncle Fuad, peguam arwah atuknya. Biarpun dia tahu
rahsianya akan terbongkar pada Uncle Fuad, sepertimana yang terjadi antara dia dan Pak Mat
tadi, tetapi Danish tidak peduli. Dia akan minta Uncle Fuad merahsiakan kepulangannya
sepertimana dia minta Pak Mat merahsiakan semuanya.

Dia perlu berjumpa dengan Uncle Fuad kalau ingin membantu Iman. Pasti Uncle Fuad tahu
apa yang telah terjadi. Lelaki sebaya dengan papanya itu pasti tahu apa yang terjadi di
syarikat kerana selama ini dialah yang membantu Iman. Danish nekad akan menemui Uncle
Fuad esok. Dia akan meminta Uncle Fuad menjadi orang tengah antara dia dan syarikat.
Kalau dia tidak boleh menolong Iman secara terang-terangan biarlah dia membantu dari
belakang.

Danish sedikit terkejut apabila Iman bergerak. Danish kaku sebentar. Dia tidak mahu Iman
sedar akan kehadirannya. Namun jantungnya mula berdegup laju saat Iman berpaling ke
arahnya. Iman beralih tempat dengan mata yang tertutup. Kepala Iman terletak elok di
bahunya. Tangan Iman kini di atas dadanya dan sebelah kaki Iman di atas kakinya. Aura
bahagia meliputi hati Danish saat ini. Dia sungguh bahagia begini. Dia berharap masa akan
berlalu dengan perlahan.

IMAN terjaga lantas terkejut. Tempat ini terlalu asing baginya. Di mana dia berada? Ini
bukan biliknya. Bilik yang bercat biru ini bukan biliknya. Katil yang selesa ini bukan
katilnya. Dia di mana? Siapa yang membawanya ke sini? Iman mula memeriksa bajunya.
Masih lengkap, hanya tudungnya sahaja sudah hilang entah ke mana.

Iman bangkit dari tempat pembaringannya tadi. Dia turun dari katil yang bercadar biru muda.
Dia melihat keadaan sekeliling. Matanya terbeliak tatkala menatap ke arah jam dinding yang
menunjukkan pukul satu. Sekarang satu pagi atau satu petang?

Iman melangkah ke salah satu pintu di dalam bilik itu. Pintu pertama yang dibuka adalah
pintu bilik air. Iman masuk membasuh muka. Usai membasuh muka Iman bergerak ke arah
satu lagi pintu. Pintu yang diyakini adalah pintu keluar. Sebaik sahaja melangkah keluar Iman
terpaku. Dia kini berada di rumah orang. Rumah yang tidak terhias cantik tetapi selesa bagi
Iman.
Iman berjalan di sekeliling rumah itu. Sampai di ruang tamu dia terpandang beg tangannya di
atas meja. Di tepi beg tangannya ada sebuah beg kertas yang bersertakan sekeping nota.

Iman,

Rehatlah. Rumah ini milik you untuk hari ini. Rehatlah sepuasnya sebelum pulang. Makanan
tengah hari ada di atas meja. I tak tahu saiz you.

Di dalam beg kertas ini ada beberapa pasang baju. Pakailah. Kalau nak sembahyang, telekung
ada dalam almari. Tak perlu tunggu I. Hari ni rumah ini milik you. I tak balik. Jaga diri dan
kesihatan.

Yang sentiasa melihatmu.

Iman membaca nota itu dengan senyuman. Dia membuka beg kertas di hadapannya. Ada
beberapa helai T-shirt dan seluar slack. Dari saiz M hingga ke saiz XL. Memang pemberi ini
tidak tahu saiznya hingga terpaksa membeli pelbagai saiz. Dia membongkar satu per satu
pakaian di dalam beg kertas itu. Dia malu tatkala melihat pakaian dalam yang juga datang
dalam pelbagai saiz.

Sampai ke dasar beg kertas itu ada satu bungkusan beg kertas yang lain. Iman membukanya.
Sehelai tudung berwarna putih. Coraknya ringkas. Tudung itu hadiah yang paling berharga
yang pernah diterimanya. Sungguh Iman berterima kasih pada tuan rumah ini.

Seharian Iman menghabiskan masa di rumah ini. Rumah ini membuatkan dia seperti berada
di rumah sendiri. Dia mengemas apa yang patut. Menghabiskan masa dengan membaca
majalah-majalah yang ada dan berehat. Dia teringin hendak memasak namun tidak ada satu
pun bahan yang ada di dapur. Dia bahagia hari ini. Dia menjadi dirinya semula.

Iman langsung tidak berkeinginan hendak pulang seperti mula-mula dia sedar pagi tadi.
Tatkala petang menjelma Iman menelefon Pak Mat supaya menjemputnya pulang. Pak Mat
hanya bersetuju tanpa meminta alamat. Iman pula tidak terfikir Pak Mat hendak
mengambilnya di mana.Terasa berat pula kakinya hendak melangkah pergi meninggalkan
rumah ini. Namun dia perlu pulang. Kali ini Iman pulang dengan senyuman.

Sekeping nota ditinggalkan di atas meja. Nota penghargaan yang mewakili selaut terima
kasihnya buat tuan rumah yang telah meminjamkan rumah ini buat seketika.
Bab 10

DATIN HAJAR memandang gelapnya langit malam dari dalam biliknya. Kelihatan Dato’
Arif nyenyak di peraduan. Siang tadi mereka menghantar Iman dan Arrisya ke lapangan
terbang. Iman kembali ke England untuk menyambung pengajian. Arrisya pula mengikut
Iman untuk bercuti. Menghantar Iman pergi bagaikan hilang tangan kanannya. Selama tiga
bulan Iman ada di sampingnya. Sekarang gadis itu telah jauh. Datin Hajar pasti dia akan
merindui wajah dan suara yang sering memberinya semangat.

Datin Hajar kembali memikirkan apa yang terjadi beberapa bulan kebelakangan ini.
Kemalangan itu telah banyak menyedarkan mereka sekeluarga. Betapa dia dan keluarganya
sedar apa yang mereka ada selama ini hanyalah pinjaman semata. Bila-bila masa boleh ditarik
kembali. Hidup ini bagaikan roda. Ada kalanya kita di atas dan ada kalanya kita di bawah.

Kemalangan yang menimpa telah menyedarkannya bahawa keegoan akan membawa padah.
Jiran sebelah menyebelah seakan tidak peduli apa yang terjadi pada keluarganya. Teman-
teman kala senang sedikit pun tidak menghulurkan bantuan. Kakak sulungnya, Puan
Hartimah pula hanya sibuk tentang harta peninggalan. Langsung tidak memahami keadaan
duka hatinya. Sebaliknya menantu yang dahulunya tidak diakui sebagai menantu pula yang
banyak berkorban menolongnya. Iman yang bersengkang mata menemaninya dan Arrisya.
Iman juga yang menguruskan syarikat, rumah dan mengurus segala macam keperluannya.
Iman memang baik.

"Ya Allah. Ampunkan dosaku… ya Allah. Aku bersyukur kerana Kau menganugerahkan dia
sebahagian daripada keluargaku. Bukakanlah hati anakku untuk menerimanya." Datin Hajar
amat berharap agar Danish membuka mata dan sedar betapa baik jodohnya itu. Betapa
mulianya hati Iman.

Datin Hajar tekad, walaupun Danish tidak menerima Iman dan melepaskan wanita itu dia
tidak akan sesekali membenarkan Iman pergi jauh dari keluarganya. Iman tetap akan menjadi
ahli keluarganya.
IMAN tidak bisa melelapkan mata di dalam penerbangan. Iman cuba memejam mata tetapi
dia masih tidak mampu untuk tidur. Setitik air mata jatuh ke pipi. Sedih hatinya. Sakit
menanggung beban seorang diri. Danish.... entah di mana? Sampai hati Danish membiarkan
keluarganya begitu. Sampai hati betul Danish membiarkan dia menguruskan segalanya
keseorangan. Tiga bulan dia menanti Danish kembali. Sehingga seminggu lepas, Iman masih
percaya yang Danish akan kembali.

Iman berasa bertanggungjawab kepada keluarga mentuanya. Dia merasakan dirinya penyebab
Danish menjauhkan diri. Mungkin sebab itu Danish tidak pulang. Danish tidak mahu
berjumpa dengannya sehingga suaminya itu tekad tidak pulang ke Malaysia lagi. Langsung
tidak mahu pulang walaupun di saat peristiwa sadis terjadi di dalam keluarga ini. Ah... tiba-
tiba perasaan bersalah mencengkam jiwanya lagi.

Iman menoleh Arrisya di sebelahnya. Kelihatan Arrisya sedang nyenyak. Harap malam ini
tidur kakaknya itu tidak terganggu lagi. Biarlah kakaknya bangun saat kapal terbang ini sudah
mendarat nanti. Setelah tiga bulan di Malaysia dan bapa mentuanya sudah pulih akhirnya
Iman memutuskan untuk pulang ke sini bagi menyambung pelajarannya yang tertinggal.
Syarikat sudah stabil. Semuanya atas bantuan kawan Uncle Fuad yang sudi membantunya
dari belakang. Dia ingin berjumpa dengan insan berhati mulia itu tetapi kata Uncle Fuad,
kawannya itu ikhlas. Langsung tidak mahu bertemu dengannya. Namanya pun Iman tidak
tahu. Hanya gelaran hamba Allah sahaja sebagai pengenalan.

Iman sengaja membawa Arrisya dengan harapan wanita itu bisa memulakan hidup baru di
sana nanti. Kalau tidak memulakan hidup baru pun dengan berjauhan dari bumi Malaysia
dapat mengubati hati Arrisya yang remuk. Semoga Arrisya memperoleh semangat baru untuk
meneruskan hidup bersama Jehan. Kasihan anak buahnya itu. Telah merasai kehilangan ayah
pada usia yang masih kecil. Belum pun sempat Jehan hendak bermanja dengan si ayah, dia
telah kehilangan tempat bermanja.

Kehadiran Arrisya bersamanya di Liverpool nanti perlu dimaklumkan pada Danish.


Sekurang-kurangnya Danish tahu dan mungkin lelaki itu akan lembut hati menjenguk Arrisya
di rumahnya nanti. Siapa tahu. Jadi sebelum dia pulang ke Liverpool, Iman akan ke rumah
Danish dahulu. Bersemuka dengan Danish.
Tatkala kini hatinya bergelodak dan tidak sabar untuk bertanya kenapa lelaki itu tidak pulang
serta menyampaikan kerinduan keluarga kepada Danish.

Bab 11

IMAN tiba di hadapan rumah sewa Danish yang berhampiran London University
berpandukan alamat yang diberi oleh Arrisya tadi. Arrisya terkejut bukan kepalang apabila
mengetahui Iman tidak pernah bertemu dengan Danish sepanjang dia belajar di sini. Dia
mengharapkan alamat yang diberi betul. Besar juga harapannya Danish ada di rumah.

Tangan Iman mengetuk pintu rumah yang berwarna putih. Sejenak kemudian pintu terbuka
dari dalam. Muncul seorang lelaki. Agaknya ini rakan serumah Danish.

"Hello… errr... hai. Ini rumah Danish, kan? Dia ada tak? Boleh saya jumpa dengan dia?"
Iman bertanya pada pemuda yang membuka pintu itu. Kelihatan seperti orang Malaysia.

"Ini Iman, kan?"

Wajah Iman berkerut memandang si pemuda. Bagaimana jejaka itu tahu namanya.

"I Amran. Housemate Danish. Danish ada kat dalam. Bilik paling hujung yang ada tanda Do
Not Disturb kat pintu tu. You masuklah. I nak keluar sebenarnya ni." Amran memberi ruang
sedikit untuk Iman melangkah masuk.

"Thanks Amran." Iman memberi senyum manis pada Amran. Nampaknya lelaki itu seperti
lelaki yang baik.
"No thanks. By the way, takziah pasal keluarga you. I harap you both kuat terima dugaan ni. I
pergi dulu. Bye. Assalamualaikum."

Iman tidak sempat bertanya apa-apa. Amran sudah berlalu pergi. Nampak tergesa-gesa. Ada
temu janjilah tu. Iman hanya menjawab salam Amran di dalam hati.

Iman melangkah masuk. Dia nampak pintu bilik yang dikatakan oleh Amran tadi. Baru sahaja
Iman mengangkat tangan ingin mengetuk pintu terbuka dari dalam. Kelihatan seorang
perempuan yang lagaknya baru bangun tidur tersembul di hadapan pintu.

Iman terpana. Dia nyata terkejut. Dia tidak sangka akan bertemu dengan seorang gadis di
dalam bilik suaminya. Perkara sebegini adalah perkara terakhir yang dia inginkan di dalam
hidupnya.

Iman memerhati wajah gadis di hadapannya. Iman ingat wajah itu. Maya... ya perempuan di
hadapannya ini Maya.

"Ini bilik Danish ke?" Iman memberanikan diri bertanya. Maya yang hanya memakai T-shirt
paras lutut itu tersenyum sinis padanya.

"Ya. Ini bilik Danish. Boyfriend aku. Kau nak apa cari dia? Kalau ada apa-apa kau boleh
tinggalkan pesan pada aku. Dia tengah tidur." Maya memang berlagak. Tidak sedarkah dia di
hadapannya ini adalah isteri Danish. Lelaki yang dia mengaku sebagai kekasih.

Maya tersenyum sinis. Hatinya gembira melihat riak wajah Iman berubah sama sekali. Maya
hanya menumpang tidur di bilik Danish kerana tertinggal kunci dan kawan serumahnya pula
tidak pulang. Terpaksalah dia ke rumah sepupunya ini menumpang tidur. Memandangkan dia
sampai pun sudah hampir subuh, Danish menyuruhnya tidur di dalam bilik dan lelaki itu
menghabiskan masa menelaah di ruang tamu. Tidak sangka pula pagi ini ada kejutan buatnya.
Iman kini berada di hadapannya. Dia gembira.

Dia kenal Iman. Dia tidak akan lupa wajah nan satu ini. Masakan dia lupa gadis yang sudah
memiliki Danish. Gadis yang berjaya membina tembok antara dia dan Danish.
Iman menarik nafas sedalam mungkin. Otaknya dipaksa memikirkan perkara yang positif.
Cuba menidakkan bahawa suaminya sudah jauh terlanjur dengan gadis di hadapannya ini.
Walaupun naif kedengarannya tetapi Iman memaksa dirinya percaya yang dua insan itu
hanya tidur bersama dan tidak berlaku apa-apa keintiman antara Danish dan Maya. Jauh di
sudut hati dia menidakkan apa yang berlegar di mindanya. Tidak mungkin seorang
perempuan dan seorang lelaki yang tidur sebilik tidak melakukan apa-apa. Ada kalanya lebih
baik kita tidak tahu daripada kita tahu tetapi menyakitkan hati. Seperti yang berlaku padanya
kini.

"Tolong cakap dengan dia yang keluarganya perlukan dia di Malaysia dan Arrisya ada
bersama saya sekarang. Esok kami akan bergerak ke Liverpool. Okeylah, saya balik dulu.
Kirim salam pada dia."

Iman melangkah pergi. Dia ingin cepat-cepat keluar dari rumah ini. Dia tidak mampu untuk
bertahan lama di sini. Cukuplah dia terserempak dengan Maya. Iman tidak mahu melihat
wajah Danish pula. Kalaulah dia bersua dengan Danish bagaimana agaknya ekspresi
wajahnya. Marah atau menangis? Jadi cukuplah dengan apa yang telah terjadi sekali itu.

Kini hatinya sakit yang amat. Perasaannya hancur lumat. Dia menganggap dirinya bodoh
kerana masih mengharapkan Danish setia padanya. Hatinya bertambah sakit tatkala
terkenangkan saban hari dia menunggu Danish pulang untuk membantunya di Malaysia. Dia
risaukan keadaan Danish. Sedangkan suaminya itu bergembira di sini di samping kekasih
tersayang. Hanya dia yang bodoh risaukan Danish. Lelaki itu sekelumit tidak punya perasaan
kasihan atau sayang padanya.

MALAM itu Iman menghabiskan masa dengan menangis dan menangis. Abangnya dan
Mama Sue yang kerisauan langsung tidak dipedulikan. Iman menimbang balik kesilapan diri.
Melihat balik kelemahan diri. Iman sedar satu perkara. Dia terlalu mudah dibuli oleh Danish.
Kenapa? Kerana dia amat mengharapkan Danish. Kerana dia mengharapkan sesuatu daripada
pernikahan ini. Walaupun pernikahannya terjalin atas dasar paksaan namun dia masih
mengharapkan sesuatu yang manis. Dia tetap memasang angan-angan untuk hidup bahagia di
samping Danish.
Oleh sebab terlalu memasang angan yang melaut maka inilah bahana yang dirasainya kini.
Dia terlalu mengharap sehingga dia membuta tuli mempercayai Danish. Mulai hari ini Iman
perlu sedar. Antara dia dan Danish tidak akan ada perhubungan yang berbungakan sayang.
Hati lelaki itu telah dimiliki dan dia bukan pemilik hati itu.

Bab 12

IMAN bersantai di halaman rumah bersama Datin Hajar dan Dato’ Arif. Dia dan Arrisya
sibuk bermain dengan si montel Jehan. Usia Jehan akan genap empat tahun esok dan esok
juga genaplah empat tahun usia pernikahan dia dengan Danish. Namun sudah empat tahun
juga dia tidak bertemu Danish. Kali terakhir dia bertemu lelaki itu ketika Danish
meninggalkannya keseorangan di London.

"Ehan nak tu mak cu." Jehan meminta kuih yang ada di atas meja. Jehan ini memang
semangat kalau bab makan. Tengoklah badan dia. Tambahan pula dia dimanjakan oleh atuk
dan neneknya. Maklumlah cucu seorang.

"Mari mak cu suapkan." Iman mencubit sedikit kuih itu lalu disuapkan ke mulut Jehan. Jehan
membukakan mulut comelnya. Apabila Iman menyuap kuih ke dalam mulut Jehan, anak
saudaranya itu dengan pantas menggigit jari Iman. Iman sedikit terkejut.

"Jehan gigit mak su eh? Nak kena dia ni. Mak su gigit dia balik," acah Iman. Jehan yang
mendengar ugutan itu mencicit lari. Iman pura-pura mengejar Jehan. Gelagat mereka itu
membuatkan semua yang ada di situ tergelak.

"Meriah rumah kalau ada Jehan. Kalau dia ada kawan mesti lagi meriah. Bilalah kita nak
menimang cucu lagi ya, bang?"

Soalan Datin Hajar itu membuat Iman berhenti mengejar Jehan. Serta-merta tubuhnya berdiri
tegak. Soalan itu bagaikan ditujukan padanya.
"Hmmm... entahlah Hajar. Kalau sorang kat sana sorang kat sini, mana nak jadinya. Danish
pun satu. Dah tak reti-reti nak balik. Kerja kat sana buat apa," omel Dato’ Arif. Rupa-rupanya
kedua-dua mentuanya itu rindukan Danish. Iman terpaku sebentar.

"Entahlah, bang. Tak ingat ke dia pada kita? Danish ada telefon kamu, Iman?" tanya Datin
Hajar yang sudah beralih pandangan padanya. Iman langsung tidak bersedia dengan
pertanyaan itu, tidak tahu hendak menjawab apa. Sungguh Iman tidak pernah berfikir tentang
itu.

"Mama rindukan Danish ke?" Iman hanya tersenyum. Membalas pertanyaan itu dengan
soalan. Dia belum mampu memikirkan alasan yang kukuh untuk Datin Hajar.

"Dia tak telefon kamu ya, Iman? Anak bertuah. Isteri sendiri pun tak ditanya khabar. Apalah
nak jadi dengan Danish ni. Kita ni pun jarang sekali nak hantar berita. Tapi tak kisahlah. Ini
isteri sendiri pun tak telefon. Melampau sungguh," bebel Datin Hajar.

Sungguh dia boleh meneka daripada gerak-geri Iman. Pasti Danish tidak menghubungi Iman.
Dia kesal. Danish sanggup memperlakuan Iman sedekian rupa. Patutlah Iman tidak pernah
menyebut nama Danish kerana anaknya itu langsung tidak berusaha untuk berbaik-baik
dengan Iman.

"Dia sibuk agaknya, mama. Dia telefon rumah pun dah cukup." Iman cuba melegakan hati
Datin Hajar.

Iman tidak pernah kisah Danish pulang atau tidak. Iman tidak pernah ambil peduli. Dia
bahagia dengan kehidupannya sekarang. Cukuplah hanya ada mentua yang melayannya
seperti anak sendiri. Serta Arrisya dan Jehan yang sentiasa menghiasi dunianya. Gelak tawa
Jehan bisa menceriakannya. Dia tidak ingin membiarkan Danish menyakitinya lagi. Malah
dia tidak mahu Danish punya kesempatan untuk itu sama sekali. Iman sekarang berada di zon
selesa hingga dia lupa akan kehadiran suami. Sebenarnya yang masih mengharapkan
kepulangan Danish adalah Datin Hajar. Masakan seorang ibu boleh melupakan anaknya.
Iman sedar Danish tidak akan kembali selagi dia masih ada di rumah agam ini. Danish tidak
mahu berjumpa dengannya. Pilihannya sekarang hanya satu sama ada dia yang
mengundurkan diri dari rumah ini dan Danish akan pulang. Atau Iman terus berada di bawah
payung kasih sayang keluarga ini dan membiarkan mentuanya terus merindui Danish.
Sanggupkah dia membiarkan Dato’ Arif dan Datin Hajar bersedih. Iman tahu dia hanya
menantu. Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan Danish yang mempunyai pertalian
yang kukuh dengan keluarga mentuanya. Sebenarnya dia bukan sesiapa pada mereka semua.
Dia hanyalah Iman yang tidak punya apa-apa keistimewaan.

"BETUL ke Iman nak ke London lepas ni? Nak buat apa kat sana? Jumpa Danish? Nak pujuk
dia?" duga Arrisya. Dia bagai dapat membaca niat Arrisya ke London. Dia terkejut ketika
Iman menyuarakan hasrat hendak ke London hujung minggu ini. Dek kerana terkejut juga
Arrisya sanggup meninggalkan kerjanya dan mengekori Iman ke bilik.

"Betullah, Kak Arrisya. Hujung minggu ni Iman pergi." Iman menjawab dengan bersahaja.
Apa urusannya di sana? Biarlah hanya dia yang tahu. Iman pura-pura sibuk memilih baju
untuk dipakai ke pejabat esok. Kehadiran Arrisya yang duduk berteleku di atas katilnya tidak
dipedulikan sama sekali.

"Iman tak jawab lagi soalan akak. Kenapa Iman nak ke sana? Iman nak pujuk Danish, kan?"
gesa Arrisya lagi. Dia hendak tahu sangat, atas urusan apa Iman hendak ke sana.

"Kami perlu bersemuka, akak. Takkan selamanya kami nak macam ni? Akak nampakkan,
mama dan papa rindukan dia." Iman mengiyakan pertanyaan Arrisya itu. Namun nama
Danish tidak keluar dari bibirnya. Hanya panggilan ‘dia’ diberikan.

"Iman nak buat apa?"

Soalan itu hanya dibalas dengan senyuman. Sejujurnya Iman sendiri tidak tahu apa yang akan
dilakukan di sana nanti. Untuk berhadapan dengan lelaki itu Iman tidak tahu bagaimana?
Haruskah dia memperkenalkan diri? Memperkenalkan diri sebagai apa?
Bab 13

IMAN menunggu dengan sabar di Lapangan Terbang Heathrow London. Gaya santai dengan
jean dan blaus berwarna biru. Tubuhnya dibalut dengan jaket kulit paras paha untuk
mengelakkan kesejukan. Iman sengaja mencari tempat duduk yang agak terbuka agar senang
Danish mencarinya. Itupun kalau Danish masih kenal rupa isterinya ini.

Iman telah menghubungi Danish sebaik sahaja mendarat tadi. Sengaja dia meminta Danish
menjemputnya. Bukan mahu menyusahkan Danish tetapi Iman mahu Danish tahu
kedatangannya ke sini. Lagipun kembalinya dia menjejakkan kaki ke bumi asing ini juga
kerana Danish. Mereka perlu berbincang dan harus membuka jalan perbincangan. Biarlah dia
yang menjadi orang itu.

Iman terkenang kembali saat dia memberanikan diri menghubungi Danish tadi. Beberapa kali
juga dia menelefon dan mematikan talian sebelum sempat panggilannya disambut. Itu belum
mengira lagi beberapa kali dia menarik nafas panjang. Syukur akhirnya dia diberi kekuatan
untuk menelefon dan bercakap dengan Danish. Lucu pula kalau difikirkan kembali. Begitu
besar impak Danish padanya walaupun sudah empat tahun berlalu.

DANISH memarkirkan keretanya. Nasib baik dia tidak perlu berpusing beberapa kali mencari
tempat parkir. Di bibirnya terhias dengan senyuman manis. Menggambarkan hatinya yang
ceria dan gembira. Ya... kedinginan hatinya selama empat tahun ini kembali hangat dengan
satu panggilan. Danish tidak sangka nombor asing yang menelefonnya beberapa kali itu
adalah nombor telefon Iman. Terkejut juga dia menyambut panggilan itu tadi. Hinggakan
Danish terdiam ketika Iman memperkenalkan diri.

"Hello. Danish speaking." Danish akhirnya menjawab panggilan dari nombor yang sudah
beberapa kali mencatatkan missed call di dalam senarai panggilan.
"Assalamualaikum, Danish. Iman ni."

Suara di hujung talian memperkenalkan diri. Lembut nada suara itu menyapa telinganya.
Sungguh Danish terpaku. Danish terdiam tatkala mendengar suara itu memperkenalkan diri.
Buat kali pertama setelah empat tahun, Danish kembali mendengar suara itu. Empat tahun
lamanya. Tetapi suara itu masih sama. Rupa-rupanya Danish tidak pernah lupa suara lembut
milik isterinya itu.

"Hello, Danish. Iman Umairah ni. Your wife. Remember?" Iman sekali lagi memperkenalkan
diri. Mungkin sedikit terpukul dengan kebisuan Danish.

"Iman...." Nama itu lembut keluar dari seulas bibir milik Danish.

"Yes. Your wife. I kat Heathrow Airport ni. Boleh tak you tolong jemput I?"

"Iman kat London?" tanya Danish teruja.

"Yes. I baru sampai. Masih kat airport. Boleh you ambil I?"

"Yes. I mean okay. Tunggu I kat situ. Jangan pergi mana-mana." Danish kelam-kabut
bersetuju. Dia tergesa-gesa meninggalkan pejabatnya. Selaju mungkin dia memandu. Tidak
sabar menemui wajah yang dirindui walaupun baru tiga bulan lepas dia ke Malaysia semata-
mata untuk melihat wajah Iman dari jauh.

DANISH berlari masuk ke airport yang tersergam indah itu. Cantik. Matanya mencari insan
yang dirinduinya. Akhirnya dia bertemu apa yang dicari. Iman sedang duduk menantinya
sambil membaca novel. Hobi Iman masih sama. Masih suka membaca novel.
"Ehem... assalamualaikum." Danish memberi salam apabila Iman tidak menyedari
kehadirannya yang sudah tegak berdiri di hadapan Iman.

"Waalaikumsalam." Iman nyata terkejut dengan kehadiran Danish. Dia segera bangkit.
Hampir terhambur ketawa Danish melihat reaksi Iman. Namun rasa lucu itu tenggelam dalam
rasa tertawan.

Hatinya tertawan melihat penampilan Iman. Cantik sungguh isterinya dengan solekan nipis.
Sudah pandai bergaya. Lama Danish merenung Iman. Tidak mahu melepaskan peluang
sebegini. Peluang yang tidak pernah diimpikan. Selama ini kalau melihat Iman pun hanya
dari jauh. Baru kini ada rezeki buatnya menatap Iman secara bersemuka begini. Ralit Danish
merenung Iman. Danish tersedar sehingga Iman melambaikan tangan di hadapannya.

"Lama tunggu?" Danish cuba berbasa-basi menutup kesilapan diri. Lagipun sudah empat
tahun mereka saling terputus kata. Sekarang dia tidak mahu kebisuan terus menyelubungi
mereka. Cukuplah untuk empat tahun itu.

"Salah I. Telefon lambat sangat. I harap tak ganggu you." Iman tidak menjawab soalan
Danish. Tidak perlu dijawab rasanya. Masing-masing tahu berapa lama Iman menunggu di
situ.

"Tak ganggu pun. Jom," ajak Danish. Bagasi Iman ditarik. Cuba berlagak gentleman.
Manalah tahu hati Iman akan terpikat.

IMAN hanya duduk senyap di samping Danish yang sedang memandu. Iman perasan Danish
sudah banyak berubah. Wajahnya nampak semakin matang dan tenang.

"Bila mesyuarat tu?" Akhirnya Danish meluahkan kata-kata memecahkan kebisuan antara
mereka. Dia masih belum tahu misi Iman datang ke London ini. Tetapi Danish mengagak
yang Iman datang untuk mesyuarat.
Mata Danish masih memandang ke hadapan. Walaupun hatinya meronta-ronta untuk
berpaling melihat Iman namun dia cuba menahan. Tidak sanggup memandang Iman kerana
dia tahu setiap kali memandang Iman jantungnya berdegup kencang malah lebih kencang
tatkala tangannya digenggam tuk kadi dahulu. Kalaulah ikutkan hati saat ini ingin sahaja dia
memberhentikan kereta di mana-mana dan memanggil teksi. Dia mahu menumpukan sepenuh
perhatian pada Iman. Dia hanya mahu merenung wajah Iman.

"I datang bukan nak mesyuarat, tapi nak jumpa you." Ayat itu bagai mudah meluncur di bibir
Iman. Namun meluahkan kata-kata itu bagaikan menggegarkan jantungnya saat itu.

Danish menoleh ke arah Iman. Buat pertama kali Iman begitu berani meluahkan padanya
kata-kata sebegitu. Selama ini gadis itu cukup menjaga tutur kata di hadapannya. Cukup malu
dan takut-takut dengannya. Tetapi dia suka Iman begini. Sekurang-kurangnya dia tahu isi hati
Iman dan dia tidak perlu lagi meneka.

"Tengoklah kat depan. Nanti tak pasal-pasal dua-dua masuk hospital kang." Iman sekali lagi
berbuat selamba.

Danish menguntum senyum kecil. Tidak sangka baru setahun lebih tidak berjumpa, Iman
sudah banyak perubahan. Nyata masa mendewasakan Iman.

"Cantik you pakai tudung. Tudung tu pun cantik." Entah bagaimana tiba-tiba sahaja terkeluar
pujian itu dari bibir Danish. Tadi Danish tidak sedar, tudung yang dipakai Iman itu adalah
tudung yang dihadiahkan pada Iman secara senyap tiga tahun lepas. Apabila Iman membuka
jaket untuk membaiki letak tudungnya di kepala barulah Danish sedar tudung putih yang
dipakai oleh Iman itu adalah tudung yang dihadiahkannya dahulu.

"Thanks. Dah sampai seru I agaknya. Semua manusia perlu perubahan dan perlu berubah."
Iman sedikit kalut mendengar pujian itu. Walaupun jawapannya kedengaran yakin tetapi
wajahnya merah menahan malu. Tidak sangka dipuji sebegitu oleh suami yang sudah lama
tidak bersua muka dengannya.

Iman menggenggam hujung tudungnya yang bersilang itu. Entah kenapa hatinya terbuka
untuk memakai tudung ini. Tudung yang dihadiahkan oleh seorang hamba Allah padanya.
Seorang insan yang memberinya ruang dan semangat. Selama tiga tahun Iman menyimpan
tudung ini di dalam almari. Baru kali ini tergerak hati Iman untuk memakainya.
Danish tidak sangka Iman boleh menjawab pujiannya sebegitu rupa. Sangkanya Iman hanya
akan berdiam diri dan tertunduk malu. Namun Danish seakan sedar. Iman di hadapannya kini
bukanlah Iman dahulu yang hanya diam apabila ditindas. Iman yang bersamanya kini adalah
Iman yang berani bersuara. Iman yang cergas dan sedikit agresif. Jauh di sudut hati Danish
berharap Iman tidak berubah, walaupun tidak dinafikan dia suka kan perubahan Iman. Tetapi
biarlah sikap Iman itu masih kuat kerana dia jatuh hati pada Iman yang dahulu. Iman yang
tabah. Iman yang menurut katanya. Iman yang dia tahu dan yakin akan setia sebagai
isterinya.

Bab 14

DANISH berlari ke wad kelas satu Hospital Pantai. Kakinya terhenti di muka pintu yang
sedikit terbuka. Matanya sayu melihat sekujur tubuh yang kaku. Kelihatan tangan kiri dan
kepala pesakit berbalut. Sedih hati Danish. Perlahan- lahan Danish melangkah masuk.
Langkahnya terhenti tepat di tepi katil. Wajah lesu Iman dipandang. Sakit hatinya melihat
Iman begitu. Pedih hatinya melihat Iman terbaring tidak bermaya.

Kali terakhir dia bersama Iman ialah empat hari lalu, sehari sebelum Iman hilang dari
kondonya di Kota London. Iman pergi dari kondonya dengan hanya meninggalkan memo
yang dia akan pulang ke Malaysia. Sangkanya ada urusan penting yang membuatkan Iman
pergi dengan tergesa-gesa. Namun akhirnya dia dikejutkan dengan berita kemalangan Iman.
Seakan pecah jantungnya apabila mendapat panggilan tentang kemalangan Iman.

Semalam Danish sedang dalam mesyuarat apabila temannya yang kebetulan bekerja sebagai
doktor di sini memaklumkan kepadanya tentang Iman yang ditimpa kemalangan. Tanpa
menghiraukan apa pun risiko dia terus meninggalkan mesyuarat itu lalu pulang ke Malaysia.
Dan tanpa sempat berehat dia terus menjenguk Iman. Danish duduk di kerusi yang tersedia.
Wajah Iman dipandang sayu. Dia mencapai jari-jemari kanan Iman lalu digenggam lembut.
Wajah Iman diusap lembut. Sepintas jarinya merayap pada balutan di dahi Iman. Seakan
tidak percaya Iman kini terbaring di hadapannya dalam keadaan sebegini. Lalu kenangan di
Kota London hampir seminggu lalu menjenguk mindanya.
TIGA minggu lalu, Iman hadir semula dalam hidupnya di kota London. Dua minggu Iman
menjadi penghuni setia di kondo mewah Danish di tengah-tengah Kota London. Iman
menjadi penemannya. Menjadi penyeri hari-hari Danish. Entah mengapa dalam masa dua
minggu itu Danish terasa hidupnya lengkap. Mungki Iman melayannya dengan baik.
Menjalankan tanggungjawab sebagai isteri di rumah. Menjaga pakaiannya. Menjaga makan
minumnya. Sungguh, dia merasakan kelainan dengan kehadiran Iman. Hatinya gembira dan
seakan inilah matlamat hidupnya selama ini.

Dalam masa dua minggu itu juga Danish benar-benar menikmati kehidupan alam rumah
tangga. Bangun pagi sahaja baju dan sarapan sudah tersedia. Baliknya bersambut. Danish
sendiri seakan selesa makan di rumah bersama Iman. Pada awal kehadiran Iman, Danish
ingat lagi yang mereka hanya makan sandwic sepanjang hari kerana tiada bekalan makanan
di rumahnya. Pada hari kedua barulah mereka makan makanan yang berat hasil air tangan
Iman apabila pagi itu dia terpaksa mengambil cuti untuk menemani Iman ke pasar. Itu pun
Iman yang memaksanya. Seronok, pengalaman itu tidak akan dilupakan sama sekali.
Bertambah seronok apabila tiba waktu makan kerana makannya akan berteman.

Setiap malam dia tidak pernah ketinggalan untuk makan bersama Iman dari hari pertama
Iman di rumahnya. Percaya atau tidak dia sanggup membatalkan temu janji penting hanya
untuk makan malam bersama Iman. Temu janji yang sudah diatur berbulan-bulan lamanya
dibatalkan hanya untuk Iman. Ahhh... waktu itu dia seakan sudah kemaruk dengan Iman. Apa
yang paling penting buatnya adalah bersama Iman.

Danish sedar akan sikap ketabahan dan kegigihan Iman yang bersama-sama keluarganya di
saat getir. Iman yang menggantikan tempat dan memikul tanggungjawabnya. Dia seakan
terikat pada Iman. Hatinya semakin hari semakin sayang. Hidupnya hanya untuk Iman dan
sejak dari saat itu Danish yakin dia tidak akan mampu mencari pengganti sebaik Iman.

Tanpa seorang pun tahu saban tahun dia akan kembali ke Malaysia untuk melihat dan
melawat keluarganya dari jauh. Iman sentiasa diikutinya. Gerak-geri Iman sering
membuatkan dia ingin pulang ke Malaysia sebenarnya. Dia tidak pernah kisah kalau seharian
menanti Iman keluar dari pejabat. Awal-awal pagi dia sudah menunggu hanya semata-mata
untuk melihat Iman masuk kerja. Cuma Danish sedikit tidak puas hati apabila Iman sering
pulang sehingga jam lapan malam. Kalau nanti mereka hidup bersama Iman tidak akan
dibenarkan pulang selewat itu.
Dahulu tanpa mendekati Iman, Danish sudah jatuh cinta hanya dengan melihat tingkah laku
Iman dari jauh. Hatinya sudah terpikat dengan Iman walaupun dipisahkan dengan jarak. Kini
tinggal serumah membuatkan Danish lebih mengenali Iman. Mengenali Iman membuatkan
rasa cinta itu semakin kuat. Semakin teguh di hatinya. Saban hari dia merindui Iman.
Kehadiran Iman menyebabkan dia sentiasa ingin cepat pulang ke rumah selepas kerja.
Mengenali Iman membuatkan hatinya belajar memahami dan merindui. Tidak sangka Iman
punya persamaan minat dengannya.

Bukan dari segi citarasa pilihan cerita atau filem namun dari segi tabiat. Ahhh… memang dia
dan Iman bercanggah pendapat tentang memilih cerita. Setiap kali Iman lebih kepada cerita
yang lembut penuh perasaan romantis atau kekeluargaan sedangkan dia menyukai filem-filem
aksi, hasilnya setiap kali menonton akan ada seorang yang menunjuk muka tak puas hati.
Cuma ada satu tabiat yang dia suka... tabiat yang mereka berkongsi setiap kali tiada mood
untuk menonton atau keluar ke mana-mana.

Satu yang mungkin hanya dikongsi oleh dirinya dan Iman. Mereka berdua suka
menghabiskan waktu malam dengan membaca di balkoni. Duduk berdua-duaan di balkoni
bertemankan sebuah buku atau majalah bersama dengan secawan coklat panas cukup
menghiburkan pada Danish. Tidak perlu berbicara hanya cukup dengan perasaan ditemani.
Memang mereka jarang berbicara kerana fokus dengan pembacaan namun perasaan disayangi
itu tetap ada. Benar kata-kata yang menyatakan, adakala bibir tidak perlu berbicara tetapi
cukup dengan gerak badan. Kerana bahasa badan lebih ikhlas menceritakan.

Kebahagiaan dua minggu itu berakhir dengan satu malam. Malam yang membuat dia terasa
hati dengan Iman. Malam yang seolah-olah membayangkan hati Iman bukanlah miliknya.
Malam di mana Iman menyatakan kesanggupannya untuk pergi dari hidup Danish dan
keluarga Danish jika itu yang diminta sebagai syarat untuk Danish pulang ke pangkuan
keluarga. Kata-kata yang cukup jelas bahawa Iman tidak mengerti isyarat yang diberinya
selama dua minggu isterinya itu bersamanya. Malam yang membuatkan hatinya terluka.
Sampai ke saat ini dia masih ingat kata-kata Iman pada malam itu.

"Awak baliklah, Danish. Tempat awak bukan di sini, tapi di sisi keluarga awak. Tolonglah,
mama dan papa awak rindukan awak sangat. Saya tahu awak takkan balik kerana saya ada di
sana. Di sisi keluarga awak. Apa kata saya berjanji kalau awak balik saya akan lakukan apa
saja apa yang awak nak saya buat. Malah saya sanggup keluar dari keluarga awak, jauh dari
kehidupan awak.... Ya... saya akan keluar dari kehidupan awak kalau itu awak nak. Cuma
saya minta enam bulan saja. Saya akan keluar dari kehidupan awak dan keluarga awak pada
hari genap enam bulan awak pulang ke pangkuan keluarga awak. Saya janji."

Janji itu yang melukakan hati Danish. Iman sanggup berkata begitu setelah dua minggu
mereka tinggal bersama. Nampak sangat Iman tidak memerlukan dirinya. Kenapa? Tidakkah
Iman sedar yang dia mula menerima Iman di dalam hidupnya?

"DANISH... Danish...." Suara itu menyedarkan Danish dari memori semalam. Segera dia
mengangkat muka. Kelihatan Intan, temannya yang merawat Iman itu sudah berdiri di
sebelahnya.

"You kenapa? Dari tadi I panggil tak jawab. I tahulah you risaukan wife you ni. Hm... sayang
betul you dengan dia ya. Cepat aja you sampai." Usikan Intan itu disambut dengan senyuman
hambar Danish.

"Thanks, Intan. I owe you one. How is she?" Danish bertanya lembut. Dia memang terhutang
budi pada Intan. Hubungannya dan status keadaan dirinya bersama Iman bukan lagi rahsia
pada Intan malah pada Amran. Pada Intan dan Amran, si kembar itulah tempat dia meluahkan
perasaannya dahulu.

"She is okay. Tapi I kena letak dia bawah pemerhatian, takut ada kesan sampingan. Kaki dia
terseliuh sikit dan tangan dia luka. Cuma yang kita risaukan sikit, pasal luka di kepala dia tu.
Agaknya terhantuk kat stereng. Takut gegaran tu nanti boleh menyebabkan pendarahan
dalaman. Sebab tu I letakkan dia di bawah pemerhatian." Intan menjelaskan keadaan Iman.

"Once again thanks, Intan. Cuma I nak minta tolong you. Boleh tak you tolong I aturkan
perjumpaan dengan pegawai polis yang uruskan kes Iman ni. Sebab I percaya ni mesti kes
khianat. Iman ni berhati-hati sangat, tak mungkin boleh self-accident macam tu." Wajah
Danish penuh mengharap. Dia kenal Iman. Dia tahu isterinya itu seorang yang berhati-hati.
Tidak mungkin dan mustahil untuk Iman self-accident seperti yang dilaporkan.
"Insya-Allah, tak ada masalah. Lagipun you kan husband dia. I akan cuba. Okeylah, I keluar
dulu. Tak nak ganggu you." Intan meninggalkan pasangan tersebut. Kasihan dia melihat
wajah Danish. Wajah Danish nampak benar berserabut. Kerisauan memang terserlah. Kini
Intan yakin yang Danish terlalu sayangkan Iman. Bertuahnya Iman mendapat suami yang
mencintainya. Adakah nasib dia nanti sebaik Iman? Intan berharap begitu. Tidak ada yang
lebih menggembirakan seorang isteri selain dianugerahkan seorang suami yang mencintai
dirinya sepenuh jiwa dan raga. Lebih dari dirinya sendiri.

"TERIMA KASIH, sayang." Sebaik sahaja Intan keluar dari bilik Iman ada suara berterima
kasih padanya. Farhan, abang Iman. Farhan yang juga bakal tunangnya. Kebenaran daripada
Farhanlah yang membolehkan dia memberi peluang untuk Danish bersama Iman di wad.

"Intan yang patut berterima kasih pada Han sebab izinkan Intan bagi tahu pada Danish.
Harap-harap mereka bahagia nanti, kan Han."

Ketulusan hati itulah yang membuatkan Farhan jatuh cinta pada Intan. Farhan tersenyum
sambil memandang buah hatinya. Mereka kemudiannya beriringan pergi meninggalkan
pasangan yang akan memulakan lembaran baru dalam hidup mereka.

Farhan ingat lagi tiga tahun lepas dia mencari Danish untuk memaksa Danish melepaskan
Iman setelah mengetahui perihal kontrak perkahwinan antara Iman dan Danish. Dia yang
dalam keadaan sangat marah itu hampir sahaja mengamuk di rumah sewa Danish kerana
tidak bertemu dengan Danish. Apatah lagi apabila teringat pada pagi itu Iman ke rumahnya
dengan air mata mengalir di pipi selepas pulang dari rumah Danish. Di situ dia bertemu Intan.
Intanlah yang menyabarkannya. Intan juga yang menyangkal segala pendapatnya tentang
Danish dan Intan juga yang meyakinkannya yang Danish boleh membahagiakan adiknya. Dia
ingat lagi kata-kata Intan yang mengubahnya dari saat itu.

"Seorang perempuan takkan mudah menangis kalau bukan kerana sayang. Kalau hanya
kawan biasa cakap sesuatu yang boleh menyakitkan hati kita, selalunya kita anggap itu
gurauan tapi cuba kalau orang yang kita sayang katakan ayat yang sama perkataan yang sama
pasti kita dah merajuk dan fikir yang bukan-bukan. Air mata tu bukan mewakili benci tapi
juga sayang. Benci dan sayang itu bezanya senipis dan sehalus rambut. Kalau awak benar-
benar sayangkan adik awak, tolong fikirkanlah apa yang saya katakan ni."
Itu pertemuan pertama Farhan dan Intan. Ceramah percuma yang Intan berikan padanya
membuatkan dia berfikir. Mungkin terlalu memikirkan kata-kata itu menyebabkan Farhan
sentiasa teringatkan Intan. Akhirnya salam sahabat dihulurkan pada Intan. Kehadiran Intan di
dalam hidup Farhan membawa sejuta perubahan. Intan membuatkannya menjadi lebih
bertimbang rasa. Lebih terbuka. Mengenali Intan akhirnya membuatkan dia jatuh sayang lalu
jatuh cinta. Syukur... sekarang Intan menjadi kekasih dan tidak lama lagi akan menjadi
tunangannya.

Bab 15

IMAN melangkah masuk ke pejabatnya. Semalam dia baru balik dari Cameron Highlands
atas urusan kerja selama dua minggu. Senyuman manis di bibirnya. Kini dia sering lewat
datang ke pejabat. Sejak kemalangan sebulan lepas dia telah menjadi pelanggan tetap teksi.
Dia fobia untuk memandu. Setiap kali dia masuk ke bahagian pemandu, gambaran
kemalangan itu akan datang menyapa fikirannya. Dia akan lewat datang dan lewat juga balik.
Mula-mula dulu dia tidak biasa namun sekarang sudah menjadi rutinnya. Tidak kisah untuk
berpenat lelah sebegitu.

"Iman. Bila sampai dari Cameron ni?"

Iman tersentak sedikit apabila ditegur oleh Hilmi, ketua bahagian sumber manusia. Tanpa
salam Hilmi duduk melabuhkan punggung di hadapan Iman. Kehadiran tetamu memeriahkan
pagi Iman.

"Malam semalam. Kenapa, ada cerita best ke masa Iman tak ada?" Mereka sudah seperti satu
keluarga. Tiada formality apabila bersembang.

"Hmmm... you miss something big on the day you off to Cameron sis." Hilmi masih berteka-
teki. Suka melihat wajah ingin tahu Iman.
"Come on, Hilmi. Tell me," ujar Iman tidak sabar.

Hilmi ketawa melihat wajah Iman yang tidak sabar itu. Riak wajah Iman memang telah
dijangka. Teringin juga terus berteka-teki dengan Iman. Ingin mendera lagi namun dia tidak
sampai hati.

"Kita ada bos baru. Anak Dato’...." Belum sempat Hilmi memberitahu terdengar ketukan di
pintu bilik Iman yang sedia terbuka. Seorang lelaki yang segak memakai baju kemeja biru
langit berdiri di hadapan pintu. Iman terpaku melihat lelaki yang berdiri di hadapan bilik
pejabatnya. Sejak bila lelaki itu balik?

"Ops... Encik Aiman. Masuklah." Hilmi dengan selamba mempelawa. Bagaikan itu pejabat
dia pula. Lelaki yang dipanggil Encik Aiman itu melangkah masuk.

Kedua-dua lelaki itu bersalaman sambil bertanya khabar. Hanya Iman yang terkulat-kulat
melihat Aiman Danish di hadapannya kini. Bagaikan tidak percaya.

"Saya baru nak bagi tahu Iman tentang kepulangan Encik Aiman. Kenalkan ini Iman
Umairah, pengurus O.R kita." Hilmi memperkenalkan Iman.

Aiman Danish... akhirnya dia kembali.

"Iman, ini Encik Aiman. CEO baru kita. Anak Dato’. Iman?" Hilmi memanggil nama Iman
kuat apabila tersedar yang Iman bagaikan hilang di dalam dunianya sendiri. Begitu ralit
memerhatikan bos baru mereka itu.

"Hah!" Iman betul-betul tersedar dari dunianya apabila namanya dipanggil kuat oleh Hilmi.
Wajahnya jelas terkejut. Hilmi dan Danish hanya tergelak kecil melihat wajah Iman yang
blur.

"Iman ni. Tahulah bos kita ni kacak, tapi tak payahlah renung sampai macam tu sekali. Mari I
kenalkan lagi sekali. Ini Encik Aiman, bos baru kita." Hilmi sempat mengenakan Iman.
"Hmmm... hai." Itu sahaja reaksi Iman. Dia hanya mampu memandang Danish seketika
sebelum mula menyibukkan diri dengan tugasnya. Hilmi terkejut melihat penerimaan Iman.
Tidak pernah Iman berperangai sebegini. Iman yang dikenalinya seorang yang peramah dan
mudah mesra.

"Hilmi, boleh tinggalkan saya dan Iman sekejap," pinta Danish. Tegas suara itu. Suara yang
menunjukan arahan ini tidak boleh dibantah.

Permintaan itu lebih mengejutkan Hilmi. Hatinya kuat menyatakan ada sesuatu yang tidak
kena dengan dua manusia di hadapannya ini. Hilmi berat hati untuk pergi namun dia terpaksa
juga berlalu apabila arahan itu keluar dari mulut bos barunya. Hilmi tidak mahu mencari
masalah. Sekarang mungkin dua manusia di hadapannya ini ingin menyelesaikan masalah
mereka sendiri.

"ADA apa yang boleh saya bantu?" Iman bertanya tanpa mengangkat muka. Pura-pura
menyibukkan diri dengan kerja. Suaranya juga tegas tanpa perasaan. Dia yakin pada saat itu
hanya tinggal dia dan Danish sahaja. Hatinya masih sebal. Teringat kejadian sebulan lepas
ketika dia melawat Danish di London. Kejadian yang membuatkan dia mengingati
kedudukannya di sisi Danish.

Betapa lelaki itu berani membawa Maya pulang ke rumah, bermalam di rumah lelaki itu
sedangkan dia ada di rumah itu. Masih terasa sakit hati apabila terpandang Maya keluar dari
bilik Danish di pagi hari. Hati mana yang tidak sakit melihat gadis lain keluar dari bilik
suaminya. Bilik yang dia sendiri tidak pernah diami.

Lalu tanpa kata Iman meninggalkan rumah Danish tanpa sebarang kata kerana dia tahu ketika
itu Danish tiada di rumah. Setiap pagi Danish akan keluar berjoging dan kembali ke rumah
untuk bersarapan. Buat apa dia menanti di rumah lelaki yang langsung tidak menghormati
dirinya. Sedangkan dia isteri yang sah pada lelaki itu. Walaupun hanya di atas kertas,
sekurang-kurangnya Danish hormatkan dia, hormatkan agama mereka.

Dia bukan Iman yang dahulu. Yang boleh dipijak-pijak. Iman sekarang Iman yang berani
bersuara. Iman tahu apa haknya dan dia akan berusaha mempertahankan hak itu. Bekerja
dalam dunia perniagaan telah banyak mengubahnya. Mengubah Iman menjadi seorang yang
lebih pentingkan diri. Dunia perniagaan membuatkan dia belajar perlu jadi kejam dan tahu
haknya di mana.

"Dengarnya Iman kemalangan sebulan lepas. Betul ke?" Danish menjawab dengan
pertanyaan. Sengaja membuat provokasi. Dia kemudian duduk di hadapan Iman. Dia tahu
Iman berpura-pura sibuk kerana tidak ingin berbual dengannya.

Bukan dia tidak tahu Iman kemalangan selepas sehari balik dari London. Malah dia
mengambil flight terus ke Malaysia sebaik sahaja mendengar perkhabaran itu. Selama
seminggu dia menjadi penunggu malam Iman.

"Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa I
masih ada kat sini?" sindir Iman. Kata-kata pedas itu menyentap hati Danish. Terdiam Danish
dibuatnya. Ingin membalas tetapi tidak tahu hendak berkata apa.

"I tahu you nak tagih janji. Jangan risau, I masih ingat janji kita. I akan keluar dari syarikat ni
dan kehidupan keluarga you dalam tempoh enam bulan. Jangan takut, I ni manusia yang
berpegang pada janji. Kalau you masih tak percaya, you boleh buat kontrak. Silakan. You kan
memang suka buat kontrak." Iman berkata sinis.

Kali ini kata-kata itu disertai dengan senyuman sinis. Wajahnya menentang wajah Danish.
Iman sengaja menyandarkan tubuhnya pada kerusi empuk miliknya sambil tangannya
bermain dengan pen. Lagaknya seperti mencabar Danish. Sesungguhnya Danish terasa
tercabar dengan perlakuan Iman itu.

Hati Iman sebenarnya sebal. Sakit hati pada Danish. Memang dia kemalangan. Seminggu dia
terlantar di hospital. Namun tidak sekali pun Danish menjenguknya sedangkan saban waktu
dia menunggu Danish hadir supaya dia tidak perlu tebal muka menghadapi sindiran Puan
Hartimah, mak long Danish. Wanita yang sudah berumur separuh abad itu sanggup datang ke
hospital semata-mata untuk menyindir dan memaki hamunnya. Jika Iman fikirkan kembali
kenapa Danish hendak menjenguknya sedangkan sewaktu datuknya meninggal pun lelaki itu
tidak balik ke Malaysia. Namun ini ruang buat Iman membalas dendam rasa sakitnya, lalu
untuk apa dipersiakan.
Danish terpempan. Egonya tercabar. Direnungnya wajah Iman yang seakan tidak
berperasaan. Hanya mata jernih Iman membayangkan isi hatinya. Masih jujur untuk menjadi
pencerita bahang hati si pemiliknya. Dia tahu Iman tidak rela. Dia tahu Iman mencintainya.
Dia tahu Iman masih menunggunya. Dia akui semua itu kerana dia pernah membaca diari
Iman ketika bermalam di hospital. Setiap malam dia membaca apa yang dicatatkan oleh
Iman. Setiap orang yang datang melawatnya dan sebaris ayat yang menjadi penutup kisah
harian Iman.

AIMAN DANISH... KUTUNGGU KEHADIRANMU...

Diari lama Iman yang diambil selepas akad nikah masih dalam genggamannya.

"Hmmm.... Kalau tak lupa, baguslah. By the way selamat bekerjasama." Danish
menghulurkan tangan. Sengaja Danish berkata begitu untuk menduga. Perubahan riak pada
wajah Iman membuatkan Danish yakin kata-kata Iman tadi sebenarnya tidak bermaksud apa-
apa. Hanya sekadar untuk membuatnya marah.

Iman teragak-agak menyambut huluran salam itu. Pasti ada sesuatu. Lebih-lebih lagi dengan
senyuman penuh muslihat di bibir Danish. Namun tangan itu tetap disambut apabila Danish
mengangkat kening mencabar. Lama tangan Iman dalam genggaman. Iman pula sedaya
upaya menarik tangannya. Melihat isyarat mata Danish, Iman tahu lelaki itu mahu dia
mencium tangannya. Mahu tak mahu dia lakukan juga.

"Ini sebagai peringatan. Selagi I tak lafazkan apa-apa you tetap isteri I. Jangan lupa tu. Ops...
sebelum I pula yang terlupa, I nak bagi tahu you yang I takkan pernah lafazkannya. I takkan
lepaskan you. Jadi bersedialah untuk jadi Mrs. Aiman Danish untuk seumur hidup you."
Danish tersenyum angkuh. Terasa dirinya menang. Danish memang sengaja mahu menyakiti
hati Iman. Mencabar kewibawaannya.

"Bercerai bukan satu-satunya jalan untuk berpisah." Perlahan ayat itu terpacul dari mulut
Iman. Lemah tetapi masih jelas kedengaran. Bukan niat untuk menyakitkan hati sesiapa,
namun Iman berkata sesuatu yang jujur dari hatinya.

Danish tersentak. Dia tidak pernah terfikir tentang hal itu.


Ya, tidak semestinya mereka bercerai baru mereka berpisah. Mengikut haluan masing-masing
juga dikatakan berpisah. Danish baru tersedar hal itu. Dia sudah tidak tahan lagi untuk
berlama-lama di situ. Danish pantas berlalu pergi tanpa pamitan.

Iman mengeluh. Ingin menyakitkan hati Danish namun hatinya sendiri telah lama terluka.
Sanggupkah dirinya meninggalkan kebahagiaannya sekarang? Dan kuatkah dirinya nanti?

DANISH memandang ke luar biliknya. Panorama bangunan pencakar langit menjadi tatapan
matanya. Kata-kata Iman menusuk ke kalbunya. Iman benar, bukan hanya lafaz cerai yang
boleh memisahkan mereka. Kalau benar Iman bertindak pergi dari lingkungan keluarganya,
Iman akan bebas daripadanya. Bebas ke mana sahaja. Bebas bergaul dengan siapa sahaja dan
bebas bercinta dengan sesiapa pun. Memikirkan hal itu Danish berasa tertekan. Sesak
nafasnya.

Entah sejak bila bermula dan di mana ianya berlaku. Tetapi yang pastinya Danish memang
menyayangi Iman. Hanya kerana ego dia tidak mengakuinya dahulu. Sejak melihat keteguhan
dan ketabahan Iman membantu keluarganya di saat kemalangan yang meragut nyawa atuk
dan abang iparnya tiga tahun lalu, Danish seakan terpukau pada Iman. Berjauhan tidak
bermakna dia tidak peduli. Berdiam diri tidak bermakna dia tidak kisah. Perkembangan Iman
di dalam koceknya. Setiap satunya dia tahu.

Danish yakin sesuatu perlu dilakukan. Iman sudah dirasakan terlalu jauh berubah. Jika dia
tidak cepat bertindak. Tidak mustahil Iman akan terlepas ke tangan orang lain. Sekarang
Iman sudah pandai membantah. Sekarang Iman sudah seperti tidak kisah dengannya. Dia tahu
ini semua permainan Iman. Iman bagaikan mahu bermain tarik tali dengannya.

Baik. Kalau Iman ingin bermain tarik tali dengannya, Danish akan ikut rentak Iman. Danish
akan sama-sama bermain. Ohh tidak... Danish tidak mengikut rentak Iman. Takut lain jadinya
nanti. Danish suami, jadi Iman yang akan mengikut retak dia. Danish akan tukarkan
permainan ini menjadi gelanggangnya. Iman perlu diajar agar patuh padanya. Danish akan
pastikan dia menang dan Iman akan terus di sampingnya. Menjadi miliknya. Dia juga akan
menjadi yang terpenting dalam hidup Iman. Kalau gadis di luar berebut untuk mendapat
perhatiannya tidak mungkin Iman yang sememangnya menyayanginya akan mendiamkan
diri. Iman... tunggulah!
Bab16

"DANISH...." Tanpa sedar nama itu terluah dari bibir Iman. Mug berisi air Milo disuakan ke
bibir. Sengaja dia berlama-lama di pantri untuk menenangkan hatinya yang resah. Resah
dengan kehadiran Danish yang tidak disangka sama sekali.

Iman masih dalam keadaan terkejut. Dia masih tidak percaya dan seakan tidak mahu percaya
akan kemunculan Danish. Baru sejam lebih mengetahui Danish satu bumbung dengannya
Iman sudah sesak nafas dibuatnya. Satu kerja pun tidak mendapat tumpuan. Kalau mengira,
dia akan tersalah kira. Kalau menaip pasti banyak tersilap ejaan.

"Iman, awak panggil nama saya ye?" Danish yang muncul entah dari mana menegur Iman
yang sedang khusyuk termenung.

Danish yang berdiri di belakang Iman hanya tersenyum manis saat itu. Suara Iman yang
cukup dikenali melawati telinga ketika Danish ingin melangkah masuk ke pantri. Mulanya
dia hanya berniat untuk mengejutkan Iman. Tetapi mendengar namanya disebut terdetik pula
di hati untuk mengusik Iman.

Iman sedikit terkedu. Dia mengetap bibir tatkala mendengar suara Danish di belakangnya.
Ingatkan dia masih bersendiri di pantri tetapi rupa-rupanya ada pula yang datang
mengganggu.

Hesy... dari mana pula mamat ni muncul. Alamak, dia dengar ke aku sebut nama dia tadi?
Hesy telinga dia ni super power betullah, Iman bermonolog di dalam hatinya.

Perlahan-lahan dia berpaling. Pasti Danish kini di belakangnya. Wajah yang selamba sedaya
upaya dipamerkan. "Hmmm... tak sangka Encik Aiman ni perasan orangnya. Mana ada saya
panggil awak. Okeylah, saya sambung kerja saya dulu."

Iman menahan malu. Dia berlalu dengan air Milo yang berbaki separuh di dalam mugnya.
Saat dia ingin melepasi tubuh Danish, langkahnya terhenti. Satu tindakan yang tidak disangka
olehnya telah dilakukan oleh Danish. Danish mengambil mug dari tangannya.
"Hmmm... yalah tu. Air ni untuk saya ya. Thanks." Dengan selamba Danish mengambil mug
dari tangan Iman lalu dihirup perlahan.

Iman tidak sempat berkata apa, Danish sudah menghilang. Iman mengetap bibir, geram.
Berani Danish mempelakukannya begitu.

DANISH membawa mug itu ke dalam biliknya. Beberapa orang memandang pelik padanya.
Setiausahanya seperti terkedu melihatnya. Ekspresi wajah Zahlia membuatkan Danish
berhenti seketika. Semua melihatnya seperti orang bersalah.

"Kenapa Zahlia? Awak tengok saya macam nak telan aja." Nada Danish seakan bergurau.
Serius dalam bergurau.

"Itu mug Cik Iman, Encik Aiman. Nanti Cik Iman..."

Tidak sempat Zahlia menyudahkan ayatnya, Danish segera memotong.

"Oh... itu ke? Ingatkan apa. Saya share air dengan Iman. Satu lagi. Iman tu bukan cik tapi
Puan Iman. Awak tolong minta fail peribadi Iman dari HR."

Danish pantas berlalu. Senyuman masih terukir di bibirnya. Langkah pertama telah diambil.
Dia mahu semua orang tahu status Iman. Dia tidak akan ada pesaing.

Tadinya Zahlia ingin menegur Danish kerana sangkanya bahawa Danish tersilap mengambil
mug Iman tetapi nyatanya dia yang dikejutkan dengan khabar bahawa bosnya itu berkongsi
minuman dengan Iman. Dia tidak perlu meragui lagi kerana dia sendiri nampak kesan lipstik
di bibir mug putih yang ada tertulis I LOVE U.
Tambah mengejutkan apabila Danish menyuruhnya memanggil Iman sebagai Puan Iman.
Iman dah berkahwin ke?

Beberapa orang staf yang mendengar kata-kata Danish terus mendapatkan Zahlia. Semua
tertanya-tanya kini. Bila masa Iman berkahwin? Kenapa mereka tidak tahu tetapi bos mereka
yang baru sahaja sampai itu yang tahu. Pelik sungguh.

"Cik Iman dah kahwin ke, Zah? Kenapa bos panggil dia Puan Iman?"

Salah seorang gadis di pejabat itu pantas bertanya.

Mereka yang lain hanya menunjukkan riak wajah ingin tahu yang tinggi. Inginkan kepastian.
Mereka tidak mungkin tersalah dengar.

"Manalah aku tahu." Zahlia menjawab perlahan.

Seketika kelihatan Iman keluar dari pantri sambil membawa mug merah yang memang
tersedia di pantri.

Semua mata ke arah gadis itu.

Iman merasa pelik kerana diperhatikan oleh kumpulan gadis di hadapan meja Zahlia.

"Kenapa?" Iman bertanya.

Bagaikan berjanji kesemua mereka memandang ke arah lain dan cepat-cepat kembali ke
tempat asal.

Hmmm... ini sah-sah mengumpat ni, desis hati kecil Iman. Pantas Iman bergerak menuju ke
dalam biliknya.
Bab 17

"ABANG dah bagi tahu Iman ke pasal Danish dah balik sini?" Tidak sabar-sabar Datin
bertanya kepada suaminya yang duduk membaca akhbar di ruang tamu. Sejak Danish balik
suaminya itu sudah jarang ke pejabat. Ambil cuti katanya.

"Hm... belum lagi. Imankan masih di Cameron. Kalau tak silap baru hari ni dia balik KL.
Lagipun saya rasa biar mereka tahu sendirilah. Abang tengok mereka berdua tu pun macam
tak kisah aja hal masing-masing. Danish ke sana. Iman ke situ. Entah ya entah tak mereka tu
masih suami isteri," omel Dato’ Arif. Dia bosan kerana sering ditanya hal yang sama oleh
isterinya. Matanya masih tunak membaca akhbar.

"Ada ke abang cakap macam tu. Macam suka aja mereka tu bercerai-berai," rajuk Datin
Hajar. Dia pantang benar kalau isu kemungkinan Iman itu bukan lagi menantunya
dibangkitkan.

"Abang bukan mendoakanlah, Jar. Abang pun tak nak mereka tu bercerai-berai. Bukan Hajar
sorang yang sayangkan Iman tu. Abang pun dah sayangkan Iman tu macam anak sendiri. Dah
banyak jasa dia pada kita ni. Anak kita sendiri pun tak ada layan kita macam mana Iman tu
layan kita ni. Tapi Hajar tengoklah anak awak tu sejak dia balik sini, ada Si Danish tu tanya
pada kita hal isteri dia. Ada dia tanya khabar Si Iman tu?" Dato’ Arif memandang serius
wajah isterinya di sebelah.

"Betul juga kata abang tu. Danish langsung macam tak kisah pasal Si Iman tu. Agaknya
Danish belum dapat menerima Iman lagi tak?" Giliran Datin Hajar bertanya kepada
suaminya. Suram wajahnya. Benar juga kata suaminya itu.

"Yalah agaknya. Salah kita juga. Dulu masa mereka mula-mula kahwin kita bukan nak
rapatkan mereka malah kita lagi suka kalau mereka berpisah. Si Danish tu pun awak racun
fikiran dia yang bukan-bukan pasal Iman," sela Dato’ Arif. Dia kesal dengan apa yang pernah
dilakukannya dahulu.
"Eh, abang ni nak salahkan Hajar pula. Jangan nak salahkan saya sorang aja. Awak pun sama
juga. Dulu awak pun ada racun Si Danish tu. Lupa? Hm... tapikan bang, Hajar rasa Hajar tahu
nak buat apa. Iman tukan taat pada kita. Nanti Hajar pujuk dia supaya berbaik-baik dengan
Danish. Abang tengoklah nanti rancangan Hajar nak rapatkan mereka mesti berjaya punya."
Senyuman Datin Hajar semakin melebar. Otaknya merencana pelbagai jalan untuk
menyatukan dua jiwa itu. Arrisya perlu dihubungi segera. Anak sulungnya itu pasti boleh
membantu menjalankan rencananya.

"Suka hati awaklah, Hajar. Jangan makin parah sudahlah. Menantu awak tu laku orangnya.
Berebut orang nak buat Si Iman tu jadi menantu. Asal Hajar ingat itu sudahlah. Pasal Danish,
Hajar tak perlulah bimbang. Tahulah abang nak uruskan macam mana nanti," ingat Dato’
Arif. Jauh di sudut hatinya mengharapkan rancangan isterinya itu berjaya.

"ASSALAMUALAIKUM. Risya, mama ni." Tanpa membuang masa Datin Hajar terus
menghubungi anak sulungnya. Anak sulungnya itu diperlukan dalam misinya ini. Dengan
bantuan daripada Arrisya tentu lebih mudah untuknya mempengaruhi Iman.

"Waalaikumusalam, mama. Mama sihat?" Arrisya yang tahu Datin Hajar menelefonnya itu
bertanya khabar. Pasti mamanya menyuruh dia membawa Jehan pulang hari ini. Bukan
Arrisya tidak tahu setiap kali mamanya menelefon adalah kerana rindukan cucunya yang
seorang itu.

"Sihat. Risya sihat? Cucu mama macam mana?" Datin Hajar tidak lupa bertanya perihal anak
dan cucunya itu. Itulah satu-satu cucu dia buat masa ini. Pengubat kesunyiannya suami isteri.

"Sihat mama. Cucu mama pun sihat. Semakin nakal. Hujung minggu ni Risya bawa Jehan
balik. Mama telefon ni sebab rindukan Jehan ya?" usik Arrisya. Kadang-kadang Arrisya
kasihan melihat orang tuanya itu. Pasti papa dan mamanya kesunyian. Nak harapkan anak,
mereka masing-masing sibuk dengan kerja. Nak harapkan cucu Jehan seorang itu sahajalah
cucunya.
"Mama memang rindukan Jehan. Mama telefon ni sebenarnya nak minta tolong Risya." Datin
Hajar terus mengutarakan hajatnya.

"Minta tolong apa, ma? Mama sakit ke?" Gusar pula perasaan Arrisya. Jarang mamanya
meminta tolong.

"Eh, taklah. Mama nak minta tolong Arrisya pasal Iman dan Danish. Mama risaulah, Arrisya.
Mereka tu langsung tak macam suami isteri. Sorang ke hulu sorang ke hilir. Danish tu sejak
balik langsung tak bertanya hal Iman. Tak faham mama. Suami macam mana tu. Langsung
tak tanya khabar isteri," omel Datin Hajar.

Arrisya di hujung talian tersengih.

Dahulu setahun dia bersama Iman di Liverpool, sudah tiada rahsia antara Iman dengannya.
Hal kontrak pernikahan Iman dan Danish pun dia tahu. Jadi Arrisya langsung tidak terkejut
kalau Danish dan Iman seperti orang asing. Suami isterikah mereka kalau ikatan itu hanya
berpegang pada sekeping kertas yang langsung tidak bermakna pada Danish. Bagaimana
hendak selesaikan kalau kedua-duanya menjunjung ego.

"Biarlah, mama. Dia orang berdua tu dah besar panjang, ma. Dua-dua dah boleh jadi mak
bapak orang. Biarlah mereka selesaikan sendiri." Arrisya bukan tidak mahu bekerjasama
tetapi dia malas hendak masuk campur. Baginya biarlah Iman mencari kebahagiaan sendiri.
Dia tidak sanggup melihat gadis itu terus menderita.

"Sebab dah besar panjanglah mama nak ajak Arrisya tolong satukan mereka. Arrisya nak ke
kalau Iman tu keluar dari keluarga kita. Kalau jodoh mereka tak panjang kemudian Iman
kahwin lain macam mana? Kalau suaminya tak kisah Iman tu rapat dengan kita tak apa.
Kalau suami barunya nanti tak suka lepas tu dikongkongnya Iman tu tak ke aniaya. Arrisya
nak Iman pergi dari keluarga ni ke?" provok Datin Hajar. Dia memang awal-awal lagi sudah
bersedia dengan hujahnya yang panjang lebar itu. Walaupun agak termengah namun demi
meyakinkan anak perempuannya itu, Datin Hajar gagahkan juga.

Arrisay terdiam memikirkan kata-kata mamanya. Benar juga kata Datin Hajar itu.

"Mama, Risya yakin Iman tu tetap rapat dengan kita walau apa pun yang terjadi. Risya kenal
Iman tu macam mana orangnya." Arrisya cuba memujuk hati mamanya sekali gus cuba untuk
melegakan hatinya sendiri.
"Itu mama tahu, Risya. Tapi perempuan ni kalau dah ada suami mesti lebih utamakan suami
dia dulu. Lagi-lagi Iman tu budak baik. Taat orangnya," balas Datin Hajar lagi. Dia sedaya
mungkin cuba memujuk Arrisya menyertai pakatannya.

"Habis tu mama nak buat apa? Nak suruh Risya buat apa?" Akhirnya Arrisya mengalah.
Termakan juga dengan pujuk rayu mamanya.

Datin Hajar tersenyum menang. Di benaknya telah merencana pelbagai rancangan untuk
menyatukan kembali hubungan Danish dan Iman.

"Malam ni Risya datang rumah mama. Kita bincang. Mama rasa kita perlu rancang sesuatu
untuk tolong mereka." Datin Hajar mengajak Arrisya ke rumah untuk berbincang. Bagai satu
pakatan besarlah pula.

"Baiklah, mama. Pukul berapa mama nak Risya balik?" Arrisya hanya menurut perintah. Dia
rasa tidak salah menolong mamanya. Bukan rancangan jahat pun. Rancangan untuk
mengukuhkan lagi masjid yang terbina. Harapnya berjayalah rancangan ini. Biarlah kali ini
keluarga mereka pula memberi sedikit kebahagiaan buat Iman.

"Risya datanglah lepas maghrib. Makan malam kat sini terus. Bawa Jehan sekali. Mama
rindu sangat dengan dia." Datin Hajar memberi kata putus.

"Baiklah mama. Dalam pukul lapan Risya sampai. Assalamualaikum." Arrisya bersetuju. Dia
memberi salam sebelum memutuskan talian.

Bab 18
HAKIM memberi senyuman tulus kepada Zila pembantu Iman yang berselisih dengannya di
hadapan pejabat Iman. Kehadirannya sudah menjadi satu kebiasaan di situ. Setiap pekerja di
situ telah mengenalinya. Hakim sudah beberapa kali datang ke pejabat Iman. Dia ingin
mengajak Iman makan tengah hari. Kadangkala ada juga Hakim menjemput Iman balik.
Dengan keramahan doktor muda itu pasti disenangi oleh pekerja bawahan Iman.

"Assalamualaikum. Busy ke?" Hakim muncul di sebalik pintu apabila ketukannya disambut
dengan arahan masuk. Dahulu dia jarang mengetuk pintu namun setelah kejadian dia
menerjah masuk ketika Iman ada tetamu, Hakim tidak pernah lupa untuk mengetuk pintu.
Tanpa perlu dipelawa Hakim segera duduk berhadapan dengan Iman.

"Waalaikumusalam. Taklah sibuk sangat. You nak minum apa-apa ke?" pelawa Iman.
Menawarkan minuman buat tetamunya.

"No. Thanks. I datang ni nak ajak you lunch."

"Okey. Tapi you kena tunggu sekejap. I nak kemas barang dulu. Kita pergi berdua aje ke?
Kak Risya mana?"

"Hmmm... dia tunggu kita kat butik. I ni pun dari butik tadi. Nak ajak you kenalah jemput
you. Kalau suruh you ambil teksi alamatnya kebulurlah kami nanti," seloroh Hakim. Tahu
fobia ataupun post trauma Iman selepas kemalangan itu.

"Oh... you mengata I. You tak kerja ke? Asyik berkepit aja dengan akak I tu?" Iman pula
mengusik. Dia gembira kerana akhirnya Arrisya bertemu pengganti arwah Abang Johan. Dia
akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Arrisya.

Iman tahu benar kemesraan antara dua sejoli itu. Rasanya tidak lama lagi rumah agam Dato’
Arif akan ada majlis pernikahan. Hakim memang serius sayangkan Arrisya dan dia tahu
Hakim boleh menjaga Arrisya dengan baik. Syukur juga kerana keluarga Hakim boleh
menerima keadaan Arrisya yang berstatus janda beranak satu itu. Jehan pun mesra dengan
Hakim malah memanggil Hakim dengan panggilan abah.
"Balas dendam nampak." Hakim membalas usikan Iman. Hakim tersengih mendengar usikan
Iman itu. Iman memang suka mengusiknya dan Arrisya. Ada sahaja modal gadis itu kalau
bab menyakat mereka.

Mendengar balasan daripada Hakim, Iman tersengih. Dia mengangkat kening tanda menang.
Akhirnya ketawa mereka berdua meletus serentak. Meriah suasana di dalam bilik Iman.

"I on call. You pun cepatlah sikit. I lapar ni," gesa Hakim. Sebagai seorang doktor waktu
kerja Hakim sememangnya tidak menentu.

"Sekejaplah. I kemas barang sekejap. Youlah dari tadi ajak I berbual," usik Iman lagi.

Hakim hanya menggeleng sambil ketawa kecil dengan lagak Iman. Kadangkala Iman seperti
budak-budak perangainya. Hakim sudah masak benar hal itu.

Iman mengemas harta bendanya. Segala yang penting dimasukkan ke dalam beg tangan.

"Dah siap. Jom," ajak Iman. Dia tidak mahu Arrisya lama menanti mereka nanti. Pantas Iman
berdiri diikuti Hakim.

Serentak itu pintu yang memang terbuka dari tadi diketuk perlahan. Tersembul wajah Danish.

"Hai. I datang salah masa ke?" Nada Danish itu seakan menyindir tatkala melihat wajah
kedua-duanya terpaku. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

"Hmmm... ya. Kami baru nak pergi lunch. Anything? Better make it very fast. I dah nak
keluar ni," tanya Iman penuh formaliti. Langsung tidak ada perasaan. Iman memang tiada
perasaan kalau di hadapannya itu lelaki yang bernama Danish.
"Nothing. Saja nak pulangkan mug you. Thanks for the Milo. By the way, who is he? Our
client?" tanya Danish sambil matanya tunak memandang wajah Hakim. Matanya memandang
seolah-olah Hakim adalah pesaingnya.

Danish lebih berminat pada Hakim di saat ini. Hatinya sakit dan cemburunya sudah
memuncak. Hanya ego yang menjadi tunggak kewarasannya sekarang untuk tidak melakukan
sesuatu di luar batas. Sebenarnya tawa Iman dan Hakim tadi telah mengundangnya ke mari
dan mug itu hanyalah alasan.

"Hakim, ni Encik Aiman Danish, CEO baru syarikat ini. Hakim, kenalkan Encik Aiman.
Doktor Hakim kawan saya." Iman tanpa ada rasa bersalah memperkenalkan kedua-duanya.
Iman pasti Danish tidak kisah. Siapalah dia di dalam hidup Danish. Dia bukan Maya.

Hakim menghulurkan tangan dan dapat merasakan huluran tangannya disambut dingin oleh
Danish. Mungkin Danish sudah salah faham dari cara Iman memperkenalkannya tadi. Hakim
tahu siapa Danish. Dia juga tahu status Danish dan Iman. Tahu kisah Danish dan Iman.
Dengan status Danish sebagai suami pada Iman pasti salah faham berlaku memandangkan
cara Iman memperkenalkan mereka tadi.

"Kalau tak ada apa-apa lagi kami minta diri dulu, Encik Aiman. Jom Hakim." Tidak sabar
Iman meminta diri. Selamba dia mengajak Hakim dengan mesra. Danish sendiri pula tidak
menghalang hanya mengangguk. Dia hanya melihat isterinya keluar dengan lelaki lain.
Terasa dayus pula dirinya. Namun apa boleh dilakukan? Kenyataannya dia dan Iman bukan
seperti pasangan lain.

Iman menarik nafas lega setelah sampai di lif. Matanya merenung pintu lif. Fokus. Seolah-
olah mencari keyakinan apa yang baru berlaku dan akan terjadi. Bergetar kuat jantungnya
saat berjalan melintasi Danish tadi. Iman perasan padangan mata Danish seperti ingin
menelannya. Walaupun Danish mengangguk seperti membenarkan namun Iman boleh
merasakan aura kemarahan Danish. Kalau benar telahannya untuk apa Danish marah? Itu hak
dia untuk keluar dengan sesiapa yang dia suka. Namun jauh di sudut hatinya terasa sedih
kerana Danish tidak menghalangnya malah melepaskan dirinya pergi bersama lelaki lain.

Hakim hanya membiarkan Iman dengan dunianya sendiri. Dia tahu hati Iman berkocak hebat.
Hakim juga yakin saat ini Danish tidak akan duduk diam. Mereka sebenarnya masih saling
menyayangi tetapi tidak mahu menunjukkan perasaan sayang itu. Benar kata Arrisya, Danish
dan Iman masing-masing menjunjung ego sendiri, masing-masing masih berperang dengan
perasaan sendiri.
DANISH kembali ke pejabatnya. Pintu dihempas kasar. Sekarang waktu tengah hari namun
seleranya sudah mati. Awal pagi tadi dia sudah berniat untuk mengajak Iman keluar makan
tengah hari bersama tetapi niat itu hanya tinggal niat apabila isterinya itu dengan selamba
sahaja keluar makan dengan lelaki lain. Sungguh, kini Danish merasakan dirinya bak makan
hati berulam jantung. Danish sakit hati dengan lagak mesra Iman bersama Hakim. Kalaulah
dia boleh meluahkan rasa sakitnya ini mahu terbalik dunia ini.

Dummm!

Sebiji tumbukan dilepaskan ke atas meja kerjanya. Satu keluhan kasar terluah sebelum
Danish melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk. Bagai terngiang-ngiang di telinga
Danish tadi bagaimana Iman memperkenalkan dirinya. Dia hanya diperkenalkan sebagai
CEO.

Dia harus bersemuka dengan Iman. Petang ini juga dia akan bersemuka dengan Iman.
Sebelum itu dia akan menyelidik siapa Hakim. Doktor Hakim?

ZAHLIA masuk sambil menatang secawan teh untuk Danish. Itu memang rutinnya sejak
Danish bekerja di sini seminggu yang lalu. Setiap kali selepas makan tengah hari dia perlu
menyiapkan minuman buat Danish. Hanya satu yang Zahlia perasan hari ini. Dia perasan
Danish tidak keluar sejak dia meminta kebenaran untuk pergi lunch tadi. Ada khabar angin
menyatakan Danish bergaduh dengan Iman sehingga lelaki itu menghempas pintu siang tadi.
Itu cerita daripada beberapa kakitangan yang tidak keluar makan tengah hari. Telah muncul
gosip hangat di jabatan itu yang berbicara tentang Danish dan Iman. Kata mereka, bos baru
mereka itu cemburu Iman keluar makan dengan Hakim. Cemburu sampai tidak keluar makan
tengah hari. Hah... mulut orang bukan boleh percaya sangat.

"Encik, ini airnya. Encik nak apa-apa lagi ke?" tanya Zahlia berbasa basi. Wajah serius
Danish membuatkan Zahlia cuak untuk bertanya.
"Tak. Awak boleh keluar!" Nada Danish yang begitu tegas menakutkan Zahlia.

Alamak, angin monsun bosnya bertiup agaknya. Tanpa pamitan Zahlia ingin keluar. Dia kan
baru kena halau. Bimbang kalau berlama-lama di situ angin monsun Danish akan mengenai
dirinya. Zahlia tidak mahu menempah bala percuma.

"Hm... Zahlia, tunggu sekejap. Saya nak tanya awak sesuatu." Danish mengangkat muka
memandang Zahlia. Wajah takut-takut Zahlia dipandang.

"Ya, Encik."

"Hakim... I mean Doktor Hakim. Awak kenal dia?" tanya Danish. Danish ingin mengorek
daripada Zahlia. Ingin tahu kebiasaan Hakim datang ke sini bertemu Iman. Danish yakin tadi
bukan kali pertama Hakim datang ke Wisma Mega untuk bertemu Iman.

"Oh... Doktor Hakim. Kenal. Rasanya semua pekerja kat divison ini kenal Doktor Hakim. Dia
kawan Cik Iman," jawab Zahlia jujur. Kala ini otaknya memikirkan kebenaran gosip yang
didengarnya tadi. Betul agaknya gosip itu kalau tidak takkan Danish bertanya tentang Doktor
Hakim padanya.

" Jadi Hakim selalu datang sinilah?" Jawapan Zahlia tadi mengundang sesak di dada Danish.
Bertambah darjah cemburunya.

"Hmmm... tak selalu, tapi selalulah juga."

"Macam mana ni? Tak selalu tapi selalu?"

"Eh... macam ni Encik Aiman. Dulu jaranglah juga. Tapi selepas Cik Iman kemalangan
Doktor Hakim selalu juga hantar dan ambil Cik Iman. Kadang-kadang keluar makan. Cik
Iman agaknya masih trauma sejak kemalangan tu sebab tu Cik Iman tak memandu. Kalau tak
ada Doktor Hakim pun Cik Iman naik teksi. Kalau tak pun Puan Arrisya yang hantar dan
ambil dia. Doktor Hakim tu baik orangnya." Zahlia menjelaskan lagi kedudukan sebenar.
"Hmmm... okey. Awak ada nombor handset dan alamat Iman sekarang? Saya nak."

Danish sudah tidak sanggup mendengar cerita Iman dan Hakim. Dia pantas bertanya tentang
alamat dan nombor telefon Iman kerana maklumat itu dibiarkan kosong di dalam borang butir
peribadi pekerja milik Iman.

Pertanyaan itu membuatkan Zahlia tersenyum.

"Ada, tapi Cik Iman ada dua. Satu nombor handset khas untuk urusan pejabat dan satu cuma
untuk famili dia. Nanti saya bagi encik nombor yang dia guna untuk business. Tapi kalau dia
cuti dia jarang on nombor tu. Kalau nombor satu lagi tu saya tak beranilah nak bagi, Encik
Aiman. Takut Cik Iman marah nanti." Zahlia awal-awal lagi memaklumkan perkara itu
kepada Danish. Wajah Zahlia jelas serba salah.

"Awak bagilah dua-dua. Susah saya nak cari nanti kalau ada apa-apa. Sekejap lagi saya pergi
cakap dengan dia sendiri. Kenapalah ada peraturan nombor untuk business dengan keluarga
macam tu. Menyusahkan aja," omel Danish.

"Biasalah, Encik Aiman. Cik Iman tu banyak peminat. Kadang-kadang dapat juga kami
merasa bunga dan coklat free daripada Cik Iman. Daripada peminat dia, tapi Cik Iman
selalunya bagi sama rata kalau tak pun buat hiasan bilik mesyuarat. Cik Imankan baik, Encik
Aiman." Lancar mulut Zahlia bercerita. Tanpa sedar cerita Zahlia membuat Danish menahan
nafas. Cemburu dan merasa tergugat. Rupa-rupanya banyak kumbang yang sedang mengintai
bunganya itu.

"Baik pun nak buat apa? Dia tu dah jadi hak orang. Iman mana? Dia dah masuk pejabat
belum? Awak keluar ni tolong panggil dia," tegas suara Danish. Nampaknya angin monsun
sudah kembali bertiup.

"Cik Iman tak ada. Dia tak masuk petang ni. Cik Iman cuti setengah hari ni. Kalau Encik nak
cari dia sekejap lagi saya bagi nombor telefon dia." Takut-takut Zahlia memberitahu.
"Dia cuti?" Tinggi suara Danish mengejutkan Zahlia.

"Ya. Cik Iman telefon kata dia cuti tadi." Cepat sahaja Zahlia mengemukakan fakta tentang
cuti Iman. Takut dirinya dimarahi.

"Okey. Tak apa. Awak ambil nombor dia sekarang."

Tergesa-gesa Zahlia melaksanakan arahan Danish. Takut kena marah. Sekejap sahaja mood
Danish sudah berubah. Sekejap baik sekejap monsun. Hmmm... beginilah nasib jadi kuli.

Bab 19
IMAN termenung di balkoni kondominium miliknya. Sengaja dia meminta Hakim
menghantarnya pulang selepas makan tengah hari tadi. Sesungguhnya dia tidak ada mood
untuk ke pejabat. Kehadiran Danish benar-benar mengganggu ketenteramannya. Lebih baik
dia balik daripada membuang masa di pejabat. Bukannya dia boleh membuat apa kerja pun.
Zila dan Zahlia sudah diberitahu tentang cutinya. Memikirkan kembali tentang kepulangan
Danish, Iman hanya ada enam bulan lagi untuk terus hidup dalam keluarga Dato’ Arif dan
Datin Hajar. Dia perlu memikirkan cara bagaimana untuk keluar dari keluarga itu tanpa
menyakiti hati sesiapa.

Hati... Iman bertanya pada hatinya. Sanggupkah hatinya ini meninggalkan segala yang
dimilikinya sejak tiga tahun ini? Iman tahu bukan mudah untuk ibu bapa mentua
menerimanya. Jika tidak kerana kemalangan dahulu dan jika tidak kerana rasa terhutang budi
pada dirinya mungkin ibu dan bapa mentuanya itu masih belum boleh menerimanya seperti
sekarang. Iman sedar Dato’ Arif dan Datin Hajar mula berbaik dengannya setelah
kemalangan itu terjadi. Itu pun atas budinya membantu memberi semangat di kala keluarga
itu memerlukan seseorang untuk terus menyokong agar mereka boleh berdiri. Kalau tidak
disebabkan itu mungkin kedinginan masih membalut hubungan mereka. Dia tidak kisah itu.
Dia tahu kedua–dua tua itu menyayanginya. Sekarang dia terpaksa pergi dari lingkungan
kasih mereka. Sanggupkah dia meninggalkan kebaikan mereka?
Ini semua untuk kebahagiaan keluarga itu. Dato’ Arif dan Datin Hajar lebih perlukan Danish,
anak mereka daripada dia yang hanya bergelar menantu. Danish... lelaki itu sudah banyak
berubah dan lelaki itu mula bercakap dengannya. Tetapi itu semua tidak menyentuh hatinya.
Hati Iman sudah terlalu beku. Dahulu sejujurnya dia pernah mengharapkan Danish menjadi
raja hidupnya. Mengharapkan Danish memberi pelangi bahagia lantas dia akan memberikan
kesetiaan. Lalu Iman mengharapkan masa akan menyatukan mereka seperti kisah dalam
novel yang dibacanya.

Novel, dahulu Iman suka membaca novel. Itu membuatkan Iman memasang angan-angan
untuk bahagia di samping Danish. Novel yang mengganggu kewarasan Iman sehingga
menerima pernikahan ini. Novel yang membuatkan dia terus berfantasi. Kahwin paksa
kemudiannya si suami jatuh cinta kerana kelembutan dan kesabaran si isteri dan akhirnya
hidup bahagia. Betapa bodoh dirinya mempercayai itu semua. Dia sendiri cuba berbaik. Cuba
sabar dengan Danish sebaik selepas mereka bernikah. Dia cuba meyakinkan dirinya sebagai
isteri Danish dan Danish akan jatuh cinta padanya. Tetapi kemesraan Danish bersama Maya
membuatkan Iman sedar dirinya silap.

Kini Iman sedar ini adalah dunia yang nyata. Bukan novel. Bukan drama. Tidak mudah untuk
menyemai cinta antara dua hati. Tidak mudah untuk seseorang itu jatuh cinta. Cinta... cinta
memang tidak pernah wujud di antara mereka. Siapa yang akan mencintai jika penyatuan atas
dasar paksaan. Siapa akan jatuh cinta jika masa sentiasa memisahkan mereka. Siapa yang
akan jatuh cinta jika jarak sentiasa menjauhkan mereka. Orang yang berkawan bertahun pun
belum tentu akan saling jatuh cinta. Inikan apa yang terjadi di dalam kes dia dan Danish.
Lagilah mustahil. Tidak mudah untuk membenihkan cinta di dalam dua hati. Beratus
kesabaran, beribu kebaikan malah berjuta kesetiaan sekalipun belum tentu boleh
mencambahkan cinta di hati seseorang. Satu yang pasti ialah rasa terhutang budi. Iman tidak
mahu sayang itu hadir kerana budi. Jadi Iman pasti hanya satu yang ada pada mereka
hanyalah jodoh.

Jodoh... ya jodoh yang masih kuat membuatkan dirinya masih bergelar isteri Danish sehingga
saat ini. Jodoh yang membuatnya bernikah dengan Danish atas dasar budi yang ditabur dan
tidak ketinggalan angan percintaan ala novel yang pernah diidamkan dahulu. Jodoh yang
menyebabkan Danish menerimanya kerana harta. Ahhh... baru hari ini Iman sedar yang dia
dan Danish bersatu atas dua sebab yang berbeza yang membuatkan dia dan Danish jauh pada
hari ini dan akan jauh untuk selama-lamanya. Esok Iman akan berhadapan dengan Danish
lagi. Bukan hanya untuk esok tetapi untuk setiap hari dalam tempoh enam bulan ini. Iman
sudah tidak boleh lari lagi. Suka atau tidak dia perlu berhadapan dengan semua ini. Iman
perlu belajar menerima Danish dalam hidupnya untuk enam bulan ini. Iman perlu belajar
membiasakan diri dengan Danish di pejabat. Bagaimana atau apa caranya terpulanglah pada
dirinya sendiri untuk memikirkan hal itu.
Bab 20

"TERMENUNG lagi." Amran sengaja mengejutkan Danish dari belakang. Malam ini Danish
mengajaknya lepak di kondo milik Danish. Amran pantas bersetuju dengan ajakan itu apabila
memikirkan isterinya bekerja syif malam.

Isteri Amran, Wati juga merupakan seorang doktor sepertinya. Mungkin kerana profesion
yang sama membuatkan dia tidak kisah tentang aturan waktu kerja isterinya. Cuma yang
merisaukan sekarang adalah keadaan isterinya yang berbadan dua. Anak pertama pula.
Setelah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga barulah mereka dikurniakan cahaya
mata.

"Aku tak tahulah, Am. Aku sakit hati sangat hari ini. Cuba kau bayangkan pagi-pagi lagi aku
jumpa lelaki lain dalam pejabat dia. Tapi tak apalah Hilmi tu satu pejabat. Lagipun lelaki tu
dah ada anak bini. Aku tak berapa nak kisah la sangat. Itu dah satu hal. Lepas tu tengah hari
dengan selamba pula dia pergi makan dengan lelaki lain pula. Mahu tak pecah dada aku ni,
Am. Dia isteri aku, Am." Untuk kali entah keberapa Danish mengadu. Sampai sahaja Amran
di kondo ini petang tadi dia sudah mendengar cerita yang sama dari mulut Danish. Ingin
sahaja dia menempelak Danish tetapi tidak sampai hati pula apabila melihat wajah Danish
seperti tertelan biji durian itu.

"Dahlah tu, Danish. Kau ni janganlah fikirkan sangat. Kan Iman dah kata lelaki yang keluar
makan dengan dia itu kawan dia. Aku rasa Iman tahu kedudukan dia sebagai isteri kau. Kalau
dia nak buat hal. Dari dulu lagi dia dah buat. Kalau tengok keadaan hubungan kau dengan
dia. Tak ada masalah dia nak minta taklik dari kau. Berapa tahun kau biar dia hidup sorang di
Malaysia ni." Akhirnya Amran cuba berdiplomasi dengan Danish. Cuba membuat Danish
berfikir.

"Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia letak
apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik. Dia langsung
tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak puas hati.
Mahu sahaja Amran ketawa. Danish bercakap seperti dia pernah menghargai Iman. Amran
tahu Danish sayangkan Iman tetapi Amran juga tahu, Danish tidak pernah mahu
menunjukkan kasih sayang itu pada Iman. Harus bagaimana untuk Iman menghargai Danish?
Jadi dalam masalah ini Danish tidak boleh menyalahkan Iman seratus peratus.

"Danish. Danish. Aku nak tanya kau. Sebelum ni kau pernah ke hargai Iman? Kau biarkan
dia sendiri kat sini dan kau pula nun kat London. Sebenarnya aku ni terkejut bila tahu Iman tu
masih begelar isteri kau. Kalau perempuan lain dah lama kau dapat surat dari mahkamah
rasanya. Kau sendiri tak pernah nak hargai dia tapi nak diri kau dihargai. Itu tak adil
namanya."

Mahu tak mahu Amran terpaksa juga menempelak Danish. Biar sahabatnya itu tersedar
sedikit dari lamunannya.

Dulu bukan dia tak pernah menasihati Danish. Dah berbuih mulutnya menyuruh Danish balik
ke Malaysia memperbaiki hubungannya dengan Iman. Tetapi Danish degil. Kononnya
hendak kejar pengalaman di negara orang. Tidak faham betul Amran. Sekarang ini Danish
hendak marah pula.

"Aku sayang dia, Am. Kau tahukan selama ni walau aku jauh daripada dia tapi aku setia pada
dia...." Lirih nada Danish mengakui kasihnya buat Iman. Ya, memang dia silap kerana
membiarkan Iman jauh daripada dia selama ini. Tetapi itu bukan alasan untuk Iman
memperlakukannya sebegini. Itu telahan Danish.

Amran tersenyum. Benarlah cinta boleh membuatkan seseorang itu lemah. Lihatlah Danish di
hadapannya ini bercakap seperti remaja yang baru menyemai cinta. Langsung tidak matang.

"Aku tahu kau sayangkan dia, tapi Iman tahu tak yang kau cintakan dia. Kau sendiri tak
pernah nak tunjukkan kasih sayang kau pada dia. Macam mana Iman nak tahu yang kau
sayangkan dia. Iman gadis biasa, Danish. Tentu saja ingin disayangi. Kau tak boleh salahkan
dia juga. Sekarang kau perlu tunjukkan kasih sayang kau pada dia. Berikan dia keyakinan.
Insya-Allah, kalau dia jodoh kau hingga ke akhir tak ke mana perginya Iman tu. Kau sendiri
kata pada aku dulu yang kau yakin Iman tu sayangkan kau, kan?" ujar Amran bernas. Kalau
dengan orang sedang angau ini kena betul caranya untuk memberikan pendapat.
Kata-kata Amran itu Danish terima dengan hati yang terbuka. Ada benarnya hujah kawan
baiknya itu. Bukan ada benarnya tetapi seratus peratus kebenarannya. Ya, Danish tidak boleh
salahkan Iman sahaja. Dia juga turut bersalah dalam hal ini. Sekarang dia perlu pujuk Iman
dan buktikan pada Iman yang dia cintakan isterinya itu.

Untuk mengetahui kisah selanjutnya, dapatkan novel JODOH ATAU CINTA di rangkaian
kedai buku MPH, POPULAR dan kedai-kedai berdekatan anda.

Harga Semenanjung: RM19 Ahli KN: RM15

Harga sabah Sarawak: RM22 Ahli KN: RM18

SINOPSIS
Tengku Iman Umairah gadis yang jarang sekali menggunakan ‘Tengku’ di pangkal namanya
berkahwin atas dasar kehendak datuk angkatnya yang juga datuk Aiman Danish suami
kontraknya. Berkahwin menjadi tiket kepada Iman untuk menyambung pelajarannya di luar
negara. Dibenci oleh ibu bapa mentua dan suaminya sendiri atas alasan perempuan kampung
dan tidak berharta. Tetapi kebencian itu mulai surut selepas kematian datuk dan abang
iparnya yang terlibat dalam kemalangan yang turut mencederakan Dato’ Arif bapa
mentuanya.

Empat tahun hidup seperti gadis bujang tidak sedikit pun membuatkan Iman terfikir akan
perpisahan. Walaupun Iman dan Danish lebih banyak membawa diri masing-masing, tetapi
jiwa mereka seperti disatukan dari jauh. Rasa rindu,marah,geram,sayang bercampur aduk
setiap masa. Apabila Iman disapa mesra lelaki lain,Danish melenting. Iman pula apabila
Danish bermesraan dengan Maya,si gedik yang menyesakkan ,dia akan berjauh hati. Masing-
masing saling menyintai tetapi ego lebih mengatasi.
Terlalu banyak peristiwa yang membuatkan cinta dalam diam mereka kembali menjadi satu.
Dato’ Arif,Datin Hajar, Tengku Farid, Arissa menjadi tulang belakang cinta mereka. Saat
cinta bukan milik mereka,jodoh mengikat mereka. Kala hati berirama cinta,jodoh seolah
bukan lagi milik mereka. Jodoh atau cinta? Yang mana hak mereka.

" Hmmm... dah baik pun. Kisah sebulan lepas. Cerita dah basi pun. Kenapa, you kecewa
I masih ada kat sini?" sindir Iman.

" Entahlah, Am. Aku tak tahu nak fikir apa lagi. Aku sakit hati tahu tak? Kau tahu dia
letak apa dalam borang butir peribadi. Status dia bujang. Satu pejabat panggil dia cik.
Dia langsung tak hargai aku sebagai suami dia," luah Danish lagi. Dia benar-benar tidak
puas hati.

Anda juga boleh terus melanggan dengan Kaki Novel Enterprise melalui online atau pun pos.
Untuk melanggan melalui online, sila layari laman web kami di:- http://www.kakinovel.com
atau untuk melanggan melalui pos, anda hanya perlu tuliskan nama, alamat lengkap, no.
telefon, tajuk novel yang ingin dilanggan dan jumlah naskhah berserta wang pos/kiriman
wang atas nama:- KAKI NOVEL ENTERPRISE dan poskan ke alamat berikut:-

Kaki Novel Enterprise


No. 33-2, Jalan Wangsa Delima 12,
D’Wangsa, Wangsa Maju,
53000 Kuala Lumpur.

No. Telefon:- 03-4149 0096


No. Faks:- 03-4149 1196
Admin@kakinovel.com
Disediakan Oleh http://www.penulisan2u.my

Anda mungkin juga menyukai