Anda di halaman 1dari 2

Usahawan berjaya pada usia 21 tahun

KOTA BHARU 9 Mei – Minat tinggi kepada bidang perniagaan sejak zaman
sekolah menghasilkan laba besar kepada seorang graduan Kolej Kemahiran
Tinggi Mara (KKTM) yang kini sudah menjadi usahawan berjaya walaupun
baru berusia 21 tahun.

Lepasan KKTM Pasir Mas, Muhammad Zakuan Mohd Zin yang juga pemilik
Syarikat Kijang Arena Sdn. Bhd. mempunyai kedai jersi sukan sendiri di Pasir
Mas dan mampu menggaji 12 pekerja sejak tahun lalu.

Muhammad Zakuan berkata, dia baharu sahaja menerima skrol diplomanya


selain terpilih sebagai penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Seluruh
KKTM di Majlis Konvokesyen Perdana Institusi Pendidikan Mara 2017 di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hujung April lalu.

“Semasa zaman sekolah di Sekolah Menengah Agama Binjai Manis, Pohon


Buluh, Pasir Mas saya berniaga macam-macam.

“Saya tolong orang jual telefon, motosikal dan pelbagai lagi kerana minat
sangat berniaga.
“Kemudian apabila melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi
Kejuruteraan Mekanikal Rekabentuk di KKTM Pasir Mas saya fokus dahulu
belajar sebelum mula berniaga secara serius semasa semester keempat,”
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis Makan Malam Usahawan
Mara Kelantan di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Muhammad Zakuan menerima Anugerah Usahawan Institut


Pendidikan Mara dan geran RM15,000 yang telah disampaikan Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhammad Zakuan yang berasal dari Kampung Banggol Kulim, Pasir Mas
berkata, semasa di kolej, dia berniaga secara atas talian untuk mengambil
tempahan pelanggan membuat jersi sukan.

“Saya gunakan nama ‘Style Sport Jersey’ ketika itu dan dalam tempoh enam
bulan mampu mendapat jualan sehingga RM150,000 dengan purata
tempahan 500 baju jersi sebulan,” katanya.

Anak kelima dari tujuh beradik itu berkata, sejak dari semester keempat di
kolej itu, dia tidak lagi perlukan duit belanja daripada ibu bapanya sebaliknya
mampu menghulurkan wang belanja untuk mereka pula.

Katanya, kini syarikatnya yang mengeluarkan produk di bawah nama ‘Kijang


Jersey’ mampu menghasilkan sehingga 2,500 helai jersi setiap bulan.

“Saya bermula dengan modal '0' dan tidak pernah mendapat pembiayaan
atau pinjaman mana-mana pihak sehingga ke hari ini.

“Perkara paling penting untuk usahawan adalah ilmu, saya nasihatkan


golongan muda supaya lengkapkan diri dengan ilmu pemasaran, jualan dan
simpan kira serta jangan mudah terpedaya dengan pujian atau janji orang
kepada kita,” katanya.

Anda mungkin juga menyukai