Anda di halaman 1dari 3

LAPORAN DOKUMENTASI (SELEPAS BIG)

Program BIG yang berlangsung sepanjang 3 hari 2 malam telah berakhir dengan

sempurnanya. Sepanjang program ini berlangsung, banyak aktiviti telah dijalankan.

Antaranya termasuklah program anak angkat bersama-sama dengan keluarga di

FELDA Gerik yang menjadi tujuan utama program BIG kali ini, kelas tambahan untuk

pelajar UPSR di sekolah FELDA Gerik, larian integriti SPRM, persembahan

kebudayaan dan senam robik. Sesungguhnya, aktiviti-aktiviti ini telah membawa

manfaat yang banyak kepada semua guru pelatih yang terlibat secara langsung.

Pertama sekali, kelas tambahan untuk pelajar UPSR memberi peluang kepada

semua guru pelatih untuk mengajar pelajar-pelajar tahun 6 di sekolah FELDA tentang

cara-cara untuk menjawab soalan dalam mata pelajaran Matematik, bahasa Inggeris

dan Sains. Semua guru pelatih berpeluang untuk memperoleh pengalaman sebenar

dengan mengajar di dalam kelas untuk meningkatkan kefahaman pelajar bagi

memudahkan mereka untuk menjawab soalan semasa peperiksaan sebenar nanti.

Melalui proses ini, kami mendapati bahawa bukanlah satu tugas yang senang untuk

mengajar murid sehingga mereka faham sepenuhnya. Dalam proses mengajar, kami

perlu bersabar dalam menghadapi pertanyaan daripada pelajar untuk merungkaikan

kemusykilan mereka agar mereka dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam

aspek yang lain nanti.

Seterusnya, bagi aktiviti larian integriti SPRM dan persembahan kebudayaan,

kami juga sedar bahawa kerjasama merupakan satu elemen yang penting untuk

menjayakan satu tugas ataupun aktiviti. Semasa berada dalam satu pasukan, semua

individu yang terlibat perlulah menggembleng tenaga dan mencurahkan usaha

masing-masing demi mencapai matlamat yang ditetapkan. Bersatu teguh, bercerai

roboh. Sikap tolak ansur dan tidak mementingkan diri sendiri antara satu sama lain

secara tidak langsung telah menjayakan kedua-dua aktiviti ini. Malahan, perpaduan

yang sering diuar-uarkan oleh pihak yang berkenaan juga dapat dikecapi menerusi
kedua-dua aktiviti ini.

Selain itu, aktiviti senam robik pula memberi peluang kepada semua guru pelatih

dan penduduk kampung untuk bersama-sama melakukan senaman dan

mengamalkan gaya hidup yang sihat. Aktiviti ini dapat menyatukan seluruh komuniti

untuk bersama-sama bersenam bagi menjamin kesihatan tubuh badan dan

mengelakkan daripada jangkitan penyakit. Pada masa yang sama, aktiviti ini juga

dapat mengeratkan silaturahim sesama komuniti masyarakat setempat dan guru

pelatih. Hal ini demikian kerana semua individu yang terlibat dapat melakukan aktiviti

bersama-sama dalam suasana yang harmoni dan seronok tanpa mengira bangsa

dan warna kulit.

Program ini sememangnya memberi pengalaman yang amat berguna sepanjang

hidup saya sebagai seorang bakal guru yang akan bertemu dengan pelbagai lapisan

masyarakat kelak. Melalui program ini, semua guru pelatih berpeluang untuk bergaul

mesra dan berkenalan dengan lebih rapat dengan semua anggota masyarakat yang

mempunyai latar sosial dan budaya yang tersendiri.T erlalu banyak ilmu dan

pengajaran yang berjaya saya kutip sepanjang tempoh menjayakan program ini.

Tanggungjawab merupakan salah satu elemen yang amat penting yang harus ada

dalam diri setiap peserta program. Tanpa komitmen daripada semua pelajar, saya

yakin amat mustahil untuk menjayakan program ini. Sudah banyak mesyuarat dan

perbincangan diadakan sebelum pelaksanaan program.

Sebelum menjayakan program ini, ahli jawatankuasa tertinggi telah dibentuk

terlebih dahulu. Jawatankuasa-jawatankuasa telah dilantik demi memastikan

kelancaran program. Saya bersyukur kerana komitmen dan tanggungjawab yang

ditunjukkan oleh setiap pelajar amat tinggi.Tidak dapat dinafikan beberapa halangan

telah berlaku dalam menjayakan program ini. Pertembungan beberapa aktiviti pada

tarikh untuk menjalankan programmenyebabkan program ini terpaksa ditunda

beberapa kali sebelum memilih tarikh yang sesuai dan tepat.


Bak kata pepatah Melayu, ‘setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya’. Begitu

juga halnya dengan penundaan program BIG pada kali ini, dimana kami mempunyai

banyak masa untuk membuat persediaan yang rapi dan terperinci. Kesempatan yang

ada sebelum program berlangsung kami manfaatkan untuk berlatih persembahan

untuk malam kebudayaan. Dalam program kali ini, para guru pelatih berpeluang

mempunyai keluarga angkat masing-masing berpandukan kepada pembahagiaan

keluarga angkat yang telah ditetapkan.

Terdapat kira-kira 30 keluarga yang menawarkan diri untuk menjadi keluarga

angkat bagi guru-guru pelatih. Perasaan saya sangat terharu apabila sahaja

mendengar kenyataan mengenai terlalu ramai keluarga yang menawarkan diri

mereka untuk menjadi keluarga angkat kami. Kerana kami tidak menyangka bahawa

mereka begitu mengalu-alukan kedatangan kami ke kampung mereka. Kesempatan

mempunyai keluarga angkat ini merupakan salah satu cara kita untuk lebih dekat

dengan masyarakat di sekeliling. Amalan seperti ini sememangnya amat perlu,

apatah lagi kami sebagai bakal guru yang akan dihantar untuk mengajar di merata

tempat yang masyarakatnya mempunyai kepelbagaian budaya dan adat. 

Akhir sekali, diharapkan agar Program Anak  Angkat Bina Insan Guru ini dapat

membina jati diri dan ketrampilan diri bukan sahaja sebagai bakal guru, tetapi juga

sebagai anak, pelajar dan rakyat di negara ini, iaitu Malaysia. Segala pengalaman

dan ilmu yang berjaya dikutip akan saya aplikasikan dalam kehidupan sehari-hari.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai