Anda di halaman 1dari 8

‘GAYA HIDUP SIHAT TANGGUNGJAWAB BERSAMA KE ARAH KESEJAHTERAAN’

1.0 Pengenalan

Konsep gaya hidup sihat dikategorikan sebagai satu kehidupan yang seimbang di
mana seseorang membuat satu pilihan dengan bijak (Lyons dan Gardner, 2001). Segala
pilihan ini dipengaruhi beberapa faktor luaran dan dalaman.Pertubuhan Kesihatan Sedunia (
WHO , 1948 ) pula mendefinasikan gaya hidup sihat sebagai suatu keadaan fizikal, minda
dan sosial yang sihat, cergas serta bebas dari sebarang penyakit. Seterusnya, gaya hidup
sihat perlulah diamalkan oleh setiap individu tanpa mengira usia, bangsa dan jantina.
Sekiranya gaya hidup sihat ini tidak diikuti, seseorang individu mungkin akan mudah
diserang penyakit, menghadapi konflik kesihatan dan stres atau terjebak dalam masalah
sosial seperti penyalahgunaan dadah. Menurut Sam Rachmat (1996), sebahagian besar
penyakit berpunca daripada amalan hidup kita sama ada baik atau tidak baik. Sebuah
kehidupan akan selesa dengan mempunyai kesihatan yang baik. Kesibukan menjalani
kehidupan menyebabkan sesetengah manusia tidak sempat untuk memikirkan tentang
kesihatan diri sendiri. Oleh itu, kebanyakan ahli masyarakat kini telah mula sedar tentang
kepentingan kesihatan dan meletakkan kesihatan sebagai keutamaan yang boleh
dibanggakan.
2.0 Isu dan Masalah Kesihatan di Malaysia

Pertama sekali, isu kesihatan yang menjadi masalah utama dalam kalangan rakyat
Malaysia tidak kira umur dan jantina adalah masalah obesiti. Menurut Dr Adeline Peter
(2018), obesiti merupakan sejenis kondisi yang kompleks di mana terdapatnya
pengumpulan lemak yang berlebihan pada tubuh dan menyebabkan seseorang itu
mengalami berat badan yang berlebihan. Hal ini berpunca dari amalan gaya hidup yang
tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang, tiada senaman yang baik serta tidak dapat
mengawal selera makan. Masalah obesiti ini perlu diberi perhatian memandangkan Malaysia
berada di kedudukan pertama di antara negara-negara Asia Tenggara dengan 44.2% diikuti
Thailand 32.2% dan Singapura dengan 30.2%. Simptom obesiti tidak terhad kepada tanda-
tanda fizikal sahaja malahan sering dikaitkan dengan penyakit kronik yang lain seperti
penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser. Mengikut keputusan kajian yang
dikemukakan di forum obesiti, orang yang mengalami obesiti juga sering mengalami stress
dan tekanan emosi yang berpanjangan. Mereka mempunyai keyakinan diri yang rendah dan
sering dibuli kerana bentuk badan mereka kurang menarik. Kondisi ini akan meningkatkan
risiko menghidap penyakit-penyakit psikiatrik seperti kumurungan, anorexia nervosa dan
bulimia nervosa. Jadi, sebagai cara pencegahan dan mengubati masalah obesiti ini, terapi
tingkah laku boleh dilakukan oleh pakar doktor untuk mengubah gaya dan cara pemakanan
seseorang dan ianya dapat dicapai melalui sesi kaunseling pemakanan, kumpulan
sokongan, dan pemantauan diri sendiri terhadap gaya hidup yang sihat. Selain itu, senaman
memainkan peranan penting dalam proses penurunan berat badan dalam kalangan pesakit
obesiti dan akan mengubah komposisi badan, mengurangkan risiko untuk menghidap
penyakit dan meningkatkan kualiti kehidupan

Di samping, isu penyalahgunaan bahan tidak lagi janggal di Malaysia seperti


pengambilan ubat tanpa pengawasan doktor, penggunaan bahan sintetik dan bahan
semulajadi secara berlebihan yang membawa kepada ketagihan dan kemudaratan diri.
Menurut United Nation Office on Drugs and Crime (2007), penglibatan remaja dalam
penyalahgunaan bahan secara global semakin meningkat dari 2000 sehingga 2018.
Kepopularan dadah rekreasi serta kesenangan memperolehi bahan psikoaktif telah
menyebabkan remaja kini lebih terjebak dan terlibat dalam penyalahgunaan bahan kerana
dipengaruhi oleh budaya barat. Menurut Mahmood Nazar Mohamed (2008), trend ini juga
telah dipantau di Malaysia dan bilangan remaja yang menyalahgunakan bahan semakin hari
semakin bertambah. Penyelidikan yang dijalankan ke atas remaja berumur 12 hingga 17
tahun turut menunjukkan bahawa peningkatan umur remaja berkait rapat dengan
peningkatan penyalahgunaan atau kebergantungan kepada bahan seperti dadah dan arak
(Kilpatrick, Acierno, Saunders, Resnick, Best, & Schnurr, 2000). Oleh itu, sebagai rakyat
Malaysia yang inginkan kesejahteraan hidup dan mengamalkan gaya hidup sihat perlu
sentiasa berwaspada
dan prihatin terhadap penggunaan dadah agar tidak memberikan kesan buruk dalam diri
kita. Contoh kesan yang diperoleh adalah badan menjadi cepat penat, peningkatan darah
tinggi serta fizikal kelihatan kurus kering kerana kurang zat yang berkhasiat sehinggakan
boleh membawa maut. Jadi, pelbagai pihak perlu memainkan peranan yang penting untuk
mengurangkan gejala penyalahgunaan bahan di kalangan remaja kerana ramaja merupakan
penerus kepada negara pada masa akan datang.

Akhir sekali, kegiatan merokok adalah sejenis gangguan yang berkaitan dengan
ketagihan yang berpunca dari kesan nikotin didalam rokok. Amalan merokok dianggap
sebagai satu aktiviti negatif yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan khususnya
kepada individu, keluarga dan masyarakat sekeliling yang menghidu bau rokok tersebut.
Ketagihan pula ialah sejenis gangguan mental yang sukar dikawal. Disebabkan oleh isu
gangguan mental, golongan ini jugalah yang paling banyak mempunyai alasan untuk tidak
berhenti merokok. Justeru, kempen larangan merokok dilihat akan menjadi lebih berkesan
sekiranya program rawatan dan pemulihan berkaitan dengan kegiatan menghisap rokok ini
turut dikuatkuasakan. Setiap tahun bilangan perokok meningkat sebanyak satu peratus iaitu
30 ribu daripada 3 juta perokok sejak tahun 2006 (Utusan, 2010). Tambahan pula, Malaysia
merupakan antara negara yang mempunyai kadar peratusan tertinggi dalam merokok iaitu
sebanyak 23.7 bilion batang rokok berbanding 18 bilion batang rokok pada tahun 1998
(Metro, 2015). Seperti yang dimaklumkan oleh media, kandungan bahan kimia beracun ini
memberikan kesan epigenetik atau perubahan kepada struktur genetik manusia akibat
daripada kesan bahan-bahan toksik rokok yang dihisap. Kajian yang telah dijalankan oleh
Shweta Ramdas dari Universiti Michigan pada tahun 2017 mendapati bahawa bahan kimia
dalam rokok berupaya merosakkan atau mendatangkan kesan mutasi kepada struktur DNA
dan kromosom manusia serta kerosakan ini pula akan diwarisi oleh generasi keturunan
kelak. Apatah lagi kesannya kepada organ-organ penting tubuh badan seperti jantung, paru-
paru dan sebagainya. Jadi, pelbagai pihak hendaklah memainkan peranan penting bagi
mengatasi masalah isu rokok agar kesihatan setiap individu tidak kira yang merokok atau
menghidu asap rokok dalam keadaan sejahtera.
3.0 Langkah Mengatasi

3.1 Sukan dan beriadah

Kehidupan yang aktif dari segi fizikal adalah penting untuk meningkatkan status
kesihatan individu dan amalan senaman akan meningkatkan tahap kecergasan fizikal
(Ekeland, Heian, Hagen, Abbott, dan Nordheim 2004). Bersenam 150 minit seminggu
dengan kekerapan lima atau enam kali seminggu berupaya mengekalkan kecergasan dan
meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Menurut Buckworth & Nigg (2004) tekanan atau
stres boleh dihilangkan menerusi aktiviti senaman. Oleh itu, untuk memperoleh kesihatan
yang baik, senaman yang konsisten hendaklah sentiasa dilakukan demi mengekalkan
kesejahteraan fizikal. Berdasarkan kajian Universiti Washington yang diterbitkan dalam
Anals of Internal Medicine (dipetik dari artikel BBC News, 17.01.2006) mendapati orang
yang bersenam 3 kali seminggu dapat mengurangkan 40 % risiko mendapat penyakit
Alzhemier dan dementia. Oleh itu wajarlah senaman menjadi aktiviti fizikal yang seharusnya
menyeronokkan dan bukannya yang menyeksakan Senaman bukan hanya merujuk kepada
aktiviti pergerakan fizikal yang hanya boleh dilakukan di tempat tertentu atau aktiviti tertentu
sahaja tetapi senaman boleh menjadi satu aktiviti harian yang melibatkan pergerakan
anggota badan tanpa meninggalkan aktiviti rutin yang biasa dilakukan. Kajian Dąbrowska-
Galas, Plinta, Dąbrowska, dan Skrzypulec-Plinta, (2013) mendapati penglibatan yang tidak
aktif dalam aktiviti fizikal dikaitkan dengan masalah kesihatan. Aktiviti fizikal adalah antara
faktor utama yang menyumbang kepada gaya hidup sihat, dan amalan aktiviti fizikal
mengurangkan risiko terlibat dengan pelbagai penyakit kritikal. Jadi, aktiviti fizikal sangat
bermanfaat dalam mencegah pelbagai penyakit berbahya dan dapat meningkatkan interaksi
sosial, kesejahteraan, pertumbuhan dan perkembangan yang sihat serta mengekalkan
imbangan tenaga (Department of Health and Services, 2004).

3.2 Pengambilan makanan seimbang

Seterusnya, salah satu kepentingan amalan gaya hidup sihat adalah untuk
memastikan kesihatan kita baik dan terjamin bagi melakukan aktiviti harian tanpa sebarang
masalah kesihatan. Makanan merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia.
Manusia mendapat bekalan tenaga daripada bahan makanan yang dimakan setiap hari
yang mempunyai khasiat dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan untuk menjalani
proses metabolisme. Dalam kehidupan sebenar, manusia ingin sentiasa sihat akan tetapi
lupa untuk mengawal pengambilan makanan seperti makanan ringan dan makanan segera.
Tidak kurang juga pengambilan makanan berlemak ataupun makanan yang mempunyai
kandungan garam, gula atau sodium glutamit yang tinggi boleh menyebabkan penyakit
kencing manis, darah
tinggi dan obesiti. Menurut kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS)
pengambilan makanan seimbang perlulah diamalkan bagi meningkatkan kesihatan dan
kesejahteraan hidup bagi mengelakkan diri daripada mempunyai penyakit tekanan darah
tinggi, kencing manis dan sebagainya. Makanan seimbang mengandungi 7 kelas makanan
iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, air, lemak serta serat. Makanan diletakkan pada
aras yang berbeza di dalam piramid makanan berdasarkan kepada nilai nutrien utama
(Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011). Makanan dengan nilai nutrien tertinggi diletakkan
di dasar piramid makanan, manakala makanan yang mempunyai nilai nutrien terendah
diletakkan pada puncak piramid makanan. Selain itu, pengambilan kalori yang sangat
rendah sebanyak 200 hingga 800 Kcal sehari boleh diamalkan untuk mencapai
keseimbangan makanan yang tepat tetapi memerlukan pengawasan daripada doktor atau
pakar pemakanan. Usaha pihak sekolah atau kerajaan mengadakan kempen tentang cara
pemakanan dapat memberi pengetahuan kepada golongan kanak-kanak tentang cara
pemakanan seimbang bagi meningkatkan gaya hidup yang sihat.

3.3 Tidur yang secukupnya

Di samping itu, Pengamalan gaya hidup sihat dapat melahirkan sikap dan mentaliti
yang positif untuk menangani pelbagai cabaran dan mengatasi tekanan kehidupan. Rehat
dan tidur yang secukupnya memainkan peranan penting dalam pengamalan gaya hidup
sihat yang baik. Hal ini kerana ia mampu membantu meransang metabolisma, meningkatkan
hormon pertumbuhan dan menjaga fungsi organ dalaman manusia. Semasa tidur, tubuh
menghasilkan lebih banyak molekul protein yang bertindak untuk melawan infeksi dan
serangan penyakit. Selain itu, tidur dan rehat yang secukupnya mampu membantu tubuh
badan untuk sentiasa berada dalam keadaan segar dan bertenaga. Terdapat banyak kes
kematian mengejut berlaku akibat kerja berlebihan sehingga menjejaskan fungsi organ
terutama jantung di dalam badan. Menurut Dr. Ismail Yaakob, Hospital Pakar KPJ Ampang,
Negara Jepun sememangnya mendahului negara yang mempunyai kadar kematian
mengejut disebabkan kepenatan melampau akibat waktu kerja yang panjang dan
dianggarkan kira-kira 200 kematian dilaporkan akibat serangan jantung gara-gara keletihan
kerana bekerja lebih masa. Jadi, tekanan dan stress yang dialami boleh menyebabkan
punca sakit jantung secara tiba-tiba dan mengejut jika tidak mencegah dan mengelakkan
daripada kurangnya rehat dan tidur. Pakar Perunding Psikiatri Hospital Cancelor Tuanku
Mukriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azlin
Baharudin berkata, tidur yang cukup dapat mengelakkan diri daripada stress serta tekanan
dalaman. Tambahan pula, mereka yang akan memandu jauh perlukan rehat yang cukup
agar tidak mengalami penyakit Mikrotidur atau lebih dikenali sebagai terlelap ketika
memandu. Menurut Lydia DonCarlos (2001) tidur yang baik adalah sekurang-kurangnya 6
jam sehari. Jadi, perkara ini perlulah diamalkan agar dapat
meningkatkan kesejahteraan hidup dalam mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat tanpa
sebarang penyakit.

3.4 Menjalani pemeriksaan berkala

Tambahan pula, kepentingan amalan gaya hidup sihat dalam menjalani kehidupan
adalah untuk mengelakkan dan mengesan penyakit kronik dengan lebih awal. Oleh itu,
pemeriksaan kesihatan sangat penting dalam membantu kita mengesan simptom dan risiko
awal sebarang penyakit. Hal ini dapat kita merancang langkah pencegahan atau memilih
rawatan yang bersesuaian terhadap penyakit yang telah didiagnos oleh pakar. Menteri
Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kebanyakan kes kanser lewat didiagnos,
selalunya pada tahap tiga atau empat akibat kekurangan kesedaran, pemeriksaan kesihatan
secara tidak berkala atau kekurangan saringan sewajarnya. Contohnya, jika kita dapat
mengesan lebih awal penyakit darah tinggi atau kencing manis, kita boleh mengawal
penyakit tersebut bagi mengelakkan komplikasi seperti angin ahmar dan serangan jantung.
Walaupun keputusan pemeriksaan kesihatan adalah normal, kita tidak seharusnya
memandang remeh dan mengabaikan langkah berjaga-jaga. Pemeriksaan kesihatan perlu
dilakukan selalu secara berkala bagi mengenal pasti sebarang masalah kesihatan yang
mungkin muncul pada bila-bila masa. Kita janganlah sesekali menangguhkan pemeriksaan
kesihatan kerana rawatan awal dan pengurusan penyakit yang baik akan menjamin
kesejahteraan kesihatan. Malah ia juga dapat mengelak daripada sebarang komplikasi yang
lebih serius (Gusfield 2011).

4.0 Kesimpulan

Tuntasnya, pengamalan gaya hidup yang sihat dapat meningkatkan tubuh badan
yang sejahtera dan sihat. Badan yang sihat ini dapat didefinisikan sebagai tubuh badan yang
tidak mengidap sebarang penyakit dan masalah kesihatan lain. Sememangnya keadaan ini
dapat dicapai melalui pengetahuan tentang kesihatan, pemakanan yang seimbang, beriadah
atau melakukan aktiviti fizikal dan seterusnya pemeriksaan berkala. Hal ini dapat
mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera sekaligus negara yang aman. Ibu
bapa yang sihat dapat melahirkan anak daripada genetik yang sihat juga. Jadi,
perkembangan keluarga yang sihat dapat melahirkan anak yang baik dari segi kesihatan,
jasmani, mental dan fizikal.
1.0 RUJUKAN

Buckworth, J., & Nigg, C. (2004). Physical activity, exercise, and sedentary behavior in college
students.
Journal of American College Health, 53 (1), 28-34

Dąbrowska-Galas, M., Plinta, R., Dąbrowska, J., & Skrzypulec-Plinta, V. (2013). Physical activity in
students of the Medical University of Silesia in Poland. Physical Therapy, 93(3), 384-392

Department of Health. (2004). At least five a week: A Report from the Chief Medical Officer. London:
Department of Health.

DonCarlos, L. L., E. Monroy, and J.I. Morrell (2001) The distribution of estrogen receptor-
immunoreactive cells in the forebrain of the female guinea pig. J. Comp. Neurology. 305: 591-612,
1991.

Ekeland, E., Heian, F., Hagen, K. B., Abbott, J. M., & Nordheim, L. (2004). Exercise to improve self‐
esteem in children and young people. The Cochrane Library

Gusfield, J.R. (2011). The Culture of Public Problems: Drinking-driving and the Symbolic Order.
Chicago: University of Chicago Press.

Henderson, K. A., & Ainsworth, B. E. (2001). Researching leisure and physical activity with women of
color: Issues and emerging questions. Leisure Sciences, 23, 21-34.

Lyons, R., & Gardner, P. (2001). CIHR Menu of Rural Health Research Themes. Ottawa, ON: Canadian
Institutes of Health Research. Diambil pada 8 Oktober 2019, dari
www.irsc.gc.ca/e/documents/rural_menu_e.pdf

Mahmood, N. M., Mohamad Hassan, & Yahya Don (2008). Program motivasi Skim Lencana Anti
Dadah (SLAD): Penilaian harga diri selepas enam bulan menjalani program. Paper dibentangkan
di the Malaysian Psychology Conference. The role of Psychology in Education, 9 - 11 May,
Langkawi.

National Drug Information System (2007). National Anti Narcotics Agency, Ministry of Internal Security
and Home Affairs.

Open Universiti Malaysia (2012) Pengenalan Pendidikan Kesihatan (2 nd), Selangor: Meteor Sdn Bhd

Poh BK. (2005). Energy. Chapter 3. In: Recommended Dietary Allowances (RDA) Harmonization in
South East Asia. Singapore: International Life Sciences Institute (ILSI) Southeast Asia Region.
P.p. 20-44

Ramdas. S (2014) Genetic variants in PLG, LPA, and SIGLEC 14 as well as smoking contribute to
plasma plasminogen levels . Blood in body. 124 (20), 3155-3164

Sam Rachmat (1996). Amalan Gaya Hidup Sihat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka sdn bhd
United Nation Office on Drugs and Crime (2007), Diambil pada 8 Oktober 2019, dari
https://www.government.se/contentassets/def0a254c51b448abd2338d411c2ee9d/the-united-
nations-office-on-drugs-and-crime-unodc

Wallace, J. M., Bachman, J. G., & Laviest, T. A. (2003). The influence of race and religion on
abstinence from alcohol, cigarettes and marijuana among adolescents. Journal of Studies on
Alcohol, 64(6), 843-848.

World Health Organization (1948). Preamble to the Constitution of the World Health Organization as
adopted by the International Health Conference; New York.

Anda mungkin juga menyukai