Anda di halaman 1dari 14

1

CIRI-CIRI DAN KEMAHIRAN YANG DIPERLUKAN DALAM


PEMBANGUNAN MODAL INSAN BERKUALITI.

Jamailia bt Jumahari
Israaq bt Amiruddin
Hamizatun Akmal bt Md Yusof
Hamdiah Abdul Hamid
Azwandi Azalan
Prof Datin Dr Juriah Long

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstract
The development of human capital is one of the most important aspects in developing a nation.
Therefore, the role of all parties is the primary factor in realizing human capital development of
the highest quality. The objective of this paper is to identify the elements and skills required in
order to develop a quality human capital. This discussion is based on the previous researches
concerning the capability of quality human capital development in handling problems such as
unemployment among graduates, the decrease of discipline among students, lack of expertise at
work and low achievers among students. This paper was produced by synthesizing critically and
analytically 10 related journals. Since the development of human capital is one of the most
important aspects in developing a nation, this paper will explain in depth the important aspects,
elements and skills needed in order to help the development of human capital which will bring to
a well developed nation. This paper will also propose suggestions on how to develop the best
and excellent human capital.
2

Abstrak
Pada masa kini, pembangunan modal insan menjadi aspek penting dalam pembangunan
sesebuah negara. Oleh itu, peranan semua pihak menjadi faktor utama dalam merealisasikan
pembangunan modal insan berkualiti. Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti ciri-ciri
dan kemahiran yang diperlukan dalam membangunkan modal insan berkualiti. Perbincangan ini
berdasarkan kepada kajian-kajian lepas tentang keupayaan pembangunan modal insan yang
berkualiti dalam menangani masalah-masalah seperti penganguran dalam kalangan siswazah,
kemerosotan displin dalam kalangan pelajar, kekurangan kepakaran dalam tenaga kerja dan
masalah pencapaian rendah dalam kalangan pelajar. Kertas ini berbentuk kajian analitis yang
dihasilkan daripada analisis dan sintesis sepuluh buah makalah yang berkaitan tajuk kajian.
Memandangkan pembangunan modal insan penting dalam pembangunan negara, maka kertas
kerja ini ingin mengupas dengan lebih lanjut aspek-aspek penting tentang ciri-ciri dan
kemahiran yang diperlukan untuk pembangunan modal insan dan seterusnya membawa kepada
peningkatan kemajuan dan kesejahteraan negara. Perbincangan ini juga akan mengemukakan
beberapa cadangan-cadangan bagi membangunkan modal insan yang cemerlang.

PENGENALAN

Modal insan merupakan suatu elemen penting yang menyumbang kepada pembangunan dan
kesejahteraan negara. Modal insan yang berkualiti akan memberikan nilai tambah yang
diperlukan oleh sesebuah negara yang sedang membangun bagi mempertingkatkan produktiviti
yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Usaha ke arah penjanaan modal
insan yang berkualiti dan akan menjadi pemangkin kepada proses peningkatan kemajuan dan
juga kesejahteraan masyarakat. Kepesatan pembangunan negara sememangnya memerlukan
modal insan yang berilmu dan berkemahiran dalam melaksanakan tanggungjawab pembangunan.
Justeru itu, modal insan dilihat memainkan peranan yang besar dalam proses perancangan dan
pelaksanaan agenda pembangunan negara.

Kertas konsep ini membincangkan ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam
membangunkan modal insan berkualiti. Tumpuan ciri-ciri dan kemahiran yang dibincangkan
bukan sahaja mengikut norma masyarakat, tetapi juga perlu seiring dengan tuntutan agama
3

seperti mempunyai asas kerohanian yang mantap, asas ilmu yang yang mampan dan asas akhlak
serta nilai-nilai murni. Pembangunan modal insan penting untuk kemajuan dan pembangunan
sesebuah masyarakat, agama dan negara. Ini kerana, masyarakat yang berkualiti terdiri daripada
individu yang berkualiti( Shuhairimi et al., 2007) . Oleh itu, pembangunan insan itu sendiri
penting dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang. Dari perspektif agama pula, modal insan
itu merangkumi duniawi dan ukhrawi, material dan spiritual. Islam melarang umatnya
mengabaikan salah satu darinya kerana ini akan membawa kepada kemerosotan dan kejatuhan
umat Islam, umumnya masyarakat umum. Pembangunan modal insan juga dapat mencorak hala
tuju negara ke arah mencapai wawasan yang disasarkan. Ia perlu selaras dengan pendekatan
konsep Islam Hadhari yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri. Perlaksanaan
konsep Islam Hadhari adalah satu gagasan yang baik dan memberi faedah kepada kepentingan
umum kerana mampu menjana kepada pembangunan negara. Selain itu, pembangunan modal
insan yang mantap mampu melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran dan berpotensi. Isu
penganguran dapat dikurangkan melalui konsep penjanaan modal insan ini( Mohd Izham et al.,
2008). Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk melihat ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan
dalam menjamin modal insan yang berkuaiti.

KONSEP MODAL INSAN BERKUALITI

Menurut Mohd Ariffin (2007), modal insan boleh didefinasikan sebagai sumber manusia
yang menyumbangkan bakti apabila bekerja dan mendapat kerja. Dalam erti kata yang lain,
modal insan merupakan tenaga manusia yang akan menentukan gagal jaya sesuatu perancangan
untuk mencapai sesuatu matlamat. Shuhairimi dan Muhammad Nasiruddin (2007) berpendapat,
modal insan merujuk kepada kepada individu yang dapat memperkasakan dirinya baik dari segi
ilmu mahupun berdaya saing dari segi teknikal ataupun profesional. Manakala kualiti seseorang
insan menurut Mohd Izham et al. (2007) bergantung kepada dua faktor iaitu faktor kelayakan diri
seseorang seperti komitmen, pengetahuan, integriti dan kebolehan merancang dan membuat
perubahan. Kedua, ialah faktor interaktif seperti menjadi model, perunding cara, bersikap adil
dan hubungan sesama insan. Ini bermaksud konsep pembangunan modal insan adalah proses
membentuk insan yang berilmu dan berguna bukan sahaja untuk dirinya malah masyarakat,
agama dan negara. Sekiranya negara tidak mempunyai modal insan yang berkualiti, ia akan
4

menjadi lemah kerana ketiadaan inisiatif baru dalam aktiviti sosio ekonominya (Mohd Izham et
al., 2007). Justeru, modal insan berkualiti dapat disimpulkan sebagai modal insan yang melalui
proses pendidikan dan berpandukan pada sistem Falsafah Pendidikan Negara serta dapat
memenuhi hasrat pemegang kepentingan seperti ibu bapa, masyarakat dan negara khususnya
(Mohd Izham et al., 2007).

ISU-ISU
Hasil pembacaan literatur yang lepas, kebanyakan kajian yang telah dijalankan
membincangkan masalah dan halangan dalam membangunkan modal insan dalam kalangan
pelajar dan individu. Di antara masalahnya adalah seperti pengangguran, masalah disiplin,
kekurangan kepakaran dan masalah pelajar yang berpencapaian rendah .Walau bagaimanapun
halangan ini dapat diatasi dengan mengetahui ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam
membangunkan modal insan. Dalam kertas konsep ini, terdapat dua isu utama yang akan
diperbincangkan. Pertama, apakah ciri-ciri yang diperlukan dalam membangunkan modal insan
berkualiti. Isu kedua, apakah kemahiran yang dapat membantu dalam membangunkan modal
insan berkualiti.

APAKAH CIRI-CIRI YANG DIPERLUKAN DALAM MEMBANGUNKAN MODAL


INSAN BERKUALITI?

Dalam pembangunan modal insan, manusia yang menjadi unsur pentingnya.


Membangunkan modal insan bermaksud mempertingkatkan kualiti diri manusia sama ada dari
aspek pemikiran, fizikal, rohani dan emosi (Shuhairimi et al., 2007). Pembentukan modal insan
harus dilihat secara menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan dalam individu dan
masyarakat di negara ini. Pelbagai aspek perlu diberi penekanan dalam usaha membina modal
insan yang bersepadu iaitu ilmu pengetahuan, daya intelek, kemahiran, tahap peningkatan
ekonomi dan kebudayaan (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007). Menurut Amla et al. (2007)
dan Amini Amir (2006), di antara ciri-ciri yang perlu ada dalam membangunkan modal insan
berkualiti ialah penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual termasuk ilmu Sains, Teknologi
dan Keusahawanan, pembudayaan sikap progresif serta pengamalan nilai, etika dan moral yang
tinggi.
5

Fadillah dan Tengku Sarina Aini (2007) berpendapat, dalam melahirkan modal insan
yang berkesan dalam sesebuah organisasi di antara ciri-ciri utamanya adalah keikhlasan dan
semangat. Keikhlasan memberikan impak yang sangat bermakna dalam melakukan sesuatu
pekerjaan kerana ianya terserlah melalui perbuatan dan etika seseorang. Sekiranya keikhlasan
wujud dalam sesuatu pekerjaan, sudah tentu ia akan dapat menimbulkan semangat juang yang
tinggi. Keduanya, keupayaan berfikir dimana ia hanya dapat dihasilkan daripada ilmu
pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki. Mereka yang tidak berilmu tidak akan mampu
menjadi pemimpin yang baik dan tidak berupaya mengolah maklumat bagi menghasilkan strategi
yang baik (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007). Ketiganya, berorientasikan pelanggan dimana
sentiasa mengutamakan dan memenuhi keperluan pelanggan. Ciri yang terakhir ialah keupayaan
berkomunikasi iaitu senantiasa berkomunikasi secara berkesan dengan pegawai-pegawai dan
pekerja di bawahnya dalam konteks untuk sama-sama memahami dan komited dengan strategi,
misi, visi, matlamat serta aktiviti yang dirancang (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007).

Penjanaan modal insan yang berasaskan kepada pendekatan Islam Hadhari adalah
manusia yang seimbang dari aspek fizikal, rohani dan juga spiritual (Shuhairimi et al., 2007). Di
antara ciri-ciri yang mampu untuk membangunkan modal insan yang berkualiti dan bersepadu
adalah merangkumi asas ilmu yang mampan, asas kerohanian yang mantap serta akhlak dan
nilai-nilai murni (Shuhairimi et al., 2007). Ketiga-tiga ciri ini dikenal pasti berdasarkan
pendekatan prinsip Islam Hadhari yang diperkenalkan pada tahun 2004 oleh Dato’ Seri Abdullah
Ahmad Badawi yang bertujuan untuk memartabatkan semula pembinaan peradaban masyarakat
Islam. Islam sangat menekankan insan yang berkualiti dengan penguasaan ilmu. Ini kerana, ilmu
pengetahuan merupakan komponen penting yang perlu di cari oleh manusia dalam menjamin
kelangsungan kebudayaan manusia. Tanpa penguasaan ilmu pengetahuan, ianya akan
mendorong kepada keruntuhan sesebuah tamadun manusia yang disebabkan oleh kejahilan dan
kebodohan bangsa manusia. Oleh yang demikian, manusia yang dibangunkan tanpa asas ilmu
bukan sahaja akan menjejaskan fungsi mereka sebagai khalifah di bumi ini bahkan akan
mematikan potensi keinsanan yang wujud dalam diri manusia (Shuhairimi et al., 2007). Justeru,
pembudayaan ilmu merupakan mekanisme yang berpotensi dalam menghasilkan modal insan
6

yang kompeten. Natijah daripada pembudayaan ilmu dapat melahirkan insan yang bertamadun,
berilmu serta mewujudkan masyarakat yang bertoleransi dan saling bantu-membantu.

Asas kerohanian yang mantap juga perlu diberi perhatian dalam usaha membangunkan
modal insan. Ini kerana melalui pegangan agama manusia dapat memahami penciptanya serta
hakikat dan peranan dirinya sebagai hamba. Pembangunan insan yang diprojekkan oleh Islam
perlu berteraskan kepada kekuatan rohani yang bersumberkan kepada akidah rabbani kerana asas
tersebut akan membentuk jati diri yang unggul kepada individu muslim (Shuhairimi et al., 2007).
Menurut Asmawati (2007), untuk membangunkan insan secara menyeluruh, ia memerlukan
kekuatan rohani kerana ia merupakan asas kepada pembangunan insan. Justeru itu, modal insan
yang dijana dengan elemen kerohanian akan melahirkan tenaga kerja yang sentiasa
mengaaplikasikan nilai-nilai murni dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Kepentingan asas akhlak dalam membangunkan modal insan memang tidak dapat
dinafikan. Ini kerana akhlak merupakan sebahagian daripada elemen penting untuk melahirkan
modal insan yang berkualiti (Asmawati, 2007). Nabi Muhammad S.A.W telah meletakkan
akhlak sebagai unsur yang penting untuk diaplikasikan dalam keseluruhan kehidupan manusia.
Menurut ajaran Islam, setiap tingkah laku manusia tidak akan terlepas daripada diikat dengan
nilai-nilai akhlak. Nilai akhlak dianggap sebagai kawalan sosial bagi umat Islam dalam
memelihara tindak tanduk individu melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan
kehendak agama dan norma-norma masyarakat (Shuhairimi et al., 2007). Oleh yang demikian,
pembangunan modal insan yang cemerlang tidak akan berjaya sekiranya sistem tersebut gagal
melahirkan insan yang kaya dengan nilai akhlak yang luhur.

Menurut pandangan Norshidah & Khalim (2007), bagi membangunkan modal insan
yang berkualiti dalam kalangan pelajar, bukan ilmu pengetahuan dan memiliki kemahiran sahaja
yang ditekankan, tetapi juga menghayati nilai-nilai murni, bermoral, bersikap positif dan
berdisiplin. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyebut bahawa “Pendidikan di Malaysia
adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu demi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi
intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha
7

ini adalah bagi melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. Berdasarkan pernyataan
Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pendidikan di negara ini adalah jelas iaitu melahirkan
insan yang mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang baik. Justeru itu, dengan mengetahui ciri-ciri
yang diperlukan dalam pembangunan modal insan semua pihak perlulah berganding bahu agar
impian ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

APAKAH KEMAHIRAN YANG DAPAT MEMBANTU DALAM MEMBANGUNKAN


MODAL INSAN BERKUALITI?

Menurut Mohd Izham et al., kemahiran insaniah memainkan peranan penting dalam
membantu membangunkan modal insan berkualiti kerana kemahiran insaniah ini mampu untuk
menangangi isu lambakan pengangguran siswazah (Mohd Ariffin, 2007), isu kemorosotan
disiplin pelajar (Norshidah & Khalim, 2007) dan isu pencapaian rendah di kalangan
pelajar(Amla et al., 2007). Istilah kemahiran insaniah baru diwujudkan mulai tahun 2005
(Shuhairimi et al., 2007) kerana para majikan mendapati bahawa para graduan yang memohon
pekerjaan tidak mempunyai kemahiran ini (Mohd Izham et al., 2007). Kemahiran ini perlu
dimiliki oleh setiap individu untuk melahirkan modal insan atau pekerja yang berkualiti dan
efisyen dalam membantu membangunkan sesebuah Negara (Fadillah& Tengku Sarina Aini,
2007). Kemahiran ini juga merujuk kepada “soft skills”(Mohd Izham et al., 2007).

Kemahiran insaniah dapat didefinisikan sebagai kemahiran-kemahiran dan kebolehan-


kebolehan bukan teknikal yang diperlukan dalam persekitaran kerja yang khusus (Amini, 2006
dan Mohd Izham et al., 2007). Walau bagaimanapun, istilah kemahiran insaniah juga boleh
merujuk kepada kemahiran tingkah laku (Kamil & Affandi, 2008), kemahiran sosial (Norshidah
& Khalim, 2007), dan kemahiran kepimpinan (Asmawati, 2007). Kesedaran mengenai
pentingnya kemahiran insaniah ini dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan
berkualiti menuntut Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan satu modul dalam membantu
pelajar mendapatkan kemahiran ini. Menurut Mohd Ariffin (2007), Modul Pembangunan
Kemahiran Insaniah yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi membabitkan tujuh
8

komponen utama seperti kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis dan kemahiran


menyelesaikan masalah, kemahiran berpasukan, pembelajaran berterusan dan pengurusan
maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral professional serta kemahiran kepimpinan.

Selain modul yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, YAB Perdana
Menteri juga telah menggariskan tiga kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan modal insan
berkualiti termasuk kemahiran penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran inovasi dan kemahiran
yang merujuk kepada kekuatan moral (Amini, 2006). Bagi Mohd Izham et al. (2007), kemahiran
insaniah tidak mencukupi untuk melahirkan modal insan berkualiti tetapi kemahiran itu perlu
digabungkan bersama kemahiran teknikal seperti kemahiran komputer. Berbeza pula dengan
(Amla et al., 2007; Norshidah & Khalim, 2007; Kandar & Asnul, 2006) di mana mereka
berpendapat bahawa, dalam melahirkan modal insan berkualiti, kemahiran insaniah perlu
digabungkan bersama kemahiran teknikal dan kemahiran kognitif seperti kemahiran membuat
penyelidikan, kemahiran numerik dan kemahiran menilai. Penggabungan kemahiran perlu bagi
membantu murid tahu kekurangan dan kelebihan diri.

Menurut Asmawati (2007), untuk menerapkan konsep kemahiran insaniah dalam


pembangunan modal insan berkualiti, tidak hanya bergantung kepada kursus atau aktiviti yang
dijalankan oleh kementerian semata-mata. Proses itu boleh dilakukan oleh guru-guru semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru-guru perlu kreatif untuk menyuntik konsep
tersebut dan perlu tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada pelajar. Ini kerana tidak semua
pelajar mampu untuk meluangkan masa menghadirkan diri ke kursus atau aktiviti yang
dijalankan di luar waktu persekolahan. Jadi, pelajar akan memahami dan dapat membina
kemahiran yang diperlukan. Kemahiran-kemahiran ini dapat menyumbang kepada pembangunan
modal insan berkualiti dan dapat membentuk ketrampilan diri pelajar (Kandar & Asnul, 2006)
serta membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum memasuki satu organisasi (Fadillah &
Tengku Sarina Aini, 2007).
9

Kebelakangan ini, penerapan kemahiran insaniah yang menyumbang kepada


pembangunan modal insan telah di beri fokus yang maksimum kerana perkembangan semasa
pendidikan negara telah menampakkan perubahan, di mana kecemerlangan individu tidak lagi
berdasarkan kepada keputusan peperiksaan semata-mata tetapi kecemerlangan individu dilihat
perlu mencakupi pelbagai sudut sama ada akademik dan bukan akademik (Kamil& Affandi,
2008; Amini, 2006). Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab perlu membantu pelajar membuat
persediaan untuk mendapatkan kemahiran ini. Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN
merupakan satu lagi usaha pihak kerajaan dalam membentuk kemahiran yang diperlukan dalam
pembangunan modal insan ( Kamil & Affandi, 2008).

Kesan kemahiran insaniah yang telah di ajar ke atas individu boleh dilihat ketika mereka
menjejakkan kaki di alam pekerjaan kelak sama ada di sektor swasta mahupun kerajaan (Mohd
Ariffin, 2007; Fadillah &Tengku Sarina Aini, 2007). Ini kerana mereka yang mempunyai
kemahiran insaniah lebih tahu bagaimana untuk menangani masalah yang datang dan lebih bijak
dalam mengawal apa jua situasi (Mohd Izham et al., 2007). Shuhairimi et al. (2007) berpendapat
bahawa individu yang hadir bersama kemahiran insaniah akan lebih berkualiti dalam
melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kerana persepsi dan pemikiran mereka lebih
terbuka dan bersedia untuk melakukan perubahan seiring dengan kehendak situasi
(Kamil&Affandi, 2008). Kemahiran yang telah diajar berperanan sebagai pembimbing dan
peransang kepada individu untuk berdikari dan cepat bertindak dengan keadaan sekeliling
mereka (Kandar&Asnul, 2006; Amini, 2006)

Walau bagaimanapun, kekurangan komitmen dalam kalangan pelajar atau tidak mahu
melibatkan diri dalam aktiviti proses pembangunan kemahiran insaniah akan menjejaskan
keberkesanan pembangunan kemahiran insaniah (Kandar &Asnul, 2006) kerana kemahiran ini
memerlukan komunikasi dua hala (Mohd Izham et al., 2007). Dalam konteks organisasi,
kemahiran insaniah juga amat penting untuk melahirkan modal insan berkualiti. Menurut
Fadillah & Tengku Sarina Aini (2007), antara bentuk-bentuk kemahiran yang diperlukan dalam
pembangunan modal insan di dalam sesebuah organisasi adalah seperti kemahiran
berkomunikasi, kemahiran kepekaan pekerja terhadap keperluan manusia, kemahiran membina
suasana pengurusan yang harmoni, kemahiran dalam hubungan menolong, kemahiran memujuk
10

atau mempengaruhi perubahan tingkah laku, kemahiran psikologi, kemahiran melayan,


kemahiran mendengar serta kemahiran memberi dan menerima maklum balas.

Di samping itu, segala kemahiran ini perlu di gilap di dalam diri setiap pekerja agar
kecemerlangan dan keharmonian organisasi dapat dikekalkan. Ini kerana, pembentukan modal
insan harus dilihat secara menyeluruh membabitkan semua aspek kehidupan dalam individu dan
masyarakat di negara ini(Amini, 2006; Izham et al., 2007; Kandar& Asnul, 2006). Oleh itu,
pelbagai aspek perlu diberi penekanan dalam usaha membina modal insan yang bersepadu agar
dapat melahirkan individu yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara(Asmawati, 2007; Shuhairimi et al., 2007;
Kandar &Asnul, 2006). Kesemua kemahiran dalam kemahiran insaniah yang telah dikenalpasti
sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pembangunan diri individu dan
pembentukan kerjaya yang cemerlang (Shuhairimi et al., 2007; Mohd Ariffin, 2007; Amla et al.,
2007).

CADANGAN
Salah satu wadah utama untuk mengimplentasikan ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan
dalam pembangunan modal insan berkualiti, ialah melalui konteks pendidikan (Amla et al.,
2007; Asmawati, 2007). Pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan
modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia,
berpengetahuan, dan berkemahiran tinggi. Selain itu, bengkel kerjaya juga dilihat mampu untuk
menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti kerana ianya bukan sahaja telah
berjaya meningkatkan motivasi dan kemahiran belajar pelajar (Amla et al., 2007) malah mampu
mempersiapkan diri remaja ke alam persediaan kerjaya sekaligus menangani masalah
pengangguran di kalangan mereka(Mohd Ariffin, 2007).

Selain bengkel kerjaya, guru-guru juga perlu tahu pendekatan yang perlu di ambil dalam
membantu menyuntik ciri-ciri dan kemahiran modal insan dalam diri pelajar. Ini kerana, di
peringkat sekolah guru memainkan peranan penting dalam pembentukan insan(Norshidah &
Khalim, 2007). Guru-guru perlu menggalakkan kemahiran berfikir dan pembentukan kreativiti di
11

kalangan pelajar (Amla et al., 2007) kerana elemen ini menyumbang kepada produktiviti dan
kualiti perkhidmatan pada masa akan datang (Amini, 2006). Di samping itu, guru perlu sentiasa
peka dan berusaha membina hubungan yang positif dengan pelajar agar pelajar tidak rasa terabai
dan tersisih (Asmawati, 2007; Norshidah &Khalim, 2007).

Selain aspek pendidikan, ciri-ciri dan kemahiran yang diperlukan dalam pembangunan
modal insan boleh diperkasakan di dalam organisasi (Amini, 2006) di mana organisasi boleh
menyediakan program latihan konvensional dan ketrampilan bagi pekerja baru (Kandar& Asnul,
2006), menggalakkan pekerja untuk menambah ilmu pengetahuan secara konsisten, maklumat
dan kemahiran dengan menghantar mereka menghadiri kursus (Amini, 2006) dan
menitikberatkan tentang hubungan di antara pihak pengurusan dengan pihak orang bawahan
dalam memajukan pengurusan organisasi secara berkesan (Fadillah&Tengku Sarina Aini, 2007).

KESIMPULAN

Daripada perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa perhatian serius wajar


diberikan kepada pembangunan modal insan berkualiti. Umum mengetahui modal insan yang
berkualiti ialah tenaga kerja yang melalui proses pendidikan yang berpaksikan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan dapat memenuhi hasrat pemegang-pemegang kepentingan seperti
ibu bapa, masyarakat dan negara amnya. Modal insan yang berkualiti menjadi penentu kepada
hala tuju negara Malaysia. Bertitik tolak daripada itu, kerajaan merasakan bahawa sektor
pendidikan memainkan peranan penting dalam menyumbang usaha dalam pembentukan modal
insan yang berkualiti (Mohd Izham et al., 2007 ; Mohd Ariffin, 2007; Norshidah & Khalim,
2007; Asmawati, 2007; Amla et al., 2007; Kandar & Asnul, 2006).

Modal insan berkualiti dikatakan sepatutnya memenuhi ciri-ciri yang bersepadu iaitu
penguasaaan ilmu pengetahuan, mempunyai daya intelek yang tinggi, berkemahiran,
berkemampuan dalam meningkatkan ekonomi dan kebudayaan, pembudayaan sikap progresif
serta pengalaman nilai, etika dan juga bermoral tinggi (Fadillah & Tengku Sarina Aini, 2007;
Amla et al., 2007; Amini, 2006). Ciri-ciri ini ditambah nilai dengan semangat keikhlasan,
12

keupayaan berfikir, berorientasikan pelanggan dan mempunyai tahap kemahiran komunikasi


yang berkesan.

Selain membincangkan ciri-ciri modal insan berkualiti, kertas ini juga menimbulkan satu
lagi isu yang penting dalam pembangunan modal insan yang berkualiti iaitu kemahiran yang
harus dipunyai oleh seseorang individu tersebut. Bercakap tentang kemahiran, umum mengetahui
kemahiran teknikal dan kemahiran kognitif selalunya ada pada graduan, siswazah, pelajar dan
murid di Malaysia. Namun, untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, kemahiran insaniah
ataupun soft-skills juga perlu diintegrasikan dan diterapkan dalam kalangan mereka (Mohd
Izham et al., 2007; Mohd Arifin, 2007; Norshidah & Khalim, 2007; Shuhairimi et al., 2007).
Antara kemahiran yang dititikberatkan ialah kemahiran komunikasi, kemahiran berfikir,
kemahiran ICT, kemahiran membuat perancangan, kemahiran pengurusan, kepimpinan dan
penguasaan pelbagai bahasa.

Hasil kajian ini memberi kesan kepada sistem pendidikan negara, di mana sistem
pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan perlu diubah dan digubal semula dengan
menerima pakai penilaian dan pentaksiran berasaskan latihan atau berasaskan sekolah sebagai
satu instrumen untuk menilai keupayaan seseorang individu (Kandar & Asnul, 2006; Mohd
Izham et al., 2007). Selain daripada itu, kurikulum sekolah dan juga kurikulum di peringkat lebih
tinggi seperti universiti juga dikatakan perlu dilengkapi dengan elemen-eleman lain seperti
aktiviti ko-kurikulum dan program bengkel kerjaya yang mana elemen ini akan membantu
seseorang individu itu lebih kompeten di pasaran buruh ( Mohd Arifin, 2007; Amla et al., 2007).
Untuk menjayakan misi ini, guru-guru juga bertanggungjawab dalam mendidik anak didik
mereka untuk bersaing menjadi modal insan yang berkualiti. Guru dikatakan boleh
meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar mereka, selain menitikberatkan
pembangunan modal insan yang berakhlak mulia, mempunyai kerohanian yang utuh dan
bermoral tinggi berlandaskan konsep Islam Hadhari. (Amla et al., 2007; Noshidah & Khalim,
2007; Asmawati, 2007; Shuhairimi et al., 2007).
13

Oleh yang demikian, implikasi dari kajian ini perlu diteliti dan dikaji dengan lebih
mendalam agar hasrat negara Malaysia untuk mempunyai modal insan yang berkualiti tercapai
kelak. Persepakatan dan permuafakatan dalam kalangan ibu bapa, guru, masyarakat, pihak
industri, pihak universiti perlu sama-sama menggembeling tenaga dalam melahirkan modal insan
berkualiti mengikut acuan kita sendiri. Kepincangan tugas dari salah satu pihak boleh
menghancurkan hasrat murni ini. Oleh hal yang demikian, semua pihak harus sedar dengan
tuntutan tugas masing-masing dan melaksanakan sebaik mungkin.

RUJUKAN

Amini Amir Abdullah. 2006. Pembangunan Dan Kemajuan Modal Insan Dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9): Satu Penelitian.

Amla Hj Mohd Salleh, Noriah Mohd Ishak, Zuria Mahmud, Ramlee Mustapha, Mohd
Mokhtar Hj Tahar & Syed Mohamad Syed Abdullah. 2007.Strategi Membangunkan
Potensi Pelajar Berpencapaian Rendah : Implikasi Kepada Pembangunan Modal Insan.

Asmawati Suhid. 2007. Pendidikan Islam Wadah Pembangunan Modal Insan.

Fadillah Mansor & Tengku Sarina Aini Tengku Kasim. 2007. Pembangunan Modal Insan
Dari Perspektif Pengurusan Islam.

Kandar Selamat & Asnul Dahar Minghat. 2006. Memenuhi Keperluan Modal Insan Melalui
Latihan Berasaskan Ketrampilan (LBK).

Mohd Arifin Ghazali. 2007. Pengangguran Dalam Kalangan Mahasiswa Dan Hubungannya
Dengan Pembinaan Modal Insan.

Mohd Izham Mohd Hamzah, Roselena Mansor & Zullaili Husein. 2007. Modal Insan
Berkualiti : Adakah Kemahiran Insaniah Penyelesaiannya?
14

Mohd Kamil Abd Majid & Rahimin Affandi Abd Rahim. 2008. Perubahan Sosial Dan Impaknya
Terhadap Pembentukan Modal Insan Menurut Ibn Khaldun, dalam Jurnal Hadhari,
Institut Islam Hadhari.

Norshidah Mohamad Salleh & Khalim Zainal. 2007. Kemerosotan Disiplin Pelajar : Cabaran
Kepad Pembangunan Modal Insan.

Shuhairimi Abdullah, Abdul Jalil Ramli & Muhammda Nasiruddin Mahyuddin. 2007. Ke Arah
Pembangunan Modal Insan Di Malaysia : Satu Analisis Berteraskan Islam Hadhari.

Anda mungkin juga menyukai