Anda di halaman 1dari 3

Perkara Menarik Tentang Akademi Akar Umbi di Tawau

Apabila peminat bola sepak tempatan ditanya berkaitan pembangunan bola sepak akar umbi, antara
perkara pertama yang akan terlintas di fikiran mereka adalah Liga Suparimau. Liga akar umbi kelolaan
FAM ini telah melahirkan ramai bakat-bakat muda dan memberi menjadikan perlawanan bola sepak
akar umbi lebih kompetitif.

Seperti yang pernah dinyatakan oleh mendiang Shebby Singh di Astro Arena, bola sepak kita
memerlukan perlawanan kompetitif bermula dari peringkat akar umbi. Kali ini SemuanyaBola
berpeluang berborak dengan Rahman Imuda, pengasas bersama Akademi Bola Sepak nun jauh di
Tawau, Sabah. Untuk pengetahuan pembaca, buat masa ini, Liga Suparimau belum ada di Tawau.

Kami dimaklumkan bahawa peluang menyertai latihan akar umbi di Tawau tidak sehebat di
Semenanjung Malaysia. Rahman memaklumkan di Tawau Cuma ada kurang daripada 5 akademi
termasuk NFDP yang menjalankan latihan akar umbi, dan hampir semua akademi ini mengehadkan
penerimaan pelatih.

“Pada peringkat awal, Akademi Bola Sepak TawauKini mensasarkan 40 pelatih untuk mereka yang
berumur 7-15 tahun, oleh kerana permintaan yang terlalu tinggi, kami menerima 65 pelatih buat masa
ini. Sehingga hari ini, masih ramai ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka, malangnya kami tidak
memiliki kekuatan sumber manusia (jurulatih) untuk menjalankan sesi latihan yang efektif,” Rahman
ketika ditanya tentang jumlah pelatih.

Ketika ditanya bagaimana idea asal penubuhan akademi ini, kami difahamkan ia bermula dengan
pasukan futsal yang didaftarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan nama Kelab Futsal
TawauKini. Apabila mereka melihat ada permintaan untuk lebih banyak akademi bola sepak akar umbi di
Tawau, mereka mengambil keputusan untuk membuka akademi ini. Setakat ini mereka memiliki kurang
daripada 5 jurulatih yang konsisten untuk mengendalikan sesi.

Disebabkan hal ini, mereka sedang giat untuk mendapatkan sukarelawan (jurulatih).
“Filosofi akademi ini adalah keseronokan dalam pembelajaran. Saya masih ingat ketika pembelajaran di
kelas dan sukan – kebanyakan hal yang saya ingat sehingga hari ini adalah sesuatu yang disertai dengan
jenaka. Kami cuba seimbangkan pembelajaran aspek teknikal dan konsep ‘sukaneka’ di dalam latihan,”
Rahman dalam temubual bersama SemuanyaBola

Rahman yang mendapatkan Lesen Kejurulatihan FAM ‘D’ bersama Persatuan Bola Sepak Selangor turut
memberitahu kami bahawa pada awalnya dia hanya ingin memiliki akademi, bukan bertindak sebagai
jurulatih. Akibat kekangan dalam mencari jurulatih, dia terpaksa mengambil lesen kejurulatihan untuk
membina kredibiliti akademi dan mendapatkan kepercayaan dari ibu bapa.

Menariknya lagi, akademi ini memiliki Persatuan Ibu Bapa Penjaga (PIBP) yang disertai oleh tiga wakil ibu
bapa penjaga dan tiga wakil pengurusan akademi. PIBP ini dipengerusikan oleh saudara Abdul Salam
Undong yang merupakan Pengurus akademi ini.

Sumber kewangan buat masa ini datang daripada yuran pelatih (RM20 sebulan) dan aktiviti korporat
TawauKini Media Solution (syarikat pemasaran digital). Perbelanjaan terbesar untuk akademi ini adalah
sewaan padang dan elaun para sukarelawan.
Kami di SemuanyaBola mengucapkan selamat maju jaya kepada Akademi Bola Sepak TawauKini yang
sudah tentu bakal melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dari Sabah. Jangan kita lupa, Sabah FC
menamatkan Liga Super di kedudukan ketiga, setelah dipotong saat akhir oleh Terengganu FC. Moga
bakal ada pemain dari akademi ini yang akan beraksi dalam liga Malaysia pada masa hadapan.

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang akademi ni, anda boleh melawat FB Page Rasmi
mereka. (https://www.facebook.com/AkademiBSTK)

Anda mungkin juga menyukai