Anda di halaman 1dari 3

Ya Allah, kami memohon keampunan Mu ya Allah.

Kami memohon rahmat Mu ya


Allah. Kami memohon taufik dan hidayah Mu, ya Allah. Kami dijemput oleh Mu bagi
menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Kami bersyukur atas segala nikmat yg Engkau
berikan kepada kami sekeluarga.

Ya Allah, terimalah kami sebagai tetamu Mu ya Allah. Tetamu yang paling istimewa ya
Allah, tetamu yang paling-paling istimewa ya Allah. Kami tahu, Engkaulah yang
berkuasa memberi keistimewaan kepada sesiapa yang Engkau mahu berikan. Ya
Allah, ampunilah diri kami ya Allah.

Ya Allah, Kau peliharalah keselamatan dan kesihatan ahli keluarga kami di Malaysia.
Tenangkanlah hati mereka. Jangan Kau cetuskan rasa rindu kepada kami sepanjang
kami menjadi tetamu Mu ya Allah. Kau hilangkan lah rasa rindu kami kepada mereka
semasa kami berada di sana.

Ya Allah, berikanlah kesihatan kepada ibu bapa ku dan pembantu rumah ku serta
kakak ku. Kau lindungilah mereka. Masukkanlah mereka dikalangan orang yang
beriman dan beramal soleh. Kau balaslah budi baik mereka yang sanggup bersusah
payah menjaga anak kami dengan memberi kemuliaan, kesejahteraan dan kebahagian
di dunia dan akhirat. Kau ampunilah dosa dosa mereka ya Allah.

Ya Allah, Kau ampunilah diri kami. Ya Allah, bersama-sama kami nanti adalah kedua
ibu bapa kami. Ya Allah, kami pergi ke rumah Mu semata mata untuk beramal ibadah
kepada Mu. Janganlah Kau palingkan niat dan tujuan kami. Jangan Kau sukarkan
perhubungan antara kami.

Ya Allah, Kau berilah perasaan kasih sayang, cinta mencintai antara kami, saling maaf
bermaafan dan tidak cepat berasa tersinggung dan bermasam muka. Jadikanlah kami
saling faham memahami dan saling kasih mengasihi. Ya Allah, jauhilah kami dari
bertelingkah dan berselisih faham yang boleh menjejaskan amal ibadah kami di sana
nanti ya Allah. Jangan Kau uji kami dalam soal ini ya Allah.

Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami. Bermula dari kami keluar dari rumah ini
sehinggalah kami kembali ke sini. Janganlah kami terjebak dengan sebarang
kesulitan yang menyukarkan kami untuk sampai ke rumah Mu. Jauhilah kami dari
mala petaka atau bencana yang akan menimpa kami Ya Allah.

Ya Allah, jangan Kau pisahkan kami. Berilah ketengan, keamanan dan kemudahan
terutamanya dalam soal-soal kesihatan sepanjang perjalanan kami. Elakkan kami dari
perasaan kerap membuang air kecil. Peliharalah kesihatan kami, mudah mudahan
dengan kesihatan yang Kau berikan. Dapatlah kami beramal ibadah untuk
mendekatkan diri kami kepada Mu.

Ya Allah, hanya pada Mu lah, tempat kami bergantung harap. Berikanlah kemudahan
kepada kami sekeluarga. Berikanlah keistimewaan kepada kami dalam segala perkara.
Tempatkanlah kami dikawasan yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Ya Allah,
kami memohon kepada Mu agar tempat tinggal kami tidak menjadi penghalang
kepada tujuan kedatangan kami ke Tanah Haram ini.

Ya Allah, kami mahu beramal ibadah kepada mu. Semata mata untuk Mu, ya Allah.
Permudahkanlah makan minum kami dan berikanlah kesihatan yang baik sepanjang
kami di sana. Kau berikanlah kesabaran kepada kami dalam menghadapi sebarang
cabaran dan dugaan disana nanti.

Ya Allah, semasa kami di Madinah nanti, Kau berikanlah rasa cinta, rasa sayang dan
rasa kasih kepada Masjidil Nabawi. Ya Allah, kami mahu yang terbaik. Kamu mahu
beramal ibadah di sana. Berikanlah kami peluang menziarahi dan melalui Makam
Rasulullah. Berilah kami ruang untuk bersembahyang di Raudah. Cukupkanlah
sembahyang kami sekurang kurangnya 40 waktu secara berterusan.

Berilah kami peluang untuk melakukan yang terbaik di sana nanti ya Allah.
Ya Allah, kami akan mengerjakan haji Tamattuk. Kau terimalah ibadah ini ya Allah.
Semasa kami di Mekah nanti, mudahkanlah kami melakukan ibadah umrah wajib.

Berikanlah laluan dan lorongan bagi kami melakukan tawaf umrah. Permudahkanlah
kami melakukan sai’. Ya Allah, berikanlah kekuatan dan kesihatan untuk kami
melakukan amal ibadah ini. Ya Allah, jangan Kau uji kami dengan rasa jarak yang
jauh, hati yang malas dan tenaga yang tiada.

Ya Allah, semasa kami berada di Tanah Haram nanti, janganlah Kau lalaikan kami
dengan bersenang lenang dan malas beramal ibadah. Ya Allah, kami hadir sebagai
tetamu Mu dalam keadaan jahil. Kaulah yang dapat membantu kami.

Ya Allah, berikanlah kami perasaan jatuh cinta kepada Masjidil Haram. Gerakkanlah
hati kami supaya sentiasa berada di sana. Beramal ibadah di sana. Itulah cita-cita
kami ya Allah. Kami datang semata mata kerana Mu ya Allah. Kerana Mu ya Allah. Ya
Allah, tutuplah pintu hati kami daripada lalai bershopping di sana nanti.

Ya Allah, penuhilah ruang masa kami dengan melakukan amal ibadah yang
sepatutnya kami lakukan. Ya Allah, kami ingin khatam Al Quran di Masjidil Haram Ya
Allah. Ya Allah, kami ingin bersembahyang di Hijir Ismail Ya Allah. Ya Allah, kami
ingin mencium Hajar Aswad. Ya Allah, kami ingin berdoa dihadapan Multazam ya
Allah. Berilah ruang kepada kami apabila kami memerlukannya ya Allah. Berikanlah
rasa kasih yang mendalam kepada Masjidil Haram.

Ya Allah, Kau ajarlah kami. Kau bantulah kami. Kau tunjukkanlah dengan sebaik-baik
pengajaran. Kau berikanlah ilham untuk kami melakukan yang terbaik. Hanya yang
terbaik untuk Mu ya Allah. Ampunilah kami ya Allah, hanya kepada mu tempat kami
berserah dengan sesungguhnya.

Ya Allah, gerakkanlah hati kami untuk melakukan umrah sunat sebanyak mungkin. Ya
Allah, gerakkanlah hati kami bagi membanyakkan amal di Masjidil Haram. Berikanlah
perasaan kasih sayang, cinta dan keinginan untuk berada di sana. Ya Allah,
mudahkanlah untuk kami melakukan ibadah tawaf, bersembahyang dan membaca al
quran.

Ya Allah, ampunilah kami. Permudahkanlah perjalanan kami dari Mekah ke Arafah.


Jauhilah kami daripada sebarang mala petaka. Jangan Kau uji kami dengan sesuatu
yang tidak dapat kami memikulnya Ya Allah. Berikanlah kesihatan kepada kami.
Amankan hati kami. Tenangkan perasaan kami. Ingatkan kami untuk bertalbiah di
sepanjang jalan.
Ya Allah, mudahkan urusan kami ketika berada di Arafah. Berikanlah kemudahan bilik
air kepada kami sekeluarga. Janganlah ia menjadi masalah yang besar kepada kami.
Ya Allah, tetapkan hati kami untuk beramal ibadah. Ya Allah, kuncilah mulut kami
daripada bercakap perkara yang tidak memberi faedah. Jauhilah kami daripada
mereka yang suka bersembang, menghabiskan masa dan membazir waktu.

Ya Allah, semasa wukuf nanti, berikanlah ruang kepada kami diluar khemah untuk
mengadap Mu bersama ahli keluarga. Ya Allah, Kau izinkan kami untuk beramal
ibadah dari gelincir matahari sehinggalah terbenam matahari. Ya Allah, berikanlah
kesihatan yang baik semasa wukuf. Jangan Kau lalaikan kami daripada pelbagai
perkara yang menyusahkan.

Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami ke Muzdalifah. Izinkan kami untuk


bermabid di sana. Dan mudahkanlah perjalanan kami ke Mina. Berikanlah kesihatan
yang terbaik semasa kami di sana. Mudahkanlah urusan melontar kami ya Allah.
Jauhilah kami daripada kesesakan manusia. Berikanlah ruang dan lalauan untuk kami
berjalan dan melontar di semua jamrah. Jauhilah kami daripada sebarang kecelakaan
semasa kami melakukan ibadah ini. Kami berserah kepada Mu ya Allah.
Permudahkanlah kami menyelesaikan segala rukun dan wajib haji di sana nanti.

Ya Allah, berikanlah taufik dan hidayah Mu kepada kami. Kau berikanlah kerahmatan
Mu kepada kami. Ya Allah,selepas selesai segala-galanya, kami memohon kepada Mu,
permudahkanlah perjalanan pulang kami. Jauhilah kami dari malapetaka sepanjang
perjalanan pulang kami. Berikanlah keselamatan kepada kami sehingga kami dapat
berjumpa dengan ahli keluarga kami. Ya Allah, Kau berkatilah kami ya Allah.
Ampunilah kami ya Allah.

Ya Allah, kami ini adalah manusia jahil. Kami ini manusia yang kerdil. Kami banyak
dosa kepada Mu. Ampunilah kami. Kami pergi menunaikan fardu haji semata mata
kerana ketakutan dan keinginan untuk menyampaikan rasa syukur kami kepada Mu.
Kau yang Maha Berkuasa. Kau yang memakbulkan segala permohonan hamba Mu. Ya
Allah, kami mahu yang terbaik, yang teristimewa dan yang terpilih diantara jutaan
hamba-hamba Mu.

Ya Allah, berikanlah dan kurniakanlah haji yang mabrur kepada kami sekeluarga, haji
yang Kau redhai dan yang mulia disisimu. Ya Allah, apabila kami pulang ke Malaysia
nanti, kami mahu berubah ya Allah. Kami mahu menjadi manusia yg lebih baik
disisimu.

Ya Allah, berikanlah kebahagian kepada kami sekeluarga. Berikanlah rezeki yang halal
dan jauhilah kami daripada mereka yang suka membuat fitnah. Kaulah yang mencipta
kami dan kami hanyalah hamba Mu yang hina dan tidak berpengetahuan.

Ya Allah, sekiranya kami dipanggil oleh Mu, Kau masukkanlah kami dikalangan orang
yang beriman, mereka yang beramal soleh. Kau tempatkanlah kami di dalam syurga
Mu yang paling istimewa. Syurga Firdaus ya Allah. Kami mohon keredhaan Mu.

Anda mungkin juga menyukai