Anda di halaman 1dari 12

Sejarah

Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional
masyarakat di nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman,
hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana.
Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika banyak yang sesuai untuk
dijadikan bahan anyaman. Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak
banyak berbeza, cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan
anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman
ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini
menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman.

 Anyaman Buluh
 Anyaman Pandan dan Mengkuang
 Anyaman Rotan
 Anyaman Ribu-ribu
 Anyaman Lidi

Anyaman Buluh

Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi.
Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah
di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai
jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh
duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan
buluh sembilang. Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu satu
kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah
kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai,
sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul,
dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung,
buluh minyak dan buluh gading.

Memproses Bahan

Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih
dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Berikut adalah langkah memproses buluh :

Merendam

Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air
asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah
buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan
gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama.
Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih cantik dan
menarik walaupun berbau masam.

Menyalai

Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau


diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah,
disepat (memisahkan kulit daripada isi batang
pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang
yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam
anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras
dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan
Hasil anyaman buluh
bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai
dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah
kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.

Anyaman Pandan dan Mengkuang

Pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan
kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak hairanlah seni
menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu, pelbagai barangan dapat
dihasilkan daripada anyaman pandan dan mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah
tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang
daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk
menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda
yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak
semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan.

Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil
bilah, lebih halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang halus pembuatannya mempunyai nilai
hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar lebih menekankan ciri fungsional.
Tikar mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi,
mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan
demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu.
Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan
berwarna-warni.
Memproses Bahan

Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di
bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak
ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu
terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan berhati-
hati kerana pandan dan mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya
lazimnya berair dan licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian
dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta
supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di
atas bara unggun api kecil hingga layu.

Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering
dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di
dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap
mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari
telunjuk. Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi
dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat
yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat
sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain. Belahan
yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah dilurut.

Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah


dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua
atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali
supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas
hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih.
Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan
diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna
selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan
kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah
daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit.
Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah
dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin
dan lembut.

Menganyam

Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta
corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah
ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang
berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk
meneruskan anyaman tudung saji.

Anyaman Pandan Menganyam Tudung Saji

Corak anyaman umumnya disebut kelarai. Bagaimanapun, khususnya untuk tikar


mengkuang, kelarainya dirujuk sebagai ragi. Kelarai dibuat dalam pelbagai motif dan
peranannya sama seperti corak bunga dalam tenunan, iaitu sebagai suatu ciri perhiasan.
Anyaman kelarai disusun secara tunggal dan lepas (menyeluruh) atau disusun di dalam
ruang tertentu. Susunan menegak disebut kelarai berdiri dan susunan sendeng, kelarai
serong. Untuk hiasan pinggir atau birai pula terdapat satu kelarai khusus iaitu kelarai
pucuk rebung.

Semua jenis kelarai berunsurkan alam semula jadi. Di kalangan masyarakat


Melayu, motif tumbuhan menjadi pilihan utama. Daripada bentuk bunga, terdapat kelarai
bunga atur, berembang, cengkih dan cengkih beranak, bunga cina, bunga durian, bunga
kundur, bunga pecah lapan, bunga tanjung, bunga telur, dan bunga rumput. Unsur-unsur
tumbuhan yang lain termasuk akar, pucuk (rebung) dan tampuk (jantung pisang, manggis,
pinang). Daripada unsur fauna pula, ada motif anggota haiwan, seperti siput, kepala
gajah, mata berkait, tapak anjing dan tapak harimau. Juga kelarai dengan bentuk-bentuk
bahagian tertentu ikan, serangga dan unggas. Antaranya ialah anak ikan, belalang cucuk,
jari kedidi, mata ketitir, pusat belanak, siku keluang, sisik kelah dan tulang ikan.

Akhir sekali, terdapat bentuk bebas, seperti kelarai belah ketupat, kelarai kisar
mengiri, kelarai beras patah dan kelarai madu manis. Dalam membuat kelarai, perkara
utama yang diperhatikan ialah jumlah mata atau langkah daripada bilah daun yang
digunakan. Jumlah mata menentukan saiz satu-satu corak. Untuk menyerlahkan kelarai,
bilah-bilah dicelupkan dua warna yang bertentangan atau berkontras. Misalnya, kuning
dan hijau, merah dan ungu, atau putih dan perang. Kadangkala warna ketiga digunakan
sebagai tanah atau latar corak. Bilah-bilah berwarna yang dianyam tindih-menindih dan
berselang-seli ini akan menyerikan hasil anyaman mengkuang dan pandan.
Anyaman Mengkuang Menganyam Tikar

Bakul Pandan Tudung Saji


Anyaman Rotan

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan
tumbuh liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan
bukit, rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan
jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan
pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan
perabot, sejak beberapa tahun kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-
besaran sebagai tanaman komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil
anyaman rotan tradisional termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat
permainan tradisional seperti sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini
semakin popular sebagai kelarai perhiasan, seperti terendak lampu.

Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa
panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat
yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya
tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan ketahanan
dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.
Rotan yang siap direbus, dijemur hingga
kering. Seterusnya, rotan batang yang
ingin dijadikan kerangka perabot diketam
dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis.
Sementara rotan yang mahu dijadikan
bilah anyaman terus divarnis sebelum
disepat atau dibelah.
Anyaman Ribu-Ribu

Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar
terutama di kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-
ribu biasa, ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan
utama ribu-ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak
rumah di Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung
kerana tali jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas kepada
hasil kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk
terendak, bekas tembakau, bekas sirih dan dompet.

Memproses Bahan

Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma


rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang
menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan,
dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu
dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan
dengan menyidainya di tempat yang redup selama
  beberapa hari. Ini dilakukan untuk memastikan
ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam
buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau rotan
digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap
digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-
bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-
ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan iaitu dengan menyelang-nyelikan
warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda.
Rata-rata, kraftangan ribu-ribu kini semakin terabai, kecuali di kalangan penduduk
Sabah, terutama di sekitar Kampung Inukiran dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.
 

Anyaman Lidi
Pokok kelapa dikenali sebagai pokok serbaguna kerana semua bahagian pokok
ini boleh digunakan. Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok kelapa
ialah lidi. Berbagai-bagai barangan boleh dihasilkan daripada lidi kelapa. Antaranya,
lekar, bakul, tempat simpan telur, bekas buah-buahan dan raga gubahan bunga.

Memproses Lidi

Kraftangan ini bermula dengan kerja meraut dan mengisit daun kelapa yang muda
dan panjang untuk mendapatkan lidinya. Lidi yang sudah licin, direbus dengan bahan
pewarna dan kemudian dijemur hingga kering. Kini lidi itu sedia untuk dianyam
mengikut bentuk yang dikehendaki.

Cara menganyam lidi tidak banyak berbeza daripada cara menganyam rotan
bulat. Untuk membuat lekar atau bakul, misalnya, bahagian tapak disusun terlebih dahulu
didalam satu bingkai supaya bilah-bilah lidi tidak mudah terungkai. Kemudian hujung
lidi dilentur secara berselang-seli dan diselitkan di antara satu sama lain dalam aturan
tertentu untuk menghasilkan suatu corak. Seterusnya lidi itu ditarik supaya anyaman
tersebut menjadi kukuh. Akhirnya bahagian hujung lidi diselitkan dengan kemas dan
bakinya dipotong.

Anda mungkin juga menyukai