Anda di halaman 1dari 6

Pengenalan

Seni anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga
hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat
pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam
dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah
yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal
menebat pengaliran haba.

Seni anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar.
Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan
anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas
tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di
sekitar pasir pantai.

Pelbagai rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari
jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat
didasarkan kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan, kerja-kerja
anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang
digunakan sehari-harian.

Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah
daripada tumbuhan bertam, jenis palma engeissona tritis dan nipah. Berdasarkan bahan dan
rupa bentuk anyaman yang dihasilkan, seni anyaman ini merupakan daya cipta dari kelompok
masyarakat luar istana yang lebih mengutamakan nilai gunaannya. Walau bagaimanapun
pada sekitar tahun 1756 hingga1794 telah terdapat penggunaan tikar Raja yang diperbuat
daripada rotan tawar dan anyaman daripada bemban.

Proses menganyam disebut juga sebagai "menaja". Untuk memulakan satu-satu anyaman
waktu yang baik ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup atau
dingin, daun-daun lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah.
Biasanya beberapa orang melakukan anyaman ini berkelompok di halaman rumah atau
beranda rumah pada waktu malam, petang atau waktu-waktu senggang pada sebelah pagi
(jika kelapangan, kerana waktu pagi biasanya dipenuhi dengan kerja-kerja tertentu).

Rupa bentuk anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini ialah
tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga
dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa
dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian.
Beberapa daripada rupa bentuk ini ialah bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji, kembal
(rombong) dan sebagainya.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan kelarai (motif) dan
corak. Istilah kelarai dikhususkan kepada motif yang "berbentuk" (selalunya unsur alam)
sementara corak dimaksudkan kepada susunan warna tanpa memperlihatkan kepada susunan
warna dan bentuk motif. Anyaman tanpa kelarai disebut sebagai "gadas". Terdapat kira-kira
51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan
dan binatang.
Di sesetengah tempat kelarai dimaksudkan kepada anyaman yang diperbuat daripada buluh
dan digunakan sebagai dinding atau penyekat ruang rumah. Sementara di sesetengah tempat
lain anyaman seperti ini diperbuat daripada bahan bertam yang disebut sebagai tupas. Ciptaan
kelarai atau tupas lebih kukuh, tegas dan kasar bersesuaian dengan fungsinya sebagai
penyekat ruang. Tiada bukti yang jelas untuk menetapkan tarikh bermulanya penciptaan
kelarai. Melalui kajian yang dibuat dapat dikatakan bahawa penciptaan kelarai dalam
anyaman merupakan satu perlakuan yang telah lama berlaku.

Bunga sulam merupakan satu teknik yang terdapat dalam ragam hias anyaman di mana ia
akan mencantikkan lagi hasil yang telah dibentuk. Teknik sulam adalah teknik susun susup.
Kesan bentuk bunga yang dibuat lebih merupakan kesan geometri asas seperti susunan
bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.

Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun begitu,
usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan
peredaran zaman. Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan
adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi.
Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya dapat terus
dipelihara dan dimanfaatkan bersama.

Zaman dahulu menganyam tikar,


Sunyi menyepi desa terpinggir,
Seni anyaman haruslah diajar,
Jangan tinggal sebutan dibibir.

Buluh muda mudah dilentur,


Buat ampaian penyidai jala,
Semangat juang belum luntur,
Seni anyaman jangan dilupa

http://memori-kedah.net/page_pengenalan.php?p=1&idstopic=5&mtopic=1

SEJARAH SENI ANYAMAN


1.Dipercayai seni graf tangan muncul dan bergembang tanpa pengaruh luar.

2.Pada zaman dahulu, kegiatan anyaman dilakukan oleh kaum wanita untuk mengisi masa
lapang dan bukan sebagai mata pencarian utama.

3.Hasil graf tangan dijadikan alat untuk kegunaan sendiri atau sebagai hadiah untuk anak
saudara atau sahabat handai sebagai tanda kasih atau kenang-kenagan.

4.Seseorang wanita dianggap tidak mempunyai sifat kewanitaan yang lengkap jika dia tidak
mahir dalam seni anyaman.

5.Proses anyaman biasanya dijalankan oleh kaum wanita; lelaki hanya menolong menetap
daun dan memprosesnya.

6.Perusahaan anyaman biasanya dilakukan secara individu dan secara kecil-kecilan yang
merupakan satu usaha ekonomi bagi orang-orang di kampung.
7.Kini,terdapat organisasi dan perbadanan yang mengusahakannya, dengan skala yang besar
seperti cawangan-cawangan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Persatuan Gerakan
Wanita Felda, Pusat Graftangan Felda, dan sebainya.

8.Hasilan anyaman bermutu tinggi bagi memenuhi keperluan pealangan.Hasilan anyaman


tidah terkongkong dalam bentuk tradisional sahaja. Ciptan dimensi baru dari segi rupa dan
bentuk, warna dan corak, teknik dan bahan sering diubah-ubahkan mengiikut peredaran
zaman dan cita rasa pelanggan.

9.Bahan-bahan asas untuk anyaman ialah:-

**Pandan atau mengkuang.


**Nipah.
**Bertam.
**Buluh.
**Paku-pakis ribu-ribu.
**Bemban.
**Daun serdang.
**Rotan.
**Rumput-rampai.
**Lidi.

Anyaman Ribu-Ribu

Anyaman ribu-ribu Ribu -ribu adalah sejenis paku-pakis yang hidup liar terutama di
kawasan belukar yang lembap. Terdapat beberapa jenis ribu-ribu iaitu ribu-ribu biasa,
ribu-ribu besar/gajah dan ribu-ribu bukit/duduk atau akar sidin. Kegunaan utama ribu-
ribu pada masa dahulu ialah sebagai bahan untuk dijadikan tali. Banyak rumah di
Terengganu misalnya menggunakan tali ribu-ribu sebagai pengikat rabung kerana tali
jenis ini tahan lama. Tetapi kini kegunaan ribu-ribu hampir terbatas kepada hasil
kraftangan sahaja. Barang-barang yang diperbuat daripada ribu-ribu termasuk terendak,
bekas tembakau, bekas sirih dan dompet.

Memproses Bahan

Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma


rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang
menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan,
dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu
dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan
dengan menyidainya di tempat yang redup
selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk
memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah
patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti
  menganyam buluh dan mengkuang. Untuk
mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau
rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka
barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu
ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-
barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan
warna boleh dihasilkan iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih
gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda. Rata-rata, kraftangan
ribu-ribu kini semakin terabai, kecuali di kalangan penduduk Sabah, terutama di sekitar
Kampung Inukiran dan Kampung Tinanggol di daerah Kudat.
Anyaman Rotan

Rotan merupakan sejenis tumbuhan palma yang memanjat. Pelbagai jenis rotan tumbuh
liar di hutan-hutan nusantara. Antaranya rotan air, rotan bakau, rotan batu, rotan bukit,
rotan kera, rotan kolam, rotan manau, rotan sega dan sebagainya. Daripada puluhan
jenis itu, rotan batu, rotan manau dan rotan sega dianggap paling baik untuk tujuan
pembuatan perabot dan hasil anyaman. Malah, berasaskan potensinya dalam pembuatan
perabot, sejak beberapa tahun
kebelakangan rotan manau telah ditanam secara besar-besaran sebagai tanaman
komersil sampingan di celah-celah barisan tanaman lain. Hasil anyaman rotan tradisional
termasuk bakul, kerusi, lekar, nyiru, raga dan juga alat permainan tradisional seperti
sepak raga. Sesuai dengan cara hidup moden, rotan kini semakin popular sebagai kelarai
perhiasan, seperti terendak lampu.

Memproses Bahan

Batang rotan yang besar dipotong daripada pokoknya antara dua hingga tiga depa
panjang supaya mudah diangkut ke luar hutan. Rotan kecil-kecil pula dipotong setakat
yang berguna, kemudian dilingkarkan. Sebelum digunakan, rotan perlu direbus supaya
tisunya mati dan kandungan gulanya tersingkir. Ini penting untuk memastikan
ketahanan dan mengelakkan serangan serangga seperti bubuk.

Rotan yang siap direbus, dijemur hingga kering. Seterusnya, rotan batang yang ingin dijadikan
kerangka perabot diketam dan dipelas kertas pasir sebelum divarnis. Sementara rotan yang mahu
dijadikan bilah anyaman terus divarnis sebelum disepat atau dibelah.

Anyaman Pandan dan Mengkuang

Pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan kawasan-
kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak hairanlah seni
menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu, pelbagai barangan dapat
dihasilkan daripada anyaman pandan dan mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah
tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang
daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk
menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda
yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak
semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan.

Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil bilah, lebih
halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang halus pembuatannya mempunyai nilai hiasan yang
tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar lebih menekankan ciri fungsional. Tikar
mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi,
mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk
kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan
untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah
bercorak dan berwarna-warni.

Memproses Bahan

Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di
bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak
ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu
terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan
berhati-hati kerana pandan dan mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling
perdunya lazimnya berair dan licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak
kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat
dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun
tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.

Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan
layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di
dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan
sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari
telunjuk. Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi
dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan
alat yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat
sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain.
Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah
dilurut.

Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut
dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau
tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali
supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas
hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih.
Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau
pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup
pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah,
hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna
merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada
daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila
sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya
lebih licin dan lembut.

Anyaman Buluh

Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh
yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di
kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai
jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh
duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu
dan buluh sembilang. Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu
satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang,
bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak,
seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula
termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar,
buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.

Memproses Bahan

Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang
dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Berikut adalah langkah memproses
buluh :

Merendam

Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air
asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah
buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan
kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan
lebih lama. Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih
cantik dan menarik walaupun berbau masam.

Menyalai

Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau


diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah,
disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi
batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit
buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu,
bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam
pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.

Anyaman Lidi

Pokok kelapa dikenali sebagai pokok serbaguna kerana semua bahagian pokok ini boleh
digunakan. Salah satu bahan kraftangan yang diperbuat daripada pokok kelapa ialah lidi.
Berbagai-bagai barangan boleh dihasilkan daripada lidi kelapa. Antaranya, lekar, bakul,
tempat simpan telur, bekas buah-buahan dan raga gubahan bunga.

Memproses Lidi

Kraftangan ini bermula dengan kerja meraut dan mengisit daun kelapa yang muda dan
panjang untuk mendapatkan lidinya. Lidi yang sudah licin, direbus dengan bahan
pewarna dan kemudian dijemur hingga kering. Kini lidi itu sedia untuk dianyam
mengikut bentuk yang dikehendaki.

Cara menganyam lidi tidak banyak berbeza daripada cara menganyam rotan bulat.
Untuk membuat lekar atau bakul, misalnya, bahagian tapak disusun terlebih dahulu
didalam satu bingkai supaya bilah-bilah lidi tidak mudah terungkai. Kemudian hujung lidi
dilentur secara berselang-seli dan diselitkan di antara satu sama lain dalam aturan
tertentu untuk menghasilkan suatu corak. Seterusnya lidi itu ditarik supaya anyaman
tersebut menjadi kukuh. Akhirnya bahagian hujung lidi diselitkan dengan kemas dan
bakinya dipotong.

Anda mungkin juga menyukai