Anda di halaman 1dari 8

SIGNIFIKAN JENAMA PENGARANG DALAM PEMASARAN

Muhammad Nur Saiful Ghazali

Pengenalan

Setiap pengarang mempunyai nama pena tersendiri untuk digunakan pada karya.

Pengarang pula lazimnya mempunyai beberapa nama pena yang berbeza tamsilnya

Sasterawan Negara Kamaluddin Muhammad yang menggunakan nama pena seperti

Keris Mas, Aku, K.M. Kamal, Kamaludin M. dan Mister X. Kepelbagaian nama pena

ini didorong oleh pelbagai sebab seperti tuntutan rumah penerbitan, tidak mahu

dikenali ramai, atau mahu bereksperimen dengan genre baharu tanpa mahu

membabitkan nama yang sedia ada (Harlym Leo: 2022). Namun begitu, pembaca

secara umumnya akan biasa mengaitkan seseorang pengarang dengan satu nama

pena yang paling menyerlah. Tanpa disedari, nama pena sebenarnya memainkan

peranan yang begitu besar dalam perjalanan menjadi seorang pengarang. Ia

mewakili ketokohan pengarang dan menjadi taruhan di kulit buku yang dipasarkan

kepada pembaca. Pembaca pula bukan mudah untuk membelanjakan wang mereka

bagi membeli bahan bacaan dan sering memilih buku daripada pengarang yang

mereka yakin dapat menyajikan mutu penulisan yang memuaskan hati masing-

masing. Keupayaan pengarang dalam membina nama sejak sekian lama pula tidak

pernah dinafikan. Ia memerlukan masa dan keringat berpanjangan. Kemampuan

seseorang pengarang mencari identiti tersendiri juga bukanlah sesuatu perkara yang

mudah untuk dilakukan. Namun, peranan nama pena sebagai jenama dalam

kelangsungan karier pengarang kini terutamanya dalam aspek pemasaran amat

penting lebih-lebih lagi apabila ia dibicarakan dalam ruang digital yang beroperasi

tanpa sempadan.
Jenama Pengarang dan Potensinya dalam Pemasaran

Setelah pengarang selesai melalui proses kreatif, mereka akan memikirkan rumah

penerbitan yang sesuai untuk menerbitkan karya mereka. Pertimbangan yang serius

ketika membuat keputusan untuk menghantar manuskrip amat penting supaya

pengarang tidak melalui fasa penolakan secara berulang. Petimbangan yang diambil

oleh pengarang lazimnya merangkumi beberapa faktor seperti aspirasi dan dasar

yang didokong oleh penerbit, sasaran khalayak pembaca serta pengaruh rumah

penerbitan dalam industri perbukuan. Atau dalam situasi lain, pengarang boleh

mencuba untuk menerbitkan naskhah mereka secara swaterbit dengan cabaran

yang lebih besar.

Sebelum karya menjengah pasaran, pengarang sudah tentu mempunyai

nama pena pilihan yang tersendiri untuk dipertaruhkan di kulit hadapan buku. Hal ini

dikatakan demikian kerana nama pena menjadi antara faktor utama pembaca

membeli sesebuah buku. Pengarang merupakan jenama bagi naskhah mereka

walaupun dengan judul yang berbeza. Jenama pengarang yang sudah terkenal akan

disertakan pula dengan label-label tertentu seperti “Novelis Paling Laris” atau

“Pemenang Hadiah Sastera Perdana”. Pemilihan label oleh pihak penerbitan bukan

dilakukan secara semberono melainkan mendapat dokongan dan sokongan yang

kuat daripada pembaca secara umum atau lebih tepat peminat tegar pengarang itu

sendiri. Hal ini telah dijelaskan oleh Kaisa Kurikka (2012: 115) bahawa:

The author’s name on the cover of the books works as a signal


for a certain kind of literature, it become a guarantee of a
standard since it is the mark of subjectivity – the author – name
is transformed into a trademark, a brand like any other
commercial commodity in capitalist marketing.
(Kaisa Kurikka, 2012:115)
Petikan ini menjelaskan bahawa nama pengarang pada kulit buku berfungsi sebagai

isyarat bagi sesetengah jenis bahan kesusasteraan. Isyarat yang dimaksudkan oleh

Kaisa Kurikka kepada bahan kesusasteraan tampak menjurus kepada pengarang

sebagai sebuah jenama. Jenama daripada nama pena ini berfungsi sebagai jaminan

kepada pembaca yang mencari kepuasan membaca dengan mutu kepuasan yang

diharapkan berdasarkan kepada pengalaman lampau membaca air tangan

pengarang yang sudah diyakini oleh pembaca (Muhammad Nur Saiful Ghazali.

2020: 128 - 129).

Apabila ramai pembaca umum mula meminati pengarang tertentu, maka akan

terbentuk sebuah komuniti peminat pengarang yang sama dalam skala yang lebih

besar. Komuniti ini merupakan entiti berbeza daripada pengarang yang lazimnya

mengusahakan proses kreatif. Dalam kajian pemasaran, komuniti peminat ini mirip

kepada brand community. Sebuah kajian terhadap konsep brand community yang

dijalankan oleh Albert M. Muniz Jr. dan Thomas C.O‟Guinn telah menyimpulkan

bahawa (2001: 427):

Brand communities carry out important functions on behalf of


the brand, such as sharing information, perpetuating the history
and culture of the brand, and providing assistance [to other
users]. They provide the social structure to the relationship
between marketers and consumer. Communities exert pressure
on members to remain loyal to the collective and to the brand.

Menurut kenyataan tersebut dalam konteks kajian pemasaran, brand community

menjalankan fungsi-fungsi penting bagi pihak pengarang seperti berkongsi

maklumat, mengekalkan prestij sesebuah jenama, dan memberikan bantuan kepada

pengguna yang lain. Selain itu, brand community juga menyediakan struktur sosial

kepada hubungan antara pemasar dengan pengguna. Komuniti ini akan


mengenakan tekanan kepada ahli untuk kekal setia kepada kolektif dan juga kepada

pemasar.

Fungsi brand community ini hampir sama dengan kelab peminat yang wujud

dalam dunia pembukuan. Misalnya Ramlee Awang Murshid Fan Club (RAMFC),

sebuah kelab peminat kepada penulis Ramlee Awang Mursyid yang telah wujud

sejak 2007. Kelab peminat ini telah dicetuskan oleh seorang pembaca secara dalam

talian melalui pelantar Google Groups dengan nama Ramlee Awang Murshid Book

Club (RAM FC). Kumpulan ini pada awalnya diwujudkan sebagai medan untuk para

ahli berdiskusi dan memberi info tentang karya-karya Ramlee Awang Mursyid. Kelab

ini semakin kekar dari masa ke masa setelah mendapat sokongan yang sewajarnya

daripada Ramlee Awang Mursyid sendiri. Kelab ini semakin mendapat sambutan

apabila bergerak seiring dengan perkembangan bidang teknologi maklumat dan

komunikasi yang beroperasi secara digital. Kini, RAMFC bukan sekadar

membicarakan tentang karya penulis tetapi kelab ini juga telah menganjurkan

program sosial sesama ahli serta menguruskan pemasaran dan penjualan novel

Ramlee Awang Mursyid.

Situasi ini telah mengambarkan betapa nama pena amat penting dalam

pemasaran karya kreatif sebagai sebuah jenama. Dengan nama pena yang gah,

pembaca boleh bersatu dalam sebuah komuniti yang mempunyai organisasi yang

tersusun. Walaupun terdapat sejumlah besar judul karya yang membawa aspirasi

dan minda kreatif pengarang, namun nama pena juga yang terkedepan serta dekat

di hati pembaca. Meskipun begitu, proses membina nama sebagai sebuah jenama

yang kukuh mengambil masa yang lama jika dijalankan secara konvensional. Malah

ia menjadi hampir mustahil sekiranya tidak mendapat kerjasama dua hala antara
pengarang dan pembaca. Usaha ini memerlukan pengarang keluar dari kepompong

ekslusif yang begitu sebati dengan kesusasteraan.

Pengaruh Eksklusif dan Inklusif

Mahatma Gandhi (2009: 173) dalam India of My Dreams menjelaskan bahawa “no

culture can live, if it attempts to be exclusive”. Tiada budaya yang dapat bertahan

sekiranya ia cuba menjadi eksklusif. Sifat eksklusif dalam dunia kesusasteraan

akhirnya akan mewujudkan kelompok pembaca yang bertaraf-taraf. Sedangkan

pengarang ialah wakil kepada pemikiran dan budaya masyarakat pada zamannya.

Pemikiran merentas zaman yang dimiliki oleh pengarang seharusnya mencorakkan

pemikiran pembaca secara umum. Namun proses mencorakkan pemikiran pembaca

akan terbantut dan menjadi sukar sekiranya sifat ekslusif ini masih berterusan.

Dalam masa yang sama sudah tentu proses pemasaran jenama pengarang kepada

khalayak yang lebih umum akan menjadi sukar. Pembaca secara umumnya sedikit

sebanyak pasti mempunyai tanggapan bahawa produk keluaran kelompok

pengarang ini sukar untuk difahami kerana sifat eksklusif pengarang sedangkan

semua pembaca pada asasnya ialah pembaca dengan tujuan yang pelbagai.

Kini, pengarang boleh membiarkan pembaca untuk terlibat secara inklusif

dalam proses kreatif yang sedang atau selesai dijalankan secara tebih terbuka.

Penglibatan pembaca dalam proses ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dan ia

boleh direalisasikan dengan penerapan budaya keterlibatan (participatory culture).

Jenskin (2009: xi) dalam Confronting the Challenges of Participatory Culture telah

menjelaskan bahawa:

“A participatory culture is a culture with relatively low barriers to


artistic expression and civic engagement, strong support for
creating and sharing creations …”
Pendekatan budaya keterlibatan yang diambil oleh pengarang akan memberi ruang

kepada pembaca untuk melibatkan diri dalam mengekspresi sesebuah karya.

Pendekatan ini juga akan mewujudkan sebuah sistem sokongan yang kuat untuk

mencipta dan berkongsi hasil karya. Situasi ini akan mewujudkan hubungan sosial

antara pembaca dengan pengarang apatah lagi ia beroperasi secara dalam talian

menerusi pelantar media sosial (Sohaimi Abdul Aziz. 2018;7).

Sasterawan Negara Zurinah Hassan dilihat antara tokoh pengarang mapan

yang terbuka serta bersifat inklusif dalam bekarya belakangan ini. Beliau memilih

untuk mendedahkan hasil penulisannya seperti pantun dengan tema kemanusiaan

yang berkaitan dengan isu semasa menggunkan pelantar media sosial yang lebih

mesra pembaca. Melalu pelantar media sosial seperti Facebook, pembaca bukan

sahaja boleh membaca pantun yang dinukilkan oleh Zurinah Hassan, namun

pembaca juga boleh memberi reaksi terhadap pantun tersebut serta meninggalkan

komen pada ruangan yang telah disediakan. Kebebasan yang dibuka oleh Zurinah

Hassan kepada pembacanya secara langsung dapat melonjakkan jenama beliau

sebagai Sasterawan Negara yang mesra dengan pembaca. Proses pemasaran

jenama beliau akan disuburkan lagi apabila pengguna media sosial yang terdiri

dalam kalangan pembaca berkongsi hantaran yang telah dibuat menerusi laman

media sosial masing-masing. Sudah tentu pantun yang pada asalnya hanya

dikongsikan oleh Zurinah Hassan di laman media sosialnya akan tersebar luas dan

dibaca oleh lebih ramai pengguna media sosial yang terdiri daripada latar belakang

masyarakat yang rencam.


Kesimpulan

Jenama pengarang didapati mempunyai peranan besar dalam pemasaran hasil

penulisan mereka. Ia didorong oleh perkembangan pesat bidang teknologi maklumat

dan komunikasi pada hari ini. Tidak dapat dinafikan bahawa pengarang perlu turut

serta dalam ledakan media digital supaya industri kreatif di negara kita tidak lesu

dan seiring dengan peredaran kemajuan. Penulis muda seharusnya menggunakan

kelebihan ini secara optimum kerana kelompok ini merupakan generasi terdekat

dengan arus perubahan yang sedang berlaku. Ramai penulis muda dalam kalangan

pengarang novel popular telah menggunakan kesempatan ini untuk membina

jenama dalam masa yang singkat. Kepentingan membina jenama oleh pengarang

sebenarnya dapat memudahkan urusan pihak penerbitan untuk memasarkan karya.

Dalam keghairahan membina jenama yang kukuh, pengarang muda juga haruslah

bersabar dan berhati-hati dengan menjaga mutu penulisan dari masa ke masa. Hal

ini dikatakan demikian kerana pengarang harus sedar bahawa peningkatan jenama

dan mutu penulisan haruslah bergerak seiring supaya ia dapat bertahan lama.
Bibliografi

Harlym Yeo. (27 Mac 2022). Jenama pada Nama Pena. Sinar Harian, Sastera.
Retrieved 1 Januari 2023, daripada https://m.sinarharian.com.my/mobile-
article?articleid=242593

Kaisa Kurikka. (2012). In The Name of The Author: Toward a Materialist


Understanding of Literary Authorship. dalam Estelle Barrett & Barbara Bolt
(Ed.). Carnal Knowledge: Towards a 'New Materialism' Through the Arts. New
York; I.B. Tauris & Co Ltd.

Muhammad Nur Saiful Ghazali. 2020. Hubungan Proses Kreatif Keterlibatan dengan
Pemasaran Dalam Talian: Satu Kajian Novel-Novel Popular Melayu. Tesis
Ijazah Sarjana. Bahagian Kesusasteraan. Universiti Sains Malaysia.

Muniz, A. M. & C.O‟Guinn, Thomas. (2001). Brand Community, dalam Journal of


Consumer Research, Vol. 27, hlm. 412-432.

Mahatma Gandhi. (1947). India of My Dreams. Ahmedabad, India: Navajivan


Publishing House.

Jenkins, H., Ravi Purushotma, Weigel, M., Clinton, K., Robinson, A. J. (2009).
Confronting the Challenges of Participatory Culture: Media Education for the
21st Century. London: The MIT Press.

Sohaimi Abdul Aziz (2018). Dalam Sohaimi Abdul Aziz & Muhammad Nur Saiful
Ghazali (Ed). Proses Kreatif Keterlibatan dan Pemasaran Digital. Kuala
Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai