Anda di halaman 1dari 14

SINOPSIS & NOTA NOVEL JEJAK MONPUS

Mengisahkan Zahar, mahasiswa Sains Kaji Hayat, juga seorang pencinta serangga,
menghadapi dilema apabila ulat bulu spesies Pus Pus kesayangannya, hampir pupus.
Zahar perlu segera menyelamatkan spesies itu. Dia bernasib baik apabila menemui
Monarch, ulat bulu spesies baru, di sebuah pulau terpencil. Zahar berjaya
mencantumkan spesies Monarch dengan Pus Pus, dan menghasilkan spesies baru,
Morgan. Pada masa yang sama, Kampung Maju Jaya, kampung tempat Zahar tinggal,
dilanda wabak. Penduduk kampung menuduh Zahar penyebabnya. Untuk
membersihkan namanya, Zahar pun menyiasat. Dia akhirnya mengetahui bahawa
wabak itu sebahagiannya berpunca daripada kilang kelapa sawit yang beroperasi di
kampung itu. Zahar bertekad untuk mencari penawar. Dia bagaimanapun, terpaksa
mengorbankan Morgan kesayangannya. Belum sempat penawar dihasilkan, bahan
eksperimennya dicuri oleh Arifin, samseng kampung yang sangat memusuhinya.
Masalah akhirnya selesai apabila Arifin ditangkap oleh pihak berkuasa kerana terlibat
dalam kes penipuan dalam penjualan benih cambah sawit 'haram' serta pemalsuan
dokumen urus niaga menggunakan logo Sime Darby Plantation Berhad dan Felda
Agriculture Services Sdn. Bhd.. Zahar meneruskan misi mencipta penawar, dan
akhirnya berjaya menghasilkan MONPUS – sejenis racun serangga biologi. Hasil
inovasinya itu, Zahar meraih anugerah dalam majlis Anugerah Produk Inovasi, UTM.
Kejayaannya mencipta MONPUS juga menyatukan semula ibu dan ayahnya yang lama
terpisah.

SINOPSIS MENGIKUT BAB NOVEL JEJAK MONPUS


1) Penyelamat Pus Pus
Zahar seorang pemuda berusia 22 tahun amat gemar pada serangga sejak masih kecil
lagi. Kegemarannya itu tidak pula dibantah oleh ibunya, kerana Qistina berpendapat
Zahar mewarisi minat bapanya. Untuk menyokong minatnya itu, Zahar mempunyai bilik
khas untuk menyimpan dan menjalankan eksperimen terhadap serangganya seperti
ulat beluncas, kumbang, labah-labah dan kupu-kupu. Zahar banyak menghabiskan
masa berbual-bual dan memerhatikan serangga-serangga kesayangannya. Minatnya
ini amat bertepatan dengan pengajiannya di Fakulti Sains Hayat, Universiti Teknologi
Malaysia.
Zahar mempunyai seorang teman baik bernama Mawar yang juga merupakan rakan
sekuliahnya. Semasa makan Zahar meminta izin daripada ibunya untuk ke Taman
Paya Bakau Tanjung Piai untuk mencari serangga spesies baru. Selesai makan tengah
hari Zahar masuk ke bilik perpustakaan mininya. Dia ingin membaca buku untuk
mengkaji punca Pus Pusnya kurang aktif sejak akhir-akhir ini. Hal ini kerana Zahar
amat menyayangi Pus Pus yang ditemuinya dalam suatu ekspedisi pengembaraan di
Hutan Lipur Gunung Pula

2) Hasrat Terpendam
Untuk meneruskan hasratnya mencari spesies pengganti Pus Pus, Zahar berhasrat
ke Pulau Pisang. Kononnya pada 1818, orang Acheh telah membuka Pulau Pisang
untuk dijadikan penempatan. Namun mereka gagal menjadikan kawasan tersebut
kawasan pertempatan akibat sering diganggu oleh kuasa mistik. Wak Buik, seorang
pawang Bugis Riau, dipanggil untuk memulihkan keadaan itu dan dia berjaya
melakukannya. Dia menanam pokok buah-buahan di tanahnya itu. Apabila Wak Buik
meninggal dunia, penduduk di situ berpindah ke tanah besar kerana mengelak
ancaman lanun.
Menurut Tuk Munir, arwah datuknya, pulau itu merupakan tempat tinggal orang
bunian. Nek Yah pula mengatakan di pulau itu terdapat sebuah gua yang tersimpan
harta karun. Mengikut pandangan Zahar, bentuk pulau itu kelihatan seperti orang
sedang duduk berzikir. Semasa menunggu kedatangan Mawar, Zahar membayangkan
ketika dia sampai di pulau itu nanti, dia akan ditangkap oleh sekumpulan orang asli dan
dibawa ke perkampungan mereka. Di situ dia akan menemui pelbagai spesies hidupan
baru. Lamunannya terhenti apabila disapa oleh kekasihnya Mawar. Mawar ialah anak
sulung daripada lima beradik. Dia sangat bertanggungjawab terhadap adik-adiknya.
Ayah Mawar, Encik Hassan merupakan peneroka di ladang kelapa sawit. Disebabkan
harga sawit menurun, ayahnya terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi
menambah pendapatannya. Mereka tinggal di Kampung Maju Jaya yang terletak tidak
jauh dari rumah Zahar. Zahar teringat kisah pertemuan pertamanya dengan Mawar.
Ketika itu Mawar terjatuh di depan keretanya di Fakulti Pendidikan Sains Hayat. Zahar
ingin membantu Mawar tetapi ditolak dengan baik oleh gadis itu.
Mawar mengajak Zahar ke kedai buku untuk mencari bahan bagi mendapatkan
maklumat untuk portfolio Sains Biologi mereka. Setelah itu mereka pulang ke rumah.

3) Dilanda Misteri
Zahar menghantar ibunya ke sekolah kerana bateri kereta ibunya rosak. Faridah,
seorang murid Qistina, menawarkan pertolongan untuk membawa beg yang berisi buku
guru kesayangannya itu. Qistina berhasrat untuk mengambil Faridah sebagai anak
angkat kerana dia tidak mempunyai anak perempuan dan Faridah ialah seorang yang
berhemah tinggi serta tertib. Faridah merupakan anak tunggal daripada keluarga
pekebun. Sebelum ke sekolah itu, dia bersekolah di SMK Bentong, Pahang dan
tinggal bersama neneknya. Selepas PMR barulah dia berpindah ke Desa Mercu Jaya.
Suatu hari, Qistina ternampak Faridah berjumpa dengan seorang lelaki namun tanda
tanya itu dipendamkan saja. Faridah memberitahu lelaki itu ialah bapa saudaranya
yang bertugas sebagai pensyarah di London apabila ditanya oleh Qistina pada suatu
hari.

4) Kembara ke Tanjung Piai


Sikap suka menyelidik terhadap sesuatu yang dimiliki oleh Azahar membolehkan dia
mendapat anugerah inovasi dari UTM. Sebenarnya dia telah menerbitkan banyak hasil
penyelidikannya dalam jurnal. Selain itu, dia juga berazam mencari pengganti spesies
Pus Pus sebelum spesies itu pupus. Untuk tujuan itu, dia mahu ke Tanjung Piai
bersama Malcom, rakan sekuliahnya. Selain itu, dia juga mahu mengkaji hutan bakau
dan kepentingannya. Di sana mereka menjumpai spesies baharu ulat bulu. Apabila
pulang dari Tanjung Piai, dia segera mengkaji dapatannya itu.

5) Meredah Hutan Kem Kaizen

Zahar menyertai kursus Kembara Biologi Alam di Kem Kaizen untuk meneruskan
penyelidikannnya. Selesai kuliah pagi itu, dia dan Malcom didatangi Munira yang ingin
mengajaknya menonton wayang. Ajakan Munira ditolak secara baik. Akibat kegelian
sesuatu yang lembut dan hitam di pipinya, Munira terjatuh ke dalam kolam ikan keli.
Zahar masuk ke dalam kolam untuk menolong Munira. Esoknya, ketika meneroka
hutan sekeliling, Zahar terjatuh ke dalam gaung. Fikri yang mendengar jeritan Zahar
menaikkannya ke tebing dengan bantuan dua orang pemuda yang melakukan aktiviti
redah hutan. Luka Zahar tidak serius tetapi kepalanya mengeluarkan darah yang
banyak. Mawar merawat luka tersebut. Apabila pulang, Qistina bimbang melihat
keadaan anak kesayangannya itu. Esoknya, Zahar menunjukkan spesies baharu ulat
bulunya kepada Fitri dan Malcom yang datang melawatnya di rumah.

6) Kejadian Misteri Di Pulau


Kebanyakan penduduk Pekan Nanas bekerja di ladang getah, ladang sawit dan
kebun-kebun. Namun kedatangan pendatang asing menyekat rezeki rakyat tempatan.
Majikan lebih gemar memilih pendatang asing sebagai pekerja kerana upah mereka
lebih murah daripada rakyat tempatan. Akibatnya, ada pemuda-pemuda yang terjebak
dalam aktiviti yang tidak sihat termasuklah Ripin. Ripin pernah dipukul oleh Zahar
kerana mencuri tong gas. Kejadian itu menyebabkan Ripin menyimpan dendam
terhadap Zahar.
Di rumah pula, Zahar masih memujuk Qistina agar membenarkannya ke Pulau
Pisang. Qistina bimbang kemalangan terhadap anaknya akan berulang. Padanya,
kedegilan Zahar sama seperti bapanya. Dia teringat pada bekas suaminya dan
kejadian yang menyebabkan mereka berpisah. Selepas hidup sendiri, Qistina
mendirikan rumah dua tingkat di atas tanah yang dibelinya di Kampung Maju Jaya.
Baharudin dikatakan tinggal di London untuk meneruskan pengajiannya pada peringkat
Doktor Falsafah. Qistina percaya lelaki yang ditemui Faridah tempoh hari ialah bekas
suaminya..
Setelah mendapat keizinan ibunya, Zahar bertolak ke Pulau Pisang bersama-sama
Fikri dan Malcom. Setelah dua jam menaiki bot merka sampai di pulau tersebut dan
disambut oleh kera-kera liar yang hanya menghilangkan diri setelah ditakutkan oleh
mereka. Mereka terus meneroka pulau itu. Untuk mencepatkan kerja, mereka
berpecah. Tidak lama kemudian, Zahar melihat baju Fikri tersangkut pada pokok dan
kasut Malcom berada di atas tanah tetapi kawan-kawannya itu tidak kelihatan. Tiba-
tiba bau busuk menusuk hidungnya dan dia ternampak seekor ulat bulu sebesar ular
sawa. Serentak itu angin bertiup kencang hingga memaksa Zahar menutup matanya
untuk mengelakkan habuk. Apabila angin berhenti dan mata di buka dia dapati ulat
besar sudah hilang. Yang ada hanya ulat bulu bersaiz biasa tetapi sangat cantik.
Ketika itu Fikri dan Malcom muncul. Fikri terkejut kerana tadi dia melihat baju Fikri dan
kasut Malcom saja. Kedua-dua sahabatnya mengatakan bahawa Zahar bermimpi.

7) Penemuan Baharu
Zahar berkurung dalam makmalnya. Monarch, ulat bulu baharunya tidak lalu
makan. Zahar risau. Setiap hari dia memantau perkembangan ulat bulu tersebut.
Setelah seminggu, Monarch sepatutnya menjadi rama-rama tetapi di dalam balang
Monarch ialah seekor ulat bulu yang sangat cantik. Zahar yakin ulat itu ialah spesies
gabungan Monarch dan Pus Pus yang dinamakan Morgan. Dia gembira kerana
kunjungannya ke Pulau Pisang amat berbaloi walaupun terdapat pelbagai perkara
misteri berlaku.

8) Serangan Waktu Malam


Sebulan kemudian, ulat bulu menyerang penduduk Kampung Maju Jaya pada waktu
malam. Ramai penduduk kampung mendapat penyakit gatal-gatal. Walaupun pelbagai
ubat dan petua diamalkan namun semuanya sia-sia. Pada waktu malam, Morgan
hilang dari balangnya. Waktu siang, Morgan balik ke balangnya semula. Ripin
mengetuai penduduk kampung datang ke rumah Qistina. Mereka menuduh Zahar
sebagai punca wabak ini kerana minatnya memelihara ulat bulu. Pak Naib sebagai
ketua kampung datang untuk.memenangkan keadaan, Dua hari kemudian,
Unit Forensik Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor datang mengeledah makmal
Zahar. Sampel-sampel ulat yang menyerang penduduk turut dibawa ke makmal
Jabatan Kesihatan. Serangan ulat makin serius tetapi rumah Zahar tidak diserang ulat.
Beberapa hari kemudian, Zahar diarahkan ke balai raya untuk memberi penjelasan
kepada penduduk kampung tentang serangan ulat bulu. Ketua kampung
mencadangkan Zahar mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Zahar
berjanji untuk mencari jalan penyelesaian.

9) Tercetus Perselisihan.
Warung kopi Pak Mail menjadi tempat orang kampung berbual tentang masalah
yang melanda kampung mereka. Ripin menghasut orang kampung menyalahkan
Zahar. Pergaduhan antara Ripin dan Zahar tercetus apabila Zahar ke warung tersebut
untuk membeli makanan. Walaupun Ketua Kampung cuba meleraikan pergaduhan
tersebut tetapi Ripin sempat mencederakan Zahar dengan pisau lipatnya sehingga
terpaksa dihantar untuk mendapatkan rawatan..

10) Merisik Khabar.


Di hospital, Mawar melawat Zahar dan menasihatkannya agar berehat supaya cepat
sembuh. Setelah keluar dari hospital, Mawar sekali lagi melawat Zahar. Mereka
berbincang tentang kehilangan Morgan pada waktu malam. Zahar menyatakan
firasatnya tentang penunggu Pulau Pisang yang marah kerana haknya diambil tetapi
andaian itu dirasionalkan oleh Mawar dengan mengatakan bahawa ulat bulu itu
membiak di luar sana.

11) Misteri Terjawab.


Zahari membuat kajian melalui internet. Dia dapati pada zaman revolusi
perindustrian, spesies rama-rama bintik terang berkurang bilangannya manakala
spesies rama-rama bintik gelap pula bertambah. Di kampung itu, kilang sawit hanya
beroperasi pada waktu malam dan kesimpulannya, asap terowong penapis kilang telah
merangsang ulat bulu membiak. Tambahan pula Morgan hanya hilang pada waktu
malam. Malam itu Zahar ke makmalnya. Morgan ada di sarangnya. Tiba-tiba cahaya
biru muncul dari sarang dan Morgan mula terbang dan hilang dalan kegelapan malam.
Kini dia insaf kerana hobinya telah menyusahkan penduduk kampung kerana
merangsang ulat bulu membiak. Selain gatal-gatal kulit, kanak-kanak yang terhidu
racun serangga yang digunakan untuk memusnahkan ulat bulu menyebabkan mereka
mendapat radang saluran pernafasan serta radang paru-paru dan selaput mukosa.
Penduduk kampung juga boleh menghidap batuk dan sesak nafas. Akibatnya klinik
kampung itu terpaksa beroperasi 24 jam.. Wartawan yang membuat liputan juga
menambah-nambah cerita untuk melariskan jualan akhbar mereka..
12) Mangsa Baharu.
Pagi itu, semasa Pak Alias dan isterinya, Mak cik Habibah ke kandang kambing,
mereka dapati enam ekor anak kambing telah mati. Terdapat benda hitam melekat
pada badan kambing-kambing tersebut. Kini penduduk kampung mulai bimbang
kerana musibah ini bukan hanya menyerang manusia tetapi juga haiwan ternakan.
Namun ada juga yang mengambil kesempatan dalam situasi ini.

13) Demam Perasaan


Dalam Program Perkampungan Ilmu, Umar, seorang muridnya memberitahu
Qistina, dia tidak menyiapkan kerja sekolah kerana menjaga kambingnya yang beranak.
Dia juga perlu menyabit rumput untuk kambing-kambingnya. Umar lebih mementingkan
kambing daripada pelajarannya. Malam itu, Qistina ke rumah Umar untuk berjumpa
ayah Umar. Adik Umar memberitahu bahawa ayah mereka masuk hospital kerana
diserang ulat bulu. Kambing-kambing mereka juga mati kerana diserang ulat bulu.
Qistina semakin bimbang tentang fenomena ini dan keselamatan Zahar. Dia terfikir
untuk menetap di Alor Gajah buat sementara waktu

14) Ke Pulau Lagi.


Zahar bermimpi tentang lembaga hitam lagi. Apabila tersedar,dia segera mandi.
Dia mahu segera memujuk Fikri mengikutnya ke Pulau Pisang. Pada mulanya, Fikri
enggan tetapi setelah dipujuk oleh sahabatnya itu, dia bersetuju. Esoknya mereka ke
Pulau Pisang. Ketibaan mereka disambut oleh juraian hujan. Setelah beberapa lama
meredah hutan, mereka terlihat beberapa ekor ulat bulu spesies Morgan sedang makan
daun-daun hijau. Dalam hatinya terdetik mungkin inilah daun yang disebut oleh
lembaga hitam dalam mimpinya. Beberapa ekor ulat di atas tanah juga menuju ke arah
daun lebar yang tidak berbatang itu.

15) Dendam Masih Membara


Ripin marah kerana daun benih sawit yang baru bercambah dimakan oleh ulat. Dia
menyalahkan Zahar atas semua musibah ini. Dia lebih bimbang kerana wang
pendahuluan daripada Tauke Ban Heng sudah diambilnya. Ripin ke rumah Zahar. Dia
mahu bersemuka dengan Zahar Akibat tidak sabar, dia menumbuk Zahar tetapi Zahar
dapat menewaskannya. Peristiwa ini segera tersebar di kampung itu. Penduduk
kampung berpendapat Zahar dan ulat-ulatnya mesti diusir. Fikri dan Zahar berbincang
untuk menyelasaikan masalah kampung tersebut. Mereka berpendapat sesuatu perlu
dilakukan terhadap Morgan..
16) Misi Baharu
Zahar termenung panjang di dalam makmalnya. Dia teringat kata-kata ibunya yang
menyuruhnya mencari jalan penyelasaian masalah tersebut. Zahar teringat kenangan
bersama ayahnya yang mempunyai kekasih lain dan menimbulkan kemarahan di
hatinya namun ibunya menasihatinya supaya tidak menderhaka pada ayahnya kerana
masalah ini ialah masalah ayah dan ibunya. Setelah pasangan ini berpisah segala
urusan keluarga dipikul oleh ibunya dengan tabah. Sebelum ke Alor Gajah, ibunya
berpesan agar Zahar memusnahkan makmalnya. Hal ini adalah untuk mengelakkan
orang kampung mengganggu keluarga mereka lagi. Dalam makmal, Zahar
menghasilkan penawar menggunakan cecair daripada badan Morgan. Penyelidikan itu
dijalankan berdasarkan kata-kata yang didengarnya dalam mimpinya dahulu.

17) Selamat Tinggal Morgan


Malam itu, Zahar tertidur di sofa. Pada pagi esoknya, dia segera melihat hasil
eksperimennya malam tadi. Dia menyemburkan sejenis cecair pada Morgan. Kepulan
asap putih dan hijau kekuningan keluar daripada badan Morgan menyebabkan ulat itu
tidak berdaya dan akhirnya mengeras. Tiba-tiba dia dikejutkan bunyi kuat seperti
sesuatu jatuh ke tanah. Dia tidak menyangka apa-apa. Apabila hendak mengunci pintu
makmal, kunci itu terlepas dari tangannya dan dia ternampak puntung rokok di tanah.
Dia kehairanan dan cuba mengaitkan bunyi benda jatuh dengan puntung rokok
tersebut.

18) Tertewas.
Zahar memberitahu Fikri bahawa dia telah mencipta penawar walaupun terpaksa
memusnahkan Morgan kerana spesiesnya akan membiak dan merangsang pembiakan
ulat bulu berbintik hitam. Zahar memberitahu bahawa daun lebar makanan Morgan di
Pulau Pisang boleh dijadikan penawar. Pokok itu perlu ditanam secara intensif di
kawasan yang sesuai, Fikri cuba mententeramkan Zahar akibat kematian, Morgannya
itu. Selepas tamat kuliah Zahar pulang untuk melihat penawar yang diciptanya. Ibunya
tiada di rumah dan dia berharap ibunya gembira mendengar berita dia sudah berjaya
menghasilkan penawar serangan ulat bulu.
Di dalam makmal, dia terkejut bahan uji kaji dan buku formulanya sudah hilang,.
Zahar menghubungi Fikri dan mereka berjumpa di kopitiam. Mereka menyangka
semua ini angkara Ripin. Walau bagaimanapun, mereka ingin menyiasat perkara ini
dahulu. Mereka mengeledah makmal itu dan menjumpai sekeping resit daripada
Syarikat Ban Hen. Zahar mahu ke gudang tapak semaian untuk menyiasat. Malam itu
mereka dapati ada bahan seperti tepung dalam gudang itu. Esoknya Zahar membuat
laporan polis tentang kehilangan bahan dan peralatan makmalnya. Polis membuat
intipan di stor tapak semaian benih cambah sawit. Seminggu kemudian, Ripin diberkas
di rumahnya berhubung sindiket penjualan benih cambah benih secara haram dan
pemalsuan dokumen urus niaga menggunakan logo Sime Darby Plantation Berhad dan
FELDA Agriculture Services Bhd. Turut diberkas ialah Jusoh dan Ahmad. Polis turut
menjumpai buku formula dan serta hasil eksperimen Zahar. Perkara ini amat
mengembirakan Zahar.

19) Pertemuan Yang Tidak Terduga.


Majlis Perbandaran Johor dan Jabatan Kesihatan Pontian menjalankan operasi
Nyah Ulat Bulu. Mereka menyembur menggunakan agen Biologi yang dicipta oleh
Zahar. Masalah ulat bulu pun selesai. Zahar menerima ucapan tahniah bertubi-tubi.
Pengurus inovasi UTM memaklumkan mereka akan mengkormersialkan ciptaan Zahar.
Ciptaannya itu dinamakan MONPUS. Sebagai penyelidik, dia akan cuba mendapatkan
perlindungan harta intelek. Dia amat bersyukur dengan kejayaan ini. Dia akan
menerima RM50,000. Seorang tokoh dari Universiti Oxford akan tiba bersama delegasi
Menteri Sains dan Inovasi untuk melancarkan produk MONPUS, harta intelek Zahar
Baharudin. Apabila tetamu masuk Qistina terkejut melihat tetamu itu ialah bekas
suaminya sehingga paluan gong mengejutkannya daripada lamunan.
Selepas itu Zahar diumumkan sebagai penerima anugerah Biasiswa Kerusi
Canselor mewakili pelajar Asia. Profesor Dr. Baharudin dijemput untuk menyampaikan
anugerah tersebut. Qistina terharu kerana hari itu, dia menyaksikan seorang ayah
menyampaikan anugerah kepada anak yang tidak dikenalinya. Naluri Zahar
mengatakan bahawa lelaki itu ialah ayahnya. Perkataan ayah terpacul daripada
mulutnya. Dr. Baharudin memeluk anaknya. Dr. Baharudin tidak berselera menjamah
hidangan kerana memikirkan anak yang dibanggakannya itu. Dia segera mencari
Zahar dan Qistina. Dia menyapa Qistina dan memohon maaf atas kesilapannya yang
lalu. Qistina diperkenalkan dengan Irdiana, isterinya. Di dalam dewan, Qistina
terdengar bisikan Dr. Baharudin yang melamarnya semula. Bisikan itu juga didengari
oleh Zahar yang yang amat berharap agar ibunya menerima lamaran tersebut.
Baginya, kecintaan terhadap ulat bulu dan dunia penyelidikan menyambung semula
ikatan yang terlerai.
TEMA
Kegigihan seorang anak muda dalam menjalankan kajian saintifik demi menyelamatkan
nyawa manusia yang diancam oleh serangan ulat bulu
PERSOALAN
1) Persoalan kepentingan ilmu dalam kehidupan :
Zahar mengaplikasikan pengetahuannya dalam bidang sains biologi untuk
mencipta penawar bagi menyelesaikan masalah yang melanda Kampung Maju
Jaya
2) Persoalan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya :
Qistina keberatan untuk melepaskan Zahar pergi ke Pulau Pisang untuk mencari
spesis ulat bulu Pus Pus kerana bimbang akan keselamatan anaknya
3) Persoalan sifat dendam yang akan merugikan diri sendiri :
Ripin yang berdendam terhadap Zahar telah ditangkap kerana menipu dalam
kerjanya
4) Persoalan pencemaran alam sekitar yang meninggalkan kesan kepada
masyarakat :
Zahar risau apabila melihat banyak pencemaran berlaku di Hutan Paya Bakau
Tanjung Piai.
5) Persoalan kepercayaan tahyul dalam kalangan masyarakat :

WATAK DAN PERWATAKAN


1) Zahar
Watak utama Anak tunggal dalam keluarga dan berumur 22 tahun Seorang
pelajar dalam jurusan Biologi di Fakulti Sains Hayat, Universiti Teknologi
Malaysia Seorang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap
serangga sejak kecil Sorang yang gigih menjalankan penyelidikan sains
berkaitan dengan kehidupan serangga.

2) Qistina
Ibu kepada Zahir Merupakan guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Sri
Yasin Seorang guru yang berdedikasi terhadap kerjayanya

3) Professor Dr. Baharuddin


Ayah kepada Zahar dan bekas suami kepada Qistina Bekerja sebagai
seorang saintis di Universiti Oxford, London Berhijrah ke luar dari Malaysia
selepas berpisah dengan Qistina Seorang yang tidak bertanggungjawab
kerana telah meninggalkan anak dan isterinya tanpa sebarang cerita
4) Mawar
Rakan sekuliah dan sekampung kepada Zahar Anak sulung daripada lima
adik beradik Seorang yang mengambil berat terhadap Zahar dan memberikan
inspirasi kepada Zahar
5) Munirah
Rakan sekuliah Zahar di universiti Seorang yang cemburu melihat
perhubungan baik antara Mawar dan Zahar Seorang yang optimistik dan
suka akan cabaran

PLOT
Permulaan
Zahar dan Qistina telah diperkenalkan oleh pengarang. Zahar merupakan penuntut di
dalam bidang Biologi di Fakulti Sains Hayat, Universiti Teknologi Malaysia. Dia juga
mempunyai minat yang mendalam terhadap serangga khususnya spesies ulat bulu dan
rama-rama
Perkembangan
Salah satu spesies ulat bulu yang dibela Zahar menjadi lemah dan beliau telah pergi ke
Taman Paya Bakau Tanjung Piai untuk mencari pengganti tetapi tidak jumpa
sehinggalah dia tiba di Pulau Pisang dimana Zahar dan Fikri menemui satu spesies ulat
bulu yang boleh diklonkan bersama Pus Pus
Perumitan
Satu serangan daripada beribu ulat bulu telah menyerang Kampung Maju Jaya. Ripin
dan rakan-rakanya menuduh Zahar yang menyebabkan serangan tersebut. Ibu Zahar
telah bertindak untuk memanggil Jabatan Kesihatan bagi menyiasat kejadian yang
berlaku.

Klimaks
Formula ciptaan Zahar hilang bersama bahan ujikajinya daripada makmal. Selepas
membuat kaji selidik, Ripin merupakan individu yang bertanggungjawab di atas perkara
tersebut dan Zahar telah membuat laporan polis
Peleraian
Zahar berjaya mencipta formula yang bernama MONPUS untuk menghapuskna ulat
bulu yang menyerang Kampung Maju Jaya. Ripin telah ditangkap oleh polis kerana
melakukan perniagaan anak benih sawi secara haram. Zahar mendapat pengiktirafan
sehingga ke Universiti Oxford dimana bapanya yang menyampaikan anugerah tersebut
dan kemudian melamar kembali ibunya Qistina.

Teknik Plot
 Teknik imbas kembali : Zahar teringat akan saat perkenalannya dengan Mawar
seminggu selepas mereka memulakan kuliah di Universiti Teknologi Malaysia
 Teknik dialog : Zahar yang berbual dengan Malcom tentang pokok bakau
sewaktu mereka ke Taman Paya Bakau di Tanjung Piai
 Teknik saspens : Pembaca tertanya-tanya tentang keadaan Zahar selepas
terkena pisau lipat yang dilibas oleh Ripin
 Teknik pemerian : Pengarang memerihalkan Zahar yang suka bermain dengan
serangga sejak kecil lagi.

LATAR
Latar masa
Waktu Pagi : Qistina dihantar ke sekolah oleh anaknya Zahar kerana keretanya
rosak
Waktu Petang : Zahar telah ke balai polis untuk disoal siasat
Waktu Malam : Semalaman Zahar menghadap baha eksperimennya tetapi tidak
membuahkan hasil
Waktu Subuh : Penduduk kampung begerak ke tempat kerja di ladang getah ,
kelapa sawit dan kebuh
Latar tempat
Makmal Zahar : tempat dimana Zahar membuat ujikaji berkaitan spesies ulat bulu
dan rama-rama
Tanjung Piai : Zahar dan Fikri mencari spesies baharu ulat bulu untuk diklonkan
bersama spesies Pus Pus
Pulau Pisang : Zahar menemui satu spesies ulat bulu Monarch yang berpotensi
untuk diklonkan
Warung Kopi Pak Mail : Lokasi pergaduhan antara Ripin dan Zahar sehingga Zahar
cedera dan dimasukkan ke hospital
Universiti Teknologi Malaysia : Zahar menghadiri kuliah sebagai penuntut di Fakulti
Sains Hayat
Latar masyarakat
Masyarakat yang mementingkan ilmu pengetahuan : Dr. Baharuddin, Qistina dan
Zahar terlibat dalam bidang akademik dan menjalankan tugas masing-masing untuk
kepentingan masyarakat umum
Masyarakat yang terdiri daripada penuntut universiti : Zahar, Mawar, Fikri dan
Malcom merupakan penuntut dalam bidang Sains Hayat di Universiti Teknologi
Malaysia
Masyarakat yang mempunyai sifat dendam : Ripin yang berdendam dengan Zahar
sentiasa membuat provokasi dan khianat kepada Zahar

GAYA BAHASA
Peribahasa : Bagai ikan pulang ke lubuk, seperti mencurah air ke daun keladi
Simile : Cinta seperti kerja, amat meletihkan. Tiba-tiba perasaan Fikri seperti
dihenpap beban yang berat
Inversi : Beberapa minit kemudian, mereka suda memasuki perkarangan sekolah
Metafora : tiari kehidupan, lautan masa
Personafikasi : Burung-burung berkicauan menyambut kedatangan pagi

NILAI
Bijaksana : Zahar yang tekun mengkaji dan menambah ilmu pengtahuan dalam
minatnya terhadap serangga
Keberanian : Zahar dan rakan-rakanya berani untuk menjelajah beberapa kawasan
untuk mencari spesies serangga demi kajian
Kasih Sayang : Qistina bimbang terhadap keselamatan anaknya Zahar selepas
Zahar dituduh orang kampung kerana menyebabkan serangan ulat bulu ke atas
penduduk kampung
Tanggungjawab : Zahar bersimpati terhadap nasib penduduk Kampung Maju Jaya
dan berusaha mencari penawar kepada penyakit tersebut
Setiakawan : Fikri sentiasa bersama Zahar dalam melakukan kajian dan menjelajah
mencari spesies serangga di mana-mana
PENGAJARAN
 Kita hendaklah gigih dalam berusaha mencari kejayaan untuk menyelesaikan
sesuatu masalah seperti Zahar yang berjaya mendapatkan formula untuk
melawan serangan ulat bulu kepada orang awam
 Kita seharusnya menyayangi ibu dan bapa kita kerana mereka banyak
berjasa kepada kita ibarat Zaahar yang menyayangi ibunya walaupun tanpa
kehadiran bapanya setelah mereka bercerai
 Kita sewajarnya mengelak daripada melakukan pertuduhan melulu terhadap
seseorang tanpa usul periksa dan bukti. Contohnya penduduk Kampung Maju
Jaya yang mempercayai Ripin bahawa Zahar adalah punca serangan ulat
bulu terhadap penduduk kampung

Koleksi Soalan dan Jawapan


1) Setiap novel mempunyai pengajaran yang boleh dicontohi oleh pembaca.
Jelaskan satu pengajaran bagi setiap latar tempat yang diberikan beserta contoh
peristiwa yang sesuai.

Berdasarkan novel yang saya pelajari iaitu novel Jejak Monpus karya Zulaiha
Paikon, banyak pengajaran yang diperoleh bagi setiap latar tempat. Salah satu di
Rumah Zahar, kita hendaklah rajin berusaha untuk menyelesaikan sesuatu
masalah di mana peristiwa Zahar rajin menjalankan kajian berkaitan spesies ulat
bulu di rumahnya. Selain itu, di Pulau Pisang, kita mestilah gigih menjalankan
kajian untuk mencari penawar di mana peristiwa Zahar gigih mencari penawar
hingga ke Pulau Pisang bagi mengubati pus-pusnya semakin tenat. Akhir sekali,
latar tempat yang terdapat dalam novel ini adalah Kem Kaizen dimana
pengajarannya kita hendaklah berani menyahut cabaran. Zahar dan rakan-
rakannya berani menyertai kembara ilmu sehingga Zahar cedera jatuh ke dalam
jurang di Kem Kaizen.

2) Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tiga latar masyarakat yang terdapat
dalam novel tersebut

Saya telah mengkaji novel Jejak Monpus karya Zulaiha Paikon, pelbagai latar
masyarakat yang terdapat dalam novel tersebut. Antaranya, masyarakat yang
mementingkan ilmu pengetahuan. Zahar yang sering menjalankan eksperimen
untuk kepentingan masyarakat umum. Selain itu, masyarakat yang suka
berdendam di mana Ripin berdendam dengan Zahar dan sentiasa mencari jalan
untuk berbuat provokasi dan khianat terhadap Zahar. Akhir sekali, masyarakat
yang berpendidikan tinggi. Zahar, Mawar, Fikri, Malcom belajar dalam bidang
Sains hayat di Universiti Teknologi Malaysia.

3) Nyatakan tiga perwatakan watak utama yang anda kagumi dalam novel yang
anda kaji

Berdasarkan novel yang saya kaji iaitu novel Jejak Monpus karya Zulaiha
Paikon, antara perwatakan watak utama yang saya kagumi adalah kegigihan
Zahar. Beliau gigih menimba ilmu pengetahuan dan membuat kajian demi
kemaslahatan masyarakat umum. Selain itu, perwatakan Zahar sebagai seorang
pecinta alam semula jadi adalah mengkagumkan apabila dia berjaya membuat
penemuan dan menghasilkan racun serangga yang diberi nama MONPUS untuk
membunuh ulat bulu yang berbahaya yang menyarang penduduk kampung,
tanaman dan binatang ternakan. Akhir sekali, perwatakan Zahar yang mematuhi
suruhan agama dan tidak suka berfoya-foya juga wajar diconothi kerana Zahar
menghabiskan masa terluangnya dengan bersukan atau ke perpustakaan untuk
membaca buku.

4) Nyatakan tiga peristiwa yang dapat dikaitkan dengan nilai bertanggungjawab


dalam sebuah novel yang telah anda pelajari

Novel Jejak Monpus karya Zulaiha Paikon merupakan novel yang telah saya
pelajari. Antara peristiwa yang dapat dikaitkan nilai tanggungjawab adalah
apabila Qistina mengajar anak-anak muridnya dengan penuh rasa
tanggungjawab. Selain itu, peristiwa Zahar berusaha mencipta penawar untuk
mengatasi masalah serangan ulat bulu adalah satu tanggungjawab sebagai
penduduk kampung. Akhir sekali, peristiwa ketua kampung, Pak Naib yang
bertanggungjawab terhadap masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung.

5) Berdasarkan novel yang anda kaji, nyatakan tiga nilai murni yang terdapat dalam
novel tersebut

Berdasarkan novel yang saya pelajari iaitu Novel Jejak Monpus karya Zulaiha
Paikon, terdapat banyak nilai murni yang diperoleh. Antaranya, nilai keberanian
yang ditunjukkan oleh Zahar dan rakan-rakannya kerana berani menjelajah
pelbagai tempat untuk mencari spesies ulat bulu. Selain itu, nilai kesabaran juga
yang ditunjukkan oleh Zahar ketika mencari formula untuk menyelamatkan
penduduk kampungnya daripada serangan ulat bulu. Akhir sekali, nilai berhemah
tinggi yang ditunjukkan oleh Qistina apabila tidak menyimpan dendam terhadap
Baharuddin kerana menceraikannya.

Anda mungkin juga menyukai