Anda di halaman 1dari 3

APAKAH KITA TELAH MEMAHAMI DAN MENIKMATI KEMERDEKAAN YANG SEBENAR?

Sempena Aidil Fithri yang akan disambut oleh umat Islam dalam beberapa hari lagi, dan kita di Malaysia pula akan menyambut Hari Kemerdekaan ke 54, marilah sama-sama kita merenung hakikat kemerdekaan yang Allah SWT kehendaki setelah kita berjuang sebulan penuh dalam bulan Ramadhan, di masa yang sama menilai kemerdekaan negara kita yang akan disambut, sama ada hakikat kemerdekaan yang sebenar telah dinikmati oleh semua rakyat Malaysia hari ini. Perenungan kali ini saya memetik tulisan Syeikh Abdul Hamid Jasim al Bilali telah mengungkapkan pengertian kemerdekaan sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Taimiyah, dalam bukunya Al Bayan Fii Madkhalisy Syaitan. Ibn Taimiyah menjelaskan bahawa Kemerdekaan adalah kemerdekaan qalbu, dan peribadatan adalah peribadatan qalbu, sebagaimana juga kekayaan adalah kekayaan jiwa Rasulullah SAW telah bersabda: Kekayaan itu bukanlah harta benda yang banyak, namun kekayaan itu adalah kekayaan jiwa Syaikhani) Apabila seseorang telah mencapai peringkat pengendalian jiwa ke arah apa yang diperintahkan Allah SWT dan berjaya melawan kemahuan hawa nafsu terhadap apa yang dilarang oleh-Nya, bererti dia telah menjadi tuan kepada hawa nafsunya. Sehingga merupakan suatu kewajipan seorang hamba mentaati tuannya. Inilah pengertian kemerdekaan yang sebenar. Para pejuang Islam terdahulu sangat memahami erti kemerdekaan. Meskipun mereka dipenjarakan, mereka masih menganggap penjara itu nikmat, pembunuhan terhadapnya adalah syahid, pengusiran ke negara lain adalah melancong dan sebagainya. Ini disebabkan oleh mereka telah berjaya memerdekakan hati mereka dari tunduk kepada hawa nafsu dan kemahuan syaitan. Dan tiada siapapun yang berkemampuan (Diriwayatkan oleh

untuk memenjarakan hati kerana ianya bebas memilih dan menentukan corak kehidupan. Benar wahai saudaraku, anda merdeka walaupun anda berada di belakang jeriji-jeriji penjara. Benar wahai saudaraku, anda mereka meskipun kedua pergelangan tanganmu penuh dengan ikatan-ikatan. Walaupun kedua tangan dan kaki anda diikat, namun kemerdekaan tetap abadi dalam diri anda, sebab mereka tidak boleh mengikat hati anda. Biarkan saja mereka, tipu daya manusia mana yang dapat membahayakan? Adakah kita setelah melalui latihan intensif sebulan dalam bulan Ramadhan al Mubarak kita mula merasai terungkai rantai hawa nafsu yang membelenggu kita dan kita telah terbebas dari penjara hawa nafsu? Di tahap individu, marilah kita menilai keadaan kita setelah melalui madrasah atau tamrin Ramadhan. Bagaimanakah suasana hati kita? Syeikh Majdi al Hilali telah mengatakan bahawa peperangan yang paling sengit adalah di dalam hati manusia. Peperangan ini adalah antara iman dengan hawa nafsu. Sebagaimana dalam peperangan yang biasa, yang tewas akan diperhambakan oleh yang menang. Jika iman kita tewas dalam peperangan ini, maka diri kita akan dirantai dan dipenjarakan oleh hawa nafsu kita dan kita akan menjadi hamba nafsu. Hinalah hidup kita dan kita akan berakhir dalam neraka Jahannam. Sebaliknya jika iman kita yang menang, makan iman akan menguasai nafsu dan mengekangnya. Maka merdeka dan bahagialah mereka yang mana dirinya dikendalikan oleh imannya dan nafsunya telah berjaya dikekang. Inilah kemenangan dan kemenangan yang sebenar. Tamrin Ramadhan adalah bantuan Allah SWT Yang Maha Pengasih dalam membantu mencapai kemenangan dan KEMERDEKAAN dari perhambaan kepada hawa nafsu. Sekiranya kita telah ikhlas melaksanakan sebanyak mungkin aktiviti yang Allah SWT tentukan di sepanjang Ramadhan, khususnya puasa, Al Quran dan Qiyamulail,

insyaAllah Allah SWT akan kurniakan kemenangan dan kemerdekaan dan kita akan mempunyai bekalan untuk mampu, sekurang-kurangnya, bertahan agar tidak diperhambakan oleh hawa nafsu setelah Ramadhan meninggalkan kita. Di tahap masyarakat dan negara, kita dapat membuat pernilaian sendiri, sama ada majoriti masyarakat kita sudah merdeka atau masih dirantai dan dipenjara oleh hawa nafsu. Kita akan melihat nanti bagaimana majoriti masyarakat kita akan menyambut Aidil Fithri dengan menjamu nafsu sehingga kita lihat dengan penuh kesedihan bagaimana mereka dirantai oleh nafsu dan mereka merasakan bahawa bahagia tetapi hanyalah bahagianya nafsu mereka, sebagaimana bahagianya lembu dan dubuk. Dalam istilah yang digunakan para ulama nafs bahimi dan nafs subui. Lihatlah nanti bagaimana masyarakat dan pemimpin masyarakat menyambut kemerdekaan dengan nafsu syahwah bukan dengan keimanan. Sudah merdekakah kita jika jiwa kita masih dirantai dan dipenjara? Ramadhan yang dilalui tidak membawa sebarang kesan ruhaniyyah yang membawa ke stesen jiwa yang lebih tinggi. Meningkatkah taqwa bila Ramadhan berakhir kita masih terpenjara di tahap nafsu amarah yang buruk dan jahat. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan Ramadhan yang kami lalui sia-sia sahaja tanpa memberikan kesan mendalam kepada iman dan taqwa kami. Ya Allah, ampunilah dosa kami, tingkatkanlah ketaqwaan kami, sucikanlah hati kami, merdekakan jiwa-jiwa kami dan bebaskan kami dari belenggu dan penjara nafsu. Ya Allah kurniakanlah kami kemerdekaan jiwa yang sebenarnya dan jadikanlah kami hamba-hamba yang benar-benar mengenali-Mu, mentaati-Mu dan Mencintai-Mu. Ya Allah, jadilkan baki Ramadhan, peluang-peluang untuk kami menguatkan lagi hubungan kami dengan-Mu, ya Arhamar Rohimin. Perkenankan doa kami ya Allah, perkenalkanlah!

Anda mungkin juga menyukai