Anda di halaman 1dari 7

Jangan buang tangkapan pertama

Oleh Nuri Angkasa

ADA petua yang mengatakan - rezeki pertama yang didapati pada setiap kali aktiviti
memancing sangat berkat terutama kepada kaki pancing sama ada di laut mahu pun
di darat.

Petua kali ini memfokuskan kepada pemancing di laut. Justeru, ingatlah apabila kita
mendapat ikan pertama sebaik saja mulakan aktiviti memancing maka itu adalah
rezeki dari Allah dan tidak harus dibuang semula ke laut jika ikan itu sangat kecil
atau spesies ikan yang tidak berguna.

Pendapat dan pandangan beberapa orang nelayan veteran yang ditemui mengakui
bahawa rezeki pertama itu jika dibuang semula ke laut atau tasik mahu pun sungai
ertinya kita tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah sedangkan kita mencari rezeki
lumayan buat keluarga.

Pernah berlaku nelayan pulang dengan tangan kosong kerana dikatakan membuang
ikan pertama yang tersangat kecil yang dinaikkan dan selepas itu beliau tidak dapat
seekor ikan pun hingga pulang.

“Bagaimanapun ini tidak harus diletakkan sepenuh kepercayaan, kerana rezeki


datangnya dari Allah. Justeru, Allah yang menentukan sama ada kita bernasib baik
atau sebaliknya selepas memperoleh tangkapan pertama itu.

“Cuma logiknya rezeki yang diberi itu kita kena mensyukuri dan tidak membuangnya
semula,” kata Tok Ayub seorang nelayan veteran dari Kesang Laut, Melaka.

Pernah berlaku peristiwa begini kepada seorang pemancing laut di perairan Pulau
Jarak yang mendakwa beliau tidak memperoleh seekor ikan pun sepanjang
ekspedisi tiga hari dua malam kerana membuang anak ikan kerapu pada tangkapan
pertama.

Namun beliau tidak langsung mengaitkan bahawa perkara itu menyebabkan beliau
tidak bernasib baik. Cuma ada kemungkinan hari itu bukan harinya.

Apa pun bagi Pak Nuri, rezeki yang datang dari Allah adalah pasti dan sebaliknya
cuma terpanggil mengisi logik dan kebenaran yang nyata bahawa sebarang rezeki
yang diberi Allah sama ada baik atau tidak kita kena menerimanya dengan ikhlas.

Bagi Pak Nuri, langkah terbaik dan mensyukuri nikmat rezeki yang diberi Allah walau
sekecil mana sekali pun kita kena menerima dengan ikhlas dan tidak membuangnya
semula ke laut bagi pemancing yang memancing di laut malah adalah baik sebarang
tangkapan pertama itu diambil sebagai rezeki berkat dari Allah.
Lepaskan ikan yang tidak digemari
Oleh Nuri Angkasa

SETIAP pemancing perlu meletakkan satu tekad dalam hati bahawa segala rezeki
adalah ketentuan Allah. Setiap apa yang kita peroleh setiap kali keluar memancing
adalah atas kehendak-Nya jua. Sebab itu jangan kita persalahkan sesiapa apabila
ada sesetengah kumpulan pulang tangan kosong walaupun keluar beberapa hari
memancing.

Yang pasti akan menjadi mangsa cemuhan ialah tekong, rakan sekumpulan,
keadaan laut serta segala sebab yang boleh dikaitkan. Sehingga segala umpan
yang dibawa juga dijadikan sebab atau dipersalahkan apabila kita tidak mendapat
tangkapan seperti yang dihajati.

Kali ini Pak Nuri ingin berkongsi pengalaman dengan pemancing daripada
pengalaman orang lama yang menjadikan laut sebagai sumber rezeki dan sentiasa
bersyukur dengan segala ketentuan Allah.

Ada sesetengah pemancing tidak bersyukur apabila mendapat ikan kecil atau
spesies ikan yang tidak dikehendaki. Mulut mereka sentiasa bercakap celupar atau
memaki hamun. Malah lebih buruk lagi, mereka menghempas ikan berkenaan ke
lantai bot atau mencederakan ikan berkenaan kononnya kerana rasa kecewa atau
marah.

Ini adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya wujud di kalangan pemancing. Ini
kerana apa yang kita peroleh ketika memancing adalah sudah ditentukan Allah.
Jangan kita pertikaikan kehendak-Nya. Sebaliknya, lebih banyak bersabar dan
bersyukur walaupun hanya dapat menaikkan seekor ikan kecil dan tidak mencapai
hajat seseorang.

Allah sentiasa menguji hamba-Nya sama ada bersyukur dengan pemberian-Nya dan
tidak meletakkan diri masing-masing lebih besar daripada kuasa Yang Maha Esa.

Selain itu, orang tua-tua juga sentiasa mengingatkan kepada pemancing sekiranya
ikan yang kita pancing tidak sesuai dengan kehendak kita dan tidak dikehendaki
cepat-cepat lepaskan semula ke laut supaya ia kembali kepada keluarga dan habitat
asal.

Pak Nuri harap beberapa teguran orang tua-tua dapat kita manfaatkan bersama
supaya sentiasa ingat bahawa mati, rezeki dan jodoh pertuan adalah kuasa Allah.
Elak terlalu kenyang, jangan terlalu lapar
Oleh Nuri Angkasa

BIASANYA kaki pancing (sebahagian besar) akan mengunjungi warung atau gerai
untuk mengisi perut dengan makanan yang agak berat seperti nasi lemak, nasi
dagang atau apa saja makanan yang mengenyangkan untuk mengelakkan lapar
ketika berada dalam bot sebelum dapat menjamah nasi yang dimasak tekong dalam
bot.

Amalan ini perlu dielakkan supaya kita tidak begitu ghairah mengisi perut terlalu
awal sebelum melakukan aktiviti memancing. Kita harus berada dalam keadaan
tidak terlalu kenyang dan tidak juga dalam keadaan terlalu lapar. Kesan kenyang
ialah kita pasti berdepan rasa mengantuk, letih malah sukar bergerak pantas. Jika
lapar pula kita pasti tidak selesa malah akan sentiasa mencari makanan.

Bagi nelayan atau pengail veteran, sarapan yang diambil awal pagi sebelum turun
ke laut adalah cukup dengan sekadar mengambil secawan kopi-o panas dengan
sekeping roti dibantu dengan dua biji telur ayam kampung rebus atau separuh
masak.

Justeru bagi Pak Nuri petua amalan mengambil makanan sederhana sebagai
sarapan adalah terbaik daripada mengisi makanan berat sebelum melakukan aktiviti
lasak. Kesederhanaan ini juga dapat kita rasakan sendiri baik buruknya. Cuma kita
perlu berhati-hati supaya sarapan tidak diambil terlalu lewat kerana boleh
mengakibatkan perut masuk angin dan keselesaan untuk memancing akhirnya
hilang.

Namun dalam apa juga usaha untuk mendapatkan keselesaan memancing, kita
harus berada dalam keadaan sihat dan tidak banyak membawa masalah dalam bot.
Perut juga berada pada tahap sederhana dan tidak harus menumpu sepenuh masa
pada makanan.

Bertitik-tolak dari situ, Pak Nuri sekali lagi mengingatkan kepada semua kaki pancing
supaya bersarapan awal pagi dengan mengambil makanan ringan sebelum turun
memancing, dan amalkan ini sebagai petua. Insya-Allah, kita akan sentiasa berada
dalam keadaan sihat dan selesa sepanjang berada di laut sekali gus menghindarkan
anda mabuk dan muntah.

Sentiasa baca surah al-Fatihah


Oleh Nuri Angkasa

AMALAN yang baik itu pastinya mendapat ganjaran Allah. itulah janji Allah kepada
hamba-Nya dan hanya kepada mereka yang mahu mengerti. Justeru, atas
keyakinan ini terdorong untuk melakukan beberapa amalan baik oleh kumpulan
pemancing dengan berkumpul sebelum memulakan ekspedisi atau pemburuan
kemudian membaca doa dan mohon kesejahteraan serta keselamatan Allah di
samping mohon rezeki dan keberkatan yang berkekalan dalam setiap aktiviti
mereka.

Usaha baik ini patut dilakukan oleh semua kumpulan memancing sebelum turun ke
laut atau ke mana saja pergerakan yang hendak dituju. Namun, yang tidak kurang
pentingnya ialah sikap jujur dan ikhlas yang mesti ada pada setiap orang.

Melakukan amalan baik ini antaranya membaca surah al-Fatihah dan mengucapkan
selawat memuji Nabi Muhammad. Selain daripada mendapat pahala, ganjaran
berkat atas perjalanan itu moga-moga Allah gandakan. Begitu mudahnya kita diberi
Allah untuk mendapat pahala. Cuma kita saja yang melupakan pemberian baik yang
dijanjikan Allah untuk hamba-Nya.

Sehubungan itu, mana-mana individu atau kumpulan pemancing yang hendak


memulakan aktiviti sewajarnya mengamalkan amalan baik sebelum turun
memancing. Cuma apa yang perlu dititik beratkan ialah supaya amalan ini dapat
digunakan secara lebih menyeluruh malah jadikan satu rutin dan petua.

Bagi Pak Nuri, apa juga kebaikan yang tidak digunakan dengan paksaan adalah
satu amalan paling dituntut oleh Islam dan bukan atas paksaan.

Daripada pengalaman beberapa orang nelayan mengakui bahawa surah al-Fatihah


jika dibaca dengan penuh khusyuk dan mengisi doa dalamnya pastinya kita akan
dapat merasakan bahawa kita bagaikan berada dalam ketenangan, tenteram dan
damai atau merasakan bahawa kita terlepas daripada ikatan sebarang kesalahan
kepada Allah.

Jika perubahan ini belum dapat kita rasakan kita maka masih belum berada pada
tahap yang diterima Allah. Tetapi Allah sentiasa melihat akan kesungguhan kita jika
kita benar-benar beriman kepada-Nya.

Dalam erti kata lain, kita sebagai hamba Allah yang serba kekurangan dan
kelemahan perlu sentiasa meminta kepada Allah pada setiap waktu dan saat supaya
Dia memberikan kekuatan terutama ketika bakal berdepan dengan keganasan laut
seperti ribut dan gelombang besar. Justeru, bacalah surah al-Fatihah berulang kali
dan berdoa serta bermohon untuk kebaikan, kerana Allah lebih memahami sesuatu
yang anda tidak faham.

Elak berjalan seorang diri waktu malam


SETIAP pemancing perlu memastikan keselamatan apabila berjalan malam seorang
diri untuk ke lokasi memancing di tasik, sungai, paya atau lombong tinggal yang jauh
dari perkampungan. Perlu diingatkan bahawa setiap perjalanan itu diintai oleh
beberapa makhluk lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Justeru, apabila memulakan perjalanan yang walaupun tidak jauh lokasinya jika kita
lupa membaca ‘Bismillah’ sebelum mula melangkah meninggalkan rumah untuk
berserah kepada Allah bagi mengelak apa juga gangguan.

Kadang-kadang deria rasa kita akan merasakan sesuatu yang mengiringi kita
berjalan. Kita boleh merasa bagaikan ada ‘sesuatu’mengekori di belakang atau
terasa ada sentuhan tangan atau dengusan nafas yang agak kuat dari arah sebelah
kiri dan kanan. Kadang-kala ranting patah seperti dipijak.

Menyedari hakikat ini, anda ( kaki pancing) perlu menguatkan semangat jika
menyedari anda sedang diperhatikan makhluk halus sama ada dari kalangan yang
baik atau jahat.

Anda dinasihatkan supaya membaca ayat suci al-Quran terutama ayat Qursi yang
terlalu banyak hikmatnya. Baca berulang kali sehingga anda dapat merasakan
bahawa makhluk yang mengikuti anda sudah menghilangkan diri.

Pada hemat Pak Nuri adalah lebih baik anda sentiasa berteman walaupun seorang
rakan pancing lain untuk turun memancing walaupun lokasinya dekat dan dapat
dilihat cahaya lampu perkampungan. Kita tidak mengetahui bahawa di luar rumah
yang dianggap selamat rupa-rupanya ada yang ‘menunggu’ untuk diajak berteman.

Walaupun dalam apa juga ikhtiar untuk mengelak daripada gangguan makhluk halus
anda perlu mendekati Allah dengan membaca ayat suci al-Quran dan sentiasa ingat
bahawa berjalan seorang itu adalah perjalanan mati, berdua itu berteman, apabila
bertiga berwaspadalah kerana antara dua ada satu yang bukan teman.

Memesan bantutkan rezeki


PALING ditakuti setiap nelayan veteran sebelum turun ke laut ialah adanya pesanan
daripada ahli keluarga, rakan atau orang ramai mahupun siapa saja yang meminta
ikan untuk dirinya atau paling kurang pesanan bagi mereka yang sedang hamil.

Menurut kepercayaan nelayan veteran, adanya pesanan bakal meletakkan mereka


berdepan dengan kehampaan. Malah ikan yang dipesan tidak diperoleh sedangkan
ikan berkenaan bukan spesies yang sukar didapati. Peliknya, jika ada pesanan yang
dibuat, ikan berkenaan bagaikan tahu untuk melarikan diri.

Percaya atau tidak, satu pengakuan ikhlas dibuat seorang nelayan veteran yang
dipanggil Pak Kasiran, 75, yang kini masih turun ke laut di pesisiran pantai Sungai
Muar, Johor. Walaupun sudah tidak sehebat dulu, namun beliau masih meneruskan
kerja sebagai pelaut untuk menghabiskan sisa hidup yang cuma tinggal di hujung
senja.

Menurut Pak Kasiran, dia pernah beberapa kali hampa dan pulang dengan tangan
kosong kerana membawa pesanan sebelum turun ke laut.

Justeru, pengalaman yang dilaluinya itu beliau akan menyebabkan melarikan diri,
atau tidak mahu memberi tahu sesiapa pun sebelum turun ke laut malah atas
kepercayaan yang diamalkan selepas itu rezeki bertambah baik, lalu ini dijadikan
petua yang terus diamalkan hingga sekarang.

Atas apa juga kepercayaan, Pak Nuri terpanggil untuk berkongsi beberapa
pengalaman nelayan veteran dan nelayan moden mahupun pemancing yang
melahirkan reaksi berbeza mengikut peredaran zaman atau suasana perubahan
yang berlaku sekarang ini banyak mengubah kepercayaan itu.

Namun daripada apa yang dapat diterjemahkan untuk mengelak menerima pesan
orang ramai dengan hajat mahukan ikan kerapu bara, ebek, jenahak atau ikan
merah sebelum turun ke laut adalah langkah terbaik kerana kita tidak terikat dengan
janji atau harapan yang dibebankan pada kita.

Sekurang-kurangnya kita tidak dipengaruhi oleh pesanan berkenaan, kerana untuk


mendapatkan rezeki di laut bukan satu jaminan yang mesti tertunai, kerana
semuanya ini datang dari Allah. Malah diharapkan orang ramai harus memahami
rezeki yang bakal diraih oleh nelayan atau pemancing yang tidak harus dipesan
sebelum melihat rezeki depan mata.

Maka petua pesan memesan begini harus dihentikan.

Bersenam tingkatkan kesihatan


Oleh Nuri Angkasa

RAMAI orang bertanya terutama kalangan kaki pancing, bila Pak Nuri hendak
bersara daripada aktiviti memancing kerana usia Pak Nuri sudah mencecah 75
tahun dan malam esok (17 Mei) akan menyambut Majlis Jubli Emas 50 tahun
perkahwinan.

Terus terang Pak Nuri katakan melalui Petua Pak Nuri bahawa belum ada noktah
untuk berpisah dengan laut atau ringkasnya hendak menggantung batang joran. Ini
kerana laut adalah daerah paling mencabar dan banyak mendidik manusia jadi
berani, tabah serta berjaya mengekalkan tahap kesihatan yang lebih baik jika
dibandingkan di darat yang sentiasa sibuk.

Laut mengajar kita menjadi seorang yang penyabar dan bertindak pantas sambil
sentiasa berwaspada setiap masa. Kerana itu memancing di laut adalah satu aktiviti
yang banyak melakukan senaman dan memberi kesihatan badan atau secara tidak
langsung menggerakkan minda kita terus berkerja.

Usia 50 tahun perkahwinan Pak Nuri bukan satu masa yang pendek. Namun
Alhamdulillah, kami dapat bertahan dalam suasana harmoni walaupun sering
meninggalkan rumah turun memancing di laut.

Persefahaman antara suami dan isteri yang berkait rapat dengan kehendak masing-
masing perlu ada sebelum diangkat menjadi pasangan suami isteri. Sesudah itu,
berilah keyakinan bahawa suami (anda) benar-benar pergi memancing di laut
dengan membawa pulang ikan yang ditangkap hasil titik peluh sendiri dan bukan
ikan yang dibeli di pasar.

Memberi keyakinan kepada isteri amat penting. Ini kerana keyakinan isteri adalah
doa paling mujarab dan diperkenankan Allah.

Apa yang hendak Pak Nuri perkataan kali ini ialah senaman ringan ketika berada
dalam bot. Senaman ini perlu dilakukan oleh kaki pancing sama ada ketika
melakukan ekspedisi memancing dalam tempoh lama atau pun singkat di laut.

Senaman individu dilakukan sebaik saja selepas anda bangun tidur pada awal pagi
dengan menyedut udara laut yang masih segar. Lakukan gerak badan hingga dapat
mengeluarkan peluh dan berehat beberapa ketika selepas itu.

Air suam atau air masak mati perlu diminum dengan banyak sambil mengambil
sarapan ringan. Insya-Allah tenaga baru, anda dapat bertahan lama ketika berada di
laut. Ini sekali gus akan membolehkan anda merasakan nikmati aktiviti memancing
dengan penuh rasa selesa.

Justeru, jadikan senaman ini sebagai petua untuk menjaga kesihatan yang
berterusan.

Anda mungkin juga menyukai