Anda di halaman 1dari 7

Kawal tekanan perasaan

Oleh Nuri Angkasa

KETIKA memancing di laut pemancing sering kali didatangi rasa tertekan mungkin kumpulan
mereka tidak mendapat ikan atau individu terbabit kurang bernasib baik. Sedangkan dalam
masa yang sama rakan pancing yang lain berjaya mendaratkan satu demi satu ikan. Rasa
tertekan di kalangan ahli yang kurang bernasib baik itu tambah menebal dan jika tidak dapat
dikawal keadaan akan menjadi lebih buruk.

Pernah berlaku dalam satu kumpulan, seorang yang kurang bernasib baik mengutuk dirinya
sendiri lantas menuduh rakannya lain ada menyimpan hantu laut atau ilmu hitam yang boleh
menjinakkan ikan di laut.

Lantas beliau menggantung joran pancing, tidak lagi berminat untuk meneruskan aktiviti
memancing, namun ekspedisi tiga hari dua malam itu mencatat satu pengajaran baru bagi
insan pemancing yang tidak pernah bersyukur atas nikmat yang Allah berikan itu apabila
seorang lagi rakan pancing dalam kumpulan itu yang juga menerima nasib sepertinya, tapi
rakan itu terus bersabar dan dengan tenang menanti ikan meragut umpan yang dilabuhkan
itu.

Akhirnya berkat sabar sambil berusaha, beliau paling banyak meraih rezeki daripada rakan
yang lain. Menyedari bahawa tekanan perasaan yang lahir daripada perasaan cemburu
terhadap rezeki kawan-kawan hingga sanggup menuduh perkara yang bukan-bukan hingga
membuatkan dirinya sendiri jadi mangsa dari tekanan dirinya sendiri.

Jika tuduh menuduh itu hanya untuk gurauan ketika memancing tidak mengapa, tetapi jika
selepas pulang ke tanah besar perasaan marah terus berkubu dalam hati ini akan menjadi
lebih buruk dan ini boleh menimbulkan perkelahian.

Justeru atas kesilapan itu beliau akhirnya sedar bahawa petua paling baik ialah sentiasa
bersabar dan bersyukur walau cuma mendapat seekor anak ikan gelama. Allah tidak pernah
zalim terhadap hambanya.

Selalu tukar umpan mampu gamit ikan


Oleh Nuri Angkasa

Pak Jantan dan Pak Dolmat sependapat bahawa jika dalam air melebihi 50 meter dan arus
terlalu deras, pemancing dinasihatkan mengguna umpan yang liat. Cara menurunkan umpan
ke dasar juga perlu diberi perhatian. Anda tidak boleh serta-merta atau terus menghulurnya
ke dasar kerana...

SEORANG tua lelaki yang agak uzur wajahnya selalu berada di warung Pak Jantan yang
berdepan dengan Kuala Linggi. Orang tua itu menggemari minuman kopi o keras tidak
bergula dan Pak Jantan adalah sahabat baik dengan orang tua itu.

Mereka berdarah pelaut bermula dengan meneroka kawasan pantai di Kuala Linggi lalu
menetap kekal di kawasan berkenaan. Penulis yang terpanggil ke warung Pak Jantan dalam
perjalanan ke Port Dickson baru-baru ini, sempat singgah lalu berkenalan dengan Pak
Dolmat dan sekali gus diajak sama meneguk kopi o tanpa gula.
“Wow! Pahit,” kata penulis ketika meneguk kali pertama dan hampir meludah keluar tetapi
dapat bertahan lalu cepat-cepat menelannya.

Pak Jantan dan Pak Dolmat ketawa sambil menepuk bahu penulis.

“Itu permulaan, memang pahit. Tetapi bila dibiasakan, tentunya rasa pahit tak ada lagi,” kata
Pak Dolmat sambil menghirup kopinya dengan berselera.

Soal kopi o pahit tidak bergula ditinggalkan seketika kerana tujuan penulis singgah di
warung Pak Jantan untuk mendapatkan petua bagaimana cara umpan dapat bertahan lama
dalam air laut walaupun keadaan arus terlalu deras.

Pak Jantan dan Pak Dolmat sependapat bahawa jika dalam air melebihi 50 meter dan arus
terlalu deras, pemancing dinasihatkan mengguna umpan yang liat seperti isi sotong segar
atau isi ikan selayang segar atau ikan hidup.

Cara menurunkan umpan ke dasar juga perlu diberi perhatian. Anda tidak boleh serta-merta
atau terus menghulurnya ke dasar kerana cara ini dibimbangkan umpan isi ikan yang tidak
segar akan tanggal dari mata kail dengan sendirinya.

Cara paling baik anda perlu menurunkan umpan dengan perlahan dan berhenti seketika dan
teruskan semula. Lakukan ini beberapa kali hingga batu ladung mencecah dasar. Seperti
biasa apabila mencecah dasar, gulung sedikit tali supaya umpan terampai-ampai.

Kita juga perlu selalu menukar umpan dengan yang baru kerana kadang kala anda tidak
sedar bahawa umpan sudah lama hilang dari mata kail dan ini tentunya menghampakan
anda untuk mendaratkan ikan.

Petua selalu menukar umpan adalah sesuatu yang terbaik untuk diamalkan dan tentunya
dapat menarik minat ikan di dasar. Petua yang sama juga selalu diceritakan oleh pemenang
acara GP Joran sejak 10 tahun lalu.

Tangkapan lumayan jika tidak mandi?


Oleh Nuri Angkasa

ADA sesetengah berpendapat bahawa


selama mana memancing, kita dilarang
mandi atau menukar pakaian kerana
perubahan ini boleh menjejaskan tangkapan
ikan. Apakah ini sesuatu yang melucukan...

ADA sesetengah berpendapat bahawa


selama mana memancing, kita dilarang
mandi atau menukar pakaian kerana
perubahan ini boleh menjejaskan tangkapan
ikan. Apakah ini sesuatu yang melucukan?
Apakah asas dan rasionalnya? Ketika kita
mengejar perubahan dan melaksanakan
pembangunan negara dengan teknologi moden sekarang, tindakan tidak mandi atau enggan
menukar pakaian ketika ekspedisi beberapa hari di laut pastinya mencetuskan keadaan
kurang selesa.

Pak Nuri percaya, ramai pemancing sekarang tidak mahu cara lama itu diamal atau
dijadikan petua. Tetapi apa pula pendapat seorang tekong lama yang sebelumnya veteran
nelayan dari Umbai, Melaka yang kini sudah berusia 90 tahun. Beliau masih kelihatan
berdaya lagi jika diajak turun memancing di Pulau Besar. Beliau mahu dikenal sebagai Tok
Deris Serkam ketika ditemui di warung ikan bakar Serkam Laut.

Beliau tidak menolak amalan nelayan dulu yang tidak mandi ketika memancing. Katanya, itu
adalah petua yang sering diamalkan kerana sampan dulu kecil dan sempit yang tidak
membenarkan kita berdiri atau bergerak bebas apa lagi untuk mandi. Malah jangka masa
turun ke laut pun tidak melebihi 24 jam. Justeru, mereka tetap menganggap peluang untuk
mandi ketika turun di laut tidak berlaku.

“Sekarang dah banyak berubah. Bot dah besar macam kapal. Lebih dari sepuluh orang
boleh turun memancing dalam satu masa. Ada dapur masak. Ada tandas, tentu saja boleh
mandi,” kata Tok Deris Serkam sambil ketawa dengan mempamerkan dua batang gigi yang
masih bertahan tetapi mata dan pendengaran masih baik.

Mengaitkan mengenai bau dengan ikan di laut yang dianggap ada sentuhan halus yang kita
sendiri tidak tahu, Tok Deris agak sukar untuk menidakkan hubungan bau itu kerana mereka
(nelayan) dulu memang tidak mandi tapi tangkapan ikan memang lumayan, ikan memang
banyak.

“Ini terpulang kepada keyakinan dan kepercayaan seseorang. Rezeki bukan di tangan kita.
Allah yang menentukan dan tentunya tidak berkait dengan bau badan yang tidak mandi atau
dengan mandi berpuluh kali,” kata orang tua itu lagi.

Namun pandangan Pak Nuri adalah lebih baik pemancing di laut yang melakukan ekspedisi
memancing tiga hari dua malam harus berada dalam keadaan selesa dengan pakaian bersih
supaya kita dapat bertahan lama untuk melakukan aktiviti memancing.

Justeru berpandukan faktor ini, kepercayaan bau badan daripada pemancing yang tidak
mandi boleh dikaitkan dengan sentuhan halus dengan ikan dalam laut itu ternyata tidak
boleh diterima pakai bagi generasi sekarang yang turun memancing dalam bot besar dan
lengkap pelbagai kemudahan. Namun petua lain yang masih relevan perlu diamalkan demi
keselamatan diri dan kumpulan kerana petua adalah yang terbaik jika diamalkan.

Bangun awal pagi dapat rezeki berganda


Petua yang diamalkan oleh orang-orang terdahulu mengaitkan keyakinan walaupun kadang-
kadang dirasakan tidak selari antara petua dan keyakinan Pada hakikatnya petua dapat
bertahan lama daripada keyakinan yang sering berubah.

Pak Nuri pernah merisik satu rahsia daripada beberapa orang nelayan veteran yang rata-
rata sudah berusia tujuh puluhan yang terus mengamalkan bangun awal pagi sambil
melakukan senaman ringan di halaman rumah sebelum menunaikan solat subuh.

Selepas itu berjalan di kebun dengan melalui dicelah-celah daun pokok yang masih
berembun bagi mendapatkan kesihatan badan. Melakukan tidur semula selepas solat subuh
adalah satu amalan yang kurang baik sama ada dari segi kesihatan mahu pun rezeki.
Menurut Pak Uyup, nelayan tertua di kampung Dumpar Muar, yang dikatakan sudah
mencecah usia 105 tahun masih mengamalkan bangun awal pagi kerana udara pagi belum
tercemar.

“Walaupun tidak turun ke laut, tapi Atuk tetap bangun pagi dan tidak tidur selepas solat
subuh,” Cerita Pak Uyup kepada penulis baru-baru ini sambil mengingatkan berkali-kali
supaya air batu jangan diamalkan untuk minum terutama daripada ketul-ketul ais yang
dicampur dalam gelas minuman.

“Minum air batu memang lazat untuk hilangkan dahaga, tapi kita tak akan rasa puas.
Berbeza kalau kita meneguk teh o panas tanpa gula,” tambah orang tua itu sambil
mempelawa penulis minum bersamanya dengan teh o panas.

“Minuman teh yang Atuk amalkan walau di mana Atuk pergi,” teh o tawar bagaikan penawar
yang mengalir dalam tubuh dan terasa segarnya walau dalam keadaan bahang panas
matahari ketika itu.

Daripada apa yang dapat Pak Nuri timba amalan yang digunakan oleh Pak Uyup yang
masih kuat ingatannya perlu dijadikan petua amalan bagi kita terutama pada kaki pancing
yang terdedah dengan haus dahaga di tengah laut semasa memancing.

“Kita kena amalkan walaupun dirasakan perbuatan ini satu penyeksaan pada mulanya, tapi
pada penghujungnya adalah kebaikan.

“Sambil itu bangun tidur pada waktu awal pagi dan tidak mengulangi tidur sebaik selepas
solat subuh perlu dijadikan amalan dan Allah berfirman dalam Al-Quran. - Telah aku taburkan
rezeki yang banyak pada waktu awal pagi, berlumba-lumbalah kamu meninggalkan rumah
untuk mencarinya dan akan aku gandakan rezeki itu jika kamu benar-benar ikhlas tidak
mengulangi tidur hingga matahari terbit.

Usah berlagak hero


Oleh Nuri Angkasa

SENGAJA mendedahkan diri pada bahang panas matahari dan hujan lebat atau berembun
pada waktu malam adalah perkara yang perlu dielak semasa memancing di kolam, sungai
atau tasik lebih lagi di laut.

Panas terik akan mengundang kurang selesa dan bahang panas akan mengeringkan kulit
kepala dan tubuh badan sekali gus tekak akan kering dan dahaga yang berterusan. Sebaik-
baik langkah berjaga, pemancing kena cari tempat berteduh atau menggunakan topi lebar di
kepala seperti kaum cina memakainya semasa bekerja di kebun sayur.

Menutup seluruh badan dengan kain lembut dan boleh menyerap peluh adalah langkah
paling baik tapi ini tidak harus di biasakan, kerana mungkin kulit badan kita tidak dapat
bertahan dan ia akan menjadi ruam kulit atau bertanda seperti panau, lagi berbahaya jika
membiarkan baju yang basah itu kering di badan.

Adalah menjadi harapan Pak Nuri supaya panas terik dan hujan lebat dapat dielakkan tapi
banyakan minum air panas sejuk dan tidak membiarkan perut kosong kerana dibimbangkan
perut masuk angin. Andainya jika ini berlaku anda akan berdepan dalam satu keadaan
paling rumit kerana rawatan tidak seperti di darat, namun apa pun keadaan jika penyakit ini
tidak berkurang langkah terbaik ialah membawa mangsa pulang.

Mengingati satu peristiwa yang dipetik dari cerita seorang kawan pancing dari Kahang
Keluang Johor, terdedah pada bahang panas matahari yang panjang seorang pemancing
jatuh pitam tidak sedarkan diri dan akhirnya meninggal dunia dalam perjalanan pulang ke
jeti.

Daripada peristiwa ini dapat dijadikan satu iktibar bahawa kita tidak harus mendedahkan diri
pada bahang panas matahari atau hujan lebat dianggap membantu segarkan badan tapi
sangkaan itu tidak dapat memberi janji yang tepat, justeru langkah terbaik kita tidak
melakukan perkara yang boleh melibatkan diri kita kepada keburukan.

Jangan jadikan panas terik dan hujan lebat sebagai permainan atau sengaja untuk menarik
perhatikan kawan-kawan pancing bahawa akulah ‘jaguh’ tapi sebenarnya tindakan itu
sesuatu yang memerangkap diri sebagai seorang yang paling bodoh.

Kadang-kadang petua yang kurang diyakini tapi menjadi, malah tidak kurang yang tidak
menjadi walaupun diyakini. Allah lebih berkuasa daripada semua kekuasaan yang
diciptaNya justeru kepadaNya saja untuk kita meminta atas jalan kebaikan.

Zikir dalam bot bawa ketenangan


Oleh Nuri Angkasa

ADA beberapa petua Pak Nuri yang perlu diulang semula untuk memantapkan lagi
keyakinan mengenai berkesan segala amalan yang diguna pakai terutama ketika berada di
laut yang tiada penghujung mata memandang atau dikelilingi pulau yang wujud beratus juta
tahun sekali gus tentu ada menyimpan misteri tersendiri atau dihuni penghuni yang tidak
dapat dilihat dengan mata kasar.

Daripada beberapa petua yang Pak Nuri nyatakan sebelum ini dalam halaman ini, mungkin
masih ada yang tertinggal. Justeru dalam halaman kali ini Pak Nuri masih mengaitkan
adanya pantang larang yang perlu diambil kira ketika di laut, bekas lombong di tengah
belukar, tasik di belantara mahupun di kuala sungai apabila tibanya waktu senja (antara
waktu siang bertukar pada malam).

Pada waktu begini, kita kena lebih berhati-hati supaya tidak banyak (kalau boleh jangan
sekali-kali) bersiul, menjerit atau menyanyi dengan suara yang lantang kerana laut yang
dihuni oleh makhluk halus dan berkeliaran pada waktu begini. Tindakan kita berkeliaran dan
bersuka-suka dikhuatiri akan mendorong makhluk itu mengusik kita yang tidak menyedari
kedatangan mereka.

Langkah terbaik pada waktu begini ialah memperbanyakkan berzikir atau berehat dengan
membaca ayat suci al-Quran. Yang pasti, jangan lupa menunaikan solat wajib lima waktu.
Lakukan ini untuk beberapa waktu setelah menjelang malam. Kemudian, kita boleh
meneruskan aktiviti memancing dengan selesa. Namun dengan tidak bersiul, menjerit atau
menyanyi dengan melepaskan suara yang kuat dibimbangkan akan mengundang bahaya
tidak diundang atau tidak diduga daripada pihak kedua itu.

Namun dalam apa juga yang kita lakukan terutama pada waktu malam atau di tempat yang
dapat dirasakan berlainan, anda perlu melakukan zikir dan ini boleh dizahirkan dengan
suara dengan kuat.
Pernah berlaku ketika melakukan zikir begini dapat diikuti oleh suara kedua yang tidak dapat
dilihat wajah nyatanya. Cuma suara saja yang dapat didengar mengikut suara zikir kita,
demikian cerita seorang tekong dari Parit Unas, Muar ketika penulis bertanya mengenai
makhluk halus yang boleh mengikut bacaan ayat suci itu.

Beliau tidak menolak mungkin adanya makhluk meniru mengikut bacaan kita mahu pun
berzikir bersama tetapi cuma beberapa saat saja atau pada ayat-ayat tertentu saja. Justeru,
kita harus mengalahkan suara kedua itu supaya kita menang dan suara kedua hilang kerana
dengan kekalahan.

Justeru, berzikirlah dengan pelbagai lagu atau irama kerana berzikir itu adalah ketenangan
selain mendapat pahala.

Jengkal joran untuk tangkapan lumayan


Oleh Nuri Angkasa

PERNAH anda mendengar pemancing dulu yang menggunakan joran buluh terlebih dulu
menyukat ukuran panjangnya dengan menjengkal joran berkenaan dengan menggunakan
ibu jari dan telunjuk tangan kanan?

Ukuran terbaik diguna pakai ialah pada ukuran bilangan jengkalan pada angka ganjil. Ini
satu kepercayaan pada ketika itu. Malah ukuran itu juga turut dilakukan oleh sesetengah
pemancing veteran yang beranggapan bahawa ukur ganjil itu boleh mendatangkan hasil
tangkapan yang lumayan.

Adakah anda percaya dengan kepercayaan ini?

Jika itu dijadikan satu amalan yang membolehkan seseorang mendapat rezeki yang
lumayan, mengapa hari ini rata-rata pemancing tidak menjengkal batang pancing sebelum
membelinya?

Justeru, tentunya kepercayaan ini sudah tidak dapat dipakai atau diterima lagi pada zaman
sekarang yang serba-serbi moden ini. Tetapi apapun yang diamalkan dulu tetap masih boleh
diterima pakai sebagai petua. Contohnya, mendahulukan kaki kanan ketika melangkah
keluar dari rumah, membaca Bismillah dan selawat, tidak melangkah batang pancing, mesra
dengan anak-anak dan isteri sebelum pergi memancing serta tidak digalakkan membawa
kaki pancing yang panas baran mahupun mulut celupar.

Perkara-perkara seperti ini harus difikirkan dengan teliti supaya tidak berlaku kekesalan jika
berlaku sesuatu yang buruk yang membabitkan keseluruhan pemancing.

Kembali kepada tindakan menjengkal bagi mengukur joran, penulis sekali lagi merisik
pendapat seorang nelayan veteran dari Jeram dekat Sungai Buluh, Selangor mengakui
bahawa amalan itu sangat berguna ketika itu.

Ketika itu, joran buluh dibuat sendiri. Jadi, untuk mendapatkan imbang ukuran antara joran
dengan tali perambut yang biasanya tidak melebihi satu depa maka joran turut dipotong
menjadikannya satu depa. Itupun berpandukan pada ukuran genap atau ganjil. Joran itu
dijemur hingga kering untuk dapat bertahan dengan aksi ikan besar. Kepercayaan pada
masa itu sangat tebal mengenai perbuatan menjengkal joran lalu menjadi satu petua yang
mesti diamalkan.

Tetapi hari ini, amalan itu sudah tidak diguna pakai lagi tambahan pula joran yang dibeli
sudah lengkap dengan cincin di bahagian hujung. Ini sudah pasti sukar untuk dipotong untuk
mendapatkan ukuran ganjil.

Apa pun, terpulang kepada anda sama ada hendak menggunakan joran buluh yang
ukurannya dijengkal atau menggunakan joran sedia ada daripada pelbagai jenama terbaik
lagi canggih.

Semangat ubat terbaik atasi mabuk


Oleh Nuri Angkasa

MABUK bukan perkara baru kepada setiap pemancing laut. Saban tahun, terutama
pemancing yang baru berjinak dengan joran pancing pasti akan menghadapi situasi ini. Ada
yang tewas di peringkat awal dan minat ke laut berkubur akibat penangan mabuk
maksimum. Yang kental semangat dan gigih pula meneruskan cabaran walau terpaksa
berpaut tiang bot.

Justeru, Pak Nuri ingin berkongsi pengalaman kerana ramai yang masih meminta petua
untuk mengelakkan mabuk walaupun sudah beberapa kali disiarkan melalui ruangan ini.

Kepada pemancing yang berhasrat untuk meneroka laut dalam, sudah pasti ubat menjadi
teman sepanjang berada di laut. Pak Nuri berharap dengan semangat yang kental dan
berfikiran positif cuba elakkan untuk menggunakan ubat kimia itu bagi mengatasi mabuk.

Selain itu, beberapa petua seperti tidak melihat air laut atau menundukkan kepala yang agak
lama atau baring dalam keadaan bot dibuai gelombang. Ini menyebabkan pemancing akan
lebih cepat mabuk.

Antara petua yang biasa diamalkan oleh nelayan veteran, banyakkan minum air suam
(bukan jenis air berkarbonat). Bekalkan sedikit makanan masam yang sederhana dan
sentiasa membasahi mulut. Menyedut udara laut yang bersih adalah satu ikhtiar paling baik
untuk mengelak daripada mabuk. Tetapi ada kalanya usaha ini gagal kerana suhu badan
anda (pemancing baru) tidak dapat bertahan dengan keadaan laut dan bot yang sentiasa
bergoyang dilambung ombak walaupun ombak tidak sebesar mana.

Sebagai pemancing baru, anda perlu menerima hakikat ini dan menjadikan mabuk pertama
ini bukan untuk melemahkan semangat anda menjadi seorang pemancing laut yang tabah.
Anda pasti melalui kegetiran ini dengan penuh semangat dan kuatkan azam untuk
menjadikan laut sebagai padang permainan dan gelombang sebagai kawan.

Mabuk laut tidak dapat berjanji dengan faktor yang dinyatakan kerana ia akan datang tanpa
amaran dan tidak mengikut waktu. Anda kaki pancing tidak harus bimbang dan keluarkan
muntah hingga habis dengan menjolok jari ke hujung tekak. Anda perlu berehat sambil
banyak minum air atau makan sedikit makanan lembut dan masam.

Anda mungkin juga menyukai