Anda di halaman 1dari 2

MEI 30, 2006 BY MUHAMAD RAZAK

MEMASYARAKATKAN BUDAYA DIALOG


Oleh Muhamad Razak Idris Disiarkan di Berita Harian,19 April 2006 Usaha memupuk pendamaian Islam Barat adalah satu tuntutan keagamaan tertinggi pada masa kini. Untuk itu, dua peradaban besar dunia ini perlu dipertemukan secara lebih intim dan bermakna. Salah satu dari pendekatan yang paling berkesan pada masa kini ini menerusi dialog peradaban. Seruan penting ini harus menjadi tema utama perdebatan segenap peringkat umat Islam hari ini. Ini memandangkan, dialog peradaban sebagai sebuah idea, masih lagi belum difahami secara meluas. Ideanya masih bersifat `elitis kerana dibahaskan oleh golongan sarjana dan intelektual tertentu sahaja dalam konteks negara kita. Taraf perbicangannya masih sekitar persoalan-persoalan teori dan konsep yang agak abstrak dan kompleks. Oleh itu, ia tidak begitu mudah dikongsi oleh masyarakat awam. Sudah tiba masanya, dialog sebagai sebuah idea dan gagasan baru keagamaan digerakkan sebagai satu agenda kebudayaan yang segar diperingkat lapangan masyarakat terbanyak. Dalam erti kata lain, usahausaha harus dimulakan bagi menjadikan dialog sebagai satu bentuk gerakan dan amalan yang boleh dikongsi penglibatannya oleh segenap ruang dan bidang yang tidak sahaja melibatkan masyarakat Islam, tetapi juga rakyat Malaysia. Masyarakat perlu memahami bahawa terdapat tiga tahap dialog. Pertama, ia dikenal sebagai `dialog keagamaan. Pada tahap ini, kegiatannya melibatkan golongan yang mahir di bidang kajian keagamaan. Dalam istilah ilmiah, golongan ini dikenal sebagai ahli teologi. Isu-isunya juga menumpu khusus dalam hal-hal ehwal yang menyentuh tentang kepercayaan, tata akhlak, perundangan dan metafizik. Dialog dalam isu-isu ini bertujuan bagi meningkatkan kefahaman terhadap agama lain atau menangkis salah faham terhadap sesuatu ajaran dan kandungan agama. Tahap kedua ialah `dialog kefalsafahan. Penglibatan masyarakat dalam dialog ditahap ini juga agak terbatas, tetapi lebih meluas berbanding tahap pertama. Ini kerana, tema-tema perbincangan lebih umum meliputi teori, konsep dan aliran pemikiran yang meliputi segenap bidang kesarjanaan sosial, sejarah, pemikiran, politik, ekonomi, kesusasteraan dan seumpamanya. Namun, ia tetap agak terhad untuk mereka yang benar-benar mendalami sesuatu bidang keilmuan tersebut. Manakala tahap ketiga dikenal sebagai `dialog kebudayaan. Pada tahap ini, penglibatannya boleh meliputi seluruh anggota masyarakat. Ini kerana sifat kegiatannya lebih bercorak praktikal. Ia boleh dibina dan dibentuk menerusi kegiatan keseniaan, kesukanan, kejiranan, hiburan, pameran dan lawatan serta seumpamanya. Malah, dialog kebudayaan pada satu keadaan tertentu memberi kesan yang lebih mendalam berbanding dengan yang lain. Dialog berbentuk inilah yang harus dibudayakan dan dijadikan sebagai satu gerakan kemasyarakatan. Di negara kita, dialog kebudayaan boleh dikelolakan oleh institusi pengajian, badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Antara contoh kegiatan yang boleh dipertingkatkan ialah seperti program pertukaran pelajar dan kakitangan bagi institusi pengajian tinggi di negara ini dengan institusi pengajian di negara-negara Barat.

Ia merupakan satu kegiatan yang paling praktikal dalam usaha memahami dan mendalami realiti sebenar kehidupan dan kebudayaan masyarakat yang berada di luar lingkungan. Kegiatan seperti ini memberi ruang yang amat luas lagi praktikal untuk peserta mengalami sendiri cara hidup dan kebudayaan masyarakat lain menerusi interaksi, pergaulan dan pemerhatian. Dialog kebudayaan boleh juga dimanifestasikan menerusi acara kesenian, hiburan dan kesukanaan. Sebagai contoh, persembahan kesenian dan hiburan yang dianjurkan secara bersama bagi berkongsi keunikan kebudayaan masing-masing. Begitu juga menerusi pertandingan sukan persahabatan yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan kekitaan dan bukan kerana merebut sesuatu hadiah lumayan. Antara kegiatan kebudayaan lain yang boleh memberi kesan yang bermakna dan mendalam ialah kerjasama dalam bidang kerja amal. Ia seperti usaha bersama bagi meningkatkan tahap ilmu dan pendidikan, kesedaran pengguna dan alam sekitar serta menyebarluaskan maklumat tentang bahaya penyakit atau cara hidup yang membahayakan. Peserta didedahkan untuk saling berkongsi perasaan dan pengalaman secara bersama, suatu asas terpenting dalam memupuk sebuah perdamaian yang hakiki. Namun, segala cadangan ini tidak akan memberi erti sekiranya masyarakat keseluruhan masih belum memiliki satu tahap kesedaran dan kefahaman yang mendalam tentang kepentingan dialog sebagai satu pendekatan yang perlu dibudayakan pada masa kini. Untuk itu, sudah tiba masanya semua pihak menggerakkan usaha bagi merancakkan usaha ke arah menjadikan dialog peradaban sebagai satu tema baru yang diperdebatkan dalam ruang perbincangan terbuka masyarakat Malaysia. Dalam hubungan ini, pertubuhan dakwah dan gerakan Islam di Malaysia perlu menjadikan dialog peradaban sebagai salah satu agenda utama dalam kerangka isu dan tema penyebaran dakwah. Penganjuran debat dan perbincangan yang meluas di segenap peringkat boleh menggerakkan kesedaran masyarakat akan kepentingan dialog sebagai satu pendekatan semasa hari ini dalam konteks umat Islam berhubung dengan kebudayaan dan peradaban luar terutama dengan tamadun Barat.

http://razak.wordpress.com/2006/05/30/memasyarakatkan-budaya-dialog/

Anda mungkin juga menyukai