Anda di halaman 1dari 7

My Metro

Pameran seni 60 tahun


Oleh Siti Salmiah A Hamid Namanya sudah terpahat lama sebagai pelukis tersohor negara sejak 1950-an sehinggalah ke hari ini dengan menampilkan pelbagai bentuk karya seni. Menyusuri sepanjang perjalanan karier Latiff Mohidin, banyak jiwa yang tersentuh dan terkesan melalui karya seni dan juga nukilan puisinya. Sebagai individu yang memulakan kerjaya dengan mengadakan pameran solo ketika di usia 11 tahun, ini adalah tahun yang paling penting dalam perjalanan seninya kerana genap enam dekad pembabitannya sebagai penggiat seni. Melalui Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF, Balai Seni Visual Negara (BSVN) menampilkan 344 hasil karya Latiff Mohidin. Penggunaan pelbagai medium seperti lukisan, catan, cetakan dan arca mampu menarik perhatian pengunjung yang mahu melihat perspektif karya seni Latiff Mohidin. Pameran ini memuatkan karya terkumpul dari pada 12 siri karya; sembilan siri catan dan tiga bentuk, selain catan. Sembilan siri catan adalah Pra Berlin (1951 - 1959), Berlin (1960 1964), Pago-Pago (1964 - 1969), Mindscape 1 (1974), Langkawi (1976 - 1980), Mindscape 2 (1982), Gelombang (1988), Rimba (1997) dan Vovage (2001) serta beberapa siri kecil dan bentuk selain catan. Pengunjung disajikan dengan tiga tempoh masa yang menggambarkan tahap

perkembangan artistik Latiff Mohidin iaitu Period Formatif (waktu mula mengenal, mempelajari dan meneroka dunia seni rupa), Period Meditatif (waktu mendalami peranan dan tanggungjawab sebagai seorang seniman) dan Period Gestural (waktu karya, sama ada karya seni rupa atau sastera, menunjukkan kematangan dari segi aspek tema, gubahan dan teknik).

Selama enam dekad, Latiff Mohidin banyak melahirkan karya agung yang menjadi titik rujukan kepada generasi selepasnya serta pelapis muda. Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mohd Rozali Isohak berkata, pameran ini mensintesis kesan pelbagai mood dan genre dalam seni lukis yang mewujudkan kepelbagaian dimensi melalui apresiasi seni. Latiff Mohidin memberi penumpuan terhadap pendekatan stailistik yang berbeza dan lebih menarik dengan menggambarkan watak daripada karya puisi, lukisan dan pengalamannya sendiri. Dia sentiasa bereksperimen dan mempertingkatkan kebolehan dengan pelbagai

pendekatan. Sebagai seorang pelukis, penyair dan penulis sajak, karya lukisan serta lenggok puisi yang dihasilkan itu lahir dari jiwanya sendiri dan gubahannya sentiasa diselitkan dengan unsur alam, katanya. Pameran 60 tahun Latiff Mohidin RETROSPEKTIF dibuka kepada orang ramai sejak 26 Disember tahun lalu sehingga 13 Jun ini. Dokumentasi visual, berupa himpunan ilustrasi kulit depan buku puisi dan penerbitan lain hasil tangan Latiff Mohidin turut dipamerkan. Pameran ini dibuka setiap hari seawal jam 10 pagi hingga 6 petang di Galeri 2A, 2B, 3A dan 3B BSVN. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

ARKIB : 24/02/2013

Pameran karya agung Latiff Mohidin


Oleh RASDAN AHMAD rasdan_utusan@yahoo.com Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN

Joseph Salang (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Latiff selepas merasmikan pameran 60 tahun Latiff Mohidin di BSVN Khamis lalu. SEBUT sahaja namanya, pasti ramai yang mengetahui tentang kehebatan pelukis tersohor negara, Latiff Mohidin. Sebagai individu yang memulakan kerjayanya dengan mengadakan pameran solo pada usia 11 tahun di sekolahnya Malay School Kota Raja, Singapura pada tahun 1951, ini merupakan tahun yang paling penting dalam perjalanan seni beliau.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Khamis lalu merasmikan pameran pelukis tersohor ini sempena penglibatannya selama enam dekad dalam bidang itu. Pameran yang dikenali sebagai 60 tahun Latiff Mohidin Retrospektifmempamerkan 344 buah karya termasuk lukisan, catan, cetakan dan arca di empat galeri utama Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur sehingga 13 Jun ini. Pameran dibuka sejak 26 Disember lalu bersamaan dengan tarikh Latiff mengadakan pameran solo pertamanya di Singapura 60 tahun lalu. Pameran itu mengetengahkan lebih 100 karya yang terdiri daripada lukisan, catan, cetakan dan arca sepanjang enam dekad penglibatan Latiff bermula dengan Pra Berlin (1951-1959), Berlin (1960-1964), Pago-pago (1964-1969), Mindscape 1 (1974), Langkawi (1976-1980), Mindscape 2 (1982), Gelombang (1988), Rimba (1997) dan Voyage (2001). Dalam ucapannya Salang berkata, pameran itu sangat istimewa kerana merupakan julung kali sebuah pameran yang menghimpunkan lebih 300 buah karya daripada 28 pengumpul lukisan. Katanya, Latif, 72, yang banyak menerima anugerah seni dan sastera daripada badan kebangsaan dan antarabangsa berjaya mencipta satu period pembangunan dan modenisasi dalam seni visual negara. Latiff, anak kelahiran Negeri Sembilan pernah mempamerkan hasil karyanya di Berlin, Frankfurt, Bangkok, Singapura, New Delhi, New York, Sydney dan London. Turut dipamerkan adalah koleksi ilustrasi muka hadapan buku puisi terbitan Latiff sendiri dan penerbitan yang lain. Dalam pada itu, bagi Latiff Mohidin, pameran tersebut merupakan yang ke-31 buat dirinya yang hampir keseluruhan hasil seninya termasuk arca, lakaran serta lukisan dipamerkan. "Saya cukup gemar untuk mengadakan pameran yang mempunyai tema serta sirinya tersendiri seperti pameran yang dikenali sebagai Serangga yang pernah saya adakan pada November lalu. "Walaupun saya sudah berkecimpung dalam dunia seni ini selama 60 tahun namun setiap pameran saya menggunakan konsep serta tema yang berbeza.

"Ketika ini saya masih aktif melukis walaupun sudah berusia. Saya cukup sayangkan dunia seni dan menganggap seni adalah separuh dari jiwa saya, insya-Allah saya akan datang dengan siri terbaru tidak lama lagi," jelasnya. Selain melukis, Latiff Mohidin juga merupakan seorang penyair terkenal tanah air dan pernah memenangi anugerah pencapaian Sea Write Award di Bangkok, Thailand pada 1984. Antara karya agung terkenal yang pernah diterjemah beliau adalah karya penyair terkenal dunia, Rabindranath Tagore. Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130224/ke_04/Pameran-karyaagung-Latiff-Mohidin#ixzz2vrVfrxkb Utusan Melayu (M) Bhd

Pameran lukisan 6 dekad Latiff Mohidin dibuka


Astro Awani | Kemas kini: Disember 27, 2012

KUALA LUMPUR: Pameran lukisan pelukis besar negara sekaligus antara pelukis Asia yang dihormati dunia, Latiff Mohidin mula dibuka semalam.

Pameran yang ditunggu-tunggu ini menampilkan hasil karya Latiff selama enam dekad antara tahun 1951 hingga 2001.

Ini adalah pameran solonya yang pertama dalam masa lima tahun, Selain satu lagi pameran berasingan iaitu Siri Serangga yang dibuka sejak akhir November lepas.

Pameran ini mengambil ruang, empat daripada enam galeri di Balai Seni Visual Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ia mengangkat lebih 300 lukisan termasuk arca yang dihasilkan merentas jarak waktu beliau mula meneroka senirupa sehinggalah mencapai kematangan sebagai seniman.

Antaranya lukisan terkenal ini, Pago-Pago yang dihasilkan pada tahun 1964 dan merupakan koleksi tetap Balai Seni Visual Negara.

Pameran ini juga menampilkan beberapa siri lukisannya yang lain termasuk Mindscape, Gelombang dan Rimba.

Selain pameran retrospektif di Balai Seni Visual Negara ini, satu lagi pameran Latiff juga sedang berlangsung di Sasana Kijang, Bank Negara.

Pameran itu menampilkan 33 lukisan terbaru Latiff bermotifkan serangga yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai jelmaan daripada Siri Pago-Pago yang dikerjakannya hampir 50 tahun lalu.

Berita mula diterbitkan pada: Disember 27, 2012 07:05 (MYT) Read more at: http://www.astroawani.com/election/news/show/pameran-lukisan-6-dekadlatiff-mohidin-dibuka-2681?cp

Anda mungkin juga menyukai