Anda di halaman 1dari 2

Bahaya Jutawan Yang Melampaui Batas

(Oleh:Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat)


 
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
 
“Tiada yang dinanti oleh seorang antara kamu melainkan menunggu kaya yang jadi
taghut (pelampau) atau menunggu (tanpa usaha) sampai jadi papa sehingga lupa halal
haram, atau menunggu sehingga dilanda sakit yang menyebabkan punah seluruh
tenaga untuk berusaha, atau duduk diam sehingga menjelang tua kemudian tidak
terdaya lagi melakukan sesuatu, atau duduk diam sehingga datang ajal secara
mengejut.”
 
Sesungguhnya Islam tidak menghalang seseorang untuk menjadi kaya, tetapi apa yang
terungkap dalam hadith baginda di atas menjelaskan bahawa sifat buruk yang sering
berakar dalam jiwa pengejar kekayaan sehingga menjadi taghut, tidak kira halal
haram, adalah suatu yang jelas bercanggah dengan kemurnian syariat Islam.
 
Pepatah sering menyebut bahawa langit tidak menurunkan hujan emas. Lantaran itu
manusia mesti berusaha agar dia tidak mengizinkan kepapaan menguasai diri mereka.
Namun kekayaan bukanlah matlamat hidup yang murni kerana segala harta benda dan
segala kekayaan yang melimpah daripada perbendaharaan Allah SWT itu hanyalah
kemudahan atau alat bagi mencapai keredhaan Allah SWT.
 
Justeru, kebijaksanaan yang berteraskan keimanan merupakan persiapan bagi seorang
usahawan yang ingin mengejar kekayaan dunia. Usahawan yang bijak di sisi Islam
ialah mereka yang mampu membebaskan diri tanpa berpaut kepada tongkat riba yang
ditawarkan oleh pelbagai institusi kewangan. Modal berasaskan riba adalah benih yang
akan melahirkan manusia yang dibenci oleh Allah SWT, iaitu manusia yang digelar
oleh Rasulullah SAW sebagai Ghinan Mutghiyan iaitu jutawan yang menjadi taghut.
 
Namun apa yang mesti difahami bahawa Islam menggalakkan umatnya menjadi kaya
kerana dalam Islam ada zakat. Tidak mungkin orang akan mengeluarkan zakat jika
mereka tidak kaya. Tetapi jika sudah menjadi jutawan tidak juga mengeluarkan zakat,
atau masih berdalih menangguhkan menunaikan haji ke Mekah, sedangkan setiap
bulan mereka boleh terbang ke Amerika, Eropah atau ke Jepun…maka yang demikian
itu, sudah tergolong ghinan mutghiyan iaitu jutawan yang bersifat melampau.
 
Satu lagi keadaan yang tidak diingini ialah ‘papa kedana yang lupa halal haram’.
Apabila manusia sudah terdesak disebabkan tiada wang ringgit dan harta benda, dia
mungkin terdorong melakukan apa saja walaupun terpaksa melanggar undang-undang
dan menjatuhkan maruah sendiri, asalkan perut yang kosong dan poket yang kempis
terisi. Mungkin mereka terpaksa menipu, berjudi, mencuri atau merompak. Itulah hal-
hal yang ditakuti terjadi terhadap mereka yang membiarkan kepapaan menyelubungi
diri.
 
Firman Allah SWT;
 
“Dan tiada suatu binatang (segenap makhluk bernyawa) yang melata di muka bumi ini
melainkan Allahlah yang memberi rezekinya.”
Sura Hud (11:6)
 
Bagaimanapun jka manusia tidak berusaha, maka rezeki yang sudah dijanjikan oleh
Allah SWT itu nescaya akan terlepas dari tangannya. Ia ibarat pemberian yang telah
dihulur tetapi tidak disambut. Apabila rezeki sudah terlepas, maka dia akan
kehilangan rezeki.
 
Kedudukan orang yang berdiam sehingga kepapaan menyelimuti dirinya sehingga
menjadi si papa yang lupa halal haram adalah sama sahaja dengan jutawan yang
melampaui batas. Si papa yang dibenci oleh Allah SWT kerana kepapaan telah
mendorong mereka melakukan apa sahaja tanpa memikirkan halal haram, sama juga
dengan golongan ghinan mutghiyan jutawan yang melampaui batas. Mereka juga
terkutuk kerana sifat taghut mereka.

Anda mungkin juga menyukai