Anda di halaman 1dari 7

TEKS UCAPAN NAIB CANSELOR UTM

PROFESSOR DATO' ZAINI UJANG

DI MAJLIS JASAMU DIKENANG


PADA 18 NOVEMBER 2008, MUTIARA JOHOR BAHRU

Saya mengucapkan syukur - alhamdulillah - kerana dengan limpah kurnia-Nya kita


dapat bersama-sama dalam majlis meraikan para pesara universiti. Saya mewakili
warga universiti merasa terharu pada majlis ini – yang khusus dianjurkan sebagai tanda
penghargaan dan terima kasih yang tidak sepertinya – bagi pihak universiti kepada
perkhidmatan para pesara sekalian.

Hadirin sekalian.

Sebelum terlupa, saya bagi pihak Pengurusan Universiti, mengucapkan selamat


bersara kepada pesara yang sekian lama membanting tulang, memerah keringat dan
menjeruk minda – sehingga ada yang tewas di jalanan – semata-mata untuk
berkhidmat setulusnya kepada UTM, universiti tercinta wadah kita beramal bakti.

Kata orang, banyak perkara yang boleh dikaitkan dengan persaraan. Ada yang indah
berwaran-warni, tetapi ada juga yang pedih dan menyakitkan. Sesekali persaraan
mengingatkan kita kepada realiti bahawa kita telah banyak menyumbang bakti dan
menabur budi. Persaraan mengingatkan kita betapa kita turut bersama membangun
dan melakar sejarah bangsa, membina nama dan warna kemasan UTM - dari sebuah
institusi ilmu yang bertatih bergelar Sekolah Teknik yang tertubuh 1904, menjadi
Maktab Teknik pada 1942, membesar sebagai Institut Teknologi Kebangsaan 1972 dan
matang menjadi UTM pada 1975.

Tetapi sesekali persaraan juga mengingatkan tentang banyak lagi tugas yang tidak
sempat kita laksanakan sepanjang perkhidmatan. Tugas memajukan UTM sebagai
Universiti Penyelidikan masih banyak liku dan ranjaunya. Begitu juga tugas

1
memartabatkan UTM sebagai Universiti Kelas Dunia yang kita hasratkan seiring
dengan wawasan Kerajaan menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara dan
Pelan Trasnformasi KPT. Pesara mungkin rasa terkilan kerana tidak dapat terus
menyumbang tenaga dan kudrat untuk sama-sama memacu UTM menjadi lebih maju
ke depan, menjadi Universiti tempatan yang paling tersohor, terbilang, bergaya
sekaligus berjenama.

Maka sempena hari-hari terakhir menjelang persaraan, khabarnya ada yang menangis
dan berduka kerana meninggalkan tugas dan rutin yang telah puluhan tahun
dilaksanakan dengan tabah, jujur dan dedikasi. Banyak kenangan manis dan lakaran
silam terukir di kampus Semarak atau Skudai. Banyak tinggalan sejarah yang perlu
diabadikan dalam album kenangan.

Tetapi ada juga yang gembira kerana persaraan membuka ruang dan peluang untuk
kita bergiat dalam bidang lain yang lebih mencabar. Mungkin sudah ada yang
menceburkan diri dalam pelbagai lapangan sesuai dengan kemahiran dan pengalaman
yang diraih sepanjang berkhidmat di UTM. Ada yang telah mula berniaga. Kecil dan
besar, sebagai pedagang dan perunding, bahkan dengan khabar ada yang juga
menjadi rakan kongsi syarikat berdaya maju. Ada yang memulakan kerjaya baru
bersama syarikat atau institusi lain. Tetapi ada juga yang beristirehat dan
memperbanyak dan memperhebat amal ibadat, atau menyahut cabaran besar membina
generasi 2020 dengan mengambil alih tugas menjaga cucu yang semakin ramai.

Biar apapun yang berlaku, realitinya umur persaraan adalah hakikat yang terpaksa
dilalui semua pekerja. Rambut telah putih, kulit sedikit berkedut dan banyak juga gigi
yang telah luruh.

Dalam hal ini, UTM telah mengatur strategi untuk mengurus dan memanfaatkan pesara.
Dari satu segi, umur persaraan perlu dilihat sebagai peluang untuk mendapat

2
perkhidmatan staf yang telah memperolehi pengalaman dan kemahiran yang selari
dengan wawasan dan misi UTM menjadi Universiti bertaraf dunia. Itu faktor utama yang
mendorong pihak Pengurusan Universiti berusaha untuk meminta jasa baik malah –
saya telah meminta budi bicara Dekan dan Ketua Jabatan untuk “memujuk” – staf
akademik yang akan bersara supaya meneruskan perkhidmatan sehingga mencapai
usia 65 tahun.

Malah kita juga akan memancing “kolam intelektual” dengan menjemput professor
ternama dari IPTA lain supaya membuat pilihan bersara awal untuk membolehkan
mereka berkhidmat di UTM. Dengan kata lain, kita akan mempergiatkan aktiviti brain
gain sebagai reaksi kepada masalah brain drain yang selalu kita tangisi.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan kesihatan, kelayakan akademik peringkat


PhD, keahlian profesional, tahap kecergasan minda, keupayaan terus mengajar dan
menjalan penyelidikan, “kewarasan” dalam wacana ilmiah - dan faktor-faktor
perkhidmatan lain.

Bagi saya – secara peribadi – nilai pekerja ilmu atau knowledge worker semakin tinggi
apabila usia semakin meningkat. Kematangan berfikir dan ketajaman firasat lebih
menyerlah ketika usia melewati jendela usia 60 tahun (maknanya bagi yang masih
berusia 50-an perlu memanjat doa kepad Illahi supaya dipanjangkan usia untuk lebih
matang berfirasat!). Itulah sebabnya ramai professor ternama di serata dunia tidak
kenal erti “bersara” dalam konteks perkembangan dan sumbangan ilmiah, sebaliknya
terus memberi sumbangan sehinggalah menghembuskan nafas terakhir. Di Denmark –
sebagai contoh - jawatan professor disandang seumur hidup sehinggalah ahli keluarga
datang “mengemaskan” buku-buku dan harta peninggalan dalam pejabat professor
tersebut 2 minggu selepas tarikh kematian, dan nama pada pintu pejabat ditanggalkan
dengan rasminya!

Dalam hal ini, pihak Pengurusan Universiti memang serius untuk memastikan
kepakaran dan modal insan di UTM terus dimantapkan. Kita mengambil pendekatan
serampang dua mata – melantik, melatih, memantap dan mengembangkan keupayaan

3
pensyarah muda dari jawatan tutor sehinggalah menjadi sarjana dan profesor yang
terkemuka. Pada masa sama, memberi kesempatan kepada pesara untuk terus
berkhidmat. Dalam tempuh beberapa minggu lalu, pihak Pengurusan Universiti telah
meluluskan kontrak selama 3 tahun kepada semua pensyarah yang bersara –
kemudian boleh disambung lagi sehingga 65 tahun - atau dalam kes Profesor Ismail
Rejab melewati umur 65 tahun bagi membolehkan mereka terus memberi sumbangan
kepada UTM.

Sumbangan tersebut diperlukan untuk membolehkan UTM mencapai sasaran dan


wawasan yang ditetapkan, KPI tahunan - menjadi universiti terbaik di negara ini dalam
segala segi.

Selain itu, kita juga berusaha untuk memastikan staf yang akan bersara yang tidak lagi
berhasrat untuk memberi sumbangan kepada UTM terus berkerjasama, memberi
sokongan, prihatin, sinergi atau sekurang-kurangnya simpati kepada UTM. Doa mereka
kita tagih, restu mereka kita harapkan.

Bagi staf bukan akademik pula, umur persaraan lebih mencabar. Peranan staf bukan
akademik ialah menyediakan persekitaran, sistem dan kemudahan yang diperlukan
untuk membolehkan UTM mencapai tahap kecemerlangan akademik. Peluang untuk
terus melanjutkan perkhidmatan dengan UTM agak terbatas kerana jawatan tersebut
menjadi rebutan. Sebenarnya jawatan dan peluang kerja di universiti awam adalah
yang terbaik dalam perkhidmatan awam. Itulah sebabnya jawatan pemandu, tukang
kayu, pembantu am rendah, pembantu makmal, pembantu tadbir, juruteknik, pembantu
teknik, sehinggalah jawatan pustakawan, pegawai IT, jurutera, pegawai kewangan,
penolong pendaftar dan banyak lagi - menjadi cita-cita dan igauan pemburu kerja. Saya
berkesempatan menjadi pengerusi jawatankuasa pemilih ketika menjawat sebagai TNC
dahulu. Saya dapati ada jawatan yang diiklankan menerima permohonan ratusan lebih
tinggi berbanding kekosongan yang disediakan.

Saya berharap pesara di kalangan staf bukan akademik memahami situasi ini - bahawa
penawaran jauh lebih tinggi berbanding permintaan. Hal ini sebaliknya bagi jawatan
akademik di mana penawaran - khususnya bagi staf berkelulusan PhD dan keahlian

4
professional – jauh lebih kecil berbanding permintaan. Itulah sebabnya kita terpaksa
mendapatkan perkhidmatan pensyarah kontrak dari negara asing.

Sidang hadirin,

Bersara juga mempunyai makna lebih daripada pengertian material dan skim
perkhidmatan. Bersara bermakna kita sudah semakin dekat dengan destinasi yang
dituju. Bersara seharusnya difahami sebagai satu lagi milestone (batu tanda) telah
dilalui betapa usia kita sudah semakin hampir kepada garisan penamat. Dan bersara
juga adalah fasa terakhir untuk mempersiapkan diri kita menempuh Alam yang lebih
abadi.

Sehubungan, izinkan saya membacakan beberapa hadith sebagai peringatan – bukan


sahaja relevan untuk pesara – malah untuk semua yang hadir pada malam ini.

Hadith riwayat Tirmidzi: “Tidak bergerak telapak kaki seseorang hamba pada Hari
Kiamat sehingga diminta bertanggungjawab tentang 4 perkara:

Tentang masa muda untuk apa dihabiskan

Tentang harta dari mana diperolehi dan ke mana dibelanjakan

Masa hidup di mana dimanfaatkan

Dan masa sihat ke mana dihabiskan.”

Al Hakim meriwayatkan: Rebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara: Masa mudamu


sebelum tua; masa luang sebelum sibuk; masa kaya sebelum miskin; masa sihat
sebelum sakit dan masa hidup sebelum mati.

Saya tidak berhasrat untuk menakut-nakutkan tuan-tuan dan puan-puan dengan hal-hal
tentang kematian dan seumpamanya. Saya juga tidak berhasrat untuk menganggu

5
selera makan di hadapan hidangan lazat yang sepatutnya menyelerakan biarpun ramai
yang terpaksa melupakan seketika penyakit ghout, darah tinggi dan kencing manis.

Tetapi itulah realiti yang terpaksa kita fahami, sedari dan siap siaga setiap masa,
apatah lagi ketika usia di hujung senja.

Pulau Pandan Jauh Ketengah


Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga

Tenang-tenang air laut


Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi baik rasa nak junjung

Tanam lenggun tumbuh kelapa


Terbit bunga pucuk mati
Budi tuan kami tak lupa
Sudah terpaku di dalam hati

Sekali lagi Saya mewakili Universiti Teknologi ingin merakamkan setinggi-tinggi


penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan jasa bakti saudara dan saudara
semua sepanjang berkhidmat di universiti ini. Saya percaya tanpa kerjasama dan
komitmen saudara dan saudari semua Universiti tidak akan berada di tahap ini.

6
Sekian, assalamualaikum, waromatullahiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai