Anda di halaman 1dari 3

Jantung

Dalam tubuh manusia, jantung terletak sebelah kiri sedikit dari tengah dada,

dan di belakang tulang dada (sternum). Ia diselaputi oleh kantung yang dikenali

sebagai perikardium dan dikelilingi oleh peparu. Secara purata, jantung orang

dewasa mempunyai berat sekitar 300-350 g. Ia terdiri dari empat ruang, dua atrium

di atas dan dua ventrikel di bawah.

Dinding otot yang tebal (septum) membahagikan atrium dan ventrikel kanan

dari atrium dan ventrikel kiri. Ia memisahkan darah beroksigen dan terdeoksigen dari

bercampur. Injap antara atrium dan ventrikel hanya membenarkan aliran darah

secara satu hala dari atrium ke ventrikel.

Ventrikel adalah bahagian jantung yang mengepam darah ke seluruh tubuh

termasuk paru-paru. Dinding ventrikel adalah lebih tebal berbanding atrium, dan

pengecutan dinding ventrikel adalah lebih penting bagi memastikan darah mengalir.

Darah terdeoksigen dari tubuh memasuki atrium kanan melalui 2 salur, vena

kava superior (superior vena cava) dan vena kava inferior (inferior vena cava).

Darah kemudian mengalir ke ventrikel kanan. Ventrikel kanan mengepam darah

terdeoksigen ini ke peparu melalui arteri pulmonari. Selepas darah kehilangan

karbon dioksida dan menyerap oksigen dari peparu, ia mengalir melalui vena

pulmonari ke atrium kiri. Dari atrium kiri, darah beroksigen dipam ke ventrikel kiri.

Ventrikel kiri merupakan pam utama yang membekalkan darah melalui aorta ke

seluruh tubuh kecuali peparu.

Ventrikel kiri adalah lebih tebal berbanding kanan. Ini disebabkan oleh

keperluan untuk mengenakan tekanan yang tinggi bagi mengatasi rintangan yang
dikenakan oleh tubuh. Ventrikel kanan hanya perlu mengepam darah ke peparu, jadi

ia tidak memerlukan otot dinding yang kuat. Ini juga diperlukan kerana dua sebab

lain: 1) kapilari peparu adalah lemah; tekanan tinggi akan merosakkan kapilari

tersebut dan 2) aliran darah yang perlahan adalah diperlukan bagi memberi masa

untuk pertukaran gas antara darah dan peparu.

Dinding jantung terdiri daripada tiga lapisan. Lapisan terluar dikenali sebagai

perikardium (pericardium), lapisan tengah dipanggil myokardium (myocardium), dan

lapisan terdalam dipanggil endokardium (endocardium). Perikardium boleh

dibahagikan lagi kepada dua lapisan iaitu fibrous pericardium (luar) dan serous

pericardium (dalam). Myokardium adalah lapisan yang paling tebal dan terdiri

daripada otot jantung. Ia membentuk majoriti keseluruhan dinding jantung.

Endokardium merupakan lapisan terdalam yang terdiri daripada sel epitelium leper

dan tisu penyambung.

Bekalan darah yang banyak diperlukan untuk membekalkan nutrien, terutama

oksigen, kepada jantung. Darah ini dibekalkan oleh arteri koronari kiri dan kanan,

yang bercabang keluar dari aorta. Bekalan darah kepada jantung dipanggil kitaran

darah koronari.

Anda mungkin juga menyukai