Anda di halaman 1dari 3

Siti Hawa melahirkan dua pasang kembar.

Pertama, pasangan Qabil dan adik perempuannya yang diberi nama 'Iqlima', kemudian disusuli pasangan kembar kedua Habil dan adik perempuannya yang diberi nama 'Lubuda'.

Demi menjaga kemurnian keturunan dan menghindari hubungan kelamin yang bebas di antara putera-puterinya, Allah SWT memberi ilham dan petunjuk kepada Nabi Adam AS agar kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya. Qabil dijodohkan dengan adik Habil, iaitu Lubuda dan Habil dengan adik Qabil, iaitu Iqlima. Namun, rancangan yang diputuskan itu telah ditolak mentah-mentah oleh Qabil dengan alasan bahawa ia tidak mahu mengahwini Lubuda, adik Habil kerana Lubuda tidak secantik adiknya sendiri, Iqlima. Ia berpendapat bahawa ia lebih patut menikahi adiknya, Iqlima dan sekali-kali tidak rela menyerahkannya untuk dikahwinkan kepada Habil. Dan memang demikianlah kecantikan dan keelokan paras wanita selalu menjadi fitnah dan rebutan lelaki yang kadangkadang menjurus kepada pertentangan dan permusuhan yang sampai mengakibatkan hilangnya nyawa dan timbulnya rasa dendam dan dengki di antara sesama ahli keluarga dan sesama suku. Kerana Qabil tetap berkeras tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan adik kembarnya sendiri Iqlima, maka Nabi Adam AS secara bijaksana mengusulkan agar menyerahkan masalah perjodohan itu kepada Tuhan untuk menentukannya. Caranya ialah bahawa kedua-dua puteranya harus menyerahkan korban kepada Allah SWT dengan syarat bahawa barangsiapa di antara kedua puteranya itu diterima korbannya, maka ia berhak menentukan pilihan jodohnya. Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang diusulkan oleh ayah mereka. Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya, sedangkan Qabil datang dengan sekarung gandum yang dipilih dari hasil tanamannya yang rosak. Kemudian kedua korban itu diletakkan di atas sebuah bukit lalu pergilah keduanya menyaksikan dari jauh apa yang akan terjadi atas kedua jenis korban tersebut. Kemudian dengan disaksikan oleh seluruh anggota keluarga Nabi Adam AS yang menanti dengan hati berdebar apa yang akan terjadi di atas bukit di mana kedua korban itu diletakkan, terlihatlah api besar yang turun dari langit menyambar kambing korban Habil sedangkan karung gandum kepunyaan Qabil tidak tersentuh sedikit pun oleh api dan tidak terjejas. Oleh yang demikian, Habil diisytihar sebagai pemenang kerana korbannya telah diterima oleh Allah SWT. Maka, dialah yang mendapat keutamaan untuk memilih siapakah di antara kedua gadis saudaranya itu yang akan dinikahinya. Dengan telah datangnya keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak qurban Qabil, maka hancurlah harapan Qabil untuk menikahi Iqlima. Ia tidak puas hati dengan keputusan itu, namun tidak ada jalan untuk menolaknya. Ia menyerah dan menerimanya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil. Ketika Nabi Adam AS hendak meninggalkan rumah, beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepada Qabil agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia

berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga dipelihara sebaik-baiknya, jangan terjadi halhal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan. Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menjaga amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil. Namun dalam diam dia mula merancang untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil. Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya, datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. Berkata ia kepada Habil: "Aku datang ke mari untuk membunuhmu. Masanya telah tiba untuk aku lenyapkan engkau dari atas bumi ini." "Apa salahku? Dengan alasan apakah engkau hendak membunuhku?" tanya Habil. Qabil berkata: "Kerana korbanmu telah diterima oleh Allah sedangkan korbanku ditolak yang bererti bahawa engkau akan mengahwini adikku Iqlima yang cantik itu dan aku harus mengahwini adikmu yang buruk itu." Habil berkata: "Adakah berdosa aku bahawa Allah telah menerima korbanku dan menolak korbanmu? Tidakkah engkau telah bersetuju cara penyelesaian yang diusulkan oleh ayah sebagaimana telah kami laksanakan? Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nasfu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak-masak akan akibat perbuatanmu kelak!" "Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni. Adakah mungkin sesekali bahawa korban yang engkau serahkan itu engkau pilihkannya dari gandummu yang telah rosak dan engkau berikan secara terpaksa bertentangan dengan kehendak hatimu, sehingga ditolak oleh Allah, berlainan dengan kambing yang aku serahkan sebagai korban yang sengaja aku pilihkan dari ternakanku yang paling sihat dan kucintai dan ku serahkannya dengan tulus ikhlas disertai permohonan diterimanya oleh Allah." Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengari oleh Qabil, namun tidak dipedulikannya dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. Ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana caranya untuk membunuh Habil, menjelmalah iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh iblis itu dilaksanakan ke atas diri Habil ketika ia tidur dengan nyenyak, maka terkorbanlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia. Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya. Ia tidak tahu apa yang harus dilakukannya terhadap tubuh saudaranya yang semakin lama semakin busuk itu. Diletakkannya tubuh itu di dalam sebuah peti yang dipikulnya, Qabil mundar-mandir dalam keadaan sedih melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu jenazah Habil. Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak lama kerana suatu contoh yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya bagaimana untuk menguruskan jenazah saudaranya itu. Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh itu tersia-sia demikian rupa, maka ditunjukkan kepada Qabil, bagaimana

seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. Kemudian, kembalilah Nabi Adam AS kepada keluarganya. Ia tidak melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul. Bertanyalah ia kepada Qabil: "Di manakah Habil berada? Aku tidak melihatnya sejak aku pulang." Qabil menjawab: "Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi." Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Nabi Adam AS dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu. Akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya. Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan semata-mata untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan syaitan yang menyesatkan. Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berserah kepada Allah SWT dan menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniakan kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil. Al-Quran mengisahkan cerita kedua putera Nabi Adam ini dalam surah Al-Mai'dah ayat 27 sehingga ayat 32

Anda mungkin juga menyukai