Anda di halaman 1dari 12

WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD.

KASSIM

WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

A
bu Samah bin Muhamad Kassim adalah
seorang putera Sungai Pahang, cicit kepada
pahlawan bangsa anti-British, Datuk
Bahaman. Beliau menceburkan diri dalam gerakan
kemerdekaan sejak selepas Perang Dunia Kedua. Demi
mewarisi cita-cita moyangnya, beliau bersama-sama
mengangkat senjata melawan penjajah British setelah
meletusnya Peristiwa 20 Jun 1948. Di Rejimen ke-10,
beliau banyak kali memimpin pertempuran melawan
penjajah, pernah dianugerah gelaran “Pahlawan” dan
dilantik menjadi anggota badan pimpinan Rejimen ke-10
sejak paruh kedua tahun 1950-an. Sebagai seorang ahli
perjuangan dan pemimpin, sejarah beliau dan
sumbangannya bertautan erat dan berpadu dengan sejarah
Rejimen ke-10.

Soalan: Kami difahamkan Bapak berasal daripada keluarga


Datuk Bahaman. Bolehkah Bapak ceritakan sedikit?
Abu Samah: Moyang saya, Haji Daud dan Datuk Bahaman
adalah saudara sepupu. Ayah saya Muhamad Kassim adalah
cucu Haji Daud, atau cucu sepupu Datuk Bahaman. Jadi,
saya adalah cicit beliau.

Soalan: Keturunan sebelah emak pula, bagaimana?


Abu Samah: Emak saya keturunan Bugis. Nenek moyang emak saya yang anti-
penjajah Belanda terpaksa lari dari Sulawesi, lalu menetap di Selangor. Datuk
saya, Daeng Busu bersama orang Bugis yang lain menyertai Perang Bahaman.
Tempat mereka di Kelang dan perkampungan Bugis lainnya di Selangor bahkan
menjadi pangkalan yang mendukung Perang Bahaman. Emak saya anak Daeng
Busu.

Soalan: Kami dengar Bapak juga ada pertalian dengan kerabat diraja Pahang.
Benarkah?
Abu Samah: Hanya ada sedikit pertalian saja. Saudara mungkin tahu tentang
sejarah Bendahara Wan Ahmad, yang menang dalam perang saudara di Pahang
dengan bantuan Bahaman dan ditabalkan menjadi Sultan selepas itu. Salah
seorang isteri baginda ialah Hajjah Cik Fatimah, emak saudara saya dari
sebelah ayah. Mereka mendapat seorang anak bernama Tengku Muhamad yang
bergelar Tengku Panglima Perang (ayahanda kepada Almarhumah Tengku Afzan
Tengku Ampuan Pahang). Tengku Muhamad adalah salah seorang orang kuat
Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Pahang, dan menjadi Menteri Besar Pahang
selepas Perang Dunia Kedua.

Soalan: Bagaimana tentang ayah Bapak?


Abu Samah: Ayah saya bergerak bersama anak Bahaman, Datuk Muhamad yang
menjadi Penghulu Semantan. Dalam tahun 1920-an, mereka menganjurkan

Kini Dan Silam 1 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

gerakan patriotik anti-British, mengerahkan pengikut mereka menampal poster,


merampas gudang garam British serta menyerang balai polis penjajah di
Mempatih dan merampas senjata. Selepas peristiwa terakhir itu, rahsia gerakan
mereka terbocor. Datuk Muhamad dibuang daerah ke Selangor. Ayah saya pula
terkena racun oleh tali barut British dan meninggal dunia pada tahun 1932.

Soalan: Bagaimana tentang emak dan adik-beradik Bapak?


Abu Samah: Saya ada enam adik-beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan. Saya
anak yang keempat. Abang pertama saya bergerak bersama Penghulu Muhyiddin
(cucu Bahaman dan anak kepada Mat Lela), seorang penyokong kuat gerakan
anti-Jepun. Tetapi, kerana angkara pengkhianat, fasis Jepun menangkap dan
membunuh Penghulu Muhyiddin, manakala abang saya dibunuh secara gelap
oleh anasir pro-Jepun. Seorang lagi abang juga anti-British dan menyokong
Perang Anti-British. Menurut berita, dia dan emak saya mati diracun oleh orang
tertentu dalam tahun 1970-an. Syukur alhamdulillah, adik- beradik perempuan
saya masih hidup.

Soalan: Adakah adik-beradik Bapak menjenguk Bapak di sini sekarang?


Bagaimana pandangan mereka terhadap perjuangan Bapak?
Jawapan: Kini, dua orang adik perempuan saya masih ada lagi. Dalam masa
Perang Pembebasan dan selepas perdamaian iaitu penghujung tahun 80-an dan
awal 90-an adik-adik dan anak-anak saudara saya acap kali datang menemui
saya di Sukhirin, Selatan Thai. Dan selepas perdamaian ini saya juga beberapa
kali balik ke Pahang menziarahi kaum keluarga.
Sejak saya menyertai perjuangan bersenjata bersama Rejimen Ke-10,
sanak saudara dan adik beradik saya tak pernah menentang cita-cita saya.
Bahkan pada tahun 1951 Tengku Mohamad (anak Sultan Abdullah – saudara
sepupu saya) pernah berpesan sekali-kali jangan menyerah diri, kalau tak tahan
dalam hutan, kembali berlindung di rumahnya. Dalam masa yang sama Tun
Abdul Razak juga pernah menghadiahkan sebuah jam rolex sebagai kenang-
kenangan.

Soalan: Melihat latar belakang keluarga Bapak, nampaknya Bapak tentu telah
mendapat didikan politik sejak kecil lagi. Bolehkah Bapak ceritakan sedikit
perkara ini?
Abu Samah: Saya lahir di Semantan, Temerloh, pada bulan Februari 1926.
Semantan adalah kampung halaman Datuk Bahaman dan pernah menjadi medan
perangnya. Banyak peninggalan Perang Bahaman, umpamanya keris, lembing,
tombak, kubu dan lain-lain terdapat di sana dan di lain-lain tempat di Pahang.
Sejak kecil lagi saya sudah biasa dengan peninggalan ini dan diasuh dengan
kisah-kisah perang Bahaman melawan British dan Perang Bugis melawan
Belanda. Mat Lela, Datuk Muhamad, Cik Yang (ketiga-tiganya anak Bahaman)
dan Daeng Busu selalu menceritakan kisah-kisah ini kepada saya. Orang
Semantan pula, kalau bukan kerabat Bahaman, adalah pengikutnya yang
bersemangat anti-British. Semasa di sekolah lagi, saya membaca hikayat yang
meniupkan semangat seperti Tajul Muluk, Sultan Bistamam, kisah-kisah Perang
Jawa dan Syair Siti Zubaidah. Demikianlah suasana dalam mana saya
dibesarkan.

Soalan: Apakah Bapak menganggotai Kesatuan Melayu Muda (KMM)?

Kini Dan Silam 2 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

Abu Samah: Saya tidak menjadi anggotanya, tetapi penyokongnya saja, kerana
pada masa itu, saya baru berumur antara 13 hingga 15 tahun. Tetapi saya
membaca dan melanggan akhbar-akhbar terbitan KMM seperti Warta Jenaka
dan Warta Ahad.

Yang mempengaruhi saya dengan agak mendalam ialah abang sepupu


saya, Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad. Beliau adalah seorang ahli
KMM yang dihormati oleh Ibrahim Yaacob, lebih-lebih lagi kerana beliau putera
Sultan. Pada tahun 1939, saya diterima oleh Abu Bakar College, sebuah sekolah
Arab di Pekan, untuk melanjutkan pelajaran di sana. Tetapi, Tengku Muhamad
mengusulkan saya masuk Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF),
sebuah pasukan sukarelawan untuk membela tanah air. Alasannya ialah dalam
pasukan itu, saya boleh bekerjasama dengan tokoh-tokoh KMM seperti Cikgu
Abdul Rahman Talib (selepas Merdeka, menjadi Menteri Pelajaran), yang juga
dari Pahang. Setelah fasis Jepun mendarat di Kelantan, pasukan saya dihantar
ke sana. Masa itu, saya berpangkat Lanskoperal.

Soalan: Jadi, berapa tahun Bapak sempat bersekolah?


Abu Samah: Saya lulus Darjah Lima Sekolah Melayu, dan kemudian belajar di
sekolah agama dan Arab selama tiga tahun. Masa pendudukan Jepun, saya
belajar bahasa Jepun satu dua tahun.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit keadaan di tempat Bapak setelah


British kalah dan Jepun menduduki Malaya?
Abu Samah: Apabila British kalah, Sultan Abubakar bersama kerabat-kerabat
diraja, termasuk Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, berundur dari
Pekan dan berlindung di Semantan. Pembesar Pahang, seperti Datuk Hussein
dan anaknya Abdul Razak (kemudian bergelar “Tun” dan menjadi Perdana
Menteri Malaysia), juga berlindung di situ dan tinggal di rumah saya serta
rumah saudara-mara saya di sana. Tengku Muhamad menugaskan saya dan
Razak sama-sama membuat penerangan kepada keluarga diraja tentang
program KMM untuk mendapat kemerdekaan daripada British dengan bantuan
Jepun. Selain itu, beliau juga mengatur saya menjadi utusan untuk hubungan
surat-menyurat antara beliau dengan tokoh KMM yang lain seperti Cikgu Abdul
Rahman Talib di Temerloh dan Encik Mohd Yassin Salleh di Mentakab.

Soalan: Jadi Bapak adalah sahabat Allahyarham Tun Razak masa itu?
Abu Samah: Ya, semasa beliau berlindung di Semantan. Kami acap kali
menjalankan tugas yang diatur Tengku Muhamad pergi ke kampung-kampung di
pendalaman Semantan.

Soalan: Kami dengar Bapak pernah ke Singapura masa pendudukan Jepun.


Benarkah?
Abu Samah: Benar. Atas usulan abang saya, saya ke Singapura pada tahun 1943
untuk mengelakkan diri daripada ditangkap kerana terlibat dalam gerakan
Penghulu Muhyiddin, yang ditangkap oleh Jepun sebelum itu dan kemudian
dibunuh. Di Singapura, saya menjadi anggota pasukan Heiho berpangkat sarjan.
Pada masa inilah, saya dapat berhubung dan bertemu dengan Ibrahim Yaacob,
yang memimpin pasukan Malai Gyugun.

Kini Dan Silam 3 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

Soalan: Apakah Bapak berhubung dengan Tentera Anti-Jepun?


Abu Samah: Semasa dalam Heiho, saya dihubungi oleh seorang petugas bawah
tanah yang meminta saya mendapatkan peluru dan bekalan tentera untuk
Tentera Anti-Jepun. Barang-barang ini saya ambil dari gudang Jepun.
Kemudian, dengan bantuannya, saya lari dari Heiho pada bulan Mac 1945 dan
balik ke Semantan. Di sana, saya dapat berhubung secara langsung dengan
Tentera Anti-Jepun. Mereka mengatur saya membuat kerja propaganda,
mengadakan rapat perayaan antara tentera dan rakyat dan lain-lain. Tentera
Anti-Jepun mendapat sokongan yang luas, bahkan berjaya menjalin hubungan
dengan lapisan atas, termasuk Almarhum Sultan Abubakar.

Soalan: Apakah kegiatan Bapak selepas Perang?


Abu Samah: Saya menjadi anggota PKMM pada tahun 1946 dan kemudian ketua
PETA (Pembela Tanahair) di Semantan. Saya juga menyertai perarakan yang
diadakan selepas tamatnya Kongres PETA di Temerloh pada tahun 1948. Dalam
masa yang sama, saya diminta memasuki UMNO oleh tokoh UMNO tempatan.
Selain menjadi Ketua Pemuda UMNO Semantan, saya juga dilantik menjadi
anggota Jawatankuasa Bahagian Pemuda UMNO Temerloh.

Soalan: Ini agak aneh, Bapak – boleh jadi ahli dua buah parti sekali gus.
Abu Samah: Ya, aneh, tetapi benar. Sebenarnya, Ketua UMNO ketika itu ialah
Lebai Kamat, orang kuat PKMM. Jadi, ahli PKMM, PETA dan UMNO di situ
hampir-hampir orang yang sama.

Soalan: Mengapa Bapak tidak terus menyertai UMNO sahaja, tetapi memilih
menyertai PKM?
Jawapan: UMNO didirikan dengan slogan hidup Melayu (bukan untuk
kemerdekaan). Sedangkan saya sejak kecil lagi sudah tersemai dengan
semangat perjuangan Datok Bahaman yang anti-British dan mahukan
kemerdekaan. Kerana semangat inilah mulai tahun 1939 – 1940 saya menjadi
anak tangan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Pada tahun 1946 saya menjadi
anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API)
dan Pembela Tanah Air (PETA) dan seterusnya menyertai PKM untuk
memperjuangkan kemerdekaan tanah air.

Soalan: Apakah aktiviti Bapak yang lain?


Abu Samah: Saya bersama tiga orang kawan mendirikan sebuah kedai syarikat
yang agak besar dan maju di Semantan. Kami juga menganjurkan gerakan
kebajikan, aktiviti gotong-royong, pementasan, sukan, sekolah petang dan
malam untuk belajar Inggeris, dan lain-lain. Pengaruh kami luas juga. Kami
dapat kerahkan dan susun ratusan pemuda ambil bahagian. Tak lama setelah
Peristiwa “20 Jun”, kedai kami ditutup dan barang-barang dirampas oleh
British. Dua orang kawan saya ditangkap, manakala saya pula sebelum itu sudah
pun berundur ke hutan bergerila.

Soalan: Boleh Bapak ceritakan sedikit tentang Peristiwa 20 Jun.


Jawapan: Di Semantan, saya telahpun menjadi anggota PKMM, API dan PETA.
Kemudian saya juga dimasukkan ke dalam Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO
bahagian Temerloh oleh Yahya Mohd Seh (Ketua Pemuda UMNO bahagian

Kini Dan Silam 4 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

Temerloh yang kemudiannya menjadi Menteri Besar Pahang) serta dibawa


menghadiri mesyuarat-mesyuarat pemuda UMNO di setiap daerah Temerloh.
Dalam pada itu, pada awal 1948, Kamarulzaman Teh mulai merapati
saya. Kerana semangat mahukan kemerdekaan yang marak berkobar di dada,
saya mulai merenggangkan hubungan dengan Yahya Mohd. Seh. Pada bulan April
1948, saya menghadiri Kongres PETA dan Perarakan di Temerloh. Pada 1 Mei
1948, saya membawa 100 orang lebih pemuda-pemuda menghadiri perarakan
Hari Pekerja 1 Mei di bandar Mentakab.
Selepas itu, Mat Tara, intelijen British di Mentakab selalu mencari-cari
saya untuk ditangkap. Kerana itu, lebih kurang sebulan setengah saya tak
keluar ke mana-mana, tinggal di kampung pedalaman hingga diisytiharkan
Undang-undang Darurat pada Jun 1948.

Soalan: Apa jadi kepada pemuda yang lain?


Abu Samah: Pada mulanya ketika saya masih di Semantan, kira-kira 70 orang
pemuda pemudi ikut sama bergerila. Kemudian, Musa Ahmad memanggil saya
bersama tiga orang kawan ke Temerloh, maka kumpulan itu pun tinggallah
tanpa orang memimpin mereka. Untuk menyelamatkan mereka, saya
mengusulkan kepada Musa supaya menerima mereka ke dalam pasukan, tetapi
Musa menolak.

Soalan: Apa alasannya?


Abu Samah: Musa membuat alasan kita tak cukup senjata dan wang.
Sebenarnya, yang penting ialah manusia yang bersemangat anti-British. Soal
senjata dapat diperoleh melalui pertempuran, manakala wang dan makanan
dapat diikhtiarkan dengan bersandar pada massa.

Soalan: Jadi adakah mereka terus tidak diterima?


Jawapan [Tambahan]: 70 orang lebih pemuda-pemuda yang bergerila itu
memang tak diterima oleh Musa Ahmad. Akhirnya ornag-orang ini berpecah 3
bahagian – sebahagian menyambut seruan Sultan Abu Bakar Pahang duduk di
Kampung Lamai, Pekan, Pahang; sebahagian keluar ke banda-bandar seperti
Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain mencari kerja dan sebahagian lagi
memasuki Polis Tambahan (SC).

Soalan: Mengapa Bapak dan kawan-kawan lain mengangkat senjata masa itu?
Tak bolehkah berjuang secara damai?
Abu Samah: Nak berjuang secara damai atau sebaliknya pada masa itu bukan
ditentukan oleh kita semata-mata, tetapi pada pokoknya oleh British. Kalau
British sudah mengisytiharkan Undang-undang Darurat, mengharamkan semua
parti dan pertubuhan patriotik, melakukan penangkapan besar-besaran di
seluruh negara – pendek kata, secara menyeluruh dan dengan kekerasan
menindas orang yang berjuang menentangnya serta menyumbat segala saluran
demokrasi, apakah yang patut kita buat? Dalam situasi begini, saya rasa, kita
tidak dapat tidak mesti mengangkat senjata. Ia dipaksakan ke atas kita. Dalam
agama Islam pun diizinkan berperang untuk menegakkan keadilan melawan
mereka yang zalim.

Soalan: Ertinya, Bapak dan kawan-kawan lain tidak menolak cara damai?

Kini Dan Silam 5 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

Abu Samah: Kita tidak menolak cara damai. Bahkan setelah berperang untuk
satu masa, pihak PKM menganjurkan perdamaian. Maka, diadakan Rundingan
Baling pada tahun 1955. Sayangnya, ia gagal menamatkan perang secara adil
dan munasabah.

Soalan: Betul, Bapak, berperang melawan British memerlukan pengorbanan


yang amat besar di pihak pejuang seperti Bapak dan kawan-kawan lain.
Abu Samah: Ya. Kalau bukan demi menghalau penjajah untuk kemerdekaan
tanah air dan pembebasan rakyat, kami tidak akan buat begitu.

Soalan: Tetapi, Bapak, ada orang mengatakan perjuangan bersenjata ini sia-
sia.
Abu Samah: Ini bergantung kepada di mana orang itu berdiri. Kalau dia di pihak
British, dia akan berkata lebih daripada itu – dia akan menganggap kami sebagai
musuh, pengganas, pengkhianat bangsa dan lain-lain. Tetapi, kalau dia berdiri
di pihak rakyat dan tanah air serta melihat perang ini secara objektif dan dalam
konteks sejarahnya, dia pasti akan menarik kesimpulan bahawa perang anti-
British ini adalah adil. Dia juga tentu akan mengaku bahawa orang yang
mengangkat senjata melawan British adalah pejuang dan pahlawan
kemerdekaan yang sejati, yang rela mengorbankan segala-galanya untuk tanah
air dan rakyat. Bukankah begitu?

Soalan: Pejuang anti-British ini pula patut diberikan kedudukan yang


sewajarnya dalam sejarah dan masyarakat. Bapak, satu masalah lagi – ada
orang mengatakan perjuangan bersenjata ini tidak mendapat sokongan orang
Melayu. Benarkah? Bolehkah Bapak ceritakan sedikit pengalaman Bapak dalam
soal ini?
Abu Samah: Kalau orang Melayu tidak menyokong, Rejimen ke-10 tentu tidak
dapat didirikan, apa lagi berkembang. Saya berikan beberapa contoh sokongan
orang Melayu di bandar Temerloh di peringkat terakhir sebelum Rejimen ke-10
melakukan Perjalanan Jauh pada tahun 1953. Pada masa itu, Markas Besar
Rejimen ke-10, yang dipimpin Bapak Abdullah C.D., beralih ke kawasan
Semantan (tempat gerakan saya), dan beliau menugaskan saya memimpin
sejumlah kawan mengembangkan kerja massa dan bawah tanah di sekitar
bandar Temerloh.

Soalan: Bagaimana hasilnya?


Abu Samah: Hasilnya cukup memuaskan. Pertama, kerja massa. Kerana
menyokong Rejimen ke-10, ramai massa rakyat dihalau ke kem-kem kurungan di
sekitar bandar Temerloh. Kem-kem itu, bahkan bandar Temerloh itu sendiri,
dipagari kawat berduri. Tetapi, dalam keadaan demikian pun, massa rakyat
terus-menurus menyokong kami, menyampaikan maklumat, memberikan
bekalan dan lain-lain.
Kedua, pasukan bersenjata British, seperti anggota AP (Auxilliary Police)
dan Home Guard, ditugaskan untuk mengawal kem kurungan itu serta untuk
menentang kami. Tetapi mereka inilah yang telah kami susun dan didik hingga
menjadi sahabat dan penyokong kami yang teguh. Dengan adanya kawalan
merekalah, kawan-kawan kami dapat keluar masuk secara bebas di kem-kem
kurungan itu untuk menyusun orang ramai, mengadakan rapat umum, perayaan
dan lain-lain serta mendirikan pelbagai organisasi di sana.

Kini Dan Silam 6 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

Ketiga, ramai anggota Batalion Askar Melayu yang berpangkalan di


Temerloh juga dapat kami menangi hingga kami dapat mendirikan Persatuan
Askar-Askar Patriotik. Askar-askar itu membantu memberikan maklumat,
peluru, bom tangan, alat-alat kelengkapan tentera dan lain-lain kepada kami,
bahkan menggunakan trak tentera untuk mengangkut alat kelengkapan kami
yang penting. Ada antara mereka datang ke perkhemahan kami untuk bertemu
serta berbincang.
Keempat, UMNO Pahang, khasnya UMNO Temerloh yang ketika itu
hampir-hampir mati, telah dapat kami hidupkan semula melalui usaha beberapa
orang kader bawah tanah yang dihantar ke sana. Dengan demikian, kami dapat
membentuk barisan bersatu anti-British dengan UMNO tempatan dan UMNO di
tempat lain.

Soalan: Bagaimana sambutan di kalangan tokoh-tokoh agama?


Abu Samah: Ya, tokoh-tokoh agama juga begitu. Ramai yang menyokong kami
dan mendoakan semoga perjuangan kami berjaya. Saya berikan satu contoh,
iaitu Imam Long, yang selain daripada menjadi Imam di Masjid Bandar
Temerloh, juga memberi kuliah agama di situ. Beliau bukan sekadar menyokong
kami, bahkan menjadi anggota PKM dan kader bawah tanah. Ketika itu, di
Temerloh, British menempatkan pasukan African Rifles dari Kenya yang sangat
ganas terhadap rakyat. Tetapi melalui usaha Imam Long, yang dapat
memenangi pegawai pemerintahnya (seorang yang beragama Islam), pasukan
itu berubah menjadi baik terhadap rakyat.

Soalan: Benarkah General Templar pernah datang ke Temerloh masa itu untuk
meninjau keadaan tetapi tak berani tidur di bandar?
Abu Samah: Benar. Kerana takut serangan kawan-kawan kami, Templar tidur di
dalam motorbot khas di Sungai Pahang dengan dikawal oleh satu batalion askar
kulit putih. Ini menunjukkan prestij Rejimen ke-10 memang tinggi, dan kerja
bawah tanah di Temerloh cukup berhasil.

Soalan: Kami ada membaca yang Bapak dianugerahkan gelaran “Pahlawan”


oleh Markas Besar Rejimen ke-10 pada tahun 1952.
Abu Samah: Ya, gelaran itu dianugerahkan sempena ulang tahun ketiga Rejimen
ke-10 kepada 13 orang kawan sebagai menilai jasa-jasa mereka dalam
pertempuran.

Soalan: Apakah ada peristiwa yang tak dapat Bapak lupakan, sesuatu yang luar
biasa yang Bapak alami sendiri?
Abu Samah: Mengenang balik zaman itu, ada beberapa peristiwa yang memang
tak dapat saya lupakan. Peristiwa pertama berlaku pada awal tahun 1951 di
Batu 7, Jalan Mentakab–Bentong. Masa itu, saya bersama enam orang kawan
grup utusan terperangkap dalam satu serang hendap oleh 100 orang lebih askar
penjajah British di tepi bendang di sebuah kampung. Sebaik saja kami masuk ke
dalam perangkap hendapan itu, musuh menghujani kami dengan peluru dari
sudut depan dan belakang. Empat orang kawan terkorban serta-merta,
manakala kawan yang paling belakang sempat berundur. Tinggallah saya
bersama seorang kawan lain dalam kepungan itu. Tempat itu, langsung tak ada
perlindungan, hanya ada setompok lalang di tepi bendang. Kami merangkak
perlahan-lahan memasuki lalang dan meniarap di situ. Ketika musuh cuba

Kini Dan Silam 7 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

menyerbu, saya menembaknya dengan pistol. Seorang mati di situ juga,


manakala rakan-rakannya lari. Musuh mengubah taktik pula. Kali ini, mereka
membakar lalang itu. Bahangnya sungguh panas, tetapi mujurlah, tempat kami
berlindung tidak dimakan api. Entah kenapa, sungguhpun askar itu ramai,
tetapi mereka tak berani menyerbu secara mendadak ke tempat kami.
Petangnya, beberapa ratus orang lagi askar didatangkan dari Kem Batu 5 yang
berhampiran untuk melakukan kepungan yang rapat. Dalam keadaan yang amat
pasif itu, saya berbincang dengan kawan itu supaya bertahan sampai malam,
kemudian cuba menyerbu keluar. Akhirnya, kira-kira pukul 9 malam, kami
secara nekad berlari keluar menembusi kawalan musuh dan terus menyelinap di
celah-celah rumah orang ramai tak jauh dari situ. Ketika kami meredah
khemah-khemah askar dan menuju ke bendang, askar-askar yang sedang
berbual-bual itu terkejut. Apabila kami selesai menyeberangi bendang barulah
askar-askar itu melepaskan tembakan yang hebat.

Soalan: Bagaimana tentang peristiwa kedua?


Abu Samah: Peristiwa kedua berlaku beberapa bulan selepas itu di rumah saya
sendiri di Semantan. Masa itu, penjajah British sudah menawarkan hadiah
sebanyak $30,000 untuk mendapatkan saya. Saya bersama seorang kawan
hendak balik ke rumah untuk mengambil barang-barang yang dihantar oleh
emak saya. Seorang pengkhianat yang gilakan wang hadiah itu telah melaporkan
kepada musuh. Maka, kira-kira 160 orang askar dihantar menunggu saya di
rumah. Ketika sampai di rumah, hari hampir sudah gelap dan tiba-tiba turun
ribut. Kawan itu saya tinggalkan di bawah untuk berkawal, sedangkan saya
sendiri naik ke rumah. Setelah berada di dalam rumah, musuh pun melepaskan
berondongan demi berondongan, kemudian memerintahkan kami menyerah diri.
Kawan saya luka di kaki, tetapi dia sempat berundur. Saya cuba keluar melalui
pintu belakang, tetapi pintu terkunci dan tingkap bertutup. Akhirnya, dengan
sebelah tangan menggenggam bom tangan dan sebelah lagi menggenggam
pistol, saya turun melalui pintu depan. Di anak tangga terakhir, beberapa orang
askar menerkam menangkap saya sambil memukul saya dengan gagang
senapang hingga saya terjatuh. Kami bergelut, kemudian saya lempar bom
tangan, lalu bergolek keluar. Dua orang askar mati dan seorang luka-luka. Saya
cedera di tangan dan di pinggang. Esoknya, British mengerahkan 600 orang
askar menggeledah kawasan itu untuk mencari saya.

Soalan: Setahu kami, dua kisah ini sudah menjadi dongeng, khasnya di kalangan
massa rakyat di Pahang. Ada orang berkata Bapak dapat melepaskan diri
daripada kedua-dua kepungan itu kerana Bapak pakai ilmu. Apakah Bapak ada
ilmu halimunan dan tak lut dek peluru?
Abu Samah: (Ketawa) Memang ramai orang, termasuk askar sendiri, bercakap
begitu. Tetapi, saya hanya manusia biasa saja. Yang penting dalam keadaan
demikian ialah keberanian dan ketabahan, serta taktik dan teknik yang sesuai
dengan keadaan.

Soalan: Bagaimana tentang nasib?


Abu Samah: Mungkin unsur nasib pun ada juga. Saya bersyukur kepada Tuhan
kerana saya masih hidup sampai hari ini.

Kini Dan Silam 8 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

Soalan: Rumah Bapak di Semantan itu patut menjadi bahan sejarah. Apakah
rumah itu masih ada?
Abu Samah: Ya, masih ada, bahkan dipelihara dengan baik. Kesan-kesan peluru
masih boleh kelihatan di dinding, tiang dan tempat-tempat lain. Menurut
berita, rumah itu selalu dikunjungi oleh orang yang ingin mengetahui lebih
lanjut tentang peristiwa itu.
Satu kejadian lagi – saya juga pernah dua kali terputus hubungan dengan
pasukan akibat pertempuran. Bagi setiap kali, saya terpaksa bergerak dan
bertempur seorang diri berbulan-bulan lamanya di hutan dan kampung-
kampung, sambil mencari hubungan semula dengan pasukan. Pengalaman ini
cukup pahit dan mencabar.

Soalan: Menurut sejarah yang kami baca, Rejimen ke-10 beredar dari Temerloh
menuju ke kawasan sempadan Malaya–Thai pada tahun 1953 dan tiba pada
tahun 1954. Dalam perjalanan, penjajah British pula melancarkan kempen
kepung basmi satu demi satu untuk menghapuskannya. Bolehkah Bapak
ceritakan satu pertempuran yang melibatkan Bapak dalam melawan kempen
kepung basmi ini?
Abu Samah: Salah satu pertempuran yang penting ialah serang hendap di Sungai
Sekam, Cameron Highlands, pada 28 Januari 1954. Ketika itu, saya membawa
satu pasukan kawan-kawan melakukan ambushing ke atas 160 orang askar
pasukan handalan British yang pernah mendapat pingat keberanian dalam
Perang Dunia Kedua. Dalam pertempuran itu, 40 orang askar mati dan luka-
luka. Kekalahan mereka ini menyebabkan kempen “kepung basmi” -- yang
sudah berjalan selama tiga bulan itu -- segera ditamatkan.

Soalan: Bagaimana sambutan orang ramai di Perak terhadap Rejimen ke-10?


Abu Samah: Ketika Markas Besar Rejimen ke-10 berada di Ulu Kinta buat
sementara waktu, saya ditugaskan membawa satu pasukan ke Sungai Siput.
Sambutan massa Melayu, penanam sayur Tionghua dan buruh India kepada kami
sungguh hangat. Di sana, kami bergabung dengan pasukan Tionghua dan
pasukan India bersama-sama melakukan kerja massa, pertempuran dan lain-
lain.

Soalan: Bagaimanakah keadaan di kawasan sempadan Malaya–Thai apabila


Rejimen ke-10 tiba di sana?
Abu Samah: Keadaan pada mulanya sungguh sukar bagi kami. Kerana hasutan
intelijen British, orang ramai terkeliru. Mereka menyangka kami benar-benar
pengganas dan penyamun, hingga apabila kawan-kawan memberi salam, ada
yang menjawab dengan mengangkat parang. Sungguhpun begitu, keadaan itu
dapat diubah melalui tindakan nyata kami sendiri. Bila keluar ke kampung,
kami bawa barang-barang hutan seperti rotan, akar-akar kayu, buah-buahan
dan lain-lain yang diperlukan orang ramai. Kami lancarkan gerakan
membersihkan rumah dan kampung halaman daripada sampah sarap, najis
haiwan, semak samun dan lain-lain. Kawan-kawan wanita pula membersihkan
pinggan mangkuk, kain baju dan mengajar orang ramai tentang bagaimana
menjaga kebersihan dapur dan makan minum. Di sesetengah kampung, kami
mendirikan surau dan masjid, mendorong orang ramai bersatu padu,
bekerjasama dan beramal ibadat. Orang kampung pula, khasnya kanak-kanak,
banyak yang berpenyakit. Maka, kami berikan rawatan sekadar yang kami

Kini Dan Silam 9 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

mampu. Kesannya sangat baik. Orang ramai bukan saja percaya kepada kami,
bahkan memberi sokongan dan dukungan yang kuat kepada kami selepas itu.
Berita-berita ini tersebar luas hingga mereka dari jauh juga datang menjemput
kami ke tempat mereka.
Menurut kepercayaan orang kampung, kalau anak-anak ada penyakit,
serahkan dia kepada bapa atau emak angkat. Pada masa itu, saya sendiri di tiga
empat buah kampung saja mendapat 37 orang anak angkat.

Soalan: (Ketawa) Oh, begitu ramai. Satu lagi Bapak – apakah Bapak pernah
memimpin pasukan penggempur bergerak di tanah air?
Abu Samah: Ya. Saya pernah memimpin salah sebuah pasukan penggempur
Rejimen ke-10 dari tahun 1969 hingga 1976 untuk bergerak di lembah Sungai
Pergau dan Sungai Nenggiri Ulu Kelantan. Sambutan orang ramai, baik orang
Melayu mahupun Orang Asli, sungguh memuaskan. Ketika bergerak di sanalah,
saya bertemu dan mendapat sokongan daripada kumpulan Orang Asli yang datuk
neneknya pernah ikut serta dalam Perang Bahaman. Mereka memberi
perlindungan kepada Bahaman ketika angkatan beliau berundur ke Ulu
Kelantan.

Soalan: Menyentuh semula soal Bahaman – apakah pendapat Bapak tentang


hubungan antara Perang Bahaman dengan Perang Anti-British?
Abu Samah: Ringkasnya, boleh dikatakan Perang Anti-British ini adalah
kesinambungan daripada perang patriotik dahulu, termasuk Perang Bahaman,
yang dilancarkan dalam zaman yang berlainan dan di bawah syarat sejarah yang
baru.

Soalan: Bapak, salah seorang pahlawan yang masyhur dalam Perang Bahaman
ialah Mat Kilau. Dalam tahun 1970-an, orang heboh membicarakan yang Mat
Kilau masih hidup. Apakah pendapat Bapak dalam soal ini?
Abu Samah: Saya bukan ahli sejarah. Tetapi, menurut datuk saya, Mat Lela,
anak kepada Bahaman yang turut serta dalam Perang Bahaman, ketika angkatan
Bahaman berundur ke Ulu Kelantan, Mat Kilau, Tok Gajah dan Mat Lela ikut
bersama. Menurut cerita Mat Lela kepada saya, Mat Kilau terbunuh akibat
terkena racun dalam satu jamuan yang diatur khas oleh intelijen British yang
menyeludup di kalangan orang ramai yang menyambut angkatan Bahaman.
Untuk pengetahuan saudara, sungguhpun Mat Lela dibuang negeri ke Chiangmai,
Thailand Utara, bersama ayahnya Datuk Bahaman, tetapi 20 tahun lebih
kemudian, beliau diizinkan balik ke Semantan. Beliau meninggal dunia di sana
selepas Perang Dunia Kedua.

Soalan: Apakah tanggungjawab Bapak dalam Rejimen ke-10 dan dalam PKM?
Abu Samah: Saya dilantik menjadi anggota Markas Besar Rejimen ke-10 sejak
paruh kedua tahun 1950-an dan dipilih menjadi anggota Jawatankuasa Pusat
PKM pada tahun 1975 hingga sekarang.

Soalan: Bolehkah Bapak ceritakan sedikit soal rumah tangga Bapak?


Abu Samah: Setelah meletus Peristiwa “20 Jun” 1948, saya masuk hutan dengan
meninggalkan seorang isteri dan seorang anak kecil yang belum sampai usia
satu tahun. Anak kecil itu bersama ibunya kemudian dihalau oleh British dan
dikurung di Balai Polis Lancang hingga anak itu meninggal dunia di situ. Pada

Kini Dan Silam 10 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

tahun 1958, saya mendirikan rumah tangga dengan Siti Norkiah binti Mahmud
Baginda, Ketua AWAS Negeri Pahang sebelum darurat.

Soalan: Siti Norkiah berasal dari mana?


Abu Samah: Dari Raub, Pahang. Dia adalah kakak kepada Osman Abadi, bekas
pengarang Utusan Melayu dan juga seorang karyawan filem.

Soalan: Apakah Bapak ingin memberikan sedikit pendapat dalam soal


kemerdekaan negara kita?
Abu Samah: Kemerdekaan ini tidak dicapai dengan mudah. Ia juga bukan hasil
perjuangan satu pihak atau satu golongan saja, melainkan hasil bersama yang
dicapai melalui perjuangan semua parti, pertubuhan dan orang perseorangan
yang anti-British dan inginkan kemerdekaan. Ada yang berjuang secara damai,
seperti beberapa buah parti politik yang ada hari ini, manakala kami berjuang
secara bersenjata. Kemerdekaan negara kita telah dibayar dengan darah dan
jiwa pahlawan dan serikandi daripada pelbagai kaum serta dengan pengorbanan
seluruh rakyat. Kita patut menilai semula sejarah secara objektif dan
menyeluruh tanpa sebarang prasangka terhadap ideologi atau fahaman politik
satu-satu pihak.

Soalan: Bapak, kami ada membaca anjuran PKM untuk menamatkan perang
dalam negeri yang berlangsung selepas merdeka.
Abu Samah: Ya, memang sejak dulu lagi, PKM menganjurkan begitu. Kita semua
adalah orang yang sebangsa dan setanah air. Kita mungkin ada fahaman dan
cara yang berbeza, tetapi kita adalah patriot yang mahukan tanah air aman
damai serta makmur, dan mahukan rakyat bersatu pada dan bahagia. Saya rasa
anjuran PKM ini wajar. Perang ini patut diselesaikan secara adil dan munasabah
agar semua pihak dapat membuat sumbangan masing-masing untuk mengisi
kemerdekaan tanah air kita.

Soalan: Semasa pertempuran sama ada zaman penjajah atau selepas merdeka,
Bapak terpaksa berperang dengan rakan sebangsa terutama orang Melayu. Apa
perasaan Bapak ketika itu?

Jawapan: Perjuangan saya di dalam Rejimen Ke-10 adalah untuk kemerdekaan


tanah air. Musuh kami hanyalah penjajah British. Pertentangan antara kami
dengan askar atau polis Melayu adalah secara politik, bukan musuh secara
mutlak. Dalam tempoh awal perang melawan penjajah British, Tentera
Pembebasan Nasional (TPNM) sangat kurang bertempur dengan askar-askar
Melayu, kerana ramai anggota-anggota Batalion Askar Melayu ketika itu
mempunyai semangat patriotik dan dapat kami menangi sehingga kami dapat
mendirikan persatuan askar patriotik. Mereka membantu menyampaikan
maklumat-maklumat, memberikan peluru, bom tangan, alat-alat kelengkapan
tentera dan lain-lain.
Lagipun kerana banyak askar-askar Melayu itu terdiri dari keluarga-
keluarga progresif,maka penjajah British kurang bersandar kepada mereka.
British gunakan askar-askar yang didatangkan dari England, Australia, Afrika,
Penjab dan lain-lain untuk memerangi kami.
Walaupun Perundingan Baling bulan Disember 1955 itu gagal mencapai
maksud memberhentikan perang secara adil dan menasabah, tetapi kami

Kini Dan Silam 11 http://matamin02.blogspot.com


WAWANCARA DENGAN ABU SAMAH MOHD. KASSIM

menyokong rombongan Tunku Abdul Rahman pergi mesyuarat ke London untuk


mencapai kemerdekaan tahun 1957.

Soalan : kenapa bapa memilih tidak kembali ke Malaysia?


Jawapan: Sejak dari awal lagi saya memilih untuk balik ke Malaysia setelah
selesai masalah-masalah pokok kehidupan kawan-kawan yang tinggal di Selatan
Thai. Setelah masalah kawan-kawan di sini sudah dapat diselesaikan, saya
kemukakan permohonan kepada pihak Malaysia untuk balik. Akan tetapi pihak
Malaysia menjawab “Masa tempoh balik ke Malaysia sudah ditutup”.

nota: interview ini dibuat oleh wartawan Suluh Rakyat pada tahun 1989, kemudian pada
tahun 2005, dibuat sedikit tambahan setelah dirujuk semula kepada Pak Abu Samah.

Kini Dan Silam 12 http://matamin02.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai