Anda di halaman 1dari 53

Pemahaman Teks Cerpen (10 markah)

Sinopsis – “Cinta Ahmad Mutawakkil”

Cerpen ini mengisahkan perjuangan seorang nasionalis Melayu muda, Ahmad


Mutawakkil yang sanggup berkorban nyawa untuk membebaskan tanah air daripada
cengkaman penjajahan Inggeris dan kekejaman Parti Komunis Malaya. Cerita ini
dimulakan dengan peristiwa menyayat hati apabila Ahmad Mutawakkil muncul
secara tiba-tiba dalam keadaan cedera parah dan pakaiannya yang dipenuhi dengan
darah serta lumpur di pintu surau kampungnya sebaik-baik sahaja para makmum
selesai menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Situasi yang mencemaskan itu
menimbulkan kejutan dan tanda tanya kepada Imam Ngah Deraman, Penghulu
Ibrahim Sigap, dan seluruh makmum di surau kampung mengenai punca kejadian
itu berlaku. Ahmad Mutawakkil yang cedera parah telah dibaringkan dengan segera
oleh Penghulu Ibrahim Sigap. Dalam keadaan nafasnya tercungap-cungap, dia rebah
lalu pengsan.

Melalui teknik imbas kembali, penulis menceritakan kisah penerokaan


kampungnya sejak tiga generasi yang meneroka tanah kebun dan sawah padi.
Namun selepas itu, bermula pertengahan tahun 30-an, Tuan Booth sekeluarga telah
datang ke kampung itu untuk meneroka belukar. Tuan Booth mengupah beratus-
ratus orang buruh termasuklah penduduk kampung penulis untuk menanam pokok-
pokok getah. Kemudian, Tuan Booth telah memasukkan lima belas keluarga buruh
berketurunan India untuk bekerja di estet getahnya. Seterusnya, kisah riwayat hidup
Ahmad Mutawakkil yang menjadi yatim piatu selepas kematian bapanya, Wak Sadir
dan terpaksa hidup menumpang dengan Tuan Booth selama tiga tahun turut
dikisahkan.
Pendaratan askar Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 ternyata telah
mengubah suasana damai di kampung penulis. Penulis mengimbas kembali kisah
Tuan Booth sekeluarga yang terpaksa meninggalkan banglo di estetnya seminggu
sebelum kemaraan askar Jepun dan kisah kesulitan seluruh penduduk kampung pada
zaman pendudukan Jepun itu. Ketiadaan Tuan Booth sekeluarga telah menyebabkan
Ahmad Mutawakkil hidup terbiar. Atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Imam
Ngah Deraman telah menjadikan Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya. Sejak
itu, Imam Ngah Deraman selalu menceritakan perihal Ahmad Mutawakkil kepada
penduduk kampung termasuklah kepandaiannya membaca dan menulis dalam
bahasa Inggeris. Pada tahun 1943, Ahmad Mutawakkil telah bekerja di bandar.

Pada tahun 1945, Ahmad Mutawakkil memberitahu Imam Ngah Deraman


bahawa bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun telah dibom dan askar Jepun
terpaksa menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1946, ketika dalam
usia 17 tahun, ketokohan dan kehebatan Ahmad Mutawakkil sebagai pejuang
nasionalis Melayu muda terserlah apabila setiap kata dan tindak-tanduknya sangat
berpengaruh dan disegani sama ada di kampung atau di seluruh daerah. Tuan Booth
kembali semula ke banglo di estetnya selepas Jepun menyerah kalah. Sikap peramah
dan baik hati Tuan Booth sekeluarga terhadap penduduk kampung telah
mengeratkan hubungan antara mereka.

Ketokohan Ahmad Mutawakkil sebagai pejuang nasionalis Melayu terserlah


apabila beliau secara lantang menolak perjuangan komunis dan menentang
penjajahan Inggeris melalui sesi pidato dan penulisannya dalam surat khabar.
Pembabitannya sebagai wartawan telah berjaya meluaskan pengaruhnya sehingga
terpilih sebagai pemimpin nombor dua dalam parti peringkat daerah pada tahun
1952. Pada masa yang sama, Sandra, anak gadis Tuan Booth menyimpan perasaan
kasihnya terhadap Ahmad Mutawakkil yang telah mengundang pelbagai persoalan
mengenai hubungan mereka dalam kalangan masyarakat kampungnya.

Pada tahun 1948, Parti Komunis Malaya mula menggila di Perak dan Ahmad
Mutawakkil semakin rancak berkempen untuk menggesa rakyat menolak ideologi
komunis yang songsang itu. Keadaan itu telah menyebabkan lima orang pengganas
komunis menyerbu banglo Tuan Booth untuk meminta Tuan Booth menyampaikan
amaran mereka kepada Ahmad Mutawakkil agar tidak menghasut rakyat membenci
ideologi mereka. Sungguhpun begitu, Ahmad Mutawakkil tidak mengendahkan
nasihat Tuan Booth dan Penghulu Ibrahim Sigap malah semakin berani bersuara
dengan lantang.

Pada malam Jumaat selepas dia selesai menyampaikan ceramahnya, Ahmad


Mutawakkil telah didatangi oleh seorang budak lelaki di surau kampungnya. Ahmad
Mutawakkil memohon tanda minta diri untuk mengikut budak lelaki itu. Keesokan
harinya, kehilangan Ahmad Mutawakkil menimbulkan tanda tanya dan kegelisahan
dalam kalangan penduduk kampung apabila seharian dia tidak muncul di surau
kampung itu. Oleh itu, tiga kumpulan termasuk Tuan Booth telah dibentuk untuk
mencari Ahmad Mutawakkil di seluruh pelosok kampung namun usaha itu
menemukan kegagalan.

Sesudah solat maghrib, segala kerunsingan dan keresahan penduduk kampung


terjawab apabila Ahmad Mutawakkil muncul di surau kampungnya dalam keadaan
cedera parah. Dia meninggal dunia di atas ribaan Imam Ngah Deraman sambil
menggenggam tangan Penghulu Ibrahim Sigap akibat tembakan tiga butir peluru
yang menembusi belakang bahunya. Kematiannya amat dirasai oleh penduduk
kampung termasuklah penulis. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung telah
mengadakan majlis doa kesyukuran sebagai tanda meraikan kemerdekaan tanah air
dan majlis bacaan tahlil sebagai tanda mengenang jasa dan pengorbanan arwah
Ahmad Mutawakkil itu.

Tuan Booth sekeluarga telah pulang ke England seminggu selepas


kemerdekaan negara tetapi setahun kemudian, anak gadisnya, Sandra telah kembali
ke banglo peninggalan bapanya di estet getah itu. Lantaran kenangannya yang tidak
pernah lenyap atau demi kecintaannya terhadap Ahmad Mutawakkil, dia telah
mengajar anak-anak penduduk kampung membaca dan menulis.

Tema

1. Cerpen "Cinta Ahmad Mutawakkil" bertemakan kegigihan dan keberanian


seorang pemuda yang sanggup berkorban nyawa demi perjuangannya untuk
menuntut kemerdekaan tanah air.
2. Ahmad Mutawakkil merupakan seorang nasionalis Melayu paling muda yang
gigih dan berani menuntut kemerdekaan daripada serangan pengganas komunis dan
penjajah Inggeris yang mengancam keselamatan masyarakat dan tanah air.

Persoalan

1. Kasih sayang sebagai tali pengikat hubungan sesama anggota keluarga.


Contohnya, Tuan Booth amat menyayangi ahli keluarganya apabila dia bertindak
membawa mereka berpindah seminggu sebelum kemaraan tentera Jepun di Tanah
Melayu.
2. Ketabahan dalam mengharungi pelbagai kesulitan semasa zaman perang.
Contohnya, penulis dan penduduk kampung tabah mengharungi pelbagai dugaan
dan kesengsaraan semasa pendudukan Jepun dan Parti Komunis Malaya yang
mengganas.
3. Semangat patriotisme yang tinggi dalam diri pejuang. Contohnya, Ahmad
Mutawakkil menggesa rakyat agar bersama-sama berjuang untuk memerdekakan
tanah air daripada cengkaman penjajah Inggeris dan anasir komunis.

4. Kisah percintaan yang mendalam. Contohnya, Sandra amat menyayangi Ahmad


Mutawakkil sehingga sanggup kembali semula ke banglo peninggalan bapanya
setahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

5. Kerjasama yang erat dalam masyarakat dapat mengeratkan perpaduan dan


keselamatan penduduk. Contohnya, masyarakat kampung penulis bekerjasama
mencari dan menjejaki kehilangan Ahmad Mutawakkil.

6. Kekejaman dan kezaliman pihak pengganas terhadap masyarakat. Contohnya,


serangan maut pengganas komunis telah mengorbankan tiga orang pengurus
berbangsa Inggeris dalam serangan berkembar di Estet Ephill dan di Estet Sungai
Siput.

Watak dan Perwatakan

1. Watak utama -Ahmad Mutawakkil.


2. Watak-watak sampingan - Tuan Booth, Sandra, Imam Ngah Deraman, Penghulu
Ibrahim Sigap, isteri Tuan Booth, lima orang pengganas komunis, lima belas
keluarga buruh keturunan India, dan penduduk kampung.

Ahmad Mutawakkil
1. Ahmad Mutawakkil berusia 25 tahun ketika dia meninggal dunia akibat
ditembak oleh pengganas komunis.
2. Beliau merupakan anak tunggal Wak Sadir dan menjadi yatim piatu selepas
kematian ayahnya.
3. Beliau boleh membaca dan menulis bahasa Inggeris dengan baik.
4. Beliau bermisai nipis seperti bulu roma dan mempunyai perwatakan yang sangat
mengagumkan masyarakat kampungnya.
5. Beliau bekerja sebagai wartawan yang masyhur dan banyak menulis dalam surat
khabar.
6. Beliau seorang nasionalis muda yang mempunyai sifat patriotism yang tinggi
apabila dia secara terbuka berjuang menentang Inggeris.
7. Ahmad Mutawakkil bijak merancang masa depan. Contohnya, beliau belajar
menulis dan membaca daripada Sandra sewaktu beliau menumpang tinggal dengan
Tuan Booth.
8. Beliau petah berpidato. Contohnya, Ahmad Mutawakkil berjaya memukau
masyarakat kampung dengan pengucapan pidatonya yang lantang.
9. Beliau berani bersuara demi kebenaran melalui penulisannya dalam surat khabar
dan penyampaian pidatonya.
10. Ahmad Mutawakkil sanggup berkorban dan menggadaikan nyawanya untuk
mempertahankan keselamatan penduduk dan kampungnya daripada ancaman
pengganas komunis.
11. Beliau seorang yang menghargai jasa dan budi orang lain. Contohnya, Ahmad
Mutawakkil tetap menghargai jasa dan budi baik Tuan Booth dengan menghadiri
majlis yang diadakan oleh Tuan Booth di banglo estetnya.
12. Beliau seorang yang berhemah tinggi. Contohnya, Ahmad Mutawakkil
memberikan senyuman dan bersalam dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu
Ibrahim Sigap sebagai tanda minta diri.
13. Ahmad Mutawakkil sangat berpengaruh sehingga dihormati dan disegani oleh
penduduk di kampungnya dan di seluruh daerah.
14. Beliau seorang pemimpin parti yang berjiwa besar, iaitu dipilih memegang
jawatan pemimpin nombor dua pada peringkat daerah walaupun ketika itu beliau
berusia 24 tahun.

Tuan Booth
1. Tuan Booth merupakan pengurus ladang getah di estetnya.
2. Dia berbangsa Inggeris dan berasal dari England.
3. Dia mempunyai seorang isteri dan seorang anak perempuan bernama Sandra.
4. Tuan Booth seorang yang berkulit putih dan gemar berseluar pendek serta
bertopi bulat.
5. Tuan Booth ialah majikan kepada lima belas keluarga keturunan India yang
bekerja sebagai buruh di ladang getahnya.
6. Dia seorang yang murah dengan senyuman terutamanya apabila berjumpa
dengan masyarakat kampung berhampiran dengan estet getahnya.
7. Dia seorang yang baik hati. Contohnya, dia menjemput dan meraikan pasangan
pengantin penduduk kampung penulis di banglo estetnya.
8. Dia seorang yang peramah dan pandai menyesuaikan diri dengan masyarakat
tempatan. Contohnya, dia akan ke surau pada setiap petang untuk bersembang dan
bergaul mesra dengan penduduk kampung.
9. Dia seorang yang penyayang. Contohnya, dia membawa isteri dan anak
perempuannya berpindah seminggu sebelum kemaraan tentera Jepun di Tanah
Melayu.
10. Dia seorang yang suka berterus terang. Contohnya, Tuan Booth mengatakan
bahawa Ahmad Mutawakkil seorang nasionalis Melayu kerana berani menentang
Inggeris.

Sandra
1. Sandra ialah anak gadis tunggal kepada Tuan Booth yang telah berumur 27
tahun.
2. Dia seorang gadis yang bermata biru lembut dan berambut perang.
3. Dia seorang gadis berbangsa Inggeris yang fasih berbahasa Melayu.
4. Secara diam-diam, dia menyimpan perasaan cinta terhadap Ahmad
Mutawakkil.
5. Dia seorang yang baik hati. Contohnya, dia mengajar Ahmad Mutawakkil
membaca dan menulis ketika Ahmad Mutawakkil menumpang tinggal di banglo
bapanya.
6. Sandra seorang yang penyayang. Contohnya, dia menangis apabila menyedari
kehilangan buah hatinya, Ahmad Mutawakkil.
7. Dia seorang yang setia dalam percintaan. Contohnya, dia kembali semula ke
banglo peninggalan bapanya di estet setahun selepas Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan untuk mengajar anak-anak orang kampung lantaran kecintaannya yang
mendalam terhadap Ahmad Mutawakkil.

Imam Ngah Deraman


1. Imam Ngah Deraman ialah seorang imam surau di kampung penulis.
2. Dia seorang yang taat dan alim akan ajaran agama Islam.
3. Dia seorang yang bertanggungjawab. Contohnya, dia mengambil Ahmad
Mutawakkil sebagai anak angkatnya selepas Tuan Booth sekeluarga meninggalkan
banglo di estet getahnya.
4. Dia seorang yang mudah berkongsi maklumat. Contohnya, dia akan
menyampaikan apa-apa sahaja berita yang dikhabarkan oleh Ahmad Mutawakkil
kepada penduduk kampung.
5. Seorang yang rasional dan berprasangka baik. Contohnya, dia tidak
menghalang niat baik Tuan Booth sekeluarga yang meraikan pasangan pengantin
kampungnya selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak dan agama.
6. Seorang yang penyayang. Contohnya, wajah Imam Ngah Deraman pucat lesi
apabila menyedari kehilangan Ahmad Mutawakkil yang tidak hadir ke surau untuk
bersolat subuh secara berjemaah pada pagi Jumaat.

Latar

Latar Tempat
1. Surau kampung. Contohnya, kejadian Ahmad Mutawakkil meninggal dunia di
atas ribaan Imam Ngah Deraman sambil menggenggam tangan Penghulu Ibrahim
Sigap berlaku di surau kampung.
2. Banglo estet Tuan Booth. Contohnya, Tuan Booth tinggal bersama-sama dengan
isterinya dan seorang anak perempuannya, iaitu Sandra di banglo itu.
3. Estet Ephill dan Estet Sungai Siput. Contohnya, pengganas komunis telah
membunuh tiga orang pengurus berbangsa Inggeris di situ.
4. Bandar. Contohnya, Ahmad Mutawakkil bekerja membaca dan menjawab surat-
surat rahsia daripada Inggeris untuk kumpulan anti Jepun di bandar.
5. Kampung penulis. Contohnya, penduduk kampung mula merasai bahang
keganasan pihak komunis.
6. Tengah estet Tuan Booth. Contohnya, terdapat petempatan rumah teres yang
dihuni oleh lima belas keluarga buruh berbangsa India di tengah estet.
7. Pekarangan estet Tuan Booth. Contohnya, Ahmad Mutawakkil yang sudah
yatim piatu sering keluar masuk di pekarangan estet Tuan Booth.
8. Laman estet Tuan Booth. Contohnya, lima orang pengganas komunis
melepaskan beberapa das tembakan ke udara untuk menakutkan orang kampung di
laman estet Tuan Booth.
9. Kawasan kebun getah. Contohnya, pekerja berbangsa India bekerja sebagai
buruh di kawasan kebun getah.
10. Kebun kampung penulis. Contohnya, penduduk kampung bertani dengan
menanam pisang, ubi kayu, dan keledek di kebun.
11. Sawah. Contohnya, penduduk kampung penulis juga menanam padi sawah.
12. England. Contohnya, Tuan Booth sekeluarga pulang ke England seminggu
selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Latar Masa
1. Pertengahan tahun 30-an. Contohnya, keluarga Tuan Booth telah datang dan
menetap di sebuah rumah banglo di estet pada pertengahan tahun 30-an.
2. Waktu pagi. Contohnya, lima orang pengganas komunis telah menyerbu masuk
ke rumah Tuan Booth pada waktu pagi. Mereka mendesak Tuan Booth supaya
menasihati Ahmad Mutawakkil agar tidak menghasut rakyat membenci komunis.
3. Waktu petang. Contohnya, Tuan Booth akan menjengah ke surau selepas waktu
asar dan duduk berbual-bual dengan orang kampung.
4. Waktu malam. Contohnya, Ahmad Mutawakkil menyampaikan pidatonya untuk
menyeru masyarakat kampung agar bangkit menuntut kemerdekaan negara.
5. Seminggu sebelum Jepun mendarat di Tanah Melayu. Contohnya, Tuan Booth
sekeluarga telah meninggalkan banglo di estet getahnya pada tempoh tersebut.
6. Malam Jumaat, bulan Ogos tahun 1953. Contohnya, dalam keadaan cedera
parah, Ahmad Mutawakkil melangkah dengan longlai ke arah Imam Ngah Deraman
dan rebah di atas ribaannya sebelum akhirnya meninggal dunia pada malam Jumaat
tersebut.
7. 31 Ogos 1957. Contohnya, penduduk kampung mengadakan majlis doa
kesyukuran dan bacaan tahlil di surau pada malam kemerdekaan negara.
8. Seminggu selepas 31 Ogos 1957. Contohnya, Tuan Booth sekeluarga telah
pulang ke England seminggu selepas kemerdekaan negara.
9. 31 Ogos 1958. Contohnya, Sandra kembali semula ke banglo estet peninggalan
bapanya setahun selepas negara mencapai kemerdekaan untuk mengajar anak-anak
masyarakat kampung.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi. Contohnya,
Ahmad Mutawakkil lantang berpidato di surau kampungnya untuk menggesa
masyarakat kampung agar menolak perjuangan komunis.
2. Masyarakat berbangsa Melayu yang tinggal di kawasan perkampungan yang
terpencil. Contohnya, penulis bersyukur kerana penduduk kampung mereka jarang-
jarang dihendap askar Jepun disebabkan kedudukan kampung mereka di kawasan
pedalaman.
3. Masyarakat yang mengenang jasa pemuda yang banyak berkorban untuk
membebaskan tanah air daripada musuh. Contohnya, penduduk kampung
menganjurkan majlis doa kesyukuran dan bacaan tahlil sebagai mengenang jasa dan
pengorbanan Ahmad Mutawakkil.
4. Masyarakat yang menjadi mangsa keganasan pihak pengganas. Contohnya,
Ahmad Mutawakkil telah terkorban akibat ditembak dengan tiga das tembakan dari
jarak dekat.
5. Masyarakat tempatan yang bertindak kejam dan sanggup menjadi pembelot
terhadap negara. Contohnya, lima orang pengganas komunis termasuk dua orang
berbangsa Melayu sanggup menjadi pembelot ketika menyerbu masuk ke banglo
Tuan Booth pada suatu pagi.
6. Masyarakat penjajah asing yang mengaut keuntungan ekonomi tanah air.
Contohnya, Tuan Booth telah membuka estet getah dan mengupah lima belas
keluarga berketurunan India untuk bekerja sebagai buruh di estet getahnya.
7. Masyarakat yang menaruh perasaan cinta tanpa sempadan bangsa dan adat
resam. Contohnya, Sandra, anak gadis Tuan Booth amat menyayangi Ahmad
Mutawakkil.
8. Masyarakat kampung yang gigih bertani untuk keperluan sara hidup.
Contohnya, kebanyakan penduduk kampung penulis yang berbangsa Melayu bertani
padi sawah, pisang, ubi kayu, dan keledek.

Plot

Binaan Plot
1. Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara tidak kronologi.
2. Bahagian pengenalan atau eksposisi cerpen ini dimulai oleh pengarang dengan
memperkenalkan watak Ahmad Mutawakkil yang muncul secara tiba-tiba di pintu
surau kampungnya sebaik-baik sahaja para makmum selesai menunaikan solat
maghrib secara berjemaah. Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah dan
pakaiannya dipenuhi dengan darah dan lumpur.
3. Pada tahap perkembangan, melalui teknik imbas kembali, penulis menceritakan
kisah kampungnya kembali yang telah dipugar oleh poyangnya sejak tiga generasi
yang lalu. Selepas itu, bermula pertengahan tahun 30-an, Tuan Booth sekeluarga
telah datang ke kampung itu untuk meneroka belukar dengan mengupah beratus-
ratus orang buruh dan ditanami dengan pokok getah. Kemudian, masuk pula lima
belas keluarga buruh berketurunan India yang bekerja di estet getah milik Tuan
Booth itu. Seterusnya, kisah riwayat hidup Ahmad Mutawakkil yang menjadi yatim
piatu selepas kematian bapanya, Wak Sadir dan terpaksa menumpang hidup dengan
Tuan Booth selama tiga tahun turut dikisahkan.
4. Cerita sampai ke tahap perumitan apabila pendaratan askar Jepun di Tanah
Melayu pada tahun 1941 ternyata mengubah suasana damai di kampung penulis.
Ketiadaan Tuan Booth sekeluarga telah menyebabkan Ahmad Mutawakkil hidup
terbiar. Atas dasar prihatin dan tanggungjawab, Imam Ngah Deraman menjadikan
Ahmad Mutawakkil sebagai anak angkatnya. Tuan Booth kembali semula ke banglo
di estetnya selepas Jepun menyerah kalah. Sandra, anak gadis Tuan Booth telah
menyimpan perasaan kasihnya terhadap Ahmad Mutawakkil yang telah
mengundang pelbagai persoalan mengenai hubungan mereka dalam kalangan
masyarakat kampungnya. Lima orang pengganas komunis telah menyerbu banglo
Tuan Booth dan mendesak Tuan Booth supaya menasihati Ahmad Mutawakkil agar
tidak menghasut rakyat membenci ideologi komunis.
5. Puncak atau klimaks cerpen ini apabila Ahmad Mutawakkil telah didatangi oleh
seorang budak lelaki di surau pada malam Jumaat selepas dia selesai menyampaikan
ceramahnya. Keesokan harinya, kehilangan Ahmad Mutawakkil menimbulkan tanda
tanya dan kegelisahan dalam kalangan masyarakat kampung apabila seharian dia
tidak muncul di surau kampung itu. Gerakan mencari Ahmad
Mutawakkil di segenap pelosok kampung telah dijalankan oleh tiga kumpulan
pencari termasuklah Tuan Booth namun pencarian itu menemukan kegagalan.
6. Cerita mencapai tahap peleraian apabila Ahmad Mutawakkil meninggal dunia di
atas ribaan Imam Ngah Deraman akibat tembakan tiga butir peluru yang menembusi
belakang bahunya dari jarak dekat. Pada malam 31 Ogos 1957, penduduk kampung
telah mengadakan majlis doa kesyukuran sebagai tanda meraikan kemerdekaan
tanah air dan majlis bacaan tahlil sebagai tanda mengenang jasa arwah Ahmad
Mutawakkil yang telah terkorban. Setahun kemudian, Sandra kembali ke banglo
peninggalan bapanya di estet getah itu lantaran kenangannya yang tidak pernah
lenyap terhadap Ahmad Mutawakkil. Dia telah mengajar anak-anak penduduk
kampung membaca dan menulis.

Teknik Plot
Pelbagai teknik plot atau teknik penulisan yang digunakan oleh Zainal Rashid
Ahmad untuk mengembangkan plot cerpen "Cinta Ahmad Mutawakkil".
1. Teknik pemerian.
(a) Penulis memerihalkan keadaan Ahmad Mutawakkil sewaktu dia muncul secara
tiba-tiba di pintu surau kampungnya. Contohnya:
Dialah Ahmad Mutawakkil. Wajahnya berkerut-kerut; kedua-dua matanya
terpejam. Kemeja putih ala-ala peon British dipenuhi darah, manakala seluar
kelabunya dipenuhi kotoran. Malah, calitan lumpur dan sisa-sisa daun kering turut
melekat pada muka dan rambutnya. (hlm. 43)
(b) Penulis menggambarkan layanan baik dan kemesraan Tuan Booth sekeluarga
terhadap penduduk kampung yang diundang ke majlis yang diadakan di banglo
estetnya. Contohnya:
Sekalipun tanpa Ahmad Mutawakkil, kami sudah biasa bertandang ke banglo
mewah itu. Malah, ada ketikanya, majlis yang diadakan di estet itu turut disertai
orang perempuan. Isteri Tuan Booth yang terkenal dengan masakannya yang sedap-
sedap itu kerap menghidangi kami dengan menu Orang Putih. Lebih istimewa, pada
setiap kali ada majlis perkahwinan, Tuan Booth sekeluarga pasti akan meraikan
pasangan pengantin di estetnya. (hlm. 50)
2. Teknik dialog.
(a) Dialog antara Ahmad Mutawakkil dengan Sandra. Ahmad Mutawakkil sangat
terhutang budi atas kesudian Sandra mengajarnya menulis dan membaca.
Contohnya:
"Kalau bukan awak yang ajar saya menulis dan membaca," kata Ahmad
Mutawakkil, "tak mungkin saya jadi wartawan. Saya sangat terhutang budi."
Gadis itu tersenyum, menjawab dalam bahasa Melayu yang fasih. "Dari dulu,
saya tau awak bijak ... tapi saya tak sangka, awak akan sehebat ini."
(hlm. 52)
(b) Dialog seorang daripada pengganas komunis yang telah mendesak Tuan Booth
supaya menyampaikan mesej amaran kepada Ahmad Mutawakkil. Contohnya:
"Gua tau ... lu ... dia punya kawan baik, Kasi tau sama itu Ahmad. Kalau mau
ini kampung aman, jangan hasut orang benci komunis dalam surat khabar atau
mana-mana tempat." (hlm. 53)
3. Teknik imbas kembali.
(a) Penulis mengimbas kembali peristiwa kedatangan satu keluarga Orang Putih ke
kampungnya. Contohnya:
Pertengahan tahun 30-an, datang satu keluarga Orang Putih mengupah beratus-
ratus orang buruh, termasuk kami sendiri meneroka belukar. Tak lama kemudian,
berjejerlah anak-anak getah. (hlm. 44)
(b) Penulis juga teringat kembali kisah Ahmad Mutawakkil ketika berusia 17 tahun.
Contohnya:
Usia Ahmad Mutawakkil pada waktu itu, baru 17 tahun. Meskipun masih
terlalu muda remaja, setiap kata dan tindak-tanduk Ahmad Mutawakkil sangat
berpengaruh. Selain dihormati di kampungnya sendiri, dia juga disegani di seluruh
daerah. (hlm. 48)
4. Teknik imbas muka.
Penulis membayangkan ketiadaan Sandra, anak gadis Tuan Booth pada malam
penyampaian pidato oleh Ahmad Mutawakkil di kampungnya berkemungkinan
disebabkan faktor kesihatan atau faktor merajuk. Contohnya:
Agak memeranjatkan, si rambut perang bermata biru lembut itu tidak
kelihatan. "Barangkali dia tak sihat .., atau merajuk dengan Ahmad Mutawakkil ...
atau ... . " (hlm. 54)
5. Teknik kejutan.
(a) Kemunculan mengejut Ahmad Mutawakkil dalam keadaan cedera parah di pintu
surau pada permulaan cerita menimbulkan kejutan kepada pembaca sedangkan
dialah watak utama dalam cerpen ini. Contohnya:
Ahmad Mutawakkil dalam keadaan terhuyung-hayang, bangun perlahan-lahan.
Sebelah tangannya memaut tiang pintu, manakala sebelah lagi terkulai. Waktu itu,
kami sedar – perkara yang ditakuti belakangan ini, benar-benar terjadi. (hlm. 43)
(b) Kemunculan semula Sandra di banglo peninggalan bapanya di estet getah
setahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan benar-benar memberikan
kejutan kepada pembaca dan penduduk kampung. Contohnya:
Tuan Booth sekeluarga balik ke England seminggu selepas merdeka, tapi
setahun kemudian - ketika kami bersiap-siap di surau meraikan setahun merdeka -
gadis Inggeris berambut perang dan bermata biru lembut itu muncul semula.
(hlm. 58)
6. Teknik saspens.
(a) Peristiwa kehadiran Sandra, anak gadis Tuan Booth di surau pada setiap kali
Ahmad Mutawakkil pulang ke kampung untuk berceramah benar-benar
menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kalangan penduduk kampung dan pembaca
tentang hubungan sebenar antara mereka berdua. Contohnya:
Dalam diam-diam, sebenarnya kami juga ingin tahu, apatah lagi setelah
menyedari kehadiran anak gadis Tuan Booth di surau, setiap kali Ahmad
Mutawakkil balik ke kampung untuk berceramah. (hlm. 51)
(b) Peristiwa kemaraan askar Jepun yang menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941
telah menimbulkan tanda tanya kepada pembaca tentang nasib penduduk kampung
itu. Contohnya:
Sebaik-baik saja perang pecah pada tahun 1941 dan Jepun masuk, keadaan jadi
berkecamuk. Suasana kehidupan kampung dipengap ketakutan. (hlm. 46)
(c) Peristiwa keberanian Ahmad Mutawakkil secara terang-terangan mengkritik
orang Melayu yang sanggup diperalat oleh Parti Komunis Malaya benar-benar
menimbulkan tanda tanya kepada pembaca tentang nasib yang akan menimpa
Ahmad Mutawakkil itu. Contohnya:
Selain citra merdeka, dalam ceramah pada malam itu, dengan nada penuh
kesal, Ahmad Mutawakkil turut mengkritik orang Melayu yang sanggup diperalat
Parti Komunis Malaya. Walaupun, siang tadi Penghulu Ibrahim Sigap berulang kali
menasihatinya agar tidak menyentuh perihal komunis, Ahmad Mutawakkil tetap
lantang membidas. (hlm. 54)
7. Teknik monolog dalaman.
(a) Penulis melahirkan rasa kesyukuran dalam hatinya atas dua perkara walaupun
ketika itu Jepun sedang menjajah negerinya itu. Contohnya:
Namun, kami bersyukur atas dua perkara. Pertama, kampung kami terpencil, maka
jarang-jaranglah dihendap oleh Jepun ... . Kedua, kami bersyukur kerana kacau-
bilau zaman Jepun menyedarkan kami betapa hinanya hidup terjajah.
(hlm. 46)
(b) Penulis melahirkan rasa rindunya terhadap kata-kata semangat yang pernah
diungkapkan oieh Ahmad Mutawakkii yang kini hanya menjadi kenangan.
Contohnya:
Kami sentiasa rindu akan kata-kata semangat anak muda itu: "Tanah Melayu pasti
Merdeka!" (hlm. 58)
Gaya Bahasa
1. Bahasa Arab. Contohnya:
(a) solat maghrib (hlm. 43)
(b) Alhamdulillah (hlm. 48)
(c) syahadah (hlm. 56)
2. Bahasa slanga. Contohnya:
"Gua tau ... lu ... dia punya kawan baik. Kasi tau sama itu Ahmad. Kalau mau
ini kampung aman, jangan hasut orang benci komunis dalam surat khabar atau
mana-mana tempat." (hlm. 53)
3. Perulangan atau repetisi. Contohnya:
(a) Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.
(hlm. 50)
(b) ...tak terkesan sebarang jejak, tak ketemu sebarang tanda atau petunjuk.
(hlm. 56)
(c) Barangkali, dek kenangan yang tak pernah lenyap, atau demi kecintaan yang
tak pernah padam,... (hlm. 58)
4. Personifikasi. Contohnya:
(a) ...seluruh ketenangan hidup warisan moyang-poyang kami terasa tersentap pergi
dan terlucut begitu saja daripada genggaman. (hlm. 46)
(b) ... tiada seorang pun antara kami yang pernah diratah atau dirobek peluru.
(hlm. 46)
(c) ...ketegangan merayap ke seluruh negara dan sampai juga ke kampung kami.
(hlm. 52)
(d) Parti Komunis Malaya mula menggila. (hlm. 52)
(e) … Ahmad Mutawakkil menyusur tangga lalu menghilang ditelan kegelapan
malam. (hlm. 54)
5. Simile. Contohnya:
(a) Anak tunggal arwah Wak Sadir yang selama ini disanjung laksana lampu ayan
yang menerangi kampung, kini di ambang maut. (hlm. 43)
(b) Sawah pula, laksana lautan emas kala musim menuai. (hlm. 46)
(c) Pada usia 15 tahun, Ahmad Mutawakkil laksana jendela – tempat kami
menjenguk dunia. (hlm. 48)
(d) Misai terunanya tak ubah macam bulu roma, tetapi perawakannya sangat
mengesankan. (hlm. 48)
(e) Darah membuak-buak bagai mata air. (hlm. 56)
6. Metafora. Contohnya:
(a) Garisan perang (hlm. 46)
(b) bola matanya (hlm. 48)
(c) sayap parti (hlm. 48)
7. Sinkope. Contohnya:
(a) "Aku tak sangka budak tu pandai menulis..." (hlm. 47)
(b) "Dari dulu, saya tau awak bijak ... tapi saya tak sangka, awak akan sehebat ini."
(hlm. 52)
8. Paradoks. Contohnya:
(a) Suaranya bersahaja, tetapi setiap patah perkataan yang disebutnya cukup untuk
menyemarakkan hati sanubari kami. (hlm. 48)
(b) Meskipun masih terlalu muda remaja, setiap kata dan tindak-tanduk Ahmad
Mutawakkil sangat berpengaruh. (hlm. 48)
9. Peribahasa. Contohnya:
(a) anak angkatnya (hlm. 47)
(b) menjaga tepi kain orang (hlm. 51)
(c) macam kera mendapat bunga (hlm. 51)
(d) minta diri (hlm. 54)
(e) tangan kosong (hlm. 56)

Nilai

1. Nilai kasih sayang. Contohnya, Tuan Booth amat menyayangi isteri dan anak
perempuannya, Sandra apabila dia bertindak membawa mereka meninggalkan
banglo di estetnya seminggu sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.
2. Nilai patriotisme/cinta akan negara. Contohnya, Ahmad Mutawakkil berjuang
meniupkan api semangat patriotik melalui penulisannya di surat khabar dan melalui
ceramah yang disampaikannya kepada masyarakat kampung.
3. Nilai keberanian. Contohnya, Ahmad Mutawakkil berani bersuara dengan
lantang dan secara terang-terangan membidas dan mengkritik perjuangan pihak
komunis.
4. Nilai ketabahan. Contohnya, Ahmad Mutawakkil tabah berdepan dengan
pelbagai cabaran dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan negara.
5. Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Ahmad Mutawakkil bijak memanfaatkan
peluang semasa menumpang di banglo Tuan Booth selama tiga tahun dengan belajar
membaca dan menulis daripada Sandra.
6. Nilai tanggungjawab. Contohnya, Imam Ngah Deraman bertanggungjawab
mencari dan membawa Ahmad Mutawakkil pulang ke rumahnya selepas Tuan
Booth sekeluarga meninggalkan banglonya seminggu sebelum Jepun menyerang
Tanah Melayu.
7. Nilai kerjasama. Contohnya, tiga kumpulan pencari bekerjasama meredah
belukar dan hutan di seluruh pelosok kampung untuk mencari jejak Ahmad
Mutawakkil yang hilang.
8. Nilai hormat-menghormati. Contohnya, Tuan Booth sekeluarga menghormati
masyarakat kampung penulis yang berbangsa Melayu walaupun mereka berlainan
agama, bangsa, dan adat resam.
9. Nilai mengenang jasa. Contohnya, penduduk kampung menganjurkan majlis doa
kesyukuran dan bacaan tahlil untuk mengenang jasa dan pengorbanan Ahmad
Mutawakkil sebagai nasionalis yang banyak berjasa kepada penduduk kampung.
10. Nilai pengorbanan. Contohnya, Ahmad Mutawakkil sanggup berkorban dan
mempertaruhkan nyawanya untuk membebaskan tanah air daripada ancaman
komunis dan penjajah Inggeris.

Pengajaran

1. Kita hendaklah berani dalam melakukan sebarang tindakan. Contohnya,


Ahmad Mutawakkil berani bersuara dengan lantang untuk mengajak rakyat menolak
perjuangan songsang komunis.
2. Kita mestilah memupuk semangat cinta akan negara untuk memerdekakan
tanah air daripada anasir pengganas dan penjajah. Contohnya, Ahmad Mutawakkil
merupakan nasionalis muda yang bersemangat dalam menggesa rakyat menentang
penjajah Inggeris.
3. Kita perlulah bekerjasama dan bantu-membantu untuk melakukan sesuatu
perkara. Contohnya, tiga kumpulan pencari bekerjasama meredah belukar dan hutan
di seluruh pelosok kampung untuk mencari Ahmad Mutawakkil yang telah
menghilangkan diri.
4. Kita hendaklah tabah menghadapi pelbagai kesulitan dan keperitan hidup pada
zaman perang. Contohnya, masyarakat kampung penulis tabah menghadapi
kesulitan ketika zaman pendudukan Jepun dan era komunis yang menggila.
5. Kita mestilah mengenang budi seseorang yang banyak berjasa kepada agama,
bangsa dan tanah air. Contohnya, masyarakat kampung penulis menganjurkan
bacaan tahlil khusus untuk arwah Ahmad Mutawakkil sebagai mengenangkan jasa
dan pengorbanannya.
6. Kita hendakiah mempererat ikatan kasih sayang sesama ahli keluarga sekali
gus melindungi mereka daripada sebarang bahaya atau ancaman. Contohnya, Tuan
Booth membawa ahli keluarganya berpindah dari banglo di estetnya seminggu
sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu.
7. Kita hendaklah bijak mengambil peluang untuk menambahkan ilmu.
Contohnya, Ahmad Mutawakkil telah belajar membaca dan menulis dalam bahasa
Inggeris daripada Sandra ketika dia menumpang selama tiga tahun di banglo Tuan
Booth.

Latihan

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan
yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Selain citra merdeka, dalam ceramah pada malam itu, dengan nada penuh
kesal, Ahmad Mutawakkil turut mengkritik orang Melayu yang sanggup diperalat
Parti Komunis Malaya. Walaupun, siang tadi Penghulu Ibrahim Sigap berulang kali
menasihatinya agar tidak menyentuh perihal komunis, Ahmad Mutawakkil tetap
lantang membidas.
"Mereka bukan pejuang, tapi orang yang sanggup menjual agama dan bangsa
kepada komunis."
Apa-apa pun, kami lega. Tiada sebarang gangguan komunis dan keadaan di
sekitar surau tenang, aman.
Sekalipun majlis ceramah sudah usai, kami orang lelaki, masih bersantai di
surau. Kira-kira pukul 11:00 malam, seorang budak lelaki mendekati Ahmad
Mutawakkil yang sedang berbual-bual dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu
Ibrahim Sigap.
Budak lelaki itu membisikkan sesuatu. Kemudian, kami nampak Ahmad
Mutawakkil tersenyum, bangun lalu bersalaman, tanda minta diri.
Kami masih duduk bergebang di beranda surau sambil menghirup saki-baki
kopi ketika Ahmad Mutawakkil menyusur tangga lalu menghilang ditelan kegelapan
malam.

(Dipetik daripada cerpen "Cinta Ahmad Mutawakkil" oleh Zainal Rashid Ahmad
dalam antologi Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd.)

(i) Apakah kandungan ceramah yang disampaikan oleh Ahmad Mutawakkil


berdasarkan petikan di atas? [2 markah]
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________

(ii) Pada pendapat anda, wajarkah Ahmad Mutawakkil membidas perihal


gerakan Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu pada waktu itu?
Berikan tiga alasan anda. KBAT [3 markah]
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
(iii) Huraikan satu persoalan yang terkandung dalam petikan di atas dan satu
persoalan lain daripada cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
Pemahaman Teks Cerpen (10 markah)

Sinopsis – “Hipertensi”

Cerpen ini mengisahkan seorang pelajar bernama Aiman Aqil yang sangat
meminati bidang penerokaan sains angkasa lepas. Cerita dimulakan dengan kisah
Aiman yang berehat di rumah banglo keluarganya yang terletak di lereng bukit yang
sudah gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah. Kemudian,
cerita ini berkisar tentang peristiwa masa lalu yang ditempuhi oleh Aiman sepanjang
perjalanan hidupnya. Aiman teringat kembali peristiwa Cikgu Faridah mengajarnya
dan murid-murid sekelasnya yang lain berkaitan dengan Teori Graviti yang
dicetuskan oleh Isaac Newton. Dalam sesi pengajaran subjek Sains tersebut, berlaku
perdebatan idea antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga suasana di dalam
kelas itu menjadi riuh. Cikgu Faridah menggelar Aiman sebagai profesor disebabkan
kepintarannya dan dia mempunyai daya berfikir yang tinggi serta matang berbanding
dengan rakan-rakannya yang lain.

Aiman juga teringat akan kisah dirinya sebagai anak sulung dan mempunyai
dua orang adik perempuan, iaitu Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah. Ketika di rumah,
Aiman selalu menyindir adik-adiknya yang kurang bijak menyelesaikan masalah
matematik. Ketika menuntut di sekolah rendah, Aiman teringat akan perbuatannya
yang selalu ponteng sekolah akibat berasa bosan dan jelak dengan silibus sekolah
rendah yang dikatakan tidak setanding dengan daya pemikirannya yang cerdik dan
pintar pada waktu itu. Disebabkan Aiman dikurniakan daya berfikir yang tinggi, dia
gemar menyakat kawan-kawannya yang agak lambat menyelesaikan latihan
terutamanya bagi mata pelajaran Matematik. Perbuatannya yang suka menyakat
kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu
ditegur oleh guru kelas. Guru kelas Aiman melaporkan perkara itu kepada ibu bapa
Aiman. Ibu dan bapa Aiman berasa marah apabila mengetahui hal tersebut. Bapa
Aiman telah merotan Aiman pada bahagian pinggul sehingga lebam.

Aiman telah ponteng kelas disebabkan lebam pada pinggulnya yang belum
hilang. Kesempatan itu digunakan oleh Aiman untuk berhalusinasi tentang dunia
penerokaan sains angkasa lepas. Dalam imaginasinya itu, usianya pada waktu itu
telah ditambah sepuluh tahun. Sebatang pohon nyiur dara di penjuru banglonya
diandaikan sebagai tempat berlepas ke angkasa lepas dengan menggunakan sebuah
kapal angkasa Soyuz. Sikap peliknya terhadap dunia penerokaan sains angkasa lepas
dengan menjadikan pohon kelapa dara sebagai lokasi imaginasi telah diketahui oleh
ibu dan bapanya. Kesudahannya, pinggul Aiman dirotan lagi oleh bapanya. Ibunya
memprotes tindakan bapanya itu di dalam hati sahaja.

Aiman semakin galak membayangkan dirinya sebagai seorang angkasawan


yang telah diberi peluang mengikuti latihan intensif di bawah program aeroangkasa
bersama-sama dengan pihak Rusia. Aiman membayangkan dirinya sebagai seorang
angkasawan yang akan mendarat di bulan dengan menaiki kapal angkasa Soyuz dari
Stesen Angkasa Antarabangsa. Aiman berpendapat bahawa dia perlu membuat
kajian saintifik di Stesen Angkasa Antarabangsa itu terlebih dahulu sebelum dia
meneroka bulan. Seterusnya, daya imaginasi Aiman semakin meluas apabila dia
membayangkan dirinya berada di ruang udarakasa bulan tanpa udara. Dengan
berpakaian lengkap sebagai seorang angkasawan, dia melihat ciri-ciri fizikal dan
keadaan bulan yang sebenar.

Setelah Aiman meningkat remaja, daya imaginasinya terhadap dunia


penerokaan sains angkasa lepas itu masih kuat. Keadaan itu menyebabkan bapanya
yang tegas dan kasar itu sering kali menampar Aiman yang masih kuat berangan-
angan sehingga menyebabkan dia menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman
yang gagap dalam pertuturan, bapa dan ibu Aiman telah membawa Aiman untuk
menjalani latihan intensif dan latihan terapi. Aiman terdengar suara ghaib yang
mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu melihat dirinya sendiri dalam
kehidupan yang realiti dan lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Aiman berasa
bahawa ibu dan bapanya tidak perlu lagi membawanya untuk mengikuti latihan
intensif dan latihan terapi itu. Akhirnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu
jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.

Tema
1. Tema cerpen "Hipertensi" adalah tentang keinginan yang tinggi dalam bidang
sains angkasa sehingga menyebabkan Aiman Aqil membayangkan dirinya berada
dalam suasana di angkasa lepas.
2. Aiman sering berhalusinasi tentang dunia penerokaan sains angkasa lepas dengan
menjadikan sebatang pohon kelapa dara di penjuru banglonya sebagai tempat
berlepas ke angkasa dengan sebuah kapal angkasa.
Persoalan

1. Tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Contohnya, ibu bapa Aiman


membawa Aiman untuk menjalani latihan intensif dan latihan terapi bagi
memulihkan pertuturannya yang gagap.
2. Kebijaksanaan dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Contohnya, Aiman
Aqil bijak menyelesaikan latihan Matematik murid tingkatan lima walaupun ketika
itu dia masih bersekolah rendah.
3. Rasional dalam membuat sebarang keputusan atau tindakan. Contohnya, guru
kelas Aiman memberikan amaran dengan tegas kepada Aiman supaya dia kembali
ke tempat duduknya dan tidak mengganggu murid-murid lain menyiapkan latihan.
4. Pengorbanan seorang guru terhadap anak murid. Contohnya, Cikgu Faridah
mengajar Aiman Aqil dan murid-murid yang lain subjek Sains dengan bersungguh-
sungguh.
5. Impian dan angan-angan yang tidak kesampaian. Contohnya, hasrat dan
impian Aiman Aqil untuk menjadi seorang angkasawan tidak tercapai apabila dia
hanyalah sekadar berimaginasi.
6. Perasaan dendam akibat kesalahan masa lampau. Contohnya, Aiman Aqil
masih menyimpan dendam terhadap perbuatan bapanya yang pernah merotan dan
menamparnya.

Watak dan Perwatakan

1. Watak utama - Aiman Aqil.


2. Watak-watak sampingan - bapa Aiman, ibu Aiman, Cikgu Faridah, Fadilah
Fatnin, Azilah Atiqah, dan sebagainya.

Aiman Aqil
1. Aiman Aqil berumur hampir 20 tahun.
2. Dia berwajah agak cengkung dan memiliki jari-jemari tangan yang kurus runcing.
3. Dia merupakan anak sulung dan mempunyai dua orang adik perempuan, iaitu
Fadilah Fatnin dan Azilah Atiqah.
4. Aiman seorang yang bercakap gagap, iaitu mulutnya ternganga lebar dahulu
sebelum keluar kata-kata.
5. Aiman mementingkan pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan
gaya hidup sihat.
6. Dia seorang murid yang pintar dalam pelajaran terutamanya dalam subjek
Matematik dan Sains.
7. Aiman bercita-cita tinggi, iaitu menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang
angkasawan yang berjaya seperti Neil Armstrong.
8. Dia gemar menyakat orang lain. Contohnya, Aiman selalu merayau dan
menyakat rakan-rakan sekelasnya hingga dia diberikan amaran oleh guru kelasnya.
9. Dia seorang yang suka memberontak dan marah-marah terhadap suasana
persekitarannya. Contohnya, Aiman akan ponteng kelas setelah dirotan oleh
bapanya.
10. Dia seorang yang pendendam, iaitu menyimpan dendam terhadap kebengisan
bapanya yang sering merotan dan menamparnya.
11. Aiman seorang yang insaf. Contohnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang
terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.

Bapa Aiman
1. Bapa Aiman mempunyai tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan
Azilah Atiqah.
2. Dia bertugas sebagai seorang jurutera mekanikal.
3. Dia dipanggil dengan gelaran "babah" oleh Aiman dan anak-anaknya.
4. Dia seorang yang bertanggungjawab dengan membesarkan tiga orang anaknya
di sebuah rumah.
5. Dia seorang yang bengis dan garang, iaitu dia pernah menampar Aiman dan
merotan Aiman kerana kedegilan dan kenakalan anaknya itu.
6. Dia seorang yang penyayang, iaitu dia berusaha merawat masalah kegagapan
anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan terapi.
Ibu Aiman
1. Ibu kepada tiga orang anak, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
2. Ibu Aiman bertugas sebagai seorang saintis dalam bidang geologi.
3. Dia seorang yang penyayang. Contohnya, dia berasa kasihan setiap kali melihat
Aiman dirotan oleh suaminya.
4. Dia seorang isteri yang taat dan patuh akan suami. Contohnya, ibu Aiman tidak
melawan apabila suaminya merotan Aiman.
5. Dia seorang yang penyabar, iaitu dia tetap bersabar dengan sikap garang
suaminya dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman yang bersikap kontras
dengan suaminya.

Cikgu Faridah
1. Cikgu Faridah ialah guru Sains di sekolah Aiman.
2. Dia seorang yang dedikasi. Contohnya, dia menerangkan ilmu Teori Graviti
secara bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
3. Dia seorang yang cepat marah. Contohnya, wajahnya segera berubah apabila
Aiman mempertikaikan teori graviti yang diajarinya dengan kuasa Tuhan.
4. Cikgu Faridah seorang yang bijak melihat potensi murid. Contohnya, dia
menggelar Aiman sebagai profesor kerana kepintaran dan kecerdikan muridnya itu.

Latar

Latar Tempat
1. Sekolah. Contohnya, Aiman dan rakan-rakannya belajar mata pelajaran Sains
daripada Cikgu Faridah di sekolah.
2. Rumah banglo Aiman. Contohnya, Aiman sekeluarga tinggal di sebuah rumah
banglo.
3. Stesen Angkasa Antarabangsa. Contohnya, tempat permulaan kapal angkasa
Soyuz ke bulan adalah di Stesen Angkasa Antarabangsa.
4. Ruang udarakasa bulan. Contohnya, Aiman terapung-apung di ruang udara itu
dengan berpakaian sebagai seorang angkasawan.
5. Pohon kelapa dara di penjuru banglo. Contohnya, Aiman mengandaikan pohon
itu sebagai Stesen Angkasa Antarabangsa dan kapal angkasa Soyuz.

Latar Masa
1. Waktu siang. Contohnya, peristiwa Aiman belajar di sekolahnya berlaku pada
waktu siang.
2. Waktu pagi. Contohnya, peristiwa Aiman Aqil dilahirkan di bilik bersalin berlaku
pada waktu pagi.
3. Zaman sekolah rendah. Contohnya, Aiman kerap ponteng kelas semasa di
sekolah rendah kerana sikapnya yang mudah bosan dan jelak terhadap pengajaran
guru.
4. Zaman remaja. Contohnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh
berimaginasi dan kembali ke dunia realiti.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang bercita-cita tinggi untuk menjadi seseorang yang
diidamkannya. Contohnya, Aiman Aqil menyimpan angan-angan dan bercita-cita
untuk menjadi seorang angkasawan yang berjaya seperti Neil Amstrong.
2. Masyarakat yang bijak dan pintar dalam pelajaran. Contohnya, Aiman Aqil
merupakan murid yang bijak dan pintar dalam pelajaran.
3. Masyarakat yang bekerja sebagai pendidik. Contohnya, Cikgu Faridah
merupakan guru mata pelajaran Sains yang mengajar Aiman dan rakan-rakannya.
4. Masyarakat yang penyayang terhadap ahli keluarga. Contohnya, ibu Aiman amat
menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
5. Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap penyakit anaknya. Contohnya,
bapa Aiman berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan membawa
Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.
6. Masyarakat yang mendidik anak secara bengis dan garang. Contohnya, bapa
Aiman merotan dan menampar Aiman apabila dia melakukan kesalahan tanpa
berusaha untuk menasihati atau memujuknya.
7. Masyarakat yang insaf akan kesilapan lalu. Contohnya, Aiman sedar akan
kesilapannya yang terlalu jauh berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya
ke hadrat Ilahi.
8. Masyarakat yang berpendirian tegas dalam membuat keputusan. Contohnya,
guru kelas Aiman memberikan amaran dengan tegas kepada Aiman supaya dia
kembali ke tempat duduknya dan tidak mengganggu murid-murid lain menyiapkan
latihan.
9. Masyarakat pendendam yang masih mengingati kisah lalu. Contohnya, Aiman
Aqil masih menyimpan dendam terhadap perbuatan bapanya yang pernah merotan
dan menamparnya.

Plot

Binaan Plot
1. Plot cerpen ini disusun mengikut kronologi.
2. Bahagian pengenalan atau eksposisi cerpen ini mengisahkan watak Aiman yang
berehat di rumah banglo keluarganya. Banglo tersebut terletak di lereng bukit yang
sudah gondol akibat kerja-kerja penerokaan dan pembangunan tanah.
3. Cerita sampai ke tahap perkembangan apabila melalui teknik imbas kembali,
iaitu Aiman teringat tentang Cikgu Faridah mengajarnya dan murid-murid yang
sekelas dengannya berkaitan dengan Teori Graviti yang dicetuskan oleh Isaac
Newton. Dalam sesi pengajaran subjek Sains tersebut, berlaku perdebatan idea
antara Aiman dengan Cikgu Faridah sehingga mencetuskan suasana riuh di dalam
kelas itu. Cikgu Faridah menggelar Aiman sebagai profesor disebabkan
kepintarannya dan dia mempunyai daya berfikir yang tinggi dan matang berbanding
dengan rakan-rakannya yang lain.
4. Cerita memasuki tahap perumitan apabila Aiman teringat akan perbuatannya
yang selalu ponteng sekolah akibat berasa bosan dan jelak dengan silibus sekolah
rendah yang dikatakan tidak setanding dengan daya pemikirannya yang cerdik dan
pintar pada waktu itu. Disebabkan Aiman dikurniakan daya berfikir yang tinggi, dia
gemar menyakat kawan-kawannya yang agak lambat menyiapkan latihan
terutamanya bagi mata pelajaran Matematik. Perbuatannya yang suka menyakat
kawan-kawannya dan merayau di dalam kelas itu menyebabkan Aiman selalu
ditegur oleh guru kelas. Guru kelas Aiman melaporkan perkara itu kepada ibu dan
bapa Aiman. Ibu dan bapa Aiman berasa marah apabila mengetahui hal tersebut.
Bapa Aiman telah merotan Aiman pada bahagian pinggul sehingga lebam.
5. Puncak atau klimaks cerpen ini apabila daya imaginasi Aiman terhadap dunia
penerokaan sains angkasa lepas itu masih begitu kuat setelah Aiman meningkat
remaja. Keadaan itu menyebabkan bapanya yang tegas dan kasar itu sering kali
menampar Aiman yang masih kuat berangan-angan sehingga menyebabkan dia
menjadi gagap. Bagi mengatasi masalah Aiman yang gagap dalam pertuturan, bapa
dan ibu Aiman telah membawa Aiman untuk menjalani latihan intensif dan latihan
terapi.
6. Cerita mencapai tahap peleraian apabila Aiman Aqil sedar dan insaf daripada
imaginasi dan angan-angannya selama ini. Hal ini demikian kerana dia terdengar
suara ghaib yang mengajaknya agar berpijak di bumi yang nyata, iaitu melihat
dirinya sendiri dalam kehidupan realiti dan lebih mendekatkan diri kepada Ilahi.

Teknik Plot
Pelbagai teknik plot atau teknik penulisan yang digunakan oleh Illias Zaidi untuk
mengembangkan plot cerpen "Hipertensi".
1. Teknik pemerian.
(a) Penulis memerihalkan keadaan Aiman Aqil sewaktu dia dilahirkan di bilik
bersalin. Contohnya:
Nama sebenar murid lelaki yang bernama Aiman itu ialah Aiman Aqil.
Dia bangga akan nama itu, nama yang diberikan sebaik-baik sahaja rengekan
pertama memecah kesunyian di bilik bersalin. Pada ketika itu, Sang Suria
memuncaki ubun-ubun. (hlm. 60)
(b) Penulis menggambarkan situasi Aiman yang berada di ruang udarakasa dalam
keadaan berpakaian lengkap sebagai seorang angkasawan. Contohnya:
Dia terus terapung-apung di udarakasa bulan tanpa udara. Pakaian
angkasa lepas yang serba putih dan lengkap itu membekalinya oksigen. Di
kiri dan di kanannya kelihatan padang pasir yang luas terhampar persis
Sahara keadaannya. (hlm. 64-65)
2. Teknik dialog.
(a) Dialog antara Aiman Aqil dengan Cikgu Faridah berhubung dengan Teori
Graviti yang diperkenalkan oleh Isaac Newton. Contohnya:
Perlahan-lahan Aiman bangun. "Newton ambil ingatan akan daya
graviti dapat menetapkan kedekatan bulan dengan bumi."
"Maksudnya?" Satu lagi pertanyaan terlantun daripada Cikgu
Faridah, ... (hlm. 61)
(b) Perbualan antara Aiman Aqil dengan adiknya, Fadilah Fatnin yang sedang
menyiapkan kerja rumah Matematik. Contohnya:
"Ah, tambah, kurang, darab dan bahagi yang mudah itu pun tak boleh
jawab!" Aiman mengetis sindiran kepada adik-adiknya yang sedang membuat
kerja rumah.
"Babah, tengok abang ni, ganggu kami nak buat kerja rumah," yang
tengah selalu marah-marah terhadap sikap abangnya. (hlm. 62)
3. Teknik imbas kembali.
(a) Aiman teringat semula tentang Teori Graviti yang dicetuskan oleh Isaac
Newton, seorang saintis berbangsa Inggeris ketika sebiji buah mempelam
gugur di hadapannya secara tiba-tiba. Contohnya:
Sebiji buah mempelam jatuh terlepap di hadapannya, gugur dengan tiba-tiba.
Spontan, dia teringat akan Isaac Newton, saintis berbangsa Inggeris itu.
(hlm. 59)
(b) Aiman Aqil teringat kembali kisahnya ketika belajar di sekolah rendah. Dia
selalu ponteng sekolah dengan alasan berasa bosan dan jelak dengan
pengajaran guru di kelas. Contohnya:
Dulu-dulu ketika di sekolah rendah, Aiman selalu ponteng sekolah.
"Bosan dan jelak," tingkahnya kepada babah dan ibu. (hlm. 62)
4. Teknik imbas muka.
Aiman membayangkan dirinya sudah lulus dalam peperiksaan pada peringkat
pengajian tinggi dengan memperoleh ijazah kelas pertama dalam bidang
aeroangkasa. Contohnya:
Betapa tidak; dia membayangkan dirinya sudah lulus pengajian tinggi, dapat
ijazah pertama dalam bidang aeroangkasa. (hlm. 62)
5. Teknik kejutan.
(a) Keberanian Aiman Aqil untuk melontarkan pendapatnya berhubung dengan
Teori Graviti yang sedang diajarkan oleh Cikgu Faridah benar-benar
menimbulkan kejutan kepada pembaca dan rakan murid di kelasnya.
Contohnya:
"Alam semesta sebaik-baik kejadian pada sisi Allah Taala." Riuh
gemuruh terus berterusan menyambut jawapan ringkasnya. (hlm. 61)
(b) Kedegilan Aiman Aqil yang berterusan mengganggu rakan sekelasnya hingga
dia dirotan oleh bapanya juga menimbulkan kejutan kepada pembaca kerana
tindakan keras bapanya itu. Contohnya:
Babah dan ibu marah. Dendam yang bertakung sekian lama di dalam
tasik hati mencair dalam detik momen yang singkat. Aiman dirotan. Ibu
mengemukakan bantahan dan protes dalam hati. (hlm. 62)
6. Teknik saspens.
Peristiwa percanggahan pendapat antara Aiman Aqil dengan Cikgu Faridah benar-
benar menimbulkan tanda tanya dan perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca
dan murid tentang penyelesaian pendapat mereka berdua itu. Contohnya:
Wajah Cikgu Faridah spontan berubah, memercikkan darah amarah yang
nampaknya macam tidak terkawal, tidak terbatal. Sedar akan hakikat itu, cepat-
cepat Aiman membetulkan jawapannya. (hlm. 61)
7. Teknik monolog dalaman.
(a) Aiman bermonolog bahawa dia tidak akan berasa hairan dengan Teori Graviti
yang diperkenalkan oleh Isaac Newton sekiranya dia lahir pada tahun yang
sama dengan beliau. Contohnya:
"Jika aku lahir sezaman dengan Newton pada tahun 1642, ataupun
beberapa dekad kemudian, aku pasti tidak berasa hairan tentang sebab buah
mempelam itu gugur dengan tiba-tiba," fikir Aiman. (hlm. 59)
(b) Aiman menimbulkan pertanyaan dalam hatinya sama ada dia selamat
berlepas dan mendarat di Stesen Angkasa Antarabangsa kelak atau tidak.
Contohnya:
Adakah dia selamat berlepas dan mendarat di Stesen Angkasa
Antarabangsa? (hlm. 63)

Gaya Bahasa

1. Istilah sains angkasa lepas. Contohnya:


(a) orbit (hlm. 61)
(b) aeroangkasa (hlm. 62)
(c) planet (hlm. 64)
2. Bahasa Inggeris. Contohnya:
(a) IQ (hlm. 61)
(b) genius (hlm. 62)
3. Perulangan atau repetisi. Contohnya:
(a) Tidak ada udara. Tidak ada air. (hlm. 65)
(b) ...daunnya kian keras dan lidinya kian liat. (hlm. 66)
(c) Di manakah harmonisnya? Di manakah humanisnya? (hlm. 66)
(d) Paul Broca, pakar anatomi dan pakar antropologi berbangsa Perancis.
(hlm. 67)
4. Personifikasi. Contohnya:
(a) Sang Suria memuncaki ubun-ubun. (hlm. 60)
(b) Kebanggaannya kian menguntum dan terkelopak kembang mawar mewangi
menyentuhi deria penghiduan. (hlm. 60)
(c) Keriangan sudah tercantas, tapi masalah belum terurai dan terungkai.
(hlm. 62)
(d) Kawah besar ternganga tidak jauh daripada situasi keterapungannya.
(hlm. 65)
(e) Tamparan selalu singgah di pipiku. (hlm. 66)
5. Simile. Contohnya:
(a) ...memercikkan darah amarah yang nampaknya macam tidak terkawal, ...
(hlm. 61)
(b) "Bukankah aku yang sedang terlompat-lompat macam beruk dan kera di
bulan," (hlm. 64)
(c) Dia merasakan bahangnya umpama sudah mencecah angka 150 darjah
Celsius;... (hlm. 65)
(d) Dirinya semacam terpenjara ratusan tahun lamanya. (hlm. 66)
(e) ...adakah dia akan terjun bersama-sama dengan beberapa biji buah kelapa
seperti Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya? (hlm.66)
6. Metafora. Contohnya:
(a) dedaun kemaafan (hlm. 62)
(b) tasik hati (hlm. 62)
(c) Pentas halusinasinya (hlm. 63)
7. Sinkope. Contohnya:
(a) Betapa tak bangganya? (hlm. 60)
(b) "Apalah kau ni Chee Keong, masalah mudah itu pun kau tak dapat buat."
(hlm. 62)
8. Inversi. Contohnya:
(a) Perlahan-lahan Aiman bangun. (hlm. 61)
Sepatutnya: Aiman bangun perlahan-lahan.
(b) Keterujaan Aiman terus melonjak. (hlm. 63)
Sepatutnya: Aiman terus melonjak keterujaan.
(c) Sekali lagi dia kaget. (hlm. 65)
Sepatutnya: Dia kaget sekali lagi.

Nilai
1. Nilai kasih sayang. Contohnya, ibu Aiman amat menyayangi anak-anaknya, iaitu
Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
2. Nilai kebijaksanaan. Contohnya, Aiman boleh menyelesaikan latihan Matematik
murid tingkatan lima walhal umurnya ketika itu baru lapan tahun.
3. Nilai belas kasihan/bersimpati. Contohnya, ibu Aiman berasa kasihan setiap kali
melihat Aiman dirotan oleh suaminya.
4. Nilai dedikasi. Contohnya, Cikgu Faridah menerangkan ilmu Teori Graviti
dengan bersungguh-sungguh kepada Aiman dan kawan-kawannya.
5. Nilai tanggungjawab. Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat masalah
kegagapan anaknya dengan membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan
terapi.
6. Nilai kesabaran. Contohnya, ibu Aiman bersabar dengan sikap garang suaminya
dalam mendidik anak-anak terutamanya Aiman.
7. Nilai keinsafan. Contohnya, Aiman sedar akan kesilapannya yang terlalu jauh
berimaginasi lalu memanjatkan doa dan harapannya ke hadrat Ilahi.
8. Nilai kebersihan mental dan fizikal. Contohnya, Aiman mementingkan
pengambilan makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.
9. Nilai rasional. Contohnya, guru kelas Aiman berfikiran rasional dengan
memberikan amaran keras kepada Aiman supaya dia kembali ke tempat duduknya
dan tidak mengganggu murid-murid lain menyiapkan latihan.

Pengajaran

1. Kita mestilah menyayangi ahli keluarga kita. Contohnya, ibu Aiman amat
menyayangi anak-anaknya, iaitu Aiman Aqil, Fadilah Fatnin, dan Azilah Atiqah.
2. Kita hendaklah bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Contohnya,
Aiman boleh menyelesaikan latihan matematik murid tingkatan lima walhal
umurnya ketika itu baru lapan tahun.
3. Kita mestilah dedikasi dan amanah dalam melaksanakan tugas yang diberikan.
Cikgu Faridah menerangkan ilmu Teori Graviti dengan bersungguh-sungguh kepada
Aiman dan kawan-kawannya.
4. Kita perlulah bertanggungjawab terhadap aspek kesihatan ahli keluarga.
Contohnya, bapa Aiman berusaha merawat masalah kegagapan anaknya dengan
membawa Aiman menjalani latihan intensif dan latihan terapi.
5. Kita hendaklah bersabar apabila berdepan dengan masalah. Contohnya, ibu
Aiman bersabar dengan sikap garang suaminya dalam mendidik anak-anak
terutamanya Aiman.
6. Kita mestilah rasional dalam melaksanakan sesuatu tindakan. Contohnya, guru
kelas Aiman berfikiran rasional dengan memberikan amaran keras kepada Aiman
supaya dia tidak mengganggu rnurid-murid lain menyiapkan latihan.
7. Kita haruslah mementingkan kebersihan mental dan fizikal untuk menjalani
kehidupan yang sihat dan berkualiti. Contohnya, Aiman mementingkan
pengambilan makanan yang seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Latihan
Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Paul Broca, pakar anatomi dan pakar antropologi berbangsa Perancis.


Kucintai penemuan tahun 1861 itu, fungsi otak manusia bergantung pada bahagian
yang membina otak itu sendiri.
Branca memeriksa pesakit gagap melalui pendekatan rawatan khusus dan
terapi. Perkara yang lebih penting, layanan mesra berpaksikan pendekatan humanis
melalui teknologi perlakuan dan sahsiah rupa diri. Dia hanya dapat mengucapkan
satu suku kata, biarpun dia faham penuh akan pertuturan yang dilafazkan. Akhirnya,
dia fasih berbicara.

Keadaan diriku lebih baik, fikir Aiman. Situasi pertuturanku tidak segagap itu.
Aku dapat bertutur, biarpun mulutku ternganga lebar dahulu sebelum lahir diksi
yang berisi. Babah barangkali tidak tahu akan penemuan Broca. Babah lebih dekat
pada kejuruteraan mekanikal. Ibu juga saintis, tetapi lebih pada bidang geologi.

Aiman teringat akan bisikan halus yang didengarinya ketika dia dalam
keterasingan di planet bulan melalui pentas halusinasinya. Suara ghaib itu
mengajaknya agar lebih mendekatkan diri kepada Ilahi. Jangan kaubinasakan habitat
semula jadi di planet bumi. Salahnya barangkali, dia menganggap pucuk kelapa
muda sebagai kapal Soyuz, yang menghantuinya sekian lama. Aiman tidak perlu
akan latihan yang intensif dan istimewa itu, babah; tidak perlu akan latihan terapi
itu, ibu. Aiman akan mengusahakannya sendiri.

(Dipetik daripada cerpen "Hipertensi" oleh Illias Zaidi


dalam antologi Sejadah Rindu, Sasbadi Sdn. Bhd.)

(i) Mengapakah Aiman merasakan nasibnya lebih baik berbanding dengan Paul
Broca? [2 markah]
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
(ii) Pada pendapat anda, apakah kelebihan yang dapat diperoleh Aiman melalui
latihan intensif dan latihan terapi yang dijalaninya?
Nyatakan tiga kelebihan tersebut. (KBAT) [3 markah]
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________

(iii) Huraikan satu perwatakan Aiman yang terdapat dalam petikan di atas dan
satu perwatakan Aiman yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.[4 markah]
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________
_____________________________________________________________

Pemahaman Teks Cerpen (10 markah)


Sinopsis – “Gerhana Manusia”

Cerpen ini memaparkan kisah seorang doktor yang mementingkan ganjaran


material ketika merawat pesakit sehingga menyebabkan berlakunya pengabaian nilai
kemanusiaan. Profesor Doktor Juaidi cuba mempengaruhi kakitangannya agar
memastikan semua pek darah yang ada di hospital tersebut hanya diberikan kepada
Tuan Besar Musa yang menjadi penyumbang utama kepada jamuan tahunan kelab
elit mereka.

Nusia sedang memberikan rawatan kepada Tuan Besar Musa yang koma dan
semakin tenat akibat pengambilan minuman keras selama bertahun-tahun. Nusia
memberitahu Doktor Murni berkaitan dengan bank darah yang sudah kehabisan stok
tabung darah. Doktor Murni mengarahkan Nusia agar menghebahkan masalah itu
kepada pihak media dengan harapan ada insan yang mahu menderma darahnya
kepada Tuan Besar Musa.

Dalam keadaan dirinya yang sedang koma dan tenat itu, Nusia merasakan
bahawa Tuan Besar Musa tidak mampu lagi diselamatkan kerana dia hanya hidup
bergantung pada alat sokongan hayat. Bagi Nusia, dalam keadaan kritikal tersebut,
bacaan surah Yasin dan pengucapan Syahadah lebih diperlukan. Nusia turut
mempersoalkan waris Tuan Besar Musa yang tidak kelihatan menjenguknya. Doktor
Murni menyatakan bahawa Profesor Doktor Juaidi mahu Tuan Besar Musa hidup.
Nusia mempertikaikan tindakan Profesor Doktor Juaidi itu. Menurut Nusia, harapan
Tuan Besar Musa untuk hidup adalah terlalu nipis dan arahan Profesor Doktor Juaidi
supaya dia memasukkan darah ke dalam tubuh Tuan Besar Musa itu dianggap suatu
pembaziran. Doktor Murni meminta Nusia agar tidak terlalu beremosi dan menurut
sahaja arahan itu.
Di wad Unit Rawatan Rapi terdapat pesakit-pesakit yang sedang koma serta
menunggu bantuan darah untuk membolehkan mereka kembali sihat. Solehah tenat
dan koma akibat pundi janinnya yang pecah di ovari. Al-Hafiz pula ditimpa
kemalangan kereta. Di wad Unit Rawatan Rapi itu juga terdapat bayi buangan yang
hampir kekeringan darah, gadis malang yang koma dan tenat akibat didera, dan
mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia. Nusia mengatakan bahawa selagi
riwayat hidup pesakit di wad itu ditentukan oleh Profesor Doktor Juaidi, maka
selama itulah akan berlaku ketidakadilan dalam proses rawatan di situ.

Profesor Doktor Juaidi mengarahkan Doktor Murni mendapatkan sepuluh pek


darah daripada hospital lain dengan segera setelah diberitahu bahawa bank darah di
hospital sudah kehabisan. Profesor Doktor Juaidi memberitahu Nusia bahawa Tuan
Besar Musa merupakan tokoh korporat dan teknokrat yang banyak menyumbangkan
dana kepada kelab elit hospital itu. Sifat dermawannya yang telah menaja majlis
makan malam tahunan yang bernilai ratusan ribu menyebabkan Profesor Doktor
Juaidi berasa amat terhutang budi dan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan
nyawanya.

Nusia memberitahu bahawa tekanan darah Solehah semakin rendah. Profesor


Doktor Juaidi menyuruh Nusia memberikan gelafundin untuk menggantikan darah
disebabkan bekalan darah tidak mencukupi. Nusia mempertikaikan tindakan
Profesor Doktor Juaidi yang tidak mahu memberikan darah tulen kepada Solehah.
Profesor Doktor Juaidi menyoal Nusia mengenai status perempuan yang sedang
koma itu jika dibandingkan dengan Tuan Besar Musa. Akhirnya, Nusia akur dengan
arahan Profesor Doktor Juaidi dan mengambil sebotol gelafundin lalu dimasukkan
ke dalam tubuh Solehah yang sedang koma untuk menggantikan darah.
Nusia meluahkan rasa kesalnya kepada Doktor Murni mengenai pek-pek
darah di dalam bank darah di hospital itu adalah kepunyaan kelab yang boleh dijual.
Doktor Murni memujuk Nusia supaya tidak terlalu emosional kerana mereka ialah
golongan minoriti di hospital itu. Nusia mengatakan bahawa berlakunya pembaziran
darah apabila seratus pek darah diperlukan selama dua hari untuk menyelamatkan
Tuan Besar Musa yang koma serta memang tidak boleh diselamatkan. Walhal, hanya
empat pek darah diperlukan untuk menyelamatkan mahasiswa yang berpenyakit
leukemia itu dan setengah pek darah sahaja diperlukan untuk menghidupkan bayi
buangan yang sedang koma.

Nusia memberitahu juruteknik makmal darah bahawa hanya lima pek darah
diperlukan untuk memberikan peluang kepada empat orang yang sedang koma pulih
kembali. Juruteknik makmal darah itu menegaskan bahawa darah itu adalah untuk
kegunaan Tuan Besar Musa. Nusia menjelaskan bahawa Tuan Besar Musa
sebenarnya sudah mati kerana hanya adrenalina, dopamin, serta atropina yang masih
merangsang denyutan jantungnya ketika itu. Juruteknik makmal darah itu termakan
pujukan Nusia dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia
menjelaskan kepada juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung
segala risiko atas tindakannya itu.

Nusia berasa bahawa bantuan darah-darah itu mampu menyelamatkan


Solehah, mahasiswa yang menghidap penyakit leukemia, dan menyembuhkan al-
Hafiz yang boleh mengajar beratus-ratus tahfiz kecil. Bagi Nusia, sekiranya lima pek
darah itu dimasukkan ke dalam tubuh Tuan Besar Musa, nilai pembaziran yang amat
besar dilakukan oleh Profesor Doktor Juaidi.

Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawa Tuan Besar


Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan adrenalina, dopamin dan atropina.
Namun demikian, Tuan Besar Musa yang sedang tenat dan koma itu gagal
diselamatkan dan meninggal dunia. Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan kerana
kematiannya menyebabkan kelab elit mereka akan kehilangan tajaan sebanyak
RM100 ribu.

Doktor Murni datang dan memberikan surat peletakan jawatannya sebagai


doktor perubatan di hospital itu yang mengetepikan nilai kemanusiaan terhadap
pesakit. Keadaan itu menyebabkan Profesor Doktor Juaidi tercengang dengan
keputusan Doktor Murni itu. Kemudian, Doktor Murni menggapai tangan Nusia dan
mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat menderma darah untuk disalurkan
kepada semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan Rapi itu.

Tema

1. Cerpen "Gerhana Manusia" bertemakan kepentingan ganjaran material


membatasi nilai kemanusiaan dalam proses rawatan kepada pesakit.
2. Profesor Doktor Juaidi amat mementingkan ganjaran material dalam
melaksanakan tanggungjawabnya hingga mengabaikan nilai kemanusiaan terhadap
pesakit-pesakit di hospitalnya.

Persoalan

1. Perasaan kasih sayang sesama manusia. Contohnya, sebagai jururawat, Nusia


amat prihatin dan sayang akan pesakit-pesakitnya seperti Solehah.
2. Pengabaian nilai kemanusiaan akibat ganjaran material. Contohnya, Profesor
Doktor Juaidi bersungguh-sungguh memberikan rawatan kepada Tuan Besar Musa
yang menjadi penyumbang dana kelab elit hospitalnya sebanyak RM100 ribu.
3. Ketabahan pesakit melawan penyakit yang dihadapi. Contohnya, mahasiswa
yang sedang menghidap penyakit leukemia dan Solehah yang koma akibat pundi
janinnya pecah di ovari tabah melawan penyakit mereka itu.
4. Kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah. Contohnya, Profesor Doktor
Juaidi meminta Doktor Murni menghubungi hospital lain bagi mendapatkan bekalan
darah tulen untuk mengisi tabung darah di hospitalnya yang kehabisan stok.
5. Tanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas. Contohnya, Doktor
Murni dan Nusia berusaha untuk memberikan khidmat rawatan yang baik terhadap
pesakit-pesakitnya termasuklah Tuan Besar Musa dan Solehah.
6. Rasional dalam membuat tindakan. Contohnya, Doktor Murni menyerahkan
surat peletakan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu kerana yakin
bahawa ada hospital lain yang akan mendapatkan khidmatnya.
7. Percaya kepada qada dan qadar. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi berusaha
menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa daripada meninggal dunia tetapi
perancangan Allah SWT yang menentukan segala-galanya.

Watak dan Perwatakan

1. Watak utama - Nusia.


2. Watak-watak sampingan - Doktor Murni, Profesor Doktor Juaidi, Tuan Besar
Musa, juruteknik makmal darah, Solehah, al-Hafiz, seorang bayi buangan, seorang
gadis yang tenat akibat didera, dan seorang mahasiswa yang menghidap penyakit
leukemia.

Nusia
1. Nusia ialah seorang jururawat yang bertugas di wad Unit Rawatan Rapi di
sebuah hospital.
2. Dia merupakan seorang yang akur akan perintah ketua. Contohnya, dia menurut
arahan Profesor Doktor juaidi supaya memberikan sebotol gelafundin kepada
Solehah untuk menggantikan darah tulen.
3. Nusia seorang yang penyayang, iaitu dia amat menyayangi dan mengambil berat
terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
4. Nusia seorang yang bertanggungjawab, iaitu dia berusaha untuk memberikan
khidmat rawatan terhadap pesakitnya, Tuan Besar Musa dengan penuh
tanggungjawab.
5. Dia seorang yang sangat bersimpati. Contohnya, dia menitiskan air mata apabila
melihat penderitaan yang ditanggung oleh Solehah.
6. Dia seorang yang berhati mulia. Contohnya, dia dan Doktor Murni bersama-
sama ke bank darah untuk menderma darah untuk kegunaan pesakit di hospital itu.
7. Nusia merupakan seorang yang pandai memujuk. Contohnya, dia berjaya
memujuk juruteknik makmal darah di hospital itu agar menyerahkan lima pek darah
tulen sejuk kepadanya untuk kegunaan pesakit lain yang sedang koma.

Doktor Murni
1. Doktor Murni merupakan pegawai perubatan muda di sebuah hospital.
2. Dia bertugas merawat pesakit di wad Unit Rawatan Rapi (lCU) di hospital itu.
3. Doktor Murni mementingkan aspek kemanusiaan pesakit. Contohnya, dia
menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai doktor kerana tidak berpuas hati
dengan kaedah rawatan untuk pesakit di hospital itu.
4. Dia seorang yang prihatin dan bertanggungjawab. Contohnya, dia
memaklumkan kepada Profesor Doktor Juaidi mengenai bekalan darah di bank darah
hospital itu yang telah kehabisan stok.
5. Dia bersifat tenang ketika merawat pesakit. Contohnya, dia menasihati Nusia
agar tidak terlalu emosional ketika merawat Tuan Besar Musa.
6. Doktor Murni merupakan seorang yang berpendirian tegas. Contohnya, dia
menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai doktor perubatan tanpa sebarang
syarat.
7. Doktor Murni bersikap rasional dalam membuat tindakan. Contohnya, dia
menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu
kerana yakin bahawa ada hospital lain yang akan mendapatkan khidmatnya.

Profesor Doktor Juaidi


1. Profesor Doktor Juaidi merupakan pegawai perubatan senior di sebuah hospital.
2. Dia merupakan ketua jabatan kepada Doktor Murni dan seorang jururawat,
Nusia.
3. Profesor Doktor Juaidi sudah berumur, bermata bulat, dan berkening lebat.
4. Dia amat mementingkan ganjaran material daripada nilai kemanusiaan.
Contohnya, dia berasa tertekan apabila Tuan Besar Musa meninggal dunia kerana
kelab elit hospitalnya akan kehilangan tajaan berjumlah RM100 ribu.
5. Dia seorang yang bijak dalam menyelesaikan masalah. Contohnya, dia
meminta Doktor Murni menghubungi hospital lain bagi mendapatkan bekalan darah
tulen untuk mengisi tabung darah di hospitalnya yang kehabisan stok.
6. Dia seorang yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, dia meminta Nusia
menggunakan gelafundin bagi menggantikan darah tulen untuk dimasukkan ke
dalam tubuh Solehah.
7. Profesor Doktor Juaidi mementingkan aktiviti sosial. Contohnya, dia dan ahli
kelab elit akan berpesta dengan minuman keras ketika majlis sosial diadakan.

Tuan Besar Musa


1. Tuan Besar Musa merupakan seorang ahli korporat dan teknokrat yang
memiliki gedung perniagaan yang besar.
2. Dia merupakan seorang dermawan.
3. Tuan Besar Musa ialah suami kepada wanita jelita yang tidak setia.
4. Dia mempunyai sepasang anak yang menjadi penagih dadah berjenis heroin.
5. Tuan Besar Musa mempunyai perut yang buncit.
6. Dia mengambil minuman keras selama bertahun-tahun.
7. Tuan Besar Musa seorang pesakit yang sedang koma namun akhirnya
meninggal dunia akibat kegagalan fungsi tubuhnya yang mengalami kehilangan
darah yang banyak.
8. Dia merupakan penyumbang utama dana kepada kelab elit hospital. Contohnya,
dia pernah memberikan sumbangan sebanyak RM100 ribu kepada kelab.
9. Dia mempunyai ahli keluarga yang tidak bertanggungjawab. Contohnya,
sepanjang dia menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi, tiada seorang pun ahli
keluarganya yang datang melawat.

Latar
Latar Tempat
1. Wad Unit Rawatan Rapi. Contohnya, wad Unit Rawatan Rapi ialah tempat
bertugas Doktor Murni dan Nusia.
2. Bank darah. Contohnya, tempat stok pek darah disimpan adalah di bank darah.
3. Hospital. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi bertugas di hospital.
Latar Masa
1. Dua hari. Contohnya, peristiwa berlaku sepanjang dua hari, iaitu hari ini dan
semalam.
2. Hari ini. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan
nyawa Tuan Besar Musa namun gagal setelah dia menghembuskan nafasnya yang
terakhir.
3. Hari semalam/kelmarin. Contohnya, Nusia telah memasukkan 50 pek darah ke
dalam tubuh Tuan Besar Musa tetapi 50 pek darah itu keluar semula melalui rongga
hidung dan melalui punggung.

Latar Masyarakat.
1. Masyarakat yang bersimpati atau prihatin terhadap pesakit. Contohnya, Nusia
berusaha memberikan khidmat rawatan terhadap pesakit-pesakitnya termasuklah
Tuan Besar Musa, Solehah, dan pesakit-pesakit lain yang sedang koma.
2. Masyarakat yang tidak berperikemanusiaan terhadap kesihatan pesakit.
Contohnya, Profesor Doktor Juaidi hanya merawat dan memberikan perhatian
terhadap Tuan Besar Musa dan mengabaikan pesakit-pesakit lain yang sedang koma.
3. Masyarakat yang hanya mementingkan ganjaran material semata-mata.
Contohnya, Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk menyelamatkan nyawa Tuan
Besar Musa dan dia berasa tertekan apabila Tuan Besar Musa meninggal dunia
kerana kelab elit hospitalnya akan kehilangan tajaan dana berjumlah RM100 ribu.
4. Masyarakat yang akur akan perintah ketua. Contohnya, Nusia menurut arahan
Profesor Doktor Juaidi supaya memberikan sebotol gelafundin kepada Solehah
untuk menggantikan darah tulen.
5. Masyarakat yang bertugas di hospital. Contohnya, Profesor Doktor Juaidi dan
Doktor Murni sebagai pegawai perubatan manakala Nusia bertugas sebagai
jururawat.
6. Masyarakat yang penyayang. Contohnya, Nusia dan Doktor Murni amat
menyayangi dan mengambil berat terhadap kesihatan pesakit-pesakitnya.
7. Masyarakat yang berhati mulia dan murah hati. Contohnya, Nusia dan Doktor
Murni bersama-sama ke bank darah untuk menderma darah bagi kegunaan pesakit
di hospital itu.
8. Masyarakat yang bijak dalam menyelesaikan masalah. Contohnya, Profesor
Doktor Juaidi meminta Doktor Murni menghubungi hospital lain bagi mendapatkan
bekalan darah tulen untuk tabung darah di hospitalnya yang kehabisan stok.

Plot

Binaan Plot
1. Peristiwa-peristiwa dalam plot cerpen ini disusun secara kronologi.
2. Bahagian pengenalan atau eksposisi cerpen ini dimulai oleh pengarang dengan
memperkenalkan watak Tuan Besar Musa yang sedang koma dan tenat akibat
perbuatannya yang mengambil minuman keras selama bertahun-tahun. Pada waktu
itu, Nusia, Doktor Murni, dan Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk
menyelamatkan nyawanya yang berada di ambang maut.
3. Pada tahap perkembangan, Nusia memberitahu Doktor Murni berkaitan dengan
stok tabung darah di bank darah yang sudah habis. Doktor Murni mengarahkan
Nusia menghebahkan masalah itu kepada pihak media dengan harapan ada insan
yang mahu mendermakan darahnya kepada Tuan Besar Musa.
4. Cerita sampai ke tahap perumitan apabila Nusia berasa bahawa Tuan Besar Musa
tidak mampu lagi diselamatkan dalam keadaan dirinya yang sedang koma dan tenat
serta hidup dengan hanya bergantung pada alat sokongan hayat. Nusia membantah
tindakan Profesor Doktor Juaidi yang memintanya memasukkan darah tulen ke
dalam tubuh Tuan Besar Musa kerana 50 pek darah yang dimasukkan ke
dalam tubuhnya sebelum itu telah keluar semula. Selepas itu, Nusia memujuk
juruteknik makmal darah agar memberikan lima pek darah tulen yang sejuk itu untuk
kegunaan pesakit-pesakit lain. Juruteknik makmal darah itu termakan pujukan Nusia
dan menyerahkan lima pek darah sejuk itu kepadanya. Nusia menjelaskan kepada
juruteknik makmal darah itu bahawa dia sanggup menanggung segala risiko atas
tindakannya itu.
5. Puncak atau klimaks cerpen ini apabila Profesor Doktor Juaidi berusaha untuk
menyelamatkan nyawa Tuan Besar Musa dengan meningkatkan kadar penggunaan
adrenalina, dopamin, dan atropina.
6. Cerita mencapai tahap peleraian apabila Tuan Besar Musa gagal diselamatkan
dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Profesor Doktor Juaidi berasa tertekan
atas kematian Tuan besar Musa kerana kelab elit mereka akan kehilangan tajaan
sebanyak RM100 ribu. Doktor Murni datang dan menyerahkan surat peletakan
jawatannya sebagai doktor perubatan di hospital itu. Kemudian, Doktor Murni
menggapai tangan Nusia dan mengajaknya ke bank darah supaya mereka dapat
mendermakan darah untuk semua pesakit yang sedang koma di wad Unit Rawatan
Rapi itu.

Anda mungkin juga menyukai