Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI

Alhamdulilah, syukur ke hadrat Ilahi dengan izin dan limpah-Nya saya dapat
menyiapkan kerja kursus ini pada masa yang telah ditetapkan. Sekalung penghargaan
diucapkan kepada Ustazah Isyah Radhiah Binti Idris kerana telah banyak memberi
bimbingan, dorongan, nasihat dan tunjuk ajar kepada saya sepanjang proses menyiapkan
kerja kurus Seni Dalam Pendidikan (PIMK3025) dan tidak lupa kepada rakan sekumpulan
iaitu Khairunisa Binti Suratman serta rakan-rakan sekelas yang sentiasa memberi tunjuk
ajar dan semangat. Subjek Seni Dalam Pendidikan (SDP) merupakan subjek yang
membantu perkembangan intelek terutamanya dari aspek penyelesaian masalah malah
dapat memotivasikan diri untuk menjadi guru yang kreatif, inovatif, peka, berpersonaliti
yang seimbang, berketerampilan dan profesional.

Pada era globalisasi ini, kita menghadapi zaman yang sangat mencabar terutama
dalam bidang kerjaya seorang guru kerana para pendidik hendaklah mempunyai
kemahiran dan kecekapan dalam pelbagai bidang. Salah satu antaranya ialah bidang
kesenian yang merupakan satu aspek yang sangat penting untuk menarik minat pelajar.
Tambahan lagi, kerja kursus ini secara tidak langsung telah memupuk minat saya dalam
bidang seni untuk menjadi seorang guru yang lebih berkemahiran. Pada pendapat saya,
subjek SDP memberi kelebihan kepada saya sebagai seorang bakal guru yang mana
akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih aktif dan
menyeronokkan. Tugasan ini merupakan salah satu platform latihan dan persediaan
kepada bakal pendidik yang bertujuan untuk melahirkan guru yang berseni dalam
menyampaikan ilmu terutamanya dalam bidang agama. Dalam proses pembelajaran,
kanak-kanak amat tertarik dengan bunyi, muzik dan pergerakan maka seorang guru
hendaklah seimbang dan serba boleh dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Tugasan yang pertama ialah kami telah disuruh untuk menghasilkan kit
pembelajaran (learning tool) yang bertepatan dengan tema yang kami pilih. Saya dan
rakan sekumpulan telah bersepakat untuk memilih tajuk “Puasa” yang ada dalam
Dokumen Standard Kandungan Pelajaran untuk murid-murid tahun 6. Dalam proses
menyediakan kit pembelajaran, saya dan rakan sekumpulan mengambil masa yang agak
lama dalam mencari maklumat untuk membuat lirik dan menyesuaikan tempo dengan lagu
yang telah dipilih. Kami telah membuat keputusan untuk menggunakan lagu “Keluarga
Bahagia” yang diambil daripada salah satu album kumpulan Saujana. Namun, lirik yang
dihasilkan tidak bersesuaian dengan tempo lagu tersebut dan tidak teratur dari sudut
penceritaan tentang tema yang telah kami pilih membuatkan kami berasa sedikit terbeban
dengan masalah tersebut. Oleh hal yang demikian, saya mengambil masa yang agak
lama dalam membuat, mengubah dan menyusun lirik mengikut tempo. Namun,
disebabkan masalah yang sebegini telah membuat saya menjadi seorang yang lebih
tabah dalam mengharungi kehidupan malah kemahiran dan tahap kreativiti dalam diri saya
semakin meningkat.

Bagi pendapat saya, melalui kerja kursus ini saya telah mengetahui prosedur, cara
serta teknik dalam menyiapkan sesuatu tugasan terutamanya tugasan yang memerlukan
banyak idea dan bahan menarik supaya dapat memberi keseronokan dan keceriaan
kepada murid-murid untuk mempelajari sesuatu tajuk terutamanya dalam bidang
pendidikan Islam agar murid-murid mudah untuk faham. Sepanjang proses membuat kerja
kursus ini, banyak benda baru yang saya pelajari serta ketahui. Melalui SDP kita dapat
mengetahui secara lebih terperinci kepentingan dan manfaat yang boleh didapati setelah
mempelajari Seni Dalam Pendidikan (SDP).

Menurut Lowenfeld dan Brittian (1986), matlamat guru-guru sekolah rendah dalam
proses pengajaran dan pembelajaran ialah untuk membentuk kanak-kanak dengan
kemahiran memerhati, kesedaran dan arif tentang pergerakan, bunyi, tekstur dan irama.
Dalam proses menyiapkan kerja kursus ini, saya juga dapat bekerjasama dengan rakan
saya dalam menyediakan dan mempersembahkan kit pembelajaran (learning tool).
Tugasan ini membuatkan kami menjadi seorang bakal guru yang gigih berusaha, kreatif
serta inovatif dalam pelbagai namun ketika hendak menyiapkan tugasan ini terdapat
banyak kekangan yang harus kami tempuhi untuk mendapat hasil yang mantap. Proses
penghasilan kit pembelajaran telah mengajar saya erti kerjasama antara satu sama lain
amat diperlukan kerana melalui kolaborasi yang positif kerja yang dihasilkan akan nampak
sempurna.

Selain itu, kami juga ditugaskan untuk menyunting sebuah video mengikut tema yang
telah dipilih dengan menggunakan aplikasi “Windows Movie Maker ”. Melalui aplikasi
tersebut saya memasukkan pelbagai animasi dan kartun yang boleh membuatkan kanak-
kanak berasa tertarik dan tidak mudah bosan. Pada awalnya, saya kurang mengetahui
teknik atau cara yang betul menggunakan aplikasi tersebut namun hasil daripada
pertolongan rakan saya, maka saya pandai menggunakan aplikasi tersebut dalam masa
yang sangat singkat. Saya amat berterima kasih kepada rakan sekelas saya kerana telah
memudahkan saya dalam proses menyiapkan tugasan yang diberikan. Kami juga telah
ditugaskan untuk membuat slaid dalam perisian Microsoft Powerpoint untuk menerangkan
secara ringkas tentang niat, rukun, syarat wajib, adab dan perkara-perkara yang berkaitan
tentang puasa. Kami juga telah ditugaskan untuk mempersembahkan kit pembelajaran
yang telah digubah dan dihasilkan. Melalui tugasan ini kami dapat meningkatkan
keyakinan dalam diri setiap bakal guru. Melalui tugasan ini kami diterapkan dengan cara
untuk meningkatkan keyakinan diri untuk berdepan dengan masalah yang bakal dihadapi
pada masa akan datang. Kami telah mengubah lirik dan memuat naik beberapa gambar
supaya murid-murid lebih mudah untuk memahami.

Tambahan lagi, pengetahuan dan kemahiran saya turut bertambah dari segi
membuat taakulan, menyelesaikan masalah, berimaginasi, membuat analisis serta
menjadi seorang yang berfikiran lebih kritis dan kreatif. Tugasan yang telah diberi
melibatkan pengintegrasian seni visual dan muzik ke dalam proses PDP dan melalui
proses menyiapkan tugasan ini memberi kesan yang positif dalam diri saya sebagai
seorang guru. Melalui kit pembelajaran yang telah dihasilkan maka murid-murid akan
lebih mudah memahami dari segi menghubungkaitkan ilmu baru dengan pengetahuan
yang sedia ada malah dapat memberi gambaran mengenai pengetahuan baru dengan
pelbagai kaedah dan bentuk. Oleh hal yang demikian, SDP penting dalam menyampaikan
ilmu pengetahuan terutama pada peringkat sekolah rendah kerana mereka lebih tertarik
kepada benda yang variasi, aktif, menarik serta menyeronokkan.

Kesimpulannya, seni sebenarnya tidak salah jika diamalkan dan digunakan mengikut
syariat Islam yang telah ditetapkan. Tanggapan negatif mengenai seni boleh melalaikan
kita daripada mengikuti perintah Allah hendaklah kita ubah kerana seni jika difahami dan
diamalkan dengan cara yang betul akan memberi manfaat kepada diri kita sendiri.
Terdapat banyak input, manfaat dan ilmu pengetahuan yang telah saya dapat dalam
proses menyiapkan tugasan ini. Saya berasa bersyukur dan berpuas hati kerana dapat
menyiapkan tugasan ini dengan jayanya. Tugasan ini mengajar saya bagaimana untuk
menarik dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran bagi kanak-kanak.
Tambahan lagi, kemahiran dalam menyediakan bahan bantu mengajar untuk proses
pengajaran dan pembelajaran akan saya aplikasikan semasa berada di sekolah. Gaya
bekerja yang inovatif serta inventif mengikut keperluan pengajaran harus diterapkan dalam
diri seorang guru namun hal tersebut hendaklah sama dengan tuntutan agama Islam dan
tidak bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

Anda mungkin juga menyukai