Anda di halaman 1dari 2

SOALAN:

‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’

Huraikan kepentingan amalan membaca.

Kehendak soalan

 Calon perlu menghuraikan kepentingan amalan membaca

Nasi lemak buah bidara,

sayang selasih hamba turutkan;

amalan membaca banyak faedahnya,

untuk kegunaan masa hadapan.

Masyarakat Melayu sinonim dengan pelbagai jenis puisi tradisional bagi melahirkan perasaan yang telah terpahat dalam atma
dan sukma mereka. Puisi di atas menggambarkan amalan membaca sangat penting dalam kehidupan seharian kita bagi
melahirkan generasi yang berintelektual dalam mencorak masa hadapan. Ketahuilah kita bahawa masa depan menjanjikan
cabaran yang sarat dengan muatan cabaran reformasi. Oleh sebab itu, menerusi amalan membaca juga dapat mencetus kesegaran
minda agar tidak wujud modal insan yang dibelenggu dengan cara berfikir yang sempit. Walaupun dunia sudah melepasi pelbagai
zaman dalam beberapa dekad, namun budaya membaca tetap mendominasi kemajuan dan keagungan sesebuah bangsa. Sejarah
telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi. Begitu
juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan
miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Rakyat Malaysia yang tidak mengetahui kepentingan amalan membaca
perlulah membudayakan amalan yang mulia ini yang mengandungi seribu satu kemuliaan yang tidak dapat dipertikaikan lagi.
Persoalannya, apakah kepentingan amalan membaca?

Sesungguhnya amalan membaca mampu menambah pengetahuan kita. Amalan membaca dapat membantu memberikan nilai
tambah dalam diri seseorang sebagai persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi ini. “Setiap seseorang daripada kita mesti
memberikan nilai tambah kepada diri masing-masing,” demikian mantan perdana menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad
Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat itu,
membawa maksud bahawa nilai seseorang anak pascamerdeka ini akan bertambah andai individu itu berusaha
melakukan anjakan paradigma untuk dirinya daripada terus berada di takuk lama. Jika ditelusuri, ungkapan ini boleh
direalisasikan dengan amalan membaca yang pastinya dapat menyumbangkan idea bernas dalam diri pembaca. Selain melalui
proses pembelajaran secara formal di sekolah, nilai diri akan dapat ditambah dengan banyaknya menerusi amalan membaca
bahan-bahan ilmiah seperti Majalah Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Kosmik dan sebagainya. Cerdik pandai sering menganggap
amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini terjelma lantaran amalan membaca yang dapat menghubungkan antara
manusia dengan dunia ilmu. Tegasnya, amalan membaca sememangnya dapat menambah ilmu pengetahuan dan
menjadi persiapan untuk kesiagaan kita bersaing dengan cabaran kemajuan yang terbentang di jagatraya ini.
Seterusnya, mari kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada manfaat seterusnya iaitu membaca dapat meningkatkan kepakaran.
Kepakaran yang dimaksudkan ialah tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang. Membaca
dapat mewujudkan koridor kemajuan ekonomi demi meningkatkan tenaga pakar yang berpengetahuan. Sebagaimana yang
diketahui masyarakat yang suka membaca merupakan masyarakat yang maju dan kompetetif sehingga dapat mencetuskan
gegaran minda sekaligus dapat menjulang negara kita ke puncak jagat. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak
yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih
maju dari segi keilmuan dan kepakaran. Oleh sebab itu, amalan membaca dapat membentuk masyarakat madani yang
berkemahiran dan berkepakaran tinggi. Apabila negara kita sudah mencapai tahap yang maksimum dalam membentuk individu
yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam satu-satu bidang, kita tidak perlu bergantung kepada kepakaran luar lagi. Jelaslah
bahawa amalan membaca dapat membekalkan tenaga pakar atau mahir kepada sesebuah negara itu.

Jika dilihat dari aspek yang lain, membaca merupakan tiang sandaran konkrit untuk berjaya dalam akademik. Namun
begitu, cahaya amalan membaca semakin hari semakin malap dalam naluri pelajar. Kontradiksinya, para pelajar tidak mempunyai
kesedaran bahawa membaca itu penting dalam kehidupan sedangkan amalan membaca dapat meningkatkan ilmu pengetahuan
dan mampu meluaskan horizon pemikiran para pelajar. Oleh sebab itu, para pelajar perlu menyemai bibit-bibit minat membaca
dalam diri kerana membaca merupakan wasilah utama kejayaan seseorang pelajar. Sebagi contoh, adik Nik Nor Madihah telah
berjaya memperoleh 20A dalam SPM dengan membudayakan amalan membaca dalam diari kehidupannya sebagai seorang
pelajar. Meyedari kepentingan membaca dalam kalangan pelajar, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah bagi
memperkasakan minat membaca dalam kalangan pelajar seperti mengadakan minggu membaca dan program NILAM. Melalui
program NILAM ini jugalah lahirlah tokoh-tokoh pelajar yang berjaya. Selain berjaya dalam akademik, para pelajar juga boleh
mengaplikasikan ilmu yang diperolehi melalui membaca dalam kehidupan seharian. Ringkasnya, jelaslah bahawa amalan
membaca dapat memberikan pelbagai kemaslahatan kepada para pelajar untuk berjaya. Sesungguhnya, menuntut ilmu tanpa
membaca ibarat basikal tanpa roda.

Dengan membudayakan amalan membaca juga, rakyat yang berpengetahuan luas dalam sesebuah negara mampu mencetuskan
ideologi dan buah fikiran yang bernas dalam memacu proses pembangunan negara dapat dilahirkan. Hal ini dikatakan dmeikian
kerana membaca merupakan acuan untuk membentuk sesebuah tamadun yang gemilang seiring dengan negara-negara yang
telah mengecapi modenisasi mapan seperti Jepun. Di Jepun, atas dasar aplikasi dan pengetahuan sains dan inovasi mereka
mampu mencipta teknologi yang tidak terdapat di negara-negara lain seperti mesin layan diri yang dapat memenuhi keperluan
harian iaitu mesin menjual ketam hidup, telur ayam segar, sayur-sayuran segar dan baju hujan dan barang kemas. Kelebihan
mesin layan diri ini dapat beroperasi sepanjang masa iaitu 24 jam sehari. Keadaan ini membolehkan para peniaga dan usahawan
tidak perlu bersusah-payah menjaga premis perniagaan mereka kerana mesin layan diri ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri
keselamatan yang sempurna selain mereka dapat memperuntukkan masa mereka dengan aktiviti yang dapat meningkatkan
kemajuan negara mereka. Jelaslah bahawa amalan merupakan ramuan yang efektif untuk membentuk masyarakat yang
berproduktiviti tinggi dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi negara untuk bertambah maju.

Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan membaca sangat mulia kerana mendatangkan pelbagai
kebaikan atau faedah kepada pembaca, keluarga, bangsa dan negaranya. Amalan membaca merupakan permulaan positif sebagai
langkah pertama dalampenjanaan dan penyebaran ilmu. Hal ini terbukti berdasarkan peristiwa penuh bermakna dan agung dalam
sejarah Islam melalui surah al-‘Alaq iaitu ketika Nabi Muhammad mendapat wahyu yang pertama di Gua Hira’ melalui
perantaraan malaikat Jibril yang menyuruhnya membaca. Jelaslah membaca merupakan kunci ilmu yang memberikan impak
positif dalam mempengaruhi perkembangan minda masyarakat. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan
untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai
tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Pihak kerajaan juga perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa.
Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia
pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca
agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan. Ingatlah bahawa ‘bangsa membaca, bangsa maju’.

Anda mungkin juga menyukai