Anda di halaman 1dari 22

Masalah Disiplin Dan Emosi Pelajar:

Cabaran Pembangunan Modal Insan Di Malaysia.


Pengenalan
Sejak kebelakangan ini kes pelanggaran disiplin para pelajar sering menjadi tajuk utama di dada-

dada akhbar, malah ada sebahagiannya pada tahap yang membimbangkan seperti gejala buli,

gangsterisme, samseng, lari dari rumah, buang anak dan sebagainya. Siapakah yang harus

dipersalahkan? Ada yang mempersalahkan pelajar yang tidak bermotivasi, ada pula yang

mempersalahkan pihak guru yang tidak profesional dalam menjalankan tugas dan ada pula yang

berpendapat ibubapa perlu dipersalahkan kerana terlalu mementingkan kebendaan sehingga

mengabaikan tanggungjawab mereka. Malah tidak kurang juga yang meletakkan kesalahan

tersebut kepada pihak sekolah yang lebih mementingkan pencapaian akademik dari segala-

segalanya. Semua hujah yang dinyatakan itu ada kebenarannya justeru penyelidikan ini

memfokus kepada membina kecerdasan emosi pelajar dengan harapan jika apapun keadaan

luarannya, jika pelajar mempunyai kecerdasan emosi yang stabil atau cemerlang, pelajar masih

boleh membuat pertimbangan yang wajar dalam membangunkan diri sebagai modal insan negara

yang seimbang.

Kajian-kajian lalu telah menunjukkan terdapatnya hubungan yang signifikan antara peristiwa

negatif dalam kehidupan dengan emosi dalam kalangan remaja. Peristiwa-peristiwa yang

memberikan tekanan yang hebat seperti kehilangan kasih sayang, bencana dan pergolakan dalam

keluarga didapati memberi jangkaan terhadap permasalahan dalaman (internalizing) dan luaran

(externalizing) seseorang individu terutamanya remaja.

Emosi juga dianggap epifenomena atau lebih menggambarkan naluri sebenar yang berupaya

mengganggu perkembangan proses kognitif (Varma, 1993). Perubahan emosi ini memerlukan
pemantauan kendiri bagi menjamin keseimbangan dalaman diri seorang remaja serta mengelak

wujudnya tingkahlaku negatif. Keupayaan memantau aktiviti kognitif adalah penting

terutamanya semasa proses mengawal emosi kendiri agar emosi tidak menguasai diri remaja

yang dizahirkan dalam bentuk tingkahlaku (Garnefski, 2005).

Banyak literatur mengenai pengurusan emosi telah memberi fokus berkenaan perkembangannya

yang bermula dari peringkat bayi hingga ke peringkat kanak-kanak. Ini merupakan tempoh

penting bagi perkembangan dalam mengawal emosi yang merangkumi masa bagi perkembangan

tabiat dan kematangan serta pengaruh sosial seperti rapat dengan ibubapa dan rakan sebaya

berganding untuk membentuk suatu asas bagi membezakan kebolehan mengawal emosi dalam

kalangan individu (Gross, 2002) dan seterusnya menzahirkannya dalam bentuk tingkahlaku.

Masalah Disiplin Pelajar

Masalah disiplin murid masa kini adalah amat komplek sifatnya. Ini disebabkan faktor yang

mempengaruhinya adalah pelbagai. Antara faktor tersebut adalah cara didikan ibu bapa; masalah

kecelaruan rumah tangga; pengurusan sekolah yang kurang mantap; pengaruh teknologi

maklumat yang canggih dan pengaruh persekitaran kehidupan seseorang pelajar. Unsur –unsur

gangsterisme dan kongsi gelap juga telah menular di kalangan pelajar sekolah (Anuar, 2007).

Pada tahun 2004, polis telah menyenaraihitamkan 200 sekolah berikutan penglibatan 100,000

murid yang terlibat dengan pelbagai kes disiplin termasuklah jenayah (UM 8.4.2004). Sekolah

ini terdiri daripada pelbagai aliran termasuk sekolah rendah, menengah, sekolah berasrama

penuh, sekolah agama dan sekolah jenis kebangsaan Cina. Murid-murid tersebut terbabit dengan

pelbagai kesalahan termasuklah jenayah serius seperti gengsterisme, buli, peras ugut, dan
memukul pelajar. Walaupun bilangan yang terlibat cuma 2.1% sahaja namun bilangan itu amat

mengejutkan.

Selain dari itu, terdapat banyak lagi laporan akhbar yang menyiarkan kes-kes disiplin pelajar

seperti membakar motosikal guru disiplin (UM 3.2.2004); bakar sekolah (UM 7.6.2000); bakar

bilik guru (BH10.11.2003; 1.7.1999); mencuri peralatan dan membakar blok sekolah (HM

23.12.1997); membelasah guru dengan penyapu (BH 9.7.1999); dan memecah cermin kereta

pengetua (HM 11.11.1992).

Walaupun terdapat sedikit peningkatan dan penurunan dari jumlah peratusan dalam kes-kes

disiplin pelajar sekolah di Malaysia, namun terdapat beberapa jenis kes disiplin yang

mencatatkan peningkatan yang ketara pada setiap tahun dari 2003-2007. Kes-kes tersebut seperti

kes ponteng sekolah meningkat sebanyak 0.57%, kes buli meningkat kepada 0.02%, kes

kelucahan terdapat peningkatan sebanyak 0.04% & dan kes jenayah dalam kalangan pelajar

sekolah meningkat kepada 0.03% (KPM, 2008).

Jabatan Pendaftaran Negara (2011) mendedahkan bahawa setiap tahun kita melahirkan seramai

labih daripada 52,000 anak luar nikah. Jumlahnya adalah melebihi 10% daripada jumlah

keseluruhan kanak-kanak yang dilahirkan di negara kita. Pada tahun 2010 sahaja seramai 52,982

kanak-kanak luar nikah didaftarkan di negara kita dan pada tahun 2009 pula seramai 52,378 anak

luar nikah didaftarkan (HM,6.11.2011). Sejak beberapa tahun yang lalu, masyarakat heboh

memperkatakan tentang segelintir pelajar sekolah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah,

pecah rumah, budaya lepak, lari dari rumah dan lain-lain (Chin Pek Lian, 2005). Mereka

dianggap sebagai golongan yang semakin hilang rasa hormat terhadap golongan tua, guru dan

masyarakat serta lebih bersikap materialistik dan individualistik (Saedah Siraj, 2002). Kesatuan

Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) melaporkan terdapat 35 kes kematian yang


membabitkan pelajar akibat maslah disiplin. Bagaimanapun, tiada tindakan yang diambil untuk

mengatasinya (UM, 1 .4. 2004).

Kesemua di atas secara tidak lansung menggambarkan kegagalan Falsafah Pendidikan Negara

khususnya dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang seimbang. Pendidikan Negara kini

ternyata gagal melahirkan warganegara yang berkualiti dan seimbang dari segi intelek, emosi

dan jasmani serta rohani sehingga mengakibatkan berlakunya pelbagai gejala yang

membimbangkan – kemerosotan mutu pendidikan, kebejatan moral, kerapuhan perpaduan, dan

kadar keciciran yang tinggi. Di antara keempat-empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan

intelek itu didapati aspek emosi amat kurang diberi perhatian oleh pihak sekolah khususnya dari

pihak kementerian amnya (Abdul Rahman, 1987).

Pelbagai langkah untuk mengatasi masalah disiplin telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian

Pelajaran Malaysia. Antaranya ialah memberi bimbingan dan nasihat; membekalkan mekanisma

penguatkuasaan yang mantap dan menyeluruh (DM,2007) mempelbagaikan hukuman seperti

gantung dari sekolah, rotan dsb; meningkatkan peranan PIBG seperti bantuan kewangan,

pembangunan surau, potong rambut, pembayaran pengawal sekolah dsb.

Selain dari itu, terdapat juga program-program disiplin berbentuk pencegahan seperti program

membantu tingkat konsep-kendiri akademik, menggalakkan perhubungan rakan sebaya positif,

meningkatkan komitmen terhadap sekolah, mewujudkan iklim sekolah yang positif,

menggalakkan penglibatan ibubapa, menjalankan pengajaran berkesan, mengamalkan kod etika

dan etika kerja perguruan (Noran, 2007).

Masalah Emosi
Perkataan emosi berasal dari perkataan Latin ‘emover’ yang membawa maksud ‘bergerak’,

kegembiraan’ dan ‘kegusaran’. Ini bermakna sesuatu emosi itu akan digerakkan keluar sebagai

satu bentuk yang menggambarkan keadaan seseorang itu. Kini, perkataan emosi digunakan

untuk menggambarkan pengalaman subjektif seseorang seperti sedih, seronok, marah, suka dan

sebagainya. Kamus Dewan (1994) pula mentakrifkan emosi sebagai, “Perasaan pada jiwa yang

kuat seperti sedih dan marah.” Oleh itu, emosi adalah satu ciri jiwa manusia yang

mempamerkan perasaan-perasaan yang berpunca daripada psikologi dan tingkahlaku seseorang.

Kecerdasan pula merangkumi keupayaan membaca, menulis, menghitung, yang selalunya

dikaitkan dengan akademik; dan melaksanakan sesuatu tugasan dengan jayanya dalam

kehidupan seharian seseorag individu. Perkataan emosi ini juga sering dikaitkan dengan

kecerdasan emosi iaitu sejenis kecerdasan sosial yang melibatkan kemahiran untuk memantau

serta membuat diskriminasi di antara emosi sendiri atau emosi orang lain dan seterusnya

memanfaatkan maklumat ini sebagai panduan pemikiran dan tindakan seseorang itu bagi

melahirkan insan yang seimbang.

Remaja merupakan sasaran yang tepat untuk mengenalpasti hubungan di antara aspek emosi dan

tingkahlaku kerana kebanyakan isu psikopatologi timbul dan meningkat dalam kalangan remaja.

Keganasan dan delikuensi adalah termasuk jenayah keganasan, begitu juga jenayah harta benda

didapati memuncak dalam kalangan remaja. Ini terbukti berdasarkan statistik bilangan tindakan

undang-undang yang telah diambil terhadap remaja dan mereka yang berada di peringkat awal

usia dewasa berbanding dengan peringkat umur yang lain. Antara faktor yang banyak

mempengaruhi gejala ini berpunca daripada ketidakseimbangan perkembangan emosi dan rohani

dalam kalangan pelajar. Ramai penyelidik berpendapat, masalah salah laku berkait rapat dengan

tahap kecerdasan emosi, contohnya tahap kecerdasan emosi yang rendah menjadi punca kepada
masalah tekanan, kemurungan, gejala neurosis (Dilip Murkerjee, 2002); penyebab kepada

salahlaku seks, pengambilan alkohol dan tabiat merokok berlebihan (Meyer & Cobb, 2000).

Sebagaimana yang telah dibincangkan di atas, perubahan dalam konteks sosial remaja

menunjukkan bahawa ia juga mempunyai hubungkait dengan perubahan dalam proses mengawal

emosi di peringkat remaja. Kajian lalu menunjukkan secara umumnya, remaja mengalami lebih

intensiti emosi yang dinamik (intense emotional dynamics) berbanding kanak-kanak dan orang

dewasa. Kajian yang telah dijalankan oleh Larson & Lampman-Petaitis (1989) mendapati

bahawa perasaan yang dialami oleh remaja di sepanjang hari-hari yang dilaluinya menunjukkan

mereka mengalami intensiti yang tinggi terhadap aspek negatif berbanding dengan mereka di

peringkat awal remaja dan juga orang dewasa. Jelas di sini bahawa kedinamikan emosi remaja

berkait rapat dengan perubahan sosial yang berlaku semasa remaja.

Semua ini berlaku disebabkan proses perkembangan sosial yang dialami di peringkat peralihan

iaitu dari alam kanak-kanak ke alam remaja dan mereka didapati kurang memikirkan hubungan

mereka dengan keluarga, tetapi banyak memberikan tumpuan kepada rakan-rakan dan juga

hubungan mereka dengan individu berlainan jantina (Larson et al., 1996). Keadaan ini

berkekalan di sepanjang peringkat pertengahan hingga ke lewat remaja.

Menurut Moos (1975), suasana keluarga adalah penting dalam kehidupan seseorang kerana

keluarga membentuk hubungan sosial di antara ahli-ahli dalam keluarga tersebut dan

dimanifestasikan melalui kawalan keluarga, organisasi keluarga, orientasi pencapaian, orientasi

budaya dan intelek, orientasi rekreasi, keagamaan dan moral, konflik, kebebasan, pernyataan

perasaan dan semangat kesepaduan keluarga. Beliau menambah suasana keluarga yang dilalui

oleh seseorang mempengaruhi persepsi terhadap dirinya di samping menentukan sikap dan

tindakannya terhadap sesuatu yang akan dihadapinya dalam kehidupan sehariannya. Keluarga
terutamanya ibu bapa boleh mengalihkan perhatian remaja, memberikan keselesaan ataupun

pendapat tentang cara penyelesaian masalah dan ini secara aktifnya membuatkan mereka dapat

mengawal emosi mereka sendiri.

Walaubagaimanapun, di peringkat awal remaja ibu bapa dilihat mula kurang memberikan

sokongan dalam mengawal emosi mereka. Pandangan ini dikongsi oleh Zeman & Shipman

(1997) di mana remaja kurang sifat kebergantungannya kepada ibubapa dalam mengurus emosi

mereka. Keadaan ini adalah bertentangan semasa mereka di peringkat kanak-kanak di mana

kanak-kanak lebih suka ibubapa mereka memberikan pandangan ataupun pendapat dalam

menentukan persoalan emosi mereka (Garber, Braafladt & Weiss, 1995). Kanak-kanak

berpendapat bahawa pendapat ibu mereka dalam menentukan cara kawalan emosi sebagai

sesuatu yang berkesan berbanding dengan kaedah yang ditentukan oleh diri mereka sendiri

manakala apabila mereka meningkat remaja, mereka mula merasakan bahawa pendapat yang

diberikan oleh ibu mereka adalah kurang berkesan berbanding dengan pilihan mereka sendiri.

Apabila remaja kurang sifat kebergantungannya kepada keluarga bagi tujuan sokongan dan

perbincangan mengenai aspek emosi, hubungan dengan rakan sebaya mula memenuhi

kekosongan dan memainkan peranan yang lebih penting berbanding dengan institusi keluarga

(Berndt, 1989; Buhrmester, 1996; Seiffge-Krenke, 1995). Konteks rakan sebaya berupaya

mempengaruhi remaja kerana rakan sebaya mewujudkan elemen emosi yang amat kuat seperti

cemburu, persaingan, komitmen, teruja, keseronokan, kesunyian, kesetiaan mahupun khianat.

FPK yang digubal sekitar tahun 1988 antara lain menyebut:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah


memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan simbang dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan,berketerampilan,berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara”
Sumber: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Berdasarkan kepada petikan FPK di atas, jelas menunjukkan bahawa melalui sistem

pendidikan yang digubal, kerajaan berharap akan dapat mewujudkan insan yang seimbang

dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) termasuk juga aspek

aspek sosial yang bertunjang kepada kepercayaaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ia

merupakan suatu usaha berterusan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu

pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai

kesejahteraan diri di samping member sumbangan terhadap keharmonian dan

kemakmuran masyarakat dan negara. FPK yang digubal juga tersirat hasrat murni untuk

mewujudkan insan yang seimbang dalam erti kata insan yang memiliki kedamaian jiwa,

pembinaan sahsiah yang mempunyai keseimbangan di antara unsur akal, unsur rohani,

unsur emosi dan unsur jasmani. Ia juga diharapkan akan dapat mewujudkan insan yang

sejahtera dirinya dan akhirnya memiliki jiwa yang juga tenang, damai dan sejahtera.

Pihak kementerian sedar bahawa unsur emosi harus diberikan penekanan khusus selain

daripada unsur jasmani, rohani dan intelek. Kesedaran ini telah membawa kepada

berlakunya satu anjakan paradigm dalam sistem pendidikan negara kita. Pendidikan yang

berfokuskan kepada pencapaian cemerlang dalam peperiksaan telah diubah kepada

kecenderungan untuk mewujudkan keseimbangan insan yang lebih mengutamakan unsur

emosi dan rohani. Memiliki jiwa yang tenang, damai dan sejahtera adalah merujuk

kepada unsur rohani dan emosi.


Emosi dan perasaan boleh mencorakkan warna kehidupan, membentuk sikap dan

tingkahlaku serta personaliti yang mampu menggerakkan arah kehidupan manusia

(Goleman, 1995). Tanpa emosi yang cekal dan seimbang, tidak mungkin seseorang

individu itu mampu untuk mengorbankan dirinya demi kemaslahatan negara sebaliknya

hanya mewujudkan masalah pula kepada negara. Oleh yang demikian, dalam konteks

pendidikan, para pendidik perlu menitikberatkan kepentingan untuk memiliki kemahiran

melahirkan emosi yang tepat supaya kanak kanak berupaya menzahirkan tingkahlaku

sosial yang mantap. Ini adalah kerana kanak-kanak yang mempunyai kemahiran untuk

melahirkan emosi secara sihat dapat menguasai perhubungan dengan persekitarannya

yang akan membentuk tingkahlaku yang kekal (Ashiabi, 2000).

Kesedaran pihak kementerian tentang kepentingan memiliki kesejahteraan emosi dalam

menangani masalah tingkahlaku telah membawa mereka kepada pendekatan yang baru

melalui beberapa program khas seperti MEKAR- Menangani Emosi Kanak-Kanak dan

Remaja dan Program PROMIS-Program Minda Sejahtera (Kementerian Pelajaran

Malaysia). Kedua-dua pendekatan ini akan dilaksana dan diimplimentasikan setelah ia

mendapat persetujuan JawatanKuasa Induk menangani Gejala Disiplin Kementerian

Pelajaran Malaysia. Program-program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan

kepada guru-guru untuk mengenalpasti kanak-kanak dan remaja yang bermasalah serta

memberikan pengetahuan perkembangan emosi dan psikologi untuk kanak-kanak dan

remaja. Di samping itu ia juga memberikan kemahiran mengenalpasti dan mengendali

kanak-kanak dan remaja yang bermasalah, merujukkan kanak-kanak dan remaja yang

dikesan mempunyai masalah emosi kepada pihak ahli psikologi di peringkat awal dan

akhir sekali mewujudkan sistem pemantauan yang berterusan. Setakat ini sebanyak 60
buah sekolah di 6 buah negeri telah dikenalpasti menjalankan program rintis ini di mana

setiap negeri diwakili oleh 5 buah sekolah menengah dan 5 buah sekolah rrendah dan ia

telah dijalankan mulai tahun 2007 (Kertas Kerja Unit Hal Ehwal Murid, Bahagian

Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006).

Masalah emosi boleh mendorong kepada berlakunya gejala sosial dan tingkahlaku yang

tidak beretika (Eisenberg, 2000; Cohen & Strayer, 1996). Emosi mampu mempengaruhi

pembelajaran serta memberi kesan kepada pembentukan tingkahlaku seperti memberi

pertolongan, kesediaan menerima risiko dan sifat kepatuhan. Secara teorinya, unsur-

unsur akal, rohani, emosi dan jasmani mempunyai perkaitan yang rapat dengan

kecerdasan emosi dan juga kecerdasan spiritual.

Konsep Kecerdasan Emosi (EQ)

Keith Oatley (2004) menyatakan emosi adalah satu istilah yang digunapakai sejak 200

tahun lalu. Ia meliputi sentimen dan perasaan yang melibatkan ungkapan dan saraf

kognitif. Emosi dan perasaan seperti tangisan, gelak ketawa, kesedihan dan ketakutan

mencorakkan arah hidup manusia. Perkataan emosi berasal dari perkataan Greek emover

yang bermaksud ‘untuk keluar’. Emosi akan ditonjolkan keluar sebagai satu bentuk

untuk memenuhi keperluan seseorang. Emosi dutakrifkan sebagai satukeadaan yang

dialami oleh manusia yang melibatkan beberapa perubahan proses fisiologi, diri dan

psikoloji (Mahmood Nazar, 2005). Brian Parkinson dan Andrew M. Colman (1995) pula

mentakrifkan emosi sebagai satu reaksi jangkamasa pendek dan dinilai pada seseorang

berdasarkan suatu peristiwa atau keadaan. Contohnya, kemarahan, ketakutan, suka, benci

dan sebagainya. Reaksi emosi lazimnya melibatkan empat komponen iaitu penilaian

keadaan, respon jasmani, ekspresi muka dan pertukaran kesediaan untuk bertindak.
Mayer, Salovey & Caruso (2000), berpendapat emosi merupakan peringkat asas

pembentukan aspek rohani. Aspek-aspek yang penting dalam pembentukan emosi ialah

motivasi, kognitif, dan kesedaran.

Istilah kecerdasan emosi (EQ) ini mula diperkenalkan oleh Peter Salovey dan Jack Mayer

pada tahun 1990. Mayer & Ciarrochi (2006) menyatakan seorang yang mempunyai tahap

kognitif yang tinggi tidak semestinya barjaya dalam kehidupan. Sebaliknya individu

yang mempunyai kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi dipercayai akan berjaya dalam apa

jua aspek yang diceburi.

Teori Kecerdasan Emosi (EQ)

EQ adalah gabungan sistem kognitif dan emosi. Sistem kognitif berfungsi dalam

menerangkan kenyataan abstrak tentang emosi, manakala sistem emosi

mempertingkatkan sistem kognitif. Individu yang mempunyai EQ yang tinggi

berkebolehan untuk mengenal pasti, memahami dan mengurus emosi serta memudahkan

seseaorang itu berfikir tentang orang lain di samping berperanan melakukan persepsi dan

menguruskan emosi. Menurut Salovey & Mayer (1990), EQ adalah merupakan

kecerdasan sosial dan EQ didefinasikan sebagai keupayaan untuk memahami maklumat

mengenai emosi dan tujuannya terhadap emosi. Ia mengandungi empat keupayaan asas:

(1) keupayaan memahami emosi dengan jelas; (2) keupayaan menggunakan emosi

untuk membantu berfikir; (3) keupayaan untuk memahami makna emosi; dan (4)

keupayaan untuk mengurus emosi. Aspek mengurus emosi inilah yang ada kaitannya

dengan membentuk personaliti dan mengurangkan masalah tingkahlaku dalam kalangan

pelajar.
Goleman (1995) pula telah mengetengahkan model EQ yang didasarkan kepada model

EQ oleh Salovey &Mayer (1990). Beliau telah mengemukakan lima domain EQ iaitu:

(1) kesedaran emosi kendiri, (2) mengurus emosi kendiri, (3) motivasi diri, (4) empati,

dan (5) kemahiran sosial. Di samping itu, Goleman (1998) juga menjelaskan bahawa

penekanan dalam EQ juga merangkumi : (1) aspek tidak hanya bermaksud untuk menjadi

baik; (2) tidak hanya bermaksud untuk memberi kebebasan menerajui emosi, (3) setiap

individu mempunyai kekuatan dan kelemahan yang berbeza mengikut kapasiti tertentu;

(4) tahap EQ tidak bergantung kepada faktor genetik dan tidak berkembang hanya di

peringkat awal kanak-kanak sahaja sebaliknya EQ berkembang sepanjang hidup dan

dipengaruhi oleh pengalaman hidup seseorang; dan (5) EQ merupakan kemahiran yang

membantu seseorang individu untuk mengharmonikan situasi di mana ia berada secara

lebih bermakna.

Goleman (1999) juga menyatakan bahawa seseorang individu yang tidak mempunyai

keupayaan mengawal emosi akan mengalami kesukaran berinteraksi dengan orang lain

dan tidak mampu untuk menjalankan kerjanya dengan baik. Mereka juga digolongkan

sebagai individu yang kurang berjaya dalam kerjayanya. Pendapat Goleman (1995) ini

telah diperjelaskan melalui pernyataan:

“an emotional competence is learned-capability based on emotional intelligence


that results in outstanding performance at work”.

Pandangan ini memperlihatkan juga bahawa EQ mampu merasionalkan proses pemikiran

sementara pengurusan secara rasional boleh dilakukan melalui proses mengurus emosi
berkenaan. EQ juga menerangkan tentang kebolehan individu memahami emosi sendiri

dan emosi orang lain dan membentuk personaliti yang bersesuaian (Thibodeaux & Bond,

2007). EQ adalah penting kerana kebanyakan orang yang memiliki kepintaran tetapi

lemah dalam EQ, tidak dapat mempertingkatkan kualiti kerja berbanding mereka yang

rendah kecerdasan inteleknya sebaliknya mempunyai EQ yang mantap (Goleman, 1998).

Kecerdasan emosi merangkum pelbagai dimensi teori-teori tingkahlaku, emosi

dan perhubungan seperti Program Neuro-Linguistik (NLP), Analisis Transaksi

(Transaction Analysis) dan Empati. Proses dan hasil pembentukan kecerdasan emosi

juga merangkumi pelbagai-elemen-elemen yang membantu untuk mengurangkan stres

kepada individu dan organisasi, mengurangkan konflik, memperbaiki perhubungan dan

persefahaman, dan meningkatkan kestabilan, kesinambungan dan harmoni.

Kecerdasan emosi membolehkan kita menghargai dan membina semua hubungan-

hubungan penting antara individu, individu lain, tujuan, makna, kewujudan, kehidupan

dan dunia secara keseluruhan, dan membantu individu lain membuat perkara yang sama.

Individu yang kecerdasan emosinya tinggi mempunyai kurang masalah emosi dan

tentunya individu yang kecerdasan emosinya rendah mempunyai isu peribadi yang tidak

dapat diselesaikan. Inilah yang akan bertindak sebagai pencetus atau sebagai faktor dalam

pembinaan personaliti. Kesediaan individu untuk menunjukkan perasaan, kelemahan,

pemikiran dan lain-lain, adalah ciri-ciri kecerdasan emosi.

Teori Maslow juga relevan dengan kecerdasan emosi. Individu yang mempunyai

kesedaran diri juga mempunyai kercerdasan emosi yang tinggi. Individu yang bergelut

untuk mencapai keperluan asas yang paling rendah – dan kadangkala keperluan asas
pertengahan seperti keperluan dihargai – dikatakan mempunyai kecerdasan emosi yang

rendah dari golongan individu yang mempunyai kesedaran diri.

Model Kecerdasan Emosi Pertama

Model Kecerdasan Emosi (EQ) yang pertama telah dicadangkan oleh Mayer dan

Salovey (1999). Mereka telah menghuraikan kecerdasan emosi kepada empat komponen

utama iaitu:-

i) Mengenali emosi (identifying emotions) - ini adalah keupayaan seseorang

mengenali emosi sendiri dan mengenali emosi orang di sekelilingnya.

ii) Menggunakan emosi (using emotions) - ini adalah keupayaan seseorang

menggunakan emosi dan dapat menghuraikan emosinya.

iii) Memahami emosi (understanding emotions) – ini merupakan keupayaan

seseorang memahami emosi yang kompleks dan pertaliannya di antara tahap-

tahapnya.

iv) Mengurus emosi (managing emotions) – ini merupakan keupayaan seseorang

mengurus emosinya sendiri dan mengawal emosi orang lain.

Lima Domain Kecerdasan Emosi (EQ)

Goleman mengenalpasti lima domain kecerdasan emosi (EQ) iaitu kesedaran

emosi kendiri, pengurusan emosi kendiri, motivasi diri, empati dan kemahiran sosial.
1 Kesedaran emosi kendiri

Kesedaran emosi kendiri adalah kunci EQ kerana penilaian dilakukan secara

realistik pada kebolehan dan keyakinan diri yang dimiliki oleh individu. Kesedaran

emosi kendiri dapat didefinasikan sebagai kebolehan mengenalpasti, mengetahui dan

mengiktiraf emosi serta mempunyai kebolehan mengawal emosi seseorang individu.

Tanpa kesedaran emosi kendiri, individu tidak mampu membina makna hasil daripada

tindakan dan reaksinya pada persekitaran. Emosi yang tidak stabil atau tekanan dalam

kalangan pelajar disumbangkan oleh banyak aspek seperti peperiksaan, kerja rumah,

tugasan, aktiviti kokurikulum, tuntutan guru dan ibubapa terhadap pencapaian akademik

pelajar. Hanya pelajar yang mempunyai kesedaran emosi kendiri yang tinggi mampu

menanganinya dengan positif. Pelajar yang tidak memahami punca ketidakstabilan

emosi mereka tidak akan dapat mencari jalan penyelesaian dan akan berakhir dengan

krisis identiti dan fikiran celaru. Kesedaran emosi kendiri dapat memberikan kefahaman

bagaimana emosi yang dialami memberi kesan pada diri sendiri, orang lain, pencapaian

serta pelaksanaan tugasan.

2 Pengurusan emosi kendiri

Emosi mengawal pengurusan dalam diri, bisikan hati, dan akal. Elemen

pengurusan emosi kendiri dalam KE termasuk mengawal diri, meneliti, menyesuaikan

diri, dan inovasi walau berada di bawah tekanan. Pengurusan emosi kendiri juga adalah

kebolehan individu menentukan halatuju, mengenalpasti sesuatu perkara itu berlaku, dan

seterusnya mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.

3 Motivasi diri
Motivasi diri melibatkan kawalan kecenderungan emosi yang dapat memandu

ataupun memudahkan pencapaian matlamat dan kejayaan. Dorongan pencapaian dan

komitmen yang optimis serta inisiatif yang berterusan adalah elemen yang menjadi kunci

dalam menentukan motivasi diri. Motivasi dalam diri pula didapati mempengaruhi

fikiran seseorang supaya melakukan sesuatu kerana adanya keinginan dalam diri untuk

mencapai kejayaan. Mereka yang mempunyai motivasi yang tinggi tidak mudah

berganjak daripada pendirian mereka walaupun menghadapi cabaran dan rintangan.

Mereka selalunya akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki atau mencapai matlamat

diri.

4 Empati

Empati ialah kebolehan individu menyedari dan memahami emosi orang lain,

seterusnya menjalinkan hubungan yang erat dengan pelbagai pihak. Empati juga

bermaksud kebolehan untuk peka dengan emosi dan perspektif individu lain di samping

mengambil berat tentang pandangan mereka serta mempunyai kesedaran untuk

membantu individu lain yang bermasalah.

5 Kemahiran Sosial

Kemahiran sosial ialah tahap kemampuan pelajar mengawal emosi dalam suasana sosial

dan menggunakan kemahiran kesedaran emosi kendiri, pengurusan emosi kendiri, empati

dan motivasi diri bagi memujuk, berunding dan memimpin. Kemahiran ini juga adalah

kecekapan mengawal keberkesanan dalam hubungan antara perseorangan. Di samping

itu, kemahiran sosial yang dimiliki oleh individu juga dapat mempengaruhi taktik,
keberkesanan komunikasi dengan orang lain, kemahiran mengurus konflik, kebolehan

memimpin, dan kemampuan bagi bekerjasama.

Perkembangan Kecerdasan Emosi (EQ)

Sebelum muncul konsep kecerdasan emosi, kecerdasan dikaitkan dengan

kemampuan semulajadi dikenali sebagai kecerdasan intelek (Intelligent Quotient).

Dalam kecerdasan intelek (IQ), apa yang diukur adalah kemampuan seseorang

menyelesaikan masalah menurut kaedah penaakulan atau reasoning (Mozaimi

Mohamed, 2007). Pada tahun 1999, Dr. John Mayer dan Dr. Peter Salovey telah menulis

artikel tentang EQ. Mereka mendefinasikan EQ dan diukur dengan kemampuan

melaksanakan tugas. Seterusnya, EQ mendapat tempat apabila Dr. Daniel Goleman

menulis buku yang bertajuk Emotional Intelligence. Goleman (1995) berkata bahawa

terdapat bukti yang menyatakan bahawa EQ lebih berkuasa daripada IQ dalam kehiduoan

seharian. EQ yang tinggi akan memberikan kepuasan dan kejayaan kepada seseorang

samada dalam interaksi sosial, pencapaian kerjaya dan sebagainya. EQ juga akan

memberikan kejayaan dalan gerak kerja yang melibatkan kumpulan. Hal ini kerana

hubungan sesama manusia atau interpersonal yang efektif sesama ahli kumpulan akan

menjamin kejayaan matlamat kumpulan (Luca dan Tarricone, 2001).

Kepentingan EQ kepada individu

EQ adalah asas kepada kehidupan dan sudah tentu kebanyakan individu perlu

mengutamakan aspek ini dalam menjalani kehidupan (Baumeister dan Vohs, 2007).

Kejayaan seseorang dalam menjalani kehidupan bergantung kepada sejauhmana individu


itu berjaya meningkatkan EQ yang tinggi di mana dia akan berkemampuan untuk

mengendalikan emosi negatif dan selalu berusaha mempamerkan emosi positif.

EQ juga penting untuk membina keupayaan dan ketahanan seseorang untuk

berdaya tahan dalam menangani sesuatu masalah. Menurut RA. Catur Wahyu Arbadiati

dan Ni Made Taganing Kurniati (2007), hasil kajian mendapati terdapat hubungan yang

signifikan antara EQ dengan kecenderungan individu untuk menangani masalah. Maka

ini jelas bahawa EQ yang tinggi akan berupaya membantu seseorang untuk menghadapi

dan menyelesaikan masalah dengan lebih praktikal dan bermoral.

EQ juga penting dalam sesebuah organisasi. Ooi Yeng Keat (2003) dalam

kajiannya yang mengkaji kepentingan EQ dalam organisasi masa kini telah menyatakan

bahawa sesebuah organisasi yang berjaya dipengaruhi oleh keupayaan pemimpinnya

yang mempunyai tahap EQ yang tinggi, berupaya memahami perasaan pekerja bawahan

dan mampu berinteraksi dengan pekerja dalam suasana yang harmoni. Kejayaan

sesebuah organisasi tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan latihan

pekerjanya tetapi juga dipengaruhi oleh sejauh mana Eq dipraktikkan dalam interaksi

organisasi.

Pencapaian Akademik

Pada umumnya semua pelajar yang normal menginginkanpencapaian akademik

yang baik. Pencapaian akademik yang cemerlang merupakan sasaran utama setiap

pelajar samada di peringkat rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Selain itu,

pencapaian akademik yang baik dan cemerlang juga merupakan satu pengharapan dan

kebanggaan bagi seseorang yang bergelar pelajar. Malah ianya juga merupakan
pengharapan kepada ibubapa, guru dan pihak institusi pendidikan yang terlibat. Menurut

Azizi Yahya, Sharifudin Ismail, Amir Hamzah Abdul dan Halimah Ma’alip (2002),

pencapaian akademik menjadi kayu ukur kepada kejayaan diri seseorang individu.

Prestasi pencapaian akadenik seseorang pelajar merujuk kepada sejauh mana seseaorang

pelajar itu dapat memahami dan menguasai ilmu yang dipelajari. Tahap penguasaannya

adalah berdasarkan kepada penilaian atau gred yang telah ditetapkan.

Prestasi pencapaian akademik bergantung kepada pelbagai faktor yang signifikan

dengan diri pelajar seperti dorongan dan sokongan kekeluargaan, pengaruh rakan,

motivasi diri dan sebagainya. Menurut Latif Anwar (1998), prestasi pencapaian

akademik mempunyai hubungan yang signifikan dengan faktor diri, nilai dan

kekeluargaan. Malah menurut beliau terdapat juga faktor-faktor lain seperti kemudahan

fizikal, sistem pengajaran, kaedah pembelajaran atau beban kursus yang lebih

memberikan kesan terhadap pencapaian akademik pelajar.

Hubungan EQ dengan Pencapaian Akademik

EQ mempunyai peranan yang besar dalam dunia pendidikan. Samada kita sedar atau

tidak ia amat memberi kesan terhadap perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek

pelajar. EQ yang tinggi dalam kalangan pelajar adalah pelengkap kepada IQ yang

dicapai. Mohd Azhar Abdul Hamid (2006) menyatakan kepentingan EQ dalam dunia

pendidikan amat jelas dalam falsafah pendidikan kebangsaan. Melalui falsafah tersebut,

EQ diperjelaskan sebagai satua spek penting salam memperkembangkan potensi individu.

Justeru, kurikulum pendidikan samada di peringkat sekolah rensah mahupun di peringkat

menengah haruslah dirancang dengan mengambil kira faktor EQ.


Bukti yang paling jelas tentang pentingnya EQ dalam pendidikan ialah apabila EQ turut

terkandung dalam kurikulum pra sekolah. Hal ini bermakna EQ telah mula dibentuk

sejak awal persekolahan. Menurut panel penggubal Kurikulum Kebangsaan Prasekolah

iaitu Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz (2007), komponen perkembangan sosioemosi

memberikan fokus kepada penguasaan emosi dan kemahiran sosial yang matang. EQ

juga penting kepada guru-guru dalam usaha mereka melaksanakan tugas. Nordin (2001)

yang telah menjalankan kajian berhubung dengan EQ dalam kalangan guru-guru di

daerah Kota Setar mendapati para guru di tempat kajiannya mempunyai EQ yang tinggi

dan berupaya menjalankan tugas di sekolah dengan leboh efektif.

Kebolehan mengajar kecerdasan emosi perlu didasari oleh kurikulum. Hanya melalui

kurikulum sahaja kita mampu memberi kefahaman berkenaan kenapa pelajar sering

berfikir dan bertingkahlaku secara tidak efektif. Sebenarnya mereka kurang

berkemahiran dan maklumat membuat pilihan hasil dari kecerdasan emosi yang rendah.

Pembentukan personaliti dan pengurusan emosi boleh dipupuk dan persekitaran sekolah

adalah konteks yang ideal untuk melakukannya.

Oleh itu, pihak sekolah perlu sedar bahawa keseimbangan emosi amat penting kepada

para pelajarnya untuk berjaya dalam akademik. Program berkaitan dengan keseimbangan

emosi perlu diperbanyakkan selari dengan program-program untuk mendapat ‘straight A’

. Cabaran pembangunan insan masakini ialah kurangnya prihatin pihak sekolah dalam

soal ini sehingga apa yang dihasratkan oleh falsafah pendidikan negara tidak tercapai

walaupun pelaksanaanya sudah menjangkau suku abad.


Rujukan

Anuar Ibrahim. 2007. Kuasa Guru Bagi Melaksanakan Peraturan Disiplin. Seminar
Kebangsaan Peraturan-Peraturan Murid. 25-26 Nov .Kajang
Jamaludin Ahmad .2002. Kesahan, Kebolehpercayaan Dan Keberkesanan Modul .Tesis
Phd Yang Tidak Diterbitkan. Serdang. UPM
Kementerian Pelajaran Malaysia .2007. PIPP. Kuala lumpur: JPN
Mohd Ismail Othman. 2006. Menangani Disiplin Di Sekolah. Kuala Lumpur: PTS
Noran Fauziah Yaakob. 2007.Hukuman: Keberkesanan Dan Pemulihan.Seminar
Kebangsaan Peraturan-Peraturan Murid. 25-26 Nov .Kajang
Rusell .J.D.1974. Modular Instruction: A Guide To Design, Selection, Utilization And
Evaluation Of Modular Materials. New York: Publishing Com.

Sharifah Alwiah Alsagoff .1981.Pengenalan Kepada Modul Pengajaran Dan


Pembelajaran.Jounal Pendidik Dan Pendidikan 3(1): 54-62.USM
Sidek Mohd Noah. 2005. Pembinaan Modul: Bagaimana Membina Modul Latihan Dan
Akademik. Serdang: UPM
Sidek Mohd Noah. 2002. Reka Bentuk Penyelidikan: Falsafah, Teori Dan Praktis.
Serdang: UPM
Sidek Mohd Noah. 2001. Perkembangan Kerjaya: Teori Dan Praktis. Serdang: UPM
Sidek Mohd Noah .1997. Modul Penilaian Dalam Kaunseling Ideal. Serdang: UPM
Tuckman, BW & Waheed MA.1981.Evaluating An Individualized Science Programme.
Journal Of Research In Science Teaching. 18: 89-495
Zainal Bujang. 2008. Guru Bestari Pelajar Jauhari. Kuala Lumpur: Alhidayah
Berita Harian 23 Oktober 1992
UM 8.4.2004 “kes buli di sekolah”
UM 3.2.2004 “anak luar nikah meningkat”
UM 7.6.2000 “masalah disiplin di sekolah”
BH 10.11.2003 “buli dan lepak :masalah disiplin

BH 1.7.1999

Anda mungkin juga menyukai