Anda di halaman 1dari 14

KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT2353)

PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA: ANTARA SUMBANGAN DAN CABARAN DALAM MENEMPUH ABAD
KE-21.

Pendahuluan

Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami
banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia
sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di
peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan
kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperolehi status "World Class
Education".

Pendidikan bertaraf dunia menunjukkan perkembangan dan kemajuan pesat serta dinamis
pendidikan negara, khususnya dari segi kualiti, kuantiti, standard, kecemerlangan dan kredentialiti
yang diakui dan diterima di peringkat antarabangsa atau dunia. Dilihat dari perspektif yang luas,
‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam
membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :

Pembangunan tenaga manusia

Kepesatan pertumbuhan ekonomi

Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial

Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat

Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual

Pembangunan teknologi dan sains

Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi
memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang
tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat
dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami
perubahan anjakan paradigma yang dapat merintiskan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga
merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia
pendidikan di peringkat antarabangsa.

SUMBANGAN PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA KEPADA SEKTOR PENDIDIKAN

Apabila Kementerian Pendidikan telah menetapkan satu matlamat untuk menjadikan pendidikan
bertaraf dunia, dengan sendirinya matlamat tersebut telah mengariskan apakah langkah-langkah
yang perlu diambil. Langkah-langkah tersebut adalah:

Pengkorporatan Universiti.

Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, semua pihak di negara ini yang terlibat dengan
kegiatan pendidikan perlu meningkatkan komitmen mereka supaya sentiasa berusaha mengekalkan
dan meningkatkan kualiti pendidikan untuk kemajuan dan perubahan. Pendidikan yang berkualiti
amat penting bagi mencorakkan perubahan dan kemajuan pembangunan sumber tenaga manusia
yang produktif di negara ini yang sedang mengorak langkah mencapai status negara maju.

Langkah pengkorporatan universiti-universiti tempatan mempunyai motif tertentu bukan sahaja bagi
tujuan mendapatkan lebih banyak keuntungan dengan mengurangkan tanggungan kerajaan bagi
membiayai perbelanjaan pengajian tinggi, bahkan juga bagi menjadikan sektor pendidikan di negara
ini lebih dinamis perkembangannya. Selaras dengan pengkorporatan universiti, adalah diharapkan
supaya pihak pentadbiran universiti mengadaptasikan pengurusan universiti mengikut model-model
penswastaan, pengkorporatan dan pensyarikatan yang menekankan kepada perkhidmatan
keuntungan dan produktiviti.

Kerenah birokrasi dan pelbagai ‘red tape’ yang mengekang perjalanan universiti akan dapat diatasi
melalui pengkorporatan universiti. Dengan ini universiti akan bertenaga meningkatkan kewibawaan
dan memulakan anjakan paradigma barunya membawa era pendidikan bertaraf antarabangsa.
Autonomi universiti akan digunakan untuk kepentingan korporat.

Pasaran pendidikan tinggi juga akan diperluaskan melalui pengeksportan pendidikan ke negara lain
di samping menarik pelajar ke Malaysia dengan menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa
pengantar utama bagi menjamin kualiti, akauntabiliti dan kredibiliti pendidikan tinggi tempatan.

Reformasi pelbagai aspek organisasi pendidikan


Pendidikan bertaraf dunia adalah satu wawasan unggul bagi mereformasikan pelbagai aspek
organisasi pendidikan di semua peringkat persekolahan.

Ini termasuklah membaiki :

Kualiti pengajaran

Kualiti perkhidmatan

Kualiti kurikulum

Kualiti penilaian dan pensijilan

Kualiti pensyarah

Kualiti perkembangan dan kebajikan pelajar

Kualiti persekitaran budaya pelajar dan organisasi

Kualiti pengurusan dan pentadbiran universiti

Kualiti kepimpinan universiti

Kualiti penyeliaan

Kualiti mentoring

Kualiti perkembangan staf atau tenaga pengajar

Perubahan Sistematik

Untuk menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia, perubahan yang hendak dibuat mestilah sesuai
dengan tuntutan semasa. Dalam kontek Malaysia sistem pendidikan mesti dibangunkan dan dibuat
pembaharuan supaya ia dapat memenuhi tuntutan wawasan 2020 kerana wawasan ini tidak akan
menjadi kenyataan tanpa pembangunan sumber manusia dari segi kuantitif dan kualitif. Perubahan
dan pembaharuan adalah berdasarkan kepada hakikat bahawa tanpa sistem pendidikan yang
bertaraf dunia, impian untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju tidak mungkin
dapat dicapai.

Bertitik tolak dari kesedaran ini, Kementerian Pendidikan membuat pembaharuan yang disifatkan
sebagai sesuatu yang mesti menjangkau tempoh masa yang agak lama. Ia mestilah bersifat
sistematik iaitu ia tidak boleh terdiri dari satu komponen pendidikan iaitu educational content,
educational tools dan infrastruktur pendidikan mestilah diolah sedemikian rupa supaya perubahan
menjadi lebih bersepadu, holistik serta komprehensif. Perubahan sistematik ini mestilah dilihat
secara menyeluruh dan dalam kontek yang lebih luas.
Pertama, soal asas iaitu perundangan. Sejauh manakah kuasa yang ada pada Kementerian
Pendidikan dalam membuat beberapa perubahan sistem pendidikan. Pembentangan Rang Undang-
Undang Pendidikan 1995 membolehkan reformasi pendidikan dilaksanakan.

Antara lain, rang undang-undang tersebut menggariskan :

Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi
kualiti untuk mencapai aspirasi negara.

Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan

Tempoh pendidikan rendah adalah antara lima hingga tujuh tahun

Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan

Pendidikan teknik dan politeknik dipertingkatkan

Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta

Bermula dengan akta, perubahan boleh dibuat terhadap komponen-komponen lain sistem
pendidikan yang merangkumi ketiga-tiga komponen penting di atas iaitu isi kandungan pendidikan,
alat-alat pendidikan dan infrastruktur. Contohnya, apabila kita mengubah kurikulum sekolah, faktor-
faktor latihan guru, soal fizikal, soal kemasukan teknologi baru, sistem penilaian, kebajikan guru,
profesionalisme dan lain-lain lagi hendaklah diambil kira.

Begitu juga peningkatan taraf institusi pendidikan tinggi contohnya Institut Perguruan Sultan Idris
yang telah dinaikan taraf sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris. Sejajar dengan peningkatan taraf
ini, adalah diharapkan kewibawaan guru-guru akan dipertingkatkan untuk melahirkan insan yang
cemerlang.

Sehubungan dengan matlamat pendidikan bertaraf dunia, profesyen perguruan perlu pengkajian
semula. Profesyen perguruan di Malaysia memerlukan reformasi profesionalisme yang radikal dan
drastik bagi mengatasi masalah, cabaran dan jangkaan baru dalam merealisasikan agenda-agenda
pembangunan pendidikan menjelang abad ke 21.

Imej dan status perguruan yang semakin tidak bermaya perlu dipulihkan segera. Penawaran kursus-
kursus perguruan lepasan diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi adalah merupakan salah
satu usaha untuk meningkatkan kualiti dan status profesyen perguruan.
Penggredan Universiti

Penggredan universiti sebagaimana yang diura-urakan oleh Kementerian Pendidikan adalah satu
langkah positif dan menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi
selaras dengan wawasan pendidikan bertaraf dunia. Secara tidak langsung perlaksanaan penggredan
universiti ini menggalakkan universiti tempatan mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kualiti
dan status pengajaran pensyarah dan profesor di universiti khususnya bagi mereka yang tidak
mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas kaedah pengajaran.

Melatih semula pensyarah dan profesor khususnya dalam bidang baru seperti teknologi maklumat,
komputer, teknologi pendidikan adalah antara langkah-langkah penting bagi meningkatkan kualiti
pendidikan tinggi dan dianggap sebagai satu program perkembangan staf yang perlu dilaksanakan
oleh institusi pengajian tinggi yang ingin berkembang secara progresif dan dinamis.

Penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Swasta

Penubuhan institusi pengajian tinggi swasta yang begitu banyak mempunyai implikasi yang besar
kepada perkembangan industri pendidikan negara. Perlaksanaan program berkembar oleh insitusi-
institusi swasta ini, membolehkan wujudnya peluang pembelajaran yang lebih tinggi dari segi
penawaran kursus-kursus pengajian hasil dari kewujudan program berkembar, sekaligus
menyediakan penempatan pembelajaran yang lebih banyak.

Sehubungan dengan ini, pendidikan di Malaysia tidak hanya akan bergantung kepada universiti-
universiti tempatan yang sedia ada sahaja. Natijahnya, impian negara untuk melahirkan bakal-bakal
pekerja berilmu sebagaimana yang disuarakan oleh Perdana Menteri dapat direalisasikan.

Kelonggaran Sistem Pendidikan

Pendidikan untuk satu dekad yang akan datang digerakkan dengan lebih dinamik untuk melahirkan
lebih ramai golongan pekerja berilmu sebagai langkah dan strategi pembangunan sumber manusia
yang penting untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. Selaras dengan wawasan 2020,
Malaysia sedang menyusun dan merangka satu paradigma perubahan ekonomi untuk menjadikan
Malaysia negara maju dan membangun sepenuhnya dalam bidang perindustrian.
Perubahan paradigma bagi memasuki alaf baru gelombang perubahan ekonomi dan pembangunan
sumber manusia abad ke 21 amat bergantung kepada peranan serta dasar liberalisasi sistem
pendidikan negara ke arah melahirkan lebih banyak pekerja berilmu, rajin, tekun dan produktif.

Dalam satu ucapan dasarnya semasa mempromosikan Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia di
London, Perdana Menteri Datuk seri Dr. Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan Malaysia akan
melonggarkan sistem pendidikan negara bagi membolehkan pelajar dengan keputusan cemerlang di
peringkat persekolahan meneruskan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi selaras dengan usaha
kerajaan untuk melahirkan pekerja yang berilmu. Langkah melonggarkan peluang pendidikan ini
dikira perlu kerana negara kekurangan pekerja yang berilmu bagi menghadapi cabaran masa depan
terutama sekali dalam era teknologi maklumat abad ke 21.

Dengan mewajibkan semua murid mengikuti pendidikan awal di sekolah rendah secara percuma di
samping melonggarkan peluang pendidikan menengah dan tinggi, Malaysia dikira akan mencapai
satu taraf pendidikan yang maju di dunia. Malaysia juga dikira mempunyai kadar buta huruf yang
rendah berbanding dengan negara-negara membangun yang lain.

Kelonggaran sistem pendidikan juga menjadi satu strategi untuk merapatkan jurang kemiskinan
dalam masyarakat. Pendidikan, latihan dan pembangunan tenaga manusia mempercepatkan
perubahan sosial, meningkatkan produktiviti, membentuk warganegara yang produktif, menjadi
penggerak kepada pembangunan sains dan teknologi dan kegiatan ekonomi moden selaras dengan
kemajuan yang ingin dipelopori melalui pendidikan bertaraf dunia.

Perubahan alaf baru pembangunan negara abad ke 21 juga memerlukan ribuan tenaga mahir dan
tenaga profesional yang berilmu. Oleh sebab itu pelaburan pendidikan yang merupakan agenda
pembangunan sosial juga menjadi satu agenda yang amat mendesak bagi meliberalisasikan peluang
pendidikan dan latihan ke arah pembentukan pekerja berilmu.

Langkah bagi melahirkan pekerja berilmu mendorong sesebuah negara memperuntukan pelaburan
yang tinggi dalam pendidikan dan latihan. Langkah ini juga selaras dengan Teori Modal Manusia
(Human Capital Theory) yang menganggap pendidikan sebagai satu strategi penting bagi
meningkatkan potensi modal manusia seperti kepakaran, kemahiran, berpengetahuan, efisyen,
produktif, berdedikasi dan kreatif, sikap yang baik terhadap kerja dan sebagainya.

CABARAN KE ARAH MENUJU PENDIDIKAN BERTARAF DUNIA.


Dalam Malaysia kearah menuju pendidikan bertaraf dunia, kita tidak dapat lari daripada cabaran-
cabaran yang boleh memberi kesan kepada dunia pendidikan. Di antara cabaran-cabaran tersebut
ialah :

Penghijrahan pensyarah (brain drain)

Penghijrahan pensyarah institusi pengajian tinggi awam bukanlah satu fenomena yang baru. Ia telah
lama berlaku. Menurut Encik Wan Mokhtar Wan Yusuf ( Y.D.P. Persatuan Kakitangan Akademik
UKM), penghijrahan ini merupakan satu fenomena biasa yang sering berlaku dalam mana-mana
sektor. Penghijrahan ini sepatutnya dilihat sebagai tuntutan kepada keperluan tenaga pengajar yang
bertambah dalam sektor pendidikan swasta sejajar dengan perkembangan pendidikan negara ini.

Persoalannya apakah penghijrahan pensyarah menjadi satu ancaman kepada pendidikan di negara
ini ? Sudah tentu pasti kerana untuk menghasilkan seorang pensyarah bukannya satu perkara yang
mudah. Institusi pengajian tinggi awam menghadapi saingan untuk memikat graduan ijazah pertama
sewaktu mereka menamatkan pengajian. Memang tidak dapat dinafikan sektor swasta menawarkan
skim gaji dan beberapa kemudahan yang menarik berbanding dengan apa yang disediakan oleh
institusi pengajian tinggi awam.

Dilihat dari sudut yang lain, kestabilan politik dan kemantapan ekonomi memberi ruang kepada
pensyarah institusi pengajian tinggi awam memilih haluan karier masing-masing dan tidak
bergantung sepenuhnya kepada agensi-agensi yang berada di bawah naungan Kementerian
Pendidikan. Penghijrahan pensyarah bukan sahaja disebabkan oleh gaji pensyarah yang kecil tetapi
juga harus dilihat dari pelbagai sudut sama ada ia berbentuk peribadi atau sebaliknya. Banyak lagi
faktor lain yang dapat dikaitkan seperti tidak mendapat pengiktirafan pada masa yang diharapkan,
rasa terkongkong dan sebagainya. Penghijrahan pensyarah sebenarnya tidak hanya tertumpu
kepada institusi pengajian tinggi swasta sahaja, malahan ia juga melibatkan sektor yang lain seperti
sektor swasta, sektor kerajaan atau bekerja sendiri.

Dominasi Jantina Dalam Profesyen Perguruan

Keunggulan idealisme perguruan di negara ini menjadi semakin malap apabila profesyen perguruan
ini dimonopoli oleh kaum wanita. Trend yang berlaku sekarang menunjukkan profesyen perguruan
pada masa kini dan menjelang pada abad 21 akan terus dimonopoli oleh wanita. Salah satu implikasi
negatif pendominasian gender, khususnya kaum wanita dalam profesyen ini ialah meluasnya
pelbagai perkembangan yang tidak sihat seperti kenakalan remaja, keruntuhan moral, masalah
disiplin, jenayah berat yang semakin meluas berlaku disebabkan komitmen yang rendah dan
ketidakmampuan guru wanita menangani masalah sosial yang semakin mencabar.
Kekurangan peranan bapa di sekolah serta corak sosialisasi yang lemah sekaligus menunjukkan
profesyen perguruan tidak berkemampuan dalam menangani masalah asas pendidikan yang
dihadapi oleh masyarakat pada masa ini dan menjelang abad ke-21. Perasaan ketidakpuasan hati di
kalangan guru dalam profesyen perguruan kebelakangan ini telah meningkat dengan begitu tinggi.

Ini disebabkan meningkatnya beban kerja dan jangkaan yang pelbagai yang dilakukan oleh guru.
Fenomena ini juga mendorong ramai bilangan guru ingin berhenti dan memohon untuk pilihan
bersara daripada profesyen ini. Selain itu, kaum guru tidak dapat melarikan diri daripada menjadi
sasaran kritikan kerana pendidikan adalah sentiasa terbuka kepada penilaian dan akauntabiliti
pelbagai pihak.

Banyak pekembangan terbaru yang berlaku yang memerlukan golongan pendidik di negara ini lebih
bersifat profesional dalam melaksanakan tugas dan menangani masalah rumit yang berkembang
dalam masyarakat sekarang. Kemalangan yang berlaku dari masa ke semasa mendedahkan golongan
pendidik di negara ini dengan pelbagai tekanan psikologi dan mental yang memerlukan semangat
kental dan kesabaran kaum guru.

Peperiksaan Mengikut Keupayaan.

Konsep baru peperiksaan yang akan diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan yang memberi
peluang kepada pelajar-pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan, dikira akan memberi
kesan yang luas kepada sistem penilaian dan sistem pelajaran di sekolah.

Konsep yang dicadangkan oleh Menteri Pendidikan, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak ini, sudah tentu
mempunyai implikasi sosial dan moral yang luas kepada perkembangan pelajar. Murid-murid
sememangnya berbeza dari segi kebolehan dan kecerdasan mereka. Ini menyebabkan sebilangan
murid didapati lebih mudah dan cepat menguasai sesuatu pelajaran dan kemahiran berbanding
dengan segolongan lagi murid yang lemah dan lembab.

Banyak faktor yang menyebabkan mengapa perbezaan ini wujud dan memberi kesan pada
pencapaian individu murid. Dari kajian-kajian yang telah dilakukan menunjukkan faktor
sosioekonomi khususnya latar belakang keluarga seperti pekerjaan, pendapatan dan pendidikan ibu-
bapa mempunyai kesan yang amat besar kepada pencapaian murid-murid. Konsep peperiksaan yang
memberi peluang pelajar mengambil peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini adalah
bertujuan menggalakkan pelajar yang pintar dan cerdik atau murid-murid yang telah pun bersedia
boleh mengambil peperiksaan lebih awal bagi tahap-tahap tertentu.
Isu kritikal di sebalik perlaksanaan sistem peperiksaan ini ialah ia boleh menggoncangkan sistem
persekolahan kerana ia boleh menjadi alat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh golongan
elit dan golongan berada mendapat pengiktirafan memihak kepada kepentingan mereka berbanding
anak-anak golongan kurang berada dan golongan miskin.

Liberalisme konsep peperiksaan mengikut keupayaan bagaimanapun dikira akan memberi peluang
kepada pelajar lemah menangguhkan peperiksaan yang sepatutnya mereka duduki mengikut sistem
peperiksaan berjadual sehingga mereka benar-benar yakin dan bersedia. Soalnya, sehingga bilakah
pelajar yang lemah boleh membina keyakinan mereka untuk menduduki peperiksaan dan adakah
mereka yakin mereka akan berjaya dalam peperiksaan.

Peratusan dan bilangan besar pelajar lemah di sekolah didapati tidak mempunyai keyakinan dan
harapan yang mereka akan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Sistem peperiksaan yang
diujudkan juga lebih cenderung untuk mengukur kebolehan dan kecerdasan yang mirip kepada
pelajar berkebolehan tinggi di samping ia mengiktiraf kegagalan pelajar lemah dan kurang kebolehan
dari segi akademik.

Sistem peperiksaan yang dikira liberal ini juga tidak menjadikan sesuatu perubahan kepada yang
berkebolehan rendah. Meliberalisasikan konsep peperiksaan tanpa mengubah rancangan dan
program pendidikan untuk memperbaiki kelemahan akademik golongan berkebolehan rendah sudah
tentu tidak memberi apa-apa makna ke arah merintis masa depan yang cerah kepada golongan yang
berkebolehan rendah.

Selain itu, boleh ditimbulkan satu persoalan disini, apakah falsafah dan rangka ideologi yang
mendasari konsep peperiksaan mengikut keupayaan yang dicadangkan ini ? Adakah ia boleh dikira
satu perubahan yang penting ke arah menyumbang reformasi sistem peperiksaan yang sedia ada ?
Setakat manakah falsafah dan konsep peperiksaan mengikut keupayaan ini memberi faedah dan
mendukung wawasan pendidikan untuk melahirkan warga negara yang seimbang serta
berketrampilan ?

Cadangan dikemukakan bagi menjadikan sistem peperiksaan dan persekolahan dan pengajian tinggi
di negara kita lebih fleksible dengan cara membenarkan pelajar merujuk buku dan bahan-bahan
yang dikirakan penting semasa di bilik peperiksaan. Bagaimanapun ia dianggap tidak praktikal dari
segi keboleh percayaan dan validitinya sesuatu peperiksaan. Idea ini juga dikira mempunyai
kecenderungan mengalakkan pelajar meniru dalam peperiksaan yang sukar dikesan.
Salah satu amalan negatif peperiksaan mengikut keupayaan ialah menkelaskan pelajar mengikut
kelas dan kriteria baik, sederhana baik, lemah dan sebagainya. Amalan ini juga dikenali sebagai
"streaming" atau pengaliran. Pengaliran biasanya dibuat oleh pihak sekolah mengikut pencapaian
keseluruhan pelajar, dan kedudukannya yang bersiri di kalangan pelajar di tahap yang sama.

Konsep peperiksaan seperti ini mengalakkan lebih banyak pertumbuhan pusat-pusat tuisyen yang
memberi keuntungan yang lumayan di samping mengekspoitasi murid dan ibu bapa demi
mendapatkan kelulusan yang baik di dalam peperiksaan yang diadakan. Pertumbuhan pusat-pusat
tuisyen adalah satu fenomena yang tidak sihat dan ia mencerminkan kegagalan sistem pendidikan
dan sistem persekolahan di negara ini yang kurang cekap menjamin kejayaan yang baik di dalam
peperiksaan. Selain itu peperiksaan akan mempengaruhi ibu bapa sehingga boleh memberi tekanan
mental dan psikologi kepada anak-anak mereka semata-mata didorong oleh desakan untuk
mencapai kejayaan yanga cemerlang.

Kejayaan di dalam peperiksaan dikira merupakan satu tiket untuk mendapatkan peluang pekerjaan
yang lebih baik di samping untuk mendapatkan tempat memasuki institusi pengajian tinggi yang
begitu berpegang teguh kepada merit dan prinsip kecemerlangan pencapaian akademik seseorang
pelajar.

Dilihat dari perspektif sosiologi, radikal, konsep peperiksaan yang dicadangkan ini akan
mendorongkan kepada satu corak "class struggle" yang lebih ketara yang mencerminkan realiti
keadaan persaingan dan pergelutan masyarakat di luar sekolah. Keseluruhan falsafah, prinsip, dan
proses pendidikan akan terjejas sekiranya sistem peperiksaan yang mendasari wawasan pendidikan
itu menyimpang dari matlamat-matlamat unggul pendidikan untuk membentuk dan melahirkan
insan yangg seimbang dan sempurna yang perlu dilaksanakan melalui sistem dan proses
persekolahan yang progresif dan dinamis.

CADANGAN MENANGANI CABARAN KEARAH MERIALISASI PENCAPAIAN MATLAMAT PENDIDIKAN


BERTARAF DUNIA.

Meningkatkan profesionalisme perguruan

Adalah amat mustahak diingat golongan pendidik di negara ini perlu sentiasa menghidupkan
motivasi diri dengan menguatkan keazaman dan sedia menghadapi cabaran-cabaran baru,
disamping meningkatkan kewibawaan keilmuan mereka sebagai golongan pendidik yang dihormati
dan disanjungi oleh murid, ibubapa dan masyarakat.
Budaya mengajar yang masih bersifat usang, tradisional dan kurang berkesan menangani masalah
asas pendidikan seperti buta huruf, buta budaya, buta ilmu adalah di antara krisis pendidikan yang
mencerminkan krisis profesionalisme perguruan di negara-negara membangun khususnya di
Malaysia memerlukan resolusi yang lebih redikal dilakukan. Profesyen perguruan boleh dikatakan
tidak banyak mengalami perubahan dari segi inovasi dari segi teknologi walaupun perkembangan
teknologi maklumat berlaku dengan pesatnya dan dalam sektor-sektor lain.

Selaras dengan perubahan era multimedia dan teknologi maklumat profesyen di negara ini perlu di
reformasikan supaya ia benar-benar mampu menjadi agen perubahan kepada budaya literasi
teknologi, khususnya bagi melahirkan masyarakat yang celik komputer dan bersikap terbuka bagi
mengembangkan budaya saintifik.

Pendidikan guru perlu di reformasikan bagi menyediakan guru-guru yang berwibawa dengan ilmu
pengetahuan, mengamalkan sikap nilai dan falsafah pendidikan yang progresif, dapat
mengembangkan profesionalisme perguruan yang idealistik untuk membangunkan generasi muda
yang celik budaya, mempunyai kualiti sosial dan moral yang tinggi, bersifat futuristik dan positif
untuk mencapai kemajuan dan perubahan. Peranan profesyen perguruan dalam masyarakat
membangun seperti Malaysia menjelang abad ke 21 tidak seharusnya di bataskan di atas andaian
dan pandangan yang sempit. Sebarang langkah bagi mengongkong dan menyempitkan peranan
golongan guru sudah tentu akan merugikan masyarakat dan negara.

Profesyen perguruan harus berkembang dengan lebih pantas dan progresif bagi mencorakkan
perkembangan individu, masyarakat dan negara. Dari satu segi yang lain, profession perguruan yang
menjadi agen perubahan sosial harus menjadi penyelamat kepada krisis kemelut sosial yang
dihadapi oleh masyarakat yang sedang bergelut dengan tuntutan kemajuan dan perubahan.
Profesyen perguruan perlu diberi ruang yang lebih terbuka supaya konsep memasyarakatkan
sekolah, murid, pendidikan dan guru boleh memberi faedah yang besar kepada pembangunan
masyarakat setempat.

Pendidikan sebagai asas pembinaan masa depan bangsa dan negara bergantung kepada profesyen
perguruan yang berkembang secara dinamik dan progresif. Profesyen perguruan yang dinamis perlu
melahirkan kepimpinan guru yang berkualiti, sentiasa memperbaiki dan mempertahankan etika
profesionalisme pendidikan, berbanding dengan tugas yang mengabdikan diri sebagai golongan
pendidikan yang berwibawa dan dapat menjadikan diri sendiri lebih berketrampilan dengan
mendokong belajar seumur hidup (life long learning), belajar untuk mengubah dan belajar untuk
berubah.
Usaha-usaha lain sepearti melatih pensyarah bagaimana mengajar di institusi pengajian tinggi.
Langkah ini turut mencadngkan supaya pensyarah-pensyarah universiti mestilah memiliki diploma
pendidikan bagi membolehkan mereka melayakkan diri untuk mengajar. Walaupun mendapat reaksi
yang "panas dan sinis" daripada pensyarah dan professor, cadangan ini bagaimanapun perlu
dianggaap sebagai satu cadangan yang positif bagi meningkatkan kualiti pengajaran pensyarah dan
profesor di universiti khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai pengetahuan pedagogi dan asas
kaedah pengajaran.

Mengatasi masalah "Brain Drain" di kalangan pensyarah

Kebanyakkan pensyarah yang memilih kerjaya ini adalah kerana komited dengan apa yang dilakukan.
Penyelidikan menjadikan visi hidup mereka. Kerjaya sebagai pensyarah mempunyai banyak insrintik
yang terus menambat hati pensyarah agar terus kekal di institusi pengajian tinggi.

Namun apa yang menyebabkan wujudnya masalah 'brain drain' antaranya ialah layanan yang
mereka terima berbanding dengan pensyarah yang berrkhidmat di luar negara. Wan Mokhtar
mempersoalkan apakah adil hanya menggangapkan pensyrah yang berkhidmat di luar negara
ditawarkan dengan gaji yang berlipat ganda apabila kembali ke Malaysia, sedangkan antara
keduanya mempunyai kemahiran dan pendedahan yang sama.

Dalam menangani isu ini, ia melibatkan banyak pihak. Namun begitu ia bukanlah sesuatu perkara
yang sukar. Kerajaan sebagai tunggak, hendaklah peka dengan keperluan dan tuntutan semasa
institusi pengajian tinggi awam agar penghijrahan keluar pensyarah dapat di atasi. Jangan biarkan
pensyarah meminta-minta hak mereka kerana martabat pensyarah amat tinggi kedudukannya.

Memperbaiki Kualiti Sistem Peperiksaan

Adalah penting langkah dan strategi pembaharuan dilakukan oleh Kementerian Pendidikan bagi
memperbaiki dan meningkatkan kualiti sistem peperiksaan. Sistem peperiksaan yang dibentuk bukan
sahaja perlu menguji kebolehan akademik semata-mata tetapi keseluruhan aspek perkembangan
dan kualiti serta potensi individu sejajar dengan falsafah pendidikan negara.
Peperiksaan yang menekankan kepada kecemerlangan akademik semata-mata tidak memberi
gambaran menyeluruh terhadap perkembangan pelajar. Selain itu, langkah-langkah perrlu dibuat
bagi memperbaiki kualiti dengan menekankan aspek-aspek kognitif dengan menguji kebolehan
pelajar dari segi pemikiran kritis, rasionaliti, logik, pertimbangan dan nilai, ketepatan fakta,
penyelaisaian masalah, aplikasi, membuat penilaian dan sebagainya.

Konsep peperiksaan berterusan dalam konteks sekolah perlu di ambil kira sebagai kriteria
keseluruhan mengukur perkembangan masyarakat yang sihat, berdaya maju dan cemerlang di
samping memberi peluang kepada kepada setiap orang untuk mencapai rasa kejayaan dan
penghargaan diri.

Perubahan asas dalam sistem pendidikan perlu dibuat. Perubahan ini bukan bersifat kosmetik tepi
perubahan substantif supaya kurang berorientasikan peperiksaan. Antaranya cadangan supaya tiga
peperiksaan sekolah menengah dikurangkan kepada dua. Ini akan mengurangkan tekanan.

Antara perubahan tersebut ialah membolehkan kegiatan ko-kurikulum diambil kira untuk memasuki
universiti. Ketika ini sepuluh peratus daripada nilai markah kemasukan universiti datangnya daripada
aktiviti ko-kurikulum. Apabila kita berubah kepada sekolah bestari nanti, penekanan akan diberikan
kepada soal penguasaan ilmu dan kemampuan pelajar mengikut kemampuan sendiri iaitu konsep
kendiri.

KETERSEDIAAN PENDIDIK MENGHADAPI REFORMASI PENDIDIKAN

Golongan pendidik adalah murabi dan ahli ilmu yang membimbing manusia kejalan yang betul dalam
pegangan hidup, kerohanian, akhlak dan bidang ilmu yang berfaedah. Mereka bertanggungjawab
mendidik pelajar mengenal dan menghayati nilai kebenaran, keindahan dan keadilan dengan
spektrumnya yang seimbang dan benar, sesuai dengan potensinya sebagai khalifah Allah dan
hambanya. Dalam menuju alaf baru pendidikan bertaraf dunia paradigma pendidikan perlukan
anjakan yang dapat mendorong para pendidik memainkan peranan mereka dengan lebih agresif dan
progresif. Paradigma pendidikan perlu diubah daripada menerima kepada mencipta atau mencari,
daripada ketaatan kepada komitmen , daripada individu kepada perkongsian, daripada rutin kepada
inovatif dan kretif, daripada reaktif kepada proaktif dan daripada pasif kepada progresif.

Sebelum perlaksanaan reformasi dibuat secara total ke atas sistem pendidikan negara, apakah
semua yang akan terlibat dalam mendokong dan melaksanakannya telah tersedia? Kementerian
Pendidikan perlu terlebih dahulu memastikan semua dalam keadaan bersedia bagi mendokong
semua dasar atau sistem baru yang lebih futuristik.
Janganlah semua kesilapan seperti pengenalan kurikulum baru sekolah rendah (KBSR), subjek alam
dan manusia (ADM), dasar disiplin dan sistem kenaikan pangkat baru berdasarkan kepada kelayakan
akademik berulang lagi - kasihan generasi remaja kita yang menjadi mangsa kerana impak dari
kesilapan penghitungan dalam menanam modal dalam"komoditi pendidikan", ia akan memberi
impak jangka panjang. Sebagai contoh, hasil daripada kegagalan KBSR dan subjek ADM yang
dilaksanakan 10 tahun dahulu, bahangnya kita dapat rasai kini dengan kurangnya pelajar kita
(melayu khususnya) yang berminat unutk memilih sains sebagai bidang pilihan mereka di IPT.

Pendidikan telah mempunyai agendanya untuk menubuhkan Sekolah Bestari, Pendidikan Bertaraf
Dunia, Guru Bertaraf Dunia dan berbagai lagi yang akan bertaraf dunia. Persoalannya, apakah semua
kominiti guru telah bersedia untuk mengikut arus reformasi yang akan mendatang dalam era pasca
Teknologi Maklumat masa kini ? Ada baiknya fenomena ini dibetulkan terlebih dahulu sebelum
memikirkan reformasi pendidikan secara total. Janganlah anjakan paradigma itu dibuat
berkelompok-kelompok, biar ia menyeluruh kepada semua golongan pendidik. Kerana mereka inilah
yang akan membina asas-asas yang mantap dan teguh.

Kesimpulan

Dalam menuju ke arah pendidik dan pendidikan bertaraf dunia setiap lapisan masyarakat mahupun
individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu
dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi untuk melahirkan insan yang
berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras
dengan falsafah pendidikan negara. Sebagai golongan bukan pendidik, kita janganlah meletakkan
seluruh tanggungjawab ini hanya kepada golongan pendidik sahaja, tetapi haruslah memberikan
komitmen yang menyeluruh dan bersepadu.

Anda mungkin juga menyukai