Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN BERASASKAN SEKOLAH

1.0 PENGENALAN

Bahasa melayu merupakan mata pelajaran wajib dipelajari selaras dengan Dasar
Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP) subjek bahasa melayu bukan sahaja dibatasi pada murid aliran perdana,
malah telah dimodifikasikan bagi murid bekeperluan khas mengikut keperluan dan kemampuan
mereka. Bertitik tolak daripada itu, penulisan ini berfokuskan kepada sejauh mana pengajaran
dan pembelajaran oleh guru menepati Kurikulum Bahasa Melayu untuk murid berkeperluan
khas masalah pembelajaran. Penulisan ini mengambil kira maklumat yang diperolehi
berdasarkan tinjauan semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di dalam
kelas pendidikan khas, Sekolah Kebangsaan Hashim Awang (SKHA). Tambahan lagi,
penulisan ini akan mengemukakan beberapa cadangan dan rumusan terhadap tinjauan yang
telah dilaksanakan.

2.0 ANALISIS SEJAUH MANA PDP OLEH GURU MENEPATI KURIKULUM BAHASA
MELAYU UNTUK MURID BEKEPERLUAN KHAS PEMBELAJARAN

Berdasarkan analisis yang dijalankan, PdP subjek Bahasa Melayu oleh guru di dalam kelas 1A
adalah menepati kurikulum kerana Puan Mursyidah, guru Bahasa Melayu, telah membina
Rancangan Pengajaran Harian (RPH) berpandukan kurikulum kebangsaan iaitu Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). RPH yang dibina mengambil kira aspek
kepelbagaian murid kerana guru tersebut telah memodifikasi langkah PdP mengikut tahap
kemampuan murid. Selain itu, guru tersebut juga menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM)
serta pelbagai strategi, pendekatan, kaedah dan teknik untuk mengalakkan murid terlibat
secara aktif dalam PdP. Berdasarkan analisis RPH dan proses PdP yang saya lihat, isi
kandungan dan latihan pengukuhan yang dijalankan adalah mencukupi dan seterusnya
pengintegrasian kemahiran juga diwujudkan. Aktiviti pengukuhan yang dijalankan adalah untuk
mengesan kemajuan pelajar mengenai topik yang diajar pada hari itu dan seterusnya murid
yang memerlukan bimbingan dibantu oleh guru tersebut. Aspek yang dilakukan oleh Puan
Mursyidah turut disokong oleh Akhiar Pardi & Shamsina Samsudin (2014), yang menyenaraikan
beberapa persoalan untuk menghasilkan RPH yang baik.

Menurut Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012), perencanaan proses pengajaran dan
pembelajaran bahasa yang sistematik memerlukan seseorang guru untuk membuat
perancangan terhadap jenis pendekatan, kaedah, teknik dan juga strategi yang akan digunakan
mengikut kepada kesesuaian tahap kemampuan murid berkeperluan khas. Kualiti suatu proses
pengajaran dan pembelajaran sama ada menepati kurikulum bagi murid bekeperluan khas
pembelajaran bergantung kepada tahap kesediaan guru melalui perencanaan atau
perancangan yang dilaksanakan.

a) Pendekatan

Pendekatan yang telah dipilih oleh Puan Mursyidah bagi mengajar murid berkeperluan
khas kelas 1A adalah pendekatan deduktif. Menurut Halimatussaadiah et al (2015),
pendekatan deduktif merupakan jenis pengajaran yang bermula daripada umum kepada
khusus, iaitu dimulakan dengan sesuatu generalisasi menuju ke arah sebab atau
contoh. Puan Mursyidah membunyikan huruf vokal secara generalisasi dan seterusnya
menamakan contoh huruf vokal.

b) Kaedah

Kaedah yang digunakan adalah kaedah ajuk hafaz. Kaedah ini dilakukan secara
demonstrasi dan latih tubi. Puan Mursyidah membuat demonstrasi membunyi dan
menamakan huruf vokal dan murid akan membuat latih tubi mengikut langkah dalam
RPH.

c) Teknik

Berdasarkan tinjauan yang dilaksanakan, teknik yang digunakan bagi pengajaran


bahasa Melayu murid berkeperluan khas kelas 1A ialah teknik latih tubi. Teknik ini
merujuk kepada aktiviti pengulangan fakta-fakta atau kecekapan kemahiran yang
dipelajari. Terdapat tiga orang daripada tujuh orang murid di dalam kelas 1A mempunyai
masalah ingatan singkat yang memerlukan proses pengulangan sehingga mereka
menguasai kemahiran yang diajar. Hal ini bertepatan dengan tujuan penggunaan teknik
ini yang ingin dicapai iaitu mencapai taraf penguasaan kemahiran dan juga menjamin
ketekalan ingatan.

d) Strategi

Setelah dianalisis, strategi yang digunakan oleh Puan Mursyidah dalam PdP Bahasa
Melayu merangkumi dua strategi iaitu berpusatkan murid dan bahan. Beliau
menggunakan video nyanyian huruf vokal semasa set induksi dan kad gambar semasa
langkah 1 iaitu penerangan bagi menarik perhatian murid dan seterusnya murid
berperanan aktif dalam mengikuti proses PdP.

3.0 RUMUSAN DAN CADANGAN

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan, cadangan yang perlu dijalankan adalah dari aspek
pengurusan tingkah laku pelajar. Terdapat 2 orang murid yang menunjukkan tingkah laku
negatif iaitu menganggu rakan, berlari di dalam kelas dan meletakkan kepala dia atas meja.
Puan Mursyidah telah menggunakan beberapa langkah untuk mengubah tingkah laku mereka
seperti menggunakan peneguhan positif seperti ganjaran dan negatif serta mengugut pelajar
untuk dikenakan “time-out”. Cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan adalah guru
sepatutnya terus memberikan “time-out kepada pelajar yang menunjukkan tingkah laku negatif
jika tingkah laku itu tidak dapat dikawal. Selain itu, format penulisan RPH Puan Mursyidah
adalah terlalu ringkas. Pihak ketiga seperti ibu bapa atau pihak pentadbir yang melihat RPH ini
tidak dapat memahami prosedur yang dijalankan. Oleh itu, pada pendapat saya, cadangan
penambahbaikan yang boleh dilakukan adalah Puan Mursyidah perlu membina RPH lengkap
yang boleh difahami oleh pihak ketiga yang berkepentingan.

Konklusinya, perancangan dan pemerhatian yang teliti dijalankan adalah untuk meningkatkan
kualiti proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa, membantu murid mengatasi masalah yang
dihadapi dalam pelajaran dan seterusnya membolehkan mereka mendapat pendidikan yang
bersesuaian dengan tahap dan kemampuan mereka. Seorang guru perlu mempunyai
kemahiran dalam pedagogi, pengurusan tingkah laku dan kaedah pengajaran supaya guru
dapat merangka intervensi yang bersesuaian dengan murid mereka lantaran wujud pelbagai
jenis tahap dan permasalahan di kalangan murid berkeperluan khas di dalam satu kelas yang
sama. Oleh itu, guru perlulah sentiasa proaktif dalam menyelidik dan memerhati bagi
mendapatkan jalan untuk membantu murid mereka keluar daripada belenggu permasalahan
pembelajaran yang sama.
RUJUKAN

Abdul Hamid Mahmood. (2007). Linguistik Fonetik & Fonologi Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur. Aslita Sdn.Bhd.

Adenan Ayob & Khairuddin Mohamad. (2012). Kaedah pengajaran Bahasa Melayu. Selangor:
Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Akhiar Pardi & Shamsina Samsudin. (2014). Rancangan Pengajaran Harian. Selangor:
Penerbitan Multimedia. Sdn. Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran.


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Malaysia. (1996). Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan pendidikan (Pendidikan Khas)


(Akta 550). Warta Kerajaan.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2017). Murid dan
Pembelajaran. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Roselan Baki. (2003). Pengajaran Dan Pembelajaran Penulisan Bahasa Melayu. Shah Alam:
Karisma Publications Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai