Anda di halaman 1dari 3

Kemahiran Pedagogi Abad 21

Kejayaan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran adalah dipengaruhi oleh kualiti yang terdapat
dalam individu guru. Shulman dan Grossman (1987) menggariskan bahawa pengetahuan yang ada
pada seseorang guru berserta kaedah penyampaian mereka merupakan integrasi dominan
dalam memastikan murid-murid menerima pembelajaran yang dinamik dan responsif.

Pedagogi merupakan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat seni dan sains dalam
penyampaian isi kandungan. Proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku adalah melalui
interaksi antara guru dan murid, isi kandungan serta objektif pembelajaran. Proses pengajaran dan
pembelajaran juga memerlukan guru mengaplikaskan strategi, kaedah, teknik dan aktiviti sebagai
medium bertujuan untuk memudahkan murid-murid menerima dan memahami isi pelajaran yang
disampaikan.

Abad 21 memerlukan para pendidik membuat anjakan paradigma terhadap kaedah penyampian
mereka di bilik darjah. Kemahiran pembelajaran abad 21 adalah kemahiran pembelajaran yang
diperlukan oleh murid untuk berdaya saing pada alaf baru. Pengajaran dan pembelajaran abad 21
juga menuntut agar guru lebih komited dan kompeten dalam pelaksanaan kurikulum di sekolah.
Antara komitmen dan kompetensi yang perlu ada pada seseorang guru adalah:

 Menguasai Isi Kandungan: Berpengetahuan, berkemahiran, dan berpengalaman


mengintegrasi serta membina satu pengajaran yang mantap dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang lebih berkesan.
 Mengesan Perkembangan Murid: Berkemahiran merancang program bagi menyokong dan
membantu perkembangan murid melalui strategi sharply focused, deep dive, analisis data,
mempelbagai kaedah dan aktiviti untuk murid mencari ilmu di luar bilik darjah.
 Menguasai Kemahiran Psikologi Pembelajaran: Berkemahiran memahami bertingkah laku
setiap murid bagi memahami ciri-ciri pertumbuhan dan perkembangan murid-murid seperti
meramal tingkah laku, memberi motivasi serta menghubungkaitkan dengan proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kemahiran Pedagogi Abad 21 memerlukan siswa guru menguasai pelbagai bidang,


berpengetahuan terhadap dasar dan isu pendidikan semasa, mahir dalam pedagogi (pengajaran dan
pembelajaran), mahir dalam menggunakan teknologi terkini, serta berkeupayaan memupuk nilai-
nilai murni bagi tujuan pembentukan intelek, jasmani, emosi dan sahsiah yang cemerlang dalam
kalangan murid-murid. Hal ini bertujuan untuk melahirkan murid-murid yang produktif, mampu
berkolaboratif dan berkomunikasi, bersifat kreatif dan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi,
serta mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Bagi mencapai hasrat negara
untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad 21, medium pengajaran dan
pembelajaran yang dinyatakan berikut merupakan medium yang selari dengan keperluan
pengajaran dan pembelajaran masa kini.

1. Literasi, Maklumat, Media dan Kemahiran Teknologi dalam Pengajaran dan


Pembelajaran
Konstruk ini memerlukan siswa guru berupaya untuk mengakses kepada informasi secara efisien
dan efektif. Siswa guru juga mampu menilai maklumat yang diperoleh secara kritikal dan
kompeten di samping menggunakan maklumat yang dicapai secara berkesan bagi penyelesaian
masalah khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran. Selain dari itu, konstruk ini juga
memerlukan siswa guru untuk menggunakan maklumat untuk menjana maklumat baharu serta
memahami isu dan etika maklumat di atas talian.

2. Pengajaran Kontekstual

Konstruk ini memerlukan siswa guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran


dengan menghubungkaitkan pengalaman murid dalam proses pembelajaran. Siswa guru perlu
bijak dalam menjadikan aktiviti yang pernah dilaksanakan oleh murid sebagai
sebahagian daripada proses pembelajaran.

3. Merentas Disiplin

Konstruk ini memerlukan siswa guru untuk merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang
melibatkan pelbagai bidang. Hal ini memerlukan guru menggalakkan murid-murid berfikir
merentas disiplin agar mereka lebih kreatif dan kritis dalam menghubungkait serta menangani
sesuatu isu.

4. Pembelajaran Secara Kolaboratif

Konstruk ini memerlukan siswa guru menerapkan elemen kerjasama dalam kalangan murid bagi
menangani sesuatu isu, memberi maklum balas dan berkomunikasi serta berinteraksi antara satu
sama lain secara berstruktur dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

5. Pembelajaran Berasaskan Projek

Konstruk ini memerlukan siswa guru membenarkan murid membina kemahiran dan mendapatkan
ilmu melalui projek, pembelajaran koperatif dan teknik ‘hands on’. Di samping itu, siswa guru
juga perlu menggalakkan murid berfikir secara mendalam dan mencambahkan rasa ingin tahu
dengan mengaplikasikan pengetahuan saintifik.

6. Kemahiran Penyelesaian Masalah

Konstruk ini memerlukan siswa guru menyediakan peluang untuk murid mengaplikasikan konsep,
prinsip dan teori yang telah dipelajari dan melibatkan murid bergerak secara aktif dalam
kumpulan atau kumpulan kecil, serta menyelesaikan masalah secara kritis, analitis, logis dan
rasional. Siswa guru juga perlu merangsang minda murid secara aktif agar dapat
meningkatkan proses pembelajaran di samping menggalakkan eksplorasi dalam menyelesaikan
sesuatu tugasan.

7. Pentaksiran Telus
Konstruk ini memerlukan siswa guru menjelaskan tujuan dan objektif pembelajaran kepada murid
di samping menggalakkan murid membuat penilaian kendiri dan mampu membuat penilaian rakan
sebaya. Siswa guru juga perlu memberikan maklum balas yang sesuai dan tepat pada masanya
dan menggunakan keputusan pentaksiran untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran.

8. Kemahiran Berfikir

Konstruk ini memerlukan siswa guru untuk menyediakan aktiviti yang mencabar minda murid
dengan menggunakan soalan atau stimulus yang beraras tinggi. Siswa guru juga perlu
menggalakkan murid membuat penerokaan dan penyelidikan secara terancang dan teratur ke arah
mewujudkan idea baharu yang bernas dalam kalangan murid-murid. Selain itu, siswa guru juga
perlu berusaha untuk membangunkan kreativiti dan kemahiran inovasi dalam diri dan sentiasa
memupuk agar murid berfikiran kreatif dan menyumbang kepada pembangunan inovasi.

Pembelajaran abad 21 yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik memerlukan peranan dan
komitmen yang tinggi dalam kalangan siswa guru. Siswa guru yang berkualiti dan bersedia
melengkapkan diri dengan kemahiran pedagogi abad 21 menjadi sandaran kepada Kementerian
Pendidikan Malaysia untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara seperti yang dihasrat
melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.

Rujukan :

Shulman, L.S. & Grossman, P.L. 1987. Final report to the Spencer Foundation. Stanford,
CA:School of Education, Stanford University

Anda mungkin juga menyukai