Anda di halaman 1dari 3

Kes pengabaian anak

membimbangkan
BERDASARKAN hasil pra uji Kajian Penduduk dan Keluarga
Malaysia Ke-5 yang dijalankan pada September hingga Disember
tahun lalu, sebanyak 16.7 peratus wanita bekerja meninggalkan
anak-anak berusia enam tahun ke atas bersendirian di rumah tanpa
pengawasan orang dewasa.

Perkara ini menjadi satu trend yang membimbangkan pada zaman


sekarang. Apakah punca-punca berlakunya perkara ini? 

Pengabaian terhadap anak selalu berlaku akibat desakan hidup yang


menyebabkan si ibu terpaksa keluar bekerja. Sekiranya keluarga itu
mampu, ibu tidak perlu keluar bekerja kerana ia adalah tugas suami
untuk memberi nafkah keluarga. 
Dalam agama Islam, seorang suami wajib menyediakan nafkah
kepada isterinya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang
bermaksud: “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin (yang
bertanggungjawab) terhadap kaum wanita, oleh kerana Allah telah
melebihkan sebahagian mereka (laki-laki)  atas sebahagian yang lain
(wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan
sebahagian daripada harta mereka” (Surah an-Nisaa’ 4:34)        
Seorang sahabat bernama Hakim bin Mua’wiyah bin Hidah al-
Qusyairi r.a. pernah mendengar  ayahnya berkata bahawa dia
pernah bertanya kepada Rasullulah SAW: “Wahai Rasulullah!
Apakah hak isteri kami ke atas suami?” Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud, “Memberinya makan apabila kamu makan dan
memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” (Hadis riwayat Abu
Daud)
Para suami dipertanggungjawabkan untuk menanggung
perbelanjaan makan minum dan pakaian isteri dan anak-anak. Ini
termasuklah tempat tinggal, perubatan dan ilmu yang bermanfaat.
Syarak juga menetapkan kadar pemberian nafkah adalah mengikut
kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan
dirinya melebihi kemampuannya.
Sikap saling membantu sememangnya amat digalakkan dalam
kehidupan berumahtangga. Kebanyakan isteri pada hari ini rela
membantu meringankan beban suami dan sanggup bekerja mencari
nafkah untuk menyara keluarga.  
Namun terdapat juga wanita yang masih hendak bekerja walaupun
suaminya mampu menyediakan segala-segalanya. Mereka ini
merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding wanita lain
apabila bekerjaya. Justeru sikap memainkan peranan penting dalam
menentukan hala tuju sesebuah keluarga. Jika isteri mengambil
sikap bersederhana dalam kehidupan dan bukannya untuk berlumba-
lumba dengan orang lain mungkin apa yang diberi oleh suami sudah
memadai. Ini tentunya dapat mengelakkan berlakunya pengabaian
terhadap anak-anak atas desakan kerja. 
Harus diingat bahawa keputusan untuk wanita keluar bekerja
mencari rezeki adalah keputusan yang besar, terutama jika ia
melibatkan anak-anak. Keputusan ini harus dibuat dengan teliti
melihat kepada semua aspek.
Tambahan pula pusat asuhan mengenakan bayaran yang tinggi
untuk menjaga anak sepanjang waktu bekerja. Bayangkan jika
pasangan itu mempunyai anak kecil lebih daripada seorang, maka
sebahagian besar peruntukan akan dibelanjakan untuk membayar
perkhidmatan taska semata-mata. 
Bukan semua orang mampu membayar beratus-ratus ringgit sebulan
untuk penjagaan anak. Banyak lagi perbelanjaan lain yang lebih
penting contohnya ansuran atau sewa rumah dan kenderaan.
Disebabkan ketidakmampuan inilah juga ada wanita yang sanggup
membiarkan anaknya tinggal seorang di rumah tanpa pengawasan.     

Mungkin sesetengah ibu bapa beranggapan umur anak enam tahun


ke atas sudah agak pandai dan boleh ditinggalkan sendirian di
rumah. Hakikatnya, mereka ini masih kecil dan belum mampu
melindungi diri sendiri apabila berhadapan dengan sebarang
ancaman. 
Kemalangan seperti terjatuh apabila memanjat, luka,tercedera atau
kebakaran mungkin boleh berlaku. Itu tidak termasuk lagi jenayah
seperti rompakan atau rogol.
Sebenarnya terdapat undang-undang berkaitan perkara ini. Ibu bapa
boleh dipenjara jika meninggalkan anak sendirian di rumah.
Perbuatan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 33, Akta Kanak-
Kanak 2001.
Sekiranya ibu bapa meninggalkan anak-anak berseorangan tanpa
pengawasan, mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen
33, Akta Kanak-Kanak 2001, kerana membiarkan kanak-kanak
tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan dan jika disabitkan
kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara
selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.       
Undang-undang kelihatan tegas terhadap pengabaian anak-anak,
namun ia masih berterusan berlaku dan masalah ini masih tidak
dapat ditangani sepenuhnya. Apa yang diperlukan adalah dasar yang
lebih jelas dengan mewajibkan pusat asuhan dan taska di tempat
kerja. 
Komitmen dan kesungguhan kerajaan diperlukan dalam menjayakan
perkara ini agar majikan terpaksa akur. Selagi tiada kewajipan untuk
menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja, majikan
akan berdolak dalik dalam hal ini. Berbagai alasan akan diberikan
seperti logistik dan sebagainya.       
Jika kita masih bercakap dalam bentuk cita-cita dan harapan untuk
menubuhkan pusat asuhan di tempat kerja, sampai bila masalah ini
tidak akan selesai. 
Kes pengabaian anak akan terus meningkat dan menggugat
keselamatan mereka. Wanita bekerjaya memerlukan sistem
sokongan yang kuat untuk mengatasi masalah ini. Seterusnya ini
dapat memastikan generasi masa depan menjadi modal insan yang
lebih cemerlang.     
  
PENULIS ialah pegawai penyelidik di Pusat Kajian Syariah, Undang-
undang dan Politik,  Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kes-
pengabaian-anak-membimbangkan-1.67308#ixzz5KAnosBN2 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anda mungkin juga menyukai