Anda di halaman 1dari 5

Pengurusan Kewangan Keluarga

40

Pengenalan

Pening! Gaji baharu sahaja masuk. Belum pun hujung bulan, tetapi duit sudah tiada malah berhutang
pula. Semuanya bergantung kepada bagaimana kita menguruskan wang gaji yang diperoleh.Siapakah
yang bertanggungjawab menguruskan kewangan keluarga? Suami? Isteri? Persoalan yang lebih
penting,berapa ramai di antara kita yang tahu mengenai pengurusan kewangan keluarga?Jika anda tidak
tahu, usah malu kerana anda berada di medium yang betul untuk mempelajari apakah yang
dimaksudkan dengan pengurusan kewangan keluarga.

Pengurusan Kewangan ?

“Orang yang gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal”. Pengurusan dan perancangan
adalah sesuatu perkara yang amat penting dalam kehidupan terutamanya yang berkaitan dengan
kewangan ataupun harta. Perancangan Kewangan adalah satu pelan yang melibatkan beberapa aktiviti
tertentu dalam perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh serta mendatangkan faedah
yang optima. Aktiviti tersebut termasuklah proses mengurus, memantau, menentukan jumlah yang
diperlukan dan tujuannya, membentuk rancangan perbelanjaan, dan mematuhi perancangan yang
dibuat. (“Apa itu Perancangan Kewangan?” 2009). Ya! Kita akan memperoleh gambaran kedudukan yang
jelas tentang kedudukan kewangan yang terkini dan memberikan hala tuju yang tepat mengenai
matlamat kewangan yang ingin dicapai.

Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda

Berapa banyak hutang anda setiap bulan

Berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan

Siapakah yang Memerlukan Pengurusan Kewangan?

KITA. Ya, kita semua memerlukan pengurusan kewangan tidak kira jawatan,darjat mahupun jumlah gaji
yang diterima.

Tanda- tanda Keluarga Anda Mengalami Masalah Pengurusan Kewangan

Jom semak! Adakah keluarga kita mengalami tanda- tanda seperti berikut:
tidak tahu ke mana wang dibelanjakan

tidak pasti berapa banyak hutang

mengambil pinjaman baru untuk membayar hutang lama

menggunakan simpanan untuk keperluan harian

tidak dapat langsung menyimpan

Jika keluarga anda pernah mengalami keadaan yang disebutkan di atas, pasti anda tertanya- tanya
MENGAPA? Jawapannya ada dinyatakan dibawah.

Faktor- faktor Perbelanjaan Tidak Terkawal

Ilmu Pengurusan Kewangan Yang Lemah

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK), faktor utama
yang menyumbang kepada masalah hutang serta ketidakupayaan membayar balik pinjaman adalah
disebabkan pengurusan kewangan yang lemah, iaitu sebanyak 22.6%. (“321,530 Sertai Kaunseling,
“2015). Ramai di kalangan kita yang tidak menyedari kepentingan pengurusan kewangan yang betul.

Perlu VS Mahu

Perlukah tukar telefon bimbit baharu yang lebih canggih jika yang lama masih lagi boleh digunakan?
Tukar sport rim baharu walaupun yang lama masih cantik? Ramai yang “pantang” tengok sesuatu
perkara yang diminati, maka mereka akan segera mendapatkannya. Adakah kita betul-betul
memerlukannya? Tepuk poket, tanyalah kemampuan kita!

Sikap Suka Berhutang

Sikap suka berhutang ataupun pakai dahulu bayar kemudian ini sangat tidak digalakkan. Memang
seronok menggunakan kad kredit kerana barangan yang dibeli tidak perlu dibayar secara tunai. Tetapi
harus diingat bahawa berterus-terusan mempunyai hutang kad kredit adalah satu kesilapan besar.
Memang terlalu mudah untuk menggunakan kad kredit tetapi amat sukar untuk melunaskan hutang dan
akhirnya berterusan menanggung hutang yang BESAR!
Kesan dan Akibat Gagal Menguruskan Kewangan Keluarga

Hutang Keliling Pinggang

Akibat gagal mengurus kewangan dengan baik,tanpa kita sedari kita telah terjerat dengan beban hutang
yang memeningkan. Lebih memeningkan kepala apabila memikirkan bil-bil tertunggak yang belum
dilunaskan. Didorong perasaan terdesak, maka Ah Long adalah jawapan kepada penyelesaian.
Sadisnya,perbuatan kita tersebut memerangkap kita masuk ke dalam lubuk hutang yang membinasakan.

Ketidakstabilan Mental dan Emosi

Derita kewangan menyebabkan berlakunya emosi yang mendesak untuk mencari sumber kewangan
bagi menampung keperluan dan bebanan hutang. Kesannya, jiwa berasa tidak tenteram dan hidup
berada dalam tekanan yang hebat. Semua ini boleh menjejaskan kesihatan, mental dan kestabilan
emosi. Membimbangkan lagi, akibat tekanan yang mendesak, seseorang terdorong untuk melakukan
pelbagai perkara yang menyalahi agama dan undang-undang.

Menjejaskan Institusi Kekeluargaan

Bijak merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan
stabil. Walaupun wang bukan segala-galanya tetapi mempunyai kaitan secara langsung dengan
kesejahteraan bagi memenuhi keperluan asas dalam kehidupan. Pengurusan kewangan yang lemah
boleh menjejaskan kesejahteraan rumah tangga dan seringkali menimbulkan pertelingkahan. Lebih
menyedihkan, mahligai rumahtangga yang dibina boleh runtuh akibat perangkap kewangan.

Langkah- langkah Pencegahan

Ubah Cara Berbelanja dan Gaya Hidup

Kita perlu mengkaji semula corak perbelanjaan, selain berjimat-cermat bagi mengelakkan pembaziran,
mewujudkan dana kecemasan dan mengelak daripada membuat pinjaman baharu. Ini semua penting
bagi kita dalam menghadapi kesan negatif yang tercetus daripada peningkatan kos sara hidup yang
semakin meruncing.
Tingkatkan Ilmu Pengurusan Kewangan

Pengurusan kewangan membekalkan diri kita untuk menghadapi peluang dan cabaran krisis kewangan.
Bukan sekadar dapat membantu kita memperbaiki tahap hidup kita, malah membantu mencapai
kepuasan berbelanja. Jangan berasa malu untuk menuntut ilmu! Buntu? Tidak tahu bagaimana untuk
mempelajari ilmu berkaitan pengurusan kewangan?Jangan risau. AKPK adalah salah satu agensi yang
menyediakan perkidmatan pendidikan kewangan secara PERCUMA!

8 Tips Bijak Urus Kewangan Keluarga

Wujudkan pelan simpanan.

Pastikan setiap kali menerima gaji, simpan sekurang- kurangnya 10% daripada gaji sebelum berbelanja

Rancang kewangan dengan teliti.

Wujudkan pelan perbelanjaan peribadi khas yang meliputi perbelanjaan harian, mingguan, bulanan
sehinggalah perbelanjaan tahunan

Minimumkan perbelanjaan.

Mengapa tidak anda membawa bekal sahaja ke pejabat? Apabila perbelajaan dikurangkan, maka wang
lebihan untuk disimpan akan bertambah setiap bulan

Cari pendapatan sampingan.

Adakah anda pakar dalam bidang masakan, pembuatan kek atau menjahit? Mengapa tidak anda
gunakan kemahiran anda itu sebagai pendapatan sampingan?

Menderma.

Kedengaran pelik bukan? Tahukah anda dengan menderma, Allah akan mencukupkan keperluan kita
malahan rezeki yang diterima bertambah berkat apabila dikongsikan.

Elakkan diri daripada berhutang dan menggunakan kad kredit.

Perkara ini wajib dilakukan oleh anda terutamanya jika anda seorang yang boros dan tidak pandai
mengawal perbelanjaan
Senaraikan dahulu barangan yang hendak dibeli.

Jangan lupa untuk melakukannya supaya anda tidak berbelanja barangan yang kurang penting.

Menabung.

“Sikit- sikit lama-lama jadi bukit”. Walaupun sedikit, simpanlah secara konsisten. Hasil tabungan anda
boleh digunakan ketika anda menghadapi situasi kecemasan

Kesimpulan

Bijak merancang dan menguruskan kewangan adalah unsur penting membentuk keluarga sejahtera dan
stabil. Hatta Al-Quran sendiri menegaskan di dalam surah Yusuf ayat 47- 48 tentang pentingya
perancangan sebelum menghadapi atau melakukan sesuatu malah perlu bijak dalam menguruskan
kehidupan agar tidak susah dikemudian hari.

Anda mungkin juga menyukai