Anda di halaman 1dari 4

Beberapa minggu yang lepas saya dihadapkan dengan sebuah artikel yang mengatakan bahawa

pedang Melayu itu pendek berserta dengan hujah-hujahnya sekali. Biarpun di dalam artikel itu juga
mengatakan bahawa terdapat juga senjata Melayu yang panjang, namun sebab-sebab yang dinyatakan
itu amatlah meresahkan hati dan jiwa saya sebagai penuntut ilmu mempertahankan diri bersenjata.
Bahkan antara sebab-sebab itu agak bertentangan dengan logik medan pertarungan mahupun medan
peperangan di laut dan di darat.

1. Jenis Pedang

Pertama sekali saya ingin katakan bahawa wujud pedang Melayu yang ukurannya agak panjang, bahkan
berukuran lebih dari 1 meter. Hanya saja ia jarang terlihat dan tidak dijumpai tidaklah bermakna ia tidak
sama sekali wujud.

Larangan bersenjata yang wujud ketika zaman kolonial akibat daripada perjuangan dan penentangan
orang Melayu terhadap pihak British menyebabkan pengurangan pemilikan senjata-senjata panjang
akibat dirampas oleh pihak British. Bahkan pada era ini juga pemilikan keris yang mana menjadi jati diri
orang Melayu juga mulai perlahan-lahan pudar dan hampir hilang dari rakyat marhaen. Terdapat kisah di
awal larangan tersebut orang Melayu mensisipkan daun-daunan pada samping mereka untuk
mengantikan keris tersebut.

Berikut adalah jenis senjata panjang yang wujud di dalam Alam Melayu.

a. Jenawi
Jenawi adalah sejenis pedang panjang yang mempunyai persamaan dengan Nodachi dan
Miaodao. Nama jenawi seringkali muncul dalam manuskrip-manuskirp dan persuratan
Melayu lama seperti Hikayat Mambang Jenawi, Hikayat Malim Deman, Sejarah Melayu
dan Syair Siti Zabedah. Terma jenawi juga wujud di dalam senarai nama Kamus Dewan
Bahasa dan Pustaka sebagai jenis pedang yang lurus dan panjang yang menggunakan
dua tangan. Dulu Muzium Kuala Selangor pernah menayangkan artifak ini namun saya
tidak pasti jika artifak ini masih ada atau tidak.

b. Keris Sundang
Keris Sundang atau nama lainnya, Keris Perang, adalah sejenis senjata yang menyerupai
saudaranya namun hanya lebih panjang dan digunakan untuk menebas, menetak atau
memotong berbanding menikam. Keris Sundang atau nama ringkasnya, Sundang
tergolong dalam kategori pedang. Kompleks Sejarah Pasir Salak ada menyimpan artifak
keris sundang yang panjang.

c. Kampilan
Kampilan adalah senjata panjang yang berasal daripada Filipina, Sulawesi, kepulauan
Talaud, kepulauan Riau dan Kalimantan. Senjata ini dapat dilihat di Muzium Riau,
Sarawak, Sabah dan Manila.
d. Tombak
Tombak juga adalah sejenis senjata panjang yang digunakan di Alam Melayu.
Menggunakan batang kayu yang panjang dan bilah mata besi yang tajam. Senjata ini
paling umum dan banyak digunakan bukan saja di Alam Melayu bahkan juga di seluruh
dunia. Selain itu, ia digunakan untuk berlawan, berperang & juga berburu di hutan.

Terdapat juga banyak senjata lain yang wujud di dalam Alam Melayu dan banyak lagi senjata yang ada
yang tidak dapat saya masukkan.

2. Faktor Geografi & Taktik Perangan


a. Hutan

Mengatakan hutan sebagai asbab kenapa pedang melayu itu pendek sebenarnya kurang
munasabah. Hakikatnya banyak juga tamadun lain di Asia yang mempunyai bilah pedang
yang panjang. Tamadun seperti Jepun(nodachi), China(miaodao dan zhanmadao),
Thailand(krabi), bahkan India(khanda) juga mempunyai pedang panjang mereka sendiri.
Tamadun-tamadun ini juga mempunyai banyak hutan di persekitaran mereka namun
mengapa mereka mengembangkan senjata yang sedemikian?

Ini kerana bukan semua pertempuran itu berlaku di dalam kawasan hutan. Bahkan
ketumbukan tentera seringkali cuba untuk mengelak melalui hutan sebagai laluan
mereka. Ini kerana kesukaran untuk bergerak serta bahaya yang wujud di situ.
Melainkan ia adalah serang hendap atau terpaksa, seorang panglima tidak akan
mengarahkan tenteranya melalui kawasan yang berisiko tinggi.

Bahkan jika perlu pun berlawan di dalam hutan yang tebal, itu tidak menghalang
penggunaan senjata yang panjang. Tombak dan pedang yang panjang boleh saja
digunakan yang penting adalah bagaimana ia digunakan. Mungkin saja menebas ke kiri
atau kanan bermasalah, namun tidaklah ia bererti yang menetak atau menikam itu tidak
boleh.

b. Kawasan Peralihan

Pertama kali saya dengar terma kawasan peralihan ini jadi saya tak begitu pasti pada
awalnya, mungkin juga saya tidak memberi perhatian ketika cikgu Geografi saya
mengajar bab ini, tapi saya boleh simpulkan daripada artikel tersebut bahawa kawasan
peralihan ini merujuk kepada kawasan di antara tanah kering dan kawasan berair seperti
pesisir pantai, paya, dan rawang atau dalam kata lain, kawasan tanah lembap.

Benar tanah yang kering dan keras membolehkan seorang pendekar itu mengimbangi
pusat gravitinya selain menjaga kekemasan tapaknya, atau dalam kata lain, footing, dan
benar juga berlawan di tanah yang lembap lebih memenatkan dan memakan lebih
banyak stamina berbanding di kawasan tanah kering. Namun begitu sama ada tanah
yang dipijak itu kekar atau tidak, tidak menghalang dari seorang askar atau pahlawan
untuk menggunakan senjata yang panjang.

Bahkan kalau kita lihat dalam sejarah, tamadun terdekat yang kita boleh rujuk sebagai
contoh, pahlawan Viking seringkali menjarah kawasan persisiran England dahulu melalui
kapal panjang mereka. Dan tidak pula menjadi satu permasalahan untuk mereka
membawa senjata kegemaran mereka, kapak Skeggox yang mana panjangnya boleh
mencecah 1 meter, dengan memakai pula chainmail dan membawa perisai bulat
mereka yang besar. Bahkan untuk pengetahuan anda, pedang terpanjang Viking pernah
direkod berukuran 102.4 cm dan masih ada di dalam simpanan Muzium Oslo.

c. Serangan dan Kepungan kepada Kota dan Kubu

Kepungan terhadap satu-satu kubu atau kota itu tidak asing dalam sejarah. Dari pelbagai
tamadun dan era, peperangan pengepungan atau siege warfare telah mengilhamkan
pelbagai jenis innovatif ketenteraan dari trebuchet, battlement hingga kepada Meriam
Agung.
Pelbagai taktik dan strategi digunakan untuk merobohkan pertahanan satu-satu dinding
kota dan mereka yang mempertahankannya. Pelbagai juga jenis senjata yang digunakan
seperti anak panah, istinggar, tarkol, dan tombak tetapi mengapa tiba-tiba ia menjadi
faktor untuk bilah pedang itu dipendekkan. Bahkan sepertimana yang saya jelaskan
pada awal artikel ini, pedang yang panjang serta tombak boleh menjadi alternatif di
antara satu sama lain.

d. Berlawan Di atas Kapal

Apabila kita berbincang mengenai pertempuran di atas kapal, kita sudah pun masuk ke
dalam topik perang laut dan peperangan di laut jarang sekali pada jarak depan
melainkan untuk menawan kapal musuh. Kedua-dua pihak selalunya akan menggunakan
meriam dan anak panah untuk menyerang kapal pihak lawan untuk menghancurkan
kapal pihak lawan.

Namun jika pertempuran secara dekat dan di atas kapal sekalipun terjadi, tidaklah
bermakna senjata panjang tidak boleh digunakan, bahkan di dalam rekod Ming, ada
tercatat suatu ilustrasi di mana tentera Ming dan lanun Wukou berlawan di atas sampan
masing-masing dengan mengunakan senjata panjang seperti tombak yang panjang.
3. Realiti Berlawan di Medan Pertempuran dan Perang

Hakikatnya, berlawan dengan tangan kosong amatlah berbeza dengan berlawan menggunakan
senjata. Begitu juga realiti berlawan di medan tempur yang mana amat berbeza dengan berlawan satu
lawan satu di dalam gelanggang di bawah bumbung.

Berlawan dengan senjata mementingkan jarak dan kelincahan seseorang itu untuk mengelak dan
menepis senjata pihak. Ini kerana berbanding tempur tangan kosong, kecuaian atau kesilapan yang
berlaku adalah sangat merbahaya bahkan membawa maut. Oleh kerana itu, adalah menjadi suatu
keputusan yang pragmatik dan strategik untuk membawa senjata yang panjang ke medan pertempuran
untuk menjaga jarak seboleh mungkin dari pihak lawan.

Berlawan di medan perang pula memerlukan stamina dan tenaga yang banyak. Jarang sekali untuk
seseorang individu mempunyai lengah masa yang selesa untuk menarik nafas lega dan berehat di ruang
tempur. Ini kerana sekali saja kita leka, musuh sudah pasti akan mengambil kesempatan itu untuk
menyerang dan membunuhnya.

Dan akhir sekali, di medan perang yang menjadi persoalanan bukanlah jenis senjata digunakan
tetapi kebolehgunaan dan fungsi senjata tersebut. Bagaimana ia digunakan dan taktik yang diatur oleh
panglima perang. Apakah relevan menggunakan keris melawan tombak, atau pedang melawan panah,
atau perisai menahan meriam?

Anda mungkin juga menyukai