Anda di halaman 1dari 21

JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.

1) 2020

PENGGUNAAN PERISIAN APLIKASI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN


KOMUNIKASI MENINGKATKAN INTEGRASI DOMAIN PEMBELAJARAN
DALAM KARYA MURID BELAJAR GAYA VISUAL

(THE USE OF INFORMATION AND COMMUNICATION TECHNOLOGY


APPLICATION SOFTWARE ENHANCES LEARNING DOMAIN INTEGRATION IN
VISUAL STYLE STUDENT ART WORKS)

1
Siti Hayati bin Hj Mohd Yusoff
2
Halim bin Husain

1-2
Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900
Tanjung Malim, Perak, MALAYSIA

1
Corresponding author:sitihayati@ipgmipoh.edu.my

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti perisian aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi
(TMK) dalam instruksional guru Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah yang memberi impak
terhadap peningkatan integrasi domain pembelajaran dalam kalangan murid yang mempunyai
gaya belajar visual berdasarkan hasil karya mereka. Secara tidak langsung melihat sama ada
guru mempraktiskan perisian aplikasi TMK sebagai amalan terbaik dalam proses pembelajaran.
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Data dikumpul menggunakan kaedah temu bual,
pemerhatian dan dokumentasi karya murid. Kajian ini dilakukan terhadap lapan orang murid
sekolah rendah dan empat orang guru Pendidikan Seni Visual. Hasil kajian menunjukkan
pengajaran guru Pendidikan Seni Visual yang menggunakan perisian Tux Paint, Adobe
Photoshop dan Paint Tool SAI telah mencetuskan satu inovasi dalam pengajaran dan
meningkatkan integrasi domain pembelajaran murid melalui karya yang dihasilkan berdasar
gaya belajar visual. Perisian aplikasi TMK dalam mata pelajaran PSV sebagai amalan terbaik
untuk menjadikan pembelajaran lebih bermakna ke arah kemenjadian murid sejajar dengan
Pendidikan Abad Ke-21.

Kata kunci: Perisian aplikasi TMK, integrasi domain pembelajaran, gaya belajar visual.

ABSTRACT
This study aims to identify information and communication technology (ICT) application
software in the instruction of Visual Arts Education teachers in primary schools that have an
impact on improving the integration of learning domains among students who have a visual
learning style based on their art work. Indirectly, teachers practice ICT application software as

140
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

a best practice in the learning process. This study uses a qualitative approach. Data were
collected using interview methods, observations and documentation of student art work. The
study was conducted on eight primary school students and four Visual Arts Education teachers.
The results showed that the teaching of Visual Arts Education teachers using Tux Paint software,
Adobe Photoshop, Paint Tool SAI has sparked an innovation in teaching and improving the
integration of student learning domains through art works produced based on visual learning
style. ICT application software in PSV subjects as a best practice to make learning more
meaningful towards becoming a student who is more efficacious with 21st Century Education.

Keywords: ICT applications software, learning domain integration , visual learning style.

PENGENALAN

Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dapat ditakrifkan sebagai pelbagai bentuk
peralatan dan sistem yang digunakan untuk memproses, mengurus, memanipulasi, memindah,
menyimpan dan menyebarkan maklumat melalui media elektronik. Menurut Gustafson dan
Branch (2007) pada hari ini, TMK digunakan dalam hampir semua aspek kehidupan dan
pengaruhnya dijangkakan akan membawa impak yang lebih besar terhadap dunia akan datang
(Robertson, 1998). Ia memberi sumbangan kepada pembangunan sesebuah negara.

Dalam aspek pendidikan masa kini, perisian aplikasi TMK media teknologi maklumat
dan komunikasi menjadi pendekatan untuk meningkatkan tahap pembelajaran murid. Para
pendidik perlu menggunakan pendekatan yang menerapkan kemahiran TMK dalam proses
pengajaran. Teknologi ini diintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Integrasi
perisian aplikasi TMK dalam dunia pendidikan memberi sumbangan yang tinggi dalam
pembentukan jati diri murid selain mempunyai ilmu pengetahuan. Perisian aplikasi yang boleh
digunakan semasa menjalankan aktiviti seni seperti perisian Tux Paint, Paint Tool SAI, Art Rage
5, Adobe Photoshop dan Paint.

Robiah Sidin dan Nor Sakinah Mohamad (2007), dalam era globalisasi yang
berpaksikan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi pembangunan pendidikan
mementingkan pembudayaan dan penguasaan teknologi dalam kalangan murid. Penggunaan
aplikasi teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi satu budaya pada masa kini.
Penggunaan aplikasi teknologi ini dilihat dapat menarik minat murid dalam mencari maklumat
tambahan semasa pembelajaran dan pengajaran (PdP).

141
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Antara tujuan PdP Pendidikan Seni Visual (PSV) dengan menggunakan perisian
aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) sebagai BBM adalah untuk meningkatkan
persepsi murid yang tidak seharusnya hanya tertumpu di dalam bilik seni dengan kaedah
konvensional sahaja tetapi juga perlu dikembangkan dan divariasikan dalam aktiviti yang
mampu menarik minat dan motivasi murid terutamanya yang berada di sekolah rendah.
Pembelajaran PSV di sekolah menekankan kepada proses pemerolehan pengetahuan,
menzahirkan perasaan dan penyataan yang semuanya berlaku menerusi deria murid. Kemajuan
teknologi maklumat dan komunikasi yang pesat membolehkan pengajaran dan pembelajaran
berteknologi dilaksanakan. Secara tidak langsung akan memperlihatkan sama ada penggunaan
media TMK sebagai BBM dipraktiskan sebagai amalan terbaik dalam PdP guru.

Rusmini Ku Ahmad (2012), menyatakan bahawa melalui integrasi TMK beberapa


perubahan dan proses pembelajaran dan pengajaran berlaku. Antaranya ialah perubahan fokus
daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan murid. Dalam hal ini
murid menjadi lebih fokus kepada aktiviti pembelajaran yang berorientasikan kepada proses
penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada teori konstruktivisme.

Penyataan Masalah

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji penggunaan perisian aplikasi TMK dalam Pengajaran dan
Pembelajaran (PdP) Pendidikan Seni Visual sebagai satu wadah dalam PdP yang menyumbang
kepada satu inovasi. Kajian Rozinah Jamaludin (2005) mendapati cara penyampaian guru
mengajar juga antara punca murid kurang berminat dalam mata pelajaran Pendidikan Seni
Visual. Guru menggunakan pendekatan syarahan berbanding kaedah cuba jaya atau penerokaan
untuk aktiviti semasa pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Jika diperhalusi, ini menunjukkan
guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini tidak mengamalkan satu model pembelajaran
bermakna sebagai asas keberhasilan dan kemenjadian murid, terutama kepada murid yang
mempunyai gaya belajar visual. Murid gaya belajar visual cenderung kepada ketajaman
penglihatan. Mereka melihat secara visual untuk mencari tahu dan kefahaman tentang sesuatu
perkara. Kecerdasan visual menunjukkan kebolehan untuk berfikir secara gambaran, bentuk dan
corak. Mereka cenderung mempunyai kebolehan membaca, menulis, memahami carta dan graf,
melakar, melukis dan menterjemah imej secara visual.

Pengetahuan yang kurang dalam perisian aplikasi TMK semasa PdP PSV disebabkan
sebelum ini guru-guru hanya menggunakan teknologi untuk meningkatkan produktiviti peribadi
mereka seperti tradisi tugas dengan alaf baharu iaitu penggunaan komputer untuk tugasan
pentadbiran. Memandangkan tahap pengetahuan yang lemah dan sederhana mengakibatkan

142
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

guru di peringkat penyesuaian tidak cenderung untuk mengarahkan pelajar kepada


mengeksplorasi kegiatan dalam bidang seni melalui penggunaan TMK. Justeru kebanyakan
kegiatan seni dilakukan menggunakan kaedah konvensional untuk mengatasi kekurangan guru
yang tidak mempunyai pengetahuan tinggi dalam TMK. Aplikasi teknologi dalam pengajaran
Pendidikan Seni Visual boleh meningkatkan perkembangan domain kognitif, afektif dan
psikomotor murid dalam melaksanakan aktiviti. Keberkesanan PdP sangat penting ke arah
pembelajaran bermakna dengan menerapkan penguasaan kemahiran kendiri murid.

Objekif Kajian

i. Mengenalpasti reka bentuk instruksional guru Pendidikan Seni Visual dalam pengajaran
dan pembelajaran dengan menggunakan perisian aplikasi TMK.
ii. Menjelaskan perisian aplikasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan
Seni Visual dapat meningkatkan integrasi pembelajaran dalam kalangan murid yang mempunyai
gaya belajar visual berdasar hasil karya.

Soalan Kajian

i. Bagaimanakah reka bentuk instruksional guru Pendidikan Seni Visual dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan?
ii. Bagaimanakah perisian aplikasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan
Seni Visual dapat meningkatkan integrasi pembelajaran dalam kalangan murid yang mempunyai
gaya belajar visual?

Batasan Kajian

Kajian ini melibatkan guru dan murid di sekolah rendah. Kajian terbatas kepada murid Tahap 2
iaitu Tahun Empat dan Tahun Lima. Peserta kajian terdiri daripada empat orang guru yang
mengajar mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dan lapan orang murid Tahap 2.

TINJAUAN LITERATUR

Kemahiran dan kesediaan guru merujuk kepada guru mahir yang bersedia menggunakan TMK
dalam pengajaran dan pembelajaran. Menurut Osman dan Ahmed (2003) untuk mencapai
pengajaran yang komprehensif dengan menggunakan TMK guru perlu yakin akan kepentingan
dan faedah penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru harus diberi latihan
yang mencukupi untuk menggunakan alat TMK dengan berkesan dan cekap. Hasil kajian

143
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

menunjukkan bahawa guru yang pernah dan telah mengikuti kursus latihan dalam TMK lebih
cekap dan berkebolehan menggunakan komputer dan bersedia melaksanakan pengajaran
berbanding dengan guru yang tidak mempunyai latihan (Saamad, 2003).

Sutherland et al. (2004) menyatakan bahawa TMK akan meningkatkan pembelajaran


sekiranya guru merancang dengan teliti untuk memasukkan aktiviti berasaskan teknologi dalam
pengajaran. Tanpa rancangan yang baik pembelajaran berasaskan TMK akan menjadi sia-sia.
Murid mesti didorong untuk memahami proses yang terlibat. Lim (2005) mendapati bahawa
penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran membolehkan murid aktif dalam
mencari maklumat dan membina pengetahuan dari maklumat yang diperoleh dengan berpeluang
untuk saling berkait antara pengetahuan mata pelajaran tanpa had mengikut masa dan jarak.

Berdasar teori konstruktivisme, ilmu pengetahuan dibina melalui proses saling


mempengaruhi di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran baharu yang berkaitan.
Di bawah proses pembelajaran, murid membina ilmu pengetahuan dengan melibatkan diri secara
aktif, menggunakan cara membanding maklumat baharu dengan pengalaman sedia ada supaya
dapat menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul untuk mencapai kefahaman terhadap
maklumat baharu. Teori konstruktivisme menekankan pembinaan konsep yang asas sebelum
konsep itu dibangunkan dan kemudiannya diaplikasikan apabila diperlukan. Pernyataan ini tepat
dengan peningkatan menggunakan perisian aplikasi TMK dalam PdP Pendidikan Seni Visual,
iaitu menggunakan kaedah konvensional di transformasi kepada kaedah digital yang lebih
memberi impak dalam pendidikan semasa.

METODOLOGI KAJIAN

Kemajuan perisian aplikasi TMK memberi cabaran baharu kepada guru-guru PSV. Kemajuan
yang berlaku ini perlu dimanfaatkan untuk mengharungi perubahan pengajaran dan
pembelajaran abad ke-21. Perisian aplikasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran memberi
peluang untuk meningkat kreativiti murid. Pendidikan Seni Visual tidak lagi dikaitkan dengan
bahan tara tradisional tetapi diperluaskan menggantikan crayon, cat dan tanah liat. Potensi ini
dikesan apabila perisian aplikasi TMK boleh membantu dengan meneroka masalah reka bentuk,
selain meningkat pembelajaran baharu dalam PdP Pendidikan Seni Visual. Ini dapat menarik
murid gaya belajar visual melalui pengetahuan-pengetahuan baharu. Secara tidak langsung
menyokong murid dalam artistik dan ekspresi diri.

144
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Reka bentuk Kajian

Kajian ini berasaskan paradigma kualitatif kajian kes dengan menggunakan teknik pemerhatian
dan temu bual berstruktur yang dijalankan secara formal, dirancang dengan teliti selain
mengemukakan soalan yang sama bagi setiap peserta kajian supaya maklumat yang dikumpul
dapat dibezakan dengan tepat. Penggunaan pendekatan kualitatif dapat menjelaskan isu ontologi
iaitu dengan membincangkan realiti atau keadaan sebenar sesuatu situasi. Realiti merupakan
sesuatu yang dibina individu yang terlibat dalam penyelidikan (Creswell, 2007). Antara faktor
yang membina ‘realiti’ atau ‘dipengaruhi’ adalah termasuk nilai, sikap, persepsi dan
kepercayaan individu yang terlibat. Dalam hal ini pengkaji perlu memahami dari aspek
perasaan, sikap, pandangan, pengetahuan, pengalaman dan kepercayaan guru dan murid yang
mempengaruhi pelaksanaan penggunaan media-media teknologi maklumat dan komunikasi
dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual di sekolah.

Penggunaan perisian aplikasi TMK dalam program seni boleh meningkatkan motivasi
dan kreativiti serta memberi impak yang yang paling berkesan dengan pemilihan dan
penggunaan sumber yang memenuhi keperluan murid. Penggunaan perisian aplikasi TMK
dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual dilihat sebagai satu tambahan kepada alat
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Ia mampu menghasilkan produk seni yang diberi
nilai tambah dan juga kerja seni digital bermutu dalam komunikasi visual dan bukan dilihat
sebagai alat untuk menggantikan penggunaan media secara manual dalam Pendidikan Seni
Visual.

Peserta Kajian

Pemilihan peserta kajian seramai empat orang guru PSV dan lapan orang murid adalah dianggap
memadai dalam sesuatu kajian kualitatif yang mementingkan kedalaman data yang dikutip. Ini
adalah kerana dalam kajian yang bersifat kualitatif, penentuan bilangan informan kajian atau
peserta kajian tidak menjadi persoalan yang penting (Fraenkel, Wallen & Hyun, 2012; Gay,
1992). Selain itu, kaedah pemilihan peserta kajian adalah berbentuk persampelan bertujuan.
Persampelan bertujuan dipilih atas dasar kepercayaan, asas kepada maklumat utama, boleh
menyediakan data yang diperlukan (Fraenkel et al., 2012), memenuhi keperluan soalan kajian,
bersedia untuk bekerjasama dan ditemu bual. Pemilihan peserta kajian dalam kalangan guru
adalah untuk mendapatkan maklumat tentang reka bentuk instruksional guru dalam proses PdP
berasaskan aplikasi teknologi.

145
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Instrumen Kajian

Kajian dijalankan dengan menggunakan beberapa kaedah atau metodologi pengumpulan data
seperti pemerhatian, temubual dan rakaman visual (dokumentasi). Instrumen yang digunakan
asalah seperti yang berikut:-

i. Pemerhatian
Pemerhatian merupakan satu kaedah yang penting dan dijadikan tumpuan utama dalam
pengumpulan data dan maklumat. Pemerhatian ini mengungkapkan gambaran secara sistematik
mengenai peristiwa, karya yang dihasilkan dan tingkah laku. Maklumat berdasar pemerhatian
dapat mendokumentasikan sikap dan kesediaan guru melaksanakan PdP menggunakan perisian
aplikasi TMK selain bentuk karya yang dihasilkan berdasar gaya belajar visual. Pengkaji boleh
mendapatkan maklumat yang lebih realistik jika kaedah temu bual diguna bersama. Borang
catatan pemerhatian sebagai panduan untuk mengenal pasti kriteria yang diperhatikan digunakan
semasa pemerhatian dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

ii. Temubual
Kaedah temu bual semi berstruktur digunakan dalam kajian. Peserta kajian boleh menjawab
soalan dengan cara tersendiri dan tiada had masa. Kandungan temu bual adalah berbeza antara
peserta kajian menjurus kepada soalan kajian yang berbeza. Tujuan temu bual dijalankan
terhadap guru adalah untuk mendapatkan keterangan secara mendalam terhadap amalan
instruksional guru, kesediaan guru dan pelaksanaan aplikasi teknologi dalam PSV. Temu bual
terhadap murid pula bertujuan untuk melihat kesediaan murid menggunakan media teknologi
dalam aktiviti seni serta impak kepada peningkatan integrasi domain berdasar hasil karya
mereka.

iii. Pengumpulan dokumen


Kaedah ketiga yang penting dalam kajian ini ialah kaedah mendapatkan data melalui dokumen-
dokumen yang berkaitan dengan kajian. Dokumen peribadi dan rekod awam digunakan untuk
mendapatkan data-data kajian. Dokumen peribadi yang digunakan oleh pengkaji adalah karya
seni murid. Dokumen rekod awam digunakan oleh pengkaji ialah Dokumen Standard Kurikulum
dan Pentaksiran (DSKP) dan buku Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.
Penggunaan kaedah ini telah menjawab objektif dan soalan kajian. Sumber dokumen diperoleh
daripada buku-buku di perpustakaan, buku Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2015 dan risalah yang berkaitan.

146
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Kaedah Mengumpul Data

Data kajian dikumpulkan dengan mengambil kira dua perkara penting iaitu fokus kajian dan
kaedah pengumpulan data. Pengkaji menggunakan pelbagai kaedah pengumpulan data iaitu
pemerhatian pengajaran, temu bual dan analisis dokumen (Patton, 1990). Penggunaan pelbagai
kaedah pengumpulan data memastikan pengkaji tidak hanya bergantung pada satu kaedah. Hal
ini dapat mengukuhkan kesahan dalam reka bentuk kajian yang dijalankan. Setiap data yang
diperolehi diperjelaskan bukti yang lebih kuat dengan mengambil sokongan daripada sumber
sampingan yang sangat membantu dan relevan.

Pengkaji membuat pemerhatian ke atas murid dan guru semasa pengajaran dan
pembelajaran berlangsung dengan menggunakan perisian aplikasi TMK seperti Tux paint,
Adobe Photoshop, Art Rage 5, Paint Tool SAI dan Paint sebagai bahan bantu mengajar dalam
kalangan murid yang mempunyai gaya belajar visual. Setelah memperolehi data lapangan di
peringkat pemerhatian, pengkaji akan menemu bual secara langsung berpandu soalan yang telah
dibina berdasar pemerhatian yang telah dilakukan sebelum ini di dalam bilik darjah. Pada fasa
akhir kajian, pengkaji akan membuat analisis dapatan menerusi data pemerhatian, data temu bual
di samping menganalisis dokumen-dokumen yang berkaitan seperti hasil karya murid.

Pengkaji akan mengumpul data dan seterusnya menyediakan data-data untuk proses
analisis. Ini termasuk mentranskripsikan temu bual yang diperoleh daripada data temu bual, data
rakaman video dan audio, data pemerhatian dan nota lapangan. Proses transkripsi juga
melibatkan catatan yang berkaitan dengan keperluan kajian dan catatan aksi pergerakan badan
yang membantu dalam dapatan kajian.

Proses pengumpulan data melibatkan kajian rintis dan kajian lapangan sebenar. Kajian
rintis dijalankan untuk mendapatkan data kajian pada peringkat awal dan mendapatkan
gambaran awal tentang pelaksanaan perisian aplikasi TMK dalam Pendidikan Seni Visual di
sekolah rendah yang mempunyai instrumen yang bersesuaian dengan kajian. Sesi temu bual dan
pemerhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dijalankan dalam kajian
rintis bagi tujuan memurnikan semula soalan yang dapat menjawab persoalan kajian. Pada
peringkat kajian lapangan sebenar murid telah diberi modul manual penggunaan beberapa
perisian TMK bagi menjalankan aktiviti Pendidikan Seni Visual. Modul tersebut telah dirujuk
kepada pakar bagi tujuan kesahan dan kebolehpercayaan. Berdasar soal selidik didapati
kebanyakan murid suka kepada penerokaan menjalankan aktiviti seni dengan menggunakan
TMK.

147
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Analisis Data

Analisis data merupakan proses yang kompleks dengan melibatkan pertimbangan antara data
konkrit dengan konsep abstrak, antara penaakulan induktif dan deduktif (Meriam, 2009).
Analisis data seni juga merupakan suatu cara bagi pencarian atau pengujian penyataan umum
tentang perkaitan dan berasaskan tema-tema yang membangunkan teori dari lapangan.
Pengumpulan dan analisis data biasanya berjalan serentak dalam kajian kualitatif untuk
membina interpretasi data yang koheran. Cresswell (2008a) menyarankan bahawa analisis data
kualitatif memerlukan kefahaman bagaimana menjadikan imej dan teks supaya soalan kajian
dapat dijawab. Silverman (2010) menyatakan tiga cara yang dapat diguna dalam proses
menganalisis data iaitu grounded theory, analisis naratif dan juga analisis kandungan. Pengkaji
menggunakan kaedah analisis secara naratif dalam kajian ini kerana proses analisis dalam kajian
ini akan berlaku serentak bersama proses pengumpulan data yang dilakukan secara deskriptif
iaitu dihurai dalam bentuk naratif atau penceritaan.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

i. Reka bentuk instruksional guru dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni
Visual

Kaedah PdP yang bagus, menarik, interaktif serta mengikut perkembangan teknologi semasa,
menggalakkan perkembangan dan penerokaan idea. PdP Pendidikan Seni Visual perlu
dikembangkan dan divariasikan dengan aktiviti yang mampu menarik minat dan motivasi murid
terutamanya mereka yang berada di sekolah rendah. Pada usia yang masih muda, kumpulan
murid ini perlu digandingkan dengan kreativiti dan imaginasi yang sesuai dengan fitrah mereka.
Ini menggalakkan perkembangan positif. Pemilihan dan penentuan kaedah pengajaran yang
pelbagai perlu selaras dengan kesediaan, kemampuan, kebolehan, penumpuan, pengalaman dan
pemerhatian murid.

Hasil kajian menunjukkan taburan guru yang mempunyai tahap minimum dalam
penguasaan menggunakan perisian aplikasi TMK dalam PdP. Hanya seorang guru yang
mencapai tahap sederhana iaitu mempunyai pengetahuan tentang TMK dan boleh menggunakan
beberapa perisian dalam e-learning selain membantu urusan pentadbiran dengan mudah. Beliau
juga mempunyai kemahiran tentang TMK kerana pernah mengikuti kursus jangka pendek dalam
TMK. Kemahiran beliau meningkat kerana menguasai beberapa perisian yang mudah dan
berminat terhadap e-learning.

148
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Berdasarkan temu bual dan pemerhatian, kajian rintis memberi maklumat bahawa
kebanyakan guru tidak menggunakan perisian aplikasi TMK dalam pengajaran kerana
kekurangan pengetahuan dan tidak menguasai TMK yang boleh dijadikan sebagai bahan bantu
belajar kepada murid. Sehubungan itu pada sesi berikutnya guru-guru telah dibekalkan dengan
manual penggunaan perisian aplikasi TMK yang mudah untuk membantu pengajaran guru
menjadi lebih efektif.

Dapatan kajian berdasarkan temu bual dan pemerhatian menunjukkan guru-guru tidak
mempunyai pengetahuan yang cukup, penguasaan yang baik dan penggunaan yang minimum
dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual berasaskan perisian aplikasi TMK.
Penemuan kajian menunjukkan bahawa kumpulan minoriti guru berpengetahuan asas dalam
TMK. Senario ini jelas menunjukkan bahawa untuk meningkatkan pengetahuan guru-guru
dalam TMK, adalah perlu membuat program untuk meningkatkan tahap pengetahuan mereka.
Apabila guru tahu dan menjadikan praktis dalam proses PdP maka penguasaan menggunakan
perisian aplikasi TMK akan meningkat dan menjurus kepada kluster pedagogi yang mantap.
Sikap positif dan penerimaan guru terhadap TMK adalah suatu keharusan dan juga kelebihan
tambahan kepada pelaksanaan PdP PSV yang berkesan. Budaya media teknologi tidak
dipraktikkan sepanjang kajian dilaksanakan. Pendekatan aplikasi teknologi yang terbaik apabila
digunakan secara bijak dan terancang mampu meningkatkan proses keberkesanan PdP
Pendidikan Seni Visual. Aplikasi TMK bagi guru mata pelajaran PSV pada dasarnya adalah
bertujuan untuk mempersiapsiagakan guru-guru PSV bagi mendepani PdP abad ke-21.

Pengajaran dan pembelajaran merupakan proses interaktif, iaitu hasil aktiviti guru dan
murid yang menjadi elemen utama dalam suasana pembelajaran yang spesifik. Bentuk interaktif
dalam pembelajaran berkait rapat dengan kefahaman guru tentang sifat setiap individu
muridnya. Apa yang menjadi masalah ialah perkakasan berkualiti rendah kerana guru merasa
sukar untuk mencari maklumat di internet. Guru PSV mempunyai sikap positif tetapi masih
kurang kemahiran kerana mereka tidak berpengalaman. Banyak perisian aplikasi baharu
sedangkan infrastruktur terhad. Guru juga kurang dalam latihan dan juga kepakaran untuk
menawarkan bantuan dan bimbingan untuk meningkatkan proses pembelajaran. Guru harus
dicabar menggunakan TMK. Mereka perlu mencapai tahap kecekapan teknologi yang
membolehkan mereka memahami dan mampu menguasai integrasi TMK dalam pengajaran.

Guru perlu menghubungkan murid dengan dunia sebenar dan bukan lagi terikat dengan
silibus yang perlu dihabiskan mengikut masa yang telah ditetapkan. Pengubahsuaian perlu dalam
menerapkan nilai kerohanian yang murni dengan membina kemahiran, pengetahuan, keyakinan
diri dan efikasi kendiri melalui inkuiri. Secara tidak langsung memberi pengalaman baharu

149
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

kepada murid sebagai co-designers dan co-learners. Murid sebagai problem designers di mana
berubah dari what is kepada what could be. Murid terlibat dalam mengemukakan masalah dan
bukan sebagai penyelesaian masalah semata-mata. Pengubahsuaian ini akan memberi impak
terhadap karya murid.

Kajian juga mendapati antara punca penggunaan TMK tidak dijadikan amalan praktis
dalam PdP guru adalah kerana kurang pengalaman mengajar menggunakan perisian aplikasi
TMK, kekurangan sokongan di tapak untuk guru menggunakan teknologi, kekurangan guru
pakar TMK untuk mengajar kemahiran komputer, kekurangan komputer, kekurangan masa yang
diperlukan untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam kurikulum dan jelasnya kekurangan
sokongan kewangan. Sikap guru terhadap komputer dan internet secara umumnya positif. Kajian
mendapati terdapat pertumbuhan eksponen dalam penggunaan maklumat dan komunikasi
teknologi yang telah memberi impak besar kepada masyarakat dan dalam kehidupan seharian.
Persepsi guru terhadap penggunaan teknologi dalam PdP memainkan peranan penting dalam
menentukan sikap positif terhadap penerimaan media teknologi ke arah pembelajaran bermakna.
Persepsi dan sikap guru boleh berubah sekiranya guru diberi latihan atau kursus yang berkaitan
dengan perisian-perisian yang sesuai dalam PdP Pendidikan Seni Visual.

ii. Perisian aplikasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual
meningkatkan integrasi pembelajaran dalam kalangan murid yang mempunyai gaya
belajar visual berdasar hasil karya

Pengkaji memilih empat orang murid Tahun 4 dan empat orang murid Tahun 5 dalam
melaksanakan aktiviti bidang menggambar. Ini dapat dikesan melalui modul yang diedarkan.
Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, terdapat perbezaan sikap dalam kalangan murid
semasa melakukan aktiviti menggambar menggunakan kaedah konvensional dengan kaedah
menggunakan perisian aplikasi (TMK) sebagai bahan bantu belajar. Ini membawa maksud
pengajaran dan pembelajaran guru bertumpu kepada pengajaran konvensional dan tidak
menjadikan perisian aplikasi teknologi sebagai amalan praktis dalam pengajaran semasa.

Sikap murid yang sebelum ini tidak menunjukkan minat melukis dan mewarna berubah
kepada suka mencuba apabila dibawa ke makmal komputer untuk melakukan aktiviti
menggambar dengan menggunakan perisian aplikasi Tux Paint. Malahan murid menunjukkan
minat dan motivasi yang meningkat seiring dengan pencapaian mereka. Tingkah laku yang
menganggu PdP semakin berkurangan seiring dengan hasil seni yang ditunjukkan. Aktiviti
kumpulan berjaya menarik minat murid untuk sama-sama mencuba malahan mereka berasa
seronok dengan perisian aplikasi Tux Paint, ditambah lagi dengan grafik serta bunyi-bunyian
berbanding PdP konvensional. Ini dapat dilihat berdasar hasil kerja seni murid.

150
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Gambar 1(a) dan 1(b) : Karya Murid yang Menggunakan Perisian Tux Paint

Berdasarkan karya murid seperti dalam Gambar 1(a) dan 1(b), pengkaji telah mengenal
pasti pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan perisian aplikasi Tux Paint ini
berkesan dan boleh meningkatkan domain pembelajaran murid termasuk minat dan motivasi
terhadap mata pelajaran PSV. Secara tidak langsung membuktikan kepentingan PdP
berbantukan komputer yang sesuai dengan Pendidikan Seni Visual (PSV) pada alaf baharu.
Penggunaan perisian aplikasi TMK amat digalakkan. Ini bersesuaian dengan peredaran masa
yang menggalakkan kemahiran penggunaan komputer dan teknologi maklumat dalam kalangan
murid.

Gambar 2(a) dan 2(b) : Perisian Aplikasi Adobe Photoshop

Perisian aplikasi Adobe Photoshop boleh membantu murid mengekspresikan perasaan


dan menyatakan maksud yang ingin disampaikan kepada orang lain. Pengajaran dan
pembelajaran lebih berkesan dengan aktiviti kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif
(KBKK). Setiap murid mempunyai pelbagai kecerdasan seperti ruang visual, kinestetik,
interpersonal dan intrapersonal. Sifat ini amat penting untuk membantu murid berkarya,
berkomunikasi dan mengukuh koordinasi pancaindera secara seimbang. Proses ini menjadikan
pembelajaran lebih berkesan dan bermakna seperti yang ditunjukkan dalam Gambar 2(a) dan
2(b) di mana Perisian aplikasi TMK seperti Adobe Photoshop sebagai elemen nilai tambah
BBM. Murid menyimpan rekod pengalaman pembelajaran dan hasil kerja sendiri. Catan
151
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

konvensional memerlukan murid mahir dan ada pengetahuan tentang penggunaan berus yang
dipilih dan ton dalam konteks pencahayaan. Namun demikian implementasi perisian aplikasi
teknologi merupakan satu kaedah pendidikan abad ke-21 yang perlu dipertingkatkan dalam
proses PdP untuk melatih murid membuat analisis, sintesis dan refleksi terhadap
pembelajarannya untuk faedah sendiri.

Gambar 3(a) dan 3(b): Perisian Aplikasi Adobe Photoshop

Perisian aplikasi TMK sebagai pembelajaran eksploitasi murid untuk meneroka dan
mengumpul pengetahuan yang berterusan. Murid akan menimbang maklumat tersebut sama
ada memberi manfaat atau sebaliknya. Implementasi merupakan satu platform untuk
memudahkan murid menyiapkan latihan dalam pembelajaran mereka. Setiap murid berpotensi
untuk mendapat pengetahuan yang berbeza dengan rakan yang lain dalam membina pengalaman
yang lebih menarik, bermakna dan berkesan. Pembelajaran sebagai agen perubahan membina
pengalaman seperti Gambar 3(a) dan 3(b) di mana murid diberi kebebasan untuk membuat
justifikasi terhadap apa-apa juga dapatan yang diterima melalui pembelajaran berasaskan
penerokaan.

Domain Kognitif
Teori perkembangan kognitif oleh Piaget (1953) merupakan satu teori yang menjelaskan
bagaimana individu itu beradaptasi dan menginterpretasi objek-objek dan kejadian di sekitarnya.
Bagaimana individu itu mempelajari ciri-ciri serta fungsi daripada objek-objek seperti manusia
dan objek-objek sosial. Kanak-kanak secara semula jadi menyukai seni. Seni mempunyai
kepentingan dalam kognitif anak-kanak. Pengkaji bersetuju dengan teori tersebut yang
menyatakan, masa remaja adalah tahap transisi dari penggunaan berfikir konkrit secara
operasional ke berfikir formal secara operasional. Mereka cuba membina satu perkara baharu
di luar kepompong buana mereka yang biasa. Ini berdasar hasil karya yang dihasilkan
mengandungi objek-objek dan kejadian di sekitarnya.

152
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Gambar 4(a) Fresh Paint dan 4(b) Paint Tool SAI

Murid di sekolah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan
Seni Visual memberi peranan memperkembangkan sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi
dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis
visual membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini membantu
murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasa sendiri. Aplikasi
perisian TMK dalam PdP meningkat kognitif murid seperti dalam Gambar 4(a) dan 4(b). Hasil
pemerhatian pengkaji penggunaan aplikasi perisian TMK dalam aktiviti seni telah menunjukkan
pembangunan intelektual berkaitan dengan progres pembentukan logik dalaman. Penjelasan
melalui gerakan psikomotor, penghantaran idea yang konkrit, dan seterusnya menerusi simbol
representasi yang lengkap. Kemajuan pembangunan dipengaruhi antara interaksi murid dengan
persekitaran. Pengalaman baharu ini diasimilasi dalam struktur kognitif sedia ada dan struktur
baharu yang diperolehi mengakomodasi kehendak semasa. Secara tidak langsung melihat
bagaimana cara minda murid beroperasi. Sepanjang aktiviti seni menggunakan komputer dapat
dikesan ada intimasi pertalian antara minda mata, dan pengetahuan sedia ada yang digunakan
semasa manusia melihat dan menzahirkan catan berbantukan aplikasi teknologi.

Aplikasi perisian TMK menunjukkan karektor penting dalam pembelajaran iaitu kualiti
perubahan kognitif iaitu kemahiran berfikir yang sesuai dengan aras kebolehan murid dalam
proses mensintesis konsep. Murid mempunyai keupayaan untuk menghasilkan catan digital
melalui input pembangunan kognitif yang diberi kepada murid dalam satu jangka masa.
Berdasar hasil kerja murid telah menjelaskan berlakunya gerakan psikomotor, penghantaran idea
yang konkrit, dan seterusnya menerusi simbol representasi yang lengkap telah membangkitkan
ekspresi diri. Kesan langsung yang ditinggalkan kepada emosi selain memberi kepuasan
keinginan estetik.

Persekitaran pembelajaran kontruktivisme menyokong proses mengumpul pengalaman


dengan mempermudahkan keperluan dan minat murid yang berkaitan dengan topik

153
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

pembelajaran. Guru memandu arah dan memudahkan inkuiri murid. Dalam karya seni, murid
tampil dengan kefahaman sendiri berkaitan sesebuah medium dan mengaitkannya dengan
ekspresi personal.

Gambar 5(a) Fresh Paint dan 5(b) Paint Tool SAI

Berdasar Gambar 5(a) dan 5(b) dalam karya seni, murid tampil dengan kefahaman
sendiri. Hasil karya dapat menampilkan watak, identiti dan keunikan murid yang dicerna melalui
mesej dan falsafahnya. Murid berpeluang untuk membuat kembara seni melalui pelbagai ujikaji
dan penemuan dari aspek bentuk, rupa, warna, persepsi dan perasaan yang akhirnya akan
menyelesaikan suatu permasalahan menerusi kemudahan komputer. Justeru hasil karya murid
mempunyai cetusan idea dalam ruang lingkupnya yang ingin dihasilkan. Karya seni dalam
kalangan lapan orang murid Tahap 2 membuahkan suatu keunikan secara personal untuk
disampaikan. Bertepatan dengan teori konstruktivisme yang menekankan peranan guru sebagai
pembimbing maka konsep-konsep yang dibina pada struktur kognitif seseorang akan
berkembang dan berubah apabila mendapat pengetahuan atau pengalaman baharu. Pendekatan
konstruktivisme memberi kesan yang positif kepada akademik murid berdasarkan kajian yang
dilaksanakan.

Hasil kajian mendapati murid boleh mengaplikasi teknologi untuk menghasilkan karya.
Hasil karya yang menggunakan kaedah konvensional untuk menghasilkan catan boleh diberi
nilai tambah semasa menggunakan perisian aplikasi Art Rage5 yang dimuat turun dalam
komputer. Secara tidak langsung kemahiran kognitif adalah merujuk kepada kemampuan
seseorang murid menyimpan dan mengingat semula maklumat dari memori jangka panjang
berdasar keperluan.

Domain Afektif
Pendidikan Seni Visual melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi
pemupukan asas seni visual. Pengalaman seni dapat memperkembang dan menyelaras persepsi
dan konsepsi visual murid sebagai asas menggalak pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini
juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari aspek sosio
154
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

emosi, psikomotor dan mental yang mencakupi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi
visual dalam kalangan murid.

Gambar 6(a) dan 6(b) : Perisian Aplikasi Fresh Paint

Pemerhatian secara aktif, interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
memberi kesedaran kepada murid untuk menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan.
Apresiasi seni membangun sahsiah murid. Berdasar Gambar 6(a) dan 6(b), satu cara untuk
ilustrasi emosi adalah dengan menggunakan seni sebagai perangsang dan menyatakan emosi itu.
Aktiviti seni memberi kesan emosi terhadap diri murid seperti kepuasan, lega, lapang perasaan,
stabil dalam emosi dan lain-lain dalam konteks luahan perasaan terhadap hasil karya. Hasil temu
bual dengan murid menunjukkan mereka suka kepada aktiviti penerokaan dan cuba dan jaya.
Dalam proses menghasilkan karya, sikap sabar amat diperlukan. Ini kerana berlaku banyak
kesilapan semasa mewarna di bawah kawalan tetikus. Warna ton yang sesuai juga perlu diisi
dengan sabar dan teliti supaya mendapat hasil yang cantik. Berdasar pemerhatian pengkaji
melihat murid sangat tekun menyiapkan tugasan dan fokus terhadap ikon-ikon yang terdapat
dalam perisian tersebut.

Secara tidak langsung wujud komunikasi visual menerusi unsur simbolisme untuk
membolehkan individu membuat interpretasi makna yang tersembunyi dalam imej visual.
Bermula dari identifikasi objek mudah kepada penggunaan simbol dan konseptualisasi bahasa
serta dari pemikiran induktif kepada pemikiran deduktif.

Belajar gaya visual merupakan belajar dengan mengamati dan menggambarkan sesuatu.
Visual melibatkan lihat, cipta dan mengintegrasi segala maklumat. Otak manusia menggunakan
lebih banyak peranti ketika memproses maklumat daripada visual berbanding berbanding deria
lain. Manakala belajar intelektual adalah merangkumi proses mencipta, menyelesaikan masalah
dan mendalami makna. Proses pengajaran adalah mengikut perkembangan semasa yang mampu
merangsang keseronokan murid dalam reka bentuk dengan idea-idea seni.

155
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Murid yang mempunyai gaya belajar visual belajar dengan menitikberatkan ketajaman
penglihatan. Bukti-bukti konkrit perlu ditunjukkan terlebih dahulu supaya mereka lebih mudah
faham. Pengkaji dapati murid-murid ini lebih mudah mendapat informasi secara visual iaitu
berdasar gambar-gambar yang terdapat dalam perisian tersebut seperti Tux Paint dan Fresh
Paint. Mereka mempunyai daya kepekaan yang kuat terhadap warna di samping pemahaman
yang mencukupi terhadap masalah artisitik. Kepintaran yang berkaitan dengan pemerhatian
yang tajam, pengamatan yang kukuh dalam konteks imej mental, fikiran visual dan bentuk
merupakan kebolehan dalam visualisasi. Ini merupakan kebolehan semula jadi pada murid.
Berbeza dengan kemahiran visualisasi yang boleh ditingkatkan. Murid gaya belajar visual
belajar menggunakan visual dan memanipulasi objek untuk mendapatkan maklumat. Ini
bermakna murid kumpulan ini mempunyai daya visualisasi yang baik serta berfikir dalam bentuk
imej dan gambar seperti yang dihasilkan pada karya seni.

Berdasarkan pemerhatian, Secara ringkasnya murid-murid ini menyerap maklumat yang


masuk melalui pancaindera secara optima melalui gaya belajar visual. Mereka sangat tenang
dan tekun dalam menghasilkan kerja mereka. Mereka menggunakan pengalaman lalu untuk
menghasilkan karya. Mereka lebih mengingati apa yang dilihat dan dilalui sebelum ini daripada
apa yang didengar. Dapat dikatakan gaya belajar visual merupakan kombinasi cara seseorang
menyerap, mengatur dan mengolah informasi.

Kajian mendapati murid telah menunjukkan minat, sikap dan latar belakang, serta
kefahaman dalam penggunaan perisian teknologi sebagai bahan bantu belajar. Secara tidak
langsung membolehkan cara-cara baharu untuk memanipulasi sesuatu yang telah sedia ada dan
mengujudkan amalan seni baharu bertujuan mencipta inovasi dalam PdP Pendidikan Seni
Visual. Secara tidak langsung penggunaan perisian aplikasi TMK dalam Pendidikan Seni Visual
meningkatkan motivasi dan kreativiti dalam kalangan guru dan murid yang mempunyai gaya
belajar visual.

Domain Psikomotor
Seni lukis merupakan salah satu bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum berupaya
bertutur dan merupakan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi. Melukis memberi
kepuasan kepada kanak-kanak. Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan
emosi selain membina kekuatan otot. Secara tidak langsung menajamkan daya intuisi kanak-
kanak. PSV dapat memberi kepuasan kepada murid dalam meluahkan apa yang mereka lihat
lalu dipindahkan semula dalam rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka.
Melalui aktiviti atau bidang kegiatan seperti melukis, murid dapat meningkatkan daya sensitiviti
pancaindera. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam

156
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

persekitaran. Kemahiran yang diperolehi adalah kemahiran memanipulasi bahan, alatan dan
teknik, berfikir secara KBAT, berkomunikasi secara berkesan, menggunakan teknologi bahan
dan perkakasan.

Gambar 7 : Perisian Aplikasi Tux Paint

Berdasar hasil karya seperti Gambar 7, murid mempunyai pengamatan yang tinggi.
Kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis sentiasa terdorong untuk menggunakan akal fikiran,
berdaya cipta, mempunyai keyakinan yang tinggi serta berani membuat keputusan dalam
menyelesaikan masalah. Ini merupakan ciri-ciri murid yang diharap akan terbentuk untuk
bersaing dengan cabaran akan datang. Gaya pembelajaran mempengaruhi kesediaan murid
untuk menerima, mengumpul dan memproses maklumat.

Perisian aplikasi TMK mengubah cara belajar murid selain perlu membuat pemetaan
semula seperti pedagogi baharu dalam bilik darjah yang perlu seiring dengan perkembangan
teknologi. Kajian menunjukkan pendidikan sangat penting untuk membawa perubahan
transformasi bagi melahir insan yang berilmu dan cekap dalam semua bidang. Melalui bidang
teknologi ini memberi kemudahan kepada guru dan murid untuk merancang pengajaran dan
pembelajaran dengan lebih baik. Kaedah konvensional sudah tidak sesuai dalam pengajaran dan
pembelajaran PSV semasa, justeru memerlukan kaedah yang lebih dinamik dan kreatif dengan
kandungan pengajaran yang relevan dan sesuai dengan perkembangan zaman kini.

Berasaskan kepada pemerhatian pengkaji, guru masih terikat dengan matlamat, objektif,
isi kandungan, dan falsafah Kementerian Pendidikan Malaysia dalam pengajaran mereka.
Perkara yang ditekankan dalam pengajaran guru adalah berkaitan asas-asas seni reka, organisasi
rekaan dan pemahaman dan penghargaan. Seharusnya guru yang mengajar mata pelajaran
Pendidikan Seni Visual sama ada di sekolah rendah atau pun sekolah menengah menguasai
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang memberi garis panduan dalam

157
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

melaksanakan pembelajaran dan pengajaran Pendidikan Seni Visual sesuai dengan pendidikan
abad ke-21. Selari dengan pendidikan abad ke-21, kemenjadian murid harus dipraktiskan
dengan menekankan aplikasi teknologi dalam kalangan murid.

Sikap guru merupakan faktor utama dapat dikesan terhadap murid yang menunjukkan
sikap positif terhadap penerimaan penggunaan teknologi dalam PdP. Sikap mereka menjadi
pendorong utama dalam usaha melaksanakan proses PdP berasaskan perisian teknologi. Amalan
praktis menggunakan teknologi dalam proses PdP bukanlah sesuatu yang mudah untuk
dilaksanakan walaupun ianya dilihat berpotensi dalam mempertingkatkan proses PdP ke arah
pembelajaran bermakna, namun usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk merealisasikan
pembangunan modal insan dalam konteks Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
merentas Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KSSR) diperkasakan lagi melalui Kurikulum
Standard Sekolah rendah (KBSR) di mana elemen TMK, kreativiti dan inovasi, juga
keusahawanan diberi tumpuan utama sebagai elemen nilai tambah (ENT) sejajar dengan
Revolusi Industri 4.0 yang memerlukan penggunaan teknologi secara meluas dalam kehidupan
seharian iaitu Internet of Things (IOT) harus dipuji.

Rumusan

Guru Pendidikan Seni Visual perlu bersedia untuk menambah pengetahuan dalam bidang
teknologi sesuai dengan pendidikan abad ke-21 yang mensasarkan penggunaan teknologi dalam
PdP secara berperingkat. Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) berasaskan teknologi
sememangnya akan memberi impak yang positif terhadap murid sekiranya guru telah membuat
persediaan rapi untuk setiap langkah pengajaran yang ingin disampaikan dalam objektif
pembelajaran. Salah satu daripada implikasi positif penggunaan teknologi sebagai BBM dalam
proses pembelajaran ialah akan mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif di mana semua
murid melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang menyeronokkan. Ini menggalakkan interaksi
yang lebih berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih bermakna. Berdasar
dapatan kajian jelas menunjukkan aktiviti seni yang menggunakan perisian aplikasi TMK dapat
meningkatkan integrasi domain pembelajaran dalam kalangan murid. Setiap aktiviti seni yang
dilakukan berasaskan teknologi ada sumbangan dari aspek pembangunan kognitif, pembinaan
afektif dan pengurusan psikomotor secara serentak.

Kesimpulannya di sini bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam


menentukan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran. Media berperanan untuk menimbul
rangsangan keinginan murid untuk mengetahui sesuatu dan menjadikan pembelajaran lebih baik
dan menarik. Guru perlu lebih kreatif dalam mengolah corak dan strategi pengajaran. Bahan

158
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

bantu mengajar dapat merangsang fikiran dan emosi murid selain memberi keseronokan dalam
PdP. Secara tidak langsung membentuk guru dan murid menjadi lebih kreatif dan inovatif.

RUJUKAN

Creswell, J.W. (2007). Qualitative inquiry and research design: Choosing among five traditions
(2nd ed). Thousand Oaks, CA: Sage Publications.

Creswell, J.W. (2009). Education research: Planning, conducting, and evaluating quantitative
and qualitative research (3rd.ed.). New Jersey: Pearson Education.

Fraenkel, J.R., Wallen, N. E., & Hyun, H.H.(2012). How to design and evaluate research in
education (8th.ed.). New York: McGraw-Hill.

Gay, L. R. (1992). Educational research: Competencies for analysis and application (4th ed.).
New York: Macmillan Publishing Company.

Gustafson, K.L., & Branch, R. M. (2007). What is instructional design?. In Reiser, R.A., &
Dempsey, J.V. (eds.). Trends and issues in instructional design and technology. Upper
saddle River, NJ: Pearson.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025.


Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Lim, S. C. (2005). Web learning: Effects of constructivists approach than a direct approach to
the science and high-level of thinking skills. (Unpublished Master’s Thesis). Universiti
Sains Malaysia.

Merriam, S.B. (2009). Qualitative research: A guide to design and implement. San Francisco:
Jossey-Bass.

Osman M., & H. Ahmed. (2003). Web assisted instruction: Its potentials and impact on students’
learning and attitudes. Paper presented at the conference of the Centre for Educational
Technology (ETEX2003).Sultan Qaboos University, Sultanate of Oman.

Patton, M.(1990). Qualitative evalaution and research methods. Newbury Park, CA: Sage.

Piaget (1953). The origin of intelligence in the child. London: Routledge.

Robertson, C,. Cowell, B., & Olson, J. (1998). A case study of integration and destreaming:
Teachers and students in an Ontario school respond. Journal of Curriculum Studies, 30
(6), 691-717.

Robiah Sidin & Nor Sakinah Mohamad. (2007). ICT dalam pendidikan: Prospek dan cabaran
dalam pembaharuan pedagogi. Jurnal Pendidikan Malaysia, 32,139-152.

Rusmini Ku Ahmad. (2012). Integrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran
dan pembelajaran.Dimuat turun daripada
http://www.iab.academia.edu/RusminiKuAhmad/papers/524734/ Integrasi_Teknologi.

Rozinah Jamaludin.(2005). Multimedia dalam pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan Publications


& Distributors Sdn. Bhd.

159
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Saamad Mohd Rasdi. (2003). The readiness of primary school teachers implement the changes
the language of teaching instruction in Science and Mathematics. (Unpublished
Master’s Project). Universiti Kebangsaan Malaysia.

Silverman, D. (2010). Doing qualitative research (3rd ed.). Thounsand Oaks, CA: Sage.

Sutherland, R.V., Armstrong, S., Barnes, R. B. N., Breeze, M., Gall. S., Matthewman, F.,
Olivero, A., Taylor, P., Triggs, J., Wishart., & P. John. (2004). Transforming teaching
and learning: Embedding ICT into everyday classroom practices. Journal of Computer
Assisted Learning, 20, 413-425.

160

Anda mungkin juga menyukai