Anda di halaman 1dari 4

Nur Filza binti Mohd Zaini merupakan penulis kelahiran Sarikei, Sarawak.

Beliau berkhidmat
sebagai seorang pendidik di Kelantan. Berumur 32 tahun, penulis yang lahir pada 2 Ogos 1989
ini menjadikan penulisan sajak sebagai hobi. Karya beliau pernah tersiar di surat khabar seperti
Sinar Harian, dan antologi puisi seperti Gema Membelah Gema 16, Dandelion, serta Kasih
Hingga ke Syurga.
DINGIN

Dingin itu kian menusuk 


jiwa muda berdarah 
terasa jauh kelana
balik ke ceruk dingin.

Dingin itu kian menusuk 


nyior lambai mengajak 
pulanglah wahai perantau
tinggal hangat kota.

Dingin itu kian menusuk


tiada beza mana pun kita
bumi Tuhan kembara pasti
hujan batu ada hikmahnya.

Dingin itu kian menusuk


jiwa merdeka walau bah
arus direnang sekuat daya
tersemat biar putih tulang.

Nur Filza
22 November 2021
TERASA ADA

Ubi kayu cicah nyior


ikan masin perang garing
kopi kosong hitam pekat
biskut kering seringgit dua
roti bakar rapuh dipatah
putu halba berpasir manis
terasa ada sesuatu
menggamit memori dia.

Hujan renyai basahi bumi


terkadang terjah ganas 
bayu meniup halus
terkadang membadai kuat
halilintar guruh turut sapa
sungai tenang berkocak
terasa ada sesuatu
sanubari dia runsing.

Tengkujuh kunjung lalu


salam diberi tiap tahun
menyapa jiwa dia
antara memori indah
jua undang nestapa.

Nur Filza
23 November 2021
KAWASAN ITU

Kawasan itu kita punya


sungai penghidupan kita
sawah luas kantung emas
bukit tinggi gah terpasak
indah nian kawasan itu.

Saban masa ketika


kawasan itu bermuram
bukit ditarah pokok diratah
sungai mengalir lesu
unggas terbang berkicau
sedang mergastua riuh
tangisi kawasan itu.

Kawasan itu tak lagi indah 


air membuak sapu segala
binaan gah diroboh sesaat
kerna bumi turut menangis
balasan segala khianat
tangan manusia haloba
kawasan itu jadi mangsa.

Nur Filza
24 November 2021

Anda mungkin juga menyukai