Anda di halaman 1dari 4

Zhalifah dan Budi Bahasa

Hari yang diidam-idamkan dan ditunggu-tunggui oleh seorang insan yang bernama Zhalifah,
akhirnya tiba. Zhalifah berjaya menamatkan pelajarannya sebagai seorang jururawat setelah
berhempas pulas belajar sehingga sanggup mengekang matanya daripada lelap di bawah bulan
yang menyinari alam. Segala kerja kerasnya selama ini terbayar dengan kejayaan yang
dimilikinya sekarang. Zhalifah amat bersyukur dengan kejayaannya itu dan berjaya mencapai
salah satu daripada senarai impiannya. Kejayaannya itu membuatkan kedua-dua ibu bapa
Zhalifah, Cik Man dan Cik Mun, mengukir senyuman yang paling indah di wajah mereka
ditemani air mata kegembiraan.

Walaupun baru sahaja menamatkan pelajaran, Zhalifah teruja hendak memulakan


kerjayanya sebagai seorang jururawat iaitu pekerjaan yang diimpikan sejak dari bangku sekolah
rendah lagi. Akan tetapi, dia terpaksa akur menunggu panggilan untuk berkhidmat di mana-
mana hospital ataupun klinik.

“Takpe Zhalifah...nanti ada juga panggilan daripada mana-mana hospital. Jangan sedih
Zhalifah,” pujuk Zhalifah kepada dirinya sendiri. “Buat masa sekarang, lebih bagus jika kamu
menolong ibu Zhalifah,” sambung Zhalifah lagi.

Setelah memujuk hatinya yang sayu itu, Zhalifah mengorak langkah menuju dapur rumah.

Dalam perjalanan menuju dapur, Zhalifah tertarik mendengar iringan muzik serta suara yang
mendayu di bahagian ruang tamu. Secara spontan, kaki Zhalifah melangkah mengikut iringan
suara itu lalu dia pun terpana melihat pemilik suara itu. Dia tersenyum melihat ibunya menyanyi
sambil membungkus makanan untuk diberikan kepada jiran.

“Wow, sedap suara ibu!”

“Terima kasih anak dara ibu. Jangan puji lebih sangat nanti ibu sombong pulak,” kata Cik
Mun. “Lebih baik kamu tolong ibu bungkus makanan ni dan edarkan kepada semua jiran kita,”
sambung Cik Mun lagi.

“Baiklah ibu. Dalam masa yang sama, dapat juga adik bertegur sapa dengan jiran. Dah
lama juga adik tak jumpa dengan mereka,” ujar Zhalifah.
“Baguslah tu. Ibu syukur sangat adik terus mengamalkan amalan budi bahasa walaupun
adik dah berjaya sekarang,” kata Cik Mun kepada anaknya.

Tatkala Zhalifah mengedarkan makanan kepada jirannya seperti yang diarah oleh ibunya,
telefon yang ada di dalam poket seluar yang dikenakan Zhalifah berdering. Namun, Zhalifah
tidak menyedari akan deringan tersebut. Zhalifah sibuk mengedarkan makanan dengan
senyuman manis terukir di wajah. Zhalifah seorang wanita yang tidak lokek dengan senyuman
dan apabila berbicara, dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat. Hal ini membuatkan
semua jirannya senang hati berada di samping Zhalifah.

“Wah, rajin sungguh kamu Zhalifah! Dari dulu sampai sekarang perangai langsung tidak
berubah. Persis Cik Man dan Cik Mun baik budi pekerti dan budi bahasanya,” kata jirannya.

“Syukur, alhamdulillah. Ni semua atas didikan bu dan ayah supaya tetap berbudi bahasa
kepada semua orang,” jawab Zhalifah.

Usai menghabiskan semua edaran makanan, Zhalifah dihujani dengan keringat akibat
terikan cahaya matahari. Zhalifah bergegas menuju ke biliknya untuk merebahkan diri di atas
katil yang empuk miliknya.

“Lega rasanya badan,” kata Zhalifah dalam hati dan terus menyelami alam mimpi.

Tiba-tiba suatu deringan yang menyebabkan Zhalifah tersentak daripada tidurannya


yang lena. Zhalifah mengangkat punggungnya dari atas katil untuk mengangkat panggilan
tersebut. Mata Zhalifah yang kuyup tadi menjadi segar setelah mengangkat panggilan.

“Betulke ni?” soal Zhalifah untuk mengesahkan kebenaran yang didengarinya.

“Betul cik. Anda dipanggil berkhidmat untuk menjalankan tugas sebagai jururawat tetapi di
kawasan pedalaman,” kata pemanggil telefon itu.

“Syukur, alhamdulillah. Terima kasih encik,” kata Zhalifah lalu berlari keriangan menuju ke
ruang tamu di mana ibu dan ayahnya berada.

“Ibu! Ayah! Adik dapat panggilan untuk berkhidmat sebagai jururawat.”


“Betul ke ni dik. Ibu bangga dengan adik.”
“Tapi ibu, ayah. Adik berkhidmat di kawasan pedalaman. Ibu dan ayah izinkan?” ujar
Zhalifah lagi.

“Ibu dan ayah izinkan. Tapi jangan lupa budi bahasa dan adab berada di tempat orang,”
nasihat ayah kepada Zhalifah.

Masa berjalan begitu pantas, kini sudah hampir seminggu Zhalifah berkhidmat di kawasan
pedalaman. Kehadirannya di kawasan ini disambut dengan baik sekali. Hampir setiap hari,
Zhalifah akan keluar beriadah untuk bertegur sapa dengan jirannya. Kadang-kadang Zhalifah
akan memberikan makanan kepada jirannya. Penduduk kampung sangat senang hati dengan
adanya Zhalifah di kawasan tersebut. Walaupun Zhalifah lahir daripada keluarga senang, namun
dia tetap merendahkan diri dan tidak mendabik dada atas kelebihannya.

Dalam perjalanan menuju ke hospital, secara tiba-tiba kereta yang dipandu Zhalifah
dilanggar dari belakang. Tanpa membuang masa Zhalifah bergegas keluar kereta untuk melihat
apa yang terjadi. Kereta Zhalifah kemek akibat perlanggaran itu. Lalu seorang pemuda
mengeluarkan suara.

“Maaf cik. Saya tidak sengaja melanggar kereta cik. Jangan risau, saya akan bayar ganti
rugi kereta cik,” pinta pemuda itu.

“Tak pe. Lepas ni, encik pandulah kereta dengan berhemah supaya kejadian ini tidak
berulang,” jawab Zhalifah dengan nada yang rendah dan sopan.

“Terima kasih cik. Cik lah orang yang paling berbudi bahasa yang saya pernah jumpa,”
laung pemuda itu.

Zhalifah hanya mampu tersenyum mendengar pujian pemuda itu. Selepas berakhir
shifnya di hospital, Zhalifah terus menuju ke bengkel untuk membaiki keretanya itu.
Sementara menunggu, Zhalifah singgah sebentar untuk mengopi di sebuah cafe yang
bersebelahan dengan bengkel.

“Assalamualaikum cik...Saya Madzuki orang yang melanggar kereta cik pagi tadi. Sekali
lagi saya nak minta maaf,” kata pemuda itu.

“Waalaikumsalam...terkejut saya dibuatnya. Takpe, perkara kecil je tu,” jawab Zhalifah.


Sedang Madzuki dan Zhalifah rancak bersembang, deringan telefon Zhalifah mencelah
perbualan mereka. Selepas mengangkat panggilan tersebut, Zhalifah terus meminta pertolongan
Madzuki untuk menghantar dia pulang ke rumah. Tanpa berfikir panjang, Madzuki pun
bersetuju untuk menolong Zhalifah. Tiba sahaja di kawasan perumahannya, terdapat sekumpulan
penduduk kampung yang mencuba sedaya upaya untuk memadam api yang membaham rumah
sewa milik Zhalifah. Zhalifah tergamam melihat rumah sewanya itu terbakar.

Sebelum pasukan bomba tiba, api yang membaham rumah Zhalifah mula terpadam.

Zhalifah amat bersyukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Berkat budi bahasanya selama ini,
banyak penduduk kampung yang sudi memberikan pertolongan kepada Zhalifah. Ada yang
memberikan makanan, minuman dan keperluan harian. Madzuki, orang yang pernah terlanggar
kereta Zhalifah turut memberikan tempat perlindungan kepada Zhalifah atas budi bahasanya
kepada Madzuki sebelum ini.

“Betullah kata ibu selama ini, manisnya berbudi bahasa,” kata Zhalifah dalam hati apabila
melihat orang kampung membantu dirinya dalam kesusahan. Terukir senyuman dan tangisan di
wajah Zhalifah melihat tindakan orang kampung kepadanya walaupun Zhalifah bukan orang
tempatan di sana.

Anda mungkin juga menyukai