Anda di halaman 1dari 5

TEKS UCAPAN

GURU BESAR SK BANDAR ENSTEK

HELMY BIN MUHAMMAD

TEKS UCAPAN SEMPENA MAJLIS APRESIASI

TAHUN 6

PADA

11 FEBRUARI 2023 (SABTU)

BERTEMPAT

KOTA SERIEMAS GOLF & COUNTRY CLUB


Bismillah-ir Rahman-ir Rahim

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera,

Salam PPD Seremban; Peneraju Kecemerlangan, Sehati Sematlamat.

Salam ABC 2.0; Ambil Peduli, Bina Hubungan, Cipta Kejayaan,

Salam 4i; Ikhlas, Ihsan, Itqan, Istiqamah.

Up SKBE, Up Somban, Up Nogoghi.

Yang Berhormat,

Tuan Cha Kee Chin


Ahli Parlimen Rasah,

Yang Berusaha,
Tuan Haji Norazam bin Haji Nayan
Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban,

Yang dihormati,
Sarjan Radzi bin Abas
Pegawai Perhubungan Polis SKBE
Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai

Yang dihormati Barisan Penolong Kanan yang terdiri daripada


Puan Hjh Zaleha binti Abdullah,
Guru Penolong Kanan Pentadbiran

En.Razali bin Yusoh


Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid

En.Noor Izzuddin bin Mat Zain


Guru Penolong Kanan Kokurikulum

En.Khairul Nizam bin Mohd Sopery


Guru Penolong Kanan Petang

Dan jemputan
Pn. Tahaiyah binti Musa
Penolong Kanan Petang
SK Desa Cempaka

Yang dikasihi
Guru- guru dan anak-anak Tahun 6 SK Bandar Enstek seluruh ibubapa dan hadirin sekalian.
Pertama-tamanya, izinkan saya menzahirkan rasa kesyukuran kepada Illahi kerana dengan
keizinanNya maka pada petang ini dapat kita berkumpul di dewan yang indah ini bagi meraikan
anak-anak Tahun 6 yang tinggal lebih kurang seminggu sahaja lagi untuk mengakhiri alam
persekolahan di peringkat rendah.

Keduanya, saya selaku Guru Besar dan bagi pihak seluruh warga SK Bandar Enstek, ingin
merakamkan ucapan penghargaan khususnya buat tetamu jemputan khas kita iaitu Yang Berhormat
Tuan Cha Kee Chin, Ahli Parlimen Rasah. Walaupun Yang Berhormat mempunyai jadual yang padat
hari ini, YB masih sempat meluangkan masa untuk bersama-sama dengan kita. Sesungguhnya YB,
walaupun masanya sebentar, kehadiran YB akan memberikan kenangan yang sangat manis
khususnya buat warga SKBE dan anak-anak Tahun 6 yang kita raikan pada hari ini. Terima kasih YB.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tidak lupa juga kami ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada bos kami, Tuan Haji Norazam
bin Haji Nayan, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban yang tidak kurang sibuknya namun
beliau sentiasa bersemangat untuk menyantuni setiap warga sekolah di dalam daerah Seremban.
Sesunguhnya kesungguhan yang tuan tunjukkan sentiasa menjadi pembakar semangat kepada kami
semua warga pendidik untuk bekerja dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh.

Kepada Sarjan Radzi bin Abas, Pegawai Perhubungan Polis untuk SK Bandar Enstek, terima kasih tuan
kerana sentiasa memberikan Kerjasama yang baik kepada kami di sini. Begitu juga kepada Pn
Tahaiyah binti Musa, GPK Petang SK Bandar Enstek yang juga mantan Penyelaras Tahun 6 di sekolah
ini yang telah banyak menyumbang kepada pengurusan murid-murid Tahun 6 pada tahun-tahun
terdahulu.

Hadirin sekalian,

Ucapan Syabas dan Tahniah juga ingin saya sampaikan kepada Jawatankuasa Majlis Apresiasi Tahun
6 serta seluruh guru-guru, murid-murid dan ibubapa yang banyak menyokong bagi merealisasikan
majlis seumpama ini. Kita telah merancang hampir sebulan yang lalu bagi memastikan majlis ini
berjalan lancar.

Untuk makluman Yang Berhormat serta para hadirin sekelian, majlis yang kita raikan pada hari ini
bolehlah dikatakan sebagai antara majlis terakhir bagi program kecemerlangan Tahun 6 sesi
2022/2023 yang telah mula kita laksanakan bermula Julai 2022 yang mana walaupun kini sudah tiada
lagi peperiksaan UPSR, tetapi pihak sekolah tetap merancang beberapa aktiviti yang sesuai untuk
memastikan sebelum anak-anak Tahun 6 ini meninggalkan SK Bandar Enstek, mereka akan dididik
dan dibentuk bukan sahaja dalam bidang akademik dan kokurikulum, tetapi juga sahsiah dan potensi
diri.

Secara ringkasnya, ingin saya kongsikan beberapa antara aktiviti yang telah dijalankan pada sesi
persekolahan ini untuk murid-murid Tahun 6 iaitu Ceramah Awal Remaja, Ceramah Persediaan ke
Sekolah Menengah, Lawatan 3 buah bas Ke Kolej Tuanku Kurshiah, Lawatan Ilmiah 3 buah bas ke
Melaka antaranya melawat Muzium Penjara, Program Pendidikan Penyembelihan yang melibatkan
seekor kambing dan 12 ekor ayam, Karnival Sukan Tahun 6 dan beberapa lagi.

Semua yang dirancang dan dilaksanakan ini, sentiasa kami kongsikan melalui Facebook Rasmi
sekolah bagi mewar-warkan setiapa usaha dan kejayaan yang dicapai. Sesungguhnya tuan-tuan dan
puan-puan, kejayaan ini pula tidak dapat dihasilkan tanpa kerjasama dari guru. Saya ingin
menyatakan bahawa betapa saya sangat menghargai kerja keras, kerja bersama-sama dan
kesungguhan guru-guru SK Bandar Enstek sepanjang sesi persekolahan ini. Mohon kita sama-sama
beri tepukan penghargaan kepada mereka.

Demikian juga YB, tuan-tuan dan puan,


Kejayaan setiap yang dihasilkan ini juga adalah dari sokongan murid-murid dan ibubapa. Terima
kasih tuan dan puan yang saya hormati.
Disamping itu, untuk makluman semua ibubapa dan hadirin, kami para guru di SK Bandar Enstek juga
sentiasa mendapat sokongan dan bimbingan yang sangat baik dari Pejabat Pendidikan Daerah
Seremban yang diterajui oleh Tuan Haji Norazam bin Haji Nayan. Terima kasih tuan dan mohon
sampaikan penghargaan kami juga kepada semua pegawai-pegawai PPDS.

Dan yang paling utama serta tidak dilupakan kepada Yang Berhormat yang sentiasa tidak pernah
berkata tidak untuk membantu warga SK Bandar Enstek sekiranya diperlukan. Syukur YB, kami di SK
Bandar Enstek ini sudah beberapa kali dibantu antaranya pembinaan awning di tepi dewan terbuka,
Laman Minda Sihat yang kemudiannya kami dipilih oleh Jababatan Pendidikan Negeri Sembilan
sebagai salah satu dari 2 buah sekolah rendah dari Seremban untuk program kebangsaan di bawah
unit bimbingan dan kaunseling serta sumbangan YB untuk pembangunan guru.

Para Hadirin, mohon kita berikan satu tepukan penghargaan untuk Yang Berhormat.

Terima kasih.

Namun begitu YB, setelah saya berbincang dengan YDP PIBG yang tidak sempat hadir pada hari ini,
ada satu pantun juga untuk YB.

Terima kasih daun Keladi


Kerana sudi menolong kami
Kalau ada kesulitan kami
Diharap sudi bantulah lagi.

Dengan pantun yang ringkas itu diharapkan dapatlah YB membantu PIBG serta sekolah kerana
insyaallah ada beberapa perancangan lagi untuk dilakukan untuk khususnya untuk faedah semua
warga SKBE.

Terima kasih YB.

Sidang hadirin sekelian,

Sebelum akhirnya, saya sekali lagi untuk mengucapkan rasa penghargaan kepada semua yang hadir
dan memberikan kerjasama untuk kejayaan program hari ini. Tanpa sokongan dan kehadiran Yang
Berhormat, Tuan-tuan dan Puan-puan, majlis ini pasti tidak akan berseri dan berjalan dengan
jayanya. Saya bagi pihak sekolah mohon ampun dan maaf andai ada kekurangan sebelum, semasa,
sepanjang dan selepas program ini dilaksanakan.

Kepada anak-anak Tahun 6, cikgu doakan selamat maju jaya untuk masa akan datang. Selamat
menempuh alam sekolah menengah. Sentiasalah ingat untuk jaga diri, jaga peribadi, jaga nama baik
diri sendiri, nama baik ibubapa, nama baik guru dan nama baik SKBE. Bawalah pengalaman manis
sepanjang berada di SKBE ini dan yang kurang manis itu dijadikan sebagai pengajaran untuk menjadi
lebih matang.
Akhir kata saya sudahi ucapan ini dengan serangkap pantun

Merah menyala si buah ceri


Sungguh cantik berseri-seri
Terima kasih ucapan diberi
Kerana sudi datang ke mari.

Assalamualaikum w.b.t

Anda mungkin juga menyukai