Anda di halaman 1dari 2

Kepentingan Berbudi Bahasa

Pelbagai pihak telah menyuarakan pandangan bahawa masyarakat di negara kita


tidak mengamalkan budi bahasa dalam kehidupan bermasyarakat. Amalan negatif
ini dapat dilihat daripada sikap golongan muda yang semakin tidak menghormati
orang tua. Hal ini mungkin disebabkan oleh kebanyakan ibu bapa sekarang tidak
mempedulikan anak-anak sama ada mereka itu berbudi bahasa atau tidak kerana
mereka sibuk mengejar kekayaan. Perdana Menteri pernah mengatakan bahawa
beliau begitu kecewa dengan amalan budi bahasa yang kurang dipraktikkan dalam
masyarakat sekarang. Sejak beberapa tahun lalu, Kementerian Kesenian, Warisan,
dan Kebudayaan telah melancarkan kempen Budi Bahasa Budaya Kita supaya dapat
mengembalikan suasana budi bahasa dalam masyarakat. Tambahan pula, kempen
ini telah diuar-uarkan melalui pelbagai media sama ada media elektronik atau media
cetak. Hal ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan penting
untuk melancarkan kempen ini. Persoalannya apakah kepentingan pengamalan budi
bahasa dalam masyarakat?

Antara kepentingan amalan budi bahasa dalam masyarakat termasuklah amalan itu
mempengaruhi pembentukan perpaduan kaum dalam sesuatu
masyarakat. Budi bahasa ini dapat mewujudkan hubungan yang baik antara
anggota masyarakat. Hal ini dapat ditunjukkan jika semua ahli atau lapisan
masyarakat mengamalkan budi bahasa ketika berkomunikasi, nescaya tidak akan
ada sesiapa yang akan tergores perasaannya. Tambahan lagi, amalan budi bahasa ini
dapat mewujudkan satu situasi yang mendorong masyarakat saling memahami dan
menghormati antara satu dengan yang lain. Oleh yang demikian, amalan ini secara
tidak langsung akan menjadikan ikatan persaudaraan atau silaturahim antara
masyarakat menjadi semakin akrab. Tuntasnya, amalan ini dapat mewujudkan
suasana yang aman dalam masyarakat hasil daripada pembentukan perpaduan kaum
ini.

Selain itu, kepentingan amalan budi bahasa dalam masyarakat juga akan
menyebabkan segala urusan yang dilakukan akan menjadi lebih mudah.
Apabila semua lapisan masyarakat menunjukkan sikap kerjasama yang tinggi, segala
perkara atau pekerjaan yang ingin dilakukan akan berjalan dengan lancar. Sebagai
contohnya, apabila seseorang itu menghadapi sebarang masalah dan perlu
berurusan dengan kakitangan kerajaan, individu tersebut akan berasa selesa jika
dilayan dengan penuh hormat dan sopan. Kerjasama ini dapat dikaitkan dengan
peribahasa Melayu, iaitu “muafakat membawa berkat” dan “yang berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing”. Tambahan pula, apabila kerjasama dapat dipupuk maka hasil
kerjasama tersebut pasti memberangsangkan. Jadi, masalah yang membelenggu
individu tersebut selama ini pasti akan menjadi lebih ringan dan lebih mudah untuk
diselesaikan melalui amalan budi bahasa ini. Tuntasnya, amalan budi bahasa ini
dapat memudahkan segala perkara yang dilakukan dalam masyarakat.

Amalan budi bahasa ini merupakan cerminan diri seseorang juga. Amalan budi
bahasa dapat menunjukkan keperibadian individu yang sebenar. Jika seseorang
mengamalkan budi bahasa dalam masyarakat, maka dia akan dianggap seorang yang
berbudi pekerti dan jika seseorang itu bersifat sebaliknya, maka dia akan dilihat
seperti seseorang yang bersikap kurang ajar. Misalnya, seorang tetamu bertanya
kepada pegawai di kaunter pertanyaan dan pertanyaan itu disambut baik oleh
pegawai itu. Agaknya apakah yang difikirkan oleh tetamu itu terhadap pegawai
tersebut? Semestinya dia membuat andaian bahawa pegawai tersebut merupakan
seorang yang berhemah dan berbudi bahasa. Bahkan pula, jika seseorang itu
mengamalkan budi bahasa dalam kehidupan seharian, dia pasti akan disanjung dan
bukan dirinya sahaja malahan ibu bapa dan keluarganya juga akan dipandang mulia.
Hal ini menunjukkan bahawa ibu bapa tersebut berjaya mendidik anak-anak
sehingga menjadi seorang yang berbudi bahasa seperti kata orang tua-tua, “melentur
buluh biarlah dari rebungnya”.

Amalan budi bahasa mampu mengeratkan hubungan diplomatik antara dua


buah negara. Setiap negara mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ada
antaranya mempunyai kekayaan hasil bumi atau teknologi yang lebih maju. Jika
pemimpin dan tokoh korporat dapat mengamalkan budi bahasa semasa menghadiri
mesyuarat antarabangsa, nescaya pasti banyak negara yang lebih maju akan tertarik
untuk bekerjasama dengan negara kita. Ketika berlaku siri tunjuk untuk terus
mengamalkan budi bahasa dengan melayan pekerja Indonesia di negara ini dengan
baik. Natijahnya, kedua-dua buah negara ini akhirnya menjalinkan hubungan yang
baik sehinggalah hari ini. Selain itu, dengan wujudnya hubungan diplomatik ini,
negara kita akan menjadi lebih seimbang dan kukuh kerana mempunyai negara yang
berdaya saing. Hal ini dapat dibuktikan apabila hubungan diplomatik dua negara
menjadi lebih baik.

Kepentingan amalan budi bahasa yang lain ialah amalan tersebut mampu
menarik perhatian atau kehadiran pelancong luar ke negara ini.
Pelancong akan berasa selesa jika kita memberi bantuan secara berbudi bahasa. Jika
kita melayan pelancong tersebut dengan baik, pelancong tersebut akan
memanjangkan perihal peristiwa tersebut kepada rakan-rakan dan keluarga apabila
sudah kembali ke negara mereka. Hal ini dapat menimbulkan keinginan mereka
untuk melancong ke negara ini lagi pada masa depan. Secara langsung, kedatangan
pelancong ini juga dapat meningkatkan sumber ekonomi negara, malah nama dan
imej negara akan meningkat di mata dunia. Oleh yang demikian, kita haruslah
mengamalkan prinsip orang berbudi, kita berbahasa. Natijahnya, negara kita
berpotensi untuk menjadi pusat atau destinasi pelancongan terbaik di rantau ini dan
hal ini sudah tentu memberikan impak kepada ekonomi negara.

Sebagai kesimpulannya, kempen budi bahasa merupakan salah satu cara terbaik
untuk meningkatkan amalan budi bahasa dalam masyarakat selaras dengan
pandangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib yang mengatakan bahawa amalan budi
bahasa pada zaman sekarang semakin berkurang. Oleh yang demikian, untuk
menyempurnakan hasrat Perdana Menteri yang mahu mewujudkan masyarakat yang
berbudi bahasa, kita haruslah bekerjasama dan mempraktikkan amalan ini dalam
kehidupan seharian. Budi bahasa perlu dibudayakan sejak anak-anak masih kecil.
Akhir sekali, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama
mengamalkan budi bahasa agar impaknya menguntungkan masyarakat dan negara.

Anda mungkin juga menyukai