Anda di halaman 1dari 3

Contoh Karangan: Pentingya Amalan Berbudi Bahasa Dalam Kalangan

Masyarakat.

Perkongsian contoh karangan berkaitan tajuk pentingnya amalan berbudi


bahasa dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia boleh dirujuk di
bawah.
Isi-isi penting dan huraian yang sesuai:
1. Mengelakkan perselisihan faham dan menyelesaikan masalah
2. Melahirkan individu dan masyarakat yang beretika tinggi.
3. Mewujudkan perpaduan antara ahli masyarakat.
4. Menarik minat pelancong asing.
5. Melahirkan pemimpin yang berintergriti.
6. Mengeratkan hubungan diplomatik antara dua buah negara.

Kepentingan Budi Bahasa dalam Kalangan Masyarakat


Oleh: Muhammad Adam Isyraq bin Badrol Hisham

“Budi Bahasa Budaya Kita” merupakan slogan yang digunakan oleh


kerajaan untuk memupuk masyarakat supaya mengamalkan sopan
santun dalam kehidupan seharian. Kempen yang telah berlangsung
sejak dahulu ini dilihat seperti tidak memberikan kesan yang efektif
kepada masyarakat terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Mereka lebih mudah terjebak dan terpengaruh dengan budaya luar.
Kebanyakan di antara kita mungkin tidak dapat melihat kepentingan
amalan ini, namun perkara ini penting untuk melahirkan insan yang
mulia demi mengangkat martabat bangsa, agama dan juga negara.
Namun begitu, apakah kepentingan budi bahasa dalam kalangan
masyarakat
Salah satu kepentingan amalan yang mulia ini adalah dapat
mengelakkan perselisihan faham daripada berlaku dan menyelesaikan
masalah yang dihadapi. Lebih-lebih lagi masyarakat yang tinggal di
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar
belakang. Pepatah Melayu berkata, terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata buruk padahnya, oleh itu pertikaman lidah boleh berlaku
yang membawa kepada perkara yang lebih buruk. Maka, amalan
berbudi bahasa secara jelas dapat mengelakkan salah faham daripada
berlaku kerana terdapat unsur toleransi antara satu sama lain dalam
berkomunikasi.
Selain itu, amalan berbudi bahasa sangat signifikan untuk
melahirkan individu dan masyarakat yang beretika tinggi. Orang akan
berasa mesra untuk berkomunikasi dan percaya dengan apa yang
disampaikan kerana budi dan bahasa yang baik digunakan. Dengan
gaya komunikasi yang baik, pastinya nilai lain seperti mematuhi etika
dan peraturan secara amnya akan turut serta seperti kata pepatah putih
tulang dikandung tanah, budi baik dikenang juga. Intihannya,
bersopan santun dalam masyarakat penting untuk melahirkan
masyarakat yang beretika tinggi dan berperibadian unggul.
Disamping itu, kepentingan lain budaya amalan ini dalam
masyarakat adalah mewujudkan perpaduan antara ahli masyarakat
terutamanya masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum.
Oleh sebab itu, mustahak untuk setiap anggota masyarakat
mengamalkan bahasa yang baik dan sentiasa berbudi tanpa mengira
warna kulit, taraf seseorang mahupun umur mereka ibarat menarik
rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung pula tidak
berselerak. Timbul apa pun masalah atau isu, budi bahasa yang baik
pasti dapat mengekalkan perpaduan antara ahli masyarakat yang
menjadi tiang kestabilan tanah air kita.
Seterusnya, masyarakat yang berbudi bahasa dapat menarik
minat kedatangan pelancong asing ke dalam negara. Sama seperti
keunikan masyarakat yang berbilang bangsa di negara kita ketika ini,
masyarakat yang berbudi bahasa juga akan menarik minat pelancong
untuk datang bercuti kerana akan menerima layanan yang baik. Dengan
amalan ini, pelancong akan berasa tenang dan selesa untuk
menghabiskan masa cuti mereka di negara kita. Peranan ini banyak
dimainkan oleh pegawai kastam, imigresen, pemandu pelancong dan
kakitangan pusat pelancongan. Izharnya, masyarakat yang berbudi
bahasa dapat menyumbang kepada perkembangan industri
pelancongan negara.
Kesimpulannya, sifat luhur dan amalan ini mempunyai banyak
kepentingan tanpa kita sedari. Setiap pihak daripada pemimpin
sehinggalah kepada ibu dan bapa berperanan untuk menjadi teladan
terbaik agar anak-anak mencontohi perilaku yang mulia seperti kata
pepatah yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu
bahasa yang elok itu budi. Semoga usaha untuk memupuk amalan
yang baik sebagai budaya masyarakat kita dimartabatkan seterusnya
mengangkat Malaysia sebagai negara yang tinggi budaya dan
akhlaknya.

Anda mungkin juga menyukai