Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN KETUA ULDP (DR.

NORAISHAH BINTI YUSOF)

Terima kasih kepada pengerusi majlis pada hari ini.

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Zain bin Badui, Pengarah IPG Kampus Temenggong
Ibrahim. Yang Berusaha, Dr. Hajah Wan Noor Siah binti Wan Abdullah, Timbalan
Pengarah IPG Kampus Temenggong Ibrahim. Yang dihormati En. Muhammad Azhar bin
Saari penghulu 4A, En. Norhapidzu bin Mohd Zawi penghulu 4B bagi Program
Transformasi Minda Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siri 4 tahun 2023, barisan para
penceramah, barisan Urus setia, Ahli Jawatan kuasa seterusnya peserta Program
Transformasi Minda Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siri 4 Tahun 2023.

Pertamanya, bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita
hadir bersama-sama dalam majlis penutupan rasmi ini secara maya di Google Meet
dalam keadaan sihat dan ceria.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas & tahniah kepada semua peserta
kerana dapat menamatkan Program Transformasi Minda ini dengan jayanya. Terima
kasih juga atas kerjasama dan kesungguhan yang diberikan oleh para peserta sekalian.
Semoga kursus yang diadakan ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta
dalam memahami dan mendalami hasrat dan objektif bagi Program Transformasi
Minda selain daripada salah satu syarat bagi pengesahan jawatan dalam perkhidmatan
awam. Syukur di atas kebesaran Nya juga kerana Program Transformasi Minda ini
dapat dilaksanakan dengan lancar dan dapat kerjasama daripada semua pihak.
Program ini berjalan selama 5 hari yang bermula 7 sehingga 11 Mei 2023. Program ini
terdiri daripada 116 orang peserta yang terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu 58 peserta
kumpulan siri 4A dan 58 peserta juga daripada kumpulan siri 4B. Peserta – peserta
program ini juga terdiri daripada guru-guru Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah
Kebangsaan, Sekolah Menengah Agama dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang
terdiri dari pelbagai PPD di negeri Johor.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Untuk pengetahuan semua, rata-rata peserta di sini merupakan guru-guru baharu yang
telah berkhidmat dalam bidang perkhidmatan lebih kurang setahun setengah. Secara
tidak langsung program ini telah membentuk sedikit sebanyak jati diri dan nilai
insaniah dalam diri para peserta. Tambahan lagi, melalui setiap slot dan aktiviti yang
dilaksanakan dalam Program Transformasi Minda ini dapat mengembangkan dan
memantapkan ilmu serta pengetahuan para peserta yang terdiri daripada semua guru-
guru baharu.

Para hadirin sekalian,

PTM dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti latihan dalam kumpulan, sesi
interaktif, perbincangan kumpulan, kuiz dan ada juga e-pembelajaran. Penilaian PTM
ini juga dibuat secara penilaian atas talian berdasarkan aktiviti dan juga kriteria
penilaian yang telah ditetapkan oleh garis panduan penilaian PTM. Pegawai yang
mengikuti PTM sepenuhnya dan berjaya dalam penilaian yang dibuat, layak diberikan
sijil PTM dan keputusan hadir dengan jaya PTM akan direkodkan dalam buku rekod
perkhidmatan. Sesungguhnya, Program Transformasi Minda ini sedikit sebanyak
menambah ilmu berkaitan tanggungjawab sebagai seorang guru dalam diri para
peserta sendiri. Dalam pada itu, program ini juga memberi pengetahuan berkenaan
tatatertib, ketrampilan diri dan sebagainya. Secara tidak langsung dapat mengukuhkan
disiplin dalam diri para peserta.
Sidang hadirin sekalian,

Melalui Program Transformasi Minda ini juga, para peserta turut didedahkan dengan
pengurusan secara lebih efektif melalui penghantaran tugasan mengikut masa yang
telah ditetapkan. Tahniah diucapkan kepada para peserta kerana berjaya menyiapkan
tugasan-tugasan yang diberikan dalam masa yang ditetapkan. Sebelum saya
mengakhiri ucapan saya, terimalah pantun dari saya

Madah di ungkap santun bitara,


Pantun dilantun mengusik hati,
Salah silap tutur bicara,
Pohon di ampun seikhlas hati.

Melarik halus papan di jawa,


Tersergam kukuh di gerbang batu,
Adat berjumpa terpisah jua,
Moga ketemu di lain waktu.

Akhir kalam, salam syabas dan tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan
ketrampilan diri dan semangat juang yang tinggi secara aktif dalam program ini.
Sekian sahaja dari saya, wabillahitaufiq wal Hidayah wasalamualaikum wbt.

Anda mungkin juga menyukai