Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN

SEMPENA MAJLIS CERAMAH MAULIDUR RASUL 1445H

Asallamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Salam Malaysia Madani,
Salam Karamah Insaniah,
Salam Anak Yang Baik Lagi Cerdik.

Terima kasih diucapkan kepada saudari Pengacara Majlis, Pn. Siti Zuraidah bt
Sarmin.

Yang berusaha saudara Mohd Annas bin Khamis atau lebih dikenali sebagai Da’ie
Annas, penceramah istimewa yang diundang khas sempena sambutan Maulidur Rasul pada
hari ini.

Yang dihormati Cik Noor Alydza bt Ramlan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, En.
Ahmad Amzan bin Ishak Penolong Kanan kokurikulum, barisan guru kanan mata pelajaran,
guru-guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian.

Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah S.W.T. kerana
dengan limpah rahmat dan izinNya kita dapat bersama-sama pada pagi yang berbahagia ini
bagi menjayakan majlis Sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1445 hijrah bersamaan dengan
2023 Masihi yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’. Selawat dan salam
kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Penghulu segala Rasul, pembawa
rahmat sekalian alam.

Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,

Kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu nikmat dan
rahmat kepada seluruh alam. Justeru itu, sebagai umat Islam kita hendaklah menjadikan
Rasulullah s.a.w sebagai uswah hasanah, iaitu contoh teladan yang baik dalam kehidupan
kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Baginda Rasulullah s.a.w adalah adalah insan
yang paling layak untuk kita jadikan idola, dalam membentuk peribadi kita sebagai seorang
muslim yang sejati. Sifat-sifat kenabian baginda iaitu Siddiq (benar), Amanah, Tabligh
(menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana) perlu dijadikan contoh dan teladan terbaik kepada
seluruh umat Islam.
Pada sambutan Maulidur Rasul kali ini, marilah bersama-sama kita renungkan dan
melihat bagaimana sifat dan keperibadian Rasulullah boleh memberi kekuatan kepada kita
untuk memperbaiki diri bagi menyahut cabaran pendidikan alaf baru. Kita perlu
mengembalikan penghormatan dunia terhadap umat Islam dengan menguasai ilmu duniawi
dan ukhrawi. Bagi mencapai hasrat itu, kita perlu menjadi seorang yang intelek serta menjadi
sumber rujukan kepada semua cabang ilmu seperti yang pernah dilakukan oleh para ilmuwan
Islam pada masa dahulu.

Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Sebagai seorang pelajar, murid-murid perlu sentiasa amanah dalam melaksanakan


tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Tuntutlah ilmu dengan penuh rasa ikhlas dan rasa
tanggungjawab untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Hal ini kerana, anda merupakan
generasi yang bakal mengangkat martabat Islam di mata dunia pada masa akan datang. Pada
sambutan Maulidur Rasul kali ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah untuk memperbaiki
diri menjadi ummah yang terbaik.

Hadirin hadirat yang dihormati sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Da’ie
Annas kerana sudi menerima undangan pihak sekolah untuk berkongsi ilmu dan ibrah
sempena Sambutan Maulidur Rasul bersama warga SMK Taman Kosas pada hari ini. Tidak
lupa juga terima kasih diucapkan kepada barisan guru dan para pelajar yang turut bersama-
sama bagi memeriahkan lagi majlis kita pada hari ini. Jutaan penghargaan dan tahniah pula
saya tujukan kepada Panitia Pendidikan Islam kerana menganjurkan Majlis Sambutan
Maulidur Rasul pada hari ini.

Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun ;

Nabi Muhammad junjungan Ummat,


Membawa rahmat membawa berkat;
Marilah kita banyakkan selawat,
Untuk syafaat di hari akhirat.

Sekian,
Wabillahi taufiq wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai