Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih saudara Pengacara Majlis,

Yang berusaha, Pn Zakiah bt Yusof, Penolong Kanan Pentadbiran, Pn Pathamalosini a/p


Arnasalam, Penolong Kanan Kokurikulum, Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab selaku
pelaksana program, barisan guru yang dikasihi dan murid-murid yang saya sayangi sekalian.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat datang saya ucapkan kepada tetamu kita Saudara Idzhar bin Jumali, merupakan
Perunding Utama Selfcure Rrsources selaku penceramah kita pada hari ini

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan segala alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar,
Nabi Muhammad S.A.W serta para sahabatnya, Alhamdulillah saya bersyukur kehadrat Allah
kerana dengan limpah kurnianya kita dapat kita bersama dalam Majlis Sambutan Maulidur
Rasul Peringkat Sekolah, SK Kelana Jaya 1 bagi tahun 1440 Hijriah bersamaan tahun 2019
Masihi.

Untuk pengetahuan semua tarikh sambutan maulidur rasul pada tahun ini jatuh pada 9
November, iaitu hari Sabtu. Oleh itu penganjuran majlis ini diadakan awal dari tarikh yang
sepatutnya kerana kita bercuti pada hari Sabtu dan kekangan-kekangan lain yang tidak dapat
dielakkan.

Setiap tahun pihak sekolah mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul untuk memperingati
Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara
seperti perarakan, tilawah al-Quran, pertandingan syarahan dan ceramah. Melalui majlis ini
pihak sekolah berharap murid-murid dapat mengingati perjuangan Rasulullah s.a.w. Kita
sebagai umat Islam hendaklah menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai uswah hasanah (contoh
teladan yang baik) dalam kehidupan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Allah s.w.t
berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 21, yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh ikutan yang baik”

Murid-murid yang dikasihi sekalian,

Rasulullah s.a.w telah menjadi contoh kepada kehidupan sebenar seorang Muslim. Sifat-sifat
kenabian Baginda iaitu Sidiq (Benar), Amanah, Tabligh (Menyampaikan) dan Fatanah
(Bijaksana) perlu menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat Islam. Pada sambutan
Maulidur Rasul kali ini marilah kita bersama-sama melihat bagaimanakah sifat dan keperibadian
Rasulullah s.a.w boleh memberi kekuatan kepada kita untuk memperbaik diri bagi menyahut
cabaran pendidikan pada alaf baru. Kita perlu mengembalikan penghormatan dunia terhadap
umat Islam dengan menguasai ilmu duniawi dan ukhrawi. Sehubungan dengan itu, kita perlu
menjadi seorang yang intelek serta menjadi sumber rujukan kepada semua cabang ilmu seperti
yang pernah umat Islam lakukan pada satu ketika dahulu.

Murid-murid yang dikasihi sekalian,


Sebagai seorang pelajar, murid-murid perlu sentiasa amanah dalam melaksanakan
tanggungjawab sebagai pelajar , tuntutlah ilmu dengan penuh ikhlas dan rasa tanggungjawab
untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Hal yang demikian kerana, murid-murid merupakan
generasi yang bakal mengangkat martabat bangsa di mata dunia pada masa depan. Pada
sambutan Maulidur Rasul kali ini marilah kita sama-sama menginsafi diri serta merenung untuk
memperbaik diri untuk menjadi umah yang terbaik.
Sebagai pengakhir kata marilah kita renung kisah ini dan tanyalah pengajarannya pada diri kita
masing-masing. Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar ,

“Pada suatu hari, saya berjalan bersama Khalifah Umar Al-Khatab di Mekah. waktu itu saya
bertemu dengan seorang budak pengembala kambing yang sedang mengembala
kambingnya”.

Kemudian Saidina Umar berkata kepada budak itu. “Juallah kambing itu kepadaku”.
Jawab budak itu “Kambing itu bukan kambingku, tetapi kepunyaan tuanku”.
Kemudian Saidina Umar cuba memujuk sekali lagi, “Bukankah engkau dapat mengatakan satu
darinya telah dimakan serigala, pastinya tuanmu tidak mengetahui”.
Kata budak itu “Tidak, saya tidak mahu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”.
Mendengar kata-kata itu Saidina Umar menangis kerana jujurnya budak itu.
Kita renungkanlah bersama dan semoga sambutan Maulidur Rasul pada hari ini memberi
ingatan kita kepada akan perjuangan Rasulullah s.a.w untuk menyebarkan Syiar Islam.

Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat secara
langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat
Sekolah Kebangsaan Kelana Jaya (1) pada hari ini.
 
Sekian,
Wabillahi taufiq wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai