Anda di halaman 1dari 2

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1

Malaysia,

Saudara dan saudari sekalian,

Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk bertemu bulan Rejab,
dengan harapan akan disusuli dengan Syaaban seterusnya menikmati kemuliaan
beribadah di bulan Ramadhan. Sesungguhnya, 27 Rejab secara tradisinya membawa
ingatan kita kepada satu peristiwa agung yang tiada taranya, iaitu Peristiwa Israk dan
Mikraj. Biarpun kisah ini berlaku melebihi 1400 tahun yang lalu, tetapi kerelevanan dan
kepentingannya adalah amat signifikan buat umat Islam.

Sememangnya ini adalah sesuai dengan apa yang terkandung dalam kitab suci
Al-Quran apabila Allah SWT memaktubkan peristiwa agung Israk melalui firman-Nya
dalam surah al-Israa^ ayat pertama yang bermaksud:- “Maha Suci Allah yang telah
menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah)
ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan
kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah
Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sebaiknya, selain kita mengagumi peristiwa ini secara harfiah, adalah lebih afdal
kiranya kita menjadikannya pedoman bagi mendepani cabaran semasa umat hari ini.
Sebagaimana para nabi telah disatukan untuk berimamkan Rasulullah SAW di Masjidil
Aqsa, demikianlah kita perlu bersatu untuk mempertahan serta menegakkan agama
Islam.

Kita juga mestilah mengiktibari peristiwa Israk dan Mikraj ini untuk mengukuhkan
akhlak kita sebagai seorang muslim yang unggul terutamanya melalui solat dan ibadah-
ibadah yang lain. Rasulullah SAW sentiasa menyeru kita agar menjaga solat dan
akhlak. Akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral oleh segelintir umat Islam kini
berpunca daripada solatnya yang tidak khusyuk menyebabkan mereka masih
melakukan perbuatan keji dan maksiat. Justeru, pelaksanaan solat yang khusyuk
berupaya menjadi benteng untuk mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak umat Islam
bagi menghadapi segala serangan sosial masa kini.

Menyaksikan apa yang berlaku di luar negara, kita seharusnya bersyukur


dengan kestabilan sosial, politik dan ekonomi yang dianugerahkan oleh Allah SWT
kepada kita. Ini semua memerlukan dokongan dan peranan semua pihak. Syukur
Alhamdulillah, negara kita pernah dinobatkan sebagai negara paling selamat di Asia
Tenggara dalam Indeks Keamanan Global. Justeru, saya menyeru segenap lapisan
masyarakat agar menyokong usaha-usaha kerajaan dan mengambil bahagian dalam
membina persekitaran negara yang aman dan selamat.

Sesungguhnya, institusi masjid yang menjadi teras di dalam peristiwa bersejarah


Israk dan Mikraj ini telah mengingatkan umat Islam dengan ikatan erat mereka dengan
Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis. Dunia menyaksikan, bagaimana Malaysia terus
istiqamah dengan pendirian kita menentang kezaliman dan keganasan rejim zionis
Israel di Palestin tanpa berdolak-dalik.

Akhir kalam, saya mengajak semua umat Islam di negara ini bersama-sama
mengambil iktibar Peristiwa Israk dan Mikraj ini. Semoga penghayatan kita kepada
peristiwa hebat ini menjadikan hari esok kita lebih baik daripada hari ini. Insya-Allah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai